Thursday 28 May 2020

Diari Kembara Silaturahim Bermotosikal Ke Bengkulu Via Palembang




Diari Kembara Silaturahim Bermotosikal Ke Bengkulu via Palembang, Republik Indonesia




Perancangan awalnya, saya dan isteri bercadang ingin kembara di Sumatera Selatan (SumSel) tetapi kerana kesukaran untuk mendapatkan khidmat sewa motosikal, kami menukar hala ke negeri Bengkulu. Maklumat diterima dari kebanyakan pemilik syarikat sewa motor, di kawasan luar Kota Palembang adalah merbahaya kerana banyak ancaman perompak dalam perjalanan.

Berikut dengan permasalahan itu, kami hanya akan transit sehari di Palembang dan terbang ke Bengkulu keesokan harinya. Kenalan kami di Maninjau, Sumatera Barat, Saudara Bodie Wijaya mencadangkan kami mengembara ke daerah Bengkulu kerana kawasan hutan semulajadi di situ masih luas dan tidak terusik lagi.



Pada kali ini pengembaraan  ke Bengkulu telah menjadi kenyataan selang 7 bulan sejak pulang dari pengembaraan ke  Sumatera Barat https://reddoortohunt.blogspot.com/2018/05/kembara-silaturahim-bermotosikal-ke.html. Melalui carian google, memang masih terlihat hutan semulajadi dan bilangan lokasi air terjun yang tak terkira banyaknya. Namun begitu, hati telah bersedia untuk "not to expect too much or you'll will left regret. You got some you lose some".


Hari Pertama
3 Dis 2018 Isnin

Wilayah Palembang pandangan dari angkasa.

Wilayah Palembang pandangan dari angkasa.

Penerbangan Air Asia ke Palembang jam 6.55 pagi berlepas mengikut jadual. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja. Dalam tempoh itu dengan keadaan duduk di atas kerusi pesawat Air Asia selama 1 jam 30 minit tentu akan membosankan. Daripada keras termenong lebih baik menjengok  pada cermin tingkap, dapat juga melihat  bentuk mukabumi dari sudut diatas. Disepanjangan penerbangan itu menjengok sahaja ke bawah, langsung tidak terasa bosan. 


Bandar Palembang pandangan dari angkasa.

Kelihatan permandangan bentuk mukabumi  dari sudut atas yang lebih luas,  hanya sekali sekala dapat dinikmati. Mukabuminya hijau bergunung ganang dengan berlengkang lengkok bentuk alur sungai. Seluas lautan awan putih yang berombak-ombak serta berkepul-kepul melindungi sebahagian mukabuminya. Sejak dari zaman budak-budak dulu pernah terfikir,  seluas-luas awan yang terapung diudara seumpama lautan awan itu,  "Tidak kah boleh ikan  boleh hidup di dalam kepulan awan yang juga berasaskan air ? Agaknya pertanyaan seperti itu datangnya dari orang yang kurang cerdik  atau dari budak yang belum cukup baligh.


Bandar Palembang pandangan dari angkasa.

Ketika Pilot memaklumkan pesawat akan mendarat tidak lama lagi, saya menjengok lagi ke bawah dan pada ketika itu barulah dapat saksikan  bentuk kotak-kotak bangunan padat berselerak yang tidak tersusun. Saya menjangkakan itulah dia Kota Palembang yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang ramai. Sejurus pesawat mendarat, setiap pelawat menjalani pemeriksaan bagasi dan tapisan seluruh tubuh badan . Tali pinggang bukle, dompet , jam dan kasut boot harus ditanggalkan bagi melepasi halangan  imigrasen dan kastam.


Bandar Palembang pandangan dari angkasa.

Bandar Palembang pandangan dari angkasa.


Bersama Bapak Ubay dan Ibu Lena dari Mangcek Rental untuk urusan sewa sepeda motor

Kembara silaturahim di wilayah Republik Indonesia berjalan mudah kerana telah beberapa kali menjalani  pengalaman yang lebih kurang sama. Ketika keluar sahaja dari muka pintu ketibaan, samada kita suka atau tidak kena berlapang dada, sambil menhadiahkan senyuman kepada orang-orang yang menawarkan berbagai macam khidmat. Khidmat-khidmat yang kita memang tidak memerlukan kerana telah ada perancangan sendiri. Menunggu buat seketika sehingga Bapak Ubey datang dengan motosikal sewa sepertimana dalam perjanjian. 


Persediaan Lesen Memandu Antarabangsa sebagai menghormati undang-undang negara yang dikunjungi selain menghindar gangguan daripada pihak penguatkuasa.

Tidak sampai 15 minit  menunggu Bapak Ubey  datang bersama isterinya Ibu Lena, membawa motosikal yang bakal disewakan. Motosikal yang dibawa itu dalam keadaan kotor dan berlumpur kerana ia baru sahaja digunakan oleh penyewa lain. Saya mencadangkan supaya motosikal itu dibasuh terlebih dahulu kerana ia memberi keadilan kepada kedua belah pihak. Manalah tahu, kalau-kalau ada kesan  tercalar  pada badan motosikal atau pun terkemek. Sementara menunggu motosikal dibasuh, kita bersarapan pagi, dalam pada itu juga kami ambil kesempatan selesaikan semua urusan pembayaran penyewaan motosikal dengan Bapak Ubey .


Bersih dan berkilat

Setelah dibasuh motosikal itu kelihatan nampak baharu dan bersih, Bapak Ubey memberi jaminan bahawa motosikalnya itu berada didalam keadaan yang baik.  Kembara  dimulakan dengan mencari stesen minyak untuk memenuhkan tangki. Kemudian terus mencari tempat untuk memburung sepertimana yang dibaca dalam carian di internet. Ternyata di sekitar Bandar Palembang sudah tidak ada banyak kawasan kehijauan hutan semulajadi,yang masih dikekalkan.


Suasana susun atur didalam Kedai Pal 7 nampak menarik dan memberi selesa kepada pengunjung. Menjamu masakan yang enak dan mendapat layanan mesra daripada kakitangan Kedai Pal 7.

Cuma berbaki dengan sedikit kawasan tumbuhan pokok-pokok hijau di Taman Wisata Alam Punti Kayu sahaja. Kawasan ini  memang tidak sesuai untuk  memburung spesis burung-burung  hutan kerana ia bukanlah satu kawasan hutan semulajadi. Ia hanyalah sebuah kawasan rekarasi untuk orang ramai yang tidak mempunyai pilihan. Orang-orang tempatan yang  terpaksa datang berehat dan melakukan aktiviti sukan out door disitu .

Lauk yang simple tapi menyelerakan di Kedai Pal 7

Disitu dibina replika-replika bentuk haiwan yang diperbuat daripada bancuhan simen kemudian diwarnakan. Kepada pengunjung yang ingin melihat dan menonton  replika-replika tersebut  harus pula membayar yuran dengan harga bayaran tertentu. Memandangkan kita sudah datang dari jauh kemudian tidak ada tempat lain yang hendak dituju, maka hendak tidak hendak terpaksa layankan sahaja.


Menikmati baki alam hijau di Wisata Alam Punti Kayu

Dari luar muka pintu taman,  ketika hendak membayar yuran masuk, didalam hati sudah terasa tempat seperti ini bukan tempat mencari burung-burung hutan . Tiket masuk sudah pun dibayar pada harga yang lebih mahal daripada apa yang dibayar oleh warga tempatan. Memandangkan kawasan taman itu luas, memang pihak pengurusan taman membenarkan kenderaan  dibawa masuk. Semasa menunggang sambil berpusing  datang seekor burung dari spesies merbah yang tidak pernah saya lihat di Malaysia. Kebetulan pada ketika itu dia bertenggek pada  sepohon pokok yang sedang berbuah lebat dan ranum. Setelah membuat semakan, rupa-rupanya saya telah bertemu dengan spesis Merbah yang tidak boleh dijumpai dimana-mana di Semenanjung Malaysia. Spesis merbah itu dikenali dengan nama Ruby Throated Bulbul-Pycnonotus dispar .


Ruby Throated Bulbul-Pycnonotus dispar

Spesies merbah ini lah  membawa sedikit kegembiraan yang boleh dibuat kenangan. Ia datang berulang-ulang kali memakan buah-buahan masak diatas pokok.Selepas burung Ruby Throated Bulbul-Pycnonotus dispar langsung tidak datang kesitu lagi. Apa yang ada cuma Merbah punggung kuning-Pycnonotus goiavier, Merbah Sayap hijau zaiton-Pycnonotus goiavier, Sambar Coklat-Asia Muscicapa dauurica dan Ciak dahan-Passer montanus. Oleh kerana tidak mahu membuang masa melanggut secara tak pasal-pasal, difikirkan  eloklah  keluar dari situ . Disebelah taman itu ada sederet bangunan yang menempatkan beberapa buah restauran. Setelah melihat keadaan sekitar restauran kita membuat keputusan untuk makan  tengahari di salah sebuah restauran disitu.


Ruby Throated Bulbul-Pycnonotus dispar


Hidangan makanan cukup enak sehingga saya terpaksa membuat tambahan beberapa piring ayam kampong goreng. Habis makan kita menuju hala ke bandar Palembang untuk melihat suasana dan keadaan sebenar kotaraya. Saya seperti tidak percaya kepada bukti yang pernah ditonton didalam Youtube tentang keadaan sebenar kota Palembang. Namun untuk mengada-ngada merasai pengalaman menunggang dikota itu, saya masih tetap juga mahu menempuh dan melihat keadaan sebenar Kota Palembang itu. 


Ruby Throated Bulbul-Pycnonotus dispar

Nah! sekarang rasakan , keadaan kesesakan luar biasa kepada mana-mana orang luar yang berkunjung kesitu. Dari sekecil-kecil jenis kenderaan sampailah sebesar-besar kenderaan dalam keadaan berhimpit-himpit berselisih antara satu sama lain.Di Kota Palembang memang  sesak dan sibuk dengan pelbagai jenis aktiviti meneruskan kehidupan. Entah macamana, dan apa ilmu yang mereka pakai, sehingga telah terbiasa dengan keadaan kesesakan seperti ini.

Asian Brown Flycatcher-Muscicapa dauurica

Mulanya pergi melihat Stadium Bolasepak Bumi Sriwijaya, yang sebelum ini saya hanya lihat didalam Youtube sahaja. Stadium itu yang dilihat dari luar , tidak begitu besar lebih kurang Stadium Jugra di Banting sahaja. Namun begitu keadaan akan menjadi berbeza apabila Stadium itu dipenuhi oleh penyokong fanatik tempatan. Suasana luar biasa itu mungkin memberi kegerunan dalam minda kepada mana-mana pasukan lawan yang berkunjung bertanding disitu. 


Stadium Bolasepak Bumi Sriwijaya


Kedudukan pembinaan Stadium dengan kedudukan letak tempat Masjid memang dirancang berdekatan, cuma 100 meter sahaja. Perancangan seperti ini memang memberi kemudahan kepada para atlet ,ahli sukan dan penyokong menunaikan tanggung jawab mereka tanpa bersusah payah.





