Tuesday, 27 August 2019

Iktibar Dari Pemerhatian Anak Burung Terbang Keluar Sarang


Iktibar Dari Pemerhatian Anak Burung Terbang Keluar  Sarang.
Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill)




Sejak tahun 2015 https://reddoortohunt.blogspot.com/2015/07/mengapa-bersarang-di-sungai-congkak.html ketika kali pertama saya berjumpa sarang burung Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill) di Hutan Tanah Rendah. Pada ketika itu belum ada rekod penemuan ia bersarang di Hutan Simpanan Sg.Chongkak Ulu Langat Negeri Selangor.   Sejak daripada itu   pada setiap tahun spesis Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill) akan datang disekitar kawasan ini membuat sarang.




Entah mengapa pada tahun ini 2019 pasangan spesis ini agak lewat membuat sarangnya disini. Kebiasaannya mereka telah mula sekitar bulan March atau April. Namun pada tahun 2019 ia membuat sarang agak lewat, iaitu pada sekitar bulan Jun. Tidak dapat diketahui apa punca faktor kelewatan mereka membiak. Sedangkan spesis yang sama di Hutan Simpan Telapak Buruk, Negeri Sembilan, Hutan Simpan Tanah Tinggi, Bentong Pahang dan di Bukit Frezer telah menjalani proses membiak antara bulan Mac hingga Jun.





Tahun ini pasangan itu membuat sarang diatas hujung ranting sebatang pokok, yang tumbuh sekitar kawasan lapang terbuka di tempat letak kereta. Sudang memang menjadi tabiat burung itu membuat sarang dikawasan dimana manusia mudah menjumpainya. Seolah-olah disengajakan mempamerkan sarangnya yang tergantung agak rendah. Kehadiran ramai manusia dan kenderaan disekitar sarang tidak mendatangkan cemas ketakutan kepadanya. Lebih-lebih lagi pada hujung minggu, dimana jumlah pengunjung yang ramai melakukan aktiviti Skytrek disitu. Sarang dibina pada paras ketinggian lebih kurang 2 meter dari lantai tanah.





Kehadiran manusia yang ramai berhampiran dengan sarang  adalah salah satu satu cara penjagaan keselamatan daripada diserang oleh musuh pemangsa. Teori yang dicadangkan oleh sahabat saya Saudara Mike Chong hasil dari  pengalaman berpuluh tahun pemerhatian burung ada kebenaran. Sejak  sarang  dijumpai, maka seperti  biasa  ramailah  jurufoto  burung telah  datang berkunjung untuk merakam proses aktiviti membiak. Dari proses mencari bahan pembinaan sarang, bertelor, mengeram , memberi makan anak berlangsung sehinggalah pada 20 Aug 2019. Kebetulan pada tarikh dan masa itu, ditakdirkan menjadi rezeki saya  menyaksikan aktiviti mempersiapkan anak-anaknya keluar daripada sarang. Bertuah telah  melihat saat anak-anak burung itu melonjak terbang, keluar dari pintu sarang dan mengekori ibubapanya.




Nota Pemerhatian.

Pada 20hb Ogos 2019, sekitar jam 9:30 pagi kelihatan burung jantan dan betina secara bersama-sama sedang sibuk mencari makanan, tidak jauh daripada lokasi sarangnya. Kawasan pencarian makanan pagi itu dibawah knopi pokok-pokok hutan  berdekatan. Dalam suasana cahaya suram itu, adakala ia bertenggek diatas dahan, diatas kabel, diatas tunggul pokok mati dan ada juga bergayut pada ranting. Ia memerhati kawasan sekeliling sambil merenung lama   gerak kelibat serangga atau ulat-ulat daun, kemudian melonjak menyambar mangsanya.  Adakala bergayut pada ranting, terbuai-buai kepalanya ke bawah sambil paruhnya menyelak tercari-cari kalau ada ulat dicelah daun-daun. 



Tangkapan ulat-ulat dan serangga yang bersaiz kecil, akan dikemam atau disimpan sementara di dalam tembolok terlebih dahulu. Setelah penuh barulah induk burung akan tebang ke sarang mendapatkan anak-anaknya. Ketika berada disekitar sarang, ia akan bertenggek sementara waktu pada dahan  sebelum melonjak terbang bergayut  disarangnya. Pada ketika itu barulah dimuntahkan kembali hasil buruan di dalam tembolok lalu disuap ke mulut anak-anaknya dengan mengikut giliran. Pada pagi itu pasangan itu silih berganti giat menjalankan aktiviti tersebut . Tidak dihiraukannya langsung akan kehadiran manusia yang berada hampir padanya. 



Andaikata ia menangkap serangga yang bersaiz besar pula, maka dengan segera akan terbang ke sarang untuk disuapkan kepada anaknya. Pagi itu selesailah usaha dan tanggungjawab ibubapa burung  mempersiapkan diet makanan secukupnya kepada anak-anaknya. Sumber protin yang mendatangkan  kekuatan tenaga tambahan . Sekitar jam 10:15 pagi pasangan burung datang bertenggek pada dahan dalam jangkamasa agak lama di hadapan muka sarang. Cahaya matahari silau memancar dari arah belakang muka pintu sarang sedikit menjejaskan penglihatan. 




Ditempat ia bertenggek, pasangan itu  mendonggak memerhatikan ke arah sarang sambil mengeluarkan suaranya secara berturut-turut. Sejurus itu kelihatan 2 kepala anak burung yang kelihatan seolah-olah berebut-rebut menjenguk pada muka sarang. Mendapat tindak balas  dengan sahutan bunyi panggilan pendek halus  dari anak-anaknya secara tidak henti. Tidak lama kemudian burung jantan  melonjak terbang. Diikuti burung betina terbang menghala kearah sebatang pokok yang besar serta  tinggi, pada jarak lebih kurang 40 meter.



Dari atas pokok yang tinggi sayup-sayup suara panggilan secara berulang-ulang keterdengaran.  Suara seperti  mengarahkan sesuatu kepada anak-anaknya.(  Andaian Cadangan ) Boleh jadi isyarat memberitahu anak-anaknya itu, supaya datang mengekorinya dengan segera. Pada jam 10:25 pagi salah seekor anak burung telah memberanikan dirinya memanjat muka sarang. Dengan keadaan dirinya terketar-ketar memanjat naik ke muka tebing sarang, lalu berhenti bertenggek disitu. Kelihatan sepasang kaki warna kuning anak burung yang mencengkam erat tebing sarang. Sisi kiri kanan pangkal paruh pada mulutnya masih lembut berwarna kekuningan. Berbulan lama menghuni di dalam lubang sarang, kini jelas kelihatan  tubuhnya telah penuh diselaputi buluhias halus berwarna keputihan. 




Buat pertama kali dalam hidup anak burung, ia bertenggek mengimbang tubuh badannya di atas muka sarang. Cengkaman jari dan kuku tajam anak burung membantu dia bertenggek disitu buat seketika. Disusuli dengan suara decipan-decipan pendek secara berulang-ulang, sambil matanya memandang hadapan ke kiri dan ke kanan. Ia sedang mengecamkan arah suara panggilan ibubapanya, sebelum boleh melonjak  terbang menuju ke arah lokasi suara.




Setelah mengesan dengan penuh pasti akan arah untuk tujui, maka tepat jam 10:30 pagi anak burung itu keluar dari sarang. Dengan nekad berani melonjakkan diri sambil memusatkan seluruh tenaganya mengepak-gepak terbang  lurus dengan laju meninggalkan sarang. Penerbangan julung-julung kalinya itu tidak begitu jauh kerana kepenatan, dianggarkan cuma dalam jarak  20 ke 30 meter.  Walaupun jaraknya pendek tetapi ini satu kejayaan luar biasa. Sebab berupaya mengawal dan mengimbang tubuh badannya dari kecelakaan ketika hinggap menangkap ranting pokok pada hentian pertama.



Dengan kejayaan percubaan itu, sudah tentu menambah keyakinan dan mengenali keupayaan dirinya sendiri. Setelah hilang kepenatan  ia menyambung semula penerbangan mengekori ibubapanya yang sedang menunggu diatas pokok yang tinggi . Sesampai ditempat ibubapanya menunggu, kelihatan ibupadanya menyambut dengan menyuapkan makanan kepada anaknya. Disitu mereka anak beranak bertenggek berehat  sambil menunggu seekor lagi burung tiba.





Selang 5 minit kemudian pada jam 10:35 pagi anak burung yang ditinggalkan bersendirian dalam lubang sarang mengikut gerak langkah abangnya. Pergerakan yang serupa telah dilakukan sepertimana abangnya sebelum itu. Mujur jari kukunya tidak tersangkut pada sabut   di tebing muka sarang ketika melonjak terbang. Saya pernah melihat anak burung Takau Hitam dan merah~Cymbirhynchus macrorhynchos (Black & Red Broadbill) jari kuku tersangkut pada sarang. Buat seketika ia tergantung-gantung berbuai-buai cemas untuk melepaskan diri pada percubaan kali pertama. Maka pada tahun ini spesis Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill)telah berjaya membiakkan 2 ekor bakanya dengan jaya.






Nota Peristiwa Kacau Ganggu Burung


Setelah selesai memerhatikan kejayaan anak-anak burung terbang bebas mengikut ibubapanya, ada pulak perisitwa yang kurang baik telah berlaku kepada burung . Beberapa orang jurufoto burung yang datang kemudian dikawasan sarang, telah melanggar Etika Memburung. Walaupun telah dimaklumkan  anak burung telah meninggalkan  sarang. Namun mereka dengan sengaja telah memainkan suara panggilan palsu dari talipon pintar , bertujuan menarik perhatian burung. Mereka mengetahui tindakan itu akan mendatangkan rasa cemas dan memberi tekanan tambahan tetapi tidak dipedulikan.





Kita hanya boleh memaklumkan sahaja, tetapi tidak diendahkannya nasihat kita itu. Dengan kedegilan tindakan mereka , telah membuahkan hasil kejayaan kepada mereka.  Hasil kejayaan tipu muslihat  daripada suara panggilan palsu, seekor burung jantan telah datang berkeliaran berpusing mencari bunyi panggilan palsu. Dek kerana rasa cemas dan tertekan burung jantan  terpaksa sanggup meninggalkan anak-anaknya. Bukan mereka tidak pernah  melihat  spesis Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus (Silver breasted Broadbill) . Bukan mereka tidak ada imej burung tersebut. Tetapi itulah perangai dan sikap mereka ketika berada dilapangan..






Ada baiknya mulai daripada sekarang semua Persatuan-persatuan Burung & Hidupan Liar mengeluarkan kenyataan bersama  menghapuskan sahaja Etika Memburung. Etika yang melarang penggunaan pembesar suara panggilan palsu. Turut hapuskan juga etika mengumpan dengan makanan untuk menarik perhatian burung ketika sesi fotografi.  Etika yang  dicipta oleh peminat burung terdahulu memang sengaja untuk menyusah-yusahkan jurufoto burung. Ia dicipta atas dasar cemburu iri hati, bukan atas dasar memberi keutamaan kepada kebajikan burung. Etika ini terlalu berat untuk dilaksanakan oleh ramai jurufoto burung pada masa sekarang. Dengan menghapuskan Etika lapuk itu, secara langsung dapat membebaskan semua jurufoto burung daripada menerima tanggapan serong. Atau dicemuh kerana tidak beretika oleh kumpulan peminat  pemerhati burung yang kolot dan ketinggalan zaman. Mulai dari situ Jurufoto Burung tidak lagi merasa serba salah atau bersembunyi ketika melakukan aktiviti hobi merakam imej burung. Hasil rakaman mereka akan dipuja dan dihormati oleh khalayak ramai. Paling utama mereka bebas selama-lamanya dari  menjadi hipokrasi .





Iktibar

Tidak dapat tidak pemerhatian seperti ini akan sentiasa membuat akal fikiran saya  mengaitkan ia  dengan kehidupan manusia. Samada dari sudut perbandingan atau dari sudut kehebatan Maha pencipta yang menjadi dan mengatur urus sekelian makhluknya. Walaupun kadang-kadang perbandingan saya cadangkan itu tidak kena pada tempatnya, namun pada saya ia tetap mengerakkan akal untuk berfikir. Persoalan itu timbul kerana anak burung  Takau Dada-perak ~ Serilophus lunatus  (Silver breasted Broadbill) tidak perlu melakukan beberapa proses latihan sebelum ia boleh terbang.  Berbanding dengan manusia yang harus menjalani 8 proses dari telentang, menelangkupkan diri, menyarap, merangkak, imbangan diri, bertatih, berjalan dan berlari. Bagi burung ini, hanya setelah 2 atau 3 bulan tinggal didalam lubang sarang ia sudah menpunyai keyakinan nekad. Ia berani secara membabi buta melakukan lonjakan penerbangan buat pertama kali dalam hidupnya. Dengan tanpa ada sedikit latihan pun. Walau dengan segala kekurangan deria penglihatanya yang belum cukup tajam, tulang rangka dan tulang sayap masih belum cukup keras, namun ia tetap berani terbang. Tanpa sebarang pengalaman anak burung berjaya menjalani proses mengimbang berat tubuh badan terbang diawang-awangan. Berupaya  mengagak dengan tepat semasa  jari kaki menangkap mencengkam pada ranting kayu semasa hinggap. Dengan segala kekurangan , apakah semua hal perlakuan kejadian yang dilalui oleh anak burung itu boleh terjadi secara semulajadi? Sedangkan kejadian itu bersalahan pada perhitungan hukum sains atau pun hukum kehidupan. Saya buntu tidak ada jawapan kepada persoalan yang saya sendiri bertanya. Ulasan yang saya fikir kena pada tempatnya ialah; Tiada daya upaya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Si Maha Pencipta. Anak burung itu hanya berupaya berusaha mengayakan perilaku perbuatan itu sahaja dengan atas bantuan kudrat iradat Allah. Kudrat iradat Allah yang tidak sesekali akan terlihat oleh mata kepala. Tetapi ia terlihat dengan jelas dengan mata hati kepercayaan dan keyakinan. Wasalam.


.

















Friday, 21 June 2019

Jurugambar Burung & Hidupan Liar Pertama Malaysia & Singapura



Mendiang Dato' Loke Wan Tho Dalam Kenangan.




Imej Hakmilik Mendiang Dato' Loke Wan Tho yang dirakam semula dari Jurnal Lama.



Hari ini 21 hb Jun 2019 genap 55 tahun pemergian seorang tokoh dan pelupor Jurugambar Burung & Hidupan Liar terbilang. Saya sebagai seorang Jurugambar Burung dan Hidupan Liar di Malaysia rasa terpanggil untuk menulis ceritanya sebagai mengenang kembali jasa-jasa  Mendiang Dato' Loke Wan Tho. Sebagai warga Malaysia yang gemar akan hobi ini, seharusnya tahu tentang sejarah Seni Fotografi Burung & Hidupan  negaranya sendiri. Seni ini telah dimulakan oleh Mendiang Dato' Loke Wan Tho sejak tahun 1940an lagi. Maka sudah tentu jasanya terlalu banyak untuk diceritakan satu persatu.



Dato’ Loke Wan Tho dilahirkan di Kuala Lumpur pada 14 hb Jun 1915 anak kepada seorang Dermawan terkenal di Semenanjung Tanah Melayu, iaitu Dr. Loke  Yew . Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Victoria Institution Kuala Lumpur. Kemudian melanjutkan pelajarannya di Chillon College, Montreaux Switzerland dan di King’s College, Cambridge England.  Pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya  di London School of Economic sehingga mendapat Degree dalam matapelajaran Bahasa English dan Sejarah pada tahun 1938.


Imej Hakmilik Mendiang Dato' Loke Wan Tho yang dirakam semula dari Jurnal Lama.


Selepas mendapat Degree, beliau pulang ke Semenanjung Tanah Melayu untuk meneruskan perusahaan perniagaan  bapanya,seorang ahli perniagaan yang berjaya di Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu. Semasa Jepun menyerang dan menakluk Semenanjung Tanah Melayu tahun 1942, Dato’ Loke sempat melarikan diri  berlayar menaiki Kapal Laut Nora Moller. Namun begitu nasibnya malang  Kapal Laut yang dinaiki itu telah diserang di Selat Banka oleh Jet-jet Pejuang Tentera Jepun. Akibat serangan Pesawat Jet peluru berpandu dan "Mesin Gun"  Kapal Laut yang dinaikinya itu karam. Ajalnya masih panjang lagi, beliau telah diselamatkan dan dirawat di Betawi ( Jakarta ) Indonesia. Setelah keadaan pulih, beliau telah dihantar ke Negara India sebagai pelarian perang. Ketika menjadi pelarian perang di India beliau sempat menulis satu artikal tentang burung berjudul” The Raven Who Lost His Temper”. Artikal itu telah terpilih dan dimuatkan didalam Majalah Ketenteraan. Secara kebetulan bekas Guru Besarnya semasa belajar di Chillon College ,Montreaux Switzerland telah membaca artikel tersebut. 






Walaupun lama tidak bertemu, namun bekas Guru Besarnya  masih mengenali akan bekas anak muridnya.  Gurunya itu sedang berkhidmat sebagai seorang angkatan tentera Royal Navy, pada waktu yang sama memang sudah lama mengenali Dr. Salim Ali.  Kemudian telah mengenalkan kepada Dato' Loke Wan Tho   dengan seorang pakar Burung Negara India.  Dr. Salim Ali merupakan seorang penulis buku burung berjudul Birds Of India & Pakistan . Sejak daripada itu mereka telah bersahabat baik sehingga akhir hayatnya. Sepanjang persahabatan mereka , Dato’ Loke mendapat didikkan dalam bidang Ornithologist secara terus daripada sahabat baiknya yang sememang  seorang pakar burung terkenal yang disegani. 





Selain membuat pemerhatian burung , Dato’ Loke juga bergiat aktif dalam bidang Fotografi Burung dan Hidupan Liar. Sekitar tahun 1940an Dato’ Loke sudah menceburi bidang Fotografi Burung & Hidupan Liar. Ini bermakna beliaulah merupakan warga kelahiran Semenanjung Tanah Melayu pertama memperkenalkan bidang seni Fotografi Burung & Hidupan Liar.   Menerusi bidang Seni ini, Dato’ Loke Wan Tho telah membuka jalan baharu  dalam bidang Ornithologi.  Hasil rakamannya itu  telah mengukuhkan apa-apa nota catitan  spesies burung dilapangan. Ini tidak boleh disangkal kerana ada disertakan dengan bukti gambar untuk sesuatu spesies burung. Ini adalah titik permulaan burung dan hidupan liar tidak perlu ditangkap dan dibunuh demi kajian sains Ornithologi.








Dr.Salim Ali

Pengalaman memburung bersama Salim Ali di Kashmir dan Gurun Kutch  banyak mengajar beliau akan erti kesabaran, keperitan kesusahan menunggu, ketepatan, kemahiran  dan kekecewaan. Yang mana sifat dan sikap ini perlu wajib ada dalam diri seorang Ornithologist dan Jurugambar  sepertinya.




6 tahun selepas perang Dunia ke 2 tamat, Dato' Loke Wan Tho pergi semula ke Kashmir dengan bersandarkan pengalaman dan kemahiran fotografi. Pada kali ini beliau telah membawa peralatan Kamera Graflex dan lensa yang terbaik. Hasil rakaman foto-foto burung di Kashmir, dia telah dianugerahkan Associateship of The Royal Photographic Society dan Fellowship of The Photographic Society Of America. Anugerah kejayaannya itu  telah memberi kepuasan kepadanya dan beliau sangat menghargainya. Atas kejayaannya itu, Dato' Loke Wan Tho mengorak langkah lebih jauh lagi dalam bidang Jurufoto Burung & Hidupan Liar. Beliau telah dipilih dan menyertai Ekspidisi Saintifik dan Ornithologi di New Guinea. Ekpidisi ini merupakan yang julung-julung kali dilakukan pada ketika itu. 


Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal

Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal

Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal

Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal

Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal


Beliau merupakan warga kelahiran Semenanjung Tanah Melayu pertama yang merakamkan burung-burung liar. Samada spesies burung yang biasa dilihat mahu pun burung-burung yang sukar ditemui. Kerap kali hasil rakaman burung beliau telah ditagih oleh pakar Ornithologist terkenal untuk dimuatkan dan disiarkan didalam Jurnal-jurnal Ornithologist dunia seperti London Illustrated News. "





Kesungguhan dan "Kegilaan " Dato Loke Wan Tho dalam bidang Seni Rakaman imej burung telah  terbukti pada 8 hb Februari 1949. Dengan pembiayaannya sendiri beliau telah membina sebuah Menara Tinjau Kayu  pada ketinggian 130 kaki. Menara Kayu itu dibina dikawasan kediaman kawannya En.Malcom Mac Donald di Bukit Serene Johor , semata-mata untuk merakam dan memerhati aktiviti burung Helang Laut-perut putih~Haliaeetus leucogaster. Pada ketika itu ia  sedang  mengeramkan sebiji telor dalam sarang diatas sebatang pokok  yang tinggi. Pemasangan Menara Kayu setinggi 130 kaki itu mengambil masa selama 20 hari untuk siap. Setelah siap, selama tempoh 6 minggu itu beliau melakukan pemerhatian burung dan merakam gambar burung. Hasil rakaman imej burung pada sudut separas mata  pada tahun 1949 adalah satu kecemerlangan yang menakjubkan dunia bidang fotografi burung.


Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal

Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal



Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal Imej ini dirakam pada tahun 1949 dengan menggunakan Kamera  1/4 plate Graflex 14 inci telefoto lensa dengan kelajuan shutter speed 1/1000.

Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal








Pada tahun 1953 beliau menubuhkan Cathay Keris Studio bagi perniagaan menerbitkan filem-filem Melayu. Banyak filem-filem Melayu telah diterbitkan, salah satunya seperti Filem Hang Tuah, Hang Jebat, Bawang Putih Bawang Merah dan banyak judul filem yang tidak dapat dinyatakan. Pada tahun 1957 Dato' Loke Wan Tho menerbitkan  buku hasil karya peribadinya berjudul " A Company Of Birds. 







Rakaman bersifat "Saat Keajaiban" ini telah berjaya dirakam dengan sempurna. Imej ini telah meleraikan  kekusutan yang Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal


Menerusi kejayaan dan keuntungan Syarikat Cathay Organisation  beliau sering menyalurkan derma dalam bentuk kewangan demi kelastrian hidupan Burung dan Hidupan Liar. Persatuan yang sering menerima manfa'at adalah Friend of Templer Park, Malayan Zoological Society, International Council For Bird's Preservation, Conservation of Nature & Natural Resources dan Natural History Society.

Imej berwarna ini merupakan imej burung yang pertama dirakam dalam bentuk berwarna dan disiarkan buat pertama kali didalam Jurnal. Dirakam oleh : Dato' Loke Wan Tho kemudian dirakam semula  dari Jurnal


Dirakam oleh : M.Graham Netting hakmilik Carnage Museum kemudian dirakam semula  dari Jurnal
Pada 20 hb Jun 1964 pada Festival Filem Asia ke 11, selepas melihat kejayaan Seniman terulung negara Allayarham Tan Sri P.Ramlee merangkul anugerah Pelakon Komedi Asia Terbaik menerusi filem Madu Tiga, secara mengejut beliau telah meninggal dunia. Mendiang Dato' Loke Wan Tho dan isterinya telah terlibat dalam satu kemalangan udara di Taipei Taiwan.  Pesawat yang dinaiki bersama isterinya telah terhempas dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Festival Filem Asia ke 11. Usia beliau pada ketika itu baru 49 tahun. Semoga tenanglah dan beristirehat disana. Wasalam.




















Monday, 6 May 2019

Laporan Penemuan Kali Ke 2 Burung Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) Di Malaysia




Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin)
Individu Jantan Tahun Pertama


Rosla Bin Mustakim
Red Door To Hunt
Alamat Email Penulis: rosla.m3@gmail.com
Tarikh: 6 Mei 2019







Abstrak


Spesies Burung Murai Kepala-perang~Luscinia ruficeps ( Rufous Headed-Robin) pertama kali telah dijumpai dan direkodkan  pada tahun 1905. Ia dijumpai  di kawasan Gunung Taibai Shan, Wilayah Shaanxi kawasan tengah Negara China. Wilayah Shannxi dan Sichuan merupakan kawasan habitat yang sesuai untuk ia membiak.  Kawasan ini merupakan kawasan tanah tinggi pergunungan pada ketinggian antara 2,400 hingga 3,000 meter dari paras laut. Disitu populasi  dan taburannya  agak tinggi berdasarkan beberapa laporan penemuan spesis itu disana.  Memandangkan kawasan habitatnya terletak jauh di kawasan pergunungan  yang sukar dimasuki, maka tidak ramai penyelidik pergi kesana. Oleh yang demikian, selama berpuluh tahun spesis burung ini tidak dilaporkan  telah dijumpai. Lantaran dari itu, tidak banyak maklumat tentangnya  dapat dikumpul oleh para penyelidik. Pada tahun 1963, secara tidak sengaja spesis burung ini dijumpai, telah keluar terbang jauh berhijrah  dari kawasan tempat habitat asalnya. Ia telah dijumpai tersangkut pada Jaring  Kabus yang dipasang oleh penyelidik untuk kajian burung-burung hijrah di Brinchang, Cameron Highland Pahang Malaysia. Rekod penemuan itu adalah yang pertama burung ini dijumpai diluar kawasan dari Negara China. Dengan rekod penemuan ditahun 1963 itu, pihak pengkaji burung dunia telah merekodkan spesis burung ini turut menyertai burung-burung lain keluar berhijrah.   Kemudian pada   Jun 1985, 3 ekor burung jantan telah dilaporkan dilihat dalam kawasan Taman Negara Jiuzhaigou  Wilayah Sichuan. Setelah 26 tahun kemudian pada 20 November 2012  seekor burung betina tahun pertama spesis ini telah dilaporkan dijumpai di Negara Cambodia.(BirdingAsia 19(2013) 43-47~Simon P.Mahood,James A.Eaton & Paul J.Leader) Rekod terbaharu pada 21 Februari 2019 seekor burung jantan tahun pertama  telah dilihat di sekitar kawasan Hutan Pergunungan Mossy di Ulu Kali Selangor Malaysia. Sehingga pada tarikh 5hb April 2019 burung itu masih dapat dilihat berkeliaran dikawasan tersebut. Selepas tarikh itu spesis burung Murai Kepala-perang~Luscinia ruficeps ( Rufous Headed-Robin) sudah tidak dijumpai lagi. Sejak itu ia sudah tidak kelihatan bersama-sama burung hijrah yang lain. Memandangkan burung ini terlalu sukar untuk menjumpainya, maka spesis ini dicadangkan untuk diletakkan bawah Hidupan Liar Yang Sangat Terancam( Critical Endangered Category) oleh IUCN.





Kunci Kata: Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) Jantan Tahun Pertama, Penemuan Ke 2 Di Malaysia,  Ulu Kali Selangor Darul Ehsan Malaysia.






KAEDAH  DIGUNAKAN DALAM PEMERHATIAN/ KAJIAN & ALAT YANG DIGUNAKAN


Kaedah kajian dan penyelidikan ini tidak menggunakan kaedah mengumpan burung dengan pelbagai jenis makanan. Ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada  Saudara Mohammad Muhir Bin Haji Daud kerana  telah memaklumkan kehadiran spesis burung yang terlalu sukar untuk ditemui sejurus mendapat matlumat.  Maklumat kehadiran burung ini telah disampaikan kepada saya pada 28hb Mac 2019.  Kaedah yang digunakan adalah dengan menunggu dan memerhatikan kehadiran burung dibawah tumbuhan renek. Alat bantuan kajian yang digunakan adalah Teropong Carl Zess, Kamera Panasonic Lumix LX7 untuk rakaman video, Kamera DSLR Canon 7D  , Kamera DSLR Canon Mark 7D II, Canon Micro F2.8 L Prime Lens 100 mm, Canon  F4 L Prime Lens 300mm dan Canon Zoom Wide EF-S 10-22mm Lens.





REKOD  PENEMUAN KALI KE 2 DI MALAYSIA



Individu yang mula menjumpai Spesies ini ialah  Saudara Long Roslee Ngah pada 21 Feb 2019 di Ulu Kali Selangor . Penemuan ini merupakan rekod sahih kali ke 2 di Malaysia, selepas penemuan pertama pada  15 Mac 1963 di Berinchang. Penemuan bersejarah ini merupakan penemuan pertama yang julungkalinya ia dapat dilihat dalam keadaan hidup bebas di habitatnya. Tidak sepertimana dahulu, didalam keadaan burung sakit menderita  tersangkut dalam Jaring Kabus.

Menurut sumber dari laporan Bird Life International bertarikh 4 hb April 2019 , sebelum ini spesis burung itu telah dijumpai di Genting Highland pada 20 hb April 2014. Malangnya dakwaan penemuan  itu  tidak disokong dengan apa-apa bukti sepertimana syarat bahawa ianya telah dijumpai. Sebagai sebuah pertubuhan yang mendapat kepercayaan khalayak seperti Bird Life International / Malaysian Nature Society sewajibnya tampil dengan mengemukakan bukti diatas penemuan penting itu. Siapa yang menjumpainya, Lokasi dijumpainya dimana, bila tarikh dijumpai  , dimana foto burung yang dijumpai pada tahun 2014 dan siapa penal kommiti yang mengesahkannya.

Tambahan lagi, andaikata ianya telah dijumpai pada tahun 2014, mengapa pihak Malaysian Nature Society dan Bird Life International tidak melaporkan penemuan penting  itu dahulu. Sepertimana laporan berita  bertarikh 4 April 2019. Menjadi satu tanda tanya dan  kemushykilan, dimana rekod dan data penemuan tahun 2014 itu.

Memandangkan dakwaan penemuan spesis Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) pada tahun 2014 oleh Bird Life International atau Malaysian Nature Society boleh dianggap sebagai palsu kerana tidak disokong dengan bukti. Maka penemuan di Ulu Kali Selangor oleh Saudara Long Roslee Ngah pada 21 Feb 2019 yang lalu adalah penemuan kali  pertama ia dilihat dalam keadaan burung hidup bebas. Hidup bebas dalam  suasana habitatnya di kawasan tanah tinggi  Malaysia.




KEPUTUSAN & PERBINCANGAN


Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) merupakan spesis burung hijrah dari keluarga Murai(Robin)  yang berasal dari kawasan pergunungan di negara China. Rekod penemuan terawal yang diperolehi adalah di kawasan sekitar Gunung Brinchang, Cameron Highland Semenanjung Malaysia  pada 15 hb Mac 1963. Selepas itu tidak ada laporan penemuan baharu samada di Semenanjung Malaysia, mahu pun data maklumat baharu yang diperolehi dari Pengkaji Burung dari Negara China. Selepas 50 tahun kemudian  barulah spesis ini  muncul kembali dan ia ditemui semula  pada bulan November 2013. Laporan penemuan itu berlaku di negara Kemboja, bukan di Semenanjung Malaysia. 









Nota perbincangan didalam email group Birding Malaysia @googlegroups.com


Enam tahun kemudian pada 28hb Februari 2019, saya sendiri telah bernasib baik dapat melihat dengan mata kepala sendiri dan berkesempatan juga merakam imej burung tersebut. Spesis burung yang dikatakan terlalu sukar untuk dijumpai itu telah ditemui di Ulu Kali, Selangor Darul Ehsan. Memandangkan sebelum ini, ia merupakan spesis yang sangat jarang dijumpai, maka pengesahan spesis burung itu harus dirujuk kepada orang yang lebih berpengalaman.




Saya telah mendapat maklum balas daripada penulis buku The Birds of the Thai-Malay Peninsular  Dr. David Wells. Beliau mencadangkan burung ini adalah burung Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin). Tambahannya lagi burung itu adalah Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) betina, berdasarkan beberapa imej yang dilihatnya melalui imej yang dirakam  pada 2hb Mac 2019.






Walaupun telah mendapat makluman daripada  Dr.David Wells, sahabat saya Saudara Mike Chong,  tidak mahu menerima cadangan itu secara bulat-bulat berkenaan jantina burung. Beliau  telah sekali lagi membelek imej burung tersebut secara terperinci. Hasilnya beliau  mencadangkan supaya, saya turut menyemak semula dengan memberi perhatian kepada  ciri yang ada pada beberapa bahagian buluhias burung. Beliau mencadangkan kemungkinan besar ciri-ciri itu mungkin dapat dilihat dari imej hasil kualiti rakaman saya.




Ternyata melalui hasil kualiti rakaman saya itu, memang benar apa yang telah dicadangkan oleh Saudara Mike Chong itu adalah benar. Bahagian-bahagian yang dinyatakan itu terdapat ciri-ciri yang menandakan burung yang pada mulanya disahkan itu sebagai burung betina sebenarnya adalah burung Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) jantan tahun pertama.




Memandangkan spesis Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) ini sangat jarang ditemui maka tidak banyak maklumat tentang spesis ini diketahui oleh peminat burung.  Lantaran dari itu kumpulan pemerhati burung tidak ada maklumat atau bahan bacaan yang boleh dibuat rujukan. Plate imej burung didalam buku-buku rujukan cuma menggambarkan individu jantan dan betina sahaja. Berdasarkan imej pada plate tersebut ia menyerupai buluhias seekor burung betina. Maka ia telah dicamkan sebagi individu burung betina.  Pemburung berpengalaman sekali pun akan mengesahkan bahawa ia adalah individu burung betina. Namun begitu pada hakikatnya,  individu yang dikatakan sebagai burung betina itu sebenarnya adalah individu burung jantan tahun pertama.




Pekara ini memang boleh berlaku disebabkan burung yang dicamkan itu adalah berdasarkan penglihatan  imej pada rakaman yang dibuat pada ketika 21hb Februari 2019. Pada ketika itu, ciri-ciri buluhiasnya masih menyerupai ciri burung betina. Walaupun begitu, orang yang membuat pengecaman itu  telah terlepas pandang untuk  memerhatikan pada bahagian pangkal paruh burung, yang masih lagi berwarna putih kuning kesusuan. Pangkal paruh yang masih lembut  berwarna begitu adalah tanda individu burung itu masih muda lagi dan baru melepasi usia 1 tahun. Bukti tambahan yang membuktikan burung ini adalah burung jantan tahun pertama adalah pada pelepah primer burung. Ia jelas bersaiz kecil dan kelihatan belum cukup sempurna apabila individu burung sedang merenggangkan otot sayap membentuk seperti kipas yang dibuka.




Bukti sahih dapat dilihat dari imej burung yang telah dirakam pada 28 hb Februari 2019, 2 hb Mac 2019 dan 2 hb April 2019. Dimana perubahan buluhias sedang berlaku mengikut peningkatan usia burung tersebut. Keadaan ini menunjukkan  telah berlaku perubahan pada warnanya sedikit demi sedikit dibeberapa bahagian buluhias burung itu. Bukti ini hanya dapat dilihat apabila burung membuat renggangan pada bahagian pelepah sayap dan pelepah ekor.  Tanda-tanda ini  memberi petunjuk yang jelas ia adalah burung jantan tahun pertama yang tidak boleh dinafikan.




CADANGAN TANDA INDIVIDU BURUNG JANTAN TAHUN PERTAMA

1. Perubahan warna buluhias agak ketara dilihat pada 4 bahagian anggota buluhias burung. Pertama pada bahagian pangkal dada burung telah mula ada tanda warna kehitaman. Warna itu  bakal membentuk warna hitam pekat membentuk seperti rantai apabila burung sudah cukup dewasa nanti. Rantai warna hitam  itu seolah-olah  menjadi garis sempadan pemisah warna buluhias antara warna putih dibahagian leher dan warna putih pada bahagian dada burung.

2. Tanda yang kedua dapat dilihat dibahagian buluhias dikawasan kiri dan kanan sisi paruh. Dibahagian itu telah mula kelihatan tompokan berwarna hitam di sekitar pipi burung.




3. Bukti sokongan ke tiga boleh dilihat dibahagian pelepah ekor burung, apabila burung itu mengembangkan pelepah ekor ketika renggangan dibuat. Warna permukaan pelepah ekor itu telah mulai menampakkan warna hitam kelabu pada permukaan setiap batang pelepah. Warna yang dinyatakan itu tidak dapat dilihat sekiranya set pelepah ekor burung tersusun kemas ditempat asalnya.





4. Tanda yang ke 4 dapat dilihat di pelepah sayap primer burung dibahagian paling hujung sayap.  Saiz pelepah burung yang paling hujung masih pendek dan tidak sama saiz dengan deretan susunan batang pelepah yang lain. Kesemua empat cadangan alasan ini adalah disokong dengan bukti-bukti bagi menentukan burung Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) yang datang berhijrah di Semenanjung Malaysia adalah burung jantan tahun pertama.




Dengan semua maklumat sepertimana yang dicadangkan diatas itu , maka penemuan burung Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin)  di Ulu Kali Selangor Darul Ehsan Malaysia berkemungkinan merupakan rekod baharu.  Rekod ini adalah sangat penting kepada ilmu bidang kajian Ornitologi & Avifauna. Penemuan baru ini telah memberitahu  Dunia Ornitologist inilah penampilan burung  Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) Jantan Tahun Pertama. Yang sebelum ini didakwa sebagai penampilan individu burung betina.





Bertitik tolak dari maklumat penemuan ini, maka  dapatlah kini disahkan foto-foto burung penampilan individu burung jantan tahun pertama didalam laporan ini dicadangkan  sebagai contoh rujukan. Dimasa hadapan matlumat baharu ini boleh dimuat masuk sebagai penambah baik isi kandung mana-mana buku-buku Bird's Field Guide .






KAJIAN DIMASA HADAPAN & PERMASALAHAN

Mengikut rekod yang dapat dikumpul setakat ini, peluang untuk menjumpainya semula dimusim hijrah tahun 2019/2020  adalah cerah. Ia berdasarkan rujukan rekod laporan lalu yang mana spesis ini ada kemungkinan boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia antara  bulan  November, Disember, Januari, Februari Mac dan April. Saya dapat menjangkakan ia akan menggunakan laluan hijrah yang sama di musim akan datang. Lokasi tumpuan yang dicadangkan adalah di Gunung Brinchang Cameron Highland Pahang, Gunung Tahan Pahang dan Hutan Mossy Ulu Kali Selangor.

Memandangkan spesis ini telah mula menjadi tumpuan kepada dunia Jurugambar Burung (Tempatan/Luar Negara) dan peminat pemerhati burung. Maka secara tidak sedar keadaan itu telah mewujudkan satu permasalahan kepada orang awam dan peminat pemerhatian burung/Ornitologi.


Kumpulan Jurufoto Burung yang berhimpun secara beramai-ramai dihadapan laluan pintu masuk Bangunan Keselamatan Negera telah mengganggu pegawai yang ingin keluar masuk.


1. Masalah kacau ganggu disebabkan oleh kehadiran jurufoto burung di lokasi awam /tanah persendirian dalam jumlah yang ramai pada setiap hari dalam satu tempoh waktu yang panjang. Suasana seperti itu telah menghalang laluan keluar masuk di suatu kawasan persendirian atau bangunan kerajaan. Jumlah kenderaan milik jurufoto burung yang meletaknya ditepi jalan telah menghalang dan menyempitkan laluan masuk.

2. Sikap tamak dan keengganan kumpulan Photography Bird's Guide untuk berlapang dada  berkongsi sedikit dari hasil keuntungan kewangan dengan  orang yang telah membuka peluang rezeki yang banyak kepada mereka. Dengan mengetahui lokasi burung, Photography Bird's Guide secara mudah telah mendapat ramai pelanggan  dari kalangan Jurufoto Burung dari luar negara. Keuntungan yang senang mereka perolehi itu tidak pula disalurkan kepada individu yang memberi maklumat sebagai penghargaan menjumpai lokasi spesis sesuatu burung itu dijumpai. Hal keadaan ini berlawanan dengan hukum akal budi dalam sosial bermasyarakat. Yang mana, Si pemberi maklumat hanya mendapat perkataan TERIMA KASIH sahaja, sedangkan yang menerima maklumat itu mendapat keuntungan yang banyak secara berterusan hasil daripada  maklumat lokasi yang diterima daripada Si pemberi maklumat.




3. Ramai Photography Bird's Guide  teruja membawa lebih ramai pelanggan mereka dari kalangan jurufoto burung luar negara. Keadaan ini membolehkan Photography Bird's Guide beroleh lebih banyak bayaran yuran dapat dikaut daripada pelanggan mereka, tanpa memikirkan soal keselamatan negara dan kacau ganggu yang ditanggung oleh pihak lain. Keadaan akan bertambah teruk apabila ramai Photography Bird's Guide  membawa pelanggan masing-masing yang tidak kurang daripada 5 orang pada satu-satu masa. 

4.Kehadiran mereka dalam jumlah yang ramai secara tidak langsung telah menopoli ruang dan sudut tempat berdiri untuk memerhati burung. Tindakan mereka meletakkan berbagai bentuk prop tunggul dan ranting telah merosakan nilai habitat burung dijumpai. Mereka juga kerap mengerat ranting dan tumbuhan untuk tujuan seni fotografi mereka.




5.Memandangkan Jurufoto Burung tidak mengetahui bidang Ornitologi, kelazimannya  mereka akan memainkan bunyi panggilan suara burung hijrah secara berulang-ulang kali tanpa henti. Keadaan ini akan memberi tekanan melampau sehingga  mendatangkan ketakutan kepada burung hijrah yang baru tiba ditempat yang baru. Dengan hal tindakan sebegitu burung hijrah yang ketakutan  enggan keluar secara semulajadi dan akan meninggalkan lokasi tempat dijumpai.

6.Ada dikalangan beberapa jurufoto burung yang degil dan ingkar atas larangan nasihat pegawai keselamatan sehingga mengakibatkan ketegangan diantara mereka. Pegawai keselamatan terpaksa menghalau burung dengan menutup laluan ia selalu dilihat keluar dari rimbunan tumbuhan. Dengan keadaan itu, secara tidak langsung burung meninggalkan kawasan tumpuan dan Jurufoto Burung tidak berminat lagi berada disitu. 



Jalan akhir yang dilakukan oleh pegawai keselamatan untuk menghindar jurufoto burung daripada berada dihadapan kawasan bangunan keselamatan Negara.


Semua masalah yang dinyatakan itu telah menghalang pemerhati & pengkaji burung melihat  burung dalam keadaan kehidupan semulajadinya untuk tempoh yang lebih lama. Kesan dari masalah halangan kenderaan dan orang-orang menghalang laluan keluar-masuk itu mengakibatkan pihak pentadbiran  membuat tindakan drastik demi keselamatan negara. Mulai dari hari itu, pihak pegawai keselamatan  menghalau semua jurugambar burung dan sesiapa sahaja yang berada di kawasan itu . Kesannya peminat burung turut juga terkena tempias hasil dari kesan larangan. Ini secara langsung telah membantutkan  kajian pemerhatian penukaran warna buluhias dan kajian kepada perilaku burung yang sedang giat dilakukan.






Ingatan & Ucapan berbanyak-banyak Terima Kasih kepada :-

Saudara Mike Chong, Dr.David Wells, Saudara Dennis Yong,  Dr. Rosli Omar, Saudara Mohd Syafiq Sivakumaran, Saudara Tou Jing Yi , Saudara Mohammad Muhir Bin Haji Daud dan Saudara Long Roslee Ngah kerana berkongsi ilmu dan menjadi tempat merujuk dalam membincangkan penemuan baharu yang penting berhubung spesis burung Murai Kepala-Perang~Luscinia ruficeps (Rufous Headed-Robin) Jantan Tahun Pertama. 
 
Maklumat di dalam laporan ini hasil rujukan dari:-

1. Studies of one of the world's rarest birds the Rufous headed Robin~ Halaman Uppsala Universiti Sweden & British Ornithologist Union yang ditulis oleh Professor Per Alstrom & Min Zhou.

2. Little Bird Known Asian Bird.~ Second Record of  Rufous Headed-Robin~Lucinia ruficeps Outside it's Breeding Range And A Description Of It's 1st winter Plumage.~BirdingAsia 19(2013) 43-47~Simon P.Mahood, James A.Eaton & Paul J.Leader

3. Is This One Of Rarest Birds In The World? ~ Malayan Nature Society Journal Vol 17 yang di tulis oleh H.Elliott Mc Clure. 17 Dis 1063.