Wednesday 16 December 2020

Aksi Kenangan Berkayuh Basikal Seven Up Di Motorhead Route !


 Aksi Kenangan Berkayuh Basikal Seven Up  Di The Motorhead Route.


1. Fasa 1 Upacara Langgar Pagar- Senafas


Saya pernah ditegur oleh seorang ahli sukan veteran semasa sedang berkayuh basikal Seven Up naik ke puncak Bukit Hangus@ Motorhead Route. Beliau menyatakan seorang ahli sukan yang hendak berjaya selain memiliki ketahanan stamina mereka juga patut ada kecerdikan minda. Itu satu kenyataan yang benar dan saya juga tidak boleh menafikan kebenaran itu. Sebenarnya beliau sedang menegur saya dengan nada ayat sindiran.  Pada pandangan matanya , saya secara percuma dan sia-sia membazirkan kudrat menyiksa diri sendiri  berkayuh basikal besi Seven Up naik ke puncak Bukit Hangus@ Motorhead Route.


Pada pandangan beliau ," Mengapa memilih Basikal besi yang berat, yang tidak mempunyai bantuan gear.. kemudian mencari route kayuhan menaiki bukit yang cukup menegak.? Sekarang zaman telah berubah dengan pelbagai jenis ciptaan terbaharu basikal yang lebih ringan, dengan bantuan gear demi memudahkan mengayuh mendaki bukit yang curam dan menegak. Mengapa mesti minda terperangkap dengan basikal besi ciptaan perang dunia ke 2.


Atas pemerhatian beliau terhadap perbuatan  kerja-kerja kurang cerdik saya itu lah beliau menyindir saya dengan perkataan " To be an athlete, you must be smart" Ya.. memang betul sindiran itu kepada saya. Sebagai menghormati orang yang lebih tua, sindiran itu dibalas dengan senyuman sahaja. Tetapi didalam hati bingkas menjawab hujahnya.  Dia bercakap atas dasar diri dia, yang pada ketika itu hanya berupaya berjalan kaki naik ke kemuncak bukit. Tidak berlari seperti mana ahli sukan veteran lain yang setiap hari beria-ia berhempas pulas berlari naik ke kemuncak. 

Apa pun jua perkara ini sangat subjektif.  Ada sukan yang memerlukan cuma satu acara yang memberi peluang untuk meraih pingat emas. Seperti sukan acara olahraga lompat jauh, lari pecut dan acara balapan yang lain. Ada  juga sukan yang mengharuskan atlet menghabiskan banyak acara utnuk satu kejayaan. Seperti Acara Decathlon yang memerlukan gabungan sehingga 10 acara olahraga, hanya untuk mendapatkan sebutir pingat emas.  Sukan Ironman dengan acara berlari, berenang dan berbasikal berpuloh kilometer. Itu dari segi acara sukan.

Fasa 2.Takungan Air Bukit Mas - 2 Nafas.


Sejak dulu lagi,  telah ada kelompok ahli sukan yang memang sengaja mencari-cari penat dan sengsara dalam bersukan. Golongan seperti ini tidak pernah masyarakat tahu akan kewujudan mereka . Ada juga sesetengah masyarakat  yang tidak boleh memahami golongan ini kerana mereka bukan dari kalangan ahli sukan atau pun bukan dari masyarakat penggiat sukan.


Mereka gahirah ingin menikmati satu tingkatan kepuasan peribadi, bertambah sengsara maka bertambah meningkatlah rasa nikmat dan kepuasan peribadi. Kepuasan itu pula berlain-lain rasa dan berbagai tingkatan kesedapan. Sentiasa mencari azab sengsara baharu untuk mereka mengenal dan merasai azab sengasara yang belum pernah dirasakan.Kelompok ini ketagihan melakukan itu berulang-ulang kali kerana ingin mendapat rasa seronok sendiri.  Itu sahaja. 


Perbuatan yang dilakukan itu jikalau dilihat dari sudut positif, golongan ini sedang mempersiapkan diri mereka sendiri. Keupayaan yang tersedia dalam dirinya itu nanti dapat dizahirkan pada saat yang diperlukan pada bila-bila masa sahaja. Mereka umpama  Tong Gas Keselamatan Kebakaran yang dapat digunakan bila peristiwa sebenar berlaku. 

Secara  tidak sedar latihan-latihan seperti ini menjadi  therapy minda. Ia menghilangkan atau melonggarkan rasa tekanan  bebanan dalam minda. Tekanan minda yang teruk dibuli oleh kehidupan akan teralih atau hilang entah pergi kemana. Agaknya tekanan yang bersarang dalam minda itu hancur terbakar oleh rasa penat dan azab sengsara. Apa-apa masalah itu akan terhijab ketika kita  sibuk menyudahkan kayuhan-kayuhan azab sengsara yang bertingkat-tingkat.


Pada hemat saya pula latihan-latihan seperti ini adalah salah satu usaha yang dituntut untuk membebaskan diri, sebelum menerima bulat-bulat suratan takdir. Setelah selesai menjaga permakanan dan berusaha secara istiqomah latihan-latihan itu , maka secara adat semulajadi tubuh badan akan membentuk dan mengatifkan kekuatan sistem imunasi badan. 


