Thursday, 1 November 2018

Mari Melihat Dan Berfikir Tentang Seni & Corak Ciptaan Dari Alam Semulajadi. (Rama-rama~Moths)


Melihat Dan Berfikir Seni & Corak Ciptaan Dari Alam Semulajadi.~Rama-rama(Moths)

Nama Tempatan Spesies : Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ( White 1861)
Family  : Brahmaeidae




Segala-gala yang ada di alam ini termasuk hidupan haiwan serta unggas serangga di alam semulajadi  adalah dijadikan oleh Allah Si Maha Pencipta. Tegas Si Maha Pencipta itu, setiap kejadian itu pula tidak pernah akan menjadi sia-sia kejadiannya. Entah apa cara dan bagaimana ianya direka cipta olehnya, tidak terfikir oleh akal dan benak fikiran manusia, kerana akal dicipta bersifat terbatas. Walaupun sifat akal terbatas, ini tidak bermakna kita tidak digalakkan berfikir. Malah dianjurkan manusia berfikir sedalam-dalamnya. Tetapi dengan syarat, akuilah dengan penuh yakin, segala yang ada di alam ini ada penciptanya, iaitu Allah.  Paling-paling tidak dan lemah, akal fikiran manusia kenalah melihat dan diikuti pula dengan amalan berfikir tentang kehebatan kejadiannya.





Jangan kita kira berapa jumlah speies Rama-rama yang ada di alam ini, kerana tidak terkira jumlah banyaknya. Merujuk kepada https://www.inaturalist.org di negera Malaysia sahaja terdapat 1519 spesies Rama-rama yang sempat dikira. Dari jumlah itu sahaja kita dapat bayangkan kepelbagaian bentuk, corak dan warna. Sudah tentu akan ada kepelbagaian dan kelainan antara satu spesies dengan spesies yang lain.





Disini, saya merujuk kepada spesies  Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ( White 1861) yang telah dijumpai oleh sahabat saya Saudara Muhammad Muhir Hj.Daud . Beliau menjumpainya di kawasan pergunungan Ulu Kali Selangor pada 10  Oktober  2018, lalu dikhabarkan kepada saya . Untuk makluman sehingga sekarang 2018, Rama-rama ini belum mempunyai nama tempatan Bahasa Melayu yang merujuk kepada Brahmaea hearseyi ( White 1861). Memandangkan saya ingin menulis ceritanya dalam bahasa Melayu, maka terpaksalah saya mencipta namanya sendiri. Supaya dapat  dikenal yang merujuk kepada spesies itu.




Melihatkan keunikan serta seni corak warna kecantikkan spesies  Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ( White 1861) ini, membuatkan saya kagum akan kejadiannya. Memandangkan pemikiran saya lemah dan tidak cekap dalam bidang Sains, hanya sekadar orang biasa-biasa sahaja. Maka maafkan lah  pada semua soalan dan hujah bermain didalam minda saya, yang bakal dilontarkan nanti. 





Rasa-rasanya semua soalan itu telah pun dijawab oleh para saintis, cuma saya saja yang tidak tahu dan tidak mengikut perkembangan semasa dalam bidang ini. Jawapan-jawapan mereka itu, kononnya mereka telah menjawab semua soalan  berdasarkan keputusan kajian yang telah mereka lakukan. Mereka menyatakan corak , pigmen dan debu itu terhasil dari DNA secara alami semulajadi. Adalah lebih baik saya tidak membicarakan  subjek yang saya sendiri tidak mengetahui hujung pangkalnya.





Soalan saya, apakah hubung kait Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ini kepada alam persekitaran kehidupannya sehingga susunan corak dan warnanya begitu cukup menarik. Dengan kecantikan yang ada padanya, apakah faedah yang Rama-rama sendiri itu dapat untuk dirinya. Apakah dirinya itu sedar bahawa dirinya itu, memiliki tubuh badan serta sayap yang sangat cantik. Sepertimana yang kita maklumi, Rama-rama itu tidak dapat melihat dirinya sendiri kerana tidak  melihat kepada cermin. 




Dengan itu, maka sepanjang hayat hidupnya dia hanya berterbangan mencari makan tanpa hala tujuan didalam hutan. Seolah-olah hidupnya sia-sia sahaja sepanjang tempoh hayatnya itu. Hidup, mencari makanan, berkeliaran,  membiak kemudian menunggu dirinya mati dimakan oleh burung-burung dan haiwan liar. Maka pada ketika itu barulah kejadiannya tidak sia-sia, kerana dirinya telah memberi kenyang kepada makhluk lain untuk terus hidup. Saat itu, habis rosak binasalah segala kecantikan Rama-rama itu, akibat dimakan oleh burung-burung. Maka berlakulah keadaan seperti itu bersilih ganti  dan berulang-ulang dari zaman dulu hingga sekarang.





