Wednesday, 9 November 2016

Penemuan Spesies Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus


Penemuan Spesies Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus Di Hutan Simpan Dara Hulu Gombak, Selangor Semenanjung Malaysia.

Rosla Bin Mustakim
Alamat:  Red Door To Hunt
Email: rosla.m3@gmail.com


Gambar 1~Burung sedang membuat imbangan ketika meniti besi penghadang jalan.


ABSTRAK~ Di Semenanjung Malaysia  3 spesies dari keluarga Burung Pucung Malam boleh kita temui, iaitu Pucung Malam Mahkota-hitam ~Nycticorax nycticorax , Pucung Malam Leher Perang~Nycticorax caledonicus dan  Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus . Pucung Malam Mahkota-hitam ~Nycticorax nycticorax merupakan burung tempatan yang boleh ditemuinya sepanjang tahun. Manakala Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus  dan Pucung Malam Leher-Perang~Nycticorax caledonicus merupakan burung hijrah yang menjadi "Pengunjung Musim Sejuk" (Winter Visitor)   yang membuat "Laluan Lintasan  Musim Sejuk "(Passage Visitor) di Semenanjung Malaysia sebelum meneruskan perjalanan hijrah mereka. Oleh kerana itu  peminat pemerhatian burung dan jurugambar burung tempatan sangat sukar untuk bertemunya. Kesukaran itu ditambah pula dengan kelakuan semulajadi yang selesa merahsiakan kehadirannya dengan memilih mendiami habitat didalam hutan terpencil berhampiran dengan anak sungai dan paya. Ia tidak sepertimana Pucung Malam Mahkota-hitam ~Nycticorax nycticorax yang memilih  mendiami dikawasan terbuka dihabitat paya dan berhampiran dengan air.

Gambar 2~Lokasi Penemuan Burung Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus

ABSTRACT ~ 3 species of Night Heron can be found in Peninsular Malaysia, and those  3 species are Black Crown Night Heron~Nycticorax nycticorax, Rufous necked Night Heron~Nycticorax caledonicus and Malayan Night Heron~Gorsachius melanolophus. The Malayan Night Heron~ Gorsachius melanolophus is usually solitary bird and little information could be found about this secretive behaviour bird. During migration season these Winter Visitor/Passage Visitor birds normaly would inhabits at the lowland wood swamp, stream and marsh area in the tropical forest. Compared to our resident bird Black Crown Night Heron~Nycticorax nycticorax which can be seen in the large numbers inhabits marshy,  lake, pond, stream of an open area.
 
KEKUNCI KATA~ Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus Malayan Night Heron, Malay Night Heron , Malayan Night Heron, Winter Visitor, Passage Visitor Hutan Simpan Dara Hulu Gombak, Selangor.

Gambar 3

PENDAHULUAN ~ Di Semenanjung Malaysia tidak banyak maklumat diketahui tentang Spesies Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus ~ Malaysian Night Heron kerana ia jarang dijumpai. Spesies dari Kumpulan Keluarga -Heron (Ardeidae ) ini  dikenali juga dengan nama  Malay Night Heron dan Malayan Night Heron (Common Names.) 


Tersenarai sebagai spesies Burung Tempatan untuk negara Jepun ,Taiwan, China (The Orithological Society of Japan 2000). Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus menjadikan negara -negara dibahagian Asia Timur seperti China, Hong Kong , Taiwan dan Jepun sebagai tempat mereka menjalani proses membiak. (Chuan Chiung Chang 2000) Apabila tiba musim sejuk mereka akan bertaburan terbang berhijrah ke negara-negara Asia Tenggara yang lebih panas untuk mudah mereka mencari makanan. Ia telah disenaraikan sebagai Kurang Membimbangkan (Least Concern) dalam senarai  IUCN sejak 2004. Walaubagaimana pun di Semenanjung Malaysia kehadirannya tidak mengambarkan  akan statusnya itu. Ia begitu jarang sekali dapat ditemui  di sini  kerana sifat semulajadi dan kelakuannya yang  suka merahsiakan kehadiran dirinya. Dengan memilih tinggal  dipersekitaran berhampiran anak-anak sungai dan paya didalam kawasan Hutan Rimba yang sunyi jauh daripada manusia. Disitu ia bebas bergerak dilantai hutan untuk mencari makanan tanpa gangguan. Mencari makanan pada setiap waktu samada siang mahu pun pada waktu malam. (Kazuto Kawakami 2011). Pemilihan diet pemakanan berpandukan pada keadaan alam sekeliling tempat ia berada. Jenis pemilihan makanan adalah terdiri dari jenis Katak, Kumbang, Kala Jengking, Belalang, Cicak, Lipas, Siput, Ketam Air Tawar, Ular, Anak Ikan dan Anak Burung.(Kazuto Kawakami 2011) Sejak tahun 2011 sehingga 2016 maklumat yang diketahui cuma 3 kali sahaja burung ini ditemui di Semenanjung Malaysia.