Samada melalui sel-sel darah atau organ tubuh badan. Langsung menjadi perisai kebal kepada serangan kuman-kuman   pelik-pelik yang datang dari luar dan dalam tubuh badan. Setelah kita selesaikan tanggungjawab berusaha dan bertawakal , secara bersungguh dengan jujur. Andaikata berlaku juga apa-apa yang kita tidak suka tentang kesihatan. Samada penyakit tetap datang menyerang diri kita, maka pada ketika itu barulah terima dengan hati Red Door To Hunt.  Itu lah dia suratan takdir yang telah tersurat pada azali lagi kepada kita.   


3. Fasa 2 Padang & Beirut Di kemuncak Bukit Hangus. - 2 Nafas.

Saya pasti Basikal besi Seven Up buatan Negara China yang tidak mempunyai bantuan gear ini, benar-benar akan mencabar diri sendiri. Mencabar  dari segi stamina dan ketahanan otot dengan jarak kayuhan The Motorhead Route yang dianggarkan lebih kurang 20 kilometer. Percubaan buat masa  ini saya tidak memikirkan matlamat berapa lama masa dihabiskan untuk selesaikan kayuhan. Tetapi saya menumpukan kepada asal berjaya melengkapkan kayuhan  The Motorhead Route, sudah cukup memadai. 

Rekod peribadi saya menghabiskan 3 fasa The Motorhead Route adalah selama 1 jam 10 minit. Menghabiskan kayuhan secara senafas.dengan menggunakan basikal Bridgestone 6 gear.  Namun  setelah kerap melakukan dengan basikal itu, sehingga saya tidak merasa cabaran pada diri sendiri lagi. Memandangkan saya telah kecewa tempoh hari kerana tertewas di The Bapak Puaka Route, maka saya kena melakukan sesuatu demi memperbaiki kelemahan.

Bertitik tolak dari kecewa tertewas itu, "Hati Dalaman" secara semulajadi telah memercikkan api semangat diri sendiri untuk tidak tewas lagi dimasa akan datang. Maka sejak dari itu saya berusaha menggandakan latihan-latihan untuk menyiap siagakan keupayaan stamina dan ketahanan otot. 


Memandangkan saya belum pernah melengkapkan 3 fasa The Motorhead Route secara sekali gus dengan menggunakan basikal Besi Seven Up. Maka usaha ini harus dicuba untuk mengetahui tahap dan kemampuan diri sendiri. Disamping itu latihan-latihan sebegini boleh memberi diri sendiri mengenal tahap rasa  dan tingkatan azab sengsara. Setelah mengenal akan tingkatan azab sengsara maka secara semulajadi ia meningkatkan lagi perasaan degil tidak mahu tewas dipertengahan kayuhan mendaki.

Dipermulaan kayuhan bersama rakan kayuhan yang juga sama-sama mengejar azab sengsara, telah berjalan lancar. Basikal Seven Up berupaya beriringan dangan basikal yang mempunyai gear, mungkin rodanya yang besar bersaiz 28 itu berupaya bergolek kehadapan berbanding roda bersaiz 700 c. Pada permukaan jalan mendatar Basikal Besi Seven Up ini berupaya bergerak laju secara tetap pada kelajuan antara 20 ke 25 kilometer sejam. ( Maklumat diperolehi daripada rakan basikal yang kena cucuk dari belakang )

Ketika berkayuh bersama rakan basikal yang mempunyai bantuan gear, saya tidak akan menjadikan basikal besi Seven Up ini perlu diberi Handicap. Basikal Seven Up setaraf dengan mana-mana basikal yang lain yang mempunyai gear. Pada saya basikal ini adalah jenis basikal Fixie yang bersaiz besar.


Memandangkan berkayuh dengan rakan-rakan , sedapat mungkin akan sentiasa berada dihadapan kerana tidak suka rakan-rakan menghabiskan masa menunggu kita dibelakang. Untuk fasa 1 ke Upacara Melanggar Pagar di Fasa 1 Motorhead route, Basikal Seven Up berupaya menamatkan cabaran 4 bukit secara senafas dengan tidak berhenti di pertengahan kayuhan mendaki.


Kayuhan ke Fasa 2 The Motorhead Route bermula dari Bulatan Bukit Mas terus mendaki sampai di puncak Kolam Takungan Bekalan Air Bukit Mas. Buat masa ini saya tidak terfikir apakah boleh berkayuh basikal Seven Up dengan senafas dari bawah sampai ke puncak. Pada latihan-latihan sebelum ini saya terpaksa berhenti 4 kali dipertengahan kayuhan sebelum tiba di puncak. Namun pada kali ini Basikal Seven Up cuma berhenti sebanyak 2 kali sahaja. 