Kita menunggang hanya mengikut kehendak hati, mengikut sahaja hala jalanraya. Menunggang melepasi  jambatan panjang yang tidak diketahui namanya hingga menyeberang sungai. Kemudian masuk ke kawasan pusat perniagaan yang padat dan sibuk dengan pelbagai jenis perniagaan. Keadaan yang tidak tersusun , sampah sarap berselerak diatas jalan. Disana kita melihat keadaan sebenar suasana harian masyarakat setempat menjalani aktiviti mereka dengan tekun. 



Bangunan Pasar bersebelahan dengan Sungai Musi, Palembang
Kanak-kanak belum baligh sedang bersuka ria bermain lompat-lompat terjun kedalam sungai yang tahap airnya mencurigakan.




Memang dikawasan pasar masyarakat disini sama sahaja dengan masyarakat ditanahair sendiri yang tidak pandai langsung mengambil berat tentang kebersihan. Sampah sarap bersepah sepah dimerata tempat samada diatas tanah mahupun di dalam saliran. Kita ini nama sahaja dari kalangan masyarakat umat Islam tetapi tidak langsung mengambil berat keatas kebersihan tempat sekitar dan tempat tinggal. Itulah budaya yang sesuai dan selayaknya untuk kita, agaknya.


Deretan Bot pelancong yang dihias dengan seni lukisan dan diwarnakan dengan menarik


Perkhidmatan LRT di Kota Palembang

Aktiviti perdagangnan sedang berlangsung






Setelah berpusing disekitar pasar, terlihat sebuah Rumah Ibadat  dari kalangan masyarakat Tionghua yang terletak ditengah-tengah komuniti masyarakat tempatan Palembang. Melihatkan keadaan begitu telah menimbulkan perhatian tarikan dihati untuk melihat tempat tersebut. Pada hemat saya ini menarik dari sudut toleransi sesama manusia berlainan agama. Rumah Ibadat itu merupakan tempat ibadat masyarakat Tionghua tertua di Pulau Sumatera. Sebab itu ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua di seluruh Republik Indonesia datang menziarah ke tempat ini sebagai memenuhi permohonan hajat atau bernazar disitu.


Sesi Fotografi Di Kawasan Perkarangan Rumah Ibadat Tiong Hua , Palembang.


Satu-satunya rumah ibadah dari masyarakat keturunan Tiong Hua di Kota Palembang.

Kawasan halaman sekelilingrumah ibadah  yang dijaga bersih









Selesai lawatan ke rumah ibadat itu kita mencuba pula makanan tradisional masyarakat Tionghua setempat, yang tidak pernah saya rasa. Restauran  itu kemas dan bersih, menu makanan yang disediakan itu terlindung oleh kain bidai jarang mengelak daripada debu atau lalat. Kalau tidak silap jenis makanan itu dipanggil Model dan Pempek.


Menikmati menu tempatan, Model dan Pempek



Cara unik membawa buah durian dengan motosikal




Diam tidak diam, telah mulai ke waktu petang, mungkin kita akan menghadapi sedikit masalah untuk pulang ke tempat penginapan, sekiranya tidak bergerak sekarang. Kerana kita belum begitu  mengenal pasti   susur jalanraya  dan tidak biasa dikawasan ini. Perjalanan pulang terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas kerana diwaktu itu penduduk disini pulang daripada bekerja. Perjalanan bersesak-sesak itu bergerak sedikit demi sedikit tanpa menghadapi keadaan cemas. 


Cukup sesuai  untuk  berehat walaupun kelihatan kecil


Keutamaan kebersihan bilik air dan tandas sangat luas


Hari Kedua
4 Dis 2018 Selasa.


Bangun jam 2:30 a.m kerana jadual penerbangan ke daerah Bangkulu pada jam 6:00 a.m. Telah berjanji dengan pengusaha motorsikal akan bertemu pada jam 4:00 a.m. Kita   memulangkan motosikal sewaan itu buat sementara waktu, sepanjang tempoh berada di Bengkulu. Sebelum waktu subuh telah pun siap berkemas dan terus menunggang menuju ke Lapangan Terbang. Sesampai sahaja sipolan belum tiba lagi dan suasana di Lapangan Terbang masih lenggang dan sunyi.


Suasana lapangan terbang Palembang yang lengang senyap dan sunyi.


Setelah menunggu agak lama timbul khuatiran, siapakah nanti yang akan menerima kunci,  tidak ada siapa disitu. Lalu  menghubungi beliau, jawapan mereka ialah " on the way" . Walaupun sudah agak lama  menunggu masih tetap belum tiba juga.  Memandangkan kita belum check in lagi, maka perasaan cemas mulai mengganggu minda. Akhirnya perasaan cemas yang tidak pasal-pasal menjadi lega, bila Bapak Ubey bersama anaknya sampai  pada jam 4:30 a.m.


Suasana lapangan terbang Palembang yang lengang senyap dan sunyi.

Secara tergocoh-gocoh  memulangkan kunci dan meletakkan motosikal ditepi Masjid berdekatan dengan Lapangan Terbang. Dengan segera meminta izin untuk beredar kerana khuatir akan terlepas penerbangan. Bergegas dengan membawa bag dan kamera, berjalan cepat-cepat terus beratur untuk proses check in. Lega setelah semua urusan di kaunter Imigesen  selesai awal pada jam 5:00 subuh. Kita tidak perlu terkejar-kejar ditempat yang asing, tanpa berlengah terus masuk ke dalam ruang berlepas dan duduk berehat disitu menunggu panggilan jadual penerbangan.

Suasana lapangan terbang Palembang yang lengang senyap dan sunyi.

Tepat sepertimana yang dirancangkan kerana masih ada tempoh masa untuk melakukan kewajiban tanpa tergesa-gesa. Menunggu lebih kurang 30 minit hingga menyampaikan pada jam 6:00 pagi namun keadaan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Sedangkan dalam jadual tiket penerbangan ialah pada jam 6:00 pagi. Keadaan begini menimbulkan perasaan tidak sedap hati, lalu membuat pertanyaan di kaunter. Jawapan yang  tidak disangka-sangka daripada pegawai bertugas memaklumkan jadual penerbangan telah berubah ke jam 8:30 pagi.

Suasana lapangan terbang Palembang yang lengang senyap dan sunyi.

Tegasnya makluman penundaan jadual telah dibuat melalui makluman internet semalam. Semua usaha tergolot-golot sehingga datang perasaan cemas, kekhuatiran akan ketinggalan kapal terbang hanya dapat penat menunggu . Tergesa-gesa pada awal subuh tadi dirasakan sia-sia dan memenatkan sahaja. Maka suka atau tidak kena menjalani proses menunggu sehingga  jam 8:30 am. Bila tiba jam 8:30 pagi pesawat ke Bengkulu masih belum mendarat lagi. Keadaan seperti ini meresahkan saya kerana sudah  menunggu sejak pukul 5:00 subuh. 



Bertanya lagi kepada pegawai bertugas, mereka mengesahkan jadual penerbangan ke Bengkulu telah dipinda lagi ke pukul 8:45 a.m. Merasa  kecewa secara berganda kerana kita tergolot-golot bersiap sedia pada awal pagi. Rupa-rupanya usaha itu seperti pembazir waktu sahaja . Bayangkan kita terpaksa menunggu lama hampir 4 jam tanpa bersarapan pagi. Agaknya perkara seperti ini adalah lumrah disini.


Suasana lapangan terbang Palembang yang lengang senyap dan sunyi.


Pada jam 8:45 pagi penumpang diarahkan beratur dan bersiap sedia untuk menaiki pesawat. Berjalan keluar dari pintu,  menuju  ke hangar lapangan terbang.  Dari jarak 50 meter saya ternampak lambang Singa Warna Oren di badan pesawat kapalterbang. Alamak.. Lion Air.. Kenapa tidak Air Asia atau Garuda. Senyum sinis sahaja dalam hati, isteri saya tidak tahu kenapa saya tersenyum-senyum begitu. Dalam hati dapat merasakan, setiap penumpang, mereka seperti terpaksa menaiki pesawat Lion Air yang kelihatan uzur itu, sama seperti Bas Len Seng. 


Menuju ke pesawat Lion Air....



Apa boleh buat, terpaksa lah naik juga, kerana sudah tidak ada persawat lain. Dalam hati merasa satu perasaan pelik entahkan perasaan jenaka atau pun perasaan gabra. Apa tidaknya pada bulan Oktober 2018 yang lepas, Pesawat dari Syarikat penerbangan yang sama Lion Air telah terhempas mengorbankan 189 penumpang. Lebih-lebih lagi sebentar tadi kita telah terpaksa tunggu lama  akan ketibaan pesawat yang hendak dinaiki. Entahkan kelewatan itu disebabkan enjin pesawat yang baru sahaja hendak diselenggara, atau baru sahaja diperbaiki kerosakannya.




Sebelum berlepas semua penumpang memberi tumpuan kepada  pramugari yang memberi penerangan tata cara menyelamatkan diri, andaikata berlaku kecemasan. Perkataan penggunaan bahasa Inggeris disebut dengan cepat,  dengan menggunakan sebutan loghat lidah Jawa. Entah apa yang disampaikan semua orang tidak faham. Sebagai tanda hormat, memerhatikan sahaja pergerakan tangan pramugari melakon tatacara keselamatan. Apabila enjin pesawat dihidupkan badan pesawat seperti menggeletar untuk buat permulaan.




Setelah bergerak perlahan-lahan , kemudian penghawa dingin dipasang  lama kelamaan enjin pesawat menjadi seperti biasa. Rata-rata setiap penumpang terkumat-kamit mulutnya berdoa akan keselamatan diri masing-masing sepanjang penerbangan ke daerah Bengkulu. Saya tidak menyangka didalam pesawat ini juga tersedia pamplet doa untuk dibaca oleh setiap penumpang dari berbagai anutan agama. Keadaan seperti ini mencolek hati dan menimbulkan suasana kelakar peribadi. Isteri saya melihat saya tersenyum sepanjang penerbangan.





Penerbangan diruang angkasa pulau Sumatera dari Palembang ke Bangkulu mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Pada ketika itu langit cerah berwarna biru dan awan putih berkepol-kepol menutupi permandangan kehijauan bumi Bengkulu. Penerbangan diudara lancar tidak menghadapi apa-apa halangan yang boleh memberi perasaan cemas.










Ketika tiba diruang angkasa Bengkulu pilot membuat selekoh separuh bulat melepasi ruang angkasa lautan Hindi. Kemudian Pilot merendah menurunkan pesawat sedikit demi sedikit sehingga  roda pesawat mencecah pada permukaan landasan  tanpa hentakkan mendebarkan. Ternyata pilot pesawat ini mempunyai kemahiran tinggi dan pengalaman mengenderani pesawat dengan begitu cekap.


Siri Permandangan Ruang Angkasa Palembang Ke Bengkulu


















Menjejakkan kaki di bumi Bengkulu

Angan-angan yang sedikit mencurigakan itu hanyalah sekadar permainan dan gurauan minda, ia menjelma hasil terlalu lama menunggu. Barangkali ia terhasil daripada bacaan peristiwa malang dalam akhbar yang beberapa kali telah berlaku kepada pesawat dari syarikat penerbangan Lion Air. Setelah roda pesawat bergolek lancar dilandasan menuju ke ruang hanger , barulah kelihatan wajah penumpang nampak lega dan cerianya terpancar. 