Gambar 4~ Alat penyukat ketinggian Barometer/Altimeter Mingle

BAHAN DAN KAEDAH : Alat bantuan pemerhatian burung yang digunakan  dalam kajian ini ialah sebuah Teropong Carl Zeiss 8 x 20, sebuah Kamera Canon 7D Mark II dengan lensa EF 300mm F4L IS USM Canon, sebuah Kamera Canon 7D  dengan Lensa Micro 100mm F 2.8L IS USM Canon,   sebuah Kamera Lumix LX 7 dan Barometer/Altimeter Mingle. Kaedah yang digunakan adalah dengan membuat pemerhatian langsung dan merakam burung-burung yang ditemui. Kaedah merakam imej burung yang ditemui adalah kaedah yang terbaik bagi membuktikan penemuan dan mengelakkan berlakunya kesilapan pengenalan burung.

Gambar 5~Hutan Simpanan Hutan Dara Hulu Gombak kelolaan Jabatan Hutan Negeri Selangor

PERISTIWA DAN HASIL PEMERHATIAN

KAWASAN PEMERHATIAN ~ Kawasan burung ditemui adalah di 36 kilometer dari Hentian Rehat Genting Highland yang letaknya didalam kawasan  Hutan Simpanan Hutan Dara Hulu Gombak, Selangor. Di sebelah bahagian  sekitar kawasan Pusat Kajian Universiti Malaya bentuk mukabuminya agak landai dan rata. Manakala kawasan hutan yang bersambung ke  Genting Sempah, Bentong , bentuk mukabuminya  adalah berbukit-bukau serta berlembah pada ketinggian 600 meter dari paras laut. Sebahagian besar kawasan  dipenuhi dengan tumbuhan hutan yang matang dan terdapat banyak anak sungai mengalir didalamnya.

CUACA~ Pada waktu malam sehari sebelum menjumpai burung tersebut,   kawasan sekitar disitu telah mengalami hujan yang agak lebat. Keadaan itu berlarutan sehingga ke sebelah pagi dengan cuaca masih mendung walaupun waktu telah menunjukkan jam 11.00 pagi. Pada ketika itu juga suasana dingin kerana ditiupi oleh angin yang agak kencang. 





Gambar 6

PERISTIWA KETIKA DIJUMPAI ~ Pada hari Jumaat tarikh 21 Oktober 2016 jam 11:30 pagi, ketika saya sedang menunggang motosikal secara perlahan-lahan dari  Hentian Genting Sempah menuju ke arah Gombak, saya telah memberhentikan motosikal di kilometer 36 kerana ingin melihat pokok sedang berbuah. Secara tiba-tiba terlihat seekor burung Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus yang sedang bertenggek diatas besi penghadang jalan ditepi jalanraya. Kedudukan burung yang sedang bertenggek diam itu, dianggarkan cuma 3 meter dari tempat saya berdiri. Saya tidak melakukan banyak pergerakan cuma membuat pemerhatian sambil merakam imej burung tersebut. Burung itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas cemas untuk satu tempoh jangka masa. Disebabkan ia tidak bergerak , saya telah mengubah kedudukan untuk mendapatkan pemandangan dari sudut yang berbeza. Pada ketika itu barulah ia mengerakkan sedikit kedudukan tubuhnya sambil kepalanya menoleh kearah kawasan hutan berdekatan.

Gambar 7

Keadaan itu berlangsung dianggarkan lebih kurang 3 minit, sehinggalah ia menggerak naik buluhias diatas kepala seperti tocang tegak naik dikepalanya. Sejurus itu ia  bergerak melangkah perlahan-lahan meniti diatas besi penghadang jalan bertujuan menjarakkan dirinya  daripada tempat saya berdiri. Lebih kurang sepuluh langkah  berjalan barulah ia melompat terbang ke lantai tanah berhampiran dengan rimbunan tumbuhan ditepi hutan. Apabila  merasakan dirinya diekori maka ia terbang pula ke arah seberang jalan dan memerhatikan tindakan susulan saya seterusnya, dari jauh. Setelah dirinya diekori dan merasakan kehadiran saya memberi cemas kepada dirinya, barulah ia terbang kearah hutan bersebelahan dengan jalanraya . Dari jauh saya membuat pemerhatian ia sedang bertenggek diatas cabang batang kayu sambil menyisir dan membersihkan buluhias. Setelah selesai proses membersihkan dirinya, ia terbang jauh  menghala  ke dalam hutan. Pemerhatian ini berlangsung dianggarkan melebihi 15 minit. Burung yang dijumpai ini  merupakan seekor burung muda yang masih belum dewasa lagi dan tidak dapat dikenal pasti akan jantinanya.

