Thursday, 4 April 2019

Tata Cara Mengambil Madu Lebah Pokok Tualang Di Kampong Pagi, Kuala Tembeling Jerantut Pahang



Tata Cara Mengambil Madu Lebah Atas Pokok Tualang Di Kampong Pagi, Ulu Tembeling Jerantut Pahang Darul Makmur

Rosla Bin Mustakim
Red Door To Hunt


Alamat Email Penulis: rosla.m3@gmail.com
Tarikh: 7 April 2019




Abstrak


Pokok Tualang~Koompassia excelsa antara spesies pokok hutan Tropika tertinggi yang tumbuh hidup  subur didalam hutan di Semenanjung Malaysia. Spesies Pokok Tualang~Koompassia excelsa adalah salah satu pokok yang  menjadi pilihan  koloni Lebah membuat sarang-sarang mereka pada dahan diatas pokok ini.  Sifat fizikal pokok ini yang tumbuh tegap kukuh serta tinggi dengan permukaan kulit batang pokok yang licin menjadi pelindung semulajadi daripada ancaman musuh. Di Semenanjung Malaysia madu lebah yang dituai dari kawasan hutan berhampiran Kampong Pagi , Ulu Tembeling Jerantut dipercayai mempunyai kualiti yang terbaik. Ini disebabkan koloni lebah-lebah mendapat sumber manisan madu bunga daripada khazanah pokok-pokok  hutan dara yang tidak tercemar. Bebas dari segala macam baja kimia mahu pun dari racun perosak. Hutan Simpan Taman Negara yang berusia 130 juta tahun mempunyai udara segar dan bersih menyimpan khazanah alam asli tidak pernah terokai untuk aktiviti ekonomi atau pertanian. Memandangkan  hutan ini sahaja kawasan hutan terakhir bebas daripada segala macam pencemaran. Maka hasil tuaian madu disini yang lebih dikenali dengan Madu Tualang Kampong Pagi adalah madu berkualiti tinggi dan antara yang terbaik di Semenanjung Malaysia.  



Pokok Tualang~Koompassia excelsa

Mukadimah

Untuk mendapatkan madu lebah yang asli di kawasan hutan simpan Taman Negara Ulu Tembeling Jerantut Pahang adalah tergantung kepada beberapa faktor alam semulajadi. Ia bukan boleh dituai pada bila-bila masa sepanjang tahun, kerana koloni lebah mendapatkan sumber manisan dari tumbuhan pokok-pokok hutan yang berbunga mengikut musim dan cuaca. Jikalau musim bergerak mengikut seperti mana kesesuaian koloni lebah membuat sarang. Maka Pencari Madu Lebah harus berusaha terlebih dahulu mencari lokasi pokok tempat sarang lebah dibina didalam hutan. Lebah membuat sarang di atas  Pokok Tualang~Koompassia excelsa yang matang pada ketinggian antara 36 ke 50 meter tinggi dari paras lantai tanah. Perbandingan ketinggian itu dianggarkan sama dengan " 4 batang tiang elektrik ". Setelah dapat mengenal pasti lokasi sarang lebah, mereka akan merancang dan menetapkan tarikh tuaian madu  dapat dilakukan.  Tuaian hanya dilakukan pada waktu malam yang gelap , dimana bulan tidak mengembang mengeluarkan cahaya terang. Tuaian madu lebah tidak dapat dilakukan pada waktu hari hujan dan  angin bertiup kencang . Sekiranya semua berjalan sepertimana yang dirancang, pada ketika itu barulah operasi menuai madu lebah boleh dilakukan. Jumlah madu lebah yang telah dapat dituai itu bergantung kepada saiz sarang-sarang lebah yang dijumpai. Operasi menuai madu lebah diatas Pokok Tualang~Koompassia excelsa merupakan satu pekerjaan yang cukup merbahaya, rumit dan memenatkan. Ia memerlukan keberanian, mempunyai ketahanan menerima sengatan, tidak gayat pada ketinggian, ramai tenaga yang cekap dan  berpengalaman. 


Kekunci Kata:- Pencari Madu Lebah, Madu Tualang Kampong Pagi , Pokok Tualang~Koompassia excelsa, Taman Negara Ulu Tembeling Jerantut Pahang .




KAEDAH  DIGUNAKAN DALAM PEMERHATIAN/ KAJIAN & ALAT YANG DIGUNAKAN


Semua sumber matlumat didalam penulisan ini adalah berdasarkan dari hasil sesi soal bicara secara lisan dengan Pencari Madu berpengalaman. Beliau masih aktif melakukan kerja-kerja mencari madu di Kampong Pagi, Ulu Tembeling  Jerantut Pahang sehingga tarikh penulisan ini dibuat. Ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada Saudara Wan Chik @ Pak Teh dan Saudara Razak kerana berkesanggupan berkongsi pengalamannya secara terperinci dalam melakukan tata kerja menuai Madu Lebah diatas Pokok Tualang~Koompassia excelsa. Alat bantuan kajian yang digunakan adalah Teropong Carl Zess, Kamera Panasonic Lumix LX7 untuk rakaman video, Kamera DSLR Canon 7D  , Kamera DSLR Canon Mark 7D II, Canon Micro F2.8 L Prime Lens 100 mm, Canon  F4 L Prime Lens 300mm dan Canon Zoom Wide EF-S 10-22mm Lens.





KEPUTUSAN & PERBINCANGAN


Kakitangan, Pembahagian Tugasan & Peralatan Diperlukan.

Pekerjaan menuai madu lebah dari Pokok Tualang~Koompassia excelsa memerlukan sekurang-kurangnya  7 orang pekerja yang berpengalaman. Setiap kakitangan mempunyai kepakaran bidang tugasan masing-masing. Bidang tugasan dalam pekerjaan menuai madu lebah itu terbahagi kepada tiga bidang pekerjaan.  Kerja-kerja menaik & menurunkan tali, memasang tali , kerja memanjat serta menuai madu lebah. Setiap orang telah dipertanggung jawabkan melaksanakan tugasan yang  telah dibahagi-bahagikan tugasnya.  Diantara sesama mereka akan bekerja bergotong royong menyediakan peralatan dan alat bantuan perlaksanaan tugas. Peralatan yang diperlukan adalah seperti berikut:- 

1. Kerja-kerja menaikkan tali keatas pokok.
2. Kerja-kerja memasang tali diatas pokok.

a.Lastik Kayu
b.Batu ladong
c.Benang Tangsi / Tali Tangsi yang panjang bersesuaian dengan ketinggian pokok Tualang.
d.Tali saiz ukuran halus.
e.Tali saiz ukuran sederhana.
f.Tali saiz ukuran tebal /terbesar.
g.Takal ( Pulley)





3. Kerja-kerja memanjat pokok dan menuai madu lebah.

a. 10 ke 12 batang paku saiz 6 inci.
b. Tukul Besi.
c. Pisau atau Badik.
d. Andang
e. Pemetik Api.
f. Bakul










Waktu Perlaksanaan Dan Tata Cara Menuai Madu Lebah 


Waktu Perlaksanaan

Mengikut kalender Hijrah Melayu, cuma ada beberapa hari sahaja cahaya bulan tidak kelihatan pada waktu malam. Maka  penentuan untuk melakukan kerja-kerja menuai madu lebah memerlukan kata persepakatan  dan kesungguhan diantara mereka. 

