Tuesday, 22 August 2023

Jalan Taman Kayangan Syurga Dunia


 Jalan Taman Kayangan Syurga Dunia....


 


   

Baru-baru ini seorang sahabat saya telah menghantar satu rakaman video yang dirakamnya  menunjukkan sekumpulan 8 ekor burung Chutia~Cutia nipalesis  sedang mencari makan dikawasan ini. Pemerhatian sekumpulan burung Chutia~Cutia nipalesis  dalam jumlah yang boleh dianggap banyak pada satu-satu masa seperti itu belum pernah dilihat oleh pemerhati burung tempatan. Hal keadaan itu jarang sekali berlaku, kalau ada pun paling banyak 3 atau 4 ekor burung dalam satu masa.Terkesan dengan maklumat itu, saya membuat keputusan untuk ke sana, walaupun saya telah mempunyai rakaman spesis burung tersebut. Keputusan itu bertujuan untuk menambah pengalaman membuat koleksi rakaman, dan pemerhatian tingkah laku spesis burung itu dalam jumlah yang banyak pada satu satu masa. Selain itu beliau menyatakan juga ada beberapa spesis burung yang belum saya temui, kebarangkalian boleh dijumpai disitu. Atas maklumat tersebut, walaupun lokasinya jauh , selepas 2 hari menerima maklumat itu saya telah pergi ke tempat yang dinyatakan.


Chutia~Cutia nipalesis 

Dengan harapan menggunung dan semangat tinggi pada awal pagi lagi tepat pada jam 8 , saya telah terpacak dibawah pokok ditempat  yang dinyatakan. Pada ketika itu cuaca  sangat sejuk berangin serta berkabus.Hinggakan vitamin minyak kelapa untuk rambut saya  dalam botol yang disimpan dalam bag kecil menjadi beku. Keadaan sejuk begini pernah saya rasai di Gunung Alap, Gunang Kinabalu, Gunung Tahan dan Ulu Kali Selangor. Jarak penglihatan juga sangat terbatas, dianggarkan cuma 1 atau 2 meter sahaja. Burung-burung yang dilihat memerlukan pengamatan yang lebih lama dan perlu dibantu dengan luas pengalaman pengecaman.


Chutia~Cutia nipalesis 

Sedang mundar mandir mencari, mata memerhati kelibat , telinga mengesan membuat pengecaman suara kicauan burung, saya bertemu sebuah kawasan berpagar. Di situ ada papan tanda kenyataan yang telah jatuh bersandar ditepi pintu pagar. Terpapar  kenyataan yang menyatakan Orang Awam Dilarang Masuk dan kenyataan beramaran yang memberi maksud, sesiapa yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang dan denda jikalau tertangkap. Tetapi pintu pagar untuk masuk ke kawasan itu terbuka luas, seolah-olah menyambut dan menjemput saya masuk. Menjemput dengan ucapan Selamat Datang Ahlan Wah Sahlan kepada saya. Habis... macam mana ni! Memandangkan keadaan pada waktu itu senyap sepi tanpa kehadiran burung yang dicari, sepertimana gambaran rakaman video yang saya lihat. Maka dalam suasana lengang tanpa kehadiran manusia, hati sudah lama berbuku dek lama sangat menunggu sehingga  gelojak hati mencadangkan untuk saya mencuba mencari burung di kawasan larangan itu pula. 


Lintasan kata kepada hati, katanya....saya akan berdosa besar pada diri sendiri pada hari ini, jikalau tidak menceroboh masuk kawasan itu. Oleh kerana takutkan dosa besar  maka, dengan sertamerta hujah dan alasan nakal itu telah membantu saya menceroboh masuk kawasan larangan tersebut. Hujah nakal itu seolah-olah menjadi kekuatan dan azimat yakin dalam diri   untuk menyelinap masuk  tanpa ada perasaan sebagai seorang penceroboh. Masuknya saya itu  dengan niat tidak sesekali merosak atau akan mengambil apa-apa hidupan yang ada di situ. Tidak mencabut tumbuhan samada orkid, lumut dan sebagainya. Tidak akan menangkap Spesis Katak, Lelabah, kacau ganggu burung dan hidupan liar dikawasan tersebut. Mencerobahnya saya seperti Angin sepoi-sepoi bahasa yang bebas keluar masuk  yang tidak akan merugi atau menjejaskan keadaan kawasan.


Tekukur Khukhu Ekor-panjang ~ Macropygia unchall


Langkah demi langkah berjalan masuk dalam kawasan sepi sambil berhenti berdiri menunggu dibawah  pokok rendang yang sedang berbuah. Sedang saya leka menikmati pemerhatian disitu , terdengar suara orang menyahut dalam sebuah kenderaan pacuan 4 roda. " Disitu tidak boleh masuk, nanti kena saman daripada pihak berkuasa. Dalam hati siapakah gerangan orang yang memberi cadangan nasihat itu.? Sebagai tanda hormat kepada orang yang memberi cadangan nasihat itu saya berpatah balik menuju kearah kenderaan pacuan 4 roda. Saya pergi ke sebelah pintu kenderaan, sekali lagi individu itu memberi tahu saya dengan mengulangkan maksud yang sama.  Dalam hati, mungkin penguatkuasa tetapi individu itu berada dalam kenderaan pacuan 4 roda awam. Setelah mentafsir dengan Ilmu Agak-agak, rupa-rupanya individu itu orang awam seperti saya juga. Dia juga menceroboh kawasan pintu masuk kerana ingin memusingkan kenderaan kerana tiada tempat ruang luas untuk memusingkan kenderaannya. Tindakan individu itu mungkin ingin menjadi seorang warganegara yang taat kepada peraturan.

Sejurus selepas itu saya sekali lagi melangkah masuk kawasan larangan meneruskan niat untuk meneroka apa yang bakal dijumpai. Maka berjalanlah saya seorang diri perlahan-lahan masuk jauh ke dalam kawasan itu, dengan perasaan hati merasa diri itu bertuah. Apa tidaknya kawasan itu mensajikan permandangan alam semulajadi yang indah dan teristimewa. Hampir sama dengan kawasan larangan di https://reddoortohunt.blogspot.com/2015/09/jalan-pintas-ke-syurga-bumi.html & https://reddoortohunt.blogspot.com/2018/03/melepaskan-rindu-dendam-dan-menjenguk.html Ulu Kali Selangor. 

Cekup Daun Gunung~Phylloscopus trivirgatus

Jarang sekali saya dapat melihat permandangan seperti itu pada waktu sekarang 2023. Bertuah kerana terpilih daripada banyak-banyak orang , diberi peluang menikmati keindahan alam semulajadi. Jam tangan menunjukkan baru pukul 8 lebih, tumbuhan hijau diselubungi dengan kabus, tasbih-tasbih embun bertitih-titih berkilat bercahaya jernih, angin sejuk menderu menyejukkan anggota tubuh badan. Cahaya matahari telah mula berdikit-dikit menembusi ruang kebocoran antara ranting dan daun tumbuhan. Kabus masih membataskan pemandangan jauh dan sesekali mendengar bunyi kicauan halus nyaring burung Cekup Daun Gunung~Phylloscopus trivirgatus  , suara terputus-putus burung Takur Leher-emas~Megalaima franklinii  dan teriakan Khukhu Tirjup Jawa~Coracina javensis . Saya ulangi lagi, keadaan alam semulajadi dikawasan larangan ini memang cukup menarik, indah dan cantik. 


Takur Leher-emas~Megalaima franklinii 

Raja Reriang-Megapomponia imperatoria Merupakan Reriang terbesar di dunia yang mendiami kawasan hutan tanah tinggi seperti dikawasan larangan ini.


Catitan sudut rasa peribadi menjiwai  pengalaman menerokai kawasan ini.

Tempoh pengalaman merasai menerokai kawasan larangan itu dianggarkan dari jam 8:00 pagi hingga jam 1:30 tengahari. Ia terpaksa dihentikan kerana saya telah berjanji dengan sahabat saya bahawa akan bertemunya jam 2:00 petang. Andaikata  tidak ada berjanji dengan sesiapa sudah pasti saya  akan menerokai kawasan itu sehingga menuju ke hujung jalan. Ada umur yang panjang jika dizinkan Tuhan akan kembali lagi bagi menyudahkan apa-apa pekara yang belum disudahkan.

Katak Lubang Pokok Kecil Semenanjung~Metaphrynella pollicaris


Kekura Bukit~Heosemy spinosa

Jarak jauh perjalanan daripada pintu masuk hingga ke penghujung jalan dianggarkan sejauh 1 kilometer. Jalan yang diturap dengan tar itu diseliputi dengan timbunan lapisan daun mati yang lembab.Hal keadaannya  berselerak sepanjang jajaran bahu jalan dan pokok. Cuma pada bahagian kiri kanan di bahagian tengah jalan kelihatan batu tar kesan golekan tayar kenderaan yang melalui  diatas permukaan jalan. Manakala pada bahagian kiri kanan tebing jalan ditutupi oleh tumbuhan hijau berbagai spesis lumut dan tumbuhan menjalar merayap yang hidup dengan subur. Ini lah satu-satunya laluan utama yang menjadi jalan keluar masuk di kawasan larangan itu.




Rama-rama Belang Rimau~Brahmaea hearseyi



Rama-rama Bulan Malaysia~Actias maenas


Serangga Ranting atau Belalang Ranting





                                                  Rama-rama Tropika Ekor Sualo~Lyssa zampa



Minla Ekor-badam ~Minla strigula


Kekicau Wren Kerdil~Pnoepyga pusilla



Minla sayap biru~Minla cyanouropiera







Perincit Gunung~Ortholomus cuculatus



Kekura Bukit~Heosemy spinosa

Saya dapati pada ketika ini tumbuhan merayap sedang menjalani proses berbunga. Kuntum bunga bersaiz kecil seperti saiz ciling 5 sen berwarna merah dan putih. Ada juga bunga bentuk bulat seperti biji tasbih berwarna merah saga tumbuh dicelah daun hijau. Permulaan jalan sebelah kanan pagar dawai ditumbuhi oleh bermacam-macam jenis lumut hijau dan juga lumut berwarna oren. Hujung rerambut lumut dipenuhi dengan butiran air embun yang tidak akan kering dan hilang, andainya tidak dilanggar. Sesekali saya bergurau dengan manik-manik embun, dengan sengaja mengoyangkan dahan, maka berderailah titisan manik embun gugur seperti hujan jatuh keatas lantai tanah, dengan sertamerta ia menyerap ke dalam lumut.



Beralih berjalan ke tempat lain lalu mendongak sambil mengngangakan mulut dan goyangkan dahan, lalu berderailah setiap tasbih embun masuk ke dalam tekak. Ada sebahagian menghempap memercik pada permukaan muka dan rasa sejuk secara berbintik-bintik. Andaikata hendak dibuat berwuduk atau  beristinjak memang boleh sangat.Tidak lama kemudian setelah tasbih embun gugur, wujud semula manik-manik embun yang baharu dihujung rerambut lumut dan pada benang jejaring sarang lelabah. Keadaan yang sama juga akan berlaku apabila burung datang hinggap dan terbang semula pada dahan. Atau pun tupai berlari kejar mengejar melanggar daun-daun disitu. Kalau mengalihkan kedudukan yang bertentangan dengan cahaya matahari, maka manik-manik yang melekat tersusun pada benang sarang kelihatan cahaya berkilau seperti tasbih kristal. Bila cukup masa dan keadaan yang telah ditentukan maka gugurlah dia jatuh ke bawah. Boleh jadi pada hamparan permaidani lumut, daun, atau dahan kayu.


Langkah demi langkah diteruskan masuk kedalamkeadaan pokok-pokok dipergunungan disini telah besar dan tinggi. Jikalau dilihat pada saiz deretan tumbuhan pokok-pokok spesis pergunungan itu, boleh dianggarkan berusia ratusan tahun . Daun dan dahan pokok yang tumbuh pada bahagian kiri dan kanan jalan  telah bercantum bergesel sesama ranting serta dahan. Keadaan itu membentuk seperti bumbung semulajadi kepada jalanraya itu. Ia teduh tertutup membentuk seperti sebuah terowong gua dari tumbuh-tumbuhan hijau.Hampir di setiap pokok bersaiz tinggi dan rendah, di  permukaan kulit batang , dahan dan ranting pokok penuh diselaputi oleh bermacam-macam jenis tumbuhan. Kehidupan tumbuhan bermaufakat bercampur gaul sama seperti rojak. Melekat, merayap, tergantung, tindih menindih antara satu spesis tumbuhan dengan spesis tumbuhan yang lain, tumbuh menghijau segar dan subur. Keadaan itu menjadi tempat kepada semua jenis hidupan kecil, samada sebagi tempat berteduh, membuat sarang, mencari rezeki meneruskan kehidupan, membiak dan sebagainya. 




Tokek Belang Titiwangsa~Cyetodactylus australotitiwangsaensis

Ada dari jenis lumut, tumbuhan tumpang, orkid, keladi dan tumbuhan yang saya sendiri tidak tahu dari jenis apa. Saya pasti terdapat banyak spesis tumbuhan orkid liar di kawasan ini yang tumbuh melekat pada setiap sudut dahan pokok. Ia dapat dibezakan dengan tumbuhan lain ketika ia mengeluarkan lidi berbunga.  Kalau tidak ia kelihatan sama dengan tumbuhan lain .Pancaindera mata saya cuma dapat mengesan beberapa jenis orkid liar sahaja, manakala yang lain menyorok disebalik pokok dan terlindung pada dahan yang tinggi. Bila masa ia mekar berbunga , berbungalah dia menjadi sebagai penghias hutan dan tidak ada sesiapa yang tahu, malah tidak ada seorang manusia pun yang dapat melihat kecantikannya.

Sampailah ia layu, kuntum gugur jatuh ke lantai tanah. Di lain musim nanti, ia berbunga semula dan berulang-ulanglah begitu sampai entah bila. Nampaknya seperti berbunga cantiknya orkid liar dalam hutan itu seperti sia-sia sahaja kejadiannya. Itu hanya satu kenyataan sempit, dari sudut kaca mata  fikiran manusia sahaja. Walhal kecantikan orkid liar itu  dinikmati oleh hidupan liar yang ada disitu, tidak semestinya manusia. Disitu juga menjadi tempat persembunyian serangga, atau katak menyamarkan diri dari dimakan pemangsanya dan kalau hendak dihurai pasti panjang lebar. Yang pasti setiap kejadian di alam ini tidak akan menjadi sia-sia kejadiannya. 

Melalui pengamatan saya pada bulan Julai, Ogos dan September kebanyakan tumbuhan orkid dihutan tanah air telah mulai mengeluarkan kuntum bunga. Berbunga bertitih-titih pada lidi orkid secara berbaris. Sebahagian kuntum bunga orkid telah mekar dan sebahagian lagi masih kuncup menunggu giliran untuk dia mekar sehari dua nanti. Ada juga berbagai jenis tumbuhan menjalar spesis keladi berdaun besar dan lebar menumpang hidup  dengan melekat membelit batang pokok, segar hidup subur tanpa menjejaskan pokok yang ditumpanginya. 



Suasana sepi  lengang tidak ada seorang pun melalui kawasan itu kecuali saya bersendirian menjadikan saya begitu nyaman dan selesa. Bebas dari sebarang ancaman dan gertakan kehidupan dalam menjalani kehidupan. Tidak ada gangguan nyamuk, agas, lintah , pacat malah lalat. Pada ketika itu cahaya matahari telah mulai mencuba-cuba menujah masuk pada celah daun dan ranting. Setelah beberapa ketika cahayanya itu telah menguasai rongga berlubang antara ranting daun berlapis lapis. Tembuslah cahaya  pada rongga berlubang-lubang antara renggang daun dan ranting, lantaran itu sinar menjadi selang seli terang dan malap menyuluh lantai jalan. Kabus berasap berlegar bebas naik ke atas kesan haba cahaya matahari.... Keadaan pokok disitu pelbagi keadaan, ada yang condong tetapi tidak sampai rebah, Ada juga kelihatan tertunduk menyembah lantai tanah berlumut hijau pekat.

Di sepanjang cerun tebing dinding batu pula dipenuhi oleh lumut-lumut hijau seperti hamparan permaidani. Tumbuhan spesis paku pakis juga tumbuh di situ bercampur gaul dengan tumbuhan merayap yang saya tidak kenali. Pada dinding batu itu juga banyak lubang sarang lelabah yang hidup aman damai dalam lubang gelap lembab tanpa gangguan. 


Dalam kita bersendirian menikmati keindahan alam semulajadi, secara sepontan pancaindera cekap melihat perincian apa saja kejadian disitu. Akal fikiran tidak dapat menolak kehebatan ciptaan kejadian yang maha berkuasa. Maka mencurah-curahlah berbagai bagai andaian berbaik sangka wujud dalam fikiran tentang kebesaran dan kehebatan Tuhan.


Saya melihat sebatang ranting kayu yang telah patah pada bahagian lebih tinggi mungkin sebab sudah reput kesan ditiup ribut, tetapi tersangkut tergantung tidak jatuh ke lantai hutan.  Ranting itu tergantung berbuai-buai kerana ada sebenang urat akar melekat pada bahagian ranting. Entah berapa lama atau bertahun ranting itu telah tergantung hanya Tuhan saja yang tahu. Keadaan ini mengambarkan  ranting yang dulunya pernah hidup bersatu menjadi sebahagian daripada pokok.


Tetapi kini  telah menjadi sekerat batang kayu patah , walaupun telah patah namun mereka  tidak terpisah jauh jatuh ke lantai tanah. Ranting dahan yang masih hidup dalam sepohon pokok begitu setia, sehingga berhabis ikhtiar tidak membenarkan mereka terpisah antara satu sama lain. Walau terpisah pada ranting namun masih menjalin hubungan dalam keadaan terikat lekat oleh benang akar. Tergantung-gantunglah ranting patah  terhayun kiri kanan dan kadang-kadang terpusing-pusing dibawah lindungan rimbunan daun-daun pokok. 

Disitu mereka menjalin hubungan silaturahim baharu , dengan menyalurkan air kelembapan kehidupan melalui benang akar kepada  batang ranting tergantung.  Selain itu menerima  bekalan tambahan daripada wap air dari suhu dan cuaca sejuk. Berbekalkan hanya dengan seurat benang akar, ranting tergantung itu memanjangkan satu kehidupan yang lain. Dalam keadaan ia tergantung ia menambah beban dipenuhi pula oleh tumbuhan lumut dari beberapa jenis spesis. Bukan itu sahaja, disitu juga hidup tumbuhan paku pakis yang hidup subur berdaun segar. 

Walaupun telah menjadi ranting kayu  lapuk buruk yang sudah lama tergantung , namun ia masih ingin berbakti dengan memberi kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan lain.  Dalam fikiran saya agaknya sifat kehidupan tumbuh-tumbuhan yang dicipta oleh Allah sifatnya begitulah caranya. Mereka sokong menyokong untuk terus hidup. Hidup dengan subur antara satu dengan satu kehidupan yang lain. Seolah-olah mereka mengaktifkan kebaikan yang ada pada kedudukan dan keistemewaan yang ada pada mereka . Maka hiduplah secara sebegitu sehingga sampai pada waktu yang ditentukan oleh maha pencipta. Ia berlainan sangat dengan sifat kebanyakan yang ada dalam sifat kehidupan manusia.

Bila sedang bersendirian, pelayaran angan-angan dalam minda mudah saja menjelajah, nun jauh entah kemana-mana entah. Ia datang seperti air terjun mencurah-curah dari atas, apatah lagi sedang bersilaturahim dengan alam semulajadi yang indah. Bayangkan lah...hanya dengan  memerhatikan  keadaan helaian dedaunan   gugur, yang tersangkut  dicelah ranting pun boleh dijadikan asbab untuk  difikirkan. Tiada siapa boleh menghalang... saya... diri sendiri dan minda bebas merdeka! Bebas sebebas-bebasnya untuk berfikir dan berangan-angan.. Helaian daun mati retak bewarna buah berangan dalam keadaan layu lembab terlekat,   tersepit, dan tersangkut pada setiap sudut dahan , ranting  itu, saya gambarkan kelihatan seperti disambut oleh daun-daun  yang masih hidup diparas bawah pada pokok lindungan yang sama. Pada saat daun itu terputus gugur pada tangkai ia melayang terawang-awang jatuh ke aras bawah. 

Dulunya daun itu berada diparas dahan tangkai ranting bahagian atas. Kini  telah sampai waktunya kehidupan terputus dan terhenti, lalu gugur ke lantai tanah. Tidak ada satu ikhtiar pun boleh dilakukannya, untuk tidak terputus pada tangkai, ia tidak boleh berbuat apa-apa. Hanya sekadar menunggu terawang-awang helaian gugur ke atas tanah. Tentu mengikut adat pada sangkaanya akan jatuh menyembah lantai bumi. Namun seperti sifat rantaian silaturahim antara tumbuh-tumbuhan mereka sedapat mungkin akan cuba meneruskan tali silaturahim antara mereka. 

Walaupun sebelum ini,  ia berada di atas, tetapi rimbunan daun yang berada dibawah seperti tidak mempunyai prasangka kurang sihat, mahu pun untuk cemburu. Malah berbaik sangka kepada daun yang pernah berada dibahagian rimbunan atas. Kerana yang dibawah mengetahui dan menghargai  semasa hayatnya  pada tangkai dibahagian atas, dialah yang menjadi pelindung yang terkena dulu dari rejaman  air hujan yang turun dari langit. Daun yang berada dibawah sekadar menerima renjisan dan titisan air yang menitik-nitik secara perlahan. Tidak dinafikan memang ada  banyak daun layu yang bertimbun   jatuh ke lantai tanah, namun gugurnya masih berada di kawasan naungan lindungan pokok yang sama. 


Eiiysh ! Segala macam benda yang dilihat hendak difikirkan secara terperinci...entahkan betul atau pun tidak. Entahkan ia dapat menambah ilmu atau pun cuma sia-sia belaka. Esok lusa semua yang difikirkan itu akan hilang dalam ingatan, seperti tidak pernah saya fikirkan. Walaupun saya cuba sedaya upaya untuk mengingatkan semula, sudah tidak ada dalam otak. Mujurlah saya mencari masa menulis kembali semua perkara , daripada apa yang difikirkan, apa yang dirasa dan pengalaman sepanjang beberapa jam dikawasan larangan itu. Setidak-tidaknya saya mempunyai data dan bukti andaikata terlupa dimasa mendatang nanti.


Perjalanan menuju ke penghujung terpaksa dihentikan dan berpatah balik kerana jam sudah pukul 12:45 tengahari. Saya ada membuat janji untuk bertemu semula sahabat saya antara jam 1:30- 2:00 petang untuk pergi ke mencari burung Brown Bullfinch ditempat lain pula. Dalam perjalan berpatah balik sisa-sisa waktu digunakan untuk melihat apa-apa saja yang terlintas untuk diperhatikan. Mata saya mengesan gelongan kawat dawai yang biasa digunakan oleh tentera bertujuan untuk menghindar orang yang tidak berkenaan menceroboh masuk. Itu satu ikhtiar penguasa kawasan untuk menjamin kawasan tidak diceroboh oleh pemburu haram atau sesiapa yang berniat apa- kerosakkan. Harapan saya setiap hidupan liar yang melintas dan melalui gelong kawat berduri itu, cepat mengesan ancaman bahaya daripada kecederaan.

 

Ayam Siul Malaysia~Arborophila campbelli


Mengkira~Martes flavigula


Hadapan saya biarlah tempat ini terus menjadi tempat larangan sepertimana sekarang, supaya keadaan alam semulajadi disekitarnya kekal untuk selama-lamanya. Saya akan berazam untuk datang berkunjung lagi ke sini untuk menamatkan perjalanan sampai ke hujung jalan. Wasalam.
























































































No comments:

Post a Comment