Soalannya apakah faedah Allah menjadikan Rama-rama itu dengan sebegitu cantik? Sedangkan setiap kejadian yang dijadikannya itu tidak akan menjadi sia-sia. Pada hemat saya, inilah salah satu bukti yang menyokong bahawa kejadiannya itu tidak menjadi sia-sia; Katakan sesekali, apabila seorang dua manusia terjumpa dengan Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi ini. Kebiasaan, pada mulanya belum tentu manusia itu akan menghargai kecantikan senilukis semulajadi yang ada pada Rama-rama itu. 




Kerana mungkin manusia itu memandang sahaja, tetapi dia tidak mengerakkan akal untuk berfikir. Pancaindera hatinya tidak terperanjat dengan seni kecantikan itu lantaran saraf ilmunya tidak hidup atau lemah. Atau kecantikan itu tidak dapat dilihat dengan jelas oleh matanya. kerana saiz Rama-rama itu  terlalu kecil atau ia menghidapi masalah buta  warna.  Lantas pancaindera mereka tidak berupaya menilai keindahan ciptaan Allah.




Jikalau itulah puncanya, maka saya ingin berkongsi dengan  khalayak supaya usaha saya ini dapat menghidupkan saraf. Seterusnya menerangkan cahaya saraf ilmu itu, yang dapat menjana kegunaannya pada pancaindera mata. Soalan pada diri sendiri untuk ditanya ; Bagaimana garisan sempadan corak itu terbentuk  dengan tersusun pada kiri dan kanan dalam bentuk yang sama. Kemudian ada satu kuasa kepintaran dalam pemilihan warna. Warna-warna menarik itu diwarnakan didalam garisan sempadan bercorak itu. 




Ada warna yang seimbang berlapis-lapis secara berjalur dan ada juga yang bersisik-sisik. Warna itu wujud secara kaedah "Resapan Keluar " dari dalam organ badan Rama-rama itu. Apakah warna itu hadir berpunca daripada bahan makanan yang dimakan ? Jikalau ya, bagaimana pula dengan spesies Rama-rama sama, yang berada di kawasan  negeri yang lain akan sama juga bentuk dan warnanya.

Atlas Moth~Attacus Atlas







Cadangan ID Loepa megacore


Pekara yang lebih mengkagumkan saya ialah, warna-warna yang menarik itu adalah dalam bentuk serbuk debu halus dan ada juga berbentuk bulu-bulu halus. Sebuk debu halus berwarna itu melekat pada keseluruhan anggota badan Rama-rama. Warna-warna debu itu tidak pulak gugur berterbangan ditiup oleh angin, ketika Rama-rama menguak-guakkan sayapnya ketika melakukan penerbangan. 




Sedangkan pada kebiasaan sifat debu, ia akan mudah gugur berterbangan sejurus ditiup oleh angin. Seperti ada suatu gam pelekat semulajadi pada seluruh tubuh Rama-rama itu. Dimana ada suatu tahap kekuatan lekatan padanya. Yang mana kekuatan mengepak-gepakkan sayap Rama-rama itu tidak akan menyebabkan debu berwarna itu gugur berterbangan. Lebih pelik lagi, debu warna itu tidak pulak akan cair atau tertanggal larut dibawa air hujan apabila Rama-rama itu kebasahan.




Sementara  Rama-rama Belang Rimau ~ Brahmaea hearseyi belum lagi dimakan oleh burung, maka sedar dan yakin sepenuh-penuhnya lah. Kejadian ini semua adalah ciptaan Allah Si Maha Pencipta, yang segala macam Maha. Mana mungkin sesuatu itu tiba-tiba akan terjadi dengan sendirinya. Apakah akal fikiran dapat menerima jikalau saya katakan Jet Pejuang Soviet MIG-31 itu tiba-tiba wujud dengan sendirinya. 



Tropikal Swallow Tailed Moth~Lyssa zampa


Secara mudah, akal dan fikiran akan menolak kenyataan yang tidak masuk oleh akal itu. Akal akan berkata, tentu ada pakar yang merekacipta Jet Pejuang Soviet MIG-31 yang cukup hebat itu. Sudah tentu Pakar itu mempunyai daya ilmuan dan intelektual yang tinggi sahaja,  berupaya menjadikan Jet pejuang itu. 




Maka pekara yang sama juga dengan semua yang ada di alam semesta ini, yang sama-sama sedang kita lihat dan rasa ini. Ianya telah dijadikan secara sempurna oleh Si Maha Pencipta Allah. Samada ingin bersetuju atau membangkang dengan hujah ini dipersilakan lah. Tidak ada paksaan dan tidak juga ingin mencetus debat. Bebaslah setiap individu merdeka itu untuk kekal  dengan pendirian peribadi masing-masing.


Krananda semihyalina



Apa-apa yang  dicipta itu adalah untuk bangsa manusia, itu pun jikalau bangsa manusia itu tahu cara bagaimana hendak menggunakan otaknya untuk berfikir. Berfikir yang boleh menghasilkan sesuatu faedah kepada dirinya atau pun masyarakat. Ini baru satu sahaja spesies Rama-rama. Disini saya sertakan beberapa spesies Rama-rama dengan pelbagai jenis bentuk corak dan warna untuk membuktikan kekayaan, kehebatan kebijaksanaan dan kebesaran Si Maha Pencipta. 