Setelah mendapat keputusan, pada hari yang dijanjikan mereka akan berkumpul dijeti dengan membawa semua peralatan yang diperlukan. Kerja-kerja mengangkat  menyusun peralatan bantuan dan bekalan makanan ke dalam bot-bot panjang yang bakal digunakan. Setelah selesai semua urusan tersebut, pada kebiasaannya mereka akan memulakan perjalanan pada sebelah petang antara jam 3:00 ke 4:00 petang.  Pertimbangan  itu berdasarkan jarak lokasi sarang, samada yang berada jauh didalam hutan atau sebaliknya. Mereka akan mencari tempat melabuhkan bot-bot mereka dilokasi yang sesuai dengan jarak yang paling dekat dari lokasi Sarang Lebah Pokok Tualang. Dari situ mereka bekerjasama  membawa semua beban peralatan dan bekalan makanan. Perjalanan berjalan kaki meredah hutan  ke lokasi sarang lebah, harus sampai pada waktu sebelum matahari terbenam. Tujuannya untuk memudahkan, merancang kerja-kerja dengan lebih kemas dan teratur. Supaya mendapat rehat secukupnya dari kepenatan membawa beban. Sekiranya cuaca mengizinkan sepertimana yang dijangkakan, maka  kerja-kerja menuai madu lebah akan dimulakan selepas selesai solat maghrib.





Tata Cara Menuai Madu Lebah

Tukang panjat pokok merangkap mengambil madu lebah terlebih dahulu akan berbincang dengan pakar lestik . Mereka membincangkan untuk memilih dahan  paling hampir pada lokasi  sarang untuk menyangkutkan tali. Supaya Tukang panjat tidak perlu sia-sia membuang tenaga untuk memanjat lebih tinggi. Tenaga diperlukan untuk membuat tangga paku yang bertingkat-tingkat, memudahkan dia berpaut ketika kerja-kerja menuai madu dilakukan nanti. Dalam gelap gelita Tukang lastik menyediakan batu ladong yang telah diikat dengan benang tangsi, untuk dituju ke arah dahan yang telah mereka pilih. Sebagai tukang lastik mahir, kemana sahaja yang dikehendai oleh tukang panjat dia akan melaksanakan. Hanya dengan beberapa kali usaha melastik ke arah tempat yang dituju, benang tangsi sudah tersangkut pada dahan pokok Tualang yang tinggi. 





Walaupun dalam gelap gelita pakar tali mempunyai kaedah mencari batu ladung yang jatuh diatas tanah. Setelah menjumpai batu ladung yang diikat dengan benang tangsi, maka tugas itu diambil alih pula oleh pakar tali, yang sudah bersiap sedia dengan berbagai jenis saiz tali. Benang tangsi akan diikat sambung kepada tali bersaiz kecil dan ditarik naik melepasi dahan pokok. Proses itu diulangi semula dengan tali kecil diikat sambung kepada tali bersaiz sederhana. Tata cara itu diulang sama seperti sebelumnya sehingga diikat sambung dengan tali bersaiz besar. Proses ini terpaksa digunakan secara berperingkat peringkat dari semua jenis saiz tali  . Ini disebabkan tali bersaiz kecil tidak berupaya menaikkan tali bersaiz besar yang terlalu berat untuk ditarik, pada ketinggian dahan pokok tualang. Setelah itu tali bersaiz besar akan dinaikkan bersama takal ( Pulley) yang telah diikat sempurna dan kemas. Mereka akan memastikan takal( Pulley) berfungsi dengan lancar. 



Sejurus kedudukan takal yang tergantung bersama tali dalam keadaan kemas dan sempurna didahan pokok itu selesai. Maka  kerja-kerja memanjat pokok sudah boleh dilakukan. Semasa kerja-kerja menaikkan tali dijalankan, tukang panjat mempersiapkan dirinya dangan pakaian yang sesuai bagi mengurangkan  kesan bisa sengatan lebah-lebah. Dengan berkaki ayam, memakai seluar panjang yang tebal dengan hujung kaki seluar diikat. Supaya lebah-lebah tidak memasuki dari bahagian kaki. Memakai 2 helai baju lengan panjang jenis fabrik yang tebal, juga diikat kemas dibahagian pergelangan tangan. Memakai sarung kepala yang menutupi bahagian leher, kepala dan sebahagian wajah muka. Setelah semua kelengkapan siap dan yakin, maka dia mengikat dirinya dengan tali untuk ditarik naik ke atas pokok. Ikatan kemas dibahagian pinggang dan celah kelangkang sebagai usaha keselamatan diri sambil bertawakal. Bersamanya dia akan membawa tukul besi, paku, badik dan pemetik api.





Kerja-kerja menaikkan sipenuai madu lebah dilakukan oleh 3 ke 4 orang pekerja mahir yang telah dikhaskan. Dengan mempunyai rekod  sifar malapetaka, dalam keadaan tergantung-gantung sipenuai dinaikkan dengan selesa tanpa menimbulkan perasaan cemas. Sesampai diatas dahan yang hendak dituju. Sifat keberanian menghadapai keadaan gelap gelita diatas dahan tualang yang tinggi, sambil mencari imbangan yang selesa dan selamat untuk bertapak. Kemudian melakukan usaha membuat tangga menuju ke dahan sarang lebah. Satu persatu paku diketuk terbenam pada dahan pokok. Kedalaman setiap batang paku dibenam dianggarkan lebih kurang 3 inci dalamnya. Jarak antara sebatang paku ke sebatang paku dianggarkan 1 kaki. Dipacakkan pada kiri dan kanan sisi batang pokok secara berselang seli hingga ke tempat sarang lebah.    



Pada saat ini isyarat dari atas diberi supaya dihulurkan beberapa batang andang bersama bakul mengkuang/buluh untuk dinaikkan keatas. Setelah memperbetulkan kedudukan diatas pokok, andang yang diperbuat dari lilitan ikat bersalut dengan sabut kelapa  itu akan dinyalakan. Andang yang terbakar itu akan disapu-sapukan kebahagian badan sarang lebah. Seni sapuan andang ke sarang lebah hendak dilakukan dengan tertib. Api andang tidak boleh terlalu dekat pada sarang nanti madu akan tercemar dengan rasa hanggit terbakar. Serentak dengan itu koloni lebah terkejut berterbangan lintang pukang tanpa arah, dalam gelap meninggalkan sarangnya. Kepanasan api berupaya mengejutkan koloni lebah untuk meninggalkan sarang. Tetapi percikan bara api andang seperti butiran bunga api pula berupaya mengalih pandangan koloni lebah. Kumpulan lebah akan mengejar bara api yang jatuh kebawah. Disebabkan api bara yang jatuh dari tempat yang sangat tinggi, maka ia akan terpadam sebelum sampai ketanah. Koloni lebah yang mengejar bara pada mulanya akan sesat hilang punca dalam kegelapan. Walaupun sempat ditepis dengan tangan beberapa kali serangan lebah, namun dua tiga ekor pasti berjaya meninggalkan sengatan. Hukum ini wajib dirasai oleh sipengambil madu. Beliau kena kuat bertabah menahan rasa sakit  bisa sengatan lebah semasa proses menghalau lebah.




Sebagai yang sudah berpengalaman, beliau mengetahui bahagian-bahagian sarang yang dipercayai mengandungi madu lebah. Maka memilih bahagian itu dikerat dengan pisau secara cermat pada bahagian tertentu bagi mengelakan kebocoran sarang. Sarang yang dipotong disusun masuk kedalam bakul sehingga penuh lalu diturunkan. Proses ini akan diulangi beberapa kali sehingga bahagian sarang yang mengandungi madu itu habis. Adab pengambil madu akan meninggalkan bahagian sarang yang mengandungi lava dan anak-anak lebah sebagai kelangsungan kehidupan koloni lebah dikawasan tersebut.  Selepas semua proses selesai barulah pengambil madu itu turun dengan proses yang sama semasa naik. Tugas menuai madu telah selesai dijalankan dan ia akan berehat, sementara itu pekerja lain menjalankan kerja-kerja menurunkan tali dan berkemas.Setelah selesai berkemas, mereka membawa peralatan masing-masing dan memikul hasil sarang lebah berjalan menuju ketempat bot mereka berlabuh untuk pulang. 






