Thursday 18 October 2018

Serangga Pemakan Daging~Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp

Serangga Pemakan Daging Bangkai.

Pemerhatian Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp Memakan Bangkai Daging Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.




Pendahuluan

Tebuan dan Penyegat adalah dari kalangan Hymentoptera~Vespinea serangga bersayap yang mempunyai bisa . Serangga bersayap ini sangat mudah berang walaupun dengan sedikit gangguan yang datang daripada haiwan atau manusia. Ia akan bertindak terbang menyerang dengan  sungguh agrasif  mengerumuni musuhnya secara berkumpulan. Menggigit pada semua bahagian permukaan anggota badan dan meninggalkan bisa racun yang teramat bisa. Jikalau mangsa mendapat gigitan sengatan dalam jumlah yang banyak, pada kebiasaannya  akan mengakibatkan kematian. Membuat sarang samada diatas dahan pokok yang tinggi , diatas tanah atau ditepi dinding bangunan. Sarang dibina dari bahan tanah-tanih. Daripada 23 spesies Hymentoptera~Vespinea yang ada didunia 7 spesies Tebuan  berada di dalam negara Malaysia & 3 spesies Penyegat ( hanya ada di Malaysia ) . Maklumat serangga berbisa ini tidak banyak ditulis , maka tidak ramai yang mengetahui akan habitat, dan perangai kehidupannya. Hinggakan tidak semua spesies Tebuan ini mempunyai "Common Name" apatah lagi nama dalam bahasa Melayu bahasa Kebangsaan.



Memandangkan di Malaysia masih belum ada nama Tebuan ( Wasp ) & Penyegat ( Hornet ) dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada setiap 10 spesies famili Hymentoptera~Vespinea, maka saya mengambil inisiatif sendiri untuk mencadangkan nama-nama tersebut untuk memudahkan rujukan. Saya berharap selepas ini pakar Entomologist tempatan akan memberi cabaran positif secara ilmiah akan kesesuaian cadangan nama tersebut. Atau terus mengguna pakai nama-nama yang telah dicadangkan ini. 





Secara amnya  serangga bersayap berbisa Vespinae , terbahagi kepada famili Penyegat ~ Provespa dan TebuanVespa. Di Malaysia, gabungan Famili ini terdiri dari  10 spesies , 3 spesies Penyegat ~ Provespa dan 7 spesies  Tebuan ~ Vespa. Bermakna  10 spesies Vespinae dalam dunia boleh dijumpai di  Malaysia  daripada jumlah 23 spesies  Tebuan didunia. (Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae) of Malaysia~Stephen.J Martin). 

Penyegat~Provespa~Hornet

1.Penyegat Anomala ~ Provespa anomala
2.Penyegat Barthelemyi ~ Provespa barthelemyi 
3.Penyegat Malam Provespa nocturna

Tebuan~Vespa~Wasp

1.Tebuan Rimau ~ Vespa affinis ~ Tiger Wasp
2.Tebuan Analis ~ Vespa analis ~ Analis Wasp
3.Tebuan Bellicosa ~ Vespa bellicosa ~ Bellicosa Wasp
4.Tebuan Morsaryana ~ Vespa morsaryana ~ Morsaryana Wasp
5.Tebuan Multimaculata ~ Vespa multimaculata ~ Multimaculata Wasp
6.Tebuan Tropika ~ Vespa tropica ~ Tropica Wasp
7.Tebuan Emas ~ Vespa velutina ~ Golden Wasp




Di Malaysia taburan spesies Tebuan~Vespa ini terbahagi kepada 2 kawasan, iaitu kawasan Tanah Rendah dan kawasan Tanah Tinggi. Berikut adalah spesies Tebuan spesies kawasan Tanah Rendah (Lowland Spesies); Tebuan Rimau Vespa affinis Tiger Wasp,  Tebuan Tropika Vespa tropica Tropica Wasp, Tebuan Morsaryana Vespa morsaryana ~ Morsaryana Wasp Tebuan Multimaculata Vespa multimaculata Multimaculata Wasp ( Semenanjung Malaysia) dan Tebuan AnalisVespa analis analis ~ Analis Wasp.


Tebuan Spesies kawasan Tanah Tinggi(Highland Spesies) ~ Tebuan Analis Hitam Vespa analis nigran ~ Analis Wasp, Tebuan Multimaculata Vespa multimaculata ( Borneo ), Tebuan Emas Vespa velutina ~ Golden Wasp.  (Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae)of Malaysia~Stephen.J Martin). 