Pylartes subcostalis




Cadangan ID Anisoneura aluco






Cadangan ID Negeta contrariata




Spesies : Bee Robber~Acherontia lachesis


Bee Robber~Acherontia lachesis


Dimanakah agaknya  diletakkan akal fikiran manusia yang bersifat tidak puas-puas menjadi agen pemusnah.  Menjadi pemusnah secara berulang-ulang kali kepada semua ciptaan Allah di alam semulajadi dalam tanahair kita. Didalam tempurung lutut kaki kah? Didalam buku lali kah, atau didalam kantung najisnya  kah? Atau apakah mereka itu semua tahu, bagaimana cara menggunakan otak mereka untuk berfikir?


Bee Robber~Acherontia lachesis










Akhir kalam, kalau memang kita tidak dapat melawan kekuatan orang-orang seperti  yang dinyatakan itu, apa lagi yang kita boleh lakukan. Kita mendiamkan diri saja lah  secara senyap-senyap, sambil hadirkan perasaan cinta kasih  untuk menyayangi saki baki alam sekitar  di tanahair kita. Sebelum tanahair yang cukup istimewa  cantik ini punah dan pupus, sedikit demi sedikit tanpa kita sedar. Percayalah.  Wao allah u'alam bissa waab. Wasalam.


Thursday, 18 October 2018

Serangga Pemakan Daging~Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp

Serangga Pemakan Daging Bangkai.

Pemerhatian Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp Memakan Bangkai Daging Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.




Pendahuluan

Tebuan dan Penyegat adalah dari kalangan Hymentoptera~Vespinea serangga bersayap yang mempunyai bisa . Serangga bersayap ini sangat mudah berang walaupun dengan sedikit gangguan yang datang daripada haiwan atau manusia. Ia akan bertindak terbang menyerang dengan  sungguh agrasif  mengerumuni musuhnya secara berkumpulan. Menggigit pada semua bahagian permukaan anggota badan dan meninggalkan bisa racun yang teramat bisa. Jikalau mangsa mendapat gigitan sengatan dalam jumlah yang banyak, pada kebiasaannya  akan mengakibatkan kematian. Membuat sarang samada diatas dahan pokok yang tinggi , diatas tanah atau ditepi dinding bangunan. Sarang dibina dari bahan tanah-tanih. Daripada 23 spesies Hymentoptera~Vespinea yang ada didunia 7 spesies Tebuan  berada di dalam negara Malaysia & 3 spesies Penyegat ( hanya ada di Malaysia ) . Maklumat serangga berbisa ini tidak banyak ditulis , maka tidak ramai yang mengetahui akan habitat, dan perangai kehidupannya. Hinggakan tidak semua spesies Tebuan ini mempunyai "Common Name" apatah lagi nama dalam bahasa Melayu bahasa Kebangsaan.



Memandangkan di Malaysia masih belum ada nama Tebuan ( Wasp ) & Penyegat ( Hornet ) dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada setiap 10 spesies famili Hymentoptera~Vespinea, maka saya mengambil inisiatif sendiri untuk mencadangkan nama-nama tersebut untuk memudahkan rujukan. Saya berharap selepas ini pakar Entomologist tempatan akan memberi cabaran positif secara ilmiah akan kesesuaian cadangan nama tersebut. Atau terus mengguna pakai nama-nama yang telah dicadangkan ini. 





Secara amnya  serangga bersayap berbisa Vespinae , terbahagi kepada famili Penyegat ~ Provespa dan TebuanVespa. Di Malaysia, gabungan Famili ini terdiri dari  10 spesies , 3 spesies Penyegat ~ Provespa dan 7 spesies  Tebuan ~ Vespa. Bermakna  10 spesies Vespinae dalam dunia boleh dijumpai di  Malaysia  daripada jumlah 23 spesies  Tebuan didunia. (Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae) of Malaysia~Stephen.J Martin). 

Penyegat~Provespa~Hornet

1.Penyegat Anomala ~ Provespa anomala
2.Penyegat Barthelemyi ~ Provespa barthelemyi 
3.Penyegat Malam Provespa nocturna

Tebuan~Vespa~Wasp

1.Tebuan Rimau ~ Vespa affinis ~ Tiger Wasp
2.Tebuan Analis ~ Vespa analis ~ Analis Wasp
3.Tebuan Bellicosa ~ Vespa bellicosa ~ Bellicosa Wasp
4.Tebuan Morsaryana ~ Vespa morsaryana ~ Morsaryana Wasp
5.Tebuan Multimaculata ~ Vespa multimaculata ~ Multimaculata Wasp
6.Tebuan Tropika ~ Vespa tropica ~ Tropica Wasp
7.Tebuan Emas ~ Vespa velutina ~ Golden Wasp




Di Malaysia taburan spesies Tebuan~Vespa ini terbahagi kepada 2 kawasan, iaitu kawasan Tanah Rendah dan kawasan Tanah Tinggi. Berikut adalah spesies Tebuan spesies kawasan Tanah Rendah (Lowland Spesies); Tebuan Rimau Vespa affinis Tiger Wasp,  Tebuan Tropika Vespa tropica Tropica Wasp, Tebuan Morsaryana Vespa morsaryana ~ Morsaryana Wasp Tebuan Multimaculata Vespa multimaculata Multimaculata Wasp ( Semenanjung Malaysia) dan Tebuan AnalisVespa analis analis ~ Analis Wasp.