Bermakna masih lemah dan belum cukup degil menahan azab sengsara panas ulu hati, yang marak terbakar dalam dada. Kayuhan terpaksa dilakukan dalam keadaan berdiri disepanjang pendakian sehingga kepuncak. Kayuhan cara zig zag akan digunakan jikalau tiada kenderaan yang lalu lalang. Namun kayuhan secara menegak yang mengazabkan terpaksa ditanggung jikalau terdapat kenderaan yang lalu disitu. Kerahan seluruh tenaga diperlukan demi memastikan Basikal Seven Up sentiasa bergerak walaupun perlahan. 


Sesekali dan kadang-kadang mengikut nasib dapat mencuri nafas ketika kayuhan cara zig zag dilakukan. Kaedah  itu berupaya meredakan marak  api diulu hati. Walaupun bahang kepanasan  mampu ditanggung namun dengupan jantung seperti hentakkan kencang double padel bekas pemain drum Dark Angle  Gene Hoglan. Pakaian yang belum kering , bertambah basah lencun oleh peluh  yang menitik menjejeh dibuatnya. Cahaya matahari terik terasa tepat dikepala menambah nikmat kesedapan azab sengsara. Setelah berhempas pulas dan berdegil tidak mahu kerap berhenti maka sampailah di puncak. Cukup memuaskan.


Setelah berehat terus turun menuju ke Fasa 3 Motorhead Route. Dipertengahan jalan membeli bekalan makanan untuk santapan dipuncak nanti. Dalam cuaca panas terik Basikal Seven Up menahan sabar . Dia bergerak  perlahan-lahan mendaki bukit tanpa berhenti. Kaedah yang sama harus digunakan bagi meredakan kepanasan api diulu hati. Mujur disebahagian laluan ke kemuncak jalan dilindungi oleh pokok-pokok rendang.


Selepas berkayuh masuk dikawasan pembinaan perumahan mewah , pendakian pada permukaan jalan adalah dari bahan batu kerikil. Berwaspada supaya jangan sampai tayar melanggar bahan yang boleh membocorkan tayar basikal. Pada kali ini Basikal Seven Up berupaya melepasi satu selekoh tajam yang selalu terhenti kerana terlalu mendonggak . Ikutkan hati tidak mahu berhenti langsung namun  terpaksa berhenti juga kerana tidak cukup kuat. Sudah tidak terdaya menahan panas pada ulu hati.Berhenti berehat dilaluan lurus yang terpacak selepas selekoh tajam. Disitu  Otot-otot lengan, perut ,urat belikat dan kaki menjadi tegang bercampur sengal.  Berehat lebih kurang 5 ke 10 minit sambung semula kayuhan tanpa henti sampai ke puncak.


Memang merasa puas dan seronok setelah berjaya sampai ke kemuncak dengan sekali gus. Buat masa ini masa tidak penting , apa yang penting kena sampai dahulu. Nanti berdikit-dikit perbaiki masa dan kurangkan berhenti berehat. Biar sama ketika berkayuh dengan basikal yang ada bantuan gear. Sejurus sampai di puncak, keutamaan pada ketika itu adalah menghilangkan rasa lapar yang amat sangat. Terlalu banyak tenaga telah  dihabiskan. 

Saat menghilangkan rasa lapar makan bersama-sama rakan-rakan kayuhan memang menyeronokan. Katakan makanan itu tidak sedap pun akan menjadi sedap pada ketika itu. Sambil berbual-bual dan ketawa menceritakan pengalaman masing-masing merasa nikmat derita sampai ke puncak.


Terima kasih kepada Saudara King Miharbi kerana berupaya mengendalikan 2 buah kamera saya dengan baik, sehingga berjaya merakam aksi-aksi kenangan berkayuh disini. Terima kasih juga kepada rakan kayuhan yang lain Saudara Hidzir dan Saudari Mimi kerana mentadbir suasana silaturahim dalam keadaan yang menyenangkan hati rakan-rakan. Terima kasih semua rakan-rakan atas sikap tolak ansur dan beralah antara satu sama lain sepanjang kayuhan.


Shukur dan terima kasih kepada "Ehem ehem " kerana secara tidak sengaja telah memberi kelapangan masa menyeronokan diri sendiri. Merasa puas menikmati azab sengsara semasa menghabiskan kayuhan 20 kilometer di The Motorhead Route dengan sekali gus. Mana-mana yang baik jadikan tauladan ..dan mana-mana yang tidak baik atau tidak sesuai jadikan sempadan. Wasalam.

















































































Wednesday 2 December 2020

Tewas Kecundang..! Tetapi Tidak Menolak Basikal Di The Bapak Puaka Route.



Tewas Kecundang...Tetapi Tidak Menolak Basikal Di The Bapak Puaka Route.....




