Tuesday, 26 September 2023

Laporan Penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush Di Pulau Ayam, Langkawi Kedah

 

Laporan Penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush Di Pulau Ayam, Dayang Bunting Marble Geoforest Park, Langkawi Kedah 


Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina

Burung jantan dewasa yang bertengggek atas batuan Pulau Ayam Jantan pada 6 Sept 2023


Saya mengenal Burung Tarum Batu-Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush melalui tunjuk ajar oleh Guru saya, Saudara Mike Chong. Pada ketika itu sekitar tahun 2009, beliau membawa saya ke kawasan habitat yang spesis burung ini boleh dijumpai ia itu di Batu Caves, Selayang Kuala Lumpur. Setelah mengetahui kawasan habitat keliaran spesis ini, saya telah dapat mencari dan membuat beberapa siri pemerhatian Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush di daratan Tanah besar Semenanjung Malaysia. Antaranya di kawasan perbukitan Batu kapur di Chuping Perlis, Gua Musang Kelantan,  Merapoh Pahang, dan Ipoh  Perak. Apabila kita mengetahui akan habitat keliarannya , maka peluang menjumpainya sangat tinggi. Ia boleh ditemui di permukaan lereng , curam dan lubang perbatuan dari pelbagai jenis batu-batuan batu. Jikalau ingin membuat pemerhatian atau rakaman tidak payahlah menyogok burung dengan umpan ulat yang dibeli di kedai atau membuat panggilan palsu dengan alat elektronik. 

Burung jantan juvana yang sedang berehat bertenggek pada ranting pokok di Pulau Ayam Jantan pada 23 Jun 2022

Burung jantan juvana yang dirakam pada 23 Jun 2022 di Pulau Ayam Jantan


Apa yang hendak saya kongsikan ialah penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius  di tengah laut bertenggek tebing batu di  Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina (coordinates 6 12 5 N 99 49 56 E ). Kedudukan pulau tersebut dianggarkan 13 kilometer daripada Pulau Dayang Bunting/ Pulau Tuba, dan 37 kilometer dari Pulau Langkawi   .Penemuan burung Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditengah laut tidak didokumenkan dalam laporan pemerhatian burung di Malaysia. Dalam buku rujukan...hanya menyatakan habitat kehidupan dikawasan permukaan lereng , curam dan lubang perbatuan dari pelbagai jenis batu-batuan batu  bukit dan gua.  Tidak pula dinyatakan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius boleh dijumpai di sekitar pulau dan laut. Ada kemungkinan para Ornithologi tempatan tidak terfikir untuk membuat kajian pemerhatian Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius di kawasan pulau.

Keadaan Pulau Ayam Jantan pada tahun 2022


Saudara Hashabudin Bin Hashim nelayan yang menetap di Pulau Tuba, Individu yang memaklumkan  burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius dijumpai di Pulau Ayam Jantan

Menurut kenyataan lisan para nelayan di kawasan sini, kehadiran burung Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius memang telah diketahui sudah lama  dulu. Kehadiran burung itu pada pandangan para nelayan, ia sama sahaja dengan burung-burung lain. Para nelayan mengecam Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius sebagai burung yang mempunyai suara kicauan yang merdu, tenang dan menghiburkan. Nyanyian kicauannya sebagai penghibur mereka ketika sedang menunggu umpan pancing dimakan ikan.

Bukti rakaman pada 6 Sept 2023

Saudara Hashabudin Bin Hashim seorang nelayan tempatan yang juga sahabat saya telah memaklumkan  tentang burung tersebut ketika saya sedang melakukan aktiviti memancing ikan bersama beliau di Pulau Tuba. Burung yang dimaksudkannya itu hanya dikenal   sebagai burung Murai. Pada mulanya saya tidak begitu yakin atas kenyataan beliau kerana pada hemat saya mana mungkin ada burung Murai ditengah lautan luas atau di pulau kecil. Hujah saya di kawasan habitat ini sesuai untuk burung Sualo Pasifik~Hirundo tahitica, Lang Kawi ~ Halistur indus, Helang Laut Perut-putih~Haliaeetus leucogaster, ,Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra dan berbagai jenis burung Tern. Demi membuktikan kenyataan beliau, Saudara Hashabudin Bin Hashim bersungguh-sungguh  mencari burung tersebut ditempat yang biasa beliau lihat dan dengar.

Burung sedang berehat diatas batuan ketika dijumpai pada 6 Sept 2023

Dalam keadaan air laut berombak-ombak beliau merapatkan bot menghampiri dinding Pulau Ayam di tempat beliau selalu mendengar suara merdu burung itu. Pencarian burung itu tidak begitu lama kerana pulau itu hanya mempunyai keluasan lebih kurang sebesar saiz sebuah lori 10 tan sahaja. Dengan beberapa kali  pusingan mencari sudah ternampak burung itu di cerun tebing batu. Burung yang dimaksud oleh Saudara Hashabudin Bin Hashim sebenarnya ialah Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius . Penemuan itu membuatkan saya begitu teruja kerana pada pengalaman saya penemuan ini adalah ilmu pengetahuan baharu dalam bidang Ornithologi di negara Malaysia.


Pengenalan Burung betina, yang dijumpai di kawasan sekitar halaman Gua Kek Lok Tong Ipoh Perak

Burung yang ditunjukkan kepada saya itu ialah seekor burung jantan yang sedang melalui usia juvana.  Hujah itu berdasarkan, kelihatan dengan jelas pangkal paruh burung juvana masih kelihatan lembut berwarna kekuningan cair. Pada waktu yang sama pada buluhias burung itu masih terdapat warna carik dan tompok keputihan. Penemuan itu berlaku pada 23 Jun 2022 jam 2:30 petang. Jikalau mengikut andaian mudah dan ringkas, burung muda ini bukan burung hijrah yang singgah sementara untuk berehat di pulau itu. Tentu ada pasangan induknya yang telah menjalani proses pembiakan sekitar bulan March atau April. Pemerhatian dan rakaman burung dilautan sama sekali berbeza dengan rakaman di daratan.

 

Salah satu jenis tumbuhan menjalar yang tumbuh subur diatas batuan Pulau Ayam Jantan

Cabaran dan kepayahannya samasekali berbeza, yang mana kita wajib bersedia kekecewaan dan berputih mata. Dalam keadaan bot terumbang ambing dipukul gelora ombak, sangat payah untuk mendapat fokus subjek burung yang saiz kecil. Bot tidak boleh terlalu rapat dengan burung kerana dikhuatir ia akan terbang meninggalkan pulau. Sudah tentu kita tidak akan mengejar dan mencarinya di kawasan yang lain, walau sedegil mana sekali pun. Walaupun cahaya semulajadi sangat mencukupi dan kita berupaya mengecilkan saiz lubang F dan meningkatkan jumlah kecepatan shutterspeed, Dalam tempoh yang singkat demi mendapat bukti penting saya berupay membuat rakaman sebanyak 20 rakaman. Cuma 2 rakaman sahaja yang layak ditarafkan untuk menjadi bukti penting. 

Jenis tumbuhan yang tidak dikenali tumbuh melekat pada dinding batu

Bulan Ogos dan Sept musim tumbuhan-tumbuhan liar berbunga.


Helang Laut Perut-putih~Haliaeetus leucogaster, (juvana)

Bertitik tolak daripada  itu setahun kemudian pada  6 Sept 2023 sekali lagi berikhtiar mendapatkan bantuan kepakaran  Saudara Hashabudin Bin Hashim untuk mencari Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditempat yang sama. Saya rasakan seolah-olah kepakarannya itu  diiring dengan secara kebetulan akan bertemu burung yang dicari. Tanpa menggunakan  apa-apa alat bantuan elektronik memanggil  suara palsu, kita dapat menjumpainya. Semuanya saya sifatkan sebagai telah berjodoh untuk dipertemukan semula Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius, pada jam 3:45 petang. Penemuan kali ke dua itu seekor individu burung jantan dewasa. Boleh jadi individu burung yang sama saya menjumpai dulu, yang kini telah mulai dewasa. Pekara itu sangat susah untuk disahkan kerana tidak ada bukti nyata yang boleh menyokong hujah tersebut. Saya hanya boleh mengandaikannya sahaja, tidak lebih daripada itu. 