Masing-masing bergegas mengambil bagasi mereka untuk turun dengan seberapa segera. Beban terlalu lama menunggu telah selesai, kini sudah berada di lapangan terbang Bandara Fatmawati Soekarno. Seterusnya ingin menunaikan perjanjian bertemu dengan pengusaha penyewaan motosikal. Urusan itu sangat mudah kerana hanya kami berdua sahaja pelawat dari Malaysia  datang mengembara yang memerlukan perkhidmatan penyewaan motosikal di Bengkulu. 


Cuaca pagi cerah awan putih berkepul , langit membiru.

Bersarapan di warung di Lapangan Terbang Bengkulu.



Bertemu wakil pengusaha, bersilaturahim melunaskan segala dokumen serta membuat pembayaran penyewaan motosikal. Bersarapan pagi diwarong sambil membuat pertanyaan arah tuju hala yang hendak dituju . Perancangan dalam peta yang disediakan oleh Isteri , kita ingin menuju ke pekan Curup di Kabupaten Kepahiang. Setelah memeriksa keadaan motosikal yang diberi sewa dan mendapat jaminan lisan , motosikal itu berkeadaan baik. Sebelum perjalanan hendak dimulakan, tangki minyak wajib dipenuhkan terlebih dahulu. Perjalanan jauh, jalan pun kita tidak pernah  tahu mana hala tujunya, stesen minyak pun  bukannya kita tahu, apakah ada disepanjang perjalanan itu nanti.




Berhenti di Stesen Minyak yang kebetulan tidak jauh daripada Lapangan terbang. Disitu kenderaan jenis motosikal kena beratur terlebih dahulu kerana jumlah motosikal disini banyak dan stesen minyak pun kurang . Biarlah beratur lama pun, ini negara asing pada diri sendiri, kena bersabar sikit. Tidak sama dengan negara sendiri, kalau ramai begini, dengan segera kita boleh pergi ke Stesen minyak lain. Suasana jalanraya dikawasan berhampiran Lapangan Terbang tidak begitu sibuk dan permukaan jalanraya juga rata turapannya, tidak sepertimana di Palembang sentiasa sibuk.



Walaupun terdapat berbagai jenis pengangkutan yang bersimpang siur tetapi perjalanan lancar. Sepertimana pengalaman yang lepas pengembaraan saya tidak menggunakan perkhidmatan Google map atau apa-apa aplikasi. Cuma menggunakan peta yang telah dirancang oleh isteri saya. Kita lebih selesa menggunakan perkhidmatan penduduk tempatan untuk bertanya hala tuju perjalanan, kerana cara ini dapat bersilaturahim dan lebih meyakinkan.  Yang penting kena tahu kemana tempat yang hendak kita tuju, nanti penduduk tempatan sentiasa akan bersenang hati menunjukkan jalan.




Maklumat yang disampaikan oleh penduduk tempatan memang betul, cuma saya yang kadang-kadang terlepas kiraan masuk simpang salah, tidak sama dengan apa yang telah diberitahu. Itu yang menyebabkan kadang-kadang perjalanan tersalah arah dan terpaksa berpatah balik untuk menuju ke arah yang betul. Untuk setengah jam pertama perjalanan dihidangkan permandangan kiri kanan kedai-kedai  sahaja. Kemudian permandangan hanya rumah kediaman dan kawasan hijau  lapang luas terbentang. Pada permulaan perjalanan cuaca panas terik, menunggang sambil memerhatikan kehidupan masyarakat dan suasana negara orang.  Tidak ada apa yang hendak dikejarkan. Selepas  sahaja motosikal memasuki kawasan mendaki menuju ke  hutan tanah tinggi di Liku Sembilan, cuaca menjadi mendung . Segera memberhentikan motosikal dan memakai baju hujan sebelum hujan turun. Tidak lama kemudian  hujan turun.



Hujan bukan yang sikit-sikit tetapi hujan yang sungguh lebat, hujan dikawasan pergunungan. Titisan air hujan dari langit memang tebal , sehingga mengganggu pemandangan hadapan. Dengan keadaan samar-samar teruskan juga perjalanan   mendaki jalanraya yang berkelok-kelok. Permukaan jalan yang digenang oleh air hujan, licin dan berkabus memberi cabaran dalam menunggang motosikal disini. Rekabentuk jalanraya mendaki berkelok-kelok di Liku Sembilan Kabupaten Kepahiang, lebih kurang sama dengan perjalanan dari  Kota Suluk ke Bukit Tinggi Sumatera Barat. Awalnya , ingatkan dapat menikmati kesegaran dengan keindahan permandangan hutan yang belum tercemar. 




Ingatkan  dapat berhenti memburung  atau mencari haiwan liar , sekejap pun jadilah. Tetapi apa yang dapat hanya kesejukan dan terpaksa memberi perhatian kepada garisan putih ditengah jalan. Sesekali  memerhatikan lampu merah brek kenderaan yang berada dihadapan. Mujur baju hujan  kalis pada air, pakaian pada badan langsung tidak basah.  Menunggang tidak boleh laju  kerana dalam keadaan wizer helmet dinaikkan keatas, kerana cerminnya sudah kabur dan berwap. Habis muka rasa sakit akibat tercucuk  titisan air tajam dari langit.  Hujan mulai reda ketika berada di kawasan kemuncak tanah tinggi.





Berhenti sebentar dibawah pintu gerbang, dengan segera membuka baju hujan dan kasut getah. Selepas itu meneruskan  perjalanan menurun menghala ke arah Pekan Churup. Selepas hujan berhenti pemandang di dalam hutan nampak menarik, di mana sebahagian kawasan pokok-pokok diselimuti dengan kabus. Mujur kita telah menanggalkan pakaian baju hujan, kerana setelah  melepasi kawasan hutan pergunungan cuaca panas terik. Perjalanan diteruskan melalui kawasan lapang yang mendatar, walaupun panas terik tetapi udara disini dingin. Mungkin juga kawasan lapang ini  berada dikawasan pergunungan. 






Kita tiba  di pekan Curup lebih kurang jam 5:30 petang,  perjalanan dari Lapangan Terbang ke sini dianggarkan memakan masa 5 ke 6 jam perjalanan. Keadaan pekan Curup seperti Pekan Banting di Selangor pada tahun-tahun 90 an. Suasana ekonomi kelihatan rancak maju walaupun waktu sudah jam 6:00 petang. Orang ramai masih  sibuk mundar mandir dengan aktiviti masing-masing. Disini ada banyak rumah kedai jenis 2 dan 3 tingkat yang  tersusun. Rata-rata perniagaan dikuasai sendiri oleh orang tempatan.
  



Berhenti merehatkan enjin motosikal dikaki lima dan buat pertanyaan  tempat penginapan yang ada disekitar. Dengan senang hati pemuda disitu menunjukkan 3 buah rumah tumpangan/hotel yang tidak jauh antara satu dengan lain. Sebelum hari gelap kita harus memilih tempat yang sesuai dengan budget dan keselesaan. Memilih untuk menginap di Hotel Wisata Baru. Biliknya luas , kemas dan bersih disamping menyediakan  wifi kepada pelanggannya. Setelah berkemas dan membersihkan diri  kita keluar untuk makan malam. 



Mundar mandir mencari kedai makan yang ada disepanjang  jalanraya di dalam pekan Curup. Senarai dan gambar menu makanan lain tidak menarik pada pandangan mata.Entah kenapa selera malam itu,  minat  untuk rasa  menu makanan orang Mataram. Maka mencuba di kedai makan Sate & Tongseng Mataram. Entah apa rasanya tak tahu lah..Minang, Acheh, Jawa, Bengkulu kita sudah rasa. Mataram belum lagi.  Disebabkan lain sangat bunyi menu " Tongseng" itu, maka selera ingin mencuba lalu memesan Tongseng Kambing, Nasi dan Sate Ayam dengan minuman Air Jus Mangga.




Bayangkan sejak sarapan sehingga malam, baru sekarang naik selera untuk makan. Harapan dapat memuaskan nafsu makan kerana lapar.  Bila suap nasi dan makan daging , saya terus putus selera kerana daging kambing liat. Sedangkan  sebelum pesan menu makanan itu, saya telah bertanyakan samada daging liat atau tidak .  Dia beri jaminan... dagingnya, daging baharu dan tidak liat, barulah  saya memilih menu tersebut. Rupa-rupanya dagingnya belum cukup empuk dan  bercampur dengan lemak kenyal liat. Kunyah sampai esok belum tentu daging boleh hancur.



Kunyah aje lah sampai luwekkan balik dan simpan sorok dalam piring. Memang liat tidak boleh dikunyah dan dimakan. Dalam hati berbisik , tidak mengapa lah ... sejak datang sehingga dapat menjamah makan malam tidak ada pelangan lain yang datang masuk ke kedainya. Kita bantu-bantu lah mana yang boleh. Mujur air jus mangganya likat dan pekat, dapat memujuk selera. Pada waktu yang sama ketika sedang makan daging liat , 3 orang pemuzik dan seorang penyanyi wanita jalanan datang menghiburkan dengan beberapa buah lagu. Memang berbakat dan menghiburkan. Sebelum balik, tunjukkan rasa berterima kasih dan menghargai bakatnya  dengan memberi saguhati kepada mereka. Pulang ke hotel dan membetulkan kedudukan motosikal dengan meletakkannya dibawah pakir yang berbumbung. Berniat tidak mahu menghalang dan mengganggu laluan orang lain, disamping motosikal tidak basah jikalau hujan nanti.


Hari Ketiga
5 Dis 2018 Rabu.


Perancangan pada pagi ini hendak  ke Taman Wisata Alam Bukit Kaba yang tidak berapa jauh daripada pekan Curup. Dianggarkan lebih kurang 1 atau 2 jam perjalanan. Sebelum keluar saya ambil kesempatan melihat suasana kehidupan masyarakat disini, menjalankan aktiviti harian mereka. Waktu pagi jam 6 sudah mulai terang, tetapi keseluruhan pekan Curup diselubungi dengan kabus. Mungkin disebabkan malam semalam hujan lebat. Awal pagi lagi warga Curup sudah  berpusu-pusu dalam keadaan kesejukan keluar dengan kenderaan masing-masing.





Ada yang hendak pergi kerja, menghantar anak ke sekolah, dan melakukan urusan mencari rezeki. Budak-budak sekolah berbaju batik seorang demi seorang melintas di perkarangan Hotel Wisata Baru, selang 50 meter jaraknya dari sekolah . Peniaga seorang demi seorang sudah mula menolak Gerobok jualan untuk pergi ketempat biasa dia menanti pelanggan. Kumpulan penunggang Gojack pula, sibuk membawa penumpang menuju ke destinasi masing-masing. 




Pekerja pembersihan mengangkat sampah juga sudah memulakan tugas pada awal pagi. Berhenti mengutip karungan sampah dikaki lima berhadapan rumah penginapan dan rumah kedai. Disini pekerja pembersihan menggunakan  motosikal roda 3 yang dibelakangnya ada tong yang besar. Seorang membawa motosikal dan rakannya turun ke jalanraya untuk mengutip sampah. Sebab itu pada setiap hari awal pagi keadaan dihadapan rumah sudah bersih dan kemas. 








