Wednesday 16 December 2020

Aksi Kenangan Berkayuh Basikal Seven Up Di Motorhead Route !


 Aksi Kenangan Berkayuh Basikal Seven Up  Di The Motorhead Route.


1. Fasa 1 Upacara Langgar Pagar- Senafas


Saya pernah ditegur oleh seorang ahli sukan veteran semasa sedang berkayuh basikal Seven Up naik ke puncak Bukit Hangus@ Motorhead Route. Beliau menyatakan seorang ahli sukan yang hendak berjaya selain memiliki ketahanan stamina mereka juga patut ada kecerdikan minda. Itu satu kenyataan yang benar dan saya juga tidak boleh menafikan kebenaran itu. Sebenarnya beliau sedang menegur saya dengan nada ayat sindiran.  Pada pandangan matanya , saya secara percuma dan sia-sia membazirkan kudrat menyiksa diri sendiri  berkayuh basikal besi Seven Up naik ke puncak Bukit Hangus@ Motorhead Route.


Pada pandangan beliau ," Mengapa memilih Basikal besi yang berat, yang tidak mempunyai bantuan gear.. kemudian mencari route kayuhan menaiki bukit yang cukup menegak.? Sekarang zaman telah berubah dengan pelbagai jenis ciptaan terbaharu basikal yang lebih ringan, dengan bantuan gear demi memudahkan mengayuh mendaki bukit yang curam dan menegak. Mengapa mesti minda terperangkap dengan basikal besi ciptaan perang dunia ke 2.


Atas pemerhatian beliau terhadap perbuatan  kerja-kerja kurang cerdik saya itu lah beliau menyindir saya dengan perkataan " To be an athlete, you must be smart" Ya.. memang betul sindiran itu kepada saya. Sebagai menghormati orang yang lebih tua, sindiran itu dibalas dengan senyuman sahaja. Tetapi didalam hati bingkas menjawab hujahnya.  Dia bercakap atas dasar diri dia, yang pada ketika itu hanya berupaya berjalan kaki naik ke kemuncak bukit. Tidak berlari seperti mana ahli sukan veteran lain yang setiap hari beria-ia berhempas pulas berlari naik ke kemuncak. 

Apa pun jua perkara ini sangat subjektif.  Ada sukan yang memerlukan cuma satu acara yang memberi peluang untuk meraih pingat emas. Seperti sukan acara olahraga lompat jauh, lari pecut dan acara balapan yang lain. Ada  juga sukan yang mengharuskan atlet menghabiskan banyak acara utnuk satu kejayaan. Seperti Acara Decathlon yang memerlukan gabungan sehingga 10 acara olahraga, hanya untuk mendapatkan sebutir pingat emas.  Sukan Ironman dengan acara berlari, berenang dan berbasikal berpuloh kilometer. Itu dari segi acara sukan.

Fasa 2.Takungan Air Bukit Mas - 2 Nafas.


Sejak dulu lagi,  telah ada kelompok ahli sukan yang memang sengaja mencari-cari penat dan sengsara dalam bersukan. Golongan seperti ini tidak pernah masyarakat tahu akan kewujudan mereka . Ada juga sesetengah masyarakat  yang tidak boleh memahami golongan ini kerana mereka bukan dari kalangan ahli sukan atau pun bukan dari masyarakat penggiat sukan.


Mereka gahirah ingin menikmati satu tingkatan kepuasan peribadi, bertambah sengsara maka bertambah meningkatlah rasa nikmat dan kepuasan peribadi. Kepuasan itu pula berlain-lain rasa dan berbagai tingkatan kesedapan. Sentiasa mencari azab sengsara baharu untuk mereka mengenal dan merasai azab sengasara yang belum pernah dirasakan.Kelompok ini ketagihan melakukan itu berulang-ulang kali kerana ingin mendapat rasa seronok sendiri.  Itu sahaja. 


Perbuatan yang dilakukan itu jikalau dilihat dari sudut positif, golongan ini sedang mempersiapkan diri mereka sendiri. Keupayaan yang tersedia dalam dirinya itu nanti dapat dizahirkan pada saat yang diperlukan pada bila-bila masa sahaja. Mereka umpama  Tong Gas Keselamatan Kebakaran yang dapat digunakan bila peristiwa sebenar berlaku. 

Secara  tidak sedar latihan-latihan seperti ini menjadi  therapy minda. Ia menghilangkan atau melonggarkan rasa tekanan  bebanan dalam minda. Tekanan minda yang teruk dibuli oleh kehidupan akan teralih atau hilang entah pergi kemana. Agaknya tekanan yang bersarang dalam minda itu hancur terbakar oleh rasa penat dan azab sengsara. Apa-apa masalah itu akan terhijab ketika kita  sibuk menyudahkan kayuhan-kayuhan azab sengsara yang bertingkat-tingkat.