Tebuan Spesies kawasan Tanah Tinggi(Highland Spesies) ~ Tebuan Analis Hitam Vespa analis nigran ~ Analis Wasp, Tebuan Multimaculata Vespa multimaculata ( Borneo ), Tebuan Emas Vespa velutina ~ Golden Wasp.  (Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae)of Malaysia~Stephen.J Martin). 




Pemerhatian Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp Memakan Bangkai Daging Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.


Saya telah menjumpai seekor bangkai Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard yang telah mati diatas sebatang jalan di Ulu Kali,  Selangor pada 14 Oktober 2018. Ulu Kali adalah sebuah kawasan Hutan Upper Montane Forest dan Elfin Forest  pada ketinggian (5814 ft (1800 meter ) dari paras laut. Pada bangkai itu terdapat 5 ekor Tebuan Emas~Vespa velutina~Golden Wasp dan 2 ekor Lalat. Melihat tabiat kelakuan spesies lalat yang sedang menghurungi bangkai adalah suatu pekara kebiasaan kepada semua orang. Tetapi kejadian spesies Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp mengerumi bangkai adalah satu pekara yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Kita sedia maklum, pada kebiasaan diet makanan spesies Tebuan~Vespa adalah dari berbagai jenis jus tanaman , nektar tumbuhan dan serangga. ( seperti Rama-rama atau Labah-labah). Pemerhatian kejadian ini telah menimbulkan tarikan untuk saya melihat serta mengetahui secara lebih dekat. Walaupun mengetahui akan menimbulkan ancaman bahaya kepada diri. Namun kepentingan mengetahui dan melihat  secara teliti akan perincian tabiat perlakuan 5 ekor Tebuan ~Vespa itu menjadi keutamaan. 




Hasil permerhatian dalam jangkamasa lebih kurang 30 minit, adalah seperti berikut:~

Saya perhatikan 2 ekor lalat itu hanya menyedut cecair yang terhasil dari daging bangkai tersebut. Sesekali lalat-lalat itu terbang beralih tempat kerana ditolak oleh Tebuan-tebuan , yang jauh lebih besar daripadanya. Manakala 5 ekor Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp sedang memakan daging bangkai secara lahap. Ia mengetip menggigit dan menyiat bangkai daging, dengan menggunakan set cengkerang taring tajam ( Bukan Dari Jenis Gigi) pada rahang mulut Tebuan. Set cengkerang  taring itu terletak pada bahagian hadapan mulut, ia berbentuk serupa pada bahagian kiri dan kanan mulut. Bentuknya melengkung seperti mata kerambit yang hujungnya runcing tajam. Kedua hujung runcing tajam itu akan bertemu ketika Tebuan itu mengetip membenamkan cengkerang taring ke dalam daging. Kemudian diikuti dengan hal perbuatan menyiat menarik isi daging. Perilaku seperti itu dilakukan dengan leka secara  cepat dan pantas . Kumpulan yang terdiri dari 5 ekor Tebuan itu ralit menggigit dan menyiat daging sehingga menampakkan tulang Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.




Ada suatu ketika, saya melihat   seekor Tebuan   mengangkat dan menterbalikkan 2 batang tulang lengan Sesumpah dengan menggunakan rahang cengkerang. Ia menterbalikkan tulang kerana untuk  menghabiskan sisa daging yang masih tertinggal pada tulang tangan Sesumpah. Pemerhatian ini  memberi bukti yang kukuh dan sah tentang kekuatan ketipan/gigitan. Rahang Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp itu memang cukup kuat dan merbahaya. Berupaya  menyiat permukaan kulit manusia atau haiwan sebelum meninggalkan racun berbisa. 





Perilaku kumpulan Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp sedang memakan daging bangkai adalah tidak sama dengan haiwan pemakan daging yang lain. Tidak sama sepertimana Burung Hereng ~ Aegypiinae ~ Vulture dan Dubuk ~ Hyaenidae ~ Hyena yang lebih suka berebut-rebut, kelihatan tamak dan suka berkelahi. Manakala Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp dilihat lebih bermaufakat dan bekerja sama antara setiap individu. Setiap individu tebuan seolah-olah  telah dibahagi-bahagikan kawasan habuan masing-masing. Walaupun kelihatan lahap memakan daging bangkai tetapi mereka tidak berebut-rebut antara satu dengan yang lain. Dalam tempoh 30 minit, saya mendapati hanya tinggal  40 peratus daging pada anggota badan yang masih ada pada bangkai Sesumpah itu. Selebihnya hanya tinggal tulang belulang yang licin tanpa secebis isi. Setelah lebih kurang 30 minit, satu persatu Tebuan itu terbang meninggalkan bangkai Sesumpah.