Sifat degil positif telah terbenam dan sebati dalam jiwa sejak zaman budak-budak dulu. Sifat itu terbawa-bawa sampai sekarang yang tidak mahu tewas ketika berkayuh dalam mengharungi apa saja kecuraman dilaluan  berbukit bukit. Namun seperti kebiasaan adat bersukan, lambat laun akan bertemu juga " Buku dengan Ruas ". Hendak dijadikan cerita, baru-baru ini pada 18 Nov 2020 yang lepas saya telah menyahut cabaran dari sahabat saya Saudara King Miharbi. Mencuba laluan baharu dijumpainya yang cukup menegak terpacak. Katanya mungkin melebihi The Motorhead Route dan The Kawah Route. Pada hemat dan pengalamannya, laluan itu terlalu curam dan terpacak tingginya.  Dalam diam-diam, maklumat dan siaran imej jalan yang diceritakannya itu telah memercikan lagi api semangat untuk  mencuba nasib  berkayuh sampai ke kemuncak secara senafas. Selang seminggu , seperti ada lambaian halimunan yang melambai-lambai semangat untuk datang ke situ. Tambahan lagi cabaran disahut  kerana ingin mengetahui sebab apa beliau  telah gagal berkayuh sampai ke kemuncak. 


Sebelum-sebelum ini saya belum pernah tertewas ketika mengayuh dilaluan berbukit yang pernah saya tempohi. The Bukit Chin Chin Route, The Kampong Pagi Route, The Kawah Route, The Dinding Route, The Hulu Dong Route, The Ulu Yam Route, The Jugra Route dan bla bla. Berkayuh secara senafas sehingga sampai ditempat yang paling tinggi, kemudian barulah boleh berhenti berkayuh. Itu sebagai petanda bahawa laluan berbukit tersebut telah pun ditawan. Laluan berbukit itu semua hanya  dengan menggunakan basikal klasik yang sangat dipercayai. Samada basikal jenis Brigestone 6 gear atau basikal Raleigh Rapide  keluaran tahun 1980an.


Memandangkan saya ingin mengatasi masalah bunyi bising ketika berkayuh pada basikal Raleigh Rapide di kedai Basikal Samy Batu Caves . Maka basikal itu lah akan dipetaruhkan untuk menawan bukit tersebut. Dari Taman Melawati mulakan kayuhan menghala ke Sri Gombak. Yang mana sahabat saya Saudara King Miharbi akan menunggu disitu untuk menunjukkan jalan tersebut. Jalan mendonggak itu saya secara peribadi  gelarkannya sebagai  The Anak & Bapak Puaka Route


Sejurus tiba, Saudara King Miharbi terus membawa saya ke lokasi untuk menawan bukit tersebut. Dari lorong kawasan perumahan persendirian saya lihat ada sebatang jalan menegak, dianggarkan jaraknya lebih kurang 120 meter ke 130 meter naik terpacak ke puncak. Laluan satu lorong dari pembinaan tar yang bertampal-tampal dengan simen konkrit. Jalan persendirian dikawasan perumahan yang tidak rata serta pecah-pecah dikiri kanan sepanjang jalan. Itulah jalannya yang akan mencabar saya nanti. Setelah melihat sekali pandang saya membuat keputusan untuk berpusing-pusing terlebih dahulu. Persediaan untuk menurunkan gear yang sesuai. Sejurus itu juga, saya terus meluncur naik memilih laluan permukaan yang tidak pecah dan tidak berlubang.  


Memandangkan jalan ke puncak itu terpacak menegak hampir sama dengan laluan di The Kawah Route Bukit Antarabangsa, maka dengan sertamerta letakkan bahagian dada saya berhampiran dengan handle basikal sambil berkayuh. Saya menjadikan anggota bahagian dada sebagai pengimbang berat pada bahagian hadapan basikal yang mudah terangkat apabila melalui jalan menegak seperti itu. Andaikata imbangan itu tidak dilakukan, tentunya akan mengundang bahaya terjatuh, langsung  mengganggu usaha menawan The Anak Puaka Route . Memandangkan  roda akan bergolek perlahan-lahan pada laluan jalan yang tidak rata. Maka saya membuat tekanan kayuhan tanpa henti sambil mata menumpu untuk cepat memilih hanya pada permukaan jalan rata. Supaya tayar dapat bergolek lancar naik keatas. Tekan, henyak bertubi-tubi pedal tanpa berhenti dilakukan supaya kelajuan lajakan kekal stabil.


Cara begini dapat mengelakkan tayar hadapan basikal saya menjongkit willie naik terangkat keatas. Andaikata terhenti saya sendiri juga akan menanggung kepayahan untuk menggandakan lagi tekanan pada pedal. Silap-silap terlepas imbangan, roda hadapan akan menjongkit willie melambung keatas. Entah berapa puluh kali pusingan pedal basikal dikayuh, saya sendiri tidak pasti. Tahu-tahu saya sudah berada diatas puncak secara senafas. Ia mengambil masa tidak sampai 5 atau 6 minit sahaja untuk menawan The Anak Puaka Route . 


