Wednesday, 15 July 2015

Selamatkan Lah Hutan Simpan Hulu Gombak


Siri Permandangan Indah Hutan Simpan Hulu Gombak, Selangor.



Pekara ini telah lama terbenak didalam hati, keluhan hanya kepada sahabat saya yang juga Guru Memburung dan Ilmu Alam Sekitar iaitu Saudara Mike Chong. Keluhan tentang pencemaran alam sekitar yang begitu teruk terjejas yang berlaku kepada saki baki kawasan Hutan Simpan Hulu Gombak yang dikongsi bersama oleh negeri Negeri Selangor dan Negeri Pahang.


Dari jauh kita akan melihat Keruing, Meranti, Merbau, Jati dalam keadaan tercacak subur melambai-lambai memanggil-manggil menjemput  untuk datang menebangnya. Didalamnya pula ada Cipan, Beruang, Rusa, Kijang, Pelanduk, Musang, Kucing Hutan, Ungka, Wak-wak, Tupai dan banyak lagi. Ada yang sedang berehat , ada juga yang sedang menjilat garam atau merayau-rayau mencari kehidupan yang sesuai dengan kehidupannya.


Tidak ketinggalan pelbagai spesis Enggang, Takau, Kesumba, Takur, Pekaka, Kekicau berterbangan menghurungi  satu pokok ke satu pokok berlumba-lumba mencari pelbagai jenis serangga dan buah-buahan untuk meneruskan kelastrian kehidupan mereka. Keadaan sebegitu akan berterusan selagi hutan tempat mereka bersembunyi dan berlindung ini kekal sepertimana yang digambarkan.


Tidak kurang juga ada manusia yang secara sembunyi-sembunyi merayau-rarau tidak kira siang mahu pun malam mencari hasil hutan untuk kehidupannya. Samada yang dibenarkan atau yang dilarang oleh pihak pentadbir Hutan,  tanpa ada rasa sekelumit perasaan bersalah. Mereka berpendapat bahawa hutan dan isi-isinya sekali dijadikan oleh Allah untuk keperluan manusia sejagat, asalkan rajin berusaha mengumbahnya. Perbuatan usaha ini adalah lebih mulia daripada meminta-minta dan mencuri.


Didalamnya terdapat khazanah negara yang tidak ternilai dengan wang ringgit yang seharusnya dijaga sebagai simpanan bekalan dan benih untuk menghidupkan sifat-sifat  hutan secara semulajadi dimasa mendatang. Masih terlalu banyak Ilmu yang ada didalam Hutan ini belum habis di dokumentasi oleh para pengkaji dan Sarjana Universiti. Sifat ingin menjaga dan mengekalkan hutan ini haruslah ada didalam benak jiwa setiap warganegara. Didalam jiwa haruslah sentiasa ada perasaan kasih sayang terhadap hutan yang telah diwarisi dari warga terdahulu.


Selama ini ia telah berjaya mengharungi pelbagai ancaman penghapusan hutan oleh manusia yang tamak haloba yang bercita-cita melenyapkan saki baki hutan.  Semata-mata untuk mendapat keuntungan yang banyak secara peribadi untuk satu jangka waktu yang berpanjangan dan berterusan.


Walaupun telah berjuta hektar hutan sudah dihapuskan , kononnya diatas nama kemajuan , pembangunan, pembalakkan, galian  dan pertanian. Namun mereka masih belum ada rasa cukup dan tidak langsung rasa terkilan keatas lenyapnya hutan. Kepada manusia seperti ini mereka mendakwa hutan-hutan yang luas bukan untuk dipandang sahaja, tetapi untuk mendapatkan hasil dari sumber yang ada didalam hutan. Beranggapan kehidupan manusia adalah lebih utama, daripada kehidupan makhluk selain manusia. 


Tidak kiralah siapa manusia itu samada ahli Perniagaan, Para Sarjana, Ahli Politik , Para Alim Ulama mereka ini sama sahaja , tidak mempunyai hati perut melainkan hanya memberi keutamaan kepada kehidupan manusia sahaja. Mereka menafikan hak kehidupan benda hidup yang lain, untuk merasa hidup secara aman dan bebas tanpa sebarang kacau ganggu. Tidak pernah golongan ini secara lantang dan berani berkempen  menentang apa-apa pengkhianatan serta penganiayaan terhadap alam sekitar dan penghuninya.



