Friday 26 July 2013

UPACARA MENARIK PERHATIAN PASANGAN


TAKAU HITAM - KUNING~Eurylaimus ochromalus


Sebelum ini permerhatian terhadap burung ini hanya sekadar pemerhatian hal keadaan mereka mencari makan dan membuat sarang, tetapi kali ini saya berpeluang membuat pemerhatian ketika burung sedang melakukan upacara menarik perhatian pasangannya. Sebelum mereka hadir dilokasi ini , sudah keterdengaran panggilan sahutan mendayu-dayu dari arah hutan. Selang beberpa minit burung jantan hadir bertenggek dilokasi ini, sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Selepas itu burung mengembangkan kedua belah sayapnya untuk beberapa minit. Sesekali hanya sebelah sayapnya sahaja dikembangkan.

Burung jantan sedang mengembangkan kedua-dua belah sayapnya.

Pada sangkaan saya burung jantan sedang membuat renggangan otot-otot sayap terbangnya. Perbuatan ini dilakukan boleh dianggap lama , lebih kurang 3 ke 4 minit. Kadang-kadang hanya sebelah sahaja sayap dikembangkannya. Tetapi kekerapan ialah kedua belah sayapnya dikembangkan.


Ataukah perbuatan ini sebagai tanda isyarat memanggil pasangannya untuk datang kesesuatu lokasi, samada tempat itu selamat atau tidak selamat untuk didatangi oleh mereka. Perkara ini masih menjadi rahsia kepada peminat pemerhati burung. 


Selepas itu burung jantan menoleh kesekeliling tempat ia berada, tanpa menghiraukan kehadiran saya yang dikira begitu hampir dengannya. Selang beberapa minit kemudian setelah burung jantan mengembang-gembangkan sayapnya , tiba-tiba dari arah belakang burung jantan, burung betina telah datang meluru kebahagian ranting tempat burung jantan bertenggek. Burung betina dipercayai telah tergoda akan upacara " menarik perhatian pasangan". Tiada sebarang panggilan  burung dibuat ketika itu, hanya mereka mendiamkan diri sambil memandang antara satu sama lain dan kearah sekeliling.



Jangkaan saya telah tersilap, rupa-rupanya burung jantan sedang mempamirkan corak kecantikkan buluhiasnya  pada bahagian belakang sayap dan anggota belakangnya ,bukannya pada bahagian hadapan perut dan ketiak sayap burung.



Mungkin dimasa akan datang dapat peluang melihat corak kecantikkan yang dipamirkan daripada pandangan belakang .


Burung betina datang hinggap pada ranting yang sama tempat burung jantan melakukan upacara menarik pasangan.

Pasangan ini bertenggek sebentar pada dahan pokok ini, sebelum terbang beredar masuk kedalam kawasan hutan berhampiran.

Burung betina terlebih dahulu terbang daripada ranting, sebelum diikuti oleh burung jantan. Burung  jantan sedang memerhatikan arah lokasi burung betina terbang.


Burung betina terlebih dahulu terbang kelokasi yang tidak diketahui sambil diekori burung jantan dari arah belakang masuk kedalam hutan berhampiran.Wasalam.

Wednesday 24 July 2013

SIRI BURUNG-BURUNG LIAR MENCARI MAKAN


BURUNG PERINCIT LEHER GELAP~Ortholomus atrogularis

Seringkali dijumpai mencari makanannya bersendirian sambil berkicau-kicau pada ranting-ranting pohon renik. Melompat lompat dicelah-celah daun atau semak, agak sukar untuk ia keluar menampilkan diri dikawasan terbuka.
 

Diet utama burung ini ialah dari jenis serangga kecil dan ulat-ulat yang banyak terdapat dicelah-celah rimbunan pokok renik. Aktif mencari makanan pada awal pagi ketika cahaya matahari sedang mula memancarkan cahayanya, ketika hari sebelum hujan turun dan selepas hujan.


Setelah menyambar  serangga burung akan terbang kelokasi yang sesuai untuk proses menelan dan penghadaman. Burung akan melibas-libas serangga pada ranting kayu sebelum ia menelannya.

Proses melibas mangsa pada ranting kayu sebelum menelan mangsanya.

Hal keadaan burung sedang menelan serangga.

Menyambung semula usaha mencari makanannya

SIRI BURUNG-BURUNG LIAR MENCARI MAKANAN


KELOPAK DAHI-BALDU~Sitta frontalis

Burung Kelopak Dahi~baldu~Sitta frontalis  mencari makanan kebiasaannya menyertai kumpulan ombak burung didalam hutan. Ia akan datang berpasangan atau dalam satu kumpulan spesies  yang sama dalam bilangan antara 4 ke 6 ekor. Kadang-kadang dijumpai berpasangan jantan dan betina. Kaedah burung ini mencari makanannya dengan cara berlari pada batang pokok sambil terbang.



Keunikkan burung Kelopak Dahi~baldu~Sitta frontalis ialah ia dilihat seperti tidak terhukum dalam hukum graviti sepertimana makluk lain di bumi ini. Burung ini berkebolehan berlari pada batang pokok dalam  kedudukan menaik dan menurun pada batang pokok. Malah berlari dengan cekap pada kedudukan yang terbalik pada ranting pokok, serta berlari dengan  mengelilingi batang pokok tanpa mengakibatkan ia terjatuh. Pada kita yang melihat pergerakkannya seperti burung ini tiada istilah  atas atau pun bawah.

Berlari dengan pantas secara menurun kearah bawah pokok hingga kepangkal akar. 

Keistimewaan berlari dengan pantas pada batang pokok adalah dibantu oleh keadaan jari-jari burung sama panjangnya dengan keting kakinya. Dilengkapkan pula kuku-kukunya yang tajam dan melengkung.

Berlari sambil mencari -cari sumbaer makanan

Burung dewasa berusaha mengumpel makanan dicelah-celah kulit kayu.



Mempunyai paruh tajam bentuk paku yang berwarna merah cili dan warna buluhias yang menarik.




Sumber dietnya dari jenis tumbuhan lumut pada batang pokok.


Burung betina berjaya mengumpel makanannya dari celah kulit kayu pokok, dan terus terbang pergi kelokasi yang sesuai untuk proses penghadaman.


Tuesday 16 July 2013

SIRI BURUNG-BURUNG LIAR MENCARI MAKANAN


BELATUK SAYAP MERAH SAGA~Picus puniceus & BELATUK KATIK SUNDA~Dendrocopus moluccensis

Pada kita orang awam  melihat kepada burung Belatuk hanya pada kecantikkan susunan buluhiasnya  yang beranika warna serta patukkan pada batang-batang pokok kayu sahaja. Tetapi ketahuilah bahawa burung dari keluarga Belatuk merupakan burung yang istimewa kepada kita manusia, sekiranya kita mahu berfikir. Pada burung belatuk ini juga begitu banyak contoh kehebatan kebesaran pencipta alam ini yang sedia dirungkaikan kalau difikirkan.
 

Paruh burung belatuk yang runcing tajam ini cukup unik, ia seperti pahat ajaib yang tidak akan tumpul-tumpul. Perbandingan dengan pahat besi yang kita gunakan untuk menebuk kayu, lama kelamaan akan menjadi tumpul dan harus diasah semula untuk ditajamkan. Pekara ini tidak berlaku kepada paruh burung belatuk, ia berkebolehan tajam runcing secara semula jadi . Sepanjang hayat paruh digunakan untuk menebuk dan mencongkil batang kayu namun tidak akan tumpul dan sompek. Tidak pula dapat dihuraikan bagaimana keadaan tersebut boleh terjadi. Adakah disebabkan bentuk paruh atau pun keras paruh melebihi besi.


Allah menciptakan naluri burung belatuk yang cenderung kepada mematuk menebuk lobang pokok, samada untuk mencari makanan, membuat sarang atau memberi isyarat. Tentunya telah disediakan sekali akan kelebihan pada burung belatuk untuk mereka melakukan proses itu. Sistem dan kaedah pada leher, tengkuk, tengkorak kepala, kuku dan pelepah ekor burung dicipta untuk tujuan menebuk lobang tanpa mendatangkan sebarang mudarat. Hentakkan dan paluan yang bertalu-talu yang dilakukan burung tidak langsung memberi sebarang kemudaratan kepada sistem imbangan otak burung.Tetapi akan mendatangkan mudarat kepada makhluk lain sekiranya melakukan seperti belatuk. Burung belatuk dengan bersahaja mudah mematuk batang kayu keras dengan kuat bertalu-talu pada jangka waktu yang panjang. Baru-baru ini kumpulan pemikir dan pakar Automobil telah mengkaji kesempurnaan rekabentuk tengkorak kepala belatuk bagi di adaptasikan dalam bidang pembinaan  alat kalis hentakkan, bertujuan mengatasi masalah hentakkan tayar kereta atau pun hentakkan gempa bumi.


Pada kebiasaan burung hanya mempunyai 2  ruas anggota kaki iaitu ruas peha dan ruas keting kaki. Tetapi ini berlainan pada burung Belatuk , mereka mempunyai 3 ruas anggota kaki , berkemungkinan besar untuk tujuan keselesaan bersangkut pada batang kayu. Samada dalam keadaan terbalik mahupun keadaan menegak pada batang pokok. Saiz dan panjang jari kakinya , sama panjang dengan saiz dan panjang keting burung, dan ia dilengkapi pula dengan kuku bercangkuk yang tajam. Batang pelepah ekor sebagai tongkat membantu burung untuk bersangkut dengan selesa untuk mencari makanan.


Burung belatuk mendapat makanannya dengan lidahnya yang panjang terjulur. Ia menjilat cecair dan serangga halus, ketika patukkan bertalu-talu dilakukan. Kaedah ini cukup mengelirukan pada pandangan pemerhati burung. Bagaimanakah perkara itu dilakukan, tidak dapat dihuraikan.






Burung Belatuk mempunyai keupayaan dan kemahiran membentuk lobang dalam bentuk bulat tepat tanpa menggunakan sebarang peralatan. Ia dilihat semacam mengenali bentuk seperti lonjong, petak 4 segi, dan bulat.Hanya menggunakan patukkan paruh dan ketepatan permandangan mata, ia mampu memperoleh ketepatan  mencorak lubang sarang dalam bentuk bulat tepat.



Kesempurnaan dalam kerjasama antara burung jantan dan betina membina lubang sarang yang sudah siap, menunjukkan betapa mahir burung belatuk mengorek dan membentuk sarang yang luas didalam perut batang kayu, yang berupaya didiami 2 ekor burung jantan betina burung dewasa dan anak-anak burung. Pekara ini bukannya satu pekerjaan mudah ia memerlukan kemahiran dan ilmu yang tinggi.

Serba sedikit yang dapat dihuraikan tentang burung belatuk ini, telah membuktikan bahawa ilmu pengetahuan yang ada didalam alam maya ini bukan hanya dikhususkan kepada manusia sahaja, tetapi kepada haiwan juga yang merupakan makhluk ciptaan pencipta yang maha hebat dan maha bijaksana. Wassalam.

Saturday 13 July 2013

Perincit Abu~Ortholomus ruficeps Di Hutan Simpan Perdik, Ulu Langat


Perincit Abu~Ortholomus ruficeps

Falsafah pemburungan yang dianuti sejak awal lagi adalah " Setiap Burung adalah merdeka dan bebas untuk dia pergi kemana tempat ia suka kerana mereka ada sayap selagi nalurinya menyatakan tempat itu selamat, mempunyai sumber makanan yang banyak dan tidak putus ".

Burung Perincit Abu~Ortholomus ruficeps kebiasaannya dijumpai pada habitat hutan paya bakau yang berhampiran tepi pantai dan laut. Ia jarang sekali kita dengari terjumpa akan burung ini dikawasan hutan tanah pamah yang berjauhan dengan laut. Malah ada tercatit didalam Buku " Birds of South-East Asia~Tulisan Craig Robson ia sangat jarang sekali boleh dijumpai dikawasan yang jauh daripada pantai dan laut.


Mengapa perkara dan maklumat sebegini boleh berlaku? Pada pandangan peribadi, mengapa perkara ini boleh terjadi disebabkan beberapa faktor.:-

1. Tidak ramai pemburung yang berminat untuk mengkaji burung ini atas alasan tidak menarik.
2. Tidak ramai pemburung yang membuat bancian secara harian terhadap burung ini.
3. Burung ini biasa dilihat dikawasan hutan tanah pamah tetapi orang yang melihatnya setiap hari tidak pula mengenali akan burung ini malah mereka tidak berminat untuk ambil tahu, kesan dari itu penemuannya tidak dapat disalurkan  kepada sipenyimpan maklumat.


Kumpulan keluarga Burung Perincit Abu~Ortholomus ruficeps yang mendiami Hutan Simpan Perdik adalah menyamai dengan jumlah kumpulan keluarga burung-burung yang lain kerana burung yang ditemui itu adalah burung dewasa. Sudah tentu ada jantan betinanya dan proses kitaran kembang biak  burung ini sama seperti burung-burung yang lain juga. Cumanya tiada siapa yang melapurkan kepada peminat pemerhatian burung.


Pengalaman selama 7 tahun ketika membuat pemerhatian burung secara harian telah membuktikan bahawa burung adalah merdeka bebas. Saya  sering menjumpai burung-burung berada diluar habitat kebiasaannya ditemui.




" Setiap Burung adalah merdeka dan bebas untuk pergi kemana tempat ia suka kerana mereka mempunyai  sayap, selagi nalurinya menyatakan tempat itu selamat, mempunyai sumber makanan yang banyak dan tidak putus ". Wasalam.


Friday 12 July 2013

SIRI BURUNG-BURUNG LIAR MENCARI MAKANAN


TAKAU HIJAU~Calyptomena viridis

Dalam kalangan ahli Keluarga Takau, hanya Takau Hijau~Calyptomena viridis sahaja yang diet rujinya ialah dari jenis buah-buahan hutan. Sepanjang membuat pemerhatian terhadap burung Takau Hijau ini, tidak pernah terlihat akan mereka memakan selain buah-buahan. Buah-buah masak yang kerap mereka gemari ialah dari jenis Ara dan Palma. Mereka bersanggupan untuk menonjolkan diri tanpa menampakkan ketakutan terhadap manusia hanya semata-mata mendapatkan buah-buah tersebut.

Takau Hijau~Calyptomena viridis ( Jantan )

Mereka akan berada dipokok berbuah untuk satu jangka masa yang lama pada satu-satu masa. Malah akan mengulang-ulangkan kehadiran mereka ke pokok tersebut sehinggalah buah-buah habis, samada buah dimakan oleh burung-burung lain atau pun gugur ketanah.
 
Takau Hijau~Calyptomena viridis ( Betina )

Menjadi satu kemuyskilan kepada pemerhati burung seperti saya, atas dorongan apa mereka dapat mengetahui lokasi pokok yang sedang berbuah masak didalam hutan yang luas. Malah pokok-pokok  yang tumbuh bertaburan didalam hutan yang luas berbuah tidak mengikut musim. Tentu mereka mempunyai keistimewaan deria rasa ataupun deria naluri untuk mereka menconggak bagaimana dapat mereka mengetahui buah-buah akan masak yang boleh dimakannya. Adakah daripada deria pandang atau pun deria bau.
 
Takau Hijau~Calyptomena viridis ( Betina )

Alasan ini, boleh kita menganggap bahawa burung Takau Hijau~Calyptomena viridis ini kehidupannya adalah berpindah randah mengikut pada sumber makanannya yang banyak dan tidak putus. Ia akan sentiasa berada disekitar pokok yang sedang berbuah sehinggalah mereka menjumpai pokok berbuah yang lain di dalam hutan.
 

Berlainan pula dengan ahli keluarganya yang lain seperti Takau Hitam-merah ~ Cymbirhynchus macrorhynchos, Takau Ekor panjang~Psarisomus dalhousiae, Takau Dada perak~Serilophus lunatus, Takau belang~Eurylaimus javanicus, Takau hitam kuning~Eurylaimus ochromalus dan Takau Kicau kelabu~Corydon sumatranus yang diet mereka dari jenis serangga, dimana pada setiap ketika apabila lapar mereka akan mencari disetiap celah ranting pokok didalam hutan.



Andaikata mereka tidak mempunyai keistemewaan untuk menghidu lokasi pokok berbuah didalam hutan sudah pasti mereka akan mati kelaparan. Wasalam.