Tumbuhan menjalar melekat diatas permukaan batun Pulau turut berbunga pada bulan Ogos dan Sept


Pengenalan Burung betina, yang dijumpai di kawasan sekitar halaman Gua Kek Lok Tong Ipoh Perak

Penemuan kali ini agak lama juga, dianggarkan lebih kurang 3 ke 5 minit, sebelum burung itu terbang meninggalkan Pulau Ayam Jantan. Burung itu terbang menghala ke Pulau Ayam Betina yang terletak 30 meter tidak jauh dari situ. Namun untuk mengekori burung ditengah lautan menggunakan bot satu tindakan yang saya fikir kurang cerdik. Kita boleh bayangkan sahaja entah dimana burung itu hinggap menyembunyikan dirinya. Tindakan itu akan menyusahkan dan memberi penat kepada pemandu bot. Lebih-lebih lagi cahaya matahari sedang mendera seisi orang dalam bot. Pada saya perjodohan kali kedua ini sudah cukup memadai. Saya rasakan seperti diberikan hadiah dalam bentuk perasaan gembira tanpa saya berdoa meminta menikmati rasa begitu. Peluang  yang bukan selalu dialami  itu membolehkan saya membuat lebih kurang 30 rakaman. Dari 30 rakaman itu, 5 rakaman yang berkualiti telah berjaya dihasilkan untuk dijadikan bukti penting penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditengah laut.

Terbang menuju kearah Pulau Ayam Betina.

Biarlah dia terbang meninggalkan saya, demi kesejahteraan dan keselamatan dirinya. Waktu kekosongan dan ketiadaannya itu membolehkan saya terus berfikir dan membuat pemerhatian di tempat ia menghuni. Habitat bentuk mukabumi sebungkah batuan Pulau itu dipenuhi dengan tumbuhan jenis merayap diatas batu , tumbuhan jenis mengkuang  dan tumbuhan yang saya tidak ketahui jenisnya. Disitu ia berpeluang untuk mencari pelbagai dietnya seperti serangga, buah-buahan kecil, cicak kecil dan anak-anak siput. Sumber air tawar boleh ia perolehi dari takungan air hujan diatas permukaan batu yang berlubang-lubang. Pada musim membiak lubang-lubang pada lereng dan tebing bungkah batuan pulau memang sesuai tempatnya dijadikan sarang. Tumbuhan  menghijau dan rimbun yang hidup subur boleh dijadikan tempat ia berlindung daripada cahaya panas terik atau ribut taufan dilautan.  Kawasan habitat semulajadi disitu cukup lengkap untuk Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius terus hidup biak membiak.


Dipercayai lubang sarang burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius terletak dilereng tebing batuan pulau


Tumbuhan jenis mengkuang

Keadaan tumbuhan yang hidup subur diatas pulau Ayam Jantan , menjadi tempat burung berlindung daripada kepanasan dan bahang di tengah laut. Tumbuhan itu juga adalah sebagai tadahan air hujan untuk hidupan liar meneruskan kehidupan disitu

Sebagai menghargai dan menghormati individu yang telah menyumbang data maklumat ilmu dalam bidang Ornithologi di negara Malaysia. Disini dengan rasa sukacita  memaklumkan bahawa Saudara Hashabudin Bin Hashim yang telah menjumpai Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius kawasan perairan Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina. Pihak saya hanya sekadar mengesahkan dan melaporkan tentang kebenaran maklumat yang dimaklumkan kepada saya. Semoga maklumat ilmu dalam bidang Ornithologi ini dapat dipanjangkan untuk dijadikan maklumat tambahan kepada taburan dan kawasan habitat keliaran Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius. Semoga dimasa hadapan pengkaji burung dan pemerhati burung dapat membuat kajian terperinci terhadap spesis burung ini demi memperkayakan ilmu.

Terima kasih Saudara Hashabudin Bin Hashim


Penemuan ini mengingatkan kembali kenyataan yang pernah Saudara Dennis Yong ungkapkan dan nasihat kepada saya dulu. Beliau rasa gembira jikalau ada pemburung melakukan aktiviti memburung dalam keadaan dan ditempat yang tidak sesuai. Contoh yang dinyatakan ialah membuat pemerhatian burung pada waktu malam dalam keadaan hujan yang lebat. Beliau ingin mengetahui bagaimana dan apa keadaan yang sedang dialami oleh spesis burung pada ketika itu. Saya rasa tindakan saya membuat pemerhatian burung ditengah laut dalam keadaan cuaca panas terik, lautan bergelombang, mencari kepada perkara yang tidak pasti sedikit sebanyak boleh dikaitkan dengan hujah Saudara Dennis Yong. Penemuan penting ini juga telah membuktikan hujah saya kepada Guru saya Saudara Mike Chong dulu, " Burung itu boleh bebas merdeka berada dimana-mana yang ia suka asalkan ditempat itu ada sumber makanan yang tidak putus dan ditempat itu menjamin keselamatannya. Wasalam.






 




















































Wednesday, 20 September 2023

Pemerhatian Burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus Sedang Mengawan.

 

Pemerhatian Burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus Sedang Mengawan.


Mukadimah

Burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus  merupakan spesis burung tempatan yang aktif pada waktu malam. Spesis ini adalah antara burung yang sangat sukar untuk ditemui. Merujuk kepada buku The Birds of the Thai Malay Peninsula tulisan David R Wells dan buku Birds of South-East Asia Graig Robson, pada kebiasaannya burung ini mendiami di kawasan Hutan Terbuka Tanah Rendah berdekatan dengan tadahan air atau pun saliran sungai. Sejak mula aktif memburung dari tahun 2006/2007 dulu, saya telah berikhtiar mencari spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus . Saya pernah  bertanyakan kepada Guru saya Saudara Mike Chong dan Saudara Dennis Yong dimana spesis ini boleh ditemui. Melalui pengalaman pemerhatian mereka spesis ini boleh ditemuinya di kawasan berhampiran sepanjang sungai hutan gambut di Sawah Sempadan dan Tanjung Karang Selangor. Di bahagian sebelah utara  sebelah negeri Perak, Saudara Dennis Yong ada menyatakan kepada saya ia boleh ditemui di Bukit Merah. Sepanjang tempoh itu gelora perasaan ingin melihat dengan mata kepala sangat kuat. Memandangkan burung ini aktif pada waktu matahari mulai terbenam, maka bertambah susah saya ingin menjumpainya. Pada 2016 bertempat di Wang Kelian Perlis Presiden Persatuan Perlis Nature & Wildlife Saudara Syamil Abdul Rahman memaklumkan kepada saya spesis itu telah dilihat di kawasan sekitar Wang Kelian Perlis. Sejak dari itu saya telah berikhtiar beberapa kali tetapi hanya dapat mendengar  suara garau panggilannya sahaja. Setelah lama memendam impian akhirnya jodoh untuk bertemu spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus tercapai juga. Ditempat yang sama pada jam 7 petang, bulan September tahun 2023 dengan rasa sukacita saya  telah berjaya dapat melihat dengan mata kepala sendiri. 

Burung betina disebelah kanan yang kedudukannya terlindung dengan dedaunan mempunyai saiz tubuh badan yang lebih besar daripada burung jantan.

Pemerhatian Yang Belum Pernah Manusia Diperlihatkan.