Namun begitu tidak semua yang berfikiran sepertimana yang dinyatakan itu. Tidak dinafikan juga memang ada ramai  dikalangan warga tempatan yang sangat sayang akan hutan berserta penghuninya. Tetapi mereka ini bukanlah dari golongan yang mempunyai hak kuasa pemutus, diatas segala tindakan yang berkaitan dengan hutan.


Mereka ini umpama anjing menyalak bukit, menyalaklah sehingga terkeluar anak tekak sekali pun namun ia tidak akan mendatangkan sebarang bekas. Malah, hasil tindak balas yang diterima hanyalah sakit hati, pedih jiwa dan kecewa berpanjangan secara bersendirian dalam senyap sahaja. 


Mengeluh dan mengata sesama sendiri sajalah adalah yang terbaik, terhadap apa yang telah terjadi sambil  menunggu sahaja semuanya akan pupus satu hari nanti. Sepertimana yang telah terjadi kepada Badak Raya dan Merak Hijau.



Contoh Nyata Hutan Menjadi Tempat Membuang Segala Macam Sampah

Berdasarkan pengalaman yang lampau, saya mempunyai asas dan alasan yang kukuh mendorong membuat kenyataan sebegitu. Rata-rata masyarakat disini tidak langsung mempunyai perasaan sayangkan hutan. Ini dapat dizahirkan oleh sejumlah masyarakat yang ramai  membiarkan sahaja hutan dijadikan tempat membuang segala macam benda yang tidak berguna. Mereka tidak menimbangkan bahawa bahan buangan itu nanti bakal datang menghantui kehidupan anak cucu mereka. Ini ditambahkan pula sikap agensi yang berkaitan seperti acuh tidak acuh untuk menangani permasalahan ini.



Berdasarkan kajian dilapangan, peratusan Penjenayah Alam Sekitar  ini dilakukan oleh dikalangan peniaga kecil  , warga asing, pemandu-pemandu lori dan selebihnya datangnya dari  individu-individu yang cacat saraf fikirannya. Golongan ini kebiasaannya datang dari latar belakang yang kurang berpendidikan dan kurang bercampur gaul dengan manusia. Segala macam keputusan penyelesaian yang dilakukan mereka haruslah murah, senang dan tidak memikirkan kesan jangka panjang kepada pihak lain.

1. Pembuangan Siput Sedut Yang telah mati.


Pada 8 Okt 2013 menjumpai berguni - guni Siput Sedut yang telah mati dan busuk  dibuang ditepi jalan hutan Gombak ~ Genting Sempah . Keadaan Siput Sedut yang telah mati dalam jumlah yang sangat banyak tentunya mengundang bau yang sangat busuk, dan dibiarkan berlarutan begitu lama akan mengundang lalat, ulat dan pelbagai kuman. 



Melalui kiraan yang ternampak oleh mata dilapangan, mendapati ada 11 guni yang dipenuhi dengan Siput Sedut yang telah pun mati dan busuk. Cengkerang siput ini tidak akan hancur lenyap dengan mudah melainkan ianya ditanam didalam tanah ditempat pembuangan sampah khas pada kedalaman yang berpatutan. 


Timbul tanda tanya bagaimana pemandangan sebegini tidak mendatangkan riak positif daripada pegawai-pegawai ronda daripada Jabatan Perhutanan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan yang membuat rondaan secara  berkala dikawasan itu.


2. Pembuangan Tayar Kenderaan Terpakai.

Pada 28 April 2015 secara tidak sengaja terjumpa satu longgokan   , tayar kenderaan terpakai yang telah dibuang jauh didalam gaung. Berdasarkan imej menunjukkan sebahagian tayar yang telah pun terkambus oleh tanah dan daun-daun hutan membuktikan perbuatan Jenayah Sampah ini , dipercayai telah lama dilakukan oleh Penjenayah Sampah. 


Saya tidak yakin akan ada pekerja pembersihan hutan yang rajin berani untuk turun kebawah jurang gaung untuk mengambil tayar-tayar satu persatu, naik keatas demi membersihkan hutan ini daripada terus kekal tercemar disitu.

3. Lambakan Busut-busut Simen Konkrit Pembinaan Di Tepi Hutan.

Pada 22 hb Januari 2014 ketika dalam perjalanan pergi memburung saya telah dikejutkan dengan penemuan 5 busut simen kontrit yang dibuang ditepi jalan. Dipercayai perbuatan jenayah sampah ini didalangi oleh pemandu lori membawa simen konkrit.



