Monday, 4 March 2019

Berbincang Dan Bertanya Soalan Kepada Ustaz Abdul Somad Lc M.A...



Berbincang Dan Bertanya Soalan Kepada Ustaz Abdul Somad Lc.MA




Ini era tahun 2019, dimana zaman semua orang boleh menerima siaran Youtube. Siapa yang tidak mengenali Ustaz Abdul Samad.? Pada hemat peribadi saya  rata-rata segenap pelusuk Nusantara  Melayu samada dari Negara Brunei, Singapura, Malaysia apatah lagi di tanahairnya sendiri Republik Indonesia. Sudah pasti akan mengenali beliau. Pada 11 Februari 2019 beliau telah dijemput datang berdakwah dibeberapa lokasi di sekitar Lembah Klang , Kuala Lumpur dan Negeri Kelantan. Kedatangannya telah dimuliakan oleh pentadbiran Kerajaan Malaysia. Diberi layanan yang selayaknya sebagai seorang Ulama ilmuan dan cendikiawan.  Kalau dulu dizaman 1970an , adalah zaman Ulama tersohor Republik Indonesia,  Prof.Dr.Haji Abdul Malik Bin Dr.Sheikh Haji Abdul Karim Amrullah @ Hamka mendapat tempat dihati rakyat Malaysia. Kini tempat itu diganti pula oleh Ustaz Abdul Somad Lc.M.A pula. Beliau telah mengambil alih kekosongan lubuk hati yang lama ditinggalkan oleh Hamka. Dengan izin limpah dan rahmat Allah,  Ustaz Abdul Somad Lc.MA berjaya mengisi cahaya ilmu kedalam sanubari kebanyakkan hati orang-orang Melayu dan masyarakat Islam. Katakan, beliau bertanding dalam pemilihan menjadi Gabenor atau President Republik Indonesia peluangnya mendapat kemenangan sangat besar. Kalau ia menjadi kenyataan maka gemilang lah syariat Islam di bumi Republik Indonesia.





Arwah Abah pernah menceritakan yang beliau pernah menjadi pemandu kepada Prof. Hamka semasa dia datang ke Malaysia. Undangan Kerajaan Malaysia kepada Prof.Hamka untuk menyebarkan kefahaman ilmu ugama Islam kepada rakyat Malaysia pada ketika itu. Bertugas sebagai seorang pemandu di Jabatan Penerangan Malaysia telah dapat membanggakan hatinya sendiri kerana diberi peluang berkhidmat kepada Ulama tersohor, walaupun tempohnya sekejap. Arwah Abah dapat berjumpa dan melihat dengan mata kepala seorang ilmuan istimewa disisi ugama pada masa itu.Saya juga tidak mahu kalah dengan Arwah Abah, ingin juga melihat ilmuan istimewa disisi ugama  dalam kontek pada zaman sekarang. Dapat melihat dan dapat mendengar apa yang disampaikannya secara didepan mata kepala . Saya fikir, itu dikira lebih kurang sama dengan pengalaman istimewa Arwah Abah saya.




Pada waktu yang sama dari sudut seni fotografi, ilmu dan jiwa saya telah tercabar . Cabaran itu dirasakan  apabila  setiap kali Konsert Heavy Metal yang saya pergi untuk berhibur, wajib saya akan menyeludup masuk kamera bertujuan untuk membuat rakaman. Samada kumpulan Napalm Death, Death Angel, Kreator, Destruction, Metallica, Megadeth dan Helloween. Semuanya berhasil sepertimana dengan apa yang telah diniatkan. Tiba-tiba ilmuan agama seperti Ustaz Abdul Somad  datang ke Malaysia yang lokasi berdakwahnya tidak jauh dari rumah.  Hanya disekitar Kuala Lumpur sahaja, jika tidak diambil peluang seperti ini, nampak sangat saya  kurang berakal . Mendengar ilmu secara percuma, yang tidak perlu saya mengeluarkan wang untuk membeli tiket masuk. Malah tiada sebarang larangan pada kamera untuk  di bawa masuk ke dalam Masjid. Disitu saya mendapat kebebasan yang mutlak untuk mencari sudut-sudut rakaman yang istimewa. Jika tidak dilakukan terasa seperti saya ini kufur nikmat.




Bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 9:00 pagi ramai orang telah berpusu-pusu masuk memenuhi ruang solat Masjid. Walaupun pada ketika itu merupakan hari bekerja. Tidak kira kanak-kanak, orang muda , tua, lelaki dan wanita dari segenap lapisan masyarakat Islam. Ruang tempat letak kenderaan sesak dengan pelbagai jenis kenderaan mewah dan sederhana. Didalam Masjid jemaah teruja menunggu ketibaan pendawah Ustaz Abdul Somad. Dua  , tiga buah bas rombongan yang membawa warga Republik Indonesia juga turut hadir. Mereka semua berkesanggupan melapangkan masa untuk datang   melihat dan mendengar ilmu yang akan disampaikan oleh ulama tersohor nusantara itu.





Jam 9:30 pagi Ustaz Abdul Somad tiba dan dipersilakan duduk ditempat yang telah disediakan oleh penganjur. Setelah ucapan taklimat dan doa, beliau memulakan ceramah agamanya.Pada ketika itu ruang solat sudah padat dan penuh dengan jemaah. Mereka semua khusyuk mendengar nasihat-nasihat daripada Ustaz Abdul Somad. Lepas satu tajuk, ke satu tajuk yang lain untuk tempoh lebih kurang hampir 3 jam.  Sedang jemaah lain khusyuk mendengar ,  saya pula sibuk dengan khusyuk merakam imej ulama dari pelbagai sudut. Saya leka mencari sudut-sudut bagi mendapatkan koleksi rakaman yang difikirkan dari sudut yang  terbaik. Dalam diam tidak diam, jam sudah hampir pukul 12:00 tengahari. Memang sungguh cepat masa berlalu pergi. Sehingga saya terlepas merebut peluang membuat beberapa pertanyaan yang sulit dan bersifat peribadi kepada ulama tersohor itu.





Disebabkan terlepas peluang dalam sesi bertanya itu, maka didalam ruang ini, diharap Allah akan melorongkan Ustaz Abdul Somad  membaca soalan  yang berkait-kait  ini. Mohonlah Ustaz Abdul Somad baca dan fahamkan lah dari pelbagai sudut akan soalan saya itu. Kemudian bertenang, berehat sebentar untuk memberi masa berfikir. Selepas semuanya tenang silalah jawab dengan terang lagi jelas, supaya  jawapan yang sejujur-jujurnya itu akan dipatuhi. Supaya saya dan masyarakat dapat mengikut kehendak Al Quran, Tauhid, Hadis, Tasawuf, Fekah, dan Qiyas.  Harap maklum semua soalan adalah ditujukan khas hanya kepada Ustaz Abdul Somad, bukan kepada khalayak. Andaikata khalayak terbaca soalan saya,  diharap ia tidak mengundang kebencian, kecaman, ajukkan dan sindiran. Lebih-lebih lagi daripada sahabat-sahabat yang mungkin akan berkecil hati atau terluka hatinya. Hendaknya jikalau tidak bersetuju nanti, janganlah dijadikan saya musuh atau cuba menjauhkan diri dari saya. Saya cuma buat pertanyaan sahaja, itu pun bertanya kepada Ustaz Abdul Somad.



Sebelum diajukan soalan, ada baiknya saya maklumkan pada Ustaz Abdul Somad  terlebih dulu ceritanya dari awal. Supaya Ustaz Abdul Somad akan lebih mendapat kefahaman dengan jelas. Arakian bermula, setiap mukalaf yang merdeka itu, mempunyai hak  kebebasan mutlak untuk melakukan apa-apa sahaja keputusan dan perbuatan didalam rumahnya sendiri. Tindakan dan perbuatan itu semua dilakukan dengan mengunakan kudrat sendiri, belanja wangnya sendiri. Tanpa meminta-minta bantuan daripada jirannya atau pun orang lain. Semua itu adalah hak kebebasan yang harus semua orang hormat.