Pemerhatian Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp Memakan Bangkai Daging Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.


Saya telah menjumpai seekor bangkai Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard yang telah mati diatas sebatang jalan di Ulu Kali,  Selangor pada 14 Oktober 2018. Ulu Kali adalah sebuah kawasan Hutan Upper Montane Forest dan Elfin Forest  pada ketinggian (5814 ft (1800 meter ) dari paras laut. Pada bangkai itu terdapat 5 ekor Tebuan Emas~Vespa velutina~Golden Wasp dan 2 ekor Lalat. Melihat tabiat kelakuan spesies lalat yang sedang menghurungi bangkai adalah suatu pekara kebiasaan kepada semua orang. Tetapi kejadian spesies Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp mengerumi bangkai adalah satu pekara yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Kita sedia maklum, pada kebiasaan diet makanan spesies Tebuan~Vespa adalah dari berbagai jenis jus tanaman , nektar tumbuhan dan serangga. ( seperti Rama-rama atau Labah-labah). Pemerhatian kejadian ini telah menimbulkan tarikan untuk saya melihat serta mengetahui secara lebih dekat. Walaupun mengetahui akan menimbulkan ancaman bahaya kepada diri. Namun kepentingan mengetahui dan melihat  secara teliti akan perincian tabiat perlakuan 5 ekor Tebuan ~Vespa itu menjadi keutamaan. 




Hasil permerhatian dalam jangkamasa lebih kurang 30 minit, adalah seperti berikut:~

Saya perhatikan 2 ekor lalat itu hanya menyedut cecair yang terhasil dari daging bangkai tersebut. Sesekali lalat-lalat itu terbang beralih tempat kerana ditolak oleh Tebuan-tebuan , yang jauh lebih besar daripadanya. Manakala 5 ekor Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp sedang memakan daging bangkai secara lahap. Ia mengetip menggigit dan menyiat bangkai daging, dengan menggunakan set cengkerang taring tajam ( Bukan Dari Jenis Gigi) pada rahang mulut Tebuan. Set cengkerang  taring itu terletak pada bahagian hadapan mulut, ia berbentuk serupa pada bahagian kiri dan kanan mulut. Bentuknya melengkung seperti mata kerambit yang hujungnya runcing tajam. Kedua hujung runcing tajam itu akan bertemu ketika Tebuan itu mengetip membenamkan cengkerang taring ke dalam daging. Kemudian diikuti dengan hal perbuatan menyiat menarik isi daging. Perilaku seperti itu dilakukan dengan leka secara  cepat dan pantas . Kumpulan yang terdiri dari 5 ekor Tebuan itu ralit menggigit dan menyiat daging sehingga menampakkan tulang Sesumpah Tanpa Telinga~Aphaniotis fusca (Peters,1864) Earless Lizard.




Ada suatu ketika, saya melihat   seekor Tebuan   mengangkat dan menterbalikkan 2 batang tulang lengan Sesumpah dengan menggunakan rahang cengkerang. Ia menterbalikkan tulang kerana untuk  menghabiskan sisa daging yang masih tertinggal pada tulang tangan Sesumpah. Pemerhatian ini  memberi bukti yang kukuh dan sah tentang kekuatan ketipan/gigitan. Rahang Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp itu memang cukup kuat dan merbahaya. Berupaya  menyiat permukaan kulit manusia atau haiwan sebelum meninggalkan racun berbisa. 





Perilaku kumpulan Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp sedang memakan daging bangkai adalah tidak sama dengan haiwan pemakan daging yang lain. Tidak sama sepertimana Burung Hereng ~ Aegypiinae ~ Vulture dan Dubuk ~ Hyaenidae ~ Hyena yang lebih suka berebut-rebut, kelihatan tamak dan suka berkelahi. Manakala Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp dilihat lebih bermaufakat dan bekerja sama antara setiap individu. Setiap individu tebuan seolah-olah  telah dibahagi-bahagikan kawasan habuan masing-masing. Walaupun kelihatan lahap memakan daging bangkai tetapi mereka tidak berebut-rebut antara satu dengan yang lain. Dalam tempoh 30 minit, saya mendapati hanya tinggal  40 peratus daging pada anggota badan yang masih ada pada bangkai Sesumpah itu. Selebihnya hanya tinggal tulang belulang yang licin tanpa secebis isi. Setelah lebih kurang 30 minit, satu persatu Tebuan itu terbang meninggalkan bangkai Sesumpah.