Tatacara Mengumpul dan Perlaksanaan Pembahagian Hasil Tuaian Madu.

Setelah sampai di jeti, kumpulan ini akan bergerak pergi ke lokasi rumah bersama hasil tuaian untuk  membahagi-bahagai hasil tuai madu lebah. Disana sarang-sarang yang telah dikerat akan dikeluarkan madunya dari sarang. Kepakaran dalam membelah sarang adalah diperlukan supaya tidak rugi dimana semua madu didalam sarang dapat diambil setiap titik. Mereka akan mencari pangsa khas bagi menumpahkan keseluruhan kandungan madu didalam sarang. Keseluruhan madu akan ditakung masuk kedalam bekas khas kemudian proses pembahagian hasil dapat dilakukan.










Sifir pembahagian hasil tuai madu telah mempunyai kata sepakat dan dipersetujui sejak dari dulu lagi. Iaitu ; Tukang Panjat merangkap mengambil sarang lebah akan mendapat 2 koleh/cawan madu, manakala pekerja-pekerja yang lain akan menerima 1 koleh/cawan.  Mana-mana baki madu yang tidak boleh dibahagikan, maka antara mereka akan kalah mengalah atau tolak menolak untuk tidak menerima baki itu. Atas budi bicara dan adab kesantunan antara mereka menyelesaikan pembahagian tersebut. Pada kebiasaannya mereka akan mengikut giliran atau mengikut keperluan senang susah ahli kumpulan pada ketika itu.Prinsip yang tidak pernah tertulis antara mereka ini telah diamalkan dengan baik sejak dulu lagi demi keharmonian silaturahim. 





Setelah pembahagian madu dilakukan secara saksama, proses seterusnya dikehendaki setiap orang akan menapis menyuring madu  menggunakan penuras kain benang halus. Proses memisahkan madu dari cebisan sarang, debu dan habuk untuk mendapat kualiti madu terbaik . Setelah selesai disuling madu itu  akan dimasukkan kedalam botol mengikut saiz botol. Madu Lebah Tualang dari Kampong Pagi Ulu Tembeling  telah ditetapkan pada harga RM 200.00 sebotol bersaiz sekati. Setiap kali tuaian madu memang telah ada pelanggan menunggu secara mengikut giliran untuk membelinya. Kadang-kadang madu untuk kegunaan sendiri terpaksa dijual kepada orang atas sebab-sebab kesihatan sipembeli. Semua pekerjaan selesai dan boleh pulang ke rumah masing-masing antara jam 3:00 ke 4:00  pagi.



Kesimpulan yang dapat dibuat , madu asli Tualang memang telah terbukti khasiat dari sudut kesihatan badan manusia. Jadi mana-mana benda yang asli, pada adatnya memang susah untuk diperolehi. Ia susah diperolehi kerana  melibatkan ramai tenaga pekerja yang ada sifat keberanian, cekal, kemahiran dan menuntut kekuatan mental dan fizikal. Adalah tidak munasabah sekiranya madu tualang yang asli, ada banyak dipasaran dengan harga tawaran yang murah.











Janganlah sesekali cuba tawar menawar untuk menurunkan harga yang telah ditawarkan ketika hendak membeli Madu Tualang Asli, kerana perbuatan itu menzahirkan sifat keji yang memalukan diri sendiri. Perbuatan  itu dianggap sebagai satu penghinaan kepada  pencari madu.







Monday, 1 April 2019

Lalat Gerudi Ibis Sijangkang~Empis sijangkangnensis



Lalat Gerudi Ibis Sijangkang~Empis sijangkangnensis


Rosla Bin Mustakim
Red Door To Hunt
Alamat Email Penulis: rosla.m3@gmail.com
Tarikh: 25 Mac 2019





Abstrak


Di Semenanjung Malaysia terdapat sejenis lalat dari Family Empididee (Dagger Flies). Tidak dapat dipastikan apakah spesis lalat ini telah direkodkan oleh kumpulan pakar dari Universiti Malaya ~ Tropical Infections Diseases Research Centre (TIDREC) didalam 62 senarai Spesies Lalat yang dijumpai di Malaysia. Rupa bentuk spesis lalat ini agak ganjil jika dibandingkan dengan spesis lalat yang pernah saya jumpa. Spesis lalat ini mempunyai mulut bermuncung  keras berbentuk panjang melengkung seperti paruh burung Sekendi/Ibis . Keseluruhan permukaan anggota badan termasuk sayap lalat adalah dari jenis debu yang bercorak, sama seperti permukaan anggota badan Rama-rama ( Moth) Ia dijumpai dalam satu koloni  lalat dianggarkan lebih kurang 20 hingga 25 ekor. Keadaan pada ketika itu mereka  sedang mengerudi dan mengorek pada batang pokok Ara Jejawi~Ficus urostigma. Koloni ini telah ditemui didalam kebun tanaman buah-buahan di Kg.Medan Sijangkang, Telok Panglima Garang Selangor Darul Ehsan.  





Kunci Kata: Lalat Gerudi Ibis Sijangkang~Empis sijangkangnensis ( Sijangkang Ibis Degger Flies) Family Empididee (Dagger Flies). Sijangkang , Selangor Darul Ehsan Malaysia.



Mukadimah


Pakar & Penyelidik Lalat Dunia  telah mengenal pasti dengan merekodkan sebanyak 2,335 spesis lalat yang wujud di dalam dunia. Dari jumlah itu, sebanyak  460 spesis lalat telah dihuraikan oleh pakar-pakar dari Universiti Malaya ~ Tropical Infections Diseases Research Centre (TIDREC). Ia diketuai oleh Pakar Taksonomi Lalat iaitu Professor Emeritus Hiroyuki Takaoka dan  Dr. Zubaidah Ya'cob bersama kumpulannya. Sejak 2010 mereka telah mengenal pasti sejumlah 62 spiesis lalat yang boleh dijumpai di Malaysia. Bukan semua orang ingin  mengambil tahu tentang spesies Lalat, apatah lagi ingin mengenalnya. Melainkan orang itu tahu, ada kepentingannya terhadap dirinya atau manafaat kepada masyarakat. Saya tidak pasti samada lalat yang berbentul ganjil itu dijumpai di Sijangkang Telok Panglima Garang Selangor ini telah direkodkan oleh pihak  Universiti Malaya ~ Tropical Infections Diseases Research Centre (TIDREC) atau pun belum. Sekiranya sudah , anggaplah huraian tentang lalat ini sebagai makluman ilmiah yang disampaikan dalam bahasa Malaysia. Sekiranya belum bolehlah pakar-pakar lalat jadikan huraian ini sebagai maklumat untuk mendapatkan spesimen untuk kajian lanjut dimasa akan datang. 

Untuk merujuk kepada Lalat ini saya telah mencadangkan satu nama pengenalan iaitu Lalat Gerudi Ibis Sijangkang~Empis sijangkangnensis ( Sijangkang Ibis Degger Flies). Cadangan nama tersebut adalah berdasarkan perilaku semua spesies lalat yang diperhatikan melakukan aktiviti Gerudi batang pokok Ara Jejawi~Ficus urostigma. Perilaku lalat mengerudi batang pokok itu adalah dengan anggota organ berbentuk mulut bermuncung yang panjang.




Kaedah Digunakan Dalam Pemerhatian/Kajian & Alat Yang Digunakan


Kaedah yang digunakan adalah dengan hanya memerhatikan perilaku koloni lalat melakukan aktiviti mereka sambil membuat rakaman .Alat bantuan kajian yang digunakan adalah Teropong Carl Zess, Kamera Panasonic Lumix LX7 untuk rakaman video, Kamera DSLR Canon 7D  , Kamera DSLR Canon Mark 7D II, Canon Micro F2.8 L Prime Lens 100 mm, Canon  F4 L Prime Lens 300mm dan Canon Zoom Wide EF-S 10-22mm Lens.







Keputusan & Perbincangan

Tata-cara penghuraian tentang Individu dari spesies  Lalat Gerudi Ibis Sijangkang~Empis sijangkangnensis ( Sijangkang Ibis Degger Flies) ini dibuat mengikut bahagian anggota badan yang dimulakan dari bahagian kepala dan berakhir dibahagian hujung burit lalat.

Warna: Keseluruhan warna anggota  badan lalat termasuk sayapnya adalah dari jenis bulu baldu halus sama seperti jenis bulu baldu Rama-rama (Moth). Warna bulu lalat dari jenis baldu halus itu bewarna camporan coklat dengan putih susu. Warnanya adalah seperti warna Biji Getah~Hevea brasiliensis . 





Jantina :Jantan/ Betina : Tidak dapat dikenal pasti ciri-ciri jantina lalat yang dijumpai itu samada ia itu adalah jantan atau pun betina. Dalam pemerhatian saya mendapati lalat itu berpasangan yang berada besebelahan antara satu sama lain. Setiap individu lalat bersaiz kecil akan ditemani dengan pasangan individu lalat yang bersaiz lebih besar.  Individu yang bersaiz besar dianggarkan 2cm 5mm panjang manakala individu yang kecil dianggarkan 1cm 5mm panjang. Ukuran pada panjang anggota badan diukur  dari hujung muncung mulut hingga ke hujung burit lalat. 


Bahagian Kepala :Di bahagian luaran kepala lalat itu mempunyai 4 organ anggota pancaindera tubuh yang mempunyai fungsi dan tugas tersendiri. 

1. Dihujung muncung mulut yang panjang seperti paruh burung Ibis itu sepasang cengkerang kulit keras tajam berbentuk melengkong seperti mata kerambit.  Berfungsi mengorek mana-mana permukaan yang keras seperti batang kayu. 

2.Muncung mulut panjang seperti straw akan mengikut masuk kedalam lubang pada kedalaman batang kayu yang telah dikorek. Pada ketika ia mengorek, dalam waktu yang sama  lalat akan menghisap zat-zat pada batang kayu kemudian dia mengeluar dan melambakkan hampas kayu. 

3.Kakitangan Muncung Mulut. Sepasang kakitangan yang terletak  di tengah muncung mulut. Bentuk seperti kaki yang mempunyai 2 ruas ini berfungsi untuk membantu muncung mulut yang telah terbenam dalam pokok supaya tidak tersekat dalam lubang yang digerudi.

4.Sepasang mata bentuk bulat yang besar sehingga kebelakang kepala. Berupaya melihat kesemua sudut hadapan sisi tepi atas dan bahagian belakang tanpa membuat pergerakan leher.




Bahagian bahu badan:Dibahagian anggota bahu badan mempunyai 2 organ badan yang mempunyai fungsi dan tugas tersendiri.

1. Sepasang kaki hadapan mempunyai 4 keting ruas kaki yang sederhana panjang dalam kedudukan terkangkang. Dihujung ruas kaki terdapat kulit cengkerang bercangkuk seperti kerambit.

2. Dibahagian dada lalat terdapat sondak tajam runcing berkedudukan selari sebelah menyebelah, dipercayai sebagai senjata pertahanan diri atau untuk mencocok mangsa.

Bahagian perut badan: Dibahagian perut badan mempunyai 2 organ yang penting kepada kehidupan lalat.

1.Sepasang kaki tengah yang mempunyai 4 keting ruas kaki yang sederhana panjang dalam kedudukan terkangkang. Dihujung ruas kaki terdapat kulit cengkerang bercangkuk seperti kerambit.

2.Sepasang sayap terbang yang mempunyai bentuk dan panjang mengikut bentuk tubuh lalat.



Bahagian punggung : Dibahagian perut badan mempunyai 2 organ yang penting kepada kehidupan lalat.

1.Sepasang kaki belakang yang lebih panjang daripada 2 pasang kaki tengah dan hadapan. Mempunyai 4 keting ruas kaki yang  panjang dalam kedudukan terkangkang. Dihujung ruas kaki terdapat kulit cengkerang bercangkuk seperti kerambit.

2.Dibahagian hujung punggung lalat organ jantina lalat samada jantan atau betina.





Memeriksa Spesimen:Tidak melakukan pemeriksaan spesimen lalat, kerana tidak berusaha untuk menangkap lalat untuk kajian lanjut atau bahan bukti. Bahan bukti memadai hanya dengan rakaman foto sahaja.




Rujukan


mns News:Penyelidik Malaysia Pakar Kaji Lalat Hitam Pembawa Wabak ~ Tulisan Puan Jamilah Kamarudin 24 Okt 2018.

















Monday, 4 March 2019

Berbincang Dan Bertanya Soalan Kepada Ustaz Abdul Somad Lc M.A...



Berbincang Dan Bertanya Soalan Kepada Ustaz Abdul Somad Lc.MA




Ini era tahun 2019, dimana zaman semua orang boleh menerima siaran Youtube. Siapa yang tidak mengenali Ustaz Abdul Samad.? Pada hemat peribadi saya  rata-rata segenap pelusuk Nusantara  Melayu samada dari Negara Brunei, Singapura, Malaysia apatah lagi di tanahairnya sendiri Republik Indonesia. Sudah pasti akan mengenali beliau. Pada 11 Februari 2019 beliau telah dijemput datang berdakwah dibeberapa lokasi di sekitar Lembah Klang , Kuala Lumpur dan Negeri Kelantan. Kedatangannya telah dimuliakan oleh pentadbiran Kerajaan Malaysia. Diberi layanan yang selayaknya sebagai seorang Ulama ilmuan dan cendikiawan.  Kalau dulu dizaman 1970an , adalah zaman Ulama tersohor Republik Indonesia,  Prof.Dr.Haji Abdul Malik Bin Dr.Sheikh Haji Abdul Karim Amrullah @ Hamka mendapat tempat dihati rakyat Malaysia. Kini tempat itu diganti pula oleh Ustaz Abdul Somad Lc.M.A pula. Beliau telah mengambil alih kekosongan lubuk hati yang lama ditinggalkan oleh Hamka. Dengan izin limpah dan rahmat Allah,  Ustaz Abdul Somad Lc.MA berjaya mengisi cahaya ilmu kedalam sanubari kebanyakkan hati orang-orang Melayu dan masyarakat Islam. Katakan, beliau bertanding dalam pemilihan menjadi Gabenor atau President Republik Indonesia peluangnya mendapat kemenangan sangat besar. Kalau ia menjadi kenyataan maka gemilang lah syariat Islam di bumi Republik Indonesia.





Arwah Abah pernah menceritakan yang beliau pernah menjadi pemandu kepada Prof. Hamka semasa dia datang ke Malaysia. Undangan Kerajaan Malaysia kepada Prof.Hamka untuk menyebarkan kefahaman ilmu ugama Islam kepada rakyat Malaysia pada ketika itu. Bertugas sebagai seorang pemandu di Jabatan Penerangan Malaysia telah dapat membanggakan hatinya sendiri kerana diberi peluang berkhidmat kepada Ulama tersohor, walaupun tempohnya sekejap. Arwah Abah dapat berjumpa dan melihat dengan mata kepala seorang ilmuan istimewa disisi ugama pada masa itu.Saya juga tidak mahu kalah dengan Arwah Abah, ingin juga melihat ilmuan istimewa disisi ugama  dalam kontek pada zaman sekarang. Dapat melihat dan dapat mendengar apa yang disampaikannya secara didepan mata kepala . Saya fikir, itu dikira lebih kurang sama dengan pengalaman istimewa Arwah Abah saya.




Pada waktu yang sama dari sudut seni fotografi, ilmu dan jiwa saya telah tercabar . Cabaran itu dirasakan  apabila  setiap kali Konsert Heavy Metal yang saya pergi untuk berhibur, wajib saya akan menyeludup masuk kamera bertujuan untuk membuat rakaman. Samada kumpulan Napalm Death, Death Angel, Kreator, Destruction, Metallica, Megadeth dan Helloween. Semuanya berhasil sepertimana dengan apa yang telah diniatkan. Tiba-tiba ilmuan agama seperti Ustaz Abdul Somad  datang ke Malaysia yang lokasi berdakwahnya tidak jauh dari rumah.  Hanya disekitar Kuala Lumpur sahaja, jika tidak diambil peluang seperti ini, nampak sangat saya  kurang berakal . Mendengar ilmu secara percuma, yang tidak perlu saya mengeluarkan wang untuk membeli tiket masuk. Malah tiada sebarang larangan pada kamera untuk  di bawa masuk ke dalam Masjid. Disitu saya mendapat kebebasan yang mutlak untuk mencari sudut-sudut rakaman yang istimewa. Jika tidak dilakukan terasa seperti saya ini kufur nikmat.




Bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 9:00 pagi ramai orang telah berpusu-pusu masuk memenuhi ruang solat Masjid. Walaupun pada ketika itu merupakan hari bekerja. Tidak kira kanak-kanak, orang muda , tua, lelaki dan wanita dari segenap lapisan masyarakat Islam. Ruang tempat letak kenderaan sesak dengan pelbagai jenis kenderaan mewah dan sederhana. Didalam Masjid jemaah teruja menunggu ketibaan pendawah Ustaz Abdul Somad. Dua  , tiga buah bas rombongan yang membawa warga Republik Indonesia juga turut hadir. Mereka semua berkesanggupan melapangkan masa untuk datang   melihat dan mendengar ilmu yang akan disampaikan oleh ulama tersohor nusantara itu.





Jam 9:30 pagi Ustaz Abdul Somad tiba dan dipersilakan duduk ditempat yang telah disediakan oleh penganjur. Setelah ucapan taklimat dan doa, beliau memulakan ceramah agamanya.Pada ketika itu ruang solat sudah padat dan penuh dengan jemaah. Mereka semua khusyuk mendengar nasihat-nasihat daripada Ustaz Abdul Somad. Lepas satu tajuk, ke satu tajuk yang lain untuk tempoh lebih kurang hampir 3 jam.  Sedang jemaah lain khusyuk mendengar ,  saya pula sibuk dengan khusyuk merakam imej ulama dari pelbagai sudut. Saya leka mencari sudut-sudut bagi mendapatkan koleksi rakaman yang difikirkan dari sudut yang  terbaik. Dalam diam tidak diam, jam sudah hampir pukul 12:00 tengahari. Memang sungguh cepat masa berlalu pergi. Sehingga saya terlepas merebut peluang membuat beberapa pertanyaan yang sulit dan bersifat peribadi kepada ulama tersohor itu.





Disebabkan terlepas peluang dalam sesi bertanya itu, maka didalam ruang ini, diharap Allah akan melorongkan Ustaz Abdul Somad  membaca soalan  yang berkait-kait  ini. Mohonlah Ustaz Abdul Somad baca dan fahamkan lah dari pelbagai sudut akan soalan saya itu. Kemudian bertenang, berehat sebentar untuk memberi masa berfikir. Selepas semuanya tenang silalah jawab dengan terang lagi jelas, supaya  jawapan yang sejujur-jujurnya itu akan dipatuhi. Supaya saya dan masyarakat dapat mengikut kehendak Al Quran, Tauhid, Hadis, Tasawuf, Fekah, dan Qiyas.  Harap maklum semua soalan adalah ditujukan khas hanya kepada Ustaz Abdul Somad, bukan kepada khalayak. Andaikata khalayak terbaca soalan saya,  diharap ia tidak mengundang kebencian, kecaman, ajukkan dan sindiran. Lebih-lebih lagi daripada sahabat-sahabat yang mungkin akan berkecil hati atau terluka hatinya. Hendaknya jikalau tidak bersetuju nanti, janganlah dijadikan saya musuh atau cuba menjauhkan diri dari saya. Saya cuma buat pertanyaan sahaja, itu pun bertanya kepada Ustaz Abdul Somad.



Sebelum diajukan soalan, ada baiknya saya maklumkan pada Ustaz Abdul Somad  terlebih dulu ceritanya dari awal. Supaya Ustaz Abdul Somad akan lebih mendapat kefahaman dengan jelas. Arakian bermula, setiap mukalaf yang merdeka itu, mempunyai hak  kebebasan mutlak untuk melakukan apa-apa sahaja keputusan dan perbuatan didalam rumahnya sendiri. Tindakan dan perbuatan itu semua dilakukan dengan mengunakan kudrat sendiri, belanja wangnya sendiri. Tanpa meminta-minta bantuan daripada jirannya atau pun orang lain. Semua itu adalah hak kebebasan yang harus semua orang hormat.





Dikisahkan, ada seorang Warga emas yang sudah lama tidak berteman, tinggal sendirian disebuah rumah bungalow diatas tapak tanahnya seluas 1 ekar. Disekeliling rumahnya itu tidak ada sebuah rumah orang lain didirikan. Dipendekkan cerita, dia ada terbaca beberapa  Hadis Nabi sahih yang  berbunyi "Sesungguhnya Kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu. Dan hadis dari Abu Hurairah , "Sesungguhnya Rasullullah S.a.w bersabda " Kucing tidak memutuskan kekusyukkan solat, kerana ianya adalah daripada  perhiasan rumah".




Dengan berpegang dengan hadis itu, sementelah tidak ada orang lain yang sudi menemankannya sepanjang hayat.  Maka beliau telah  mengambil keputusan untuk membeli seekor anak kucing . Sebagai imbangan menahan rasa kesunyian tatkala mengharungi kehidupan sepi, seharian  sepanjang masa.  Dengan adanya Kucing  ,  beban menanggung kesepian itu tidak terasa sangat, kerana ada ditemankan binatang peliharaan. Disebabkan tiada manusia disekelilingnya untuk diletakkan perasaan kesayangan, maka ditumpahkan perasaan kesayangan dalam hatinya kepada  binatang peliharaannya itu. Sebelum tertumpah kesayangan kepada binatang peliharaan beliau telah mengiktiraf kucing itu sebagai sebahagian ahli keluarganya sendiri.





Demi sayangkan kucingnya itu, maka disediakannya lah semua keperluan asas kucing. Ditempahnya Rumah Kandang Kucing yang luas dan selesa, Raga Kurungan mudah alih untuk mudah dibawa ke klinik, Sekampit makanan kucing Jenama Green seberat 8 Kg dengan harga RM 132:00. Sekampit Pasir Najis Kucing berharga RM13:00 dengan  bekas  berak kencing  kucing berharga RM 15:00, sebotol Shampoo mandian kucing berharga RM 16:00. Itulah nilai wang belanja yang dikeluarkan kepada binatang peliharaannya pada setiap kali bekalan dan keperluan itu habis.




Dibawah penjagaan Warga Emas sepi ini, maka hiduplah kucing itu dalam suasana yang senang lenang seperti Raja . Hendak berlari melompat naik ke atas meja makan, silakan lah... Hendak duduk melengkau tidur di atas sofa , tidur lah... Hendak mengasah kuku di atas permukaan fabrik kulit sofa atau di atas tempat duduk motosikal, buat la... Tuannya itu, langsung tidak dikisahkanya. Kucing peliharaannya mendapat kebebasan yang mutlak di dalam rumah. Kebebasan yang tidak pernah dirasai oleh kebanyakan manusia. Bila perut lapar tidak perlu bersusah-susah untuk pergi memburu mencari makanan. Gigi taring dan kuku melengkung tajam yang disediakan oleh Tuhan seolah-olah sia-sia kejadiannya. Kucingnya itu hanya cuma perlu mengeluarkan suara merenggek mengiyaw - ngiyaw atau menggelesir pada betis kaki tuannya. Sejurus itu juga tuannya itu tergolot-golot menyediakan  makanan yang enak berkhasiat dan mahal. Katakan kalau pada ketika itu ada manusia melihatkan  hal keadaan  kucing itu sedang makan dengan lahap sehingga kenyang, timbul perasaan cemburunya.



Kemudian diberikan minum air susu lembu supaya sihat tubuh badan kucing itu. Bila hendak terberak.... disediakan pula bekas pasir untuk berak dan kencing. Bila bekas berak dan kencingnya penuh, tanpa merungut dibuangkan tahi ke dalam lubang tanah dan dikambus. Seminggu dua tiga kali akan dimandikan dan di shampoo bulu kucingnya itu. Dijaga kucing itu sehingga kucingnya  langsung tidak menjejakkan kaki di atas  tanah. Setiap bulan dibawanya pula ke Klinik Veteriana untuk dibuat pemeriksaan berkala. Bertujuan memastikan tahap kesihatan kucingnya itu sentiasa berada dalam keadaan memuaskan. Walaupun yuran pemeriksaan berkala yang dikenakan itu mahal. Walaupun mahal, apa hendak digaduhkan, tuan kucing masih mempunyai wang yang banyak untuk dibazirkan bagi keperluan kucingnya itu. Demi melengkapkan kasih sayang terhadap kucingnya, maka diambilnya insuran TAILS (Pets Insuran).



Tidak ada langsung sekelumit dalam hati tuannya itu mengeluh kesah. Dilakunya  penuh dengan kasih dan sayang. Kerana tuan kepada kucing beranggapan, segala derita kesepian yang ditanggungnya telah terubat. Dapatlah dia meneruskan kehidupan dengan aman gembira sepertimana yang telah diniat dan diangan-angankannya.  Dengan niat yang baik dan bersangka baik, Tuan Kucing ingin berkongsi rasa, maka semua kisah kucingnya yang gebu, comel, mengeramkan, keletah nakal telah dimuat naik di dalam halaman Facebook dan Instragram. Setelah beberapa ketika, ada lah sesetengah orang telah mula terikut-ikut untuk  melakukan pekara yang sama. Iaitu menikmati pengalaman menyenangkan hati bersama kucing peliharaan yang disayangi. Hiduplah Tuan Kucing bersama kucingnya itu aman bahagia selagi ada nyawa dikandung badan.




Dikisahkan ditempat lain pula, ada sebuah keluarga harmoni yang terdiri daripada seorang Bapa, Ibu dan sepasang anak lelaki dan perempuan. Si anak lelakinya berusia 7 tahun dan anak perempuannya pula berusia 14 tahun. Mereka tinggal di tingkat 2 disebuah pangsapuri  4 tingkat. Kelengkapan perabutnya dihias dengan kemas dan cantik. Sejak mereka belum berumahtangga lagi masing-masing  sudah memelihara kucing.



Selepas berumahtangga dan mempunyai anak mereka tetap meneruskan hobi kegemaran memelihara kucing. Anak-anaknya juga terikut-ikut, sangat sayang kepada kucing-kucing peliharaannya. Mereka memelihara 3 ekor kucing yang comel dan cantik. Keluarga ini sudah tahu tentang hadis berkenaan kucing sejak muda lagi. Ekoran dari itu,mereka sekeluarga mempunyai keyakinan yang tinggi tentang kebaikkan memelihara kucing. Andaikata mereka ternampak kucing-kucing ditepi jalan, secara semulajadi dalam dirinya akan berniat untuk memberi makan. Mereka tidak lokek mengeluarkan wang untuk membeli makanan kucing berpeket-peket di kedai. Kemudian ditaburkan makanan kucing diatas lantai sebagai jamuan kepada kucing-kucing jalanan. Meresap satu perasaan seronok melakukan kebaikan yang dirasakan didalam hati mereka.




Sudah menjadi kemestian kepada keluarga yang memelihara kucing akan menyediakan semua keperluan asas kucing. Samada Rumah kandang Kucing yang selesa, Raga Kurungan Mudah alih , sekampit dua makanan Kucing Jenama Green berat 8Kg. Sekampit Pasir Najis Kucing dengan 3 bekas Najis Pasir Kucing. Sebotol mandian Shampoo untuk penjagaan kesihatan bulu kucing . Tetapi bagi keluarga ini mereka membelanjakan lebih banyak wang kerana mereka mempunyai 3 ekor kucing yang comel dan cantik. Dengan memelihara 3 ekor kucing maka bertambahlah modal ringgit yang harus disediakan pada setiap bulan oleh keluarga ini. 




Cara penjagaan kucing yang diamalkan oleh keluarga ini, ialah dengan melepaskan semua 3 ekor kucingnya. Di biarkan bebas keluar masuk ke dalam rumah. Dengan adanya jerigi pintu keselamatan, maka sepanjang masa dibukanya sedikit daun pintu utama untuk kemudahan keluar masuk kucing-kucingnya.  Setiap hari samada pagi, petang, siang dan malam memang disediakan oleh Tuannya 3 mangkuk  penuh dengan makanan. Disediakan juga 3 bekas penuh dengan longgokan pasir najis untuk berak dan kencing kucing-kucingnya. Bekas itu diletakkan bersusun di ruang balkoni pangsapuri mereka. 




Ketika mana  kucingnya itu berada di dalam rumah hendak kencing dan berak , secara terdidik kucing pandai pergi masuk ke dalam bekas najis masing-masing. Kucing mengais-gais pasir didalam bekas untuk berak dan kencing. Selesai berak dan kencing kucing-kucingnya akan masuk kembali ke dalam rumah. Samada ia terus  duduk diatas sofa, melompat naik diatas meja makan atau berehat diatas hamparan permaidani. Kadang-kadang anak tuannya mendakap  memeluk-meluk kucing untuk dibuat bermain, kemudian dikeleknya kucing naik diatas katil.




Ada juga mereka berlari-lari bermain-main kejar-kejar diruang tamu . Kerana terlalu sayang pada kucingnya ahli keluarga itu rajin menukar pasir najis di dalam bekas berak kencing Kucing. Setiap hari paling kurang sekali akan ditukarkan pasir najis itu. Pasir najis kucingnya itu dibuang dikawasan lapang berhampiran dengan rumah sampah. Maka bertimbunlah pasir bersama najis-najis kucing dengan bau busuk disekitar kawasan rumah sampah itu. 




Jiran-jiran yang biasa membuang sampah akan dapat melihat berlonggok pasir bercampur dengan tahi kucing yang berbau busuk. Mana-mana orang yang tidak biasa datang membuang sampah pada waktu malam, jika nasibnya tidak baik akan terpijak tahi kucing yang bersepah itu.  Pada ketika kucing-kucingnya berkeliaran  diluar, aktiviti kebiasaan kucingnya ialah memburu. Ia memang  cekap memburu hidupan kecil dikawasan sekitar dan selalu dilihat menangkap hasil buruan seperti tikus, burung dan tupai.





Hasil buruan bukannya dimakan tetapi dilambong-lambong dan dibuat mainan. Selepas kucing itu puas bermain bangkai, dibiarkan sahaja bangkai itu bersepah dimerata tempat awam. Ada dibiarkan dipetak letak kereta, anak tangga dan depan pintu jiran. Sering kali kucingnya itu berak dan muntah diatas tangga dan terbiar berjam-jam sehingga kering dikawasan laluan awam. Semua kawasan tangga berbau tahi kucing. Pemilik motosikal hanya berupaya marah dalam senyap bila tempat duduk motosikalnya dijadikan tempat mengasah kuku dan mengeliat . Habis bocor kulit P.V.C tempat duduk motosikal dikerjakan oleh kuku kucing-kucing yang tajam. Sudahlah tempat duduk motosikal habis menjadi tebuk bocor, selalu juga tercalit dengan saki baki berak dan kencing kucing yang masih terlekat ditempat keluar tahi, apabila kucing duduk di atas motosikal.





Bau haring hancing najis kencing kucing melekat kekal pada motosikal dan kereta. Pernah satu kejadian pemilik motosikal yang hendak ke Masjid terduduk saki baki tahi dan air kencing. Terpaksalah  bergegas patah balik dari masjid kerana hendak menukar kainnya. Bila musim mengawan bunyi bising kucing berkelahi dan mengiyeow-giyeow , lebih-lebih lagi pada waktu malam. Bunyi suara menggaruk  kucing itu mengganggu lena tidur anak-anak dan jirannya  yang sedang berehat tidur.




Disebabkan 3 bekas najis kucing diletakkan di kawasan balkoni, maka hawa dan bau najis kucing yang busuk lagi meloyakan itu merebak masuk ke ruang balkoni jirannya. Angin bertiup membawa bau busuk najis tahi kucing masuk ke ruang tamu dan dapur rumah jiran. Sehingga jiran disebelahnya ingin  menjamu selera makan tengahari atau malam terbantut dan hilang selera makannya. Jiran yang tinggal di kiri, kanan, atas dan bawah hanya menanggung derita didalam senyap. Disembunyikan kemarahannya sahaja kerana tidak kuasa berkelahi sesama jiran tetangga. Pakaian jiran yang tinggal di bawah kediaman pemilik kucing yang disidai dibalkoni, terkena tempias percikan basuhan air bekas najis kucing. Himpunan gangguan kacau ganggu secara tetap yang dicipta oleh keluarga ini tidak langsung dipertimbangkan dengan akal budinya. Apakah mungkin disebabkan pancaindera deria baunya telah lumpuh, langsung tidak terkesan lagi dengan bau busuk najis tahi kucing yang menyegat dan meloyakan itu.?





Setelah Ustaz Abdul Somad membaca hal keadaan yang telah berlaku sepertimana yang diceritakan diatas. Bermula disini saya dengan rendah hati ingin bertanya beberapa soalan. Soalannya berbunyi," Apakah benar Nabi Muhammad S.A.W juga menyayangi kucing sehingga tahap Baginda membenarkan semua hal keadaan yang diceritakan itu berlaku didalam kehidupannya semasa hayatnya." ? Katakanlah Ustaz Abdul Somad memberi jawapannya ialah "Ya", tidakkah perilaku seperti itu telah jelas sekali berlawanan dengan sifat dan perilaku Baginda yang "Bersih lagi mensucikan" sepertimana kehendak Allah.  




Maka tidak kah sifat pengotor itu adalah sifat mustahil kepada Nabi Muhammad S.A.W?  Tidakkah sifatnya yang bersih suci itu telah terang dan jelas dicatitkan dalam pelajaran Ilmu Tauhid.  Apakah Nabi Muhammad S.A.W tidak tahu syarat-syarat sah mensucikan najis setiap kali Baginda melaksanakan amalan ibadat ?  Tidakkah 3 perkara utama, iaitu hilang warna, hilang rasa dan hilang bau yang dituntut. Katakan salah satu syarat yang tidak terlaksana maka terbatallah semuanya. Lagi pula bukankah Nabi Muhammad S.A.W itu gemar kepada wangi-wangian ? Mana mungkin  Baginda Rasullulah boleh gemar berada di dalam suasana kawasan  yang berbau busuk hancing yang terhasil dari zat-zat najis  tahi dan kencing kucing. 





Ustaz Abdul Somad, soalan kedua berbunyi," Apakah Allah jadikan martabat seekor binatang iaitu kucing, lebih mulia dan tinggi daripada martabat seorang manusia ?  Sebagai misalan, seorang manusia yang pergi melangsaikan qadar hajatnya di dalam tandas,tetapi tidak membasuh dan mensucikan tempat keluar najis tahinya dengan air. Perbuatan sama sepertimana seekor haiwan kucing yang tidak membasuh najisnya. Apakah boleh pertimbangan akal orang awam yang sihat akan sebulat suara menerima hal keadaan manusia seperti yang dinyatakan itu. Setidak-tidaknya mengesat sehingga kering. Tentu sekalinya tidak ! Maka jikalau begitu mengapa sipembela kucing boleh berlapang hati dan dada menerima keadaan haiwan kucing belaannya berbuat begitu, tetapi tidak kepada manusia seperti dirinya. Apakah tahi kucing itu tidak sampai kepada tahap najis tetapi tahi manusia itu jatuh kepada tahap  najis ?




Ustaz Abdul Somad, "Apakata,  kalau kita dijemput masuk ke dalam rumah sipembela kucing itu dengan tidak menanggalkan sepatu, sedang dia nampak  kita  baru sahaja memijak-mijak tanah dan lecak hujan?  Apakah agaknya tindak balas yang kita terima hasil daripada perbuatan itu, Tentulah sekali akan membawa kepada permusuhan sehingga berlaku pergaduhan. Sedangkan kucing-kucingnya keluar masuk ke dalam rumah tanpa dibasuh tapak kakinya. Selagi  permukaan tanah yang ada, habis semuanya dipijak oleh kucing. Di dalam longkang, mengais-gais pasir berak tahi kucing, masuk ke dalam tong sampah dan membongkah plastik sampah. Ustaz Abdul Somad, "Saya mohon diperjelaskan pekara ini.  




Ustaz Abdul Somad, "Sebagai seorang yang beragama Islam tidak dapat tidak, jauh disudut lubuk hati terkadang-kadang dalam otak tertanya-tanya hal keadaan rumah mereka. Dimana agaknya mereka sekeluarga melunaskan tanggung jawabnya sepertimana yang kehendaki oleh Nabi Muhammad S.A.W.? Kediaman yang dihias dengan hiasan dalaman menarik dan kemas. Berserta perabut-perabut cantik yang mahal, tetapi pengudaraan berbau busuk sama seperti kandang haiwan di dalam Zoo. Padat dan penuh dengan zat-zat bau najis yang terhasil dari najis tahi kucing. 




Ustaz Abdul Somad, "Apakah boleh ditafsirkan orang ini telah dijangkiti oleh satu wabak penyakit tetapi orang yang dijangkiti itu, tidak sedar bahawa dia sedang menghidap penyakit tersebut? Penyakit pancaindera deria hidung mereka telah lumpuh dan sudah tidak berfungsi untuk mengesan bau busuk tahi kucing dan hancing pering kencing kucing. Maka disebabkan dia terkena wabak berpenyakit itu, maka segala hal perbuatannya terhadap jiran tetangganya dimaafkan oleh Allah? Atau segala perilaku perbuatan kucing belaannya yang telah mengganggu jiran tetangga tidak boleh disabitkan sebagai satu kesalahan dosa. Ustaz Abdul Somad," Saya mohon penjelasan dan jawapan kepada  pekara ini.






Ustaz Abdul Somad, Apakah mereka ini telah tertutup hijabnya untuk menilai "Keutamaan Hidup Terhadap Sesama Manusia" (Priority) ? Rezeki yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka telah  dibelanjakan untuk keperluan binatang melebihi daripada keperluan manusia.  Misalnya 5 kilo beras jenis terbaik untuk makanan manusia berharga sekitar RM 50:00. Sedangkan makanan binatang seberat 8 Kilogram bernilai RM 132.00. Ustaz Abdul Somad," Tidakkah tindakan itu telah mengutamakan dan melebihkan binatang daripada manusia? Masih ramai lagi manusia dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Dimana mereka terpaksa menjatuhkan maruah harga diri  dengan menahan aib malu sehingga terpaksa meminta-minta dan kadang-kadang mencuri.





Ustaz Abdul Somad, "Lebih musykil lagi sipembela kucing boleh berlapang dada dan menjadikan rutin harian membersih, membasuh dan membuang tahi kucing-kucingnya. Tetapi mereka berkata-kata merungut didalam hati apabila mereka terpaksa memandikan ibubapa yang tua dan sakit. Bertambah lagi berat hatinya jikalau disuruh membasuh tahi dan kencing ibubapa mereka sendiri. Kadang-kadang mencari helah melarikan diri daripada melakukan itu semua. Kesanggupan untuk bekorban demi binatang adalah lebih besar daripada kesanggupan manusia bekorban sesama manusia. Jikalau lah begitu keadaannya, apakah boleh diperbetulkan acuan pemikiran orang seperti ini? Supaya orang-orang seperti yang dinyatakan itu memberi keutamaan kepada manusia yang ada disekelilingnya terlebih dahulu daripada mengutamakan binatang. 



Ustaz Abdul Somad, "Apakah fikiran mereka telah dijajah dan terbelenggu oleh momokkan Syarikat Gergasi Penyediakan makanan kucing? Bertambah kesayangannya kepada kucing, maka bertambah lagi banyak mereka menghabiskan wang untuk keperluan binatang itu. Dengan, hal yang demikian suka sesangatlah dengan keadaan sebegitu dan bertambah-tambah mencanak geraf keuntungan perniagaan Syarikat Gergasi Penyediaan Makanan & Keperluan Binatang itu. Lebih ramai manusia membela kucing lebih banyak keuntungan mereka kaut. 



Ustaz Abdul Somad, "apakah kumpulan manusia ini, dalam mereka tidak sedar telah menjadi hamba abdi kepada kucing-kucing peliharaan mereka sendiri? Ustaz Abdul Somad,"Apakah Syarikat Penyediaan Makanan & Keperluan Binatang menjadikan spesies kucing-kucing sebagai helah stratigi mereka untuk mudah mengaut keuntungan secara tetap dan  bertali arus. Tentulah ramai manusia bingung, merasa terpinggir termakan hati secara senyap dan sembunyi.




Ustaz Abdul Somad," apakah yang menyebabkan sipembela kucing tidak dapat membuat conggak ilmu hisab yang mudah ? Dengan nilai perbelanjaan membeli makanan kucing yang mahal itu, apakata jikalau dibelikan terigu, dedak, pelet untuk binatang ayam itek kambing dan lembu tentu akan nampak hasil manafaatnya kepada manusia. Ustaz Abdul Somad," adakah perbuatan itu jatuh kepada perbuatan pembaziran ? Kalau tidak silap perbuatan yang membazir itu adalah sahabat kepada syaitan? Mohon perbetulkan jikalau saya salah.




Ustaz Abdul Somad," kita semua faham untuk melarang hobi kegemaran seseorang adalah sulit dan sensitif. Pasti akan menimbulkan bangkangan , kecaman dan kemarahan daripada mereka. Namun ini persoalan penting dan permasalah yang sulit ini telah dicipta oleh si Pembela Kucing sendiri. Ia telah memberi permasalahan dan kacau ganggu kepada khalayak umum. Walaupun kita telah beberapa kali dengan cermat menyusun ayat, memberitahu secara sopan santun dengan suara lemah lembut. Namun tidak diendahkan semua nasihat yang disampaikan sebaik itu.






Ustaz Abdul Somad, "Bukan semua orang boleh bersabar dan menutup sebelah mata akan permasalahan ini. Tingkatan sabar dan kemarahan setiap manusia adalah bertingkat-tingkat. Ada beberapa perkhabaran di dalam akhbar tentang jenayah kezaliman terhadap kucing oleh manusia ada disiarkan.  Banyak juga kezaliman terhadap kucing yang tidak disiarkan tetapi sering sahaja berlaku. Semua kejadian kezaliman yang diketahui dan tidak diketahui itu berlaku ekoran daripada kemarahan yang tidak dapat dibendung oleh sipelaku kezaliman. Kebencian dan kemarahan dilepaskan dengan zalim kepada kucing-kucing yang tidak berdosa. Ini adalah satu dosa yang tidak sepatutnya berlaku. Kasihani lah kucing kerana kucing juga adalah makhluk ciptaan Allah. Janganlah lagi  menzalimi kucing.



Ustaz Abdul Somad,  mohon melapangkan masa untuk memberi pencerahan. dengan semua jawapan kepada soalan-soalan diatas dengan sejelas-jelasnya. Hendaknya dengan sinar cahaya ilmu yang dianugerahkan oleh Allah, dapatlah kiranya bersinar lembut meresap didalam hati sehingga menyenangkan hati khalayak menerima hujah dan nasihat yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Somad itu. Perbetulkanlah acuan pemikiran masyarakat supaya memberi kefahaman. Agar mereka mengetahui kebenaran sebenar dimana keutamaan hidup antara sesama manusia. Semua soalan dan kenyataan yang dicadangkan ini bukanlah bersifat menghukum tetapi ia menyatakan kaedah dakwah menuju kepada  kebenaran dalam hidup bermasyarakat. 




Dengan rendah hati, saya memohon berbaik sangka, berfikir dan mohon juga jangan dikecam. Mungkin betul agaknya perumpamaan ini ' "tahi mana yang tidak najis, tahi mana yang tidak busuk selagi ia menjadi tahi selagi itu lah ia kekal najis yang busuk. Tahi yang tidak busuk cuma tahi lalat, lebih-lebih lagi terlekat pada dagu dibawah bibir  sebelah kanan. Ia cukup manis dan menawan. Betul tak Ustaz Abdul Somad.? Wasalam.