Spesies Apa Burung Misteri Ini ?
Memburung dengan menaiki motosikal beratus kilometer dalam cuaca yang tidak menentu. Keadaan cuaca di Kuala Lumpur nampak cerah tetapi setibanya di Malim Nawar Perak,hujan turun dengan lebat secara bersiri. Hujan berhenti dan hujan, kemudian berhenti dan hujan lagi. Walaupun keadaan cuaca tidak menentu saya telah berjumpa spesies burung yang saya sendiri tidak mengetahui akan spesiesnya. Warna buluhiasnya yang sangat berlainan daripada burung-burung dari spesies Belekok dan Pucong yang pernah saya lihat di Malaysia.
Warna buluhias yang agak ganjil itu membuatkan saya teruja untuk merakam sebanyak imej dan aksinya, mana yang dapat. Namun itu semua tidak dapat dilakukan dengan senang, kerana waktu menjumpai burung ini cuaca tidak mengizinkan. Hujan turun sangat lebat dan pada ketika itu, saya tidak ada tempat berteduh. Hanya sempat mencuri-curi merakam dalam hujan, mujur kamera saya tidak terjejas oleh terkena basah air hujan.
Dibawah ini saya mencadangkan beberapa kebarangkalian spesis yang boleh dikaitkan dengan Burung Belekok misteri itu :-
1. Belekok Kecil~Egretta garzetta
Ciri-ciri persamaan Belekok Misteri yang dapat dikaitkan dengan Belekok Kecil ~ Egretta garzetta adalah pada kulit diantara pangkal paruh dengan mata yang berwarna merah jambu. Mempunyai sepasang keting kaki berwarna hitam dan jari kaki berwarna kuning. Mempunyai buluhias tocang berjurai dibelakang kepala burung. Walaupun 3 ciri itu dapat dikaitkan pada burung Belekok Misteri, namun saiz tubuh badan dilihat lebih besar daripada Belekok Kecil~Egretta garzetta.
2.Belekok Cina ~Egretta eulopholes
Ciri-ciri persamaan Belekok Misteri yang dapat dikaitkan dengan Belekok Cina ~Egretta eulopholes adalah mempunyai persamaan saiz dengan burung Belekok Misteri itu. Keting kaki dan jari kaki berwarna kuning. Tetapi kulit diantara pangkal paruh dengan mata adalah tidak sama dengan Belekok
Cina yang mempunyai warna kebiru-biruan. Malah dibelakang kepala burung Belekok Cina ~Egretta eulopholes tidak ada bulu tocang berjurai dibelakang kepalanya.
3. Belekok Karang Pasifik~ Egretta sacra
Ada beberapa ciri-ciri persamaan dengan burung Belekok Misteri ini. Ciri yang paling hampir sekali adalah pada warna buluhiasnya yang berwarna kelabu. Dimana hampir keseluruhan buluhiasnya berwarna kelabu cuma sesetengah dibahagian muka burung berwarna putih. Saiz bentuk badannya yang hampir sama dengan burung misteri itu. Namun begitu warna paruh dan keting kaki Belekok Karang Pasifik~ Egretta sacra tidak sama dengan burung misteri itu. Burung Misteri itu mempunyai sepasang keting kaki berwarna hitam dan jari kaki berwarna kuning.Tambahan pula tidak ada bulu tocang berjurai dibelakang kepalanya.
4. Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae
Jikalau Burung misteri ini berada didalam kumpulan burung Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae pemerhati & pemburung yang berpengalaman pasti akan menyangka bahawa burung misteri ini adalah spesies Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae. Kerana ciri-ciri yang ada pada burung misteri ini mirip kepada Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae. Namun begitu jikalau membuat penelitian secara terperinci, akan terdapat beberapa ciri-ciri yang mungkin menafikan burung misteri ini adalah bukan dari spesies Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae. Burung misteri itu mempunyai sepasang keting kaki berwarna hitam sedangkan Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae mempunyai keting kaki berwarna hijau kekuning-kuningan. Warna kulit diantara pangkal paruh dengan mata adalah berwarna kehitaman. 2 perbezaan penting ciri-ciri tersebut adalah milik burung Belekok Kecil~Egretta garzetta.
Nota: Taburan spesies ini adalah disekitar negara Australia, New Zealand , Indonesia dan New Guinea
5. Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra & Belekok Kecil~Egretta garzetta mengalami gangguan pigmentasi DNA.
Tidak menolak barangkali burung misteri ini adalah dari spesies Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra atau Belekok Kecil~Egretta garzetta yang mengalami gangguan pigmentasi DNA. Dengan hal keadaan itu telah mengakibatkan warna buluhiasnya berubah sama seperti buluhias burung misteri itu.
6.Hybrid antara Belekok Kecil~Egretta garzetta dengan Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra
Memandangkan Belekok Kecil~Egretta garzetta dan Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra boleh bertemu di Semenanjung Malaysia maka kita tidak boleh menolak persenyawaan antara dua spesies ini telah berlaku. Memandangkan ciri-ciri kedua-dua spesies itu ada terdapat pada burung misteri tersebut.
Atau untuk merungkai jawapan tepat tentang status burung misteri ini, kita boleh mengambil contoh buluhias pelepah yang tercabut. Atau menangkapnya, kemudian mencabut sedikit buluhias untuk dijadikan contoh pemeriksaan DNA. Hasil keputusanan pemeriksaan DNA itu nanti, besar kemungkinan akan memperoleh jawapan tepat akan status spesis burung misteri itu. Boleh jadi jawapannya, ia adalah spesies burung baharu. Wasalam.
No comments:
Post a Comment