Setiba dipuncak saya membuat keputusan untuk mengulang semula kayuhan dari bawah hingga ke puncak buat kali ke 2. Pada kali ini saya memohon jasa baik sahabat saya Saudara King Miharbi merakam dalam bentuk video clip untuk tujuan pembelajaran dan mengkaji kelemahan yang boleh diperbaiki. Pada waktu yang sama saya ini merasa pengalaman mengendalikan basikal klasik menuruni jalan curam seperti ini. Walaupun saya tahu, perkara seperti ini bukan boleh dibuat mainan kerana pada hemat saya adalah merbahaya. Bukan sahaja merbahaya malah perbuatan itu bakal mengakibatkan pelapik brek menjadi tipis haus dengan cepat. Duduk diatas basikal ketika berada di kemuncak bukit yang curam membuatkan kita merasa gerun gayat kerana tidak biasa dengan laluan ini. Apatah lagi disitu mempunyai selekoh dan permukaan jalan yang bertampal-tampal. 



Tayar Basikal bergolek perlahan-lahan menuruni bukit hasil genggaman brek depan dan belakang dengan cara dilepas dan ditarik sepanjang menuruni bukit. Kawalan secara begini untuk menghalang basikal bergerak laju sehingga terperangkap dalam zon kelajuan tidak terkawal. Kelajuan yang tidak terkawal akan membuka ruang, kepada perasaan cemas. Bila perasaan cemas melanda minda, 2 peluang yang kita ada pun sudah tidak bermakna lagi. Peluang pertama jikalau kita menekan brek,  mengikut adat tayar belakang akan terangkat naik keatas muka kita akan tersembam kehadapan diikuti bahu akan menghentak permukaan jalan.


Peluang kedua kita cuma mengawal kelajuan basikal menuruni bukit dengan mengurus brek mengikut keadaan, besar kemungkinan kita dan basikal akan terhumban terperosok didalam longkang atau melanggar bangunan kediaman. Maka jangan sesekali memberi muka kepada kelajuan yang tidak terkawal. Kelajuan ibarat  api, bila api telah marak besar sangat susah untuk ia dikawal. Jadi tadbirlah kelajuan menuruni bukit secara perlahan-lahan jangan sampai dia mendatangkan merbahaya kepada diri sendiri. Tatacara yang dinyatakan itu sudah menjadi formula saya bilamana menuruni bukit menjunam. Keselamatan diri dan basikal kesayangan adalah keutamaan. Biarlah sangat perlahan tetapi selamat.


Bila tiba dibawah, saya membuat satu selekoh separuh bulatan dengan menggunakan gear yang sama ketika percubaan pertama dan terus berkayuh. Berkayuh menggunakan tatacara yang sama dimana bahagian anggota badan saya terjulur kehadapan handle basikal. Tekan henyak , tekan dan henyak padel basikal secara tidak henti , tayar digolekkan pada permukaan yang paling rata. Kadang-kadang tayar bergolek juga pada permukaan jalan pecah kerana tidak ada pilihan. Pada ketika itu tambahan tenaga  terpaksa lah digunakan. Untuk kayuhan kali kedua menawan The Anak Puaka Route, saya rasakan  sudah tidak menghadapi tentangan daripada  The Anak Puaka Route . Walaupun begitu denyutan jantung tetap bergerak pantas, ulu hati tetap merasa panas , betis dan peha tetap merasa sengal.



Sejurus sampai dipuncak  The Anak Puaka Route , Saudara King Miharbi yang sebentar tadi  baru selesai merakam video memaklumkan ini baru mukadimah dan salam perkenalan kepada The Bapak Puaka Route. Baru saya tahu perjuangan menewaskan The Puaka Route belum selesai lagi. Di puncak The Anak Puaka Route kelihatan dengan jelas permandangan menarik bandaraya Kuala Lumpur. Jikalau ada persembahan bunga api , pada hemat saya disini boleh dijadikan tempat sesuai untuk melihat pertunjukan bunga api dengan jelas.


Dengan tidak membuang masa Saudara King Miharbi membawa saya ke laluan sebenar untuk ditewaskan. Lokasinya tidak begitu jauh cuma 50 meter daripada lorong pertama tadi. Bila ditunjukkan laluan yang hendak ditewaskan itu, kelihatan dari bawah memang nampak curam dan merbahaya. Ini adalah ancaman kepada penunggang basikal yang biasa dan selesa berkayuh menggunakan clip kaki di pedal. Pada hemat saya penunggang tidak sempat menanggalkan clip kaki jikalau kehabisan tenaga kerana ia terlalu curam.


Jarak The Bapak Puaka Route dari bawah ke puncak,saya anggarkan lebih kurang 150 meter, lebih panjang 20 atau 30 meter daripada The Anak Puaka Route..Jalan yang dibina itu berada didalam kawasan Tanah milik Persendirian untuk kegunaan pemiliknya. Jalan dibuat menggunakan bahan binaan simen konkrit yang permukaan jalan itu dibuat longkang-longkang kecil berbaris sepanjang permukaan jalan. Pada hemat saya jalan yang saya gelar ini The Bapak Puaka Route  dibina terlalu curam yang tidak mengikut s.o.p pembinaan jalan saranan  Jabatan Kerja Raya. Saya percaya jalanr ini  tidak akan mendapat sijil kelulusan oleh JKR untuk digunakan oleh kenderaan awam, kerana ia terlalu curam dan merbahaya. Bukan sahaja merbahaya malah akan merosakkan enjin jentera dan kenderaan ketika melalui jalan tersebut. Saya percaya jalan ini dibina dengan tidak mendapat khidmat nasihat daripada pakar kejurutera jalanraya.