Pada hemat saya pula latihan-latihan seperti ini adalah salah satu usaha yang dituntut untuk membebaskan diri, sebelum menerima bulat-bulat suratan takdir. Setelah selesai menjaga permakanan dan berusaha secara istiqomah latihan-latihan itu , maka secara adat semulajadi tubuh badan akan membentuk dan mengatifkan kekuatan sistem imunasi badan. 


Samada melalui sel-sel darah atau organ tubuh badan. Langsung menjadi perisai kebal kepada serangan kuman-kuman   pelik-pelik yang datang dari luar dan dalam tubuh badan. Setelah kita selesaikan tanggungjawab berusaha dan bertawakal , secara bersungguh dengan jujur. Andaikata berlaku juga apa-apa yang kita tidak suka tentang kesihatan. Samada penyakit tetap datang menyerang diri kita, maka pada ketika itu barulah terima dengan hati Red Door To Hunt.  Itu lah dia suratan takdir yang telah tersurat pada azali lagi kepada kita.   


3. Fasa 2 Padang & Beirut Di kemuncak Bukit Hangus. - 2 Nafas.

Saya pasti Basikal besi Seven Up buatan Negara China yang tidak mempunyai bantuan gear ini, benar-benar akan mencabar diri sendiri. Mencabar  dari segi stamina dan ketahanan otot dengan jarak kayuhan The Motorhead Route yang dianggarkan lebih kurang 20 kilometer. Percubaan buat masa  ini saya tidak memikirkan matlamat berapa lama masa dihabiskan untuk selesaikan kayuhan. Tetapi saya menumpukan kepada asal berjaya melengkapkan kayuhan  The Motorhead Route, sudah cukup memadai. 

Rekod peribadi saya menghabiskan 3 fasa The Motorhead Route adalah selama 1 jam 10 minit. Menghabiskan kayuhan secara senafas.dengan menggunakan basikal Bridgestone 6 gear.  Namun  setelah kerap melakukan dengan basikal itu, sehingga saya tidak merasa cabaran pada diri sendiri lagi. Memandangkan saya telah kecewa tempoh hari kerana tertewas di The Bapak Puaka Route, maka saya kena melakukan sesuatu demi memperbaiki kelemahan.

Bertitik tolak dari kecewa tertewas itu, "Hati Dalaman" secara semulajadi telah memercikkan api semangat diri sendiri untuk tidak tewas lagi dimasa akan datang. Maka sejak dari itu saya berusaha menggandakan latihan-latihan untuk menyiap siagakan keupayaan stamina dan ketahanan otot. 


Memandangkan saya belum pernah melengkapkan 3 fasa The Motorhead Route secara sekali gus dengan menggunakan basikal Besi Seven Up. Maka usaha ini harus dicuba untuk mengetahui tahap dan kemampuan diri sendiri. Disamping itu latihan-latihan sebegini boleh memberi diri sendiri mengenal tahap rasa  dan tingkatan azab sengsara. Setelah mengenal akan tingkatan azab sengsara maka secara semulajadi ia meningkatkan lagi perasaan degil tidak mahu tewas dipertengahan kayuhan mendaki.

Dipermulaan kayuhan bersama rakan kayuhan yang juga sama-sama mengejar azab sengsara, telah berjalan lancar. Basikal Seven Up berupaya beriringan dangan basikal yang mempunyai gear, mungkin rodanya yang besar bersaiz 28 itu berupaya bergolek kehadapan berbanding roda bersaiz 700 c. Pada permukaan jalan mendatar Basikal Besi Seven Up ini berupaya bergerak laju secara tetap pada kelajuan antara 20 ke 25 kilometer sejam. ( Maklumat diperolehi daripada rakan basikal yang kena cucuk dari belakang )

Ketika berkayuh bersama rakan basikal yang mempunyai bantuan gear, saya tidak akan menjadikan basikal besi Seven Up ini perlu diberi Handicap. Basikal Seven Up setaraf dengan mana-mana basikal yang lain yang mempunyai gear. Pada saya basikal ini adalah jenis basikal Fixie yang bersaiz besar.


Memandangkan berkayuh dengan rakan-rakan , sedapat mungkin akan sentiasa berada dihadapan kerana tidak suka rakan-rakan menghabiskan masa menunggu kita dibelakang. Untuk fasa 1 ke Upacara Melanggar Pagar di Fasa 1 Motorhead route, Basikal Seven Up berupaya menamatkan cabaran 4 bukit secara senafas dengan tidak berhenti di pertengahan kayuhan mendaki.


Kayuhan ke Fasa 2 The Motorhead Route bermula dari Bulatan Bukit Mas terus mendaki sampai di puncak Kolam Takungan Bekalan Air Bukit Mas. Buat masa ini saya tidak terfikir apakah boleh berkayuh basikal Seven Up dengan senafas dari bawah sampai ke puncak. Pada latihan-latihan sebelum ini saya terpaksa berhenti 4 kali dipertengahan kayuhan sebelum tiba di puncak. Namun pada kali ini Basikal Seven Up cuma berhenti sebanyak 2 kali sahaja. 