Gambar 8
 
SEJARAH PENEMUAN LALU ~ Rekod penemuan di Semenanjung Malaysia yang berjaya diperoleh sejak 2011 sehingga 2016 adalah seperti berikut:-

1. Pada 20 Nov 2011, dijumpai ditepi anak sungai bertempat di Taman Negeri Selangor , Perdik Ulu Langat Selangor. Dijumpai oleh Saudara Sulaiman Salikan. Status: Burung Muda ( Juvenile )

2. Pada 7 Dec 2012, dijumpai didalam kawasan paya didalam hutan penempatan Orang Asli di Kampong Tangkai Cermin, Batu Gajah, Perak. Dijumpai oleh Pak Long Ulu Kali. Status : Burung Muda ( Juvenile )

3.Pada 9 April 2015 Taman Botanikal Pulau Pinang. Dijumpai oleh Saudara Choy Wai Mun. Status:Burung Muda ( Juvenile )

Gambar 9

PERBINCANGAN & KESIMPULAN ~ Berdasarkan rekod yang dikumpul, mendapati ada dikalangan Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus  melakukan hijrahnya pada usia yang agak muda bersama-sama  burung-burung dewasa. Kesemua 4 rekod yang dikumpul mendapati burung  yang dijumpai di Semenanjung Malaysia adalah Burung Muda (Juvenile) sahaja. Belum ada laporan pemerhatian   penemuan Burung Dewasa (Adult) yang pernah dilihat di sini. Tidak dapat dirumuskan mengapakah burung dewasa tidak pernah dilihat singgah di Semenanjung Malaysia. Sedangkan sudah beberapa kali burung Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus dewasa telah dijumpai oleh Pemerhati Burung di Pulau Singapura secara kerap.   Apakah boleh, faktor kekurangan bilangan Peminat Pemerhati Burung di Semenanjung Malaysia boleh dijadikan alasan kukuh menyebabkan burung dewasa tidak pernah dilihat di Semenanjung Malaysia.? Saya berfikir tidak , sepertimana kenyataan cadangan itu.

Gambar 10
Saya mencadangkan kesukaran untuk menjumpai Burung Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus dewasa ini, adalah disebabkan; bentuk mukabumi bergunung ganang serta hutan rimba yang terpencil di Semenanjung Malaysia masih luas kawasannya lagi. Tambahan pula terdapat pemilihan sumber makanan yang banyak dan pelbagai dikawasan yang dinyatakan itu. Keadaan seperti itu membantu Burung Dewasa yang berpengalaman serta mahir untuk memilih kawasan hutan terpencil untuk menyembunyikan diri dari penglihatan manusia berbanding dengan Burung Muda. Walaubagaimana pun pada masa  akan datang, saya yakin peminat Pemerhati Burung Tempatan akan bertemu dengan  burung Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus dewasa.(Adult)

Gambar 11

PENGHARGAAN

Ucapan ribuan terima kasih kepada Saudara Pak Long Ulu Kali, kerana sudi bekerjasama menyalurkan maklumat penemuan burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus di Batu Gajah Perak. Terima Kasih kepada pemilik blog www.mynameistank64.blogspot.com , Saudara Sulaiman Salikan atas rujukan penemuan burung di Taman Negeri Selangor, Perdik Ulu Langat. Terima Kasih juga kepada Saudara Choy Wai Mun keatas imej dan maklumat burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus yang dikongsi dalam halaman Oriental Bird Club. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Saudara Mike Chong M.H.N. yang banyak memberi nasihat dalam bidang pemerhatian burung.

Gambar 12

RUJUKAN

Chuan Chiung Chang ~Malayan Night Heron~Gorsachius melanolophus breeding in premature plumage ~Forktail 2000

Kazuto Kawakami, Masaki Fujita, Motohiro Hasegawa,& Hiroshi Makihara~Dietary characteristic of the Malayan Night Heron~Gorsachius melanolophus in the Yaeyama Island, southern Japan~Beijing Forestry University & Chinese Orinithology Society 2011

Buku~The Birds of Thai-Malay Peninsular Vol 1 & 2 ~ David Wells

Buku A Field Guide of South East Asia ~ Craig Robson

Buku A Field Guide of Peninsular Malaysia & Singapore~Allen Jayarajasingam, Pearson

Imej dan Maklumat Lisan Saudara Pak Long Ulu Kali.

Oriental Bird Club Image~Imej dan maklumat Saudara Choy Wai Mun

www.mynameistank64.blogspot.com ~ Imej dan maklumat Saudara Sulaiman Salikan



2 comments: