Pemerhatian Burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus Sedang Mengawan.
Mukadimah
Burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus merupakan spesis burung tempatan yang aktif pada waktu malam. Spesis ini adalah antara burung yang sangat sukar untuk ditemui. Merujuk kepada buku The Birds of the Thai Malay Peninsula tulisan David R Wells dan buku Birds of South-East Asia Graig Robson, pada kebiasaannya burung ini mendiami di kawasan Hutan Terbuka Tanah Rendah berdekatan dengan tadahan air atau pun saliran sungai. Sejak mula aktif memburung dari tahun 2006/2007 dulu, saya telah berikhtiar mencari spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus . Saya pernah bertanyakan kepada Guru saya Saudara Mike Chong dan Saudara Dennis Yong dimana spesis ini boleh ditemui. Melalui pengalaman pemerhatian mereka spesis ini boleh ditemuinya di kawasan berhampiran sepanjang sungai hutan gambut di Sawah Sempadan dan Tanjung Karang Selangor. Di bahagian sebelah utara sebelah negeri Perak, Saudara Dennis Yong ada menyatakan kepada saya ia boleh ditemui di Bukit Merah. Sepanjang tempoh itu gelora perasaan ingin melihat dengan mata kepala sangat kuat. Memandangkan burung ini aktif pada waktu matahari mulai terbenam, maka bertambah susah saya ingin menjumpainya. Pada 2016 bertempat di Wang Kelian Perlis Presiden Persatuan Perlis Nature & Wildlife Saudara Syamil Abdul Rahman memaklumkan kepada saya spesis itu telah dilihat di kawasan sekitar Wang Kelian Perlis. Sejak dari itu saya telah berikhtiar beberapa kali tetapi hanya dapat mendengar suara garau panggilannya sahaja. Setelah lama memendam impian akhirnya jodoh untuk bertemu spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus tercapai juga. Ditempat yang sama pada jam 7 petang, bulan September tahun 2023 dengan rasa sukacita saya telah berjaya dapat melihat dengan mata kepala sendiri.
Burung betina disebelah kanan yang kedudukannya terlindung dengan dedaunan mempunyai saiz tubuh badan yang lebih besar daripada burung jantan. |
Pemerhatian Yang Belum Pernah Manusia Diperlihatkan.
Hal keadaan ketika burung Jantan membuat lonjakan, ia mendepangkan sambil menguak-guakkan kedua belah sayapnya lalu hinggap pada bahagian belakang badan burung betina. |
Bulan September tahun 2023 saya tiba dilokasi puncak Menara Tinjau Wang Kelian antara jam 6:45 petang. Ketika itu pengunjung masih ramai dan ada lagi yang masih berduyun-duyun ke situ, untuk mengejar pengalaman melihat permandangan suasana matahari terbenam. Sesampai diatas mata saya terus melilau mencari burung yang kebiasaan bertenggek atas pokok disebalik papan tanda Wang Kelian. Setelah puas mundar mandir ia tetap tidak kelihatan. Mungkin suara keriuhan ramai pengunjung atau pun dari bau asap masakan peniaga gerai yang naik ke udara , membuatkan burung itu tidak berada disitu. Berkeliaran beberapa seketika mengeliling kawasan puncak sambil memerhatikan kalau-kalau ternampak dia . Masih juga tidak kelihatan, sedangkan waktu sudah menglepasi jam 7:10 minit. Pada saat itu saya telah mulai menerima kenyataan, nasib yang serupa pada ikhtiar sebelum sebelum ini. Apa pun keputusannya itu bukan satu kegagalan kepada saya, kerana sudah menjadi adat kebiasaan cara saya memburung, yang tidak memerlukan apa-apa bantuan sokongan alat pembesar suara untuk memanggil burung, atau menyedia dan menyogok umpan makanan kepada burung. Biar pun jauh , biar pun banyak masa mencari dan menunggu lenyap begitu sahaja. Semasa tempoh proses pencarian, disitu terselit nikmat , nikmat itu datang serentak ketika saat menjumpainya. Sejak mula diajar oleh Guru saya dulu, memburung hanya bergantung sepenuhnya dengan jodoh pertemuan. "Burung yang dicari saya tidak jumpa",.. itu baik pada saya, apatah lagi jikalau saya menjumpainya, tentulah lagi baik. " Pada jam 7 :14 malam saya melihat di seberang jalan ditempat tunggul pokok yang dulu saya hanya mendengar suaranya , sedang bertenggek terconggok berdua-duaan.
Kalau dulu mendengar suara, sekarang berjodoh melihat dengan mata kepala sendiri 2 ekor burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus dalam keadaan sebelah menyebelah. Pada saat itu pemerhatian sambil membuat rakaman bermula. Beginilah tabiat dan kelakuan sebenar burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus, yang akan mula aktif pada ketika permulaan waktu malam. Suasana senja di Wang Kelian masih terang lagi, tidak memerlukan lampu untuk melihat, walaupun objek yang dipandang itu jauh. Dari atas kemuncak. pemerhatian dari sudut separas mata memanglah baik, tersangat baik. Namun kedudukan seekor lagi burung yang berada disebelah, kebetulan telah dilindungi oleh ranting serta daun. Sertamerta membuat keputusan untuk turun ke bawah, dengan niat melakukan pemerhatian dengan lebih dekat di tempat pokok burung sedang bertenggek. Di situ penglihatan lebih dekat dan jelas pendengaran. Namun masih ada juga lagi beberapa ranting kering yang menghalang permandangan burung secara lapang terbuka.
Kedua ekor burung saling berganti-ganti menggaruk mengeluarkan suaranya, seperti mereka sedang berbalas pantun. Pada kedudukan sebelah menyebelah dalam jarak dianggarkan 2 kaki. Ia saling berganti-ganti tunduk menunduk menggaruk mengeluarkan suara menyemai kasih rayu merayu antara mereka. Ketika terhangguk-hangguk menggaruk , buluhias di bahagian leher, muka kepala dan tengkuk menjadi kembang. Manakala pada bahagian dada dan tembolok turut mengembang. Sesekali burung itu membuat regangan sayap secara mengipas pada kedua belah bahagian pelepah sayap. Kelakuan menggaruk sambung menyambung sehinggalah secara tidak semena-mena seekor burung bersaiz kecil, yang mempunyai carik-carik warna putih pada bahagian tocang kepala dan buluhias pelepah menyerupai telinga, membuat lonjakkan. Melonjak menerpa ke arah bahagian belakang badan burung yang lagi satu. Seolah-olah burung yang bersaiz besar sedang mengincang burung bersaiz kecil. Saat itu saya dapat mengetahui dengan sah dan tepat akan jantina jantan atau betina spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus.