Rumusan.

1. Berdasarkan pemerhatian ini saya mendapati Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp mempunyai deria bau yang tajam berupaya mengesan bangkai yang tidak mengeluarkan bau busuk dikawasan berhawa sejuk. 

2. Sepertimana kita sedia maklum dikawasan Hutan Upper Montane Forest dan Elfin Forest adalah 
kawasan sejuk dimana bangkai akan sentiasa segar dan proses nyah secara semulajadi tidak berlaku lantaran ketiadaan ulat untuk memakan daging. Dari hasil pemerhatian ini, maka  spesies Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp telah menjadi salah satu hidupan yang menjalankan tugas sepertimana ulat-ulat yang memakan bangkai dikawasan tanah rendah yang berhawa sederhana panas.




3. Disebabkan  Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp menjadikan dietnya dari jenis  bangkai daging, ini memberi isyarat bahawa spesies ini mungkin mempunyai sistem penawar virus imunenya sendiri. Pada  waktu yang sama juga, tidak menolak  kemungkinan spesies ini berupaya menyebarkan wabak penyakit andaikata ia menyegat haiwan atau manusia.

4. Maklumat ilmu pelajaran Sains Am didalam buku sekolah hendaklah ditambah bagi menyatakan  terdapat sejenis spesies serangga pemakan daging bangkai iaitu Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp. Ia tergolong bersama-sama dengan haiwan pemakan daging bangkai selain Burung Hereng ~ Aegypiinae ~ Vulture dan Dubuk ~ Hyaenidae ~ Hyena.





5. Kita telah ketinggalan jauh kebelakang dengan negara-negara maju kerana tidak tahu menggunakan hasil kajian hidupan semulajadi dinegara kita untuk menghasilkan laba faedah. Negara Amerika dan Italy telah mendahului kita mengkaji spesies Tebuan. Sejak 50 tahun dulu mereka telah mendapatkan faedah daripada hasil kajiannya terhadap Tebuan. 

Contoh:-

i. McDonnell Douglas dengan FA 18 Hornet (Jet Pejuang Tebuan ATM)  dan Piaggio telah merekabentuk motosikal Scooter dengan mengambil  ilham dari bentuk anggota tubuh badan spesies Tebuan~Vespa dengan mengeluarkan motosikal Scooter model Vespa.

ii. Syarikat BioBee dari Israel telah mendapat faedah daripada hasil kajian terhadap spesies Tebuan. Hasil kajian mereka itu telah menjadikan Tebuan sebagai pelindung tanaman dari serangan serangga perosak tanaman tanpa menggunakan racun serangga perosak. Syarikat BioBee Israel mendapat keuntungan USD 24 juta dari hasil penjualan spesies Tebuan kepada negara Afrika Selatan untuk melindungi kawasan tanaman pertanian dari serangga perosak . (Israel Science Info~Israel's ~ BioBee will Ship 160 million Predatory Wasps To South Africa )






6. Pemerhatian kelakuan Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp secara tidak sengaja di Ulu Kali Selangor secara tidak langsung telah mengenalkan saya kepada nama-nama pakar Entomologist seperti Matsuura & Yamane, Stephen.J Martin , Qamar Banu,  K.M Nurul Huda dan  Prof.Yong Hoi-sen. Wasalam.



Rujukan:-

Federation Museum Journal 1981~The Summit Flora of Ulu Kali~Benjamin Stone
Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae)of Malaysia ~ Stephen.J Martin
Beit.Ent.Berlin (39) 1989) Nest Construction of a Malayan Vespa tropica ~ Qamar Banu & K.M Nurul Huda.

Friday, 12 October 2018

Si-Comel Yang Ganas - Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl


Si-Comel Yang Ganas
Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl



Sebelum ini saya hanya menjumpai bangkai spesies Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl sahaja. Untuk bertemukan dengan burung yang hidup cukup-cukuplah susah, kerana sifat semualajadinya yang suka menyendiri dan menyembunyikan dirinya. Apa tidaknya, pada waktu siang ia sentiasa berada ditempat yang gelap dibawah rimbunan tumbuhan yang menyerupai sama dengan warna dan corak buluhiasnya. 



Lagikan waktu siang sangat sukar untuk bertemu, inikan pula pada waktu malam. Pada waktu malam  kehadirannya cuma dapat diketahui kalau kita mengenal akan suara panggilan bunyinya, itupun kalau ia berbunyi. Jikalau tidak, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat melihat akan bentuk batang tubuhnya.    



Spesies Burung Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl merupakan spesies burung yang aktif pada waktu malam sama seperti spesies Burung Tukang dan Burung Cucur. Bezanya  Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl adalah sejenis burung pemangsa. Ia memburu haiwan-haiwan kecil, Burung, Cicak dan juga Serangga , Ia mempunyai bentuk  tubuh badan yang bersaiz sederhana kecil, lebih kurang sama saiz dengan Burung Pekaka Leher-putih~Halcyon smyrnensis.  




Berdasarkan pengamatan peribadi, jolokan yang sesuai untuk burung pemangsa ini ialah " Si Comel Yang Ganas. Kalau kita perhatikan raut wajah pada bahagian mukanya saja memang sungguh comel. Jatuh hati dan datang perasaan untuk memeliharanya sebagai haiwan belaan. Dengan sepasang biji mata bulat yang sentiasa terbuntang, buluhias dibahagian kening yang boleh dinaik-turun menjadi seperti bentuk tanduk. 



Paruh bercangkuk yang ditutupi oleh bulu hias burung telah menyembunyikan imej Garang dan Ganas yang dapat dilihat pada Burung Helang. Namun sepasang kuku keras yang tajam tersembul dihujung jari kaki seperti mata kerambit tidak dapat menyembunyikan sifat ganasnya.








Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Nature Guide berpengalaman iaitu Saudara Hisyam Sungai Cincin kerana telah menemukan saya dengan spesies burung Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl, yang saya gelarkan "Si Comel yang Ganas". Wasalam.

Monday, 8 October 2018

Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile



Pemerhatian Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile Sungai Klang, Selangor.




Pada zaman sekarang bukannya mudah untuk melihat  Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar di habitatnya. Kita sedia maklum, hidupan liar dwi-alam yang dikenali umum, sebagai haiwan garang dan ganas. Ia berupaya menyerang, menggulung , melibas dan membaham mangsanya jika ia diganggu atau diberi peluang. Biasa juga kita mendengar laporan berita tentang manusia diserang dan dibaham  oleh Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile di sungai Negeri Sarawak.





Tetapi di sebelah Semenanjung Malaysia, laporan haiwan ini menyerang manusia amatlah jarang berlaku. Ini disebabkan sungai-sungai di bahagian Semenanjung bukan lagi menjadi  laluan perhubungan dan penggangkutan utama.Walaupun begitu, ini tidak bermakna haiwan liar ini tidak berkemampuan menyerang manusia jikalau manusia sendiri memberi peluang  kepadanya dan mendedahkan keselamatan dirinya di habitatnya. Haiwan liar ini dilindungi sepenuhnya oleh Akta Perlindungan Hidupan Liar, yang membawa hukuman dan denda yang tinggi. Jikalau ditangkap dan didapati bersalah mencederakannya, apatah lagi membunuhnya tanpa sebab. 



Sepanjang umur saya ini adalah kali pertama diberi peluang melihat Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar.  Sejak dahulu, ketika melakukan aktiviti memancing ikan di seluruh Semenanjung Malaysia saya berkeinginan sangat untuk melihatnya. Tidak disangka-sangka baru sekarang pada usia 50an akhirnya  diberi peluang. Memang kalau sudah ada jodoh untuk bertemu, pertemuan itu hanya di Sungai Klang, Selangor sahaja.



Ketika bertemu Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile itu sedang sibuk mengejar ikan Patin~Pangasianadon hypophthalmus. Memandangkan pada waktu itu air sungai sedang surut, saya anggarkan pada paras kedalaman cuma 1 kaki sahaja. Ikan ini bergerak dalam satu kumpulan, maka agak mudahlah Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile itu membuat tangkapan. Akibat diserang, ikan itu melompat kepermukaan air untuk menyelamatkan diri. Mana-mana yang tidak berkesempatan akan dibaham oleh buaya tersebut. 



Terdapat banyak ikan Patin~Pangasianadon hypophthalmus bersaiz besar dan Ikan Keli Afrika~Clarias gariepinus di Sungai Klang. Saya fikir inilah sumber diet utama Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile yang ada disini.  Buaya disini tidak makan bangkai-bangkai ayam atau bangkai haiwan ternakan yang lain. Ia hanya memilih makanan dari sumber diet yang segar sahaja. Memandangkan banyak sumber makanan saya tidak menolak bilangan Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile disini dalam jumlah yang banyak. Walaupun, mungkin tidak sebanyak Biawak Air~Varanus salvator.



Sungguhpun saya dapat buat pemerhatian, namun pemerhatian saya itu terbatas. Saya tidak berpeluang melihat keseluruhan anggota badan spesies Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile. Cuma melihat 30 peratus daripada anggota bahagian atas belakang badan dan ekornya sahaja. Selebihnya tenggelam ditutupi oleh air sungai Klang.  Berdasarkan saiz yang dilihat dianggarkan pada lebar bahagian perutnya, dekat 2 kaki. Panjangnya pula lebih kurang antara 15 ~ 16 kaki panjang.