Setelah bersedia meletakkan gear yang betul, saya tidak membuang masa terus memulakan kayuhan dengan cara yang sama sepertimana di Anak Puaka Route. Tenaga yang ada harus dikumpul kemudian akan diuruskan  dengan  betul, supaya tidak terhenti di pertengahan jalan. Kayuhan secara menegak dilakukan dengan cara tidak tergesa-gesa. Basikal naik sedikit demi sedikit melepasi jarak lebih kurang 50 meter, kayuhan tanpa henti berjaya melepasi lorong disebelah kiri jalan. Selepas itu saya rasakan kecerunan jalan cukup mendongak sehingga saya tepaksa berdiri melakukan kayuhan. Basikal bergerak sangat perlahan hinggakan saya harus mengawal handle basikal ke kiri dan ke kanan, bagi mengelakkan basikal tidak dapat di imbang.


Dikawasan ini golekkan tayar terlalu perlahan sehinggakan handle basikal tidak dapat mengawal haluan roda kerana ia  berputar sangat perlahan. Dengan tenaga dan kekuatan yang masih banyak teruskan juga kayuhan, tetapi tayar hadapan secara semulajadi terarah  menuju ke kanan atau ke kiri jalan. Basikal saya tertolak oleh kuasa graviti seperti kuasa besi berani  menolak ke bawah apabila bertemu positif dengan positif.



Kadang-kadang ada yang sampai dibucu tebing jalan, maka disitu harus sekuat tenaga saya mengawal untuk menukar haluan supaya tayar hadapan tidak terlepas jatuh diatas tanah. Ketika ini saya menggunakan seluruh kudrat untuk disalurkan ke bahagian anggota peha, betis, perut dan kedua belah lengan tangan. Bahagian anggota kepala pula menjulur ke hadapan handle basikal, mengimbang supaya tayar hadapan tidak terangkat keatas. Kini jarak  kayuhan telah melepasi  60 meter atau 70 meter. 



Ulu hati sudah mula panas, peluh membasahi baju dan seluar. Sikap Degil yang tidak mahu mengalah membuatkan saya masih menekan mengayuh melawan hinggakan secara tidak sedar tayar hadapan telah terangkat naik keatas. Apalagi tayar hadapan yang terangkat itu dengan sertamerta membawa saya bersama jatuh ke belakang lalu  jatuh terduduk ke tanah. Nak jadikan cerita secara kebetulan basikal saudara King Miharbi diletakkan disitu, maka basikal saya jatuh dan menghimpap basikalnya. 





Mujur entah macam mana semasa saat terjatuh terduduk dari basikal, saya sempat mengelak tidak terkena rangka bingkai basikal Saudara King Miharbi. Seperti kebiasaan pengayuh basikal akan bingkas bangun dan terus melihat keadaan basikalnya terlebih dahulu.Hal ehwal diri sendiri hanya setelah semuanya selesai. Mujur tidak ada apa-apa yang calar, kemik atau rosak.  Walaupun begitu kesan hentakkan basikal saya dengan basikal Saudara King Miharbi berlaku juga sedikit kerosakan pada tongkat Basikal Saudara King Miharbi. Kedudukan basikalnya akan menjadi terlalu sendeng bila  ditongkatkan.


Setelah semua reda, semangat membara  menyambung semula misi meneruskan kayuhan ke puncak. Bangun dan tegakkan basikal lalu sambung semula ingin berkayuh dari tempat terjatuh. Ketika sedang berdiri ingin menaiki basikal, saya terpaksa menguatkan kekuda kaki sambil menggeggam  ke dua-dua brek kerana saya dan basikal hampir berundur ke bawah.Disini permukaan jalan memang terlalu curam dimana kekuda kaki kiri dan betis harus bertahan kuat pada jalan. Manakala tapak kaki kanan diletakan pada pedal membuat persediaan untuk menekan memulakan kayuhan. 



Cuba sedaya upaya beberapa kali memulakan kayuhan,  cuma dapat menambah jarak 2 atau tiga langkah sahaja. Keadaan  saya  mengensut-ensut keatas dan bila telah kehilangan tenaga terundur-undur kebelakang ketika cuba berusaha untuk memulakan kayuhan. Kadang-kadang tayar hadapan  terangkat-angkat. Pada waktu itu peluh mencurah-curah lencun membasahi pakaian. Aktiviti  cuba mengayuh tetapi tidak bergerak, yang pada waktu  sama kaki kiri bertahan pada jalan mengelakkan daripada basikal melurut berundur kebelakang. Usaha itu membuatkan saya banyak kehilangkan tenaga sia-sia. Semasa itu pengurusan tenaga hilang entah kemana! . Setelah beberapa kali mencuba saya membuat keputusan berpatah balik  ditempat yang tidak berapa curam .