Hal keadaan ketika burung Jantan membuat lonjakan, ia mendepangkan sambil menguak-guakkan kedua belah sayapnya lalu hinggap pada bahagian belakang badan burung betina.

Bulan September tahun 2023 saya tiba dilokasi puncak Menara Tinjau Wang Kelian antara jam 6:45 petang. Ketika itu pengunjung masih ramai dan ada lagi yang masih berduyun-duyun  ke situ, untuk mengejar pengalaman melihat permandangan suasana matahari terbenam. Sesampai diatas mata saya terus melilau mencari burung yang kebiasaan bertenggek atas pokok disebalik papan tanda Wang Kelian. Setelah puas mundar mandir  ia tetap tidak kelihatan. Mungkin suara keriuhan ramai pengunjung atau pun dari bau  asap masakan peniaga gerai yang naik ke udara , membuatkan burung itu tidak berada disitu. Berkeliaran beberapa seketika mengeliling kawasan puncak sambil memerhatikan kalau-kalau ternampak dia . Masih juga tidak kelihatan, sedangkan waktu sudah menglepasi jam 7:10 minit. Pada saat itu saya telah mulai menerima kenyataan, nasib yang serupa pada ikhtiar sebelum sebelum ini. Apa pun keputusannya itu bukan satu kegagalan kepada saya, kerana  sudah menjadi adat kebiasaan cara saya memburung, yang tidak memerlukan apa-apa bantuan sokongan alat pembesar suara untuk memanggil burung, atau menyedia dan menyogok umpan makanan kepada burung. Biar pun jauh , biar pun banyak masa mencari dan menunggu lenyap begitu sahaja. Semasa tempoh proses pencarian, disitu terselit nikmat , nikmat itu datang serentak ketika saat menjumpainya. Sejak mula diajar oleh Guru saya dulu,  memburung hanya bergantung sepenuhnya dengan jodoh pertemuan. "Burung yang dicari saya tidak  jumpa",.. itu baik pada saya, apatah lagi jikalau saya menjumpainya, tentulah lagi baik. "     Pada jam 7 :14 malam saya melihat di seberang jalan ditempat tunggul pokok yang dulu saya hanya mendengar suaranya , sedang bertenggek terconggok berdua-duaan. 

Hal keadaan Burung betina sedang bertenggek mengimbang badan menanggung beban berat badan burung jantan ketika sisi mengawan sedang berlangsung. Pada waktu yang sama burung jantan  mentadbir kuku bentuk berkail runcing yang tajam membuat cengkaman tidak mendatangkan kecederaan. 

Kalau dulu mendengar suara, sekarang berjodoh melihat dengan mata kepala sendiri 2 ekor burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus dalam keadaan sebelah menyebelah. Pada saat itu pemerhatian sambil membuat rakaman bermula. Beginilah tabiat dan kelakuan sebenar burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus, yang akan mula aktif pada ketika permulaan waktu malam. Suasana senja di Wang Kelian masih terang lagi, tidak memerlukan lampu untuk melihat, walaupun objek yang dipandang itu jauh. Dari atas kemuncak. pemerhatian dari sudut  separas mata memanglah baik, tersangat baik. Namun kedudukan seekor lagi burung yang berada disebelah, kebetulan telah dilindungi oleh ranting serta daun. Sertamerta membuat keputusan untuk turun ke bawah, dengan niat melakukan pemerhatian dengan lebih dekat di tempat pokok burung sedang bertenggek. Di situ penglihatan lebih dekat dan jelas pendengaran. Namun masih ada juga lagi beberapa ranting kering yang menghalang permandangan burung secara lapang terbuka. 

Kedua ekor burung saling berganti-ganti menggaruk mengeluarkan suaranya, seperti mereka sedang berbalas pantun. Pada kedudukan sebelah menyebelah dalam jarak dianggarkan 2 kaki. Ia saling berganti-ganti tunduk menunduk menggaruk mengeluarkan suara menyemai kasih rayu merayu antara mereka. Ketika terhangguk-hangguk menggaruk , buluhias di bahagian leher, muka kepala dan tengkuk menjadi kembang. Manakala pada bahagian dada dan tembolok turut mengembang. Sesekali burung itu membuat regangan sayap secara mengipas pada kedua belah bahagian pelepah sayap. Kelakuan menggaruk sambung menyambung sehinggalah  secara tidak semena-mena seekor burung bersaiz kecil, yang mempunyai carik-carik warna putih pada bahagian tocang kepala dan buluhias pelepah menyerupai telinga, membuat lonjakkan. Melonjak menerpa ke arah bahagian belakang badan burung yang lagi satu. Seolah-olah burung yang bersaiz besar sedang mengincang burung bersaiz kecil. Saat itu saya dapat mengetahui dengan sah dan tepat akan jantina jantan atau betina spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus. 


Sesi pujuk memujuk rayu merayu berbalas pantun bermadu kasih


Hal keadaan ketika burung Jantan membuat lonjakan, ia mendepangkan sambil menguak-guakkan kedua belah sayapnya lalu hinggap pada bahagian belakang badan burung betina . Saya fikir ia hanya menggunakan tapak jari kakinya yang lembut sahaja ketika berada diatas badan burung betina. Tentu sekali burung jantan mentadbir 4 pasang kuku bercangkuk runcingnya itu tidak mendatangkan kesakitan atau cedera. Kalau ada sekali pun itu hanyalah sebagai cengkaman manja sahaja. Ketika berada diatas belakang badan , burung jantan mengibas-ngibas sayapnya  bertujuan meringankan tanggungan beban burung betina. Burung betina pula berganding rasa demi memudahkan ikhtiar pasangannya dengan membuat persediaan anggota tubuh badan. Ia bersiap sedia dalam keadaan  bertenggek pada kedudukan  siap siaga membuat imbangan dengan  kuncian cengkaman pada dahan pokok. Mengimbangkan ruang udara tembolok dan perut sambil merendahkan kedudukan badan. Hinggakan kedudukan jari kaki yang mencengkam dahan itu bersentuh dengan bahagian peha kakinya. Bahagian tongkeng  didonggakkan ke atas , lalu dikembangkan  bulu hias halus yang sebelum ini menutup bahagian anggota persenyawaan. Burung jantan yang berada diatas itu menurunkan otot tongkeng supaya anggota persenyawaan pada bahagian cenut itu dapat di temu cantumkan untuk memercikkan cecair sperma ke dalam anggota persenyawaan betina. Kelihatan  burung betina sedang menanggung beban berat badan burung jantan sehingga terpaksa tertunduk. Sejurus perlakuan temu cantum selesai burung jantan melonjak terbang ke dahan yang ia bertenggek sebelumnya. Perlakuan persenyawaan berlangsung dengan begitu pantas. Setelah selesai pasangan itu tetap bertenggek pada dahan yang sama sehingga hilang dari permandangan mata, kerana gelap malam. Pada kehidupan manusia waktu malam adalah untuk berehat, sebaliknya bagi burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus , waktu ini adalah permulaan mencari dan melakukan aktiviti kehidupan. Burung sudah tidak kelihatan lagi, hanya keterdengaran suara mereka menggarok berbalas pantun saja. 

Berdasarkan pemerhatian peribadi dan andaian populasi bilangan spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus di kawasan Wang Kelian , pada hemat saya, pasangan yang sama ini akan mengulangi perkara yang sama, sehingga salah sekor daripadanya mati. Sama sifat ikatan perhubungan  jantan dan betina berpasangan sepanjang nyawa dikandung anggota badan. sama seperti Burung Enggang. 


Saya beranggapan semasa sesi mengaruk berbalas pantun tentu burung jantan . akan mencorak nada suara mereka yang memberi maksud puja memuja, rayu merayu, sehingga burung betina mengisyaratkan kesediaan dan bersedia proses mengawan dapat dijalankan. Kalau tidak  tentu burung betina akan terjatuh atau terjunam badannya ke bawah, kerana tidak membuat persiapan imbangan dan kunci cengkaman.


Burung jantan sedang melelapkan mata sejenak berehat sejenak


Pada pagi keesokan harinya saya datang semula untuk menambah pengalaman pemerhatian burung. Setibanya di Wang Kelian pada pukul 7.15, dari jauh dalam kesamaran penglihatan berkabus saya lihat  burung jantan bertenggek bersendirian pada dahan yang biasa ia bertenggek. Terpaku bertenggek diam dalam sejuk kabus pagi. Kabus tebal  ditiup angin berarak berselang seli melidupi kawasan disitu , penglihatan hanya kabur sahaja. Tidak banyak pengalaman yang dapat diperhatikan, walaupun cahaya matahari mulai berjinak-jinak menerangi Wang Kelian. Mungkin ia sedang berehat tidur berselimutkan kabus, setelah berpenat melakukan segala macam aktiviti kehidupan. Saya rasakan begitulah agaknya setiap hari burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus menjalani kehidupannya pada setiap pagi.  



Membezakan Jantina Burung Jantan dan Betina.

Burung Jantan Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus 


Sebelum ini tidak ada didalam buku rujukan tentang data yang memberi perincian kepada membezakan pengenalan burung jantan dan burung betina. Maklumat yang dinyatkan hanyalah bentuk dan warna buluhias jantan dan betina adalah sama. Hujah saya itu berdasar kurangnya maklumat tentang burung ini  didalam buku The Birds of the Thai Malay Peninsula tulisan David R Wells dan buku Birds of South-East Asia Graig Robson yang menjadi rujuk kepada saya. Setelah sekian lama gagal menjumpai, apabila terjodoh menjumpainya secara kebetulan diberi rezeki keemasan satu dalam berjuta. Tidak ada seorang pun pemerhati dan pengkaji burung membuat pemerhatian spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus melakukan proses mengawan. Bertempat di Wang Kelian, Perlis , telah terungkai rahsia ilmu serta menambah data spesis burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus. dalam dunia avifauna.

Hasil rakaman imej pasangan burung hasil daripada sisa-sisa cahaya matahari petang senja. 


Berdasarkan pemerhatian , penilitian peribadi dengan sokongan rakaman imej burung setelah membuat perincian perbezaan antara burung betina dengan jantan. Saya cadangkan 3 sudut pengecaman ciri-ciri khas untuk mengenal jantina burung dewasa jantan dan betina adalah seperti berikut:-

Saya kongsi dan cadangkan ; 

Dengan menggunakan  bantuan teropong, lensa kamera atau pada jarak ketajaman penglihatan mata boleh melihat.

1.Pengecaman mengenal ciri khas burung secara sekilas pandang daripada sudut hadapan, 

Pada setiap pelepah buluhias burung jantan dewasa yang tumbuh menyerupai seperti tanduk di kiri kanan bahagian atas kening burung jantan mempunyai warna keputihan pada hujung  buluhias. Walaupun pada jarak yang jauh , warna keputihan itu akan jelas kelihatan. Manakala pengecaman ciri khas untuk pengenalan jantina burung betina dewasa pula pelepah buluhias di bahagian yang sama tidak terdapat sebarang warna putih. Warna pelepah buluhias menyerupai tanduk sama warnanya dengan keseluruhan buluhiasnya. 

2.Pengecaman mengenal ciri khas daripada sudut sisi dan sudut belakang burung.

Di bahagian sisi kiri dan kanan kepala burung jantan  dewasa terdapat garisan carik mendatar berwarna keputihan pada buluhiasnya. Pada bahagian belakang kepala burung  terdapat tompokan warna keputihan pada buluhias burung . Di bahagian sisi kiri , kanan dan belakang kepala burung betina  dewasa tidak terdapat sebarang warna keputihan , dibahagian itu sama warnanya dengan keseluruhan buluhiasnya.

3.Pengecaman jantina burung jantan dan betina dewasa dalam keadaan bertenggek sebelah menyebelah.

Saiz dan bentuk tubuh badan burung jantina betina dewasa adalah lebih besar daripada saiz burung jantan dewasa. 

Peluang Merungkai Rahsia Permata Ilmu.

Panggilan pujuk rayu sebelum melonjak keatas belakang burung betina

Setelah saya mengetahui rahsia kebiasaan burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus akan mengawan pada awal bulan September, maka timbul pula beberapa persoalan. 

1.Dimana agaknya lokasi yang sesuai yang akan menjadi pilihan burung itu membuat sarang.

2.Atau burung menggunakan sarang yang telah digunakan pada musim sebelumnya. 

3.Bagaimanakah bentuk sarang burung itu. Apakah ia mencari bahan binaan dan membuat sarang atau ia mencari lubang untuk dijadikan sarang.

4.Pada setiap musim berapa biji telor yang dikeluarkan dan berjayakah anak burung keluar terbang dari sarang.

5.Berapa lama anak burung akan berada didalam sarang.

6. Burung memberi makan dari jenis apa kepada anaknya. Pada waktu siang atau malam, atau kedua-dua waktu.

Dulunya kawasan ini adalah kawasan hutan tempat keluar masuk burung dan Beruk Kentoi~Macaca arctoides. Sekarang. kumpulan Beruk Kentoi~Macaca arctoides sudah tidak menggunakan laluan ini kerana peta perjalanan mereka telah musnah.

Disitu ada laba ekonomi


Persoalan ini hanya akan terjawap setelah peminat dan pencinta ilmu pemerhatian burung meneruskan usaha pemerhatian secara tekun jujur terhadap burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus disitu. Jawapan kepada persoalan itu semua adalah permata ilmu dalam dunia bidang avifauna yang masih menjadi rahsia. Kepada siapa yang jujur dan tekun akan terlayak  diperjodohkan dengan peluang menonton persembahan secara langsung dilapangan semulajadi Wang Kelian, Perlis. Kemudian hasil permata ilmu yang menjadi rahsia itu menjadi data ilmiah dalam bidang avifauna peringkat dunia. Sejarah menonton rahsia itu  akan diguna pakai oleh peminat pemerhatian burung pada masa hadapan.


Gangguan Kepada Burung Dan Hidupan Liar 

Hal keadaan imej rakaman burung dalam keadaan suasana kabus tebal berarak perlahan secara selang seli yang ditiup oleh bayu pagi , pada waktu yang sama menerima pancaran cahaya matahari. 


Keadaan waktu pagi di lokasi pilihan yang menjadi keselesaan burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus.  berehat ,memerhatikan mangsa,  dan tempat ia mengawan.

Secara peribadi perbezaan Wang Kelian sekitar tahun 2016 semasa mencari Beruk Kentoi~Macaca arctoides dulu dengan sekarang 2023 teramat ketara dari sudut alam semulajadi.  Neraca timbangan Jabatan Hutan Negeri Perlis yang telah mengorbankan sejumlah kawasan hutan semulajadi berhadapan pintu masuk ke Menara Tinjau Wang Kelian. Kawasan hutan ditepi jalan telah dibongkah untuk dijadikan kawasan pakir tambahan kerana ruang pakir sedia ada sudah tidak dapat menampung kebanjiran pelancong. Bijaksana ekonomi melihat , disitu ada laba ekonomi dari bentuk pekerjaan, perniagaan dan penginapan. Nikmat ekonomi yang berpanjangan yang bakal nikmati oleh warga Wang Kelian, 

Pada waktu pengorbanan telah dilakukan kita sendiri tidak tahu akibat kesan yang bakal berlaku, boleh jadi menjejaskan hidupan semulajadi disitu, atau barangkali tidak.Masa sahaja akan memberi jawapan. Yakinkah pengorbanan itu tidak menjejaskan rantaian makanan, kawasan kembang biak, dan laluan lingkaran sempadan perjalanan hidupan liar disitu. Orang ekonomi akan menyatakan "TIDAK", manakala orang berfikiran seperti saya akan menyatakan "YA". Dengan menyatakan "YA" bukan bermakna saya ingin melihat warga Wang Kelian berterusan mundur sehingga susah mencari kehidupan .