Dari atas tebing, kelihatan air sungai menyembur-yembur hasil serang Buaya terhadap ikan-ikan. Setelah kenyang secara perlahan-lahan ia menyelam kedalam sungai yang sudah mulai pasang sedikit demi sedikit. Setengah jam kemudian kelihatan ia menimbulkan dirinya sambil berenang ke arah hulu sungai. Ia berenang dengan mengikut arus , kelihatan ekornya dibuai-buaikan kearah kiri dan kanan. Memandangkan saya masih belum melihat keseluruhan bentuk tubuh badannya, saya mengejar mengekorinya dan menunggu diatas tebing. Mengharapkan ia akan bersidai diatas tebing landai ditepi sungai.


Cita-cita ingin melihat Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar. Imej ini dirakam di Paya Indah Selangor.

Keputusan mengekori buaya itu membuahkan hasil, dimana saya dapat membuat pemerhatian  pada jarak yang lebih dekat serta jelas. Kelihatan keseluruhan warna asal badannya berwarna Tembaga telah disalut dengan tempelan kulat-kulat hijau. Disetengah bahagian badannya kelihatan tempelan  sisa lumpur warna kehitaman. Ketika ia berenang kelihatan matanya terbuntang berwarna jernih keemasan. Warna keemasan mengelilingi biji mata hitam, berbentuk buah Kana. Agakan saya tidak begitu tepat apabila sampai disatu kelok sungai ia pun menenggelamkan dirinya. Hilang dari pandangan mata. Mendegilkan diri  menunggu disitu untuk satu jangka agak lama, namun buaya itu tidak timbul lagi.


Papan Tanda Peringatan diatas tebing disebatang Sungai di Negeri Sarawak.

Cadangan saya, ada baiknya Majlis Perbandaran Klang, Dewan Bandaraya Shah Alam , Jabatan Saliran Dan Pengairan atau Jabatan Perhilitan memasang papan-papan tanda supaya memberi amaran kepada penduduk.  Supaya masyarakat lebih berwaspada akan kehadiran Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile disitu. Maka masyarakat yang  melakukan aktiviti didalam sungai atau ditebing-tebing sungai akan lebih berwaspada.




Dalam pada itu kita tidak boleh menolak kemungkinan Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile akan terlepas berenang  ke kawasan pertanian atau penempatan awam ketika air banjir  melimpah. 

Papantanda Awas dan Amaran ini bukan bermakna Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile akan ditafsirkan ia sebagai musuh kepada manusia. Tetapi sebagai makluman kepada manusia supaya tahu menghormati sempadan dirinya. Bukan untuk ia diburu ditangkap dan dibunuh. Harapan saya biarlah Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile di sepanjang Sungai Klang ini bertambah banyak jumlahnya. Agar ia  bersaiz besar dalam keadaan mereka semua gembira menyembunyikan dirinya sepertimana sekarang. Keadaan ini akan menjana kegiatan menuntut ilmu dalam bidang kajian hidupan liar juga dalam bidang eco-tourism. Wasalam. 

Tuesday, 25 September 2018

Pemerhatian Pucung Ungu~Ardea purpurea( Purple Heron) Mencari Makan


Pemerhatian Pucung Ungu ~ Ardea purpurea( Purple Heron) Berusaha Mencari Rezeki




Baru baru ini saya berkesempatan membuat pemerhatian sekor burung Pucung Ungu~Ardea purpurea ( Purple Heron) muda, yang sedang mencari makanan disatu lokasi di Sungai Gombak. Ketika mula memerhatikan gelagat sekor burung muda itu, dia sedang berdiri ditebing sungai secara bersendirian. Bersendirian ditebing sungai yang berlumpur berseleraak dengan pelastik sampah yang separuh terbenam dalam selut lumpur.



Kelihatan bulatan buih-buih udara yang dilepaskan oleh ikan-ikan membuak dipermukaan air sungai  yang berwarna keruh kehijauan yang mengalir dengan tenang. Walaupun keadaan sungai itu kotor dan tidak bersih namun sungai Gombak  menyediakan sumber makanan kepada burung-burung dan hidupan liar yang lain secara tidak putus-putus. Walaupun sumber makanan banyak tetapi haruslah ianya dicari. Ia tidak akan datang melayang terus masuk kedalam mulut.



Burung itu berdiri tegak dikawasan tebing sungai pada paras air yang cetek. Sejengkal bahagian batang kakinya yang bersisik berwarna hitam tercelop masuk didalam sungai. Seolah-olah menyerupai ranting kayu jika ikan melihat dari dalam air, agaknya.Renungan matanya ditumpukan ke dalam air untuk memerhatikan, kalau-kalau ada kumpulan ikan yang berenang berhampirannya. Setelah menunggu lama, yang tidak membuahkan sebarang hasil tangkapan, maka ia pun bergerak melangkah berubah tempat. Setapak demi setapak secara perlahan-lahan menuju  ke kawasan lain. Selangkah dia berhenti buat seketika, kemudian selangkah lagi ia berhenti. Agak lama juga dia menunggu kumpulan ikan untuk berenang dihadapannya  untuk ditangkap.



