Thursday, 18 October 2018

Serangga Pemakan Daging~Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp

Serangga Pemakan Daging Bangkai.

Pemerhatian Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp Memakan Bangkai Daging Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.




Pendahuluan

Tebuan dan Penyegat adalah dari kalangan Hymentoptera~Vespinea serangga bersayap yang mempunyai bisa . Serangga bersayap ini sangat mudah berang walaupun dengan sedikit gangguan yang datang daripada haiwan atau manusia. Ia akan bertindak terbang menyerang dengan  sungguh agrasif  mengerumuni musuhnya secara berkumpulan. Menggigit pada semua bahagian permukaan anggota badan dan meninggalkan bisa racun yang teramat bisa. Jikalau mangsa mendapat gigitan sengatan dalam jumlah yang banyak, pada kebiasaannya  akan mengakibatkan kematian. Membuat sarang samada diatas dahan pokok yang tinggi , diatas tanah atau ditepi dinding bangunan. Sarang dibina dari bahan tanah-tanih. Daripada 23 spesies Hymentoptera~Vespinea yang ada didunia 7 spesies Tebuan  berada di dalam negara Malaysia & 3 spesies Penyegat ( hanya ada di Malaysia ) . Maklumat serangga berbisa ini tidak banyak ditulis , maka tidak ramai yang mengetahui akan habitat, dan perangai kehidupannya. Hinggakan tidak semua spesies Tebuan ini mempunyai "Common Name" apatah lagi nama dalam bahasa Melayu bahasa Kebangsaan.



Memandangkan di Malaysia masih belum ada nama Tebuan ( Wasp ) & Penyegat ( Hornet ) dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada setiap 10 spesies famili Hymentoptera~Vespinea, maka saya mengambil inisiatif sendiri untuk mencadangkan nama-nama tersebut untuk memudahkan rujukan. Saya berharap selepas ini pakar Entomologist tempatan akan memberi cabaran positif secara ilmiah akan kesesuaian cadangan nama tersebut. Atau terus mengguna pakai nama-nama yang telah dicadangkan ini. 





Secara amnya  serangga bersayap berbisa Vespinae , terbahagi kepada famili Penyegat ~ Provespa dan TebuanVespa. Di Malaysia, gabungan Famili ini terdiri dari  10 spesies , 3 spesies Penyegat ~ Provespa dan 7 spesies  Tebuan ~ Vespa. Bermakna  10 spesies Vespinae dalam dunia boleh dijumpai di  Malaysia  daripada jumlah 23 spesies  Tebuan didunia. (Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae) of Malaysia~Stephen.J Martin). 

Penyegat~Provespa~Hornet

1.Penyegat Anomala ~ Provespa anomala
2.Penyegat Barthelemyi ~ Provespa barthelemyi 
3.Penyegat Malam Provespa nocturna

Tebuan~Vespa~Wasp

1.Tebuan Rimau ~ Vespa affinis ~ Tiger Wasp
2.Tebuan Analis ~ Vespa analis ~ Analis Wasp
3.Tebuan Bellicosa ~ Vespa bellicosa ~ Bellicosa Wasp
4.Tebuan Morsaryana ~ Vespa morsaryana ~ Morsaryana Wasp
5.Tebuan Multimaculata ~ Vespa multimaculata ~ Multimaculata Wasp
6.Tebuan Tropika ~ Vespa tropica ~ Tropica Wasp
7.Tebuan Emas ~ Vespa velutina ~ Golden Wasp




Di Malaysia taburan spesies Tebuan~Vespa ini terbahagi kepada 2 kawasan, iaitu kawasan Tanah Rendah dan kawasan Tanah Tinggi. Berikut adalah spesies Tebuan spesies kawasan Tanah Rendah (Lowland Spesies); Tebuan Rimau Vespa affinis Tiger Wasp,  Tebuan Tropika Vespa tropica Tropica Wasp, Tebuan Morsaryana Vespa morsaryana ~ Morsaryana Wasp Tebuan Multimaculata Vespa multimaculata Multimaculata Wasp ( Semenanjung Malaysia) dan Tebuan AnalisVespa analis analis ~ Analis Wasp.


Tebuan Spesies kawasan Tanah Tinggi(Highland Spesies) ~ Tebuan Analis Hitam Vespa analis nigran ~ Analis Wasp, Tebuan Multimaculata Vespa multimaculata ( Borneo ), Tebuan Emas Vespa velutina ~ Golden Wasp.  (Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae)of Malaysia~Stephen.J Martin). 




Pemerhatian Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp Memakan Bangkai Daging Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.


Saya telah menjumpai seekor bangkai Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard yang telah mati diatas sebatang jalan di Ulu Kali,  Selangor pada 14 Oktober 2018. Ulu Kali adalah sebuah kawasan Hutan Upper Montane Forest dan Elfin Forest  pada ketinggian (5814 ft (1800 meter ) dari paras laut. Pada bangkai itu terdapat 5 ekor Tebuan Emas~Vespa velutina~Golden Wasp dan 2 ekor Lalat. Melihat tabiat kelakuan spesies lalat yang sedang menghurungi bangkai adalah suatu pekara kebiasaan kepada semua orang. Tetapi kejadian spesies Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp mengerumi bangkai adalah satu pekara yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Kita sedia maklum, pada kebiasaan diet makanan spesies Tebuan~Vespa adalah dari berbagai jenis jus tanaman , nektar tumbuhan dan serangga. ( seperti Rama-rama atau Labah-labah). Pemerhatian kejadian ini telah menimbulkan tarikan untuk saya melihat serta mengetahui secara lebih dekat. Walaupun mengetahui akan menimbulkan ancaman bahaya kepada diri. Namun kepentingan mengetahui dan melihat  secara teliti akan perincian tabiat perlakuan 5 ekor Tebuan ~Vespa itu menjadi keutamaan. 




Hasil permerhatian dalam jangkamasa lebih kurang 30 minit, adalah seperti berikut:~

Saya perhatikan 2 ekor lalat itu hanya menyedut cecair yang terhasil dari daging bangkai tersebut. Sesekali lalat-lalat itu terbang beralih tempat kerana ditolak oleh Tebuan-tebuan , yang jauh lebih besar daripadanya. Manakala 5 ekor Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp sedang memakan daging bangkai secara lahap. Ia mengetip menggigit dan menyiat bangkai daging, dengan menggunakan set cengkerang taring tajam ( Bukan Dari Jenis Gigi) pada rahang mulut Tebuan. Set cengkerang  taring itu terletak pada bahagian hadapan mulut, ia berbentuk serupa pada bahagian kiri dan kanan mulut. Bentuknya melengkung seperti mata kerambit yang hujungnya runcing tajam. Kedua hujung runcing tajam itu akan bertemu ketika Tebuan itu mengetip membenamkan cengkerang taring ke dalam daging. Kemudian diikuti dengan hal perbuatan menyiat menarik isi daging. Perilaku seperti itu dilakukan dengan leka secara  cepat dan pantas . Kumpulan yang terdiri dari 5 ekor Tebuan itu ralit menggigit dan menyiat daging sehingga menampakkan tulang Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.




Ada suatu ketika, saya melihat   seekor Tebuan   mengangkat dan menterbalikkan 2 batang tulang lengan Sesumpah dengan menggunakan rahang cengkerang. Ia menterbalikkan tulang kerana untuk  menghabiskan sisa daging yang masih tertinggal pada tulang tangan Sesumpah. Pemerhatian ini  memberi bukti yang kukuh dan sah tentang kekuatan ketipan/gigitan. Rahang Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp itu memang cukup kuat dan merbahaya. Berupaya  menyiat permukaan kulit manusia atau haiwan sebelum meninggalkan racun berbisa. 