Awal pagi Burung jantan sedang memulakan aktiviti berehat yang diselubungi oleh kabus tebal



Suasana kabus tebal pada jam 7:30 pagi

Pada hemat saya, persoalan ini wujud setelah kumpulan pemerhatian dan pencinta burung telah berkurangan malah hampir pupus jumlahnya. Ia telah diganti oleh begitu ramai jurufoto burung yang berhakikatkan sama seperti seorang Pemancing Ikan . Melakukan aktiviti merakam gambar burung, wajib menggunakan umpan. Samada dengan mengumpan burung dengan makanan yang dibeli atau memanggil burung dengan panggilan suara burung palsu melalui apa-apa alat pembesar suara. Mereka berfalsafahkan  kepada; "Kehendak peribadi seseorang Jurufoto Burung WAJIB diutamakan terlebih dahulu daripada mengutamakan kebajikan spesis burung." 

Burung betina sedang berehat selepas keletihan mengawan.

Ketinggian dan kebaikan alatan elektronik telah disalah gunakan demi kepuasan peribadi walaupun mengganggu hidupan burung. Asas kenyataan itu berdasarkan laporan yang telah dikongsikan kepada saya oleh Saudara Syamil Abdul Rahman Presiden Perlis Nature & Wildlife. Burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus ini berlainan sangat dengan perangainya pada sebelum-sebelum ini. Perangainya sudah berubah sejak ramai jurufoto burung datang ke situ untuk merakam imej burung. Setiap jurufoto burung yang datang akan membuat panggilan palsu untuk menarik perhatian burung untuk datang ketempat ianya mudah  dirakam. Panggilan palsu itu dibuat pada waktu siang ketika burung sedang berehat , walhal spesis ini aktif pada waktu malam. 

Kita boleh bayangkan berapa ramai yang datang bersilih ganti secara berlain-lain waktu dan bergilir-gilir memutarkan panggilan palsu. Sehinggakan ia sudah tidak takut kepada kehadiran manusia. Lebih mendukacitakan apabila ada jurufoto burung yang ingin membuat kelainan dengan mendapatkan merakam burung  Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus sedang terbang pada waktu siang hari. Lebih malang lagi, bilamana  pengunjung mulai melakukan rakaman burung dengan menerbangkan  Drone pada jarak kedudukan yang hampir ditempat ia bertenggek. Perkara ini suatu perkara baharu dalam dunia pemerhatian burung, saya sendiri tidak tahu apakah kesan terhadap perbuatan itu semua. Barangkali kebimbangan yang saya rasakan itu sekadar bimbang yang palsu. Burung boleh saja dapat menyesuaikan diri , saya pulak yang terlebih-lebih bimbang sebab rasa cemburu atas kelebihan kualiti rakaman sipembuat....

Drone yang Nakal

Suasana pagi ketika Drone menghala menuju ke arah burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus yang sedang berehat.


Cabaran Ketika  Pemerhatian dan Rakaman

Setelah mengalami beberapa siri kegagalan untuk menjumpai burung ini , apabila terjumpa saya telah diberi cabaran merakam pada waktu senja cahaya semulajadi terhad. Menyahut cabaran memerhati dan merakam burung dengan rasa gembira walaupun mengalami kepayahan. Lokasi yang hampir tempat burung bertenggek itu adalah ditepi lereng curam, yang mana pada permukaan lantai tanah tidak rata. Menyusup masuk ke dalam belukar mencari ruang terbuka pada celah ranting dan daun bagi mendapatkan sudut pandang yang sehabis baik kedudukan pasangan burung bertenggek.  

Pada waktu senja , bersendirian meredah semak belukar yang permukaan  lantai tanah  tidak rata dan curam . Ketika itu tidak banyak pancaran cahaya semulajadi, menggelek kamera dengan lensa 400mm , tanpa bantuan  tripot. Bentuk mukabumi memaksa rakaman dilakukan dalam keadaan leher tengkuk sehabis mendonggak membedek  dengan menggunakan aplikasi cerapan kelajuan perlahan (Manual slow shutterspeed). Kaedah kebiasaan digunakan  supaya lebih mudah memfokus imej burung sambil mengelak halangan daun dan ranting, demi menghasilkan kepuasan rakaman peribadi . 

Rakaman tidak dapat dilakukan secara berterusan bersilih ganti atas sebab cara rakaman itu cepat memberi keletihan. Walaupun telah mengunci kekuda bahagian anggota kaki, namun tengkuk leher tetap menjadi kejang , ke dua belah bahu dan lengan tangan juga menjadi sengal.


Dalam gelap hanya mendengar  suara "Berkeruh Garau Berkahak" pujuk merayu kasih. Kepada orang yang tidak pernah mendengar  bunyi "Berkeruh Garau Berkahak" mereka akan beremosi takut seram. 

Rumusan

Bersama President Perlis Nature & Wildlife , Saudara Syamil Abdul Rahman


Andaikata terjumpa sarang burung , maka bertambah ramailah pengunjung akan datang berpusu-pusu ke situ. Jurufoto burung akan silih berganti datang  ke Wang Kelian untuk membuat rakaman sehingga anak burung terbang keluar. Rantaian laba ekonomi itu bertempoh 6 ke 7 bulan sehinggalah anak burung terbang keluar sarang dengan selamat. Disitu ada laba ekonomi untuk warga Wang Kelian, dari  segi perkhidmatan Juru Tunjuk Burung, Penginapan, Makan minum dan lain-lain, maka jangan disia-siakan.  Saya nasihat kepada setiap Jurufoto Burung , sila  hormati dan belas kasih simpati kepada Warga tempatan apa-apa tindakan yang mengakibatkan induk burung meninggalkan sarang atau sarang menjadi musnah akibat Haiwan Pemangsa, itu "adalah tindakan mencurah pasir ke dalam periuk nasi warga tempatan." Itu tindakan merosak hancurkan punca rezeki mereka.

Secara am Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus telah menjadi pencetus  sumber pendapatan kepada  Negeri Perlis, khasnya kepada penduduk Wang Kelian. Syabas dan tahniah kepada Saudara Syamil Abdul Rahman  Presiden Perlis Nature   &   Wildlife dan rakan sepejuangannya. Itu pun jika dapat ditadbir dengan betul mengunakan neraca timbangan sehabis jujur dalam membuat pertimbangan  antara laba dengan kebajikan burung Pungguk Helang Samar~Bubo coromandus .Wasalam.




Tuesday, 22 August 2023

Jalan Taman Kayangan Syurga Dunia


 Jalan Taman Kayangan Syurga Dunia....


 


   

Baru-baru ini seorang sahabat saya telah menghantar satu rakaman video yang dirakamnya  menunjukkan sekumpulan 8 ekor burung Chutia~Cutia nipalesis  sedang mencari makan dikawasan ini. Pemerhatian sekumpulan burung Chutia~Cutia nipalesis  dalam jumlah yang boleh dianggap banyak pada satu-satu masa seperti itu belum pernah dilihat oleh pemerhati burung tempatan. Hal keadaan itu jarang sekali berlaku, kalau ada pun paling banyak 3 atau 4 ekor burung dalam satu masa.Terkesan dengan maklumat itu, saya membuat keputusan untuk ke sana, walaupun saya telah mempunyai rakaman spesis burung tersebut. Keputusan itu bertujuan untuk menambah pengalaman membuat koleksi rakaman, dan pemerhatian tingkah laku spesis burung itu dalam jumlah yang banyak pada satu satu masa. Selain itu beliau menyatakan juga ada beberapa spesis burung yang belum saya temui, kebarangkalian boleh dijumpai disitu. Atas maklumat tersebut, walaupun lokasinya jauh , selepas 2 hari menerima maklumat itu saya telah pergi ke tempat yang dinyatakan.


Chutia~Cutia nipalesis 

Dengan harapan menggunung dan semangat tinggi pada awal pagi lagi tepat pada jam 8 , saya telah terpacak dibawah pokok ditempat  yang dinyatakan. Pada ketika itu cuaca  sangat sejuk berangin serta berkabus.Hinggakan vitamin minyak kelapa untuk rambut saya  dalam botol yang disimpan dalam bag kecil menjadi beku. Keadaan sejuk begini pernah saya rasai di Gunung Alap, Gunang Kinabalu, Gunung Tahan dan Ulu Kali Selangor. Jarak penglihatan juga sangat terbatas, dianggarkan cuma 1 atau 2 meter sahaja. Burung-burung yang dilihat memerlukan pengamatan yang lebih lama dan perlu dibantu dengan luas pengalaman pengecaman.


Chutia~Cutia nipalesis 

Sedang mundar mandir mencari, mata memerhati kelibat , telinga mengesan membuat pengecaman suara kicauan burung, saya bertemu sebuah kawasan berpagar. Di situ ada papan tanda kenyataan yang telah jatuh bersandar ditepi pintu pagar. Terpapar  kenyataan yang menyatakan Orang Awam Dilarang Masuk dan kenyataan beramaran yang memberi maksud, sesiapa yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang dan denda jikalau tertangkap. Tetapi pintu pagar untuk masuk ke kawasan itu terbuka luas, seolah-olah menyambut dan menjemput saya masuk. Menjemput dengan ucapan Selamat Datang Ahlan Wah Sahlan kepada saya. Habis... macam mana ni! Memandangkan keadaan pada waktu itu senyap sepi tanpa kehadiran burung yang dicari, sepertimana gambaran rakaman video yang saya lihat. Maka dalam suasana lengang tanpa kehadiran manusia, hati sudah lama berbuku dek lama sangat menunggu sehingga  gelojak hati mencadangkan untuk saya mencuba mencari burung di kawasan larangan itu pula. 


Lintasan kata kepada hati, katanya....saya akan berdosa besar pada diri sendiri pada hari ini, jikalau tidak menceroboh masuk kawasan itu. Oleh kerana takutkan dosa besar  maka, dengan sertamerta hujah dan alasan nakal itu telah membantu saya menceroboh masuk kawasan larangan tersebut. Hujah nakal itu seolah-olah menjadi kekuatan dan azimat yakin dalam diri   untuk menyelinap masuk  tanpa ada perasaan sebagai seorang penceroboh. Masuknya saya itu  dengan niat tidak sesekali merosak atau akan mengambil apa-apa hidupan yang ada di situ. Tidak mencabut tumbuhan samada orkid, lumut dan sebagainya. Tidak akan menangkap Spesis Katak, Lelabah, kacau ganggu burung dan hidupan liar dikawasan tersebut. Mencerobahnya saya seperti Angin sepoi-sepoi bahasa yang bebas keluar masuk  yang tidak akan merugi atau menjejaskan keadaan kawasan.


Tekukur Khukhu Ekor-panjang ~ Macropygia unchall


Langkah demi langkah berjalan masuk dalam kawasan sepi sambil berhenti berdiri menunggu dibawah  pokok rendang yang sedang berbuah. Sedang saya leka menikmati pemerhatian disitu , terdengar suara orang menyahut dalam sebuah kenderaan pacuan 4 roda. " Disitu tidak boleh masuk, nanti kena saman daripada pihak berkuasa. Dalam hati siapakah gerangan orang yang memberi cadangan nasihat itu.? Sebagai tanda hormat kepada orang yang memberi cadangan nasihat itu saya berpatah balik menuju kearah kenderaan pacuan 4 roda. Saya pergi ke sebelah pintu kenderaan, sekali lagi individu itu memberi tahu saya dengan mengulangkan maksud yang sama.  Dalam hati, mungkin penguatkuasa tetapi individu itu berada dalam kenderaan pacuan 4 roda awam. Setelah mentafsir dengan Ilmu Agak-agak, rupa-rupanya individu itu orang awam seperti saya juga. Dia juga menceroboh kawasan pintu masuk kerana ingin memusingkan kenderaan kerana tiada tempat ruang luas untuk memusingkan kenderaannya. Tindakan individu itu mungkin ingin menjadi seorang warganegara yang taat kepada peraturan.

Sejurus selepas itu saya sekali lagi melangkah masuk kawasan larangan meneruskan niat untuk meneroka apa yang bakal dijumpai. Maka berjalanlah saya seorang diri perlahan-lahan masuk jauh ke dalam kawasan itu, dengan perasaan hati merasa diri itu bertuah. Apa tidaknya kawasan itu mensajikan permandangan alam semulajadi yang indah dan teristimewa. Hampir sama dengan kawasan larangan di https://reddoortohunt.blogspot.com/2015/09/jalan-pintas-ke-syurga-bumi.html & https://reddoortohunt.blogspot.com/2018/03/melepaskan-rindu-dendam-dan-menjenguk.html Ulu Kali Selangor. 

Cekup Daun Gunung~Phylloscopus trivirgatus

Jarang sekali saya dapat melihat permandangan seperti itu pada waktu sekarang 2023. Bertuah kerana terpilih daripada banyak-banyak orang , diberi peluang menikmati keindahan alam semulajadi. Jam tangan menunjukkan baru pukul 8 lebih, tumbuhan hijau diselubungi dengan kabus, tasbih-tasbih embun bertitih-titih berkilat bercahaya jernih, angin sejuk menderu menyejukkan anggota tubuh badan. Cahaya matahari telah mula berdikit-dikit menembusi ruang kebocoran antara ranting dan daun tumbuhan. Kabus masih membataskan pemandangan jauh dan sesekali mendengar bunyi kicauan halus nyaring burung Cekup Daun Gunung~Phylloscopus trivirgatus  , suara terputus-putus burung Takur Leher-emas~Megalaima franklinii  dan teriakan Khukhu Tirjup Jawa~Coracina javensis . Saya ulangi lagi, keadaan alam semulajadi dikawasan larangan ini memang cukup menarik, indah dan cantik. 


Takur Leher-emas~Megalaima franklinii 

Raja Reriang-Megapomponia imperatoria Merupakan Reriang terbesar di dunia yang mendiami kawasan hutan tanah tinggi seperti dikawasan larangan ini.


Catitan sudut rasa peribadi menjiwai  pengalaman menerokai kawasan ini.

Tempoh pengalaman merasai menerokai kawasan larangan itu dianggarkan dari jam 8:00 pagi hingga jam 1:30 tengahari. Ia terpaksa dihentikan kerana saya telah berjanji dengan sahabat saya bahawa akan bertemunya jam 2:00 petang. Andaikata  tidak ada berjanji dengan sesiapa sudah pasti saya  akan menerokai kawasan itu sehingga menuju ke hujung jalan. Ada umur yang panjang jika dizinkan Tuhan akan kembali lagi bagi menyudahkan apa-apa pekara yang belum disudahkan.