Dikisahkan, ada seorang Warga emas yang sudah lama tidak berteman, tinggal sendirian disebuah rumah bungalow diatas tapak tanahnya seluas 1 ekar. Disekeliling rumahnya itu tidak ada sebuah rumah orang lain didirikan. Dipendekkan cerita, dia ada terbaca beberapa  Hadis Nabi sahih yang  berbunyi "Sesungguhnya Kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu. Dan hadis dari Abu Hurairah , "Sesungguhnya Rasullullah S.a.w bersabda " Kucing tidak memutuskan kekusyukkan solat, kerana ianya adalah daripada  perhiasan rumah".




Dengan berpegang dengan hadis itu, sementelah tidak ada orang lain yang sudi menemankannya sepanjang hayat.  Maka beliau telah  mengambil keputusan untuk membeli seekor anak kucing . Sebagai imbangan menahan rasa kesunyian tatkala mengharungi kehidupan sepi, seharian  sepanjang masa.  Dengan adanya Kucing  ,  beban menanggung kesepian itu tidak terasa sangat, kerana ada ditemankan binatang peliharaan. Disebabkan tiada manusia disekelilingnya untuk diletakkan perasaan kesayangan, maka ditumpahkan perasaan kesayangan dalam hatinya kepada  binatang peliharaannya itu. Sebelum tertumpah kesayangan kepada binatang peliharaan beliau telah mengiktiraf kucing itu sebagai sebahagian ahli keluarganya sendiri.





Demi sayangkan kucingnya itu, maka disediakannya lah semua keperluan asas kucing. Ditempahnya Rumah Kandang Kucing yang luas dan selesa, Raga Kurungan mudah alih untuk mudah dibawa ke klinik, Sekampit makanan kucing Jenama Green seberat 8 Kg dengan harga RM 132:00. Sekampit Pasir Najis Kucing berharga RM13:00 dengan  bekas  berak kencing  kucing berharga RM 15:00, sebotol Shampoo mandian kucing berharga RM 16:00. Itulah nilai wang belanja yang dikeluarkan kepada binatang peliharaannya pada setiap kali bekalan dan keperluan itu habis.




Dibawah penjagaan Warga Emas sepi ini, maka hiduplah kucing itu dalam suasana yang senang lenang seperti Raja . Hendak berlari melompat naik ke atas meja makan, silakan lah... Hendak duduk melengkau tidur di atas sofa , tidur lah... Hendak mengasah kuku di atas permukaan fabrik kulit sofa atau di atas tempat duduk motosikal, buat la... Tuannya itu, langsung tidak dikisahkanya. Kucing peliharaannya mendapat kebebasan yang mutlak di dalam rumah. Kebebasan yang tidak pernah dirasai oleh kebanyakan manusia. Bila perut lapar tidak perlu bersusah-susah untuk pergi memburu mencari makanan. Gigi taring dan kuku melengkung tajam yang disediakan oleh Tuhan seolah-olah sia-sia kejadiannya. Kucingnya itu hanya cuma perlu mengeluarkan suara merenggek mengiyaw - ngiyaw atau menggelesir pada betis kaki tuannya. Sejurus itu juga tuannya itu tergolot-golot menyediakan  makanan yang enak berkhasiat dan mahal. Katakan kalau pada ketika itu ada manusia melihatkan  hal keadaan  kucing itu sedang makan dengan lahap sehingga kenyang, timbul perasaan cemburunya.



Kemudian diberikan minum air susu lembu supaya sihat tubuh badan kucing itu. Bila hendak terberak.... disediakan pula bekas pasir untuk berak dan kencing. Bila bekas berak dan kencingnya penuh, tanpa merungut dibuangkan tahi ke dalam lubang tanah dan dikambus. Seminggu dua tiga kali akan dimandikan dan di shampoo bulu kucingnya itu. Dijaga kucing itu sehingga kucingnya  langsung tidak menjejakkan kaki di atas  tanah. Setiap bulan dibawanya pula ke Klinik Veteriana untuk dibuat pemeriksaan berkala. Bertujuan memastikan tahap kesihatan kucingnya itu sentiasa berada dalam keadaan memuaskan. Walaupun yuran pemeriksaan berkala yang dikenakan itu mahal. Walaupun mahal, apa hendak digaduhkan, tuan kucing masih mempunyai wang yang banyak untuk dibazirkan bagi keperluan kucingnya itu. Demi melengkapkan kasih sayang terhadap kucingnya, maka diambilnya insuran TAILS (Pets Insuran).



Tidak ada langsung sekelumit dalam hati tuannya itu mengeluh kesah. Dilakunya  penuh dengan kasih dan sayang. Kerana tuan kepada kucing beranggapan, segala derita kesepian yang ditanggungnya telah terubat. Dapatlah dia meneruskan kehidupan dengan aman gembira sepertimana yang telah diniat dan diangan-angankannya.  Dengan niat yang baik dan bersangka baik, Tuan Kucing ingin berkongsi rasa, maka semua kisah kucingnya yang gebu, comel, mengeramkan, keletah nakal telah dimuat naik di dalam halaman Facebook dan Instragram. Setelah beberapa ketika, ada lah sesetengah orang telah mula terikut-ikut untuk  melakukan pekara yang sama. Iaitu menikmati pengalaman menyenangkan hati bersama kucing peliharaan yang disayangi. Hiduplah Tuan Kucing bersama kucingnya itu aman bahagia selagi ada nyawa dikandung badan.




Dikisahkan ditempat lain pula, ada sebuah keluarga harmoni yang terdiri daripada seorang Bapa, Ibu dan sepasang anak lelaki dan perempuan. Si anak lelakinya berusia 7 tahun dan anak perempuannya pula berusia 14 tahun. Mereka tinggal di tingkat 2 disebuah pangsapuri  4 tingkat. Kelengkapan perabutnya dihias dengan kemas dan cantik. Sejak mereka belum berumahtangga lagi masing-masing  sudah memelihara kucing.



Selepas berumahtangga dan mempunyai anak mereka tetap meneruskan hobi kegemaran memelihara kucing. Anak-anaknya juga terikut-ikut, sangat sayang kepada kucing-kucing peliharaannya. Mereka memelihara 3 ekor kucing yang comel dan cantik. Keluarga ini sudah tahu tentang hadis berkenaan kucing sejak muda lagi. Ekoran dari itu,mereka sekeluarga mempunyai keyakinan yang tinggi tentang kebaikkan memelihara kucing. Andaikata mereka ternampak kucing-kucing ditepi jalan, secara semulajadi dalam dirinya akan berniat untuk memberi makan. Mereka tidak lokek mengeluarkan wang untuk membeli makanan kucing berpeket-peket di kedai. Kemudian ditaburkan makanan kucing diatas lantai sebagai jamuan kepada kucing-kucing jalanan. Meresap satu perasaan seronok melakukan kebaikan yang dirasakan didalam hati mereka.




Sudah menjadi kemestian kepada keluarga yang memelihara kucing akan menyediakan semua keperluan asas kucing. Samada Rumah kandang Kucing yang selesa, Raga Kurungan Mudah alih , sekampit dua makanan Kucing Jenama Green berat 8Kg. Sekampit Pasir Najis Kucing dengan 3 bekas Najis Pasir Kucing. Sebotol mandian Shampoo untuk penjagaan kesihatan bulu kucing . Tetapi bagi keluarga ini mereka membelanjakan lebih banyak wang kerana mereka mempunyai 3 ekor kucing yang comel dan cantik. Dengan memelihara 3 ekor kucing maka bertambahlah modal ringgit yang harus disediakan pada setiap bulan oleh keluarga ini. 




Cara penjagaan kucing yang diamalkan oleh keluarga ini, ialah dengan melepaskan semua 3 ekor kucingnya. Di biarkan bebas keluar masuk ke dalam rumah. Dengan adanya jerigi pintu keselamatan, maka sepanjang masa dibukanya sedikit daun pintu utama untuk kemudahan keluar masuk kucing-kucingnya.  Setiap hari samada pagi, petang, siang dan malam memang disediakan oleh Tuannya 3 mangkuk  penuh dengan makanan. Disediakan juga 3 bekas penuh dengan longgokan pasir najis untuk berak dan kencing kucing-kucingnya. Bekas itu diletakkan bersusun di ruang balkoni pangsapuri mereka. 




Ketika mana  kucingnya itu berada di dalam rumah hendak kencing dan berak , secara terdidik kucing pandai pergi masuk ke dalam bekas najis masing-masing. Kucing mengais-gais pasir didalam bekas untuk berak dan kencing. Selesai berak dan kencing kucing-kucingnya akan masuk kembali ke dalam rumah. Samada ia terus  duduk diatas sofa, melompat naik diatas meja makan atau berehat diatas hamparan permaidani. Kadang-kadang anak tuannya mendakap  memeluk-meluk kucing untuk dibuat bermain, kemudian dikeleknya kucing naik diatas katil.




Ada juga mereka berlari-lari bermain-main kejar-kejar diruang tamu . Kerana terlalu sayang pada kucingnya ahli keluarga itu rajin menukar pasir najis di dalam bekas berak kencing Kucing. Setiap hari paling kurang sekali akan ditukarkan pasir najis itu. Pasir najis kucingnya itu dibuang dikawasan lapang berhampiran dengan rumah sampah. Maka bertimbunlah pasir bersama najis-najis kucing dengan bau busuk disekitar kawasan rumah sampah itu. 




Jiran-jiran yang biasa membuang sampah akan dapat melihat berlonggok pasir bercampur dengan tahi kucing yang berbau busuk. Mana-mana orang yang tidak biasa datang membuang sampah pada waktu malam, jika nasibnya tidak baik akan terpijak tahi kucing yang bersepah itu.  Pada ketika kucing-kucingnya berkeliaran  diluar, aktiviti kebiasaan kucingnya ialah memburu. Ia memang  cekap memburu hidupan kecil dikawasan sekitar dan selalu dilihat menangkap hasil buruan seperti tikus, burung dan tupai.





Hasil buruan bukannya dimakan tetapi dilambong-lambong dan dibuat mainan. Selepas kucing itu puas bermain bangkai, dibiarkan sahaja bangkai itu bersepah dimerata tempat awam. Ada dibiarkan dipetak letak kereta, anak tangga dan depan pintu jiran. Sering kali kucingnya itu berak dan muntah diatas tangga dan terbiar berjam-jam sehingga kering dikawasan laluan awam. Semua kawasan tangga berbau tahi kucing. Pemilik motosikal hanya berupaya marah dalam senyap bila tempat duduk motosikalnya dijadikan tempat mengasah kuku dan mengeliat . Habis bocor kulit P.V.C tempat duduk motosikal dikerjakan oleh kuku kucing-kucing yang tajam. Sudahlah tempat duduk motosikal habis menjadi tebuk bocor, selalu juga tercalit dengan saki baki berak dan kencing kucing yang masih terlekat ditempat keluar tahi, apabila kucing duduk di atas motosikal.





Bau haring hancing najis kencing kucing melekat kekal pada motosikal dan kereta. Pernah satu kejadian pemilik motosikal yang hendak ke Masjid terduduk saki baki tahi dan air kencing. Terpaksalah  bergegas patah balik dari masjid kerana hendak menukar kainnya. Bila musim mengawan bunyi bising kucing berkelahi dan mengiyeow-giyeow , lebih-lebih lagi pada waktu malam. Bunyi suara menggaruk  kucing itu mengganggu lena tidur anak-anak dan jirannya  yang sedang berehat tidur.




Disebabkan 3 bekas najis kucing diletakkan di kawasan balkoni, maka hawa dan bau najis kucing yang busuk lagi meloyakan itu merebak masuk ke ruang balkoni jirannya. Angin bertiup membawa bau busuk najis tahi kucing masuk ke ruang tamu dan dapur rumah jiran. Sehingga jiran disebelahnya ingin  menjamu selera makan tengahari atau malam terbantut dan hilang selera makannya. Jiran yang tinggal di kiri, kanan, atas dan bawah hanya menanggung derita didalam senyap. Disembunyikan kemarahannya sahaja kerana tidak kuasa berkelahi sesama jiran tetangga. Pakaian jiran yang tinggal di bawah kediaman pemilik kucing yang disidai dibalkoni, terkena tempias percikan basuhan air bekas najis kucing. Himpunan gangguan kacau ganggu secara tetap yang dicipta oleh keluarga ini tidak langsung dipertimbangkan dengan akal budinya. Apakah mungkin disebabkan pancaindera deria baunya telah lumpuh, langsung tidak terkesan lagi dengan bau busuk najis tahi kucing yang menyegat dan meloyakan itu.?





