Iktibar Dari Pemerhatian Anak Burung Terbang Keluar Sarang.
Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill)
Sejak tahun 2015 https://reddoortohunt.blogspot.com/2015/07/mengapa-bersarang-di-sungai-congkak.html ketika kali pertama saya berjumpa sarang burung Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill) di Hutan Tanah Rendah. Pada ketika itu belum ada rekod penemuan ia bersarang di Hutan Simpanan Sg.Chongkak Ulu Langat Negeri Selangor. Sejak daripada itu pada setiap tahun spesis Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill) akan datang disekitar kawasan ini membuat sarang.
Entah mengapa pada tahun ini 2019 pasangan spesis ini agak lewat membuat sarangnya disini. Kebiasaannya mereka telah mula sekitar bulan March atau April. Namun pada tahun 2019 ia membuat sarang agak lewat, iaitu pada sekitar bulan Jun. Tidak dapat diketahui apa punca faktor kelewatan mereka membiak. Sedangkan spesis yang sama di Hutan Simpan Telapak Buruk, Negeri Sembilan, Hutan Simpan Tanah Tinggi, Bentong Pahang dan di Bukit Frezer telah menjalani proses membiak antara bulan Mac hingga Jun.
Tahun ini pasangan itu membuat sarang diatas hujung ranting sebatang pokok, yang tumbuh sekitar kawasan lapang terbuka di tempat letak kereta. Sudang memang menjadi tabiat burung itu membuat sarang dikawasan dimana manusia mudah menjumpainya. Seolah-olah disengajakan mempamerkan sarangnya yang tergantung agak rendah. Kehadiran ramai manusia dan kenderaan disekitar sarang tidak mendatangkan cemas ketakutan kepadanya. Lebih-lebih lagi pada hujung minggu, dimana jumlah pengunjung yang ramai melakukan aktiviti Skytrek disitu. Sarang dibina pada paras ketinggian lebih kurang 2 meter dari lantai tanah.
Kehadiran manusia yang ramai berhampiran dengan sarang adalah salah satu satu cara penjagaan keselamatan daripada diserang oleh musuh pemangsa. Teori yang dicadangkan oleh sahabat saya Saudara Mike Chong hasil dari pengalaman berpuluh tahun pemerhatian burung ada kebenaran. Sejak sarang dijumpai, maka seperti biasa ramailah jurufoto burung telah datang berkunjung untuk merakam proses aktiviti membiak. Dari proses mencari bahan pembinaan sarang, bertelor, mengeram , memberi makan anak berlangsung sehinggalah pada 20 Aug 2019. Kebetulan pada tarikh dan masa itu, ditakdirkan menjadi rezeki saya menyaksikan aktiviti mempersiapkan anak-anaknya keluar daripada sarang. Bertuah telah melihat saat anak-anak burung itu melonjak terbang, keluar dari pintu sarang dan mengekori ibubapanya.
Kehadiran manusia yang ramai berhampiran dengan sarang adalah salah satu satu cara penjagaan keselamatan daripada diserang oleh musuh pemangsa. Teori yang dicadangkan oleh sahabat saya Saudara Mike Chong hasil dari pengalaman berpuluh tahun pemerhatian burung ada kebenaran. Sejak sarang dijumpai, maka seperti biasa ramailah jurufoto burung telah datang berkunjung untuk merakam proses aktiviti membiak. Dari proses mencari bahan pembinaan sarang, bertelor, mengeram , memberi makan anak berlangsung sehinggalah pada 20 Aug 2019. Kebetulan pada tarikh dan masa itu, ditakdirkan menjadi rezeki saya menyaksikan aktiviti mempersiapkan anak-anaknya keluar daripada sarang. Bertuah telah melihat saat anak-anak burung itu melonjak terbang, keluar dari pintu sarang dan mengekori ibubapanya.
Nota Pemerhatian.
Pada 20hb Ogos 2019, sekitar jam 9:30 pagi kelihatan burung jantan dan betina secara bersama-sama sedang sibuk mencari makanan, tidak jauh daripada lokasi sarangnya. Kawasan pencarian makanan pagi itu dibawah knopi pokok-pokok hutan berdekatan. Dalam suasana cahaya suram itu, adakala ia bertenggek diatas dahan, diatas kabel, diatas tunggul pokok mati dan ada juga bergayut pada ranting. Ia memerhati kawasan sekeliling sambil merenung lama gerak kelibat serangga atau ulat-ulat daun, kemudian melonjak menyambar mangsanya. Adakala bergayut pada ranting, terbuai-buai kepalanya ke bawah sambil paruhnya menyelak tercari-cari kalau ada ulat dicelah daun-daun.
Tangkapan ulat-ulat dan serangga yang bersaiz kecil, akan dikemam atau disimpan sementara di dalam tembolok terlebih dahulu. Setelah penuh barulah induk burung akan tebang ke sarang mendapatkan anak-anaknya. Ketika berada disekitar sarang, ia akan bertenggek sementara waktu pada dahan sebelum melonjak terbang bergayut disarangnya. Pada ketika itu barulah dimuntahkan kembali hasil buruan di dalam tembolok lalu disuap ke mulut anak-anaknya dengan mengikut giliran. Pada pagi itu pasangan itu silih berganti giat menjalankan aktiviti tersebut . Tidak dihiraukannya langsung akan kehadiran manusia yang berada hampir padanya.
Andaikata ia menangkap serangga yang bersaiz besar pula, maka dengan segera akan terbang ke sarang untuk disuapkan kepada anaknya. Pagi itu selesailah usaha dan tanggungjawab ibubapa burung mempersiapkan diet makanan secukupnya kepada anak-anaknya. Sumber protin yang mendatangkan kekuatan tenaga tambahan . Sekitar jam 10:15 pagi pasangan burung datang bertenggek pada dahan dalam jangkamasa agak lama di hadapan muka sarang. Cahaya matahari silau memancar dari arah belakang muka pintu sarang sedikit menjejaskan penglihatan.
Ditempat ia bertenggek, pasangan itu mendonggak memerhatikan ke arah sarang sambil mengeluarkan suaranya secara berturut-turut. Sejurus itu kelihatan 2 kepala anak burung yang kelihatan seolah-olah berebut-rebut menjenguk pada muka sarang. Mendapat tindak balas dengan sahutan bunyi panggilan pendek halus dari anak-anaknya secara tidak henti. Tidak lama kemudian burung jantan melonjak terbang. Diikuti burung betina terbang menghala kearah sebatang pokok yang besar serta tinggi, pada jarak lebih kurang 40 meter.
Dari atas pokok yang tinggi sayup-sayup suara panggilan secara berulang-ulang keterdengaran. Suara seperti mengarahkan sesuatu kepada anak-anaknya.( Andaian Cadangan ) Boleh jadi isyarat memberitahu anak-anaknya itu, supaya datang mengekorinya dengan segera. Pada jam 10:25 pagi salah seekor anak burung telah memberanikan dirinya memanjat muka sarang. Dengan keadaan dirinya terketar-ketar memanjat naik ke muka tebing sarang, lalu berhenti bertenggek disitu. Kelihatan sepasang kaki warna kuning anak burung yang mencengkam erat tebing sarang. Sisi kiri kanan pangkal paruh pada mulutnya masih lembut berwarna kekuningan. Berbulan lama menghuni di dalam lubang sarang, kini jelas kelihatan tubuhnya telah penuh diselaputi buluhias halus berwarna keputihan.
Buat pertama kali dalam hidup anak burung, ia bertenggek mengimbang tubuh badannya di atas muka sarang. Cengkaman jari dan kuku tajam anak burung membantu dia bertenggek disitu buat seketika. Disusuli dengan suara decipan-decipan pendek secara berulang-ulang, sambil matanya memandang hadapan ke kiri dan ke kanan. Ia sedang mengecamkan arah suara panggilan ibubapanya, sebelum boleh melonjak terbang menuju ke arah lokasi suara.
Setelah mengesan dengan penuh pasti akan arah untuk tujui, maka tepat jam 10:30 pagi anak burung itu keluar dari sarang. Dengan nekad berani melonjakkan diri sambil memusatkan seluruh tenaganya mengepak-gepak terbang lurus dengan laju meninggalkan sarang. Penerbangan julung-julung kalinya itu tidak begitu jauh kerana kepenatan, dianggarkan cuma dalam jarak 20 ke 30 meter. Walaupun jaraknya pendek tetapi ini satu kejayaan luar biasa. Sebab berupaya mengawal dan mengimbang tubuh badannya dari kecelakaan ketika hinggap menangkap ranting pokok pada hentian pertama.
Dengan kejayaan percubaan itu, sudah tentu menambah keyakinan dan mengenali keupayaan dirinya sendiri. Setelah hilang kepenatan ia menyambung semula penerbangan mengekori ibubapanya yang sedang menunggu diatas pokok yang tinggi . Sesampai ditempat ibubapanya menunggu, kelihatan ibupadanya menyambut dengan menyuapkan makanan kepada anaknya. Disitu mereka anak beranak bertenggek berehat sambil menunggu seekor lagi burung tiba.
Selang 5 minit kemudian pada jam 10:35 pagi anak burung yang ditinggalkan bersendirian dalam lubang sarang mengikut gerak langkah abangnya. Pergerakan yang serupa telah dilakukan sepertimana abangnya sebelum itu. Mujur jari kukunya tidak tersangkut pada sabut di tebing muka sarang ketika melonjak terbang. Saya pernah melihat anak burung Takau Hitam dan merah~Cymbirhynchus macrorhynchos (Black & Red Broadbill) jari kuku tersangkut pada sarang. Buat seketika ia tergantung-gantung berbuai-buai cemas untuk melepaskan diri pada percubaan kali pertama. Maka pada tahun ini spesis Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill)telah berjaya membiakkan 2 ekor bakanya dengan jaya.
Nota Peristiwa Kacau Ganggu Burung
Setelah selesai memerhatikan kejayaan anak-anak burung terbang bebas mengikut ibubapanya, ada pulak perisitwa yang kurang baik telah berlaku kepada burung . Beberapa orang jurufoto burung yang datang kemudian dikawasan sarang, telah melanggar Etika Memburung. Walaupun telah dimaklumkan anak burung telah meninggalkan sarang. Namun mereka dengan sengaja telah memainkan suara panggilan palsu dari talipon pintar , bertujuan menarik perhatian burung. Mereka mengetahui tindakan itu akan mendatangkan rasa cemas dan memberi tekanan tambahan tetapi tidak dipedulikan.
Kita hanya boleh memaklumkan sahaja, tetapi tidak diendahkannya nasihat kita itu. Dengan kedegilan tindakan mereka , telah membuahkan hasil kejayaan kepada mereka. Hasil kejayaan tipu muslihat daripada suara panggilan palsu, seekor burung jantan telah datang berkeliaran berpusing mencari bunyi panggilan palsu. Dek kerana rasa cemas dan tertekan burung jantan terpaksa sanggup meninggalkan anak-anaknya. Bukan mereka tidak pernah melihat spesis Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill) . Bukan mereka tidak ada imej burung tersebut. Tetapi itulah perangai dan sikap mereka ketika berada dilapangan..
Kita hanya boleh memaklumkan sahaja, tetapi tidak diendahkannya nasihat kita itu. Dengan kedegilan tindakan mereka , telah membuahkan hasil kejayaan kepada mereka. Hasil kejayaan tipu muslihat daripada suara panggilan palsu, seekor burung jantan telah datang berkeliaran berpusing mencari bunyi panggilan palsu. Dek kerana rasa cemas dan tertekan burung jantan terpaksa sanggup meninggalkan anak-anaknya. Bukan mereka tidak pernah melihat spesis Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill) . Bukan mereka tidak ada imej burung tersebut. Tetapi itulah perangai dan sikap mereka ketika berada dilapangan..
Ada baiknya mulai daripada sekarang semua Persatuan-persatuan Burung & Hidupan Liar mengeluarkan kenyataan bersama menghapuskan sahaja Etika Memburung. Etika yang melarang penggunaan pembesar suara panggilan palsu. Turut hapuskan juga etika mengumpan dengan makanan untuk menarik perhatian burung ketika sesi fotografi. Etika yang dicipta oleh peminat burung terdahulu memang sengaja untuk menyusah-yusahkan jurufoto burung. Ia dicipta atas dasar cemburu iri hati, bukan atas dasar memberi keutamaan kepada kebajikan burung. Etika ini terlalu berat untuk dilaksanakan oleh ramai jurufoto burung pada masa sekarang. Dengan menghapuskan Etika lapuk itu, secara langsung dapat membebaskan semua jurufoto burung daripada menerima tanggapan serong. Atau dicemuh kerana tidak beretika oleh kumpulan peminat pemerhati burung yang kolot dan ketinggalan zaman. Mulai dari situ Jurufoto Burung tidak lagi merasa serba salah atau bersembunyi ketika melakukan aktiviti hobi merakam imej burung. Hasil rakaman mereka akan dipuja dan dihormati oleh khalayak ramai. Paling utama mereka bebas selama-lamanya dari menjadi hipokrasi .
Iktibar
Tidak dapat tidak pemerhatian seperti ini akan sentiasa membuat akal fikiran saya mengaitkan ia dengan kehidupan manusia. Samada dari sudut perbandingan atau dari sudut kehebatan Maha pencipta yang menjadi dan mengatur urus sekelian makhluknya. Walaupun kadang-kadang perbandingan saya cadangkan itu tidak kena pada tempatnya, namun pada saya ia tetap mengerakkan akal untuk berfikir. Persoalan itu timbul kerana anak burung Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill) tidak perlu melakukan beberapa proses latihan sebelum ia boleh terbang. Berbanding dengan manusia yang harus menjalani 8 proses dari telentang, menelangkupkan diri, menyarap, merangkak, imbangan diri, bertatih, berjalan dan berlari. Bagi burung ini, hanya setelah 2 atau 3 bulan tinggal didalam lubang sarang ia sudah menpunyai keyakinan nekad. Ia berani secara membabi buta melakukan lonjakan penerbangan buat pertama kali dalam hidupnya. Dengan tanpa ada sedikit latihan pun. Walau dengan segala kekurangan deria penglihatanya yang belum cukup tajam, tulang rangka dan tulang sayap masih belum cukup keras, namun ia tetap berani terbang. Tanpa sebarang pengalaman anak burung berjaya menjalani proses mengimbang berat tubuh badan terbang diawang-awangan. Berupaya mengagak dengan tepat semasa jari kaki menangkap mencengkam pada ranting kayu semasa hinggap. Dengan segala kekurangan , apakah semua hal perlakuan kejadian yang dilalui oleh anak burung itu boleh terjadi secara semulajadi? Sedangkan kejadian itu bersalahan pada perhitungan hukum sains atau pun hukum kehidupan. Saya buntu tidak ada jawapan kepada persoalan yang saya sendiri bertanya. Ulasan yang saya fikir kena pada tempatnya ialah; Tiada daya upaya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Si Maha Pencipta. Anak burung itu hanya berupaya berusaha mengayakan perilaku perbuatan itu sahaja dengan atas bantuan kudrat iradat Allah. Kudrat iradat Allah yang tidak sesekali akan terlihat oleh mata kepala. Tetapi ia terlihat dengan jelas dengan mata hati kepercayaan dan keyakinan. Wasalam.
Iktibar
.
No comments:
Post a Comment