Katak Lubang Pokok Kecil Semenanjung~Metaphrynella pollicaris


Kekura Bukit~Heosemy spinosa

Jarak jauh perjalanan daripada pintu masuk hingga ke penghujung jalan dianggarkan sejauh 1 kilometer. Jalan yang diturap dengan tar itu diseliputi dengan timbunan lapisan daun mati yang lembab.Hal keadaannya  berselerak sepanjang jajaran bahu jalan dan pokok. Cuma pada bahagian kiri kanan di bahagian tengah jalan kelihatan batu tar kesan golekan tayar kenderaan yang melalui  diatas permukaan jalan. Manakala pada bahagian kiri kanan tebing jalan ditutupi oleh tumbuhan hijau berbagai spesis lumut dan tumbuhan menjalar merayap yang hidup dengan subur. Ini lah satu-satunya laluan utama yang menjadi jalan keluar masuk di kawasan larangan itu.




Rama-rama Belang Rimau~Brahmaea hearseyi



Rama-rama Bulan Malaysia~Actias maenas


Serangga Ranting atau Belalang Ranting





                                                  Rama-rama Tropika Ekor Sualo~Lyssa zampa



Minla Ekor-badam ~Minla strigula


Kekicau Wren Kerdil~Pnoepyga pusilla



Minla sayap biru~Minla cyanouropiera







Perincit Gunung~Ortholomus cuculatus



Kekura Bukit~Heosemy spinosa

Saya dapati pada ketika ini tumbuhan merayap sedang menjalani proses berbunga. Kuntum bunga bersaiz kecil seperti saiz ciling 5 sen berwarna merah dan putih. Ada juga bunga bentuk bulat seperti biji tasbih berwarna merah saga tumbuh dicelah daun hijau. Permulaan jalan sebelah kanan pagar dawai ditumbuhi oleh bermacam-macam jenis lumut hijau dan juga lumut berwarna oren. Hujung rerambut lumut dipenuhi dengan butiran air embun yang tidak akan kering dan hilang, andainya tidak dilanggar. Sesekali saya bergurau dengan manik-manik embun, dengan sengaja mengoyangkan dahan, maka berderailah titisan manik embun gugur seperti hujan jatuh keatas lantai tanah, dengan sertamerta ia menyerap ke dalam lumut.



Beralih berjalan ke tempat lain lalu mendongak sambil mengngangakan mulut dan goyangkan dahan, lalu berderailah setiap tasbih embun masuk ke dalam tekak. Ada sebahagian menghempap memercik pada permukaan muka dan rasa sejuk secara berbintik-bintik. Andaikata hendak dibuat berwuduk atau  beristinjak memang boleh sangat.Tidak lama kemudian setelah tasbih embun gugur, wujud semula manik-manik embun yang baharu dihujung rerambut lumut dan pada benang jejaring sarang lelabah. Keadaan yang sama juga akan berlaku apabila burung datang hinggap dan terbang semula pada dahan. Atau pun tupai berlari kejar mengejar melanggar daun-daun disitu. Kalau mengalihkan kedudukan yang bertentangan dengan cahaya matahari, maka manik-manik yang melekat tersusun pada benang sarang kelihatan cahaya berkilau seperti tasbih kristal. Bila cukup masa dan keadaan yang telah ditentukan maka gugurlah dia jatuh ke bawah. Boleh jadi pada hamparan permaidani lumut, daun, atau dahan kayu.


Langkah demi langkah diteruskan masuk kedalamkeadaan pokok-pokok dipergunungan disini telah besar dan tinggi. Jikalau dilihat pada saiz deretan tumbuhan pokok-pokok spesis pergunungan itu, boleh dianggarkan berusia ratusan tahun . Daun dan dahan pokok yang tumbuh pada bahagian kiri dan kanan jalan  telah bercantum bergesel sesama ranting serta dahan. Keadaan itu membentuk seperti bumbung semulajadi kepada jalanraya itu. Ia teduh tertutup membentuk seperti sebuah terowong gua dari tumbuh-tumbuhan hijau.Hampir di setiap pokok bersaiz tinggi dan rendah, di  permukaan kulit batang , dahan dan ranting pokok penuh diselaputi oleh bermacam-macam jenis tumbuhan. Kehidupan tumbuhan bermaufakat bercampur gaul sama seperti rojak. Melekat, merayap, tergantung, tindih menindih antara satu spesis tumbuhan dengan spesis tumbuhan yang lain, tumbuh menghijau segar dan subur. Keadaan itu menjadi tempat kepada semua jenis hidupan kecil, samada sebagi tempat berteduh, membuat sarang, mencari rezeki meneruskan kehidupan, membiak dan sebagainya. 




Tokek Belang Titiwangsa~Cyetodactylus australotitiwangsaensis

Ada dari jenis lumut, tumbuhan tumpang, orkid, keladi dan tumbuhan yang saya sendiri tidak tahu dari jenis apa. Saya pasti terdapat banyak spesis tumbuhan orkid liar di kawasan ini yang tumbuh melekat pada setiap sudut dahan pokok. Ia dapat dibezakan dengan tumbuhan lain ketika ia mengeluarkan lidi berbunga.  Kalau tidak ia kelihatan sama dengan tumbuhan lain .Pancaindera mata saya cuma dapat mengesan beberapa jenis orkid liar sahaja, manakala yang lain menyorok disebalik pokok dan terlindung pada dahan yang tinggi. Bila masa ia mekar berbunga , berbungalah dia menjadi sebagai penghias hutan dan tidak ada sesiapa yang tahu, malah tidak ada seorang manusia pun yang dapat melihat kecantikannya.

Sampailah ia layu, kuntum gugur jatuh ke lantai tanah. Di lain musim nanti, ia berbunga semula dan berulang-ulanglah begitu sampai entah bila. Nampaknya seperti berbunga cantiknya orkid liar dalam hutan itu seperti sia-sia sahaja kejadiannya. Itu hanya satu kenyataan sempit, dari sudut kaca mata  fikiran manusia sahaja. Walhal kecantikan orkid liar itu  dinikmati oleh hidupan liar yang ada disitu, tidak semestinya manusia. Disitu juga menjadi tempat persembunyian serangga, atau katak menyamarkan diri dari dimakan pemangsanya dan kalau hendak dihurai pasti panjang lebar. Yang pasti setiap kejadian di alam ini tidak akan menjadi sia-sia kejadiannya. 

Melalui pengamatan saya pada bulan Julai, Ogos dan September kebanyakan tumbuhan orkid dihutan tanah air telah mulai mengeluarkan kuntum bunga. Berbunga bertitih-titih pada lidi orkid secara berbaris. Sebahagian kuntum bunga orkid telah mekar dan sebahagian lagi masih kuncup menunggu giliran untuk dia mekar sehari dua nanti. Ada juga berbagai jenis tumbuhan menjalar spesis keladi berdaun besar dan lebar menumpang hidup  dengan melekat membelit batang pokok, segar hidup subur tanpa menjejaskan pokok yang ditumpanginya. 



Suasana sepi  lengang tidak ada seorang pun melalui kawasan itu kecuali saya bersendirian menjadikan saya begitu nyaman dan selesa. Bebas dari sebarang ancaman dan gertakan kehidupan dalam menjalani kehidupan. Tidak ada gangguan nyamuk, agas, lintah , pacat malah lalat. Pada ketika itu cahaya matahari telah mulai mencuba-cuba menujah masuk pada celah daun dan ranting. Setelah beberapa ketika cahayanya itu telah menguasai rongga berlubang antara ranting daun berlapis lapis. Tembuslah cahaya  pada rongga berlubang-lubang antara renggang daun dan ranting, lantaran itu sinar menjadi selang seli terang dan malap menyuluh lantai jalan. Kabus berasap berlegar bebas naik ke atas kesan haba cahaya matahari.... Keadaan pokok disitu pelbagi keadaan, ada yang condong tetapi tidak sampai rebah, Ada juga kelihatan tertunduk menyembah lantai tanah berlumut hijau pekat.