Setelah siap bersarapan menyediakan kamera , bag keperluan peribadi serta baju hujan terus memulakan perjalanan. Suasana pagi ditempat orang dirasakan kelainan, semua orang terkejar-kejar melakukan aktiviti kehidupan masing-masing. Tetapi kita sebagai pengembara bersenang lenang dan bersuka hati dengan apa hendak dibuat. Nampak benda baru berhenti , melihat, bertanya dan berbual dengan orang tempatan kemudian bergerak semula.  Perjalanan dikawasan pergunungan banyak laluan yang mendaki kemudian melintas dari satu pekan ke satu pekan . Sepanjang perjalanan itu dapat membuat pemerhatian suasana kehidupan masyarakat tempatan. 


Setiap perbuatan dan pekerjaan disini mengamalkan budaya logik akal dan kemahiran. Menunggang motosikal dengan membawa haiwan ternakan dengan 2   atau 3 orang pembonceng adalah perkara biasa. Menunggang motosikal membawa makanan haiwan ternakan lalang yang menimbun dibelakang motosikal itu , biasa, Menunggang motosikal membawa beban-beban guni didepan dan dibelakang motosikal sambil membawa seorang pembonceng juga adalah perkara biasa. 



Pada mereka budaya memaksimakan kekuatan jentera kenderaan. Ia murah, cekap , selamat dan sampai ke destinasi. Samada janggal , bergaya atau pun tidak, itu tidak wujud di sini. Suasana pemandangan begini pasti tidak akan berlaku di negara German, Jepun , Switzerland dan Sweden . Tidak sampai 1 jam perjalanan, hujan telah mulai turun, hendak atau tidak, kenalah cepat-cepat pakai baju hujan. 



Cuaca disini memang sejuk , bila sudah basah lagi leceh,  mengembara dalam keadaan basah kuyup memang dijauhkan sekali. Setelah perjalanan turun naik tanah kawasan tinggi. Beberapa kali membuat pertanyaan tuju hala lokasi maka lebih kurang 1 jam setengah sampai ke pintu gerbang kawasan Wisata yang hendak dituju itu. Laluan ke situ harus masuk kedalam kawasan perkampongan dan pertanian yang luas. Kiri dan kanan luas terbentang kawasan tanah pertanian sayur-sayuran diusahakan oleh penduduk kampong dikawasan ini. 





Tanah dari  jenis warna hitam bekas tapak letusan gunung berapi memang subur. Laluan tanah tar yang berlopak lopak rosak teruk disepanjang perjalanan menuju ke Wisata Bukit Koba. Pelik juga mengapa isfratruktur kawasan perlancongan teruk sebegini rupa. Mungkin jalan ini digunakan juga oleh penduduk kampong mengangkut hasil pertanian mereka menggunakan kenderaan berat. Sehingga berlaku jalanraya rosak teruk sebegitu rupa. Kedalaman lubang lopak dipermukaan jalan raya  sepanjang laluan pula ada yang sampai 2 kaki dalamnya. Silap masuk lopak, motosikal akan tersekat disitu. Laluan kenalah berhati-hati mengenal pasti memilih permukaan jalan yang tidak ditenggelami oleh air. Laluan jangan sampai motosikal tersekat dalam lopak yang dalam. 




Elakkan roda masuk kedalam air. Isteri yang duduk dibelakang terpaksa turun memboceng khuatir motosikal tidak melepasi laluan lopak. Setelah selesai mengharungi laluan berlopak kita melalui laluan berbukit-bukit pula. Laluan yang tidak bertar,  cuma tanah berbatu kerikil disepanjang laluan mendaki. Pada masa itu  hujan renyai-renyai degil  tidak mahu berhenti sejak dari mula sampai dipersimpangan kampong sehingga lah ke laluan mendaki. Cabaran dan halangan pada waktu pagi dalam hujan renyai yang berkabus tebal. Menunggang motosikal mendaki laluan berbukit yang tinggi juga, telah berjaya melepasi setiap halangan yang diberi. 



Tetapi apabila sampai disatu selekoh saya terpaksa memberhentikan motosikal kerana ada sebatang jambatan sedang dalam pembinaan baik pulih kerana telah roboh. Dalam berhujan berhenti untuk melihat keadaan titi gantian sementara yang menyeberang anak sungai. Terdapat kesan-kesan tanah runtuh dibahagian tebing sungai dan tanah itu sudah menjadi peroi akibat hujan tidak henti-henti. Ikutkan keyakinan dan pengalaman kalau berhati-hati sudah tentu boleh lepas, tetapi isteri saya tidak mahu memperjudikan nasib. Bergantung nasib ditempat yang tidak ada seorang pun yang berada disitu, juga tidak ada kenderaan yang lalu lalang.



Atas kedegilan untuk meneruskan perjalanan, saya membuat pemeriksaan lanjut dengan berjalan kaki naik keatas hutan bukit yang curum. Dilaluan yang curam itu, saya mendapati jalan tar adalah sempit hanya muat untuk 2 buah motosikal berselisih. Turapan tar pada permukaan jalannya juga banyak yang telah pecah-pecah dan ditumbuhi dengan rumput-tumput serta lumut. Selepas laluan itu jalan menuju keatas tidak diturap dengan tar cuma laluan tanah dan batu-batu krikil Ada sebahagian laluan sudah menjadi anak sungai. Air turun dari atas bukit melalui trek laluan motosikal. Keadaan sebegini membuatkan saya tidak berani memperjudikan nasib dan degil mulai kendur. 





Belum tentu motosikal ini mempunyai kekuatan untuk mendaki dengan beban 2 orang dewasa termasuk 2 buah bag dan kamera. Terpaksa membatalkan hasrat untuk naik ke kemuncak Bukit Kaba. Hujan masih tidak berhenti dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan pada waktu itu. Berteduh didalam wakaf yang ada disitu untuk merancang perjalanan berikut. Sambil berteduh saya sempat memburung di sekitar wakaf walaupun hujan. Tidak boleh berbuat apa-apa cuma boleh melihat sahaja.




Tidak lama kemudian ada 2 buah motosikal turun daripada kawasan Bukit Kaba dalam cuaca sejuk berkabus, lengkap dengan memakai baju hujan. Bersilaturahim berbual dengan mereka dan menyatakan tujuan datang ke situ. Beliau adalah pekerja membuat jambatan yang rosak dan pekerja membaik pulih insfratruktur di kemuncak Bukit Kaba. Mereka memaklumkan pada waktu sekarang Wisata Bukit Kaba ditutup kepada semua pengunjung kerana kerja-kerja membaik pulih kawasan Wisata. Kita pengembara dari Malaysia yang baru sampai ke Bengkulu mana tahu maklumat seperti itu.





Katanya pada waktu sekarang, kawasan permandangan diatas tidak nampak apa-apa cuma kabus putih tebal sahaja. Jelas pekerja itu, jikalau ingin naik keatas, ia mengambil masa lebih kurang 45 minit dengan keadaan jalan yang tidak berapa elok. Setelah mendapat penjelasan maklumat begitu, bila hujan mulai reda kita membuat keputusan untuk pergi ke Air Terjun di Rejang Lebong. Mereka menunjuk peta tuju hala ke sana dan menasihati supaya berhati-hati kerana selalu berlaku kes -kes rompakan di tengah jalan, lebih-lebih lagi pada waktu malam. 


Petani sedang mencangkul membuat batas tanaman dalam cuaca sejuk berkabus di perkampongan Bukit Kaba




Setelah hampir 3 jam perjalanan masih tidak menjumpai tempat yang hendak dituju. Isteri saya sudah hilang minat untuk pergi kesitu dan menyuruh berpatah balik untuk pulang. Hati degil saya kata kita kena cari sampai jumpa, pada ketika itu sudah jam 2 petang. Kita sudah beberapa kali mengisi minyak dalam perjalanan tetapi masih tidak tahu hujung pangkalnya. Kita telah masuk simpang dari jalan besar utama lebih kurang 1 jam perjalanan jauhnya, namun masih tidak jumpa. Kita telah menjumpai beberapa tempat air terjun yang namanya sama. Tetapi Air Terjun itu tidak sama dengan gambar yang kita bawa. 



Sebenarnya kawasan yang dimaksudkan itu memang  jauh di pedalaman.  Perjalanan ke situ memang jauh ditambah beberapa kali tersalah jalan. Terpaksa berpatah balik kerana maklumat daripada penduduk tempatan berbeza beza. Orang pertama menyatakan masuk ke simpang A, mendengar orang ke 2 , masuk ke simpang B. Jadi kita menjadi keliru simpang mana yang betul . Hakikatnya kedua -dua simpang itu betul tetapi menggunakan laluan yang berbeza. 



Berkat degil dan tidak putus asa saya bertanya kepada seorang yang berselisih dipertengahan jalan dalam perjalanan untuk pulang. Beliau memaklumkan bahawa anaknya tahu dimana air terjun yang dimaksudkan itu. Beliau menyuruh mengekori nya dari belakang untuk berjumpa dengan anaknya Saudara Anton. Pada mulanya beliau keberatan untuk membawa kami kesitu kerana ada pekerjaan lain yang sedang dia lakukan. Setelah lama memujuk berunding dan beliau merasa simpati kepada orang Malaysia yang datang jauh.  Maka akhirnya Saudara Anton sanggup membawa kami ke tempat Air terjun yang dimaksudkan itu. Beliau menasihati kami supaya tidak menggunakan motosikal yang saya bawa kerana jalan hendak kesitu tidak rata dan mencabar. 


Kenangan silaturahim bersama Ketua Kampong , Saudara Pak Hassan dengan pengembara dari Selangor,Malaysia.

Maka kita menggunakan 2 buah motosikal yang memang lasak dan biasa pergi ke situ. Saya membonceng motosikal milik  Ketua Kampong Saudara Pak Hassan dan Isteri saya pula membonceng motosikal Saudara Anton. Memang benar apa yang dikatakan oleh Saudara Anton adalah tepat. Laluan ke air terjun itu mencabar dengan laluan tidak rata berselut dan berbonggol-bonggol. Memang sangat berpatutun dengan kadar upah yang diminta oleh Saudara Anton dan Saudara Pak Hassan. 






Pada hemat saya kesudian mereka berkesanggupan melapangkan masa untuk menghantar kami semata-mata atas dasar persaudaraan silaturahim. Lebih kurang 45 minit baru sampai ke lokasi yang dinyatakan, memang sama dengan gambar yang kita bawa. Istimewanya lokasi Wisata ini , disatu tempat terdapat beberapa tempat riadah yang menarik .Kami menghabiskan masa disini lebih kurang 4 jam menikmati alam semulajadi yang tersedia indah. Bukan itu sahaja kami juga dapat bersilaturahim mesra dengan penduduk tempatan dan Orang Asli Rejang.



1.Air Terjun Air Panas Rejang Lebong

Setelah penat dilambung-lambung ketika menunggang motosikal akhirnya sampai ke distinasi yang isteri saya hendak sangat sampai kesini. Lokasi letaknya adalah dibawah lembah yang curam, memakan masa lebih kurang 30 minit berjalan kaki untuk turun ke tapak air terjun. Sebelum sampai ke tapak Air Terjun Rejang Lebong,  kita harus melalui kawasan air terjun unik. Sepanjang pengalaman saya melihat banyak-banyak tempat air terjun, disini satu-satunya air terjun yang mengalir airnya panas. Merecik-recik air terjun yang panas berasap wap dan merupakan pengalaman pertama kali dalam hidup menjumpainya.