Setelah melangkah lebih kurang 10 meter dari tempat dia menunggu tadi. Burung Pucung Ungu ~ Ardea purpurea  berdiri diam, tidak bergerak-gerak. Ketika itu cahaya matahari pagi  memancar terik, sedikit sebanyak membantu burung melihat ikan didalam air. Kepalanya direndahkan pada paras sekaki dari permukaan air sungai. Merendahkan kedudukan kepala dalam keadaan bersiap siaga untuk melakukan tindakan. 



Sejurus itu dengan pantas keseluruhan kepalanya menjunam masuk kedalam air. Satu tindakan rejaman paruh umpama mata lembing pergi bersama kepala tepat pada sasaran. Rejaman yang dibantu oleh bantuan batang lehernya yang panjang dan kuat seperti "spring" masuk tercelop kedalam air sungai. Kemudian keluar dengan paruhnya telah mengepit seekor ikan Talapia bersaiz lebar sebesar tapak tangan.



Hanya dengan sekali rejaman paruhnya telah memastikan untuk beberapa jam akan datang, perut burung pasti tidak kelaparan.Ikan yang terkepit pada paruh burung itu dinaikkan keatas, keluar daripada alam air.   Ikan itu sudah hilang daya upaya tidak boleh berbuat apa-apa didalam kepitan paruh burung. Apa yang termampu dilakukan oleh ikan hanyalah mengembang  dan menegakkan semua ridip tajamnya.



Mulutnya terbuka luas tercunggap-cunggap seperti kesesakan bernafas setelah keluar dari air. Lama kelamaan kekuatan tenaga ikan Talapia sudah mulai lemah dan longlai.Ikan tersebut hanya menunggu saat burung memasukannya ke dalam mulut. Burung perlahan-lahan melangkah berjalan keluar dari air, naik keatas tebing dan berhenti disitu.



Diatas tebing sungai Pucung Ungu~Ardea purpurea ( Purple Heron) itu menoleh kekiri dan kanan bagi memastikan tidak ada sesuatu benda yang boleh atau bakal merampas rezekinya atau mengganggu dirinya. Disitu Pucung Ungu~Ardea purpurea ( Purple Heron), menggunakan naluri kecerdikan semulajadi. Mata melihat ikan talapia terkepit pada paruh pada kedudukan yang menimbulkan bahaya apabila ditelannya nanti. Maka dengan menggunakan paruhnya, Ikan Talapia selebar tapak tangan orang dewasa itu ditimbang-timbang bagi membetulkan kedudukan ikan supaya mudah masuk kedalam mulutnya.



Dikepit dan ditimbang-timbang kedudukan  ikan Talapia itu supaya ikan dapat ditelan masuk dari kepala bukan dari ekor. Andaikata ikan ditelan masuk secara songsang dari ekor sudah tentu set ridip ikan Talapia yang keras dan tajam akan mencucuk tekak dan tulang kerongkong. Keadaan seperti itu  memberi bahaya kepada burung. Setelah ikan berada dikedudukan yang betul, maka ditimbang-timbang secara perlahan-lahan masuk kedalam anak tekak. 




Pada saat itu nyawa ikan sudah hampir menunggu mati.Dengan menggunakan otot pada tulang kerongkong diteran ikan masuk kedalam tulang kerongkong yang mengembang.Ikan menurut sahaja dirinya ditolak masuk kedalam kerongkong yang sendat, sempit dan panjang yang penuh dengan lendir cecair. Pada saat itu ikan telah lemas dan tidak bernyawa lagi.Seolah-olah memberi laluan kepada ikan melorot kebawah masuk dalam tulang kerongkong yang panjang. 



Kelihatan bentuk batang leher burung membengkak bergerak melorot masuk kedalam tembolok. Seperti Ular Sawa menelan mangsa yang bersaiz besar lagaknya.Saiz ikan selebar itu sudah tentu memberi kekenyangan kepada burung Pucung Ungu~Ardea purpurea ( Purple Heron). Sejurus itu ia melonjak dan terbang menghilangkan diri dari pandangan saya. 




Rumusan pemerhatian.

Reka bentuk tubuh badan burung memainkan peranan untuk dia sentiasa berkebolehan menangkap Ikan, Ular, Mengkarung , Katak dan hidupan liar kecil dari jenis Reptilia dan Amphabia. Bentuk dan warna kaki yang hitam didalam air seolah-olah seperti sebatang ranting kayu yang mengerlirukan mangsanya. Lehernya yang panjang dengan rekabentuk tulang leher yang boleh dilentuk-lentuk seperti huruf " S " pada sejengkal dari bahagian paruh burung. Paruh burung berbentuk seperti mata lembing adalah senjata utama untuk mendapatkan rezekinya. Hebat sungguh kejadian Allah. Wasallam.