Bermakna masih lemah dan belum cukup degil menahan azab sengsara panas ulu hati, yang marak terbakar dalam dada. Kayuhan terpaksa dilakukan dalam keadaan berdiri disepanjang pendakian sehingga kepuncak. Kayuhan cara zig zag akan digunakan jikalau tiada kenderaan yang lalu lalang. Namun kayuhan secara menegak yang mengazabkan terpaksa ditanggung jikalau terdapat kenderaan yang lalu disitu. Kerahan seluruh tenaga diperlukan demi memastikan Basikal Seven Up sentiasa bergerak walaupun perlahan. 


Sesekali dan kadang-kadang mengikut nasib dapat mencuri nafas ketika kayuhan cara zig zag dilakukan. Kaedah  itu berupaya meredakan marak  api diulu hati. Walaupun bahang kepanasan  mampu ditanggung namun dengupan jantung seperti hentakkan kencang double padel bekas pemain drum Dark Angle  Gene Hoglan. Pakaian yang belum kering , bertambah basah lencun oleh peluh  yang menitik menjejeh dibuatnya. Cahaya matahari terik terasa tepat dikepala menambah nikmat kesedapan azab sengsara. Setelah berhempas pulas dan berdegil tidak mahu kerap berhenti maka sampailah di puncak. Cukup memuaskan.


Setelah berehat terus turun menuju ke Fasa 3 Motorhead Route. Dipertengahan jalan membeli bekalan makanan untuk santapan dipuncak nanti. Dalam cuaca panas terik Basikal Seven Up menahan sabar . Dia bergerak  perlahan-lahan mendaki bukit tanpa berhenti. Kaedah yang sama harus digunakan bagi meredakan kepanasan api diulu hati. Mujur disebahagian laluan ke kemuncak jalan dilindungi oleh pokok-pokok rendang.


Selepas berkayuh masuk dikawasan pembinaan perumahan mewah , pendakian pada permukaan jalan adalah dari bahan batu kerikil. Berwaspada supaya jangan sampai tayar melanggar bahan yang boleh membocorkan tayar basikal. Pada kali ini Basikal Seven Up berupaya melepasi satu selekoh tajam yang selalu terhenti kerana terlalu mendonggak . Ikutkan hati tidak mahu berhenti langsung namun  terpaksa berhenti juga kerana tidak cukup kuat. Sudah tidak terdaya menahan panas pada ulu hati.Berhenti berehat dilaluan lurus yang terpacak selepas selekoh tajam. Disitu  Otot-otot lengan, perut ,urat belikat dan kaki menjadi tegang bercampur sengal.  Berehat lebih kurang 5 ke 10 minit sambung semula kayuhan tanpa henti sampai ke puncak.


Memang merasa puas dan seronok setelah berjaya sampai ke kemuncak dengan sekali gus. Buat masa ini masa tidak penting , apa yang penting kena sampai dahulu. Nanti berdikit-dikit perbaiki masa dan kurangkan berhenti berehat. Biar sama ketika berkayuh dengan basikal yang ada bantuan gear. Sejurus sampai di puncak, keutamaan pada ketika itu adalah menghilangkan rasa lapar yang amat sangat. Terlalu banyak tenaga telah  dihabiskan. 

Saat menghilangkan rasa lapar makan bersama-sama rakan-rakan kayuhan memang menyeronokan. Katakan makanan itu tidak sedap pun akan menjadi sedap pada ketika itu. Sambil berbual-bual dan ketawa menceritakan pengalaman masing-masing merasa nikmat derita sampai ke puncak.


Terima kasih kepada Saudara King Miharbi kerana berupaya mengendalikan 2 buah kamera saya dengan baik, sehingga berjaya merakam aksi-aksi kenangan berkayuh disini. Terima kasih juga kepada rakan kayuhan yang lain Saudara Hidzir dan Saudari Mimi kerana mentadbir suasana silaturahim dalam keadaan yang menyenangkan hati rakan-rakan. Terima kasih semua rakan-rakan atas sikap tolak ansur dan beralah antara satu sama lain sepanjang kayuhan.


Shukur dan terima kasih kepada "Ehem ehem " kerana secara tidak sengaja telah memberi kelapangan masa menyeronokan diri sendiri. Merasa puas menikmati azab sengsara semasa menghabiskan kayuhan 20 kilometer di The Motorhead Route dengan sekali gus. Mana-mana yang baik jadikan tauladan ..dan mana-mana yang tidak baik atau tidak sesuai jadikan sempadan. Wasalam.

















































































No comments:

Post a Comment