Sesi pujuk memujuk rayu merayu berbalas pantun bermadu kasih |
Hal keadaan ketika burung Jantan membuat lonjakan, ia mendepangkan sambil menguak-guakkan kedua belah sayapnya lalu hinggap pada bahagian belakang badan burung betina . Saya fikir ia hanya menggunakan tapak jari kakinya yang lembut sahaja ketika berada diatas badan burung betina. Tentu sekali burung jantan mentadbir 4 pasang kuku bercangkuk runcingnya itu tidak mendatangkan kesakitan atau cedera. Kalau ada sekali pun itu hanyalah sebagai cengkaman manja sahaja. Ketika berada diatas belakang badan , burung jantan mengibas-ngibas sayapnya bertujuan meringankan tanggungan beban burung betina. Burung betina pula berganding rasa demi memudahkan ikhtiar pasangannya dengan membuat persediaan anggota tubuh badan. Ia bersiap sedia dalam keadaan bertenggek pada kedudukan siap siaga membuat imbangan dengan kuncian cengkaman pada dahan pokok. Mengimbangkan ruang udara tembolok dan perut sambil merendahkan kedudukan badan. Hinggakan kedudukan jari kaki yang mencengkam dahan itu bersentuh dengan bahagian peha kakinya. Bahagian tongkeng didonggakkan ke atas , lalu dikembangkan bulu hias halus yang sebelum ini menutup bahagian anggota persenyawaan. Burung jantan yang berada diatas itu menurunkan otot tongkeng supaya anggota persenyawaan pada bahagian cenut itu dapat di temu cantumkan untuk memercikkan cecair sperma ke dalam anggota persenyawaan betina. Kelihatan burung betina sedang menanggung beban berat badan burung jantan sehingga terpaksa tertunduk. Sejurus perlakuan temu cantum selesai burung jantan melonjak terbang ke dahan yang ia bertenggek sebelumnya. Perlakuan persenyawaan berlangsung dengan begitu pantas. Setelah selesai pasangan itu tetap bertenggek pada dahan yang sama sehingga hilang dari permandangan mata, kerana gelap malam. Pada kehidupan manusia waktu malam adalah untuk berehat, sebaliknya bagi burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus , waktu ini adalah permulaan mencari dan melakukan aktiviti kehidupan. Burung sudah tidak kelihatan lagi, hanya keterdengaran suara mereka menggarok berbalas pantun saja.
Berdasarkan pemerhatian peribadi dan andaian populasi bilangan spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus di kawasan Wang Kelian , pada hemat saya, pasangan yang sama ini akan mengulangi perkara yang sama, sehingga salah sekor daripadanya mati. Sama sifat ikatan perhubungan jantan dan betina berpasangan sepanjang nyawa dikandung anggota badan. sama seperti Burung Enggang.
Saya beranggapan semasa sesi mengaruk berbalas pantun tentu burung jantan . akan mencorak nada suara mereka yang memberi maksud puja memuja, rayu merayu, sehingga burung betina mengisyaratkan kesediaan dan bersedia proses mengawan dapat dijalankan. Kalau tidak tentu burung betina akan terjatuh atau terjunam badannya ke bawah, kerana tidak membuat persiapan imbangan dan kunci cengkaman.
Burung jantan sedang melelapkan mata sejenak berehat sejenak |
Pada pagi keesokan harinya saya datang semula untuk menambah pengalaman pemerhatian burung. Setibanya di Wang Kelian pada pukul 7.15, dari jauh dalam kesamaran penglihatan berkabus saya lihat burung jantan bertenggek bersendirian pada dahan yang biasa ia bertenggek. Terpaku bertenggek diam dalam sejuk kabus pagi. Kabus tebal ditiup angin berarak berselang seli melidupi kawasan disitu , penglihatan hanya kabur sahaja. Tidak banyak pengalaman yang dapat diperhatikan, walaupun cahaya matahari mulai berjinak-jinak menerangi Wang Kelian. Mungkin ia sedang berehat tidur berselimutkan kabus, setelah berpenat melakukan segala macam aktiviti kehidupan. Saya rasakan begitulah agaknya setiap hari burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus menjalani kehidupannya pada setiap pagi.
Membezakan Jantina Burung Jantan dan Betina.
Burung Jantan Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus |
Hasil rakaman imej pasangan burung hasil daripada sisa-sisa cahaya matahari petang senja. |
Berdasarkan pemerhatian , penilitian peribadi dengan sokongan rakaman imej burung setelah membuat perincian perbezaan antara burung betina dengan jantan. Saya cadangkan 3 sudut pengecaman ciri-ciri khas untuk mengenal jantina burung dewasa jantan dan betina adalah seperti berikut:-
Saya kongsi dan cadangkan ;
Dengan menggunakan bantuan teropong, lensa kamera atau pada jarak ketajaman penglihatan mata boleh melihat.