Perilaku kumpulan Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp sedang memakan daging bangkai adalah tidak sama dengan haiwan pemakan daging yang lain. Tidak sama sepertimana Burung Hereng ~ Aegypiinae ~ Vulture dan Dubuk ~ Hyaenidae ~ Hyena yang lebih suka berebut-rebut, kelihatan tamak dan suka berkelahi. Manakala Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp dilihat lebih bermaufakat dan bekerja sama antara setiap individu. Setiap individu tebuan seolah-olah  telah dibahagi-bahagikan kawasan habuan masing-masing. Walaupun kelihatan lahap memakan daging bangkai tetapi mereka tidak berebut-rebut antara satu dengan yang lain. Dalam tempoh 30 minit, saya mendapati hanya tinggal  40 peratus daging pada anggota badan yang masih ada pada bangkai Sesumpah itu. Selebihnya hanya tinggal tulang belulang yang licin tanpa secebis isi. Setelah lebih kurang 30 minit, satu persatu Tebuan itu terbang meninggalkan bangkai Sesumpah.




Rumusan.

1. Berdasarkan pemerhatian ini saya mendapati Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp mempunyai deria bau yang tajam berupaya mengesan bangkai yang tidak mengeluarkan bau busuk dikawasan berhawa sejuk. 

2. Sepertimana kita sedia maklum dikawasan Hutan Upper Montane Forest dan Elfin Forest adalah 
kawasan sejuk dimana bangkai akan sentiasa segar dan proses nyah secara semulajadi tidak berlaku lantaran ketiadaan ulat untuk memakan daging. Dari hasil pemerhatian ini, maka  spesies Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp telah menjadi salah satu hidupan yang menjalankan tugas sepertimana ulat-ulat yang memakan bangkai dikawasan tanah rendah yang berhawa sederhana panas.




3. Disebabkan  Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp menjadikan dietnya dari jenis  bangkai daging, ini memberi isyarat bahawa spesies ini mungkin mempunyai sistem penawar virus imunenya sendiri. Pada  waktu yang sama juga, tidak menolak  kemungkinan spesies ini berupaya menyebarkan wabak penyakit andaikata ia menyegat haiwan atau manusia.

4. Maklumat ilmu pelajaran Sains Am didalam buku sekolah hendaklah ditambah bagi menyatakan  terdapat sejenis spesies serangga pemakan daging bangkai iaitu Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp. Ia tergolong bersama-sama dengan haiwan pemakan daging bangkai selain Burung Hereng ~ Aegypiinae ~ Vulture dan Dubuk ~ Hyaenidae ~ Hyena.





5. Kita telah ketinggalan jauh kebelakang dengan negara-negara maju kerana tidak tahu menggunakan hasil kajian hidupan semulajadi dinegara kita untuk menghasilkan laba faedah. Negara Amerika dan Italy telah mendahului kita mengkaji spesies Tebuan. Sejak 50 tahun dulu mereka telah mendapatkan faedah daripada hasil kajiannya terhadap Tebuan. 

Contoh:-

i. McDonnell Douglas dengan FA 18 Hornet (Jet Pejuang Tebuan ATM)  dan Piaggio telah merekabentuk motosikal Scooter dengan mengambil  ilham dari bentuk anggota tubuh badan spesies Tebuan~Vespa dengan mengeluarkan motosikal Scooter model Vespa.

ii. Syarikat BioBee dari Israel telah mendapat faedah daripada hasil kajian terhadap spesies Tebuan. Hasil kajian mereka itu telah menjadikan Tebuan sebagai pelindung tanaman dari serangan serangga perosak tanaman tanpa menggunakan racun serangga perosak. Syarikat BioBee Israel mendapat keuntungan USD 24 juta dari hasil penjualan spesies Tebuan kepada negara Afrika Selatan untuk melindungi kawasan tanaman pertanian dari serangga perosak . (Israel Science Info~Israel's ~ BioBee will Ship 160 million Predatory Wasps To South Africa )






6. Pemerhatian kelakuan Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp secara tidak sengaja di Ulu Kali Selangor secara tidak langsung telah mengenalkan saya kepada nama-nama pakar Entomologist seperti Matsuura & Yamane, Stephen.J Martin , Qamar Banu,  K.M Nurul Huda dan  Prof.Yong Hoi-sen. Wasalam.



Rujukan:-

Federation Museum Journal 1981~The Summit Flora of Ulu Kali~Benjamin Stone
Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae)of Malaysia ~ Stephen.J Martin
Beit.Ent.Berlin (39) 1989) Nest Construction of a Malayan Vespa tropica ~ Qamar Banu & K.M Nurul Huda.

No comments:

Post a Comment