  

Pada hemat saya ia sangat unik dan sangat jarang kita temuinya. Kita betul-betul melalui ditepi batu-batuan aliran air terjun yang berhawa panas itu. Percikan air panas dan wap suam-suam yang jatuh merecik dari atas  masih dapat terasa panasnya apabila terkena badan atau muka. Mungkin kepanasan air telah menjadi berkurangan dan  menjadi suam setelah sampai diparas, kawasan yang rendah. Sempat berhenti menghilangkan rasa haus dengan menghirup air sedang mengalir disitu. Rasanya air terjun itu , sama seperti air suam yang dimasak dirumah. Tidak pulak ada rasa campuran larutan dari bahan mineral berunsur  belerang.




2.Air Terjun Rejang Lebong

Ketika melalui dicelah batu air terjun panas, saya telah dengar bunyi deruman kuat air terjun yang jatuh dalam sungai pada  paras yang tinggi. 10 minit ke 5 minit berjalan dari tebing curam kita telah nampak berkepul-kepul wap-wap air berterbangan diudara seperti kabus di sekitar kawasan tapak air terjun Rejang Lebong itu. Tumbuhan dan lumut yang ada disekitar nampak segar dan sihat pertumbuhannya. Tumbuhan lumut disitu sentiasa basah disebabkan wap-wap air terjun berterbangan yang ditiup oleh angin dengan kuat tidak henti-henti. Boleh dikatakan seluruh kawasan tapak disitu dihujani oleh tempiasan air terjun. 




Dinding-dinding batu penuh dengan kehijauan berbagai jenis lumut dengan tumbuhan merayap pada setiap permukaan dinding batu semulajadi disitu. Pergerakan air sangat deras dan pada fikiran saya tidak sesuai untuk bermandi manda atau duduk berkemah. Air terjun yang bercampur larutan tanah hitam kelihatan seperti gelap air nira. Saya anggarkan ketinggian air terjun ini lebih kurang ketinggian bangunan 5 tingkat. Keadaan seperti ini menjadi masalah kepada saya untuk membuat rakaman alam semulajadi disitu. Cabaran hasil gangguan daripada wap-wap air yang akan terperecik melekat pada cermin lensa kamera.



Memandangkan kedudukan dua  Air Terjun Air Panas dan Rejang Lebong terletak  dikawasan satu lembah, maka pengunjung tidak dapat menikmati keindahan kedua-dua air terjun dalam satu masa. Kedua air terjun ini tidak sesuai untuk bermandi manda atau untuk duduk berkelah disekitar air terjun. 




Arusnya telalu deras , ruang untuk duduk bersantai sangat terhad kerana tempias dan renjisan air terjun disitu juga terlalu kuat sehingga membasahkan pengunjung. Sehinggakan untuk berbual terpaksa meninggikan nada suara. Apalagi untuk melakukan sesi fotografi disekitar air terjun, semua rakaman gambar kenangan akan rosak disebabkan bintik-bintik tempias air.






Pada hemat saya, mereka ( Pak Hassan ) harus mencari satu sudut pada tebing atau cerun untuk membuat beberapa buah pelantar rehat. Dimana pengunjung dapat berehat diatas pelantar rehat untuk mereka  makan minum sambil melihat permandangan kedua-dua air terjun itu . Kepada sesiapa yang mempunyai kekuatan boleh turun kebawah merasa suasana  disitu atau mandi manda. Laluan kesitu biarkan seperti sedia ada, supaya setiap pengunjung menggunakan kenderaan penduduk kampong dengan membayar upah yang berpatutan. Perkara ini dapat menjana pendapatan penduduk tempatan.





3.Bersilaturahim Mesra Dengan Penduduk Tempatan Dan Orang Asli Rejang

Selepas penat menikmati permandangan alam semulajadi air terjun Rejang Lebong dan Air Terjun Panas Rejang Lebong, saya berehat diperkarangan rumah orang Asli Rejang. Bertanyakan banyak topik perbincangan daripada hal keadaan kehidupan didalam hutan, punca pendapatan mereka, adat budaya dan bahasa. 




Rata-rata dikalangan mereka di sini kehidupan mereka hampir sama dengan yang ada di Malaysia. Sumber pendapatan mereka adalah daripada bercucuk tanam dan mencari hasil hutan. Silaturahim dikalangan mereka amat baik dalam suasana harmoni. Kehidupan mereka tidak mewah dan tidak juga miskin papa, hanya sedarhana. 

Kawasan kediaman Orang Asli Rejang.

Pada hemat saya kawasan ini cukup berpotensi sebagai salah satu Wisata di Daerah Bengkulu kalau pihak kerajaan memberi bantuan kepada Ketua Kampong atau persatuan penduduk kampong  sendiri bergotong royong membina menyediakan rumah rehat mengikut rekabentuk rumah adat Orang Asli Rejang. 






Rumah Orang Asli yang diperbuat daripada buluh disediakan untuk para pengunjung tidur dan berehat disitu. Maka penduduk tempatan atau orang kampong berpeluang menyediakan  makan minum kepada pengunjung mengikut adat budaya setempat sepanjang pelancong menginap disitu. Tetapkan pakej dari awal supaya pengunjung membuat persediaan dari sudut kewangan. Selama tinggal disitu dapat bersilaturahim samada dengan penduduk atau pun dengan alam semulajadi yang jauh daripada kebisingan kotaraya.


Sungai air panas yang jernih bersih.

4. Anak Sungai dan Kolam Air Panas Rejang Lebong

Setelah selesai berbual saya dicadangkan supaya membersihkan diri mandi disebatang anak sungai air panas yang berada didalam kebun bunga Orang Asli Rejang. Anak sungai yang airnya panas dan jernih mengalir masuk kedalam kolam. Memang sesuai untuk membersihkan diri setelah penat mendaki naik dari lokasi air terjun.



Sebelum sampai ke lokasi Air Terjun Air Panas Rejang Lebong dan Air Terjun Rejang Lebong pengunjung harus melalui anak sungai dan kolam air panas terlebih dahulu. Letaknya dikawasan rumah Orang Asli Rejang dan kebun bunga.Pada kebiasaan disini, dimana pada waktu pagi atau petang cuacanya dingin. Pengunjung boleh beristirehat  mandi manda di dalam sungai dan kolam air panas yang jernih airnya. Tanpa rasa kesejukan atau kurang selesa, walaupun kawasan sekitar letaknya di dalam hutan tanah tinggi. .



Kebun bunga milik Orang Asli Rejang yang sedang mekar.





5. Memerhati Hidupan Liar spesis Keluang-Pteropus vampyrus

Dalam perjalanan pulang sempat membuat pemerhatian sekumpulan besar spesis Keluang-Pteropus vampyrus yang menggantungkan tubuh pada sepohon pokok hutan dikawasan Air Terjun Rejang Lebong . Pada kebiasaan kumpulan ini akan terbang mencari makanan pada permulaan waktu malam. Jumlah Keluang-Pteropus vampyrus yang banyak seperti ini sudah jarang dapat dilihat di Malaysia. Kali terakhir membuat pemerhatian spesis  Keluang-Pteropus vampyrus adalah ditepi pantai Pulau Tioman, Pahang sekitar tahun 2009.



Keluang-Pteropus vampyrus

6. Pemerhatian Kegiatan Ekonomi Penduduk Setempat.

Berpeluang melihat seorang pemuda tempatan yang sedang kerja-kerja mengambil air nira. Beliau memanjat dengan menggunakan tangga tradisional yang diperbuat daripada sebatang buluh yang banyak tumbuh disini. Reka bentuk tangga seperti ini banyak membantu beliau menjalankan tugas memanjat dan turun daripada pokok tanpa menggunakan tenaga yang banyak. Batang buloh yang murah ,keras dan ringan membantu mengurangkan beban beliau mengangkat dari satu pokok ke satu pokok yang lain.


Kerja-kerja mengambil air nira hutan.



Tangga Batang buluh yang di tebuk mengikut jarak langkah kaki.



Sebelum pulang Ketua Kampong dan anak buahnya menawarkan diri ingin menunjukan  kami 3 lokasi lagi air terjun yang berada tidak jauh daripada jalan besar di kampong itu. Katanya terlanjur sudah ada disini lokasinya cuma berdekatan dengan jalan sahaja. Pelawaan itu saya terima dengan sukacita. Daripada jalan besar lebih kuragn 5 minit berjalan kaki menuruni curam. Dilembah itu terdapat  3  tapak air terjun yang ada berdekatan antara satu dengan lain. Saya tidak ingat akan nama yang diberikan kepada saya.




A. Air Terjun A




2.Air Terjun B



3.Air Terjun C







Ternyata warga tempatan Rejang Lebong yang saya temui cukup mesra dan mudah pula bergurau senda gelak ketawa. Sepanjang perjalanan untuk sampai ke situ, seingat saya dekat 7 kali berhenti bertanya agar ditunjukkan tempat. Tidak seorang pun yang tidak mahu menolong. Adakan antara mereka sampai bertengkar kecil disebabkan cadangannya itu berlainan  daripada rakannya. Dengan masing-masing ingin menberitahu laluan yang mudah sampai.



Suasana sebegini tidak sama dengan apa yang saya baca didalam media sosial tentang hal-hal negatif. Kisah-kisah rompakan ditepi jalan dan macam-macam hal  lain yang memungkinkan pengunjung tawar hati untuk datang berkunjung kesini. Mungkin cerita seperti itu menyuruh kita agar lebih berwaspada ketika melakukan pengembaraan ditempat yang kita tidak tahu. Walaubagaimana pun, kadang-kadang kita kena juga berani untuk mencuba nasib sambil  bertawakal kepada Allah.



Kami menghabiskan masa bersilaturahim di situ daripada pukul 3 petang hingga senja jam 7 malam. Apa yang membuat kami rasa senang hati, kenalan Saudara Anton dan Ketua Kampong Saudara Pak Hassan mengiringi kami pulang keluar ke jalan besar. Mereka sendiri mengetahui kampong mereka itu jaraknya jauh di pedalaman. Apatah lagi disini jalanraya  tidak disediakan  kemudahan lampu jalan , mereka khuatir kami akan tersalah masuk simpang dan tidak dapat keluar pulang ke rumah penginapan di pekan Curup.




Sepanjang perjalanan pulang seperti hari sebelumnya pada waktu malam hujan turun tidak henti-henti. Menungganglah kami didalam gelap , berkabus dan kesejukan. Sampai di hotel pada jam 10:30 malam dalam keadaan lokos. Pada ketika itu kami tidak ada minat untuk keluar makan malam. Bekalan makanan segera yang dibawa dari Kuala Lumpur masih tidak luak lagi. Demi untuk meringgankan bag , kita cuma masak sahaja didalam bilik Hotel.



Hari Ke Empat
6 Dis 2018 Khamis.