Saya tidak faham bagaimana pemandu lori ini boleh membuat keputusan untuk membuang simen konkrit seperti ini ditepi jalan. Tidak kah ia mengetahui bahawa simen kontrit yang dibuang ini akan kekal sampai bila-bila. Tidak dapat saya memahami manusia seperti ini.  Bagaimana tahap pemikirannya  begitu rendah hampir  menyamai pemikiran seekor haiwan.



Sehingga kehari ini sesiapa yang melalui jalan Gombak menuju ke Genting Sempah pasti tidak akan terlepas daripada melihat busut kontrik ini ditepi jalan. Mengikutkan keadaan setempat, perbuatan jenayah ini dilakukan pada waktu malam.





Apapun semua aib sampah ini adalah cerita lama, kerana sampah-sampah yang baru telah pun menggantikan sampah-sampah  lama yang telah hilang entah kemana dibawah gaung hutan.



4. Lambakan Batu Tar Jalan 

Longgokkan seperti ini adalah permandangan biasa di sepanjang jalan Gombak ~ Genting Sempah, kawasan Hutan Simpan Hulu Gombak.





5.Lambakan  Bahan-bahan Buangan Kerja-kerja Pembinaan
Pekerja-pekerja kontrator pembinaan menjadikan tapak ini sebagai tapak pelupusan sampah secara percuma. Setiap kali selesai pembinaan mereka akan datang untuk membuang bahan binaan yang tidak berguna disini. Pada pandangan mereka bahan buangan hanyalah batu-batan dan tanah-tanah sahaja, yang lama kelamaan rumput dan lalang akan melitupan dan tumbuh diatas tanah-tanah yang dibuangnyaada ketika itu permandangan akan menjadi seperti sedia ada.
. P



6. Lambakan Buah-buahan Yang Sudah Busuk

Peniaga-peniaga buah-buahan akan membuang buah-buahan yang tidak laku dan sudah busuk dilokasi ini. Tanggapan mereka disangkakan mulia, kerana buah-buahan ini akan menjadi makanan kepada pelbagai haiwan didalam hutan. Mana-mana buah busuk yang tidak dimakan oleh haiwan, lama kelamaan akan perui hancur meresap kedalam perut tanah yang akhirnya menjadi baja kepada tumbuhan-tumbuhan lain, harapnya andaian tersebut menjadi kenyataan.







7.  Lambakan Organ Dalaman Haiwan Dan Bulu Haiwan Ternakan.

Organ-organ haiwan ternakan telah dibuang disini dalam jumlah yang sangat banyak. Bau organ dan bangkai yang terlalu busuk mencemari udara disekitar laluan ini. Kepada yang menaiki kenderaan tidak akan terkesan akan bau busuk ini. Tetapi kepada pengguna motosikal pasti bau busuk ini akan menggganggu sistem pernafasan mereka.

Tarikh dijumpai pada 5 Julai 2013

Gaung ini dijadikan tempat pembuangan bulu-bulu ayam yang dibuang secara bersiri oleh penjual ayam.
Tarikh di jumpai 24 Okt 2014

Tempat pembuangan organ haiwan ternakan dalam jumlah yang banyak.



8. Pelbagai Jenis Bahan Terbuang


Lihatlah sendiri imej-imej yang dirakam sejak tahun 2009 hingga ke hari ini 2015 . Perbuatan Penjenayah Alam sekitar bermaharajalela melakukan pencemaran kepada Hutan Simpan Hulu Gombak. Setakat ini belum ada  mana-mana agensi yang dipertanggung jawabkan datang untuk  menangani permasalahan ini. 

Bahan gabus dari sisa buangan Peti Sejuk.



Lebihan Tanah-tanah di tapak pembinaan dibuang dikawasan jurang sehingga menutup sebahagian anak sungai kecil dibawah gaung. 

Atap genting yang telah pecah semasa proses  penghantaran ditinggalkan begitu sahaja ditepi jalan oleh pemandu lori.

Palet kayu dilonggokkan begitu sahaja ditepi jalanraya.

Dilokasi yang lain pula longgokan Palet kayu industri dihimpun pada bahu jalan, selebihnya dicampak dibawah jurang. 



Longgokan-longgokan sampah bahan binaan ini ditinggalkan dibahu jalan, sebelum ada penjenayah alam sekitar yang lain datang menggantikan dengan longgokkan yang lain pula. Ia akan bersilih ganti sehinggalah kawasan ini tercemar hasil serapan toksid sampah.