Rumusan.

1. Berdasarkan pemerhatian ini saya mendapati Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp mempunyai deria bau yang tajam berupaya mengesan bangkai yang tidak mengeluarkan bau busuk dikawasan berhawa sejuk. 

2. Sepertimana kita sedia maklum dikawasan Hutan Upper Montane Forest dan Elfin Forest adalah 
kawasan sejuk dimana bangkai akan sentiasa segar dan proses nyah secara semulajadi tidak berlaku lantaran ketiadaan ulat untuk memakan daging. Dari hasil pemerhatian ini, maka  spesies Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp telah menjadi salah satu hidupan yang menjalankan tugas sepertimana ulat-ulat yang memakan bangkai dikawasan tanah rendah yang berhawa sederhana panas.




3. Disebabkan  Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp menjadikan dietnya dari jenis  bangkai daging, ini memberi isyarat bahawa spesies ini mungkin mempunyai sistem penawar virus imunenya sendiri. Pada  waktu yang sama juga, tidak menolak  kemungkinan spesies ini berupaya menyebarkan wabak penyakit andaikata ia menyegat haiwan atau manusia.

4. Maklumat ilmu pelajaran Sains Am didalam buku sekolah hendaklah ditambah bagi menyatakan  terdapat sejenis spesies serangga pemakan daging bangkai iaitu Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp. Ia tergolong bersama-sama dengan haiwan pemakan daging bangkai selain Burung Hereng ~ Aegypiinae ~ Vulture dan Dubuk ~ Hyaenidae ~ Hyena.





5. Kita telah ketinggalan jauh kebelakang dengan negara-negara maju kerana tidak tahu menggunakan hasil kajian hidupan semulajadi dinegara kita untuk menghasilkan laba faedah. Negara Amerika dan Italy telah mendahului kita mengkaji spesies Tebuan. Sejak 50 tahun dulu mereka telah mendapatkan faedah daripada hasil kajiannya terhadap Tebuan. 

Contoh:-

i. McDonnell Douglas dengan FA 18 Hornet (Jet Pejuang Tebuan ATM)  dan Piaggio telah merekabentuk motosikal Scooter dengan mengambil  ilham dari bentuk anggota tubuh badan spesies Tebuan~Vespa dengan mengeluarkan motosikal Scooter model Vespa.

ii. Syarikat BioBee dari Israel telah mendapat faedah daripada hasil kajian terhadap spesies Tebuan. Hasil kajian mereka itu telah menjadikan Tebuan sebagai pelindung tanaman dari serangan serangga perosak tanaman tanpa menggunakan racun serangga perosak. Syarikat BioBee Israel mendapat keuntungan USD 24 juta dari hasil penjualan spesies Tebuan kepada negara Afrika Selatan untuk melindungi kawasan tanaman pertanian dari serangga perosak . (Israel Science Info~Israel's ~ BioBee will Ship 160 million Predatory Wasps To South Africa )






6. Pemerhatian kelakuan Tebuan Emas~Vespa velutina (Lepeletier 1836) Golden Wasp secara tidak sengaja di Ulu Kali Selangor secara tidak langsung telah mengenalkan saya kepada nama-nama pakar Entomologist seperti Matsuura & Yamane, Stephen.J Martin , Qamar Banu,  K.M Nurul Huda dan  Prof.Yong Hoi-sen. Wasalam.



Rujukan:-

Federation Museum Journal 1981~The Summit Flora of Ulu Kali~Benjamin Stone
Malayan Nature Jurnal 1995~Hornet (Hymenoptera:Vispinae)of Malaysia ~ Stephen.J Martin
Beit.Ent.Berlin (39) 1989) Nest Construction of a Malayan Vespa tropica ~ Qamar Banu & K.M Nurul Huda.

Friday 12 October 2018

Si-Comel Yang Ganas - Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl


Si-Comel Yang Ganas
Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl



Sebelum ini saya hanya menjumpai bangkai spesies Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl sahaja. Untuk bertemukan dengan burung yang hidup cukup-cukuplah susah, kerana sifat semualajadinya yang suka menyendiri dan menyembunyikan dirinya. Apa tidaknya, pada waktu siang ia sentiasa berada ditempat yang gelap dibawah rimbunan tumbuhan yang menyerupai sama dengan warna dan corak buluhiasnya. 



