Menjalankan Dua Tugas Dalam Satu Masa.
Pada bulan Ogos tahun 2016 ini, Burung Cericap Tembakau-jawa~Prinia rufescens dilihat sedang terbang terlompat-lompat serta terjengok-jengok dicelah daun-daun. Seperti mencari sesuatu didalam rimbunan tumbuhan, kemudian ia keluar dengan hujung paruhnya terbalut gumpalan seperti kapas, bukannya serangga. Tanda-tanda seperti itu memberi bukti yang boleh dipercayai bahawa spesies burung ini sedang membuat sarang, bermakna proses pembiakan sedang bermula.
Bahan yang dibawa ini akan digunakan untuk digabungkan dengan sebahagian daripada bahan binaan sarang yang
lain. Gumpalan tumbuhan seperti kapas yang diperolehi daripada sejenis tumbuhan yang tidak dikenal pasti itu akan dijadikan lapik empuk didalam mangkuk sarang atau sebagai tampalan pada daun yang berlubang kesan tebukan paruh burung.
Saya mengekori burung ini dari jarak yang tidak menimbulkan rasa bimbang
kepadanya, dengan niat untuk mengetahui dimana lokasi ia bersarang. Burung melompat-lompat terbang sambil berkicau-kicau membawa saya ke arah kawasan rimbunan pokok renek yang tumbuh
meliar dibahagian cerun bukit.
Puas mata memerhatikan lokasi sarang disekitar kawasan itu, namun gagal menemukannya. Boleh jadi
sarangnya dibina dengan berkonsepkan penyamaran pada alam sekeliling. Apa
yang pasti lokasi sarang itu tersembunyi dari permandangan musuh berada didalam rimbunan tumbuhan renik.
Sehingga ke hari ini saya tidak pernah melihat dengan mata kepala akan bentuk sarang burung Cericap Tembakau-jawa~Prinia rufescens
ini. Namun begitu, hasil pembacaan laporan pemerhatian rakan memburung saya, Dato'
Amar Singh , ia membina sarangnya dengan keadaan bentuk yang tergantung.
Dimana
sarangnya itu dicantum dengan dua helai daun tumbuhan, menjadi bentuk
seperti kantong
atau poket yang terkatup. Dua helai daun yang tumbuh berhampiran sebelah
menyebelah, dipilih untuk dicantumkan dengan kaedah tebuk dengan
jahitan-jahitan menggunakan lembaran tumbuhan halus seperti benang yang kering.
Berdasarkan
pengalaman pemerhatian sarang , kaedah membina sarang seperti ini, adalah
hampir sama dengan cara pembinaan sarang dari keluarga spesies burung
Perincit dan keluarga burung Kelicap Madu, tetapi mempunyai sedikit
perbezaan.
Didalam kantung itu pula, ia menyusun serta menganyam rumput-rumput kering yang halus dan diselang selikan dengan gumpalan sarang labah-labah, menjadi bentuk mangkuk kecil yang empuk. Sarang yang telah siap itu diselaputi dengan daun dalam keadaan yang tergantung. Ia sukar sekali dapat dilihat dengan mata kasar kerana anyaman sarang berbentuk mangkuk telah disampul oleh cantuman dua helai daun.
Kelihatan 2 ekor anak burung yang mengekori burung dewasa, sudah mempunyai kebolehan untuk memilih dan menangkap diet makanannya sendiri. |
Sarang
hasil cantuman dua helai daun itu juga adalah sebagai pelindung pertahanan
dari suhu , cuaca panas dan hujan selain daripada penyamaran kepada musuh-musuh.
Pengalaman yang lalu mendapati burung menghasilkan 2 biji telor pada
musim membiak. Cadangan ini disokong, hasil dari penemuan beberapa kali 2 ekor anak burung yang
mengekori induknya pada satu-satu masa.
Semasa pemerhatian dilakukan burung
dewasa kelihatan tercari-cari sesuatu didalam rimbunan tumbuhan
sambil berkicau-kicau tanpa henti. Bunyi kicauan berdecip-decip itu
sebenarnya sebagai isyarat penunjuk arah kepada anak-anak burung remaja supaya mengekorinya daripada belakang.