Penjenayah Alam Sekitar tidak langsung menghiraukan kesan musibah yang bakal terjadi kepada makhluk hidupan didalam hutan.


Add caption
Bangkai ini akan dibiarkan sehinggalah ianya akan dikutip oleh pencari besi-besi buruk untuk dijual.

Sisa bahan pembinaan merupakan bahan buangan yang stratijik dibuang dikawasan hutan ini.
Kawasan hutan yang sunyi memudahkan penjenayah sampah meninggalkan segala macam sampah dibahu jalan.
Sampah sarap dibiarkan bertaburan, hasil daripada kumbahan plastik sampah oleh monyet-monyet yang banyak dikawasan ini.


8. Pembuangan Ubat-Ubat Tamat Tempoh

Beberapa penemuan pembuangan ubat-ubatan yang luput tarikh dibeberapa lokasi stratigik  ini cukup mendukacitakan. Apatah lagi lokasi pembuangan ubat-ubatan ini berhampiran dengan anak-anak sungai dibawah gaung. Penjenayah Alam Sekitar langsung tidak memperdulikan akan kesan merbahaya ini. Berdasarkan banyak kesan buangan terdahulu saya tidak menolak bahawa mereka akan datang lagi secara tidak merasa bersalah untuk terus membuangnya dilokasi ini.

Permandangan daripada jalanraya tidak menunjukkan bahawa tempat ini adalah tempat pembuangan sampah. Tetapi jikalau buat peninjauan dibawah gaung pastinya akan merasa terkejut terhadap bahan-bahan buangan yang berada diatas tanah berhampiran dengan anak-anak sungai.
Ditapak-tapak pembuangan ubat-ubat ini terdapat berbagai-bagai jenis ubat yang tidak dipastikan penggunaanya. Apakah agaknya akan terjadi apabila ubat-ubat ini hancur meresap kedalam tanah. Ada sebahagiannya pula sudah terendam didalam anak-anak sungai.
Inilah ubat-ubatan yang telah luput tarikh yang dibuang dalam jumlah yang sangat banyak.
Bilalah agaknya pentadbir-pentadbir yang diberi kepercayaan dapat menjalankan tanggungjawap sebagai penjaga hal ehwal hutan. Berbagai-bagai akta yang dicipta hasil ahli cerdik pandai negara tidak langsung berdaulat.


Akta-akta sediada ini sekadar untuk cetakan didalam buku-buku undang-undang sahaja.  Harapnya dalam waktu yang terdekat ini mereka semua ini akan sedar insaf untuk menjaga hutan Simpan Hulu Gombak ini daripada rosak binasa.

Pemenangan ini adalah pemandangan biasa ditebing hutan , tetapi dibawah gaung terdapat longgokan ubat-ubatan yang sanat banyak.


Hasil siasatan secara tidak sengaja mendapati ada 3 lokasi pembuangan ubat-ubatan ini yang berdekatan antara satu dengan lain.
















9. Pembakaran Hutan .

Penjenayah Alam Sekitar kononnya merasa bertanggung jawab untuk menghapuskan bahan buangan mereka dengan membakar. Kesan daripada itu kadang-kandang api marak tidak terkawal hingga sebahagian hutan terbakar. Adakalanya dibiarkan sahaja hutan terbakar sehingga terpadam dengan sendirinya.




Sampah-sampah dibawah gaung dibakar sehingga sebahagian hutan terbakar.



Hari berikutnya api telah terpadam dengan sendirinya, tetapi sebahagian tumbuhan hutan telah hangus terbakar.

10. Ancaman Manusia Kepada Penghuni Hutan

Sepanjang jalanraya Gombak ke Genting Sempah , terdapat jalan masuk kedalam hutan. Maka ramai orang datang masuk untuk mencari hasil laba hutan. Kepada orang Asli mereka merasakan diri mereka istimewa dan kebal kepada akta-akta perlindungan hidupan liar. 


Setiap hari mereka datang masuk ke dalam hutan untuk mencari sumber makanannya. Habis segala haiwan dan burung ditangkap, dijerat, dan disumpitnya . Ada juga kanak-kanak remaja menjadikan aktiviti masa lapang mereka dengan melestik burung.


Hasil bunuhannya jikalau dinilai dengan akal pastinya tidak memadai untuk dimakan. Burung-burung kecil yang telah dicabut buluhiasnya terlalu kecil, dimana saiz burung bunuhannya itu lebih kecil daripada saiz anak-anak ayam yang baharu menetas.



Mereka bukannya tahu akan spesis-spesis haiwan dan burung yang telah terlindung dalam akta perlindungan hidupan liar. Setiap apa yang terlihat didepan mata akan dilastiknya. Jikalau pekara ini berlanjutan sampai bila-bila ada besar kemungkinan spesis burung yang terancam akan pupus pada suatu hari nanti.


Kepada warga tempatan dan warga asing pula menjadikan hutan ini sebagai medan lapangan mencari sumber pendapatan mereka dengan mendenak dan menjaring burung. Tidak dinafikan ada dikalangan mereka melakukannya secara hobi. Dan tidak kurang menjadikan kerjaya memikat dan mendenak burung sebagai kerjaya yang mendapatkan sumber pendapatan mereka. 


Kita boleh lihat ramai dikalangan pendenak burung akan bermundar-mandir sepanjang jalan Gombak ke Genting Sempah mencari dan mendengar burung-burung idaman. Kebiasaannya pada hujung minggu dan cuti kelepasan am pendenak burung akan menjalankan aktiviti mereka tanpa bersembunyi atau merasa terancam.

Menyamar sebagai pencari Petai.






Bukti jelas aktiviti menjerat haiwan berlaku didalam Hutan Simpan Hulu Gombak.








Berdasarkan masalah yang dihuraikan ini agak-agaknya bidang kuasa agensi manakah yang patut bertindak segera bagi menangani permasaalahan ini. Adakah Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Tanah Daerah Gombak, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Perhilitan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Gombak , Ahli Parlimen Gombak, atau , dan  atau dan atau.

Rasanya kita masih begitu jauh lagi untuk mencapai status sebagai negara maju yang dicadangkan pada tahun 2020. Maju hanya dari sudut kemajuan pembinaan infrastuktur tetapi tidak maju dari sudut pemikiran dan tindak tanduk penyelesaian masalah sejajar sebagai sebuah negara yang maju.

Protokol Kyoto 1997 itu apa ?

Tindakan Positif Dari Agensi Kerajaan


Sejak 15 Julai 2015, keluhan serta rayuan ini ditulis, akhirnya pada 25 May 2016 harapan saya tercapai juga. Saya dapati usaha-usaha penjagaan untuk membersih kiri kanan bahu jalan disepanjang Hutan Simpan Hulu Gombak ini telah mula dijalankan. 


Saya yakin tindakan ini adalah hasil dari kesedaran pegawai-pegawai yang mempunyai kesayangan secara semulajadi terhadap Hutan Simpan Hulu Gombak. Saya hanya menumpang  gembira apabila mendapat tahu maklumat lisan daripada pegawai ditapak, bahawa Pengurusan Hutan bersama-sama Pengawal Selia Jalan iaitu Syarikat RoadCare telah mula melakukan tindakan positif. Usaha Syarikat RoadCare  yang telah melantik Kontraktor Pembersihan Hafiz Bahrin sebagai kontraktor pembersihan disepanjang jalanraya dari Gombak sehingga ke Bukit Tinggi adalah usaha yang sangat dialu-alukan.


Terkini hampir semua sampah-sampah pejal dan bungkah-bungkah konkrit yang berada dibahu jalan telah pun dialih dan dibuang ke tempat sepatutunya oleh pihak kontraktor yang dilantik. Cabaran yang bakal dihadapi sekarang, adalah bagaimana untuk mendidik penjenayah sampah supaya tidak mengulangi  perbuatan yang tidak bertanggung jawab ini terhadap Hutan Simpan Hulu Gombak, adalah merunsingkan.



Cita-cita untuk melihat bahu-bahu jalan disepanjang jalanraya menjadi bersih dan indah akan terlaksana sedikit masa lagi apabila kawasan yang telah dibersihkan itu akan ditumbuhi dengan tumbuhan-tumbuhan semulajadi. Keadaan udara nyaman dan segar bakal kita rasai bersama-sama sepertimana keadaan pada tahun-tahun 60an dan 70an.   


Tindakan Positif Daripada Syarikat Ubat Swasta

Setelah semakin lama, maka tekanan halimunan mula datang menghantui penjenayah sampah, dimana Pada 20 Jun 2016 secara tidak dirancang saya terlihat sebuah lori dibahu jalan. Seperti didorong meninjau untuk kelokasi tersebut. Kelihatan   8 orang pekerja. yang sedang mengutip ubat-ubat tarikh luput dibawah juram di tempat ubat-ubat dibuang, yang pernah saya ceritakan didalam blog Red Door To Hunt dahulu. 

Hasil perbualan lisan dengan pegawai Syarikat Ubat tersebut, pegawai itu menyatakan sejurus mengetahui perkara ini berlaku dalam akhbar Kosmo mereka sendiri telah datang bergegas mengutip semua ubat-ubat di 3 lokasi pembuangan ubat-ubat luput tarikh itu.

Pegawai itu menjelaskan pekara ini terjadi disebabkan sikap tidak bertanggungjawab dari pihak syarikat lori yang telah mereka lantik untuk membuang kelokasi yang tetapkan, sebaliknya syarikat lori tersebut membuangnya didalam Hutan Simpan Hulu Gombak, kerana penjimatan kos.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          
Kelihatan 8 orang pekerja sedang mengutip satu persatu ubat-ubat dan dikumpulkan dalam satu karong pelastik sebelum dibawa naik ke atas lalu dimasukkan didalam lori. Tidak lama kemudian datang 2 orang wartawan yang memperkenalkan dirinya untuk menemu bual pegawai Syarikat Ubat. Pada saat itu saya telah mula meninggalkan lokasi.

Pegawai itu menambah fagi Syarikat Ubat hanya diberikan amaran keras oleh Jabatan Alam Sekitar  tidak mengenakan denda kepada Syarikat Ubat keatas kesalahan pencemaran bahan perubatan sebaliknya di beri amaran keras sahaja. Wasalam.

Keadaan Terkini .



Tidak dapat dipastikan mengapa kontraktor pembersihan yang dilantik, seperti tidak menjalankan tugasan yang diamanahkan. Dilihat lebih banyak lagi sampah-sampah dibuang ditepi-tepi jalan sepanjang laluan di Hutan Simpan Hulu Gombak ini. Kegembiraan saya hanya sementara  sahaja.














Memang telah ditakdirkan bangsa kita Malaysia adalah dari kalangan masyarakat yang mengamalkan budaya hidup yang pengotor dan jijik. Mereka gemar dan sentiasa merasa megah membuang sampah  ditempat yang tidak sepatutnya. Walau diturunkan Nabi untuk memberi petunjuk supaya berhijrah daripada makhluk yang membuang sampah kepada manusia pembersih, pasti tidak akan di endahkannya. Malah akan ditempelak kepada kita pula dengan kata-kata kesat yang menyakitkan hati. Dari itu teruskan lah amalan pengotor itu untuk seribu tahun lagi. Wasalam.














































































Monday, 6 July 2015

Belatik perang~ Sasia abnormis


Mengapa Masih Degil ?

Sudah agak lama saya tidak bertemu dengan burung Belatik perang~ Sasia abnormis ini, mungkin kerana saya telah puas melihat dan merakam burung ini, atau saya tidak memberikan tumpuan bersungguh-sungguh untuk mencarinya.

Baru-baru ini secara tanpa dicari-cari pasangan burung Belatik perang~ Sasia abnormis ini terbang hinggap pada batang pokok mati, berhampiran tempat saya sedang berdiri. Memang diakui merakam imej burung dalam suasana suram dalam keadaan burung tidak henti-henti mematuk-matuk batang kayu, tidak menjamin memperolehi rakaman yang baik. Pada ketika itu burung tidak merasa terancam walaupun berada dalam kedudukan yang hampir dengannya. Masa yang diberikan agak lama juga , lebih kurang hampir 20 minit. Dalam tempoh tersebut saya berjaya membuat lebih kurang 60 rakaman, namun begitu tidak semua rakaman mendapat rakaman yang berkualiti ( Mengikut Kualiti Kayu Pengukur Diri Sendiri ).
 
 

Pekara ini terjadi kerana saya berperinsip, hasil rakaman haruslah sama dengan suasana apa yang dilihat oleh mata dilapangan ketika itu. Sekiranya burung berada dihabitat yang terang dan lapang dengan cahaya semulajadi maka hasil cerapan rakaman akan menjadi jelas, terang dan tajam. Jikalau suasana didalam hutan dibawah knopi pokok atau rimbunan daun/dahan maka hasil rakaman akan menjadi sebaliknya iaitu suram, tetapi memastikan imej itu harus jelas dan tajam. Sepertimana rakaman imej-imej burung Belatik perang~ Sasia abnormis ini.


Cabaran dan kepayahan yang dialami ketika membuat rakaman dalam suasana yang suram ialah lensa dan kamera tidak dapat membuat fokus pada subjek dengan tepat dan cepat. Bila mana fokus telah mengena pada subjek , subjek pula bergerak dan mematuk-matuk batang kayu. Sedangkan formula shutter speed hanyalah 1/40, 1/50 , 1/60 sahaja. Manakala F.Stop yang digunakan antara F 4, F 5 dan kadang kala memberanikan diri menggunakan F 6.3 dan F 7, ISO pula hanya sekadar 250 sahaja. Cabaran kesukaran ini ditambah pula dengan  tidak menggunakan Tripod.


Soalannya mengapa saya tidak meningkatkan jumlah ISO kepada 1000 atau 2000 bagi membantu saya mendapatkan formula Shutterspeed 1/150 atau 1/200 yang boleh mendapatkan imej yang lebih terang dan jelas.? Jawapannya saya sendiri tidak faham kenapa saya tidak menggunakan keupayaan alat rakaman yang tersedia.  Sedangkan ISO jumlah tinggi untuk kamera ini tidak menjelmakan "Noise" yang ketara. Ya betul, tetapi dengan syarat imej itu tidak di kerat / "Crop" ( dengan izin ). Tetapi hakikatnya imej bakal dikerat/ "Crop", kerana saya menggunakan lensa kejauhan 300mm sahaja tanpa TC. Lainlah jikalau saya memakai lensa 500mm tentunya "Noise" tidak akan menjelma kerana saiz imej masih lagi dalam jumlah yang besar. Itupun dengan syarat saya belum pernah merakam imej burung yang tidak pernah saya rakam, hanya sekadar  rakaman penting keselamatan dan pengenalan spesis burung. Setelah berjaya mendapatkan imej keselamatan dan pengenalan saya akan kembali semula menerapkan gaya seni rakaman saya sambil menyahut cabaran yang terhidang dengan teruja dan gembira. 


Hakikatnya saya tidak mahu imej rakaman saya sama seperti imej-imej burung yang lain , umpama imej yang disalinan antara satu sama yang lain. Walaupun saya akuinya sangat cantik dan menarik pada setiap pemandangan mata. Saya mahukan imej saya mempunyai seni gaya rakaman tersendiri yang menimbulkan rasa senang hati dan gembira diri sendiri, tanpa terikut-ikut dengan trend dan gaya seni rakaman pakar photografi yang sedia ada.


Saya tidak pula mengatakan imej rakaman burung yang terang , cantik dan jelas yang  dirakam dalam suasana suram itu salah dan tidak elok. Dan pengkritik imej rakaman saya yang suram dan tidak berapa terang, tidak pula boleh mendakwa gaya saya itu salah dan tidak menarik sedangkan itulah suasana sebenar yang dilihat pada ketika imej dirakam. Wasalam.

Wednesday, 1 July 2015

Rekod Bersarang Burung Takau Dada perak~Serilophus lunatus Di Sungai Congkak Ulu Langat


Takau Dada perak~Serilophus lunatus




Di Semenanjung Malaysia spesis Burung Takau Dada perak~Serilophus lunatus pada kebiasaannya dijumpai pada habitat kawasan hutan pertengahan tinggi dan hutan tanah tinggi, seperti di Freazer Hill, Cameron Highland, Bukit Larut, Gunung Telapak Buruk, Rumah Pam Air Lama - Genting Highland, Bukit Tinggi Bentong.

Burung dewasa sedang membawa bahan-bahan yang dikutip untuk dianyam menjadi sarang berbentuk buah kelapa.


Saya masih ingat lagi pada permulaan memburung dahulu ditahun-tahun 2006-2007 mengidam sekali untuk melihat dan merakam spesis burung ini, terpaksalah berusaha pergi ke lokasi yang disebut diatas. Pada saya, untuk melihat burung yang comel ini amatlah susah jika bukan dimusim burung mengawan dan bersarang. 

Burung dewasa sedang melakukan proses eraman




Ketika itu terpaksa menunggu pada bulan Februari hingga Jun untuk memudahkan saya melihat dan merakam perilaku burung ini. Pada kebiasaannya spesis burung ini membuat sarang pada hujung ranting pokok pada tahap ketinggian antara 5 ke 6 meter pada paras lantai tanah. Sarangnya seakan akan sarang Burung Tempua~Ploceus philippinus tetapi hasil bentuk senibinanya tidak kemas.