Memang disini sudah masuk musim hujan agaknya, kerana setiap petang saya akan menghadapi hujan sampai ke waktu malam. Hari ini rancangan isteri saya ingin pergi ke Air Terjun di kawasan Kepahiang pula. Sepanjang perjalanan kesana , rancangan saya pula ingin melihat  senibina bangunan kediaman masyarakat di Bengkulu dikiri kanan sepanjang jalan. Saya ingin melihat dan membuat perbandingan senibina yang pernah saya lihat di Acheh, Sumatera Barat, Palembang dengan apa yang ada di Bengkulu. 







Sebelum kesana kami ingin ke Pejabat Pos di Curup terlebih dahulu untuk mengirim poskad kepada diri sendiri dan adik-adik saya di Tanahair. Semasa bertanyakan jangkaan poskad itu akan sampai ke alamat di Malaysia, pegawai itu menjangkakan lebih kurang 3 bulan lamanya. Mengejutkan kerana ia satu jangkamasa yang jarang berlaku di Malaysia. Walaupun lama tidak mengapa lah, kerana apa yang penting poskad itu sampai kepada alamat pengirim nanti. Setelah selesai semua urusan, mulalah kita lakukan perjalanan meninggalkan pekan Curup menuju menghala ke Kepahiang.


Poskad beralamat sendiri dan 2 orang adik beradik yang dijangka sampai selewat-lewatnya 2 atau 3 bulan.




Sepanjang jalan saya memberi tumpuan kepada senibina rumah-rumah masyarakat disini. Setiap kali bertemu senibina yang dilihat menarik saya akan berhenti, untuk merakam sebagai ilmu pengetahuan saya. Memang setiap suku bangsa melayu di Indonesia mempunyai identiti bangsa mereka sendiri. Masih banyak rumah yang menggunakan pembinaan daripada kayu dengan kemahiran pembuat rumahnya yang mahir mengikut senibina setempat. Rata-rata disepanjang perjalanan hampir semua rumah masyarakat Bengkulu mendiami rumah tradisional yang dihiasi dengan warna dan corak menarik. 



Tidak nampak rumah kediaman dari jenis rumah teres apatah lagi rumah flat dan pangsapuri.Bangunan binaan batu lebih tertumpu didalam kawasan pekan atau bandar kecil. Memang jelas perbezaan senibina masyarakat Bengkulu dengan senibina dari provinsi Acheh, Palembang dan Sumatera Barat. Perlahan-lahan menunggang dan kejap -kejap kita berhenti kerana tidak mahu melepaskan peluang sekali dalam hidup  merakam senibina rumah kediaman. Memang tidak ada kali keduanya selepas ini. 


Dalam diam tak diam sampai juga ke pekan Kepahiang pada jam 11:00 pagi. Pada waktu yang sama juga cuaca sudah mulai hujan awal. Berhenti berteduh disebuah gerai tepi jalan. Menu yang disediakan tidak banyak cuma makanan dari jenis Mee Soto. Makanlah bukan kerana lapar tetapi untuk berteduh sambil merasa jenis makanan masyarakat disitu, sementara menunggu hujan reda. 


Siri Rekabentuk Rumah Masyarakat Bengkulu





























Suasana Permandangan Sepanjang Perjalanan Dan Aktiviti Harian Masyarakat Setempat.










Sacred kingfisher-Todirhamphus sanctus 

Sacred kingfisher-Todirhamphus sanctus 

Rantaian jaringan Industri membela burung-burung tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat Indonesia.


Menunggu hampir  dekat 1 jam,  hujan masih tetap tidak mahu jugak berhenti. Jika diukur 1 jam perjalanan kami boleh pergi ke tempat yang  berpuluh kilometer jauhnya. Demi tidak mahu membuang masa, kita teruskan juga perjalanan dalam cuaca hujan, bergerak menghala ke Air Terjun Kepahiang. Rekabentuk  jalanraya di sini berlainan sedikit, mungkin disebabkan bentukmuka bumi yang berbukit bukau. Jurutera pembinaan mereka bentuk  jalanraya dibuat secara lurus, terus menaik ke bahagian mukabumi yang tinggi. Mereka tidak membuat bentuk jalanraya secara berkelok-kelok naik ke kawasan yang lebih tinggi. 




Bila menurun jalanraya yang dibina lurus terus sayup menjunam turun ke bawah. Keadaan seperti ini bukan kebiasaan yang selalu dihadapi. Maka ini membuatkan kita sentiasa bersiap siaga menjaga brek supaya tidak hilang kawalan kerana terasa terlampau laju. Disitu ada beberapa kali laluan turun naik sehingga tidak perasan jarum meter minyak menandakan minyak telah dekat hendak habis. Mujur disepanjang kiri kanan laluan itu adalah kawasan perkampongan. Ditepi jalan ada penduduk kampong yang mengusahakan  penjualan kedai runcit dan menjual minyak didalam tong drum.




Setelah mengisi minyak penuh, saya menghidupkan  enjin tetapi tidak mahu hidup. Cuba beberapa kali namun tidak mahu juga hidup. Cuba pula menggunakan starter kaki, sehingga letih dan masih juga enjinnya tidak mahu hidup. Ini bala , macam mana motosikal boleh rosak, entah apa yang rosaknya. Mula datang rasa perasaan tidak seronok. Bertanyakan penduduk disitu, kalau-kalau di sekitar  ada kedai yang memperbaiki motosikal.





Mujur 30 meter dari tempat membeli minyak ada sebuah  kedai memperbaiki motosikal. Setelah mendapat tahu kita  ini pengembara dari Malaysia budak-budak kampong memberi keutamaan motosikal kami untuk diperiksa dahulu. Setelah  membuat pemeriksaan foreman menyatakan  bateri motosikal sudah lemah. Menasihatikan mereka menukar sahaja bateri dengan yang baharu, malangnya dikedainya tidak ada menjual bateri motosikal. Mereka mampu menolong menghidupkan enjin dan menasihati kami membeli bateri  ke Bandar Kepahiang. Masalah seperti ini telah membuang masa kami untuk ke Air terjun Kepahiang. Terpaksalah berpatah balik pergi ke bandar Kepahiang. 




Sampai disana berpusing-pusing mencari dan bertanyakan orang-orang disana dimana letaknya kedai bateri. Setelah dekat 1 jam akhirnya jumpa kedai menjual bateri Toko Utama Aki. Mujur disini semua jenis bateri dari jenis kenderaan , motosikal , kereta dan lori. Masing-masing memperkenalkan diri sebagai tanda ingin bersilaturahim. Memberitahukan masalah yang kami sedang hadapi, pemuda itu memperkenalkan dirinya namanya Saudara Yikie Fikalos dengan berlapang dada menasihati supaya jangan cemas. 




Beliau membuat pemeriksaan sekali lagi bagi mengesahkan kata-kata foreman sebelum ini. Dengan menggunakan meter beliau buat pemeriksaan dan mendapati memang bateri sudah lemah. Maka setelah mendapat pengesahan bateri memang sudah lemah maka kami menghubungi pemilik motosikal memberitahu apa yang terjadi. Setelah mendapat persetujuan daripada pemilik motosikal maka kami menukar bateri yang baharu. 




Sejurus ditukar enjin motosikal beroperasi seperti sediakala. Beliau menghidangkan kami air kopi Bengkulu yang pahit lemak yang enak, sehingga beberapa kali di bancuh untuk saya. Sambil minum kami bersilaturahim menceritakan pengalaman masing-masing seperti kawan yang lama tidak berjumpa. Dalam perbualan mesra rupa-rupanya perniagaan kedai itu baru diusahakannya 6 bulan sahaja. Rupa-rupanya Saudara Yikie Fikalos juga merupakan pakar memperbaiki dan membaik pulih motosikal klasik jenis Vespa di daerah Bengkulu. 



Maka  lekalah  berbual tanpa disedari waktu telah hampir ke jam 3.00 petang. Air Terjun Kepahiang masih belum kita sampai lagi. Maka mohon diri untuk menyambung semula pencarian air terjun tanpa ada rasa cemas atas kerosakan motorsikal. Tidak sampai 45 minit kita telah berada disekitar tapak Air Terjun Kepahiang. 


















Semasa mencari tapak untuk meletakkan motosikal kami nampak 2 pemuda tempatan yang hendak keluar pulang daripada  lokasi air terjun. Menyapa mereka untuk mengetahui jarak perjalanan dan hal keadaan perjalanan kesana. Mereka menyatakan sudah tidak jauh lagi hanya lebih kurang 15 ke 20 minit dengan menunggang motosikal. Kesempatan itu memohon melihat gambar air terjun daripada telepon bimbitnya. Pemuda itu dengan senang hati berkongsi untuk saya lihat pemandangan air terjun. 



Setelah mereka beredar , kami membuat keputusan untuk tidak terus ke situ. Pada hemat saya pada ketika itu , memadai sahaja dapat melihat dalam handphone pemuda. Setelah mengetahui  hal keadaan sebenar Air Terjun Kepahiang. Apa yang bakal kami dapat nanti akan sama dengan gambar terkini disitu yang dirakam oleh pemuda tersebut. Mengucapkan terimakasih kerana telah menjimatkan masa untuk terus kesana.




Jikalau tidak berjumpa 2 pemuda itu, ada besar kemungkinan kami akan sampai kesitu. 15 ke 20 minit perjalanan menurun pergi dan menaik balik, tidak sepadan dengan keadaan air terjun pada waktu itu. ( Musim Hujan ) Keadaan air terjun yang keruh dengan persekitarannya yang tidak mendatangkan keterujaan untuk kesitu. Saya tidak sanggup menghadapi  perjalanan banyak batu-batu bulat berbonggol dengan tanah hitam basah berlopak. Ini motosikal milik orang dan ia baru sebentar tadi diperbaiki.




Jam pada ketika itu menunjukan jam 5:00 petang. Maka kita ambil keputusan untuk berpatah balik untuk ke kawasan perkebunan Ladang Teh. Kawasan yang saya perasan dalam perjalanan semasa mencari kawasan Air Terjun Kepahiang. Kawasan Ladang Teh ini nampak menarik kerana mempunyai permandangan yang menarik yang berlatar belakang hutan pergunungan. 



















Dalam hati jikalau kawasan Ladang Teh ini dibuat rakaman foto tentu menarik untuk dijadikan kenangan pengembaraan ke Bengkulu . Berhenti ditepi ladang teh dan buat rakaman foto dalam keadaan cuaca selepas hujan.  Suasana sekeliling masih terang lagi walaupun kekurangan cahaya dari sudut fotografi. Sudah ada kabus yang sudah menutupi bahagian-bahagian pedalaman ladang Teh. Tidak sampai 15 minit mencari sudut rakaman, hujan datang lagi , kali ini betul-betul lebat. 

















Bergegas mencari tempat berteduh menuju ke sebuah rumah kedai yang ada ditepi jalan. Setelah meminta izin kepada pemilik kedai, selesalah untuk berteduh didalam kedainya. Terpaksa membiarkan sahaja motosikal diluar basah berhujan. Cuaca pada ketika itu cukup sejuk, dengan angin kencang bertiup bersama hujan bersimpang siur tempias masuk kedalam kedai. Ketika menunggu hujan berhenti kami dihidangkan dengan air kopi panas. 




Memang budaya  masyarakat disini saya perhatikan, mereka akan menghidangkan tetamu dengan minuman air kopi tempatan. Air kopi yang hitam pahit pekat berlemak, memang enak dihirup masa air panas, apatah lagi kita dalam kesejukan. Agaknya melihatkan keadaan penampilan kami berdua memang bukan orang tempatan, maka pemilik kedai memulakan silaturahim. Dalam perbualan menunggu hujan berhenti lebih kurang dekat 1 jam lebih, banyaklah cerita yang saya dengar. daripada Saudara Hadi Prayinto. 

Sambil minum Kopi Bengkulu isteri seronok mendengar cerita dari Saudara Hadi Prayinto


Beliau merupakan masyarakat keturunan Jawa yang datang ke Desa Sedo Rejo, Bengkulu sebagai buruh mengerjakan perladangan Teh semasa Zaman pemerintahan Belanda dahulu. Telah bermastautin 2 atau 3 keturunan di Bengkulu sehingga berhasil memiliki perusahaan sendiri. Beliau mengusahakan pembuatan kerepek tradisional, bahan dari hasil tanaman ubi kayu. Didalam kedai kelihatan beberapa orang pekerja sedang memasukkan ubi-ubi kayu yang telah embuk direbus kedalam bakul rotan. Ibu kayu itu kemudiannya akan dimasukkan kedalam nyiru buluh untuk proses kerja-kerja melenyek ubi.


Ubi kayu yang baru dikeluarkan dari dalam periuk dimasuk kedalam bakul rotan  

Proses melenyek ubi kayu yang telah empuk  direbus




Ubi kayu itu dilenyek tekan dengan sudip sebelum dimasukkan kedalam mesin  menguli. Mesin itu akan mengaul, menguli  kemudian akan ditekan sehingga menghasilkan satu bentuk ubi berlipat. Setiap lipat ubi kayu itu akan disusun diatas hamparan buluh kemudian dijemur pada cahaya matahari supaya menjadi keras. Setelah keras baru dimasukkan kedalam bekas pelastik untuk pasaran. Kerepek Ubi itu akan digoreng sebelum boleh dimakan. Usaha gigih Saudara Hadi Prayinto itu menampakkan kesan kepada dirinya, selayaknya boleh membanggakan dirinya sendiri . 


Proses membentuk kerepek ubi kayu

Proses membentuk kerepek ubi kayu

Beliau sudah tidak perlu dikerah atau disuruh-suruh bekerja memetik daun teh lagi. Malah berupaya mempunyai beberapa orang pekerja untuk menampung permintaan perniagaan. Pengalaman beberapa hari di Bengkulu tentang keadaan hujan sedikit sebanyak telah memberi sedikit kefahaman. Dimana hujan tidak akan berhenti pada waktu petang membawa ke waktu malam. Hujan hanya akan reda sahaja dengan hujan renyai-renyai sahaja.

Kerepek Ubi kayu yang telah siap dibentuk disusun diatas nyiru buluh untuk dikeringkan dibawah cahaya matahari

Kerepek Ubi kayu yang telah siap dibentuk disusun diatas nyiru buluh untuk dikeringkan dibawah cahaya matahari

Kerepek Ubi kayu yang telah siap dibentuk disusun diatas nyiru buluh untuk dikeringkan dibawah cahaya matahari

Kerepek Ubi kayu yang telah siap dibentuk disusun diatas nyiru buluh untuk dikeringkan dibawah cahaya matahari


Saudara Hadi Prayitno menceritakan kisah dan pengalaman hidupnya


Saudara Hadi Prayitno menceritakan kisah dan pengalaman hidupnya

Saudara Hadi Prayitno  memakai t shirt menunjukkan kesayanganya kepada Bapak Presiden Indonesia Jokowi Widodo , dikhabarnya akan datang melawat dikawasan Ladang Teh berhampiran Desa Sedo Rejo

Bila keadaan hujan sudah renyai-renyai kami, meminta izin untuk beransur  untuk pulang entah kemana, kita pun tidak tahu. Jam sudah menunjukkan jam 7:00 malam. Hidupkan enjin motorsikal tanpa ada sebarang masalah terus menuju ke pekan Kepahiang. Menunggang dengan berhati-hati dan perlahan  dalam gelap, berkabus dan jalan licin hinggalah sampai ke Pekan Kepahiang. Kita berpusing pusing dalam hujan mencari tempat penginapan yang sesuai. Setelah 4 tempat melihat rumah tumpangan akhirnya hati berkenan untuk memilih menginap di Hotel Mutiara.


Bergambar kenangan bersama Saudara Hadi Prayitno sebelum berpisah.


Hotel Mutiara Kepahiang menepati ciri-ciri asas kepada keselesaan dengan menyediakan ruang bilik yang selesa, bersih, sistem plug yang mencukupi, mempunyai sistem hawa dingin, sistem air panas  bilik air yang luas, dan  menyediakan sarapan pagi.  Dengan harga sewaan yang sangat berpatutan saya fikir sangat berbaloi menginap disini. Kedudukannya pula tidak terperosok dikawasan yang gelap dan lokasinya berdekatan dengan jalan besar. Malah pemilik hotel tersebut cukup ramah dan pandai mengambil hati tetamu. 


Gambar kenangan dalam keadaan lokos di hadapan Hotel Mutiara, Bandar Kepahiang sejurus membuat pengesahan penginapan.


Keadaan bilik Hotel Mutiara

Keadaan bilik Hotel Mutiara


Pada waktu itu jam sudah pukul 10:00 malam, dalam keadaan kesejukan kami sudah malas untuk keluar makan malam. Makan apa yang ada di dalam bag sahaja. Selepas selesai membersihkan diri, seperti biasa akan menyalin semua rakaman kenangan yang diambil pada hari tersebut, termasuk membuat catitan dairi pengembaraan sebelum tidur.


Bilik Air dan Tandas



Hari Ke Lima
7 Dis 2018 Jumaat.


Bersemangat ingin memulakan pengembaran.

Hari ini ialah hari terakhir kami membuat pengembaraan di daerah Bengkulu. Jadual penerbangan ke Palembang adalah pada pukul 6 petang. Maka kita tidak boleh membazir waktu dengan hanya duduk rehat atau tidur. Selesai sahaja bersarapan awal pagi kita sudah bersiap-siap untuk menyambung semula pengembaraan yang tertunda semalam. Cadangan kita ingin ke menyaksikan semula suasana permandangan waktu pagi di Ladang Teh Kepahiang yang terlepas semalam. 






Perjalanan waktu pagi disini tidak sama dengan permandangan di tempat sendiri. Disini saya berpeluang memerhatikan penduduk tempatan Kepahiang, Bengkulu melakukan kegiatan harian mereka. Kanak-kanak hendak ke sekolah memakai baju seragam  berbaris berjalan kaki ditepi jalan sambil berbual dan ketawa sesama sendiri. 


Setiap sekolah mempunyai baju seragam yang tersendiri mengikut citarasa pentadbir Sekolah. Ia tidak sepertimana di Malaysia yang telah ditetapkan baju putih kepada semua sekolah diseluruh negara. Di sepanjang jalan yang sama juga kelihatan kumpulan pekerja-pekerja pemetik daun teh dari kalangan ibu-ibu separuh umur. Dibelakang mereka mengendong bag kain siap dengan memakai topi. Mereka  berbaris-baris berjalan perlahan-lahan masuk melalui lorong-lorong  ke dalam ladang teh . 



Siri Permandangan Kegiatan Masyarakat Setempat Di Ladang Teh Kepahiang


Kumpulan pekerja pemetik daun teh bersama-sama hasil daun teh yang dilonggokkan







Awal pagi itu jugak pekerja memperbaiki longkang jalanraya sudah mula membanting tulang membuat kerja-kerja jalan.  Memandangkan saya telah mengetahui seluk beluk laluan kesana, maka perjalanan menjadi lancar. Waktu pagi kenderaan orang ramai masih tidak banyak lagi, kami cuma mengambil masa lebih kurang 35 minit sahaja.













Keyakinan sebegini sebenarnya tidak elok kepada diri sendiri sehingga terjejas tumpuan menunggang motosikal. Kejadian mencemaskan berlaku disatu selekoh dikawasan Ladang Teh dimana motosikal kami nyaris terbabas kerana jalanraya pagi itu licin dan berlumut. Entah macamana motosikal dapat dikawal saya sendiri pun tidak tahu. Hanya dipanjatkan keshukuran dan berterima kasih kepada Allah yang menyelamatkan kami pada pagi Jumaat. 



















Siri Permandangan Ladang Teh , Kepahiang.































Menghabiskan masa disitu menikmati permandangan dalam suasana dingin damai di kawasan pedalaman Kepahiang. Setelah sesi merakam kenangan di Ladang Teh Kapahiang selesai, kita merancang hendak singgah melihat Bunga Bangkai di Liku Sembilan. Tiba-tiba enjin motosikal payah untuk  dihidupkan enjinnya sekali lagi. Kadang-kadang boleh dan kadang-kadang tidak boleh. Pelik juga kerosakan motosikal seperti ini, sedangkan baru semalam bateri telah diganti dengan bateri baharu. 


Keadaan begini tidak menyeronokan diri saya, kerana memikirkan jadual  penerbangan pulang ke Palembang adalah pukul 7:00 malam . Kita merancang harus sampai awal di Bandara Fatimahwati Soekarno selewat-lewatnya jam 5:30 petang. Memandangkan waktu ketika itu baru jam 11:00 pagi, maka saya tidak mahu berjudi dengan risiko kerana apa-apa boleh berlaku. Mencuba sampai enjin dapat dihidupkan kemudian terus  pergi semula berjumpa dengan  Saudara Yikie Fikalos dan minta pertolongan daripadanya sekali lagi.



Saudara Yikie Fikalos pun juga turut terkejut dengan kedatangan saya pada pagi Jumaat itu. Setelah memaklumkan apa yang terjadi, Saudara Yikie Fikalos terus memeriksa katab/rectifier motor.  Setelah membuat pemeriksaan demi pemeriksaan , beliau mendapati alat itu lah yang menyebabkan bateri tidak dapat mengawal voltan dan tidak berupaya menyimpan cas aliran  elektrik bateri.Setelah mengesahkan alat itu rosak dan menjadi punca kepada enjin motorsikal tidak boleh dihidupkan. Maka masing-masing faham alat ganti katab/recifier motor perlu diganti. 



Sepertimana kami maklumi  Toko Utama Aki cuma menjual bateri bukannya kedai memperbaiki motosikal. Tidak mempunyai stok alat ganti dan alat ganti model motosikal itu bukan mudah untuk diperoleh dengan segera .Maka dengan berlapang dada Saudara Yikie Fikalos sekali lagi menukar bateri baharu diganti semalam dengan bateri yang baharu tanpa mengenakan sebarang bayaran. 



Beliau memberi jaminan dan menegaskan bahawa kekuatan bateri baharu itu berupaya membawa motosikal dari Kepahiang ke Bandara Fatimahwati Soekarno. Sekali lagi kita bersilaturahim berbual panjang sambil minum kopi pahit rasa istimewa. Kalau hendak diikutkan leceh, senang, susah , untung rugi , boleh sahaja Saudara Yikie Fikalos menyatakan kepada saya kedainya adalah kedai menjual bateri, beliau telah pun menukar bateri yang baharu , maka tanggungjawabnya telah selesai disitu. 