Kelakuan spesies ini bergerak
dicelah-celah dibawah rimbunan tumbuhan, hanya ketedengaran bunyi decitan kicauannya sahaja. Sesekali ia akan bertenggek
diatas ranting yang tinggi sambil berkicau-kicau dan mereka bergerak
dalam satu kumpulan antara 4 ke 5 ekor
burung.
Jikalau kita berhasrat menghampiri anak-anak burung yang masih belum
kuat terbang yang tidak pandai menyelamatkan dirinya, lazimnya
burung dewasa akan datang menghampiri kita untuk menarik perhatian kita,
sebagai usahanya untuk mengalih tumpuan kepada anak-anaknya.
Anak burung ingin bertukar lokasi, bertenggek sejenak dikawasan terbuka, sebelum masuk kembali kedalam reba-reba tumbuhan. |
Seolah-olah seperti seekor burung yang jinak dengan membiarkan dirinya
dihampiri pada jarak yang agak dekat sebelum ia melompat-lompat terbang
membawa kita kearah jauh dari anak-anaknya. Setelah dirasakan anak-anaknya berada dalam setuasi yang selamat, ia akan bingkas melompat terbang jauh atau masuk kedalam rimbunan tumbuh-tumbuhan.
Semasa
pemerhatian dilakukan saya mendapati 2 ekor burung remaja yang sedang
mengekori burung dewasa dari bawah celah-celah tumbuhan. Bukti keremajaan anak-anak burung jelas kelihatan pada warna paruhnya yang masih berwarna kekuning-kuningan .
Saya mencadangkan usianya dalam lingkungan 5 hingga ke 6 bulan.
Kelihatan burung dewasa membawa ulat-ulat daun dan serangga kecil menyuap masuk kedalam mulut burung remaja yang sedang mengnganga luas-luas paruhnya. Ketika menunggu burung dewasa menyuapkan makanannya itu, ia mengembang dan menggigil-gigilkan kedua pelepah sayapnya. Proses seperti itu berlangsung sehinggalah anak-anak burung kenyang.
Dengan bukti
pemerhatian ini telah menunjukan , burung-burung remaja spesies Cericap Tembakau-jawa~Prinia rufescens tidak berupaya mencari makanannya sendiri. Pada ketika usianya itu, burung remaja sedang belajar memilih jenis makanan yang sesuai daripada burung dewasa.
Burung dewasa berselang-seli melakukan tanggungjawabnya mencari makanan
untuk diri dan anak-anaknya. Dalam waktu yang sama ia juga mencari
bahan-bahan untuk membina
sarang demi kelangsungan spesiesnya. Ini bermakna proses pembiakan boleh berlaku pada ketika usia anak-anak
burung masih mengharapkan makanan yang dicari oleh burung dewasa.
Burung dewasa kelihatan kepenatan dan mengambil masa untuk berehat setelah penat melakukan 2 kerja dalam waktu yang sama. |
Tidak hairanlah, kehadiran burung Cericap Tembakau-jawa~Prinia rufescens dapat dilihat dimerata-rata tempat, samada di
kawasan kebun, ladang, hutan yang dibalak, pinggir hutan dara, kawasan
taman
perumahan dan kampong-kampong. Keadaan ini ditambah pula dengan sifat
mudah menyesuaikan kehidupan dimerata-rata habitat disamping mempunyai
sifat kecerdikkan semulajadi.
Dengan bukti-bukti pemerhatian ini, saya mencadangkan taburan spesies burung Cericap Tembakau-jawa~Prinia rufescens
tidak nampak kekurangan bilangannya dari masa kesemasa, atas faktor
kekerapan ia membiak secara tidak mengikut musim dan ia berlaku
sepanjang masa sangat mempengaruhi taburan bilangannya.
Masih banyak maklumat yang belum diketahui tentang proses pembiakan burung Cericap Tembakau-jawa~Prinia rufescens ini. Seperti berapa lamakah
jangkamasa membina sarang, adakah burung jantan dan betina bekerjasama
membina sarang, proses bertelor, mengeram dan menetas. Tempoh anak-anak
burung berupaya terbang keluar dari sarang. Harap dimasa akan datang saya diberi kesempatan melihat semua proses yang dinyatakan itu. Wasalam.
No comments:
Post a Comment