1.Pengecaman mengenal ciri khas burung secara sekilas pandang daripada sudut hadapan,
Pada setiap pelepah buluhias burung jantan dewasa yang tumbuh menyerupai seperti tanduk di kiri kanan bahagian atas kening burung jantan mempunyai warna keputihan pada hujung buluhias. Walaupun pada jarak yang jauh , warna keputihan itu akan jelas kelihatan. Manakala pengecaman ciri khas untuk pengenalan jantina burung betina dewasa pula pelepah buluhias di bahagian yang sama tidak terdapat sebarang warna putih. Warna pelepah buluhias menyerupai tanduk sama warnanya dengan keseluruhan buluhiasnya.
2.Pengecaman mengenal ciri khas daripada sudut sisi dan sudut belakang burung.
Di bahagian sisi kiri dan kanan kepala burung jantan dewasa terdapat garisan carik mendatar berwarna keputihan pada buluhiasnya. Pada bahagian belakang kepala burung terdapat tompokan warna keputihan pada buluhias burung . Di bahagian sisi kiri , kanan dan belakang kepala burung betina dewasa tidak terdapat sebarang warna keputihan , dibahagian itu sama warnanya dengan keseluruhan buluhiasnya.
3.Pengecaman jantina burung jantan dan betina dewasa dalam keadaan bertenggek sebelah menyebelah.
Saiz dan bentuk tubuh badan burung jantina betina dewasa adalah lebih besar daripada saiz burung jantan dewasa.
Peluang Merungkai Rahsia Permata Ilmu.
Panggilan pujuk rayu sebelum melonjak keatas belakang burung betina |
Setelah saya mengetahui rahsia kebiasaan burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus akan mengawan pada awal bulan September, maka timbul pula beberapa persoalan.
1.Dimana agaknya lokasi yang sesuai yang akan menjadi pilihan burung itu membuat sarang.
2.Atau burung menggunakan sarang yang telah digunakan pada musim sebelumnya.
3.Bagaimanakah bentuk sarang burung itu. Apakah ia mencari bahan binaan dan membuat sarang atau ia mencari lubang untuk dijadikan sarang.
4.Pada setiap musim berapa biji telor yang dikeluarkan dan berjayakah anak burung keluar terbang dari sarang.
5.Berapa lama anak burung akan berada didalam sarang.
6. Burung memberi makan dari jenis apa kepada anaknya. Pada waktu siang atau malam, atau kedua-dua waktu.
Disitu ada laba ekonomi |
Persoalan ini hanya akan terjawap setelah peminat dan pencinta ilmu pemerhatian burung meneruskan usaha pemerhatian secara tekun jujur terhadap burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus disitu. Jawapan kepada persoalan itu semua adalah permata ilmu dalam dunia bidang avifauna yang masih menjadi rahsia. Kepada siapa yang jujur dan tekun akan terlayak diperjodohkan dengan peluang menonton persembahan secara langsung dilapangan semulajadi Wang Kelian, Perlis. Kemudian hasil permata ilmu yang menjadi rahsia itu menjadi data ilmiah dalam bidang avifauna peringkat dunia. Sejarah menonton rahsia itu akan diguna pakai oleh peminat pemerhatian burung pada masa hadapan.