Setelah Ustaz Abdul Somad membaca hal keadaan yang telah berlaku sepertimana yang diceritakan diatas. Bermula disini saya dengan rendah hati ingin bertanya beberapa soalan. Soalannya berbunyi," Apakah benar Nabi Muhammad S.A.W juga menyayangi kucing sehingga tahap Baginda membenarkan semua hal keadaan yang diceritakan itu berlaku didalam kehidupannya semasa hayatnya." ? Katakanlah Ustaz Abdul Somad memberi jawapannya ialah "Ya", tidakkah perilaku seperti itu telah jelas sekali berlawanan dengan sifat dan perilaku Baginda yang "Bersih lagi mensucikan" sepertimana kehendak Allah.  




Maka tidak kah sifat pengotor itu adalah sifat mustahil kepada Nabi Muhammad S.A.W?  Tidakkah sifatnya yang bersih suci itu telah terang dan jelas dicatitkan dalam pelajaran Ilmu Tauhid.  Apakah Nabi Muhammad S.A.W tidak tahu syarat-syarat sah mensucikan najis setiap kali Baginda melaksanakan amalan ibadat ?  Tidakkah 3 perkara utama, iaitu hilang warna, hilang rasa dan hilang bau yang dituntut. Katakan salah satu syarat yang tidak terlaksana maka terbatallah semuanya. Lagi pula bukankah Nabi Muhammad S.A.W itu gemar kepada wangi-wangian ? Mana mungkin  Baginda Rasullulah boleh gemar berada di dalam suasana kawasan  yang berbau busuk hancing yang terhasil dari zat-zat najis  tahi dan kencing kucing. 





Ustaz Abdul Somad, soalan kedua berbunyi," Apakah Allah jadikan martabat seekor binatang iaitu kucing, lebih mulia dan tinggi daripada martabat seorang manusia ?  Sebagai misalan, seorang manusia yang pergi melangsaikan qadar hajatnya di dalam tandas,tetapi tidak membasuh dan mensucikan tempat keluar najis tahinya dengan air. Perbuatan sama sepertimana seekor haiwan kucing yang tidak membasuh najisnya. Apakah boleh pertimbangan akal orang awam yang sihat akan sebulat suara menerima hal keadaan manusia seperti yang dinyatakan itu. Setidak-tidaknya mengesat sehingga kering. Tentu sekalinya tidak ! Maka jikalau begitu mengapa sipembela kucing boleh berlapang hati dan dada menerima keadaan haiwan kucing belaannya berbuat begitu, tetapi tidak kepada manusia seperti dirinya. Apakah tahi kucing itu tidak sampai kepada tahap najis tetapi tahi manusia itu jatuh kepada tahap  najis ?




Ustaz Abdul Somad, "Apakata,  kalau kita dijemput masuk ke dalam rumah sipembela kucing itu dengan tidak menanggalkan sepatu, sedang dia nampak  kita  baru sahaja memijak-mijak tanah dan lecak hujan?  Apakah agaknya tindak balas yang kita terima hasil daripada perbuatan itu, Tentulah sekali akan membawa kepada permusuhan sehingga berlaku pergaduhan. Sedangkan kucing-kucingnya keluar masuk ke dalam rumah tanpa dibasuh tapak kakinya. Selagi  permukaan tanah yang ada, habis semuanya dipijak oleh kucing. Di dalam longkang, mengais-gais pasir berak tahi kucing, masuk ke dalam tong sampah dan membongkah plastik sampah. Ustaz Abdul Somad, "Saya mohon diperjelaskan pekara ini.  




