Melihat Dan Berfikir Seni & Corak Ciptaan Dari Alam Semulajadi.~Rama-rama(Moths)
Nama Tempatan Spesies : Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ( White 1861)
Family : Brahmaeidae
Segala-gala yang ada di alam ini termasuk hidupan haiwan serta unggas serangga di alam semulajadi adalah dijadikan oleh Allah Si Maha Pencipta. Tegas Si Maha Pencipta itu, setiap kejadian itu pula tidak pernah akan menjadi sia-sia kejadiannya. Entah apa cara dan bagaimana ianya direka cipta olehnya, tidak terfikir oleh akal dan benak fikiran manusia, kerana akal dicipta bersifat terbatas. Walaupun sifat akal terbatas, ini tidak bermakna kita tidak digalakkan berfikir. Malah dianjurkan manusia berfikir sedalam-dalamnya. Tetapi dengan syarat, akuilah dengan penuh yakin, segala yang ada di alam ini ada penciptanya, iaitu Allah. Paling-paling tidak dan lemah, akal fikiran manusia kenalah melihat dan diikuti pula dengan amalan berfikir tentang kehebatan kejadiannya.
Jangan kita kira berapa jumlah speies Rama-rama yang ada di alam ini, kerana tidak terkira jumlah banyaknya. Merujuk kepada https://www.inaturalist.org di negera Malaysia sahaja terdapat 1519 spesies Rama-rama yang sempat dikira. Dari jumlah itu sahaja kita dapat bayangkan kepelbagaian bentuk, corak dan warna. Sudah tentu akan ada kepelbagaian dan kelainan antara satu spesies dengan spesies yang lain.
Disini, saya merujuk kepada spesies Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ( White 1861) yang telah dijumpai oleh sahabat saya Saudara Muhammad Muhir Hj.Daud . Beliau menjumpainya di kawasan pergunungan Ulu Kali Selangor pada 10 Oktober 2018, lalu dikhabarkan kepada saya . Untuk makluman sehingga sekarang 2018, Rama-rama ini belum mempunyai nama tempatan Bahasa Melayu yang merujuk kepada Brahmaea hearseyi ( White 1861). Memandangkan saya ingin menulis ceritanya dalam bahasa Melayu, maka terpaksalah saya mencipta namanya sendiri. Supaya dapat dikenal yang merujuk kepada spesies itu.
Melihatkan keunikan serta seni corak warna kecantikkan spesies Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ( White 1861) ini, membuatkan saya kagum akan kejadiannya. Memandangkan pemikiran saya lemah dan tidak cekap dalam bidang Sains, hanya sekadar orang biasa-biasa sahaja. Maka maafkan lah pada semua soalan dan hujah bermain didalam minda saya, yang bakal dilontarkan nanti.
Rasa-rasanya semua soalan itu telah pun dijawab oleh para saintis, cuma saya saja yang tidak tahu dan tidak mengikut perkembangan semasa dalam bidang ini. Jawapan-jawapan mereka itu, kononnya mereka telah menjawab semua soalan berdasarkan keputusan kajian yang telah mereka lakukan. Mereka menyatakan corak , pigmen dan debu itu terhasil dari DNA secara alami semulajadi. Adalah lebih baik saya tidak membicarakan subjek yang saya sendiri tidak mengetahui hujung pangkalnya.
Soalan saya, apakah hubung kait Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ini kepada alam persekitaran kehidupannya sehingga susunan corak dan warnanya begitu cukup menarik. Dengan kecantikan yang ada padanya, apakah faedah yang Rama-rama sendiri itu dapat untuk dirinya. Apakah dirinya itu sedar bahawa dirinya itu, memiliki tubuh badan serta sayap yang sangat cantik. Sepertimana yang kita maklumi, Rama-rama itu tidak dapat melihat dirinya sendiri kerana tidak melihat kepada cermin.
Dengan itu, maka sepanjang hayat hidupnya dia hanya berterbangan mencari makan tanpa hala tujuan didalam hutan. Seolah-olah hidupnya sia-sia sahaja sepanjang tempoh hayatnya itu. Hidup, mencari makanan, berkeliaran, membiak kemudian menunggu dirinya mati dimakan oleh burung-burung dan haiwan liar. Maka pada ketika itu barulah kejadiannya tidak sia-sia, kerana dirinya telah memberi kenyang kepada makhluk lain untuk terus hidup. Saat itu, habis rosak binasalah segala kecantikan Rama-rama itu, akibat dimakan oleh burung-burung. Maka berlakulah keadaan seperti itu bersilih ganti dan berulang-ulang dari zaman dulu hingga sekarang.
Soalannya apakah faedah Allah menjadikan Rama-rama itu dengan sebegitu cantik? Sedangkan setiap kejadian yang dijadikannya itu tidak akan menjadi sia-sia. Pada hemat saya, inilah salah satu bukti yang menyokong bahawa kejadiannya itu tidak menjadi sia-sia; Katakan sesekali, apabila seorang dua manusia terjumpa dengan Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ini. Kebiasaan, pada mulanya belum tentu manusia itu akan menghargai kecantikan senilukis semulajadi yang ada pada Rama-rama itu.
Kerana mungkin manusia itu memandang sahaja, tetapi dia tidak mengerakkan akal untuk berfikir. Pancaindera hatinya tidak terperanjat dengan seni kecantikan itu lantaran saraf ilmunya tidak hidup atau lemah. Atau kecantikan itu tidak dapat dilihat dengan jelas oleh matanya. kerana saiz Rama-rama itu terlalu kecil atau ia menghidapi masalah buta warna. Lantas pancaindera mereka tidak berupaya menilai keindahan ciptaan Allah.
Jikalau itulah puncanya, maka saya ingin berkongsi dengan khalayak supaya usaha saya ini dapat menghidupkan saraf. Seterusnya menerangkan cahaya saraf ilmu itu, yang dapat menjana kegunaannya pada pancaindera mata. Soalan pada diri sendiri untuk ditanya ; Bagaimana garisan sempadan corak itu terbentuk dengan tersusun pada kiri dan kanan dalam bentuk yang sama. Kemudian ada satu kuasa kepintaran dalam pemilihan warna. Warna-warna menarik itu diwarnakan didalam garisan sempadan bercorak itu.
Ada warna yang seimbang berlapis-lapis secara berjalur dan ada juga yang bersisik-sisik. Warna itu wujud secara kaedah "Resapan Keluar " dari dalam organ badan Rama-rama itu. Apakah warna itu hadir berpunca daripada bahan makanan yang dimakan ? Jikalau ya, bagaimana pula dengan spesies Rama-rama sama, yang berada di kawasan negeri yang lain akan sama juga bentuk dan warnanya.
Atlas Moth~Attacus Atlas |
Cadangan ID Loepa megacore |
Pekara yang lebih mengkagumkan saya ialah, warna-warna yang menarik itu adalah dalam bentuk serbuk debu halus dan ada juga berbentuk bulu-bulu halus. Sebuk debu halus berwarna itu melekat pada keseluruhan anggota badan Rama-rama. Warna-warna debu itu tidak pulak gugur berterbangan ditiup oleh angin, ketika Rama-rama menguak-guakkan sayapnya ketika melakukan penerbangan.
Sedangkan pada kebiasaan sifat debu, ia akan mudah gugur berterbangan sejurus ditiup oleh angin. Seperti ada suatu gam pelekat semulajadi pada seluruh tubuh Rama-rama itu. Dimana ada suatu tahap kekuatan lekatan padanya. Yang mana kekuatan mengepak-gepakkan sayap Rama-rama itu tidak akan menyebabkan debu berwarna itu gugur berterbangan. Lebih pelik lagi, debu warna itu tidak pulak akan cair atau tertanggal larut dibawa air hujan apabila Rama-rama itu kebasahan.
Sementara Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi belum lagi dimakan oleh burung, maka sedar dan yakin sepenuh-penuhnya lah. Kejadian ini semua adalah ciptaan Allah Si Maha Pencipta, yang segala macam Maha. Mana mungkin sesuatu itu tiba-tiba akan terjadi dengan sendirinya. Apakah akal fikiran dapat menerima jikalau saya katakan Jet Pejuang Soviet MIG-31 itu tiba-tiba wujud dengan sendirinya.
Tropikal Swallow Tailed Moth~Lyssa zampa |
Secara mudah, akal dan fikiran akan menolak kenyataan yang tidak masuk oleh akal itu. Akal akan berkata, tentu ada pakar yang merekacipta Jet Pejuang Soviet MIG-31 yang cukup hebat itu. Sudah tentu Pakar itu mempunyai daya ilmuan dan intelektual yang tinggi sahaja, berupaya menjadikan Jet pejuang itu.
Maka pekara yang sama juga dengan semua yang ada di alam semesta ini, yang sama-sama sedang kita lihat dan rasa ini. Ianya telah dijadikan secara sempurna oleh Si Maha Pencipta Allah. Samada ingin bersetuju atau membangkang dengan hujah ini dipersilakan lah. Tidak ada paksaan dan tidak juga ingin mencetus debat. Bebaslah setiap individu merdeka itu untuk kekal dengan pendirian peribadi masing-masing.
Krananda semihyalina |
Apa-apa yang dicipta itu adalah untuk bangsa manusia, itu pun jikalau bangsa manusia itu tahu cara bagaimana hendak menggunakan otaknya untuk berfikir. Berfikir yang boleh menghasilkan sesuatu faedah kepada dirinya atau pun masyarakat. Ini baru satu sahaja spesies Rama-rama. Disini saya sertakan beberapa spesies Rama-rama dengan pelbagai jenis bentuk corak dan warna untuk membuktikan kekayaan, kehebatan kebijaksanaan dan kebesaran Si Maha Pencipta.
Pylartes subcostalis |
Cadangan ID Anisoneura aluco |
Cadangan ID Negeta contrariata |
Spesies : Bee Robber~Acherontia lachesis |
Bee Robber~Acherontia lachesis |
Dimanakah agaknya diletakkan akal fikiran manusia yang bersifat tidak puas-puas menjadi agen pemusnah. Menjadi pemusnah secara berulang-ulang kali kepada semua ciptaan Allah di alam semulajadi dalam tanahair kita. Didalam tempurung lutut kaki kah? Didalam buku lali kah, atau didalam kantung najisnya kah? Atau apakah mereka itu semua tahu, bagaimana cara menggunakan otak mereka untuk berfikir?
Bee Robber~Acherontia lachesis |
Akhir kalam, kalau memang kita tidak dapat melawan kekuatan orang-orang seperti yang dinyatakan itu, apa lagi yang kita boleh lakukan. Kita mendiamkan diri saja lah secara senyap-senyap, sambil hadirkan perasaan cinta kasih untuk menyayangi saki baki alam sekitar di tanahair kita. Sebelum tanahair yang cukup istimewa cantik ini punah dan pupus, sedikit demi sedikit tanpa kita sedar. Percayalah. Wao allah u'alam bissa waab. Wasalam.
No comments:
Post a Comment