Apa yang hendak diceritakan kali ini ialah penemuan yang sangat jarang berlaku sejak saya memburung, malah tidak pernah ada laporan sebelum ini berkenaan spesis burung ini bersarang di kawasan habitat Hutan tanah rendah. Ini disahkan secara lisan oleh Guru saya Saudara Mike Chong. Ketika ditahun 2010 saya telah menjumpai burung ini membuat sarang di Hutan Simpan Hulu Gombak, tetapi kedudukan lokasi sarangnya diketinggian 400 ke 500 meter pada aras laut.

Bentuk sarang yang dijumpai di Hutan Simpan Hulu Gombak pada 22 May 2010

Burung dewasa sedang aktif membawa bahan binaan sarang di Hutan Simpan Hulu Gombak



Pada 10 March 2015, saya telah menjumpai seekor burung Takau Dada perak~Serilophus lunatus sedang merayau-rayau mencari makan bersama kumpulan ombak burung di Hutan Simpan Sungai Congkak. Pada ketika itu penemuan tersebut boleh disifatkan seperti " terkadang-kadang" , sepertimana yang disifatkan oleh Guru saya. Namun begitu pada 29 Jun 2015 saya telah diberitahu oleh rakan Jurugambar Burung, yang beliau telah ternampak spesis ini bersarang di kawasan tempat  saya menjumpai pada 10 March 2015 yang lalu.

Burung dewasa yang dijumpai di Hutan Simpan Sungai Congkak pada 10 Mac 2015

Peninggalan sarang burung Takau Dada perak~Serilophus lunatus yang dijumpai pada 29 Jun 2015 yang lalu di Hutan Simpan Sungai Congkak.


Setelah melihat bentuk sarang yang tergantung pada hujung ranting pokok, maka memanglah sah bahawa itulah sarangnya burung Takau Dada perak~Serilophus lunatus. Anak burung telah berjaya menamatkan proses pembesaran didalam sarang tanpa sebarang kacau ganggu daripada mana-mana pihak. Yang mana anak burung telah berjaya keluar mengekori ibubapanya terbang bebas masuk kedalam hutan.Bermakna rekod di  Musim 2015 ini pasangan tersebut telah berjaya membiakkan zuriatnya di Hutan Simpan Sungai Congkak.


Lokasi sarang yang dipilih adalah berlainan sekali dengan lokasi sarang yang pernah saya temuinya di tempat-tempat lain, iaitu diatas laluan orang ramai , tetapi di Hutan Lipur Sungai Congkak lokasi sarangnya  dibuat diatas pokok dibawahnya terdapat sebatang anak sungai. Lokasi sarang ini , adalah menyerupai dengan lokasi sarang yang dibina oleh spesis Burung Takau Hitam dan merah~Cymbirhynchus macrorhynchos iaitu diatas anak sungai atau berhampiran dengan dikawasan air.



Apa yang dapat diperhatikan bahan binaan sarang  Takau Dada perak~Serilophus lunatus di Sungai Congkak ada sedikit kelainan daripada yang biasa dilihat, mungkin faktor tumbuhan disekitar hutan ini mempengaruhi mereka membuat penyesuaian bahan binaan sarang. Kedudukan ketinggian sangkutan sarang pada ranting pokok juga dilihat agak berbeza, yang mana di Hutan Lipur Sungai Congkak adalah lebih tinggi daripada ditempat-tempat lain.



Jikalau sebelum ini  saya melihat spesis burung Murai Kampong~Copsychus saularis, Merbah Leher lorek~Pycnontus finlaysoni, Merbah Punggung -kuning Pycnonotus goiavier,  Perincit Biasa~Ortholomus sutorius , Sualo Pasifik~Hirundo tahitica, Walit Rumah~Apus affinis dan Helang Ular berjambul~Spilornis cheela dijumpai di kawasan pergunungan Tanah Tinggi Ulu Kali. Terkini saya berpeluang pula menyaksikan Burung  Takau Dada perak~Serilophus lunatus yang kebiasaannya dilihat dikawasan tanah tinggi,  dijumpai  bersarang dikawasan hutan tanah pamah.


Kawasan sekitar dimana Takau Dada perak~Serilophus lunatus membuat sarang dan bersarang sehingga anak burung berjaya terbang keluar mengekori ibubapanya pada 26 Jun 2015.


Burung adalah bebas untuk membuat keputusannya sendiri berdasarkan kehendak nalurinya sendiri pada ketika ia membuat keputusan, yang terkadang-kadang membuatkan manusia kelu untuk mendapatkan jawapan atas apa alasan yang mereka telah lakukan. Wasalam.