Apa yang berlaku selepas itu bukan lagi tanggungjawabnya lagi. Masalah yang saya hadapi itu bukan masalah atau beban bagi dia lagi. Namun sikap dan adab kesantunan Saudara Yikie Fikalos itu tinggi beliau  menggunakan kepakaran ilmu pengetahuan membaik pulih Motosikal VESPA untuk membantu saya. Ini satu perkara yang saya sanjung dan hargai, lebih-lebih lagi ketika saya dalam saat kesusahan tatkala sedang menggembara di negara orang. 



Harapan dan doa saya, budi baik Saudara Yikie Fikalos itu dibalas dan dirahmati oleh Allah, agar dibalas dengan segala macam kebaikkan dalam kehidupannya. Hendaknya perniagaan yang 6 bulan baru diusahakan itu akan terus maju dan mendapat keuntungan yang tidak putus-putus. Dari situ dapatlah Saudara Yikie Fikalos memperbesarkan perniagaan itu ke pekan Curup pula.





Setelah mendapat bateri baharu dan mendapat keyakinan, kita  meneruskan pengembaraan pergi ke Pusat Konservasi Tumbuhan Bangkai yang terletak diantara perjalanan pekan Kepahiang ke Bandara  Fatimahwati Soekarnoe. Laluan yang sama ketika kita hendak ke pekan Curup semasa datang beberapa hari yang lepas. Pada ketika itu perjalanan kami di dalam keadaan hujan lebat, kita tidak nampak apa-apa pun disepanjang kiri dan kanan jalan. 




Sebelum sampai ke kawasan Pusat Konservasi Tumbuhan Bangkai, singgah sebentar membeli ole-ole ditepi jalan di sebuah pekan. Ole-ole buah tangan hasil pembuatan orang tempatan di Bengkulu. Saya dapati hampir semua Ole-ole hampir sama sahaja dengan apa yang ada di negara saya. Kerepek Pisang, Kerepek Ubi, Kerepek Keladi, Pisang Salai, Kerepek Sayur-sayuran . Macam membeli kerepek di Pasar Jawa Kelang atau dipasar tani dilembah kelang.




Kalau hendak ikutkan sangat, tidak ada sebab untuk beli pun, namun saja-saja untuk bersilatuharim dengan penduduk tempatan. Kami jadikan proses membeli itu sebagai sebab untuk bersilatuharim. Seronok berbual-bual dengan masyarakat tempatan dalam topik kehidupan seharian mereka.Pada ketika itu azan dari corong pembesar suara masjid sedang berkumandang menandakan solat Jumaat sudah masuk. Sudahlah tidak bersembahyang, segan pulak berada ditepi jalan terlalu lama, kita cepat-cepat memilih dan membuat pembayaran tanpa proses tawar menawar harga.  Agar kerepek-kerepek itu nanti, dapat dimakan semasa menunggu di lapangan terbang .




Ketika meneruskan perjalanan , Saya mendapat dua rasa pengalaman melalui jalanraya yang menghubungkan kawasan tanah rendah dengan kawasan tanah tinggi Bengkulu. Pertama, menunggang dalam kesejukan ketika keadaan hujan yang sangat lebat, dengan permukaan jalanraya yang licin . Kedua   dalam keadaan  bersahaja dengan jalanraya lengang , cuaca terang benderang dalam keadaan cuaca dingin dan nyaman.




Perjalanan dari pekan Curup ke Kepahiang

Saya fikir laluan yang baru dinaik taraf ini, bakal menjadi kebanggaan kepada para pengembara bermotosikal bagi masyarakat di Bengkulu dan Pulau Sumatera. Laluan sejauh lebih kurang 53 kilometer itu,  sama sahaja memberi cabaran sehebat laluan di Kelok 44 di Sumatera Barat dan laluan dari Kota Solok ke Bukit Tinggi. Laluan di Bengkulu ini diberi nama Liku Sembilan mungkin kerana terlalu banyak cabaran selekoh tajam yang sempit yang harus dilepasi. Bukan itu sahaja, menunggang berselisih dengan kenderaan-kenderaan berat perdagang yang banyak melalui disini. 


Saudara Holidin warga Bengkulu merupakan pelupor konservasi & pakar tumbuhan Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc

Sepertimana yang dirancangkan, dalam perjalanan singgah berhenti di Pusat Konservasi Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium. Semasa berhenti ditepi  dipintu,   saya dapati kawasan disitu lengang tidak ada pengunjung. Mungkin disebabkan pada waktu itu orang sedang solat Jumaat atau memang tempat ini tidak dikunjungi pelawat kerana Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc belum berkembang lagi. Kemudian datang seorang pekerja  dengan ramah mesra menjemput kami masuk untuk melihat ke dalam pusat konservasi.


Anak-anak pokok Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc 

Sedang berjalan menuruni tangga , secara tidak semena-mena saya telah disapa dengan sopan dan mesra oleh seorang lelaki sebaya dengan umur saya. Berpakaian lusuh berkasut Pau Choo Kang mungkin baru selesai bercucuk tanam agaknya. Penampilan seperti pekebun-pekebun yang saya lihat ditapak pertanian di Bukit Koba Curup. Beliau mengekori saya sambil menerangkan satu persatu secara terperinci berkenaan tumbuhan bangkai ini. 



Pokok Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc 

Cara perincian penerangan beliau yang disampaikan kepada saya membuatkan kami berdua teruja. Sekilas rasa dalam benak hati sudah kenal individu itu , benar-benar mempunyai ilmu tentang tumbuhan Bangkai. Beliau bukan calang-calang orang rupa-rupanya, individu yang memberi penerangan ini memiliki ilmu pengetahuan yang cukup tinggi dalam bidang sains tumbuhan. Penampilan dan cara berpakaiannya sahaja, telah menutup gudang ilmu dalam dada yang dimiliki oleh beliau. 


Pokok Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc 


Sehingga menipu pandangan orang-orang yang tidak pentingkan ilmu pengetahuan. Sejurus itu dalam hati berkata, saya telah diberi keistimewaan menuntut ilmu dengan guru yang selayaknya. Walaupun sekejap, paling-paling tidak dapat berjumpa sendiri. Individu yang mempunyai hati besar dan bersungguh-sungguh dalam penjagaan dan konservasi tumbuhan unik.  . 


Pokok Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc 


Belajar dengan guru yang tinggi tahap ilmu pengetahuannya, secara percuma dengan bertentang mata. Rezeki seperti ini tidak akan datang selalu, janganlah di bazirkan. Maka selama hampir 3 jam saya melontarkan berbagai-bagai jenis soalan.  Daripada punca beliau memulakan usaha konservasi sehingga lah sampai sekarang yang masih bergelut memperjuangkan apa yang  ada didepan mata sekarang. 


Tunas bunga pokok Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc muncul dari bumi setelah melalui proses kematangan 

Demi menghargai dan dengan berkat pelajaran yang saya diterima daripada Saudara  Holidin, Guru Sains Tumbuhan Bangkai dari Bengkulu Indonesia itu. Maka disini saya catit kembali apa yang telah disampaikan secara lisan kepada saya. Saudara Holidin mengaku beliau tidak mendapat pendidikan dari mana-mana Universiti di Indonesia. Beliau sekadar tamat pendidikan sekolah menengah sahaja. Mula mengusahakan konservasi Bunga Bangkai  sepenuh masa  sejak 22 tahun yang lampau pada sekitar tahun 1998. Separuh usia mudanya diabdikan dirinya belajar melalui pengalaman kepayahan membiak , menanam dan mengenal. Mengetahui daripada mula bertunas sehingga akhir tumbuhan itu berbunga mekar dan layu. 


Tunas bunga pokok Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc 

Saudara Holidin mengetahui dengan terperinci proses kitaran kehidupan tumbuhan unik tersebut. Pada hemat saya Saudara Holidin terlebih layak dijadikan Professor dalam bidang tumbuhan Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium beccPengetahuan beliau bukan hanya kepada 1 spesis tumbuhan tersebut, tetapi kepada beberapa spesis tumbuhan bangkai yang ada di Pulau Sumatera. 

Bunga pokok Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc yang masih belum cukup tempoh untuk mekar
                                                                    
Di Pulau Sumatera,  Indonesia sahaja  terdapat 20 spesis bunga bangkai. Daripada jumlah itu 10 spesis boleh dijumpai tumbuh melata didalam hutan belentara  di provinsi Bengkulu.    Antara yang  ditanam dalam kawasan 3 ekar pusat konservasi kendalian Saudara Holidin itu adalah dari spesis Amorphpophallus variabilis, Amorphpophallus gigas, Amorphpophallus paeonifolius,  dan Rafflesia arnoldii. Ujarnya seorang Professor dari Universiti di Negara Jepun telah datang ke tempat Konservasi menuntut ilmu dan membuat kajian daripada beliau berbulan lama disitu. Pelajar-pelajar dari Universiti tempatan memang kerap datang untuk membuat tesis dan kertas ilmiah mereka disitu. 




Tumbuhan Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc merupakan tumbuhan rasmi bagi provinsi Bengkulu. Sejenis tumbuhan unik yang hidup melata didalam hutan rimba di Pulau Sumatera. Sebelum tumbuhan itu mengeluarkan bunga , tumbuhan induk akan  menjalani kitaran hidup dan mati dalam tempoh lebih kurang 4 ke 5 tahun. Selepas kematian itu barulah tunas bunga akan keluar membelah tanah membesar sedikit demi sedikit. Proses pembesaran bunga itu memang luarbiasa saiznya.  Bunganya sangat besar, yang mempunyai ketinggian mencapai sehingga 3 meter tinggi dengan kelopak mekar sebesar 135 cm. Mempunyai kelopak mekar  berwarna unggu gelap yang mengeluarkan bau busuk seperti bangkai. Tempoh mekarnya cuma 2 ke 3 hari sahaja sebelum layu dan kering menyembah bumi.



Pada mulanya saya sekadar ingin memenuhi permintaan isteri saya saja, yang beria-ia sangat ingin melihat bunga terbesar didunia. Namun setelah mendengar penenerangan daripada Saudara Holidin dan melihat sendiri batang pokok Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc, saya pulak yang lebih beria-ia ingin tahu daripada isteri saya. Sebelum mendapat maklumat daripada Saudara Holidin, saya sering bertemu tumbuhan  dari jenis sebatang dahan seperti  batang pokok Keladi didalam kawasan hutan dan belukar . Ia tumbuh tegak lurus sehingga pada paras lebih kurang 5 kaki dengan batang dahannya  berdaun dan berpecah serta bercabang.


Imej milik Saudara Holidin menunjukkan bunga sedang mekar berkembang.





Tumbuhan ini seringkali saya jumpa didalam hutan di negara saya Malaysia. Saya tidak menyangka tumbuhan unik seperti pohon Keladi itu, rupa-rupanya adalah dari keluarga yang sama. Tumbuhan itu boleh dijumpai di kawasan  kaki bukit Tabur Klang Gate Selangor. Tumbuhan ini juga banyak dijumpai di negeri Perlis tumbuh secara bertitih-titih didalam kebun pertanian. Sehinggakan penduduk disana menganggap tumbuhan ini setaraf dengan lalang. Dicantas-cantas tanpa ada rasa kesayangan.

Imej milik Saudara Holidin menunjukkan bunga sedang mekar berkembang.


Usaha konservasi yang dimulakan oleh Saudara Holidin sