Sunday, 15 November 2015

Tinggalan Pembinaan Takungan Bekalan Air Bersih Zaman British Di Semenanjung Tanah Melayu.



Tinggalan Pembinaan Takungan Bekalan Air Bersih Zaman British Di Semenanjung Tanah Melayu.


Saya tertarik dengan tinggalan pembinaan takungan air bersih didalam hutan rimba yang telah lama terbiar dan tidak digunakan lagi. Saya menjangkakan pembinaan takungan air ini telah dibina  sekitar tahun 1920 an oleh Pemerintahan British. Berdasarkan cerita lisan daripada orang tua  Kampong Klang Gate bekalan air bersih ini adalah untuk kegunaan penduduk di kawasan sebelah Ampang, Selangor.

Berdasarkan tinggalan tapak pembinaan ini, projek ini saya jangkakan memakan belanja yang mahal pada ketika itu dan ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan . Bermula daripada kerja-kerja pemilihan lokasi sesuai anak sungai, kerja-kerja mengukur , penyediaan plan pembinaan, penyediaan bahan-bahan binaan,  membawa masuk bahan-bahan binaan ke lokasi pembinaan, tenaga buruh yang ramai dan tenaga pakar mahir pembinaan.

Tidak banyak maklumat yang boleh diperolehi tentang pembinaan ini, cuma hanya melihat sahaja bukti tinggalan pembinaan yang masih kukuh. Berapa lama penggunanya  dan bila ia dihentikan perkhidmatan juga tidak diketahui. Wasalam.






































Wednesday, 11 November 2015

Burung Eksotik Yang Terlepas Dari Kurungan


 Sekendi Hadada~ Bostrychia Hagedash~Hadada Ibis

Pada 6 November 2015, saya teruja melihat seekor burung  Sekendi Hadada~Bostrychia hagedash yang sedang bertenggek sambil berjemur mengeringkan buluhiasnya diatas tiang lampu di sebatang jalan di Pandan Indah. Burung ini pernah saya lihat pada 27 Oktober 2013 di sekitar Taman Tasik Perdana dahulu.


Dijumpai pada 6 Nov 2015


Dijumpai pada tahun 2010.


Dijumpai pada 27 Okt 2013




Kerap kali menjumpai burung jantan ini mencari makanan.



Pada ketika itu saya menyangka burung ini dalam proses perjalanan hijrahnya. Tetapi setelah bertanyakan kepada Guru saya Saudara Mike Chong, beliau memberi tahu bahawa burung Sekendi Hadada~~Bostrychia hagedash adalah burung yang terlepas daripada kandang kurungan.


Untuk membuat cadangan burung ini berstatuskan burung hijrah adalah sangat tipis. Kerana tempat asal kepada burung Sekendi Hadada~Bostrychia hagedash adalah dibenua Afrika, seperti di Afrika Selatan dan Mahgribi. Kemungkinan terlepas dari  Zoo Negara atau pun dari Taman Burung Kuala Lumpur adalah lebih tepat.





Apa yang menarik perhatian saya, burung yang terlepas ini telah mula membiak  dan menyesuaikan diri dipersekitar dinegara kita ini. Jikalau dahulu menjumpainya hanya bersendirian tetapi kini menjumpainya dalam jumlah  3 ekor . Keadaan ini memungkinkan ia akan terus membiak sepertimana yang terjadi dengan burung  Upeh-botak~Mycteria leucocephala.



Pekara yang sama juga berlaku kepada Parot Kelabu-Afrika~Psittacus erithacus erithacus yang saya jumpai pada tahun 2010 berpasangan terbang bebas dihabitat yang baharu. Saya percaya pada kebiasaannya  mereka cepat menyesuaikan diri dengan keadaan alam sekitar dinegara kita ini. Dan saya percaya banyak lagi spesis burung dari luar negara yang terlepas atau dilepaskan dihabitat negara kita yang kita tidak ketahui.



Masalah ini sering kali disuarakan oleh pencinta hidupan liar tempatan, dan saya juga sehaluan dengan pandangan mereka itu. Masalah ini dicipta oleh peminat-peminat membela haiwan eksotik warga tempatan negara yang hanya mementingkan hawa nafsu mereka sendiri sahaja


Tidak langsung memikirkan kesan buruk yang bakal berlaku dimasa akan datang kepada hidupan liar asal negara ini. Masalah ini akan timbul bila mana mereka telah jemu membela atau tidak berkemampuan menjagai hidupan eksotik itu seterusnya membuat keputusan melepaskannya dihutan atau belukar. 



Perkara yang sama juga terjadi apabila Zoo-Zoo persendirian terlepas secara tidak disegajakan   kerana pengurusan kandang tidak diselia dengan baik. Ada besar kemungkinan 20 tahun akan datang jumlah burung ini akan bertambah banyak sepertimana yang berlaku dengan spesis burung Gagak rumah~Corvus splendens. Pada ketika itu burung Sekendi Hadada~Bostrychia hagedash pasti akan mendapat status " Burung-burung yang boleh ditemui di Malaysia " sepertimana burung Gagak Rumah~Corvus splendens.


Dalam bab ini, burung tidak berhak untuk dipersalahkan kerana mereka tidak tahu menahu, tetapi manusialah yang harus dipersalahkan sepenuhnya. Daripada orang yang terlibat membawa masuk, meluluskan kebenaran membawa masuk, orang yang membeli dan membelanya sehingga terlepas atau melepaskan. Asas utama masalah ini terjadi disebabkan golongan manusia yang rakus ingin mencari laba keuntungan keatas hidupan liar. Wasalam.


Tuesday, 10 November 2015

Kasumba Kepala merah~Harpectes erythrocephalus


Kasumba Kepala merah~Harpectes erythrocephalus










Setelah hampir 1 bulan sejak 1 Oktober 2015 terpaksa berehat daripada memburung disebabkan  kerosakkan " Papan Utama " dan DC-DC kamera . Kerosakan ini adalah pertama kali berlaku sejak mengunakannya dari tahun 2010. Pihak Juruteknik kamera tidak dapat mengenal pasti apa puncanya menyebabkan ia rosak. Tetapi saya menjangkakan akibat penggunakan kamera secara kerap setiap hari sejak 5 tahun dahulu menjadi punca utama ia rosak.


Papan Utama & DC-DC Kamera yang ditukar.

Seperti biasa pagi-pagi keluar memburung saya tidak mempunyai tuju arah kemana lokasi memburung yang akan memberi kegembiraan pada hati. Hanya mengikut naluri  dan sedikit nasib yang menentukan lokasi memburung samada beruntung atau tidak. Jika tidak bertemu apa-apa, pulanglah dengan senang hati tetapi jikalau bertemu dengan burung idaman maka gembiralah hati. Serahkan nasib bulat-bulat pada Allah, kerana tatacara dan adab berhubung dengan alam semulajadi semuanya adalah menyenangkan hati.






Tidak dapat digambarkan dengan perkataan perasaan kegembiraan apabila bertemu burung ini didalam hujan dikawasan Hutan Tanah Tinggi. Pada ketika itu burung betina ini  sedang bertenggek diam pada ranting sambil  menoleh  perlahan-lahan lehernya, kalau- kalau ternampak  sumber makanan. Ia akan melompat terbang menyambar serangga pada daun-daun dan hinggap pula keranting lain untuk proses penghadaman. Proses ini dilakukan sehinggalah burung ini hilang terbang masuk jauh kedalam hutan.  Walaupun pergerakkan tidak bingkas tetapi keadaan tidak menyebelahi saya untuk membuat rakaman sempurna. 



Dalam keadaan hujan renyai-renyai, cahaya yang malap dan membuat rakaman tanpa menggunakan tripod, alat rakaman hanya berupaya membuat kelajuan cerapan 1/30 - 40 dan pembukaan F 4 - F 5 dengan bantuan ISO 400. Daripada 39 cerapan rakaman imej yang berjaya dilakukan, hanya beberapa imej yang boleh diterima.Namun begitu dengan bantuan nasib dan sedikit pengalaman dapat jua beberapa imej rakaman yang mengembirakan hati.







Walaubagaimana pun  saya  bergembira dengan hasil semua rakaman ini kerana tidak menggunakan kaedah rakaman yang tidak dipersetujui oleh Pemburung-pemburung Tulen. Iaitu tidak menggunakan apa-apa peralatan bantuan memanggil burung bertujuan menarik perhatian burung  untuk memperoleh banyak peluang merakam sehingga mendapat rakaman sempurna. 



Saya selesa dan gembira dengan kaedah sebegini kerana ia mendatangkan cabaran sebenar yang tulen, bukannya dengan cabaran yang palsu. Kita akan merasa lebih nikmat dan gembira bila cabaran semulajadi yang diberikan kepada kita itu dapat dijelmakan dengan hasil yang baik pada pandangan diri sendiri. Semuanya atas diri kita sendiri, bagaimana caranya untuk mendapatkan rakaman yang terbaik dalam suasana yang sangat susah. Wasalam.

Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus

Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus


Burung Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus  adalah antara burung hijrah yang sukar untuk kita melihatnya, apatah lagi ingin merakam imejnya. Perangainya yang tersangat pemalu hinggakan, sepanjang  9 tahun memburung cuma 3 kali sahaja pengalaman dapat melihatnya. Kali pertama melihatnya ketika menjumpainya mati ditepi jalan akibat kemalangan Langgar Lari di Bidor , Perak.




Ketika itu , sebahagian anggota tubuh  burung dalam keadaan cedera yang teruk dan agak sedikit mengerikan. Namun begitu  pelajaran saya ketika itu ialah mengetahui keadaan bentuk saiz tubuh badan dan warna buluhias burung. Sekilas mata memandang warna buluhias, hampir menyamai dengan keluarga burung But-but. 


Keadaan yang menyedihkan ketika dijumpainya buat pertama kali.



Pengalaman yang ke 2 pula melihatnya dari jarak yang dekat dengan sepuas-puasnya di Ulu Kali. Peluang itu dialami setelah sahabat saya Saudara Muhammad Muhir Hj.Daud memaklumkan kepada saya bahawa kawannya telah menangkap burung Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus. 



Ketika burung ditangkap ia duduk diam  keletihan kerana   mengharungi hujan dan angin kencang semasa perjalanan hijrahnya. Pengalaman itu telah menambah lagi sedikit maklumat tentang hal ehwal penghalusan ciri-ciri maklumat burung Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus.








Baru-baru ini pada awal bulan November 2015, secara tidak sengaja telah bertemu dengan burung ini yang sedang merayau-rayau mencari makanannya ditepi Sungai Klang. Daripada pemerhatian peribadi, burung  Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus bukanlah sejenis burung yang mempunyai keupayaan untuk terbang tinggi untuk satu jangkamasa yang lama. Dimana pelepah sayapnya tidak terlalu lebar  dan agak sedikit pendek, bersesuaian dengan ciri-ciri keluarga burung Khukhu yang lain. 


Khukhu Cecawi~Surniculus lugubris

Berdasarkan pengalaman melihat dan merakam spesis burung ini, tanggapan saya  burung ini memanglah cukup pemalu untuk menampilkan dirinya dikawasan terbuka. Ia akan berhenti dan menjadikan satu lokasi yang dipercayainya terdapat sumber makanannya yang banyak untuk beberapa hari  sebelum meneruskan perjalanan hijrahnya.

Khukhu Sayu~Cocomantis merulinus menunggu diatas pokok memerhatikan ulat-ulat untuk dimakannya.

Burung ini menjadikan sepohon pokok buah-buahan yang telah diserang oleh ulat-ulat daun sebagai lokasi lubok makanannya.  Mereka seperti bergilir-gilir datang untuk mencari ulat-ulat perosak daun sebagai diet makanannya. Ini membuktikan burung-burung merupakan agen penghapus perosak tanaman yang membantu menjaga tanaman manusia.

Ulat-ulat sedang memakan daun pokok buah.



Keadaan kesan daun-daun yang rosak diserang oleh ulat.

Perilaku mencari makanan antara burung Khukhu Sayu~Cocomantis merulinus, Khukhu Cecawi~Surniculus lugubris dan Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus adalah sangat berbeza. Khukhu Sayu~Cocomantis merulinus dan Khukhu Cecawi~Surniculus lugubris akan hinggap diam pada ranting pokok sambil memerhatikan ulat-ulat dicelah-celah daun dan ranting sebelum menyambar dan memakannya diatas pokok itu.

Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus sedang menyorok sambil memerhatikan ulat-ulat bersebelahan pokok buah-buahan.

Manakala  Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus pula akan menyorok diatas pokok berhampiran sambil membuat pemerhatian ulat-ulat yang merayap atas daunan dan ranting sebelum  datang terbang bergayut dan menyambar ulat. Sejurus itu dengan pantas pula ia akan terbang kelokasi yang berhampiran dan tersorok untuk menghadam makanannya itu.



Apa yang menarik perhatian saya burung Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus ini mempunyai satu kaedah muslihat untuk ia tidak dikesan oleh " sipemberi takut " iaitu orang yang berniat untuk menjejaknya.



Burung ini akan menampilkan dirinya dilokasi pencarian makanannya buat seketika untuk tujuan menarik perhatian. Kemudian ia akan terbang ke arah pokok yang jauh , seolah-olah ia telah terbang meninggalkan lokasi itu. Tetapi tanpa kita sedari secara senyap ia akan terbang berpatah balik secara senyap masuk menyorok diatas pokok yang berhampiran lokasi mencari makannya. Orang yang tidak berpengalaman kebiasaannya akan tertipu akan helah seperti ini dan meninggalkan lokasi setelah mendapati burung telah terbang jauh. Wasalam.