Thursday 15 September 2022

Sesumpah Biawak Tanah ~ Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana

 

Sesumpah Biawak - Tanah ~ Leiolepis belliana~ Common Butterfly Lizard



Mengikut kajian fakta sejarah 20 , 30 tahun dahulu spesies haiwan tempatan dari family Leiolepididae ini tidak dilindungi oleh undang-undang Malaysia dalam Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. Tidak dapat dipastikan mengapa perkara itu boleh terjadi. Samada ia telah terlepas pandang oleh  pihak berkuasa,  yang pada waktu sama juga para penyelidik dan pengkaji tempatan  tidak mengendahkan untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa. Walhal  haiwan reptilia dari spesis Campbell Girdled  Lizard~Cordylus campbelli spesis endemic dari negara Namibia telah tersenarai didalam  Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. Mujur pada tahun 2010   haiwan tempatan dari family Leiolepididae telah tersenarai dalam Akta Perlindungan Hidupan Liar 716 . Nama Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana dan Malayan Butterfly Lizard~Leiolepis triploida telah tersenarai dalam warta dimuka surat 95 . Malangnya sejak tahun 2010 reptilia tersebut tidak mempunyai nama didalam bahasa Melayu. 


Ia cuma dapat dikenali dalam bahasa Inggeris sahaja, iaitu Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana dan Malayan Butterfly Lizard~Leiolepis triploida. Maka sepanjang tempoh itu sehingga sekarang 2022 tidak ada seorang pun penyelidik atau pihak berkuasa  merasa megah untuk mencadangkan nama rasmi pengenalan kepada reptilia tersebut dalam bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam penulisan ilmiah atau dokumen perundangan perlindungan hidupan liar. 


Dengan hal demikian jika ditunggu-tunggu masa demi masa akan berlalu begitu sahaja dan masih tidak ada seorang pun penyelidik warga tempatan berminat memberi cadangan. Oleh kerana merasa bertanggung jawab kepada Bahasa Melayu, maka disini dengan rendah hati saya ingin mencadangkan nama spesis reptilia ini dalam Bahasa Melayu sebagai pengenalan nama rasmi. Sebelum membuat cadangan tersebut, saya harus melalui beberapa proses hujah fikir supaya mendapat satu nama yang sesuai supaya masyarakat awam dan penyelidik selesa menggunakan dalam pengenalan rasmi spesis reptilia tersebut. Seterusnya nama itu dapat dimasukkan ke dalam kamus Dewan Bahasa & Pustaka sebagai memperkayakan perkataan dalam Bahasa Melayu.


Pertama-tama sekali, kita harus akur dan mengakui bahawa dalam bidang hidupan liar kita adalah bangsa yang mengikuti bukan bangsa yang diikuti. Dari itu tidak perlu merasa malu akan kenyataan ini,  di tanahair kita  dalam bidang ilmiah haiwan, kajian awal telah dimulakan oleh warga Eropah. Samada dari negara Great Britain, Belanda, Perancis, Jerman dan Amerika.   Maka setiap nama haiwan tempatan telah di nama rasmikan oleh penyelidik-penyelidik bangsa Eropah secara bebas. 



Memandangkan ilmu tersebut dapat di fahami dalam Bahasa Inggeris maka,   ramai dikalangan para penyelidik dan pengkaji tempatan menjadikan bahan rujukan mereka samada daripada buku atau jurnal Sungguh pun haiwan itu haiwan tempatan dan kita dulu yang menemukannya namun Ilmu berkenaan haiwan itu dirujuk melalui Bahasa Inggeris. Dalam ertikata lain penyelidik luar lebih berilmu berbanding rakyat tempatan, dan merekalah yang memutuskan secara mutlak apa jua pun penemuan atau pemerhatian sehingga menjadi cetakan bahan ilmiah.

 


Maka untuk cadangan ini saya tidak terlepas berbuat begitu.  Jikalau mengikut kaedah terjemahan secara terus alihbahasa Bahasa Inggeris kepada  Bahasa Melayu , untuk nama Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana itu, ia akan menjadi Cicak Kupu-kupu biasa atau pun Cicak Rama-rama biasa, manakala Malayan Butterfly Lizard menjadi Cicak Kupu-kupa Malaysia atau Cicak Rama-rama Malaysia. Pada hemat saya kaedah alih bahasa secara terus sepertimana diatas itu tidak memberi hujah cadang positif. Saya rasakan nama itu kelihatan janggal, maka kaedah alih bahasa secara terus tidak sesuai.



Maka saya menggunakan kaedah berikutnya iaitu merujuk kepada  kamus Dewan Bahasa & Pustaka. Perkataan bahasa Inggeris  kepada Lizard itu membawa maksud kepada Cicak dalam bahasa Melayu. Namun perkataan Lizard itu ada juga dirujuk kepada beberapa spesis Lizard yang wujud di sini. Sebagai contoh Crested Lizard, Gliding Lizard, Butterfly Lizard, Lacerted Lizard, Monitor Lizard. Perlu diingat  masyarakat Melayu  secara umumnya mengenali dan mentafsirkan cicak itu adalah sejenis haiwan yang bersaiz kecil yang menangkap cicak dengan lidah, melekat diatas dinding atau siling rumah.  Walhal pengertian maksud kepada masyarakat Melayu, Cicak yang dimaksudkan  itu dalam kamus bahasa Inggeris dikenal dengan nama Gecko. Dalam kamus Bahasa Melayu pula perkataan Gecko tidak dijumpai. Maka atas permasalah ini, pada hemat saya menggunakan kaedah  alih bahasa secara terus melalui Kamus dari Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu, juga tidak sesuai. 


Sebenarnya didalam Bahasa Melayu telah membezakan beberapa spesis Lizard dengan beberapa perkataan nama pengenalan kepada sesuatu spesis seperti Sesumpah, Cicak, Cicak Kobeng, Biawak, Mengkarung dan Tokey. Bahasa Inggeris juga ada pengasingan nama spesis Lizard, seperti  Crested Lizard, Gliding Lizard, Butterfly Lizard, Lacerted Lizard, Monitor Lizard. Dengan adanya beberapa nama yang dinyatakan tersebut, dengan itu membolehkan saya menggunakan kaedah melihat perkataan yang mana sesuai dengan hal keadaan dan ciri ciri haiwan yang bernama Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana, diguna pakai.



Melalui pengamatan dan pemerhatian peribadi saya mendapati  Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana mempunyai gabungan ciri-ciri Sesumpah dan Biawak. Rupa bentuk pada bahagian kepala , anggota tubuh, 4 pasang anggota jari kaki, dan saiznya seakan-akan menyerupai spesis Sesumpah. Walaupun begitu perbezaan ketara dapat dilihat pada bahagian kaki hadapan yang mempunyai lengan kaki yang pendek berbanding lengan kaki hadapan Sesumpah yang lebih panjang. Ciri-ciri yang dinyatakan itu dimiliki oleh seekor Biawak. Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana mempunyai rahang mulut berserta set susunan gigi tajam yang menyerupai Biawak. Keadaan rupa bentuk anggota tubuh badan yang mempunyai lengan kaki hadapan yang pendek sesuai untuk membuat larian pantas dipermukaan lantai tanah lapang. 

Habitat dan perangai kehidupan Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana yang sering yang membuat sarang didalam lubang tanah menyerupai dengan perangai spesis Biawak. Dalam pada itu Kecenderungan spesis ini gemar berada dikawasan padang berpasir yang menyamai warna kulitnya bagi melakukan aktiviti harian kehidupanya.  Penyamaran dengan keadaan alam sekeliling, samada untuk mencari makanan , bersosial atau melindungi dari ancaman musuh. Perangai sebegini menyerupai dengan perangai Sesumpah, bezanya Sesumpah membuat penyamaran diatas pokok manakala Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana membuat penyamaran di kawasan lapang berpasir.



Berdasarkan gabungan ciri-ciri berikut maka pada hemat saya, adalah sesuai untuk saya mencadangkan nama rasmi dalam Bahasa Melayu kepada spesis Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana adalah Sesumpah Biawak-tanah~Leiolepis belliana . Famili Leiolelipidae ~ Butterfly Lizard maksud kepada nama spesis dalam bahasa Inggeris, manakala Famili Leiolelipidae ~ Sesumpah Biawak memberi maksud kepada nama spesis dalam Bahasa Melayu. Setelah mendapat penentuan Famili maka mudah untuk membuat lanjutan untuk keseragaman spesis. Spesis Sesumpah Biawak dengan nama pengenalan Malayan Butterfly Lizard~Leiolepis triploida, dalam bahasa Inggeris dicadangkan kepada nama Sesumpah Biawak-Malaysia~ Leiolepis triploida sebagai nama rasmi dalam Bahasa Melayu.



Selepas ini dimasa hadapan bermula dengan sedikit, pihak Penguasa Hidupan Liar bolehlah mewartakan spesis tersebut  dalam Bahasa Melayu sebelah menyebelah dengan Bahasa Inggeris. Tidaklah dibiarkan  ruang kosong ditempat nama pengenalan spesis Bahasa Melayu, sepertimana sekarang. Sesumpah Biawak-tanah ~ Leiolepis belliana ~ Common Butterfly Lizard dan Sesumpah Biawak-Malaysia~Leiolepis triploida~Malayan Butterfly Lizard. Pihak penyelidik dan mahasiswa pengajian tinggi juga dapat menggunakan nama pengenalan spesis ini andaikata mereka membuat tulisan kajian. Kepada mereka diharap budayakan lah, apa-apa nama Bahasa Inggeris itu hendaklah diletakkan dibelakang sekali setelah mendahulukan nama Bahasa Melayu dan nama saintifik. Cuba hias perkataan Bahasa Melayu dengan memberi ketebalan dan hitamkan font Bahasa Melayu. Kemudian pastikan saiz font bahasa Inggeris hendaklah lebih kecil saiznya daripada saiz font Bahasa Melayu.



Maka sedikit demi sedikit pihak kita tidak terlihat begitu miskin dengan bahasa ilmiah dalam bidang hidupan liar. Lama kelamaan dapatlah bahasa Melayu itu berdiri sendiri tanpa berpaut dan sokongan daripada bahasa Inggeris. Bahasa Melayu itu boleh berdiri sendiri, sepertimana Bahasa Jepun , Bahasa Jerman atau Bahasa Rusia. Dapatlah nanti, tulisan Bahasa Melayu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan tulisan Bahasa Inggeris. Kalau tidak digerakkan sekarang dengan rasa tanggungjawab dalam diri maka sampai kiamat sekali pun, Bahasa Melayu akan berpaut dan mengharapkan sokongan bahasa Inggeris dalam penulisan ilmiah. 



Tidak mustahil bahasa Melayu akan sama senasib dengan bangkai spesimen  Sesumpah Biawak-tanah ~ Leiolepis belliana ~ Common Butterfly Lizard yang saya jumpa mati dilanggar oleh kenderaan. Sipemandu kenderaan tidak ada rasa sayang kepada  Sesumpah Biawak-tanah ~ Leiolepis belliana ~ Common Butterfly Lizard. Sudahlah menanggung derita kesakitan sebelum mati, kemudian terbiar sampai jadi kering diatas jalanraya. Akta Perlindungan Hidupan Liar tidak mewartakannya didalam warta tentang kewujudannya dinegara kita. Sedangkan haiwan asing dari merata dunia kewujudannya diwartakan oleh Kerajaan. Setelah berjaya diwartakan kewujudannya, ia tidak pulak mempunyai namanya dalam bahasa Melayu. Apalah bangsat sangat dilayan sebegitu rupa. 


Semua kenyataan yang dikeluarkan ini bukan berniat untuk mendatangkan perasaan kebencian kepada bahasa Inggeris. Tetapi adalah untuk merawat  perasaan kasih sayang kita terhadap Bahasa Melayu yang mulai pudar. Menyuntik rasa tanggung jawab untuk mempertahan dan menjulang tinggi bahasa Melayu. Mana mungkin membenci bahasa Inggeris yang telah banyak berjasa memandaikan warga tempatan dalam berbagai ilmu hidupan liar. Bahasa Inggeris itu saya ibaratkan sebagai  jambatan kepada ilmu. Dengan adanya bahasa Inggeris,  wujudnya nama pengenalan rasmi spesis Sesumpah Biawak-tanah ~ Leiolepis belliana ~ Common Butterfly Lizard. Wasalam.