Ustaz Abdul Somad, "Sebagai seorang yang beragama Islam tidak dapat tidak, jauh disudut lubuk hati terkadang-kadang dalam otak tertanya-tanya hal keadaan rumah mereka. Dimana agaknya mereka sekeluarga melunaskan tanggung jawabnya sepertimana yang kehendaki oleh Nabi Muhammad S.A.W.? Kediaman yang dihias dengan hiasan dalaman menarik dan kemas. Berserta perabut-perabut cantik yang mahal, tetapi pengudaraan berbau busuk sama seperti kandang haiwan di dalam Zoo. Padat dan penuh dengan zat-zat bau najis yang terhasil dari najis tahi kucing. 




Ustaz Abdul Somad, "Apakah boleh ditafsirkan orang ini telah dijangkiti oleh satu wabak penyakit tetapi orang yang dijangkiti itu, tidak sedar bahawa dia sedang menghidap penyakit tersebut? Penyakit pancaindera deria hidung mereka telah lumpuh dan sudah tidak berfungsi untuk mengesan bau busuk tahi kucing dan hancing pering kencing kucing. Maka disebabkan dia terkena wabak berpenyakit itu, maka segala hal perbuatannya terhadap jiran tetangganya dimaafkan oleh Allah? Atau segala perilaku perbuatan kucing belaannya yang telah mengganggu jiran tetangga tidak boleh disabitkan sebagai satu kesalahan dosa. Ustaz Abdul Somad," Saya mohon penjelasan dan jawapan kepada  pekara ini.






Ustaz Abdul Somad, Apakah mereka ini telah tertutup hijabnya untuk menilai "Keutamaan Hidup Terhadap Sesama Manusia" (Priority) ? Rezeki yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka telah  dibelanjakan untuk keperluan binatang melebihi daripada keperluan manusia.  Misalnya 5 kilo beras jenis terbaik untuk makanan manusia berharga sekitar RM 50:00. Sedangkan makanan binatang seberat 8 Kilogram bernilai RM 132.00. Ustaz Abdul Somad," Tidakkah tindakan itu telah mengutamakan dan melebihkan binatang daripada manusia? Masih ramai lagi manusia dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Dimana mereka terpaksa menjatuhkan maruah harga diri  dengan menahan aib malu sehingga terpaksa meminta-minta dan kadang-kadang mencuri.





Ustaz Abdul Somad, "Lebih musykil lagi sipembela kucing boleh berlapang dada dan menjadikan rutin harian membersih, membasuh dan membuang tahi kucing-kucingnya. Tetapi mereka berkata-kata merungut didalam hati apabila mereka terpaksa memandikan ibubapa yang tua dan sakit. Bertambah lagi berat hatinya jikalau disuruh membasuh tahi dan kencing ibubapa mereka sendiri. Kadang-kadang mencari helah melarikan diri daripada melakukan itu semua. Kesanggupan untuk bekorban demi binatang adalah lebih besar daripada kesanggupan manusia bekorban sesama manusia. Jikalau lah begitu keadaannya, apakah boleh diperbetulkan acuan pemikiran orang seperti ini? Supaya orang-orang seperti yang dinyatakan itu memberi keutamaan kepada manusia yang ada disekelilingnya terlebih dahulu daripada mengutamakan binatang. 



Ustaz Abdul Somad, "Apakah fikiran mereka telah dijajah dan terbelenggu oleh momokkan Syarikat Gergasi Penyediakan makanan kucing? Bertambah kesayangannya kepada kucing, maka bertambah lagi banyak mereka menghabiskan wang untuk keperluan binatang itu. Dengan, hal yang demikian suka sesangatlah dengan keadaan sebegitu dan bertambah-tambah mencanak geraf keuntungan perniagaan Syarikat Gergasi Penyediaan Makanan & Keperluan Binatang itu. Lebih ramai manusia membela kucing lebih banyak keuntungan mereka kaut. 



Ustaz Abdul Somad, "apakah kumpulan manusia ini, dalam mereka tidak sedar telah menjadi hamba abdi kepada kucing-kucing peliharaan mereka sendiri? Ustaz Abdul Somad,"Apakah Syarikat Penyediaan Makanan & Keperluan Binatang menjadikan spesies kucing-kucing sebagai helah stratigi mereka untuk mudah mengaut keuntungan secara tetap dan  bertali arus. Tentulah ramai manusia bingung, merasa terpinggir termakan hati secara senyap dan sembunyi.




Ustaz Abdul Somad," apakah yang menyebabkan sipembela kucing tidak dapat membuat conggak ilmu hisab yang mudah ? Dengan nilai perbelanjaan membeli makanan kucing yang mahal itu, apakata jikalau dibelikan terigu, dedak, pelet untuk binatang ayam itek kambing dan lembu tentu akan nampak hasil manafaatnya kepada manusia. Ustaz Abdul Somad," adakah perbuatan itu jatuh kepada perbuatan pembaziran ? Kalau tidak silap perbuatan yang membazir itu adalah sahabat kepada syaitan? Mohon perbetulkan jikalau saya salah.




Ustaz Abdul Somad," kita semua faham untuk melarang hobi kegemaran seseorang adalah sulit dan sensitif. Pasti akan menimbulkan bangkangan , kecaman dan kemarahan daripada mereka. Namun ini persoalan penting dan permasalah yang sulit ini telah dicipta oleh si Pembela Kucing sendiri. Ia telah memberi permasalahan dan kacau ganggu kepada khalayak umum. Walaupun kita telah beberapa kali dengan cermat menyusun ayat, memberitahu secara sopan santun dengan suara lemah lembut. Namun tidak diendahkan semua nasihat yang disampaikan sebaik itu.






Ustaz Abdul Somad, "Bukan semua orang boleh bersabar dan menutup sebelah mata akan permasalahan ini. Tingkatan sabar dan kemarahan setiap manusia adalah bertingkat-tingkat. Ada beberapa perkhabaran di dalam akhbar tentang jenayah kezaliman terhadap kucing oleh manusia ada disiarkan.  Banyak juga kezaliman terhadap kucing yang tidak disiarkan tetapi sering sahaja berlaku. Semua kejadian kezaliman yang diketahui dan tidak diketahui itu berlaku ekoran daripada kemarahan yang tidak dapat dibendung oleh sipelaku kezaliman. Kebencian dan kemarahan dilepaskan dengan zalim kepada kucing-kucing yang tidak berdosa. Ini adalah satu dosa yang tidak sepatutnya berlaku. Kasihani lah kucing kerana kucing juga adalah makhluk ciptaan Allah. Janganlah lagi  menzalimi kucing.



Ustaz Abdul Somad,  mohon melapangkan masa untuk memberi pencerahan. dengan semua jawapan kepada soalan-soalan diatas dengan sejelas-jelasnya. Hendaknya dengan sinar cahaya ilmu yang dianugerahkan oleh Allah, dapatlah kiranya bersinar lembut meresap didalam hati sehingga menyenangkan hati khalayak menerima hujah dan nasihat yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Somad itu. Perbetulkanlah acuan pemikiran masyarakat supaya memberi kefahaman. Agar mereka mengetahui kebenaran sebenar dimana keutamaan hidup antara sesama manusia. Semua soalan dan kenyataan yang dicadangkan ini bukanlah bersifat menghukum tetapi ia menyatakan kaedah dakwah menuju kepada  kebenaran dalam hidup bermasyarakat. 




Dengan rendah hati, saya memohon berbaik sangka, berfikir dan mohon juga jangan dikecam. Mungkin betul agaknya perumpamaan ini ' "tahi mana yang tidak najis, tahi mana yang tidak busuk selagi ia menjadi tahi selagi itu lah ia kekal najis yang busuk. Tahi yang tidak busuk cuma tahi lalat, lebih-lebih lagi terlekat pada dagu dibawah bibir  sebelah kanan. Ia cukup manis dan menawan. Betul tak Ustaz Abdul Somad.? Wasalam.


2 comments:

  1. Soalan-soalan tuan amat menarik untuk saya ketahui jawapannya dari pandangan ilmuwan Fiqh.

    ReplyDelete