Gangguan Kepada Burung Dan Hidupan Liar
Hal keadaan imej rakaman burung dalam keadaan suasana kabus tebal berarak perlahan secara selang seli yang ditiup oleh bayu pagi , pada waktu yang sama menerima pancaran cahaya matahari. |
Keadaan waktu pagi di lokasi pilihan yang menjadi keselesaan burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus. berehat ,memerhatikan mangsa, dan tempat ia mengawan. |
Secara peribadi perbezaan Wang Kelian sekitar tahun 2016 semasa mencari Beruk Kentoi~Macaca arctoides dulu dengan sekarang 2023 teramat ketara dari sudut alam semulajadi. Neraca timbangan Jabatan Hutan Negeri Perlis yang telah mengorbankan sejumlah kawasan hutan semulajadi berhadapan pintu masuk ke Menara Tinjau Wang Kelian. Kawasan hutan ditepi jalan telah dibongkah untuk dijadikan kawasan pakir tambahan kerana ruang pakir sedia ada sudah tidak dapat menampung kebanjiran pelancong. Bijaksana ekonomi melihat , disitu ada laba ekonomi dari bentuk pekerjaan, perniagaan dan penginapan. Nikmat ekonomi yang berpanjangan yang bakal nikmati oleh warga Wang Kelian,
Pada waktu pengorbanan telah dilakukan kita sendiri tidak tahu akibat kesan yang bakal berlaku, boleh jadi menjejaskan hidupan semulajadi disitu, atau barangkali tidak.Masa sahaja akan memberi jawapan. Yakinkah pengorbanan itu tidak menjejaskan rantaian makanan, kawasan kembang biak, dan laluan lingkaran sempadan perjalanan hidupan liar disitu. Orang ekonomi akan menyatakan "TIDAK", manakala orang berfikiran seperti saya akan menyatakan "YA". Dengan menyatakan "YA" bukan bermakna saya ingin melihat warga Wang Kelian berterusan mundur sehingga susah mencari kehidupan .
Awal pagi Burung jantan sedang memulakan aktiviti berehat yang diselubungi oleh kabus tebal |
Suasana kabus tebal pada jam 7:30 pagi |
Pada hemat saya, persoalan ini wujud setelah kumpulan pemerhatian dan pencinta burung telah berkurangan malah hampir pupus jumlahnya. Ia telah diganti oleh begitu ramai jurufoto burung yang berhakikatkan sama seperti seorang Pemancing Ikan . Melakukan aktiviti merakam gambar burung, wajib menggunakan umpan. Samada dengan mengumpan burung dengan makanan yang dibeli atau memanggil burung dengan panggilan suara burung palsu melalui apa-apa alat pembesar suara. Mereka berfalsafahkan kepada; "Kehendak peribadi seseorang Jurufoto Burung WAJIB diutamakan terlebih dahulu daripada mengutamakan kebajikan spesis burung."
Burung betina sedang berehat selepas keletihan mengawan. |
Ketinggian dan kebaikan alatan elektronik telah disalah gunakan demi kepuasan peribadi walaupun mengganggu hidupan burung. Asas kenyataan itu berdasarkan laporan yang telah dikongsikan kepada saya oleh Saudara Syamil Abdul Rahman Presiden Perlis Nature & Wildlife. Burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus ini berlainan sangat dengan perangainya pada sebelum-sebelum ini. Perangainya sudah berubah sejak ramai jurufoto burung datang ke situ untuk merakam imej burung. Setiap jurufoto burung yang datang akan membuat panggilan palsu untuk menarik perhatian burung untuk datang ketempat ianya mudah dirakam. Panggilan palsu itu dibuat pada waktu siang ketika burung sedang berehat , walhal spesis ini aktif pada waktu malam.
Kita boleh bayangkan berapa ramai yang datang bersilih ganti secara berlain-lain waktu dan bergilir-gilir memutarkan panggilan palsu. Sehinggakan ia sudah tidak takut kepada kehadiran manusia. Lebih mendukacitakan apabila ada jurufoto burung yang ingin membuat kelainan dengan mendapatkan merakam burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus sedang terbang pada waktu siang hari. Lebih malang lagi, bilamana pengunjung mulai melakukan rakaman burung dengan menerbangkan Drone pada jarak kedudukan yang hampir ditempat ia bertenggek. Perkara ini suatu perkara baharu dalam dunia pemerhatian burung, saya sendiri tidak tahu apakah kesan terhadap perbuatan itu semua. Barangkali kebimbangan yang saya rasakan itu sekadar bimbang yang palsu. Burung boleh saja dapat menyesuaikan diri , saya pulak yang terlebih-lebih bimbang sebab rasa cemburu atas kelebihan kualiti rakaman sipembuat....
Drone yang Nakal |
Suasana pagi ketika Drone menghala menuju ke arah burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus yang sedang berehat. |
Cabaran Ketika Pemerhatian dan Rakaman
Setelah mengalami beberapa siri kegagalan untuk menjumpai burung ini , apabila terjumpa saya telah diberi cabaran merakam pada waktu senja cahaya semulajadi terhad. Menyahut cabaran memerhati dan merakam burung dengan rasa gembira walaupun mengalami kepayahan. Lokasi yang hampir tempat burung bertenggek itu adalah ditepi lereng curam, yang mana pada permukaan lantai tanah tidak rata. Menyusup masuk ke dalam belukar mencari ruang terbuka pada celah ranting dan daun bagi mendapatkan sudut pandang yang sehabis baik kedudukan pasangan burung bertenggek.
Pada waktu senja , bersendirian meredah semak belukar yang permukaan lantai tanah tidak rata dan curam . Ketika itu tidak banyak pancaran cahaya semulajadi, menggelek kamera dengan lensa 400mm , tanpa bantuan tripot. Bentuk mukabumi memaksa rakaman dilakukan dalam keadaan leher tengkuk sehabis mendonggak membedek dengan menggunakan aplikasi cerapan kelajuan perlahan (Manual slow shutterspeed). Kaedah kebiasaan digunakan supaya lebih mudah memfokus imej burung sambil mengelak halangan daun dan ranting, demi menghasilkan kepuasan rakaman peribadi .
Rakaman tidak dapat dilakukan secara berterusan bersilih ganti atas sebab cara rakaman itu cepat memberi keletihan. Walaupun telah mengunci kekuda bahagian anggota kaki, namun tengkuk leher tetap menjadi kejang , ke dua belah bahu dan lengan tangan juga menjadi sengal.
Dalam gelap hanya mendengar suara "Berkeruh Garau Berkahak" pujuk merayu kasih. Kepada orang yang tidak pernah mendengar bunyi "Berkeruh Garau Berkahak" mereka akan beremosi takut seram. |
Rumusan
Bersama President Perlis Nature & Wildlife , Saudara Syamil Abdul Rahman |
Andaikata terjumpa sarang burung , maka bertambah ramailah pengunjung akan datang berpusu-pusu ke situ. Jurufoto burung akan silih berganti datang ke Wang Kelian untuk membuat rakaman sehingga anak burung terbang keluar. Rantaian laba ekonomi itu bertempoh 6 ke 7 bulan sehinggalah anak burung terbang keluar sarang dengan selamat. Disitu ada laba ekonomi untuk warga Wang Kelian, dari segi perkhidmatan Juru Tunjuk Burung, Penginapan, Makan minum dan lain-lain, maka jangan disia-siakan. Saya nasihat kepada setiap Jurufoto Burung , sila hormati dan belas kasih simpati kepada Warga tempatan apa-apa tindakan yang mengakibatkan induk burung meninggalkan sarang atau sarang menjadi musnah akibat Haiwan Pemangsa, itu "adalah tindakan mencurah pasir ke dalam periuk nasi warga tempatan." Itu tindakan merosak hancurkan punca rezeki mereka.
Secara am Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus telah menjadi pencetus sumber pendapatan kepada Negeri Perlis, khasnya kepada penduduk Wang Kelian. Syabas dan tahniah kepada Saudara Syamil Abdul Rahman Presiden Perlis Nature & Wildlife dan rakan sepejuangannya. Itu pun jika dapat ditadbir dengan betul mengunakan neraca timbangan sehabis jujur dalam membuat pertimbangan antara laba dengan kebajikan burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus .Wasalam.
No comments:
Post a Comment