Lagikan waktu siang sangat sukar untuk bertemu, inikan pula pada waktu malam. Pada waktu malam  kehadirannya cuma dapat diketahui kalau kita mengenal akan suara panggilan bunyinya, itupun kalau ia berbunyi. Jikalau tidak, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat melihat akan bentuk batang tubuhnya.    



Spesies Burung Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl merupakan spesies burung yang aktif pada waktu malam sama seperti spesies Burung Tukang dan Burung Cucur. Bezanya  Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl adalah sejenis burung pemangsa. Ia memburu haiwan-haiwan kecil, Burung, Cicak dan juga Serangga , Ia mempunyai bentuk  tubuh badan yang bersaiz sederhana kecil, lebih kurang sama saiz dengan Burung Pekaka Leher-putih~Halcyon smyrnensis.  




Berdasarkan pengamatan peribadi, jolokan yang sesuai untuk burung pemangsa ini ialah " Si Comel Yang Ganas. Kalau kita perhatikan raut wajah pada bahagian mukanya saja memang sungguh comel. Jatuh hati dan datang perasaan untuk memeliharanya sebagai haiwan belaan. Dengan sepasang biji mata bulat yang sentiasa terbuntang, buluhias dibahagian kening yang boleh dinaik-turun menjadi seperti bentuk tanduk. 



Paruh bercangkuk yang ditutupi oleh bulu hias burung telah menyembunyikan imej Garang dan Ganas yang dapat dilihat pada Burung Helang. Namun sepasang kuku keras yang tajam tersembul dihujung jari kaki seperti mata kerambit tidak dapat menyembunyikan sifat ganasnya.








Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Nature Guide berpengalaman iaitu Saudara Hisyam Sungai Cincin kerana telah menemukan saya dengan spesies burung Jampuk Kalung~Otus bakkamoena ~ Collared Scops Owl, yang saya gelarkan "Si Comel yang Ganas". Wasalam.

Monday 8 October 2018

Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile



Pemerhatian Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile Sungai Klang, Selangor.




Pada zaman sekarang bukannya mudah untuk melihat  Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar di habitatnya. Kita sedia maklum, hidupan liar dwi-alam yang dikenali umum, sebagai haiwan garang dan ganas. Ia berupaya menyerang, menggulung , melibas dan membaham mangsanya jika ia diganggu atau diberi peluang. Biasa juga kita mendengar laporan berita tentang manusia diserang dan dibaham  oleh Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile di sungai Negeri Sarawak.





Tetapi di sebelah Semenanjung Malaysia, laporan haiwan ini menyerang manusia amatlah jarang berlaku. Ini disebabkan sungai-sungai di bahagian Semenanjung bukan lagi menjadi  laluan perhubungan dan penggangkutan utama.Walaupun begitu, ini tidak bermakna haiwan liar ini tidak berkemampuan menyerang manusia jikalau manusia sendiri memberi peluang  kepadanya dan mendedahkan keselamatan dirinya di habitatnya. Haiwan liar ini dilindungi sepenuhnya oleh Akta Perlindungan Hidupan Liar, yang membawa hukuman dan denda yang tinggi. Jikalau ditangkap dan didapati bersalah mencederakannya, apatah lagi membunuhnya tanpa sebab. 



Sepanjang umur saya ini adalah kali pertama diberi peluang melihat Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar.  Sejak dahulu, ketika melakukan aktiviti memancing ikan di seluruh Semenanjung Malaysia saya berkeinginan sangat untuk melihatnya. Tidak disangka-sangka baru sekarang pada usia 50an akhirnya  diberi peluang. Memang kalau sudah ada jodoh untuk bertemu, pertemuan itu hanya di Sungai Klang, Selangor sahaja.



Ketika bertemu Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile itu sedang sibuk mengejar ikan Patin~Pangasianadon hypophthalmus. Memandangkan pada waktu itu air sungai sedang surut, saya anggarkan pada paras kedalaman cuma 1 kaki sahaja. Ikan ini bergerak dalam satu kumpulan, maka agak mudahlah Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile itu membuat tangkapan. Akibat diserang, ikan itu melompat kepermukaan air untuk menyelamatkan diri. Mana-mana yang tidak berkesempatan akan dibaham oleh buaya tersebut. 



Terdapat banyak ikan Patin~Pangasianadon hypophthalmus bersaiz besar dan Ikan Keli Afrika~Clarias gariepinus di Sungai Klang. Saya fikir inilah sumber diet utama Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile yang ada disini.  Buaya disini tidak makan bangkai-bangkai ayam atau bangkai haiwan ternakan yang lain. Ia hanya memilih makanan dari sumber diet yang segar sahaja. Memandangkan banyak sumber makanan saya tidak menolak bilangan Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile disini dalam jumlah yang banyak. Walaupun, mungkin tidak sebanyak Biawak Air~Varanus salvator.



Sungguhpun saya dapat buat pemerhatian, namun pemerhatian saya itu terbatas. Saya tidak berpeluang melihat keseluruhan anggota badan spesies Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile. Cuma melihat 30 peratus daripada anggota bahagian atas belakang badan dan ekornya sahaja. Selebihnya tenggelam ditutupi oleh air sungai Klang.  Berdasarkan saiz yang dilihat dianggarkan pada lebar bahagian perutnya, dekat 2 kaki. Panjangnya pula lebih kurang antara 15 ~ 16 kaki panjang.



Dari atas tebing, kelihatan air sungai menyembur-yembur hasil serang Buaya terhadap ikan-ikan. Setelah kenyang secara perlahan-lahan ia menyelam kedalam sungai yang sudah mulai pasang sedikit demi sedikit. Setengah jam kemudian kelihatan ia menimbulkan dirinya sambil berenang ke arah hulu sungai. Ia berenang dengan mengikut arus , kelihatan ekornya dibuai-buaikan kearah kiri dan kanan. Memandangkan saya masih belum melihat keseluruhan bentuk tubuh badannya, saya mengejar mengekorinya dan menunggu diatas tebing. Mengharapkan ia akan bersidai diatas tebing landai ditepi sungai.


Cita-cita ingin melihat Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar. Imej ini dirakam di Paya Indah Selangor.

Keputusan mengekori buaya itu membuahkan hasil, dimana saya dapat membuat pemerhatian  pada jarak yang lebih dekat serta jelas. Kelihatan keseluruhan warna asal badannya berwarna Tembaga telah disalut dengan tempelan kulat-kulat hijau. Disetengah bahagian badannya kelihatan tempelan  sisa lumpur warna kehitaman. Ketika ia berenang kelihatan matanya terbuntang berwarna jernih keemasan. Warna keemasan mengelilingi biji mata hitam, berbentuk buah Kana. Agakan saya tidak begitu tepat apabila sampai disatu kelok sungai ia pun menenggelamkan dirinya. Hilang dari pandangan mata. Mendegilkan diri  menunggu disitu untuk satu jangka agak lama, namun buaya itu tidak timbul lagi.


Papan Tanda Peringatan diatas tebing disebatang Sungai di Negeri Sarawak.

Cadangan saya, ada baiknya Majlis Perbandaran Klang, Dewan Bandaraya Shah Alam , Jabatan Saliran Dan Pengairan atau Jabatan Perhilitan memasang papan-papan tanda supaya memberi amaran kepada penduduk.  Supaya masyarakat lebih berwaspada akan kehadiran Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile disitu. Maka masyarakat yang  melakukan aktiviti didalam sungai atau ditebing-tebing sungai akan lebih berwaspada.




Dalam pada itu kita tidak boleh menolak kemungkinan Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile akan terlepas berenang  ke kawasan pertanian atau penempatan awam ketika air banjir  melimpah. 

Papantanda Awas dan Amaran ini bukan bermakna Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile akan ditafsirkan ia sebagai musuh kepada manusia. Tetapi sebagai makluman kepada manusia supaya tahu menghormati sempadan dirinya. Bukan untuk ia diburu ditangkap dan dibunuh. Harapan saya biarlah Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile di sepanjang Sungai Klang ini bertambah banyak jumlahnya. Agar ia  bersaiz besar dalam keadaan mereka semua gembira menyembunyikan dirinya sepertimana sekarang. Keadaan ini akan menjana kegiatan menuntut ilmu dalam bidang kajian hidupan liar juga dalam bidang eco-tourism. Wasalam.