Berpatah balik turun pergi ke lorong halaman bangunan kediaman dan memulakan kayuhan sambungan dari situ.Kali ini memastikan gear berada ditempat yang paling ringan sekali. Semasa berpatah balik lintasan hati menyatakan harapan untuk buat senafas di The Bapak Puaka Route telah gagal. Yang penting sekarang, saya mesti sampai puncak beberapa nafas pun tidak mengapa. Dari lorong itu saya membuat selekoh dan keluar terus berkayuh naik keatas sedikit demi sedikit. 


Kecuraman jalan dilaluan ini telah membuatkan gear paling ringan  terturun 2 takuk dengan sendiri. Maka bertambah berat kayuhan terpaksa dilakukan. Pada saat ini peluang untuk menaikkan semula gear telah tiada lagi. Harungkan sahaja   dengan semangat dan kekuatan hati sedikit demi sedikit. Tenaga yang banyak telah digunakan untuk mendapat jarak yang pendek. Walaubagaimana pun jarak kayuhan telah bertambah jika dibuat perbandingan percubaan sebelumnya. Berpuas hati dengan kayuhan berhempas pulas ke kiri dan ke kanan. Berkayuh umpama  menggunakan roda basikal  bentuk empat segi ,bukannya roda  bentuk bulat.







Terangkat-angkat tayar, terkangkang-kangkang menahan daripada basikal jatuh.Terasa seperti The Bapak Puaka Route sedang mempermainkan dan di buli-bulinya diri saya. Bertahan seperti bertatih-tatih mencuri jarak menuju keatas. Usaha itu mampu menambah jarak lebih kurang 130 meter sahaja, cuma berbaki 20 atau 30 meter untuk sampai ke gigi puncak. Disitu  roda basikal hadapan terangkat tinggi dan bertahan berehat  lebih kurang 4 ke 5 minit. Beberapa kali cubaan berkayuh dan bertahan sambil brek digenggam bagi mengelakkan basikal mengelongsur ke belakang.




Jam sudah 12:30 tengahari. Puncak masih tidak sampai lagi. Jarak untuk melepasi tempat yang curam  cuma 5 atau 6 langkah sahaja lagi. Berkayuh basikal pun tayarnya sudah tidak bergerak . Pada saat ini cuma ada 2 pilihan sahaja . Pertama turun berpatah balik dan terima kenyataan saya telah gagal sampai ke puncak. Hati kecil saya meronta menegaskan,.. Mana boleh begitu.! Kita kena kasi sampai puncak. Kedua, kalau kayuh pun sudah tidak boleh maka tolaklah basikal sampai ke puncak. Haaargh ! Sergah Si semangat dalam hati..Awak sendiri yang jatuhkan Fatwa Basikal " Menolak Basikal Itu Haram dan Berdosa ". 




Mana mungkin awak sendiri yang melanggar fatwa yang dibuat sendiri. Nah! pada ketika itu mungkin Sahabat saya Saudara King Miharbi yang menunggu  di puncak memerhatikan dan tertunggu-tunggu apakah tindakan selanjut saya untuk sampai ke puncak. Biar pun untuk sampai ke puncak cuma berbaki lebih kurang 20 meter sahaja. Kecundang tetap telah kecundang. Pada ketika itu saya benar-benar merasa telah tertewas terkecundang untuk menawan The Bapak Puaka Route. 





Ia sedang berlaku... Sudahlah tidak berupaya mengolekkan roda,  berkayuh senafas sampai ke puncak jauh sekali. Apa yang dirasa dalam hati  ketika kecundang disini, adalah sama dengan perasaan saya ketika merasa tewas, semasa pasukan saya Liverpool dibelasah hidup-hidup 7 - 2 oleh pasukan Aston Villa pada musim ini. Dalam keadaan jatuh tertewas "Semangat Degil" saya menjerkah dalam hati...kamu kena sampai ke puncak dengan apa cara sekali pun selain menolak basikal. 





Secara tidak semena-mena Ilham pertolongan dari "Ehem ehem" sampai dalam otak menyuruh saya mengangkat basikal naik ke puncak. Ia sebagai jalan keluar kepada saya tidak mengerjakan perbuatan berdosa dan haram. Hujahnya...  Kudrat masih ada lagi, benda boleh angkat mengapa mesti tolak ! Ini upacara sukan untuk menentukan keupayaan. Bukan upacara peperiksaan yang menentukan kecerdasan dan kebijaksaan akal fikiran. Bukan menentukan pandai atau kurang pandai seseorang individu ahli sukan itu.



Mengangkat basikal lebih mulia dari menolak basikal. Menolak  basikal itu haram dan berdosa.! Mengangkat basikal itu harus... Andai kata jarak ke puncak 50 atau 100 meter, saya akan tetap angkat basikal, kerana itu bukan beban masalah kepada saya.Maka dengan senang sahaja mengangkat basikal terus berjalan mendaki jalan curam yang berbaki cuma 20 meter itu untuk sampai ke puncak.  Saya memang telah tewas dan kecewa tetapi saya tidak berdosa.
.

Sampai di puncak saya termenung sambil enjoy melayan rasa kecewa gundah gulana. Langsung berfikir dan mengenang bagaimana boleh tertewas di The Bapak Puaka Route. Ooh! Mungkin waktunya telah sampai untuk saya muhasabah diri yang usia saya telah menjangkau 55  tahun.  Sebab itu saya kecundang.. Atau mungkin kalau usia saya dalam lingkungan 20an atau 30an  memang tidak menjadi masalah untuk berkayuh sampai ke puncak. Tetapi kenapa Kazuyushi Miura " King Kazu" yang berusia 53 tahun masih diberi kontrak professional untuk bermain di kesebelasan utama pasukan Yokohama FC di Liga Jepun sehingga sekarang. Begitu juga Mike Tyson pada usia 54 tahun  turut juga masih boleh bertinju 8 pusingan. Mereka itu sama-sama manusia seperti saya. Jadi apakah usia boleh dijadikan alasan saya telah gagal.?



Sejak kecundang fikiran saya tidak puas hati, ingin mencari jawapan apa sebab sebenarnya boleh kecundang di The Bapak Puaka Route. Setelah memerhati dan mengkaji semula akhirnya  " Ehem ehem" memberi jawapan, yang saya fikir hampir tepat dan muktamat. Jawapan  ini telah membantu meringankan beban rasa tewas kecundang yang dialami. Saya tewas bukan disebabkan jalan itu curam tegak menegak dan mendongak, tetapi  tewas disebabkan bentuk permukaan atas jalan yang tidak rata di The Bapak Puaka Route


Pada hemat saya, jarak kayuhan yang bermula daripada bawah sampai ke lorong bangunan rumah kediaman, semua pengayuh berupaya sampai ke situ. Kerana bahan binaaan dipermukaan jalan dibuat menggunakan simen konkit yang dibentuk secara rata. Roda basikal mudah bergolek naik tanpa tersekat-sekat. Tetapi selepas melepasi lorong masuk ke bangunan kediaman sampai ke puncak, permukaan atas jalan telah dibina menggunakan simen konkrit yang dibentuk secara tidak rata.  Reka bentuk jalan yang dibina mempunyai barisan lekuk/longkang kecil sedalam setengah inci.


Keadaan permukaan jalan sepertimana yang dinyatakan itu akan mengakibatkan roda tersekat-sekat tidak dapat bergolek dengan lancar. Kerana bahagian roda yang mengolek akan masuk didalam barisan longkang-longkang kecil. Roda-roda basikal tidak dapat bergolek lancar naik menuju ke hadapan.  Pada hemat saya , jikalau kecuraman yang sama tetapi mempunyai permukaan simen rata seperti The Anak Puaka Route  , sesiapa pun boleh berkayuh sampai ke puncak. 



Sebagai usaha menghibur hati sendiri dan meringankan lagi beban kekecewaan terkecundang di The Bapak Puaka Route, saya telah membuat kayuhan naik ke The Motorhead Route fasa 2 Bukit Mas yang kecuraman dan menegaknya hampir sama dengan The Bapak Puaka Route. Malah jaraknya 2 atau 3 kali ganda daripada The Bapak Puaka Route. Kayuhan menghibur hati sendiri ini dilakukan    menggunakan basikal The Heavy Metal,  yang tidak mempunyai bantuan gear. Terima Kasih kepada " Ehem ehem ",  saya  berupaya sampai ke puncak The Motorhead Route Fasa 2 Bukit Mas , mengambil masa 15 minit dengan 4 kali nafas.  






Memang setiap orang ada "Hari Kecundang" dia. Hari itu saya kecundang kerana "Ehem ehem " ingin menganugerahkan saya  ilmu " Rasa Tewas " yang jarang dapat dirasakan. Dia mahu saya belajar bagaimana saya menguruskan   " Rasa Tewas " dan bangkit semula menjadi kepada yang lebih baik. Dia  mahu saya bagaimana hendak menikmati dan enjoy " Rasa Tewas ". Kaji dan buat post mortem mengapa boleh jadi sampai tewas. Liverpool yang dimakan hidup-hidup bangkit semula.. Brazil kecundang 1-7 kepada Jerman ditempat sendiri juga bangkit.. Jerman juga tewas kepada Korea 2-0 turut bangkit. Memang ada hari-harinya yang kita buat seperti kebiasaan tapi tetap juga tewas. Itu saya kena RED DOOR TO HUNT.. WASALAM. 







Nota Kaki:-

Kredit:- Terima kasih kepada sahabat saya Saudara King Miharbi yang telah melapangkan masanya untuk menunjukkan jalan  kepada saya tewas kecundang . Ucapan terima kasih kepada beliau yang secara suka rela ingin membantu merakam imej-imej kenangan saat kejayaan menawan kemuncak The Anak Puaka Route  dan saat kecundang saya di The Bapak Puaka Route. Beliau dengan cekap menggunakan kamera saya telah berjaya merakam dengan pantas saat-saat istimewa yang jarang berlaku kepada saya.