Di sepanjang cerun tebing dinding batu pula dipenuhi oleh lumut-lumut hijau seperti hamparan permaidani. Tumbuhan spesis paku pakis juga tumbuh di situ bercampur gaul dengan tumbuhan merayap yang saya tidak kenali. Pada dinding batu itu juga banyak lubang sarang lelabah yang hidup aman damai dalam lubang gelap lembab tanpa gangguan. 


Dalam kita bersendirian menikmati keindahan alam semulajadi, secara sepontan pancaindera cekap melihat perincian apa saja kejadian disitu. Akal fikiran tidak dapat menolak kehebatan ciptaan kejadian yang maha berkuasa. Maka mencurah-curahlah berbagai bagai andaian berbaik sangka wujud dalam fikiran tentang kebesaran dan kehebatan Tuhan.


Saya melihat sebatang ranting kayu yang telah patah pada bahagian lebih tinggi mungkin sebab sudah reput kesan ditiup ribut, tetapi tersangkut tergantung tidak jatuh ke lantai hutan.  Ranting itu tergantung berbuai-buai kerana ada sebenang urat akar melekat pada bahagian ranting. Entah berapa lama atau bertahun ranting itu telah tergantung hanya Tuhan saja yang tahu. Keadaan ini mengambarkan  ranting yang dulunya pernah hidup bersatu menjadi sebahagian daripada pokok.


Tetapi kini  telah menjadi sekerat batang kayu patah , walaupun telah patah namun mereka  tidak terpisah jauh jatuh ke lantai tanah. Ranting dahan yang masih hidup dalam sepohon pokok begitu setia, sehingga berhabis ikhtiar tidak membenarkan mereka terpisah antara satu sama lain. Walau terpisah pada ranting namun masih menjalin hubungan dalam keadaan terikat lekat oleh benang akar. Tergantung-gantunglah ranting patah  terhayun kiri kanan dan kadang-kadang terpusing-pusing dibawah lindungan rimbunan daun-daun pokok. 

Disitu mereka menjalin hubungan silaturahim baharu , dengan menyalurkan air kelembapan kehidupan melalui benang akar kepada  batang ranting tergantung.  Selain itu menerima  bekalan tambahan daripada wap air dari suhu dan cuaca sejuk. Berbekalkan hanya dengan seurat benang akar, ranting tergantung itu memanjangkan satu kehidupan yang lain. Dalam keadaan ia tergantung ia menambah beban dipenuhi pula oleh tumbuhan lumut dari beberapa jenis spesis. Bukan itu sahaja, disitu juga hidup tumbuhan paku pakis yang hidup subur berdaun segar. 

Walaupun telah menjadi ranting kayu  lapuk buruk yang sudah lama tergantung , namun ia masih ingin berbakti dengan memberi kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan lain.  Dalam fikiran saya agaknya sifat kehidupan tumbuh-tumbuhan yang dicipta oleh Allah sifatnya begitulah caranya. Mereka sokong menyokong untuk terus hidup. Hidup dengan subur antara satu dengan satu kehidupan yang lain. Seolah-olah mereka mengaktifkan kebaikan yang ada pada kedudukan dan keistemewaan yang ada pada mereka . Maka hiduplah secara sebegitu sehingga sampai pada waktu yang ditentukan oleh maha pencipta. Ia berlainan sangat dengan sifat kebanyakan yang ada dalam sifat kehidupan manusia.

Bila sedang bersendirian, pelayaran angan-angan dalam minda mudah saja menjelajah, nun jauh entah kemana-mana entah. Ia datang seperti air terjun mencurah-curah dari atas, apatah lagi sedang bersilaturahim dengan alam semulajadi yang indah. Bayangkan lah...hanya dengan  memerhatikan  keadaan helaian dedaunan   gugur, yang tersangkut  dicelah ranting pun boleh dijadikan asbab untuk  difikirkan. Tiada siapa boleh menghalang... saya... diri sendiri dan minda bebas merdeka! Bebas sebebas-bebasnya untuk berfikir dan berangan-angan.. Helaian daun mati retak bewarna buah berangan dalam keadaan layu lembab terlekat,   tersepit, dan tersangkut pada setiap sudut dahan , ranting  itu, saya gambarkan kelihatan seperti disambut oleh daun-daun  yang masih hidup diparas bawah pada pokok lindungan yang sama. Pada saat daun itu terputus gugur pada tangkai ia melayang terawang-awang jatuh ke aras bawah. 

Dulunya daun itu berada diparas dahan tangkai ranting bahagian atas. Kini  telah sampai waktunya kehidupan terputus dan terhenti, lalu gugur ke lantai tanah. Tidak ada satu ikhtiar pun boleh dilakukannya, untuk tidak terputus pada tangkai, ia tidak boleh berbuat apa-apa. Hanya sekadar menunggu terawang-awang helaian gugur ke atas tanah. Tentu mengikut adat pada sangkaanya akan jatuh menyembah lantai bumi. Namun seperti sifat rantaian silaturahim antara tumbuh-tumbuhan mereka sedapat mungkin akan cuba meneruskan tali silaturahim antara mereka. 

Walaupun sebelum ini,  ia berada di atas, tetapi rimbunan daun yang berada dibawah seperti tidak mempunyai prasangka kurang sihat, mahu pun untuk cemburu. Malah berbaik sangka kepada daun yang pernah berada dibahagian rimbunan atas. Kerana yang dibawah mengetahui dan menghargai  semasa hayatnya  pada tangkai dibahagian atas, dialah yang menjadi pelindung yang terkena dulu dari rejaman  air hujan yang turun dari langit. Daun yang berada dibawah sekadar menerima renjisan dan titisan air yang menitik-nitik secara perlahan. Tidak dinafikan memang ada  banyak daun layu yang bertimbun   jatuh ke lantai tanah, namun gugurnya masih berada di kawasan naungan lindungan pokok yang sama. 


Eiiysh ! Segala macam benda yang dilihat hendak difikirkan secara terperinci...entahkan betul atau pun tidak. Entahkan ia dapat menambah ilmu atau pun cuma sia-sia belaka. Esok lusa semua yang difikirkan itu akan hilang dalam ingatan, seperti tidak pernah saya fikirkan. Walaupun saya cuba sedaya upaya untuk mengingatkan semula, sudah tidak ada dalam otak. Mujurlah saya mencari masa menulis kembali semua perkara , daripada apa yang difikirkan, apa yang dirasa dan pengalaman sepanjang beberapa jam dikawasan larangan itu. Setidak-tidaknya saya mempunyai data dan bukti andaikata terlupa dimasa mendatang nanti.


Perjalanan menuju ke penghujung terpaksa dihentikan dan berpatah balik kerana jam sudah pukul 12:45 tengahari. Saya ada membuat janji untuk bertemu semula sahabat saya antara jam 1:30- 2:00 petang untuk pergi ke mencari burung Brown Bullfinch ditempat lain pula. Dalam perjalan berpatah balik sisa-sisa waktu digunakan untuk melihat apa-apa saja yang terlintas untuk diperhatikan. Mata saya mengesan gelongan kawat dawai yang biasa digunakan oleh tentera bertujuan untuk menghindar orang yang tidak berkenaan menceroboh masuk. Itu satu ikhtiar penguasa kawasan untuk menjamin kawasan tidak diceroboh oleh pemburu haram atau sesiapa yang berniat apa- kerosakkan. Harapan saya setiap hidupan liar yang melintas dan melalui gelong kawat berduri itu, cepat mengesan ancaman bahaya daripada kecederaan.

 

Ayam Siul Malaysia~Arborophila campbelli


Mengkira~Martes flavigula


Hadapan saya biarlah tempat ini terus menjadi tempat larangan sepertimana sekarang, supaya keadaan alam semulajadi disekitarnya kekal untuk selama-lamanya. Saya akan berazam untuk datang berkunjung lagi ke sini untuk menamatkan perjalanan sampai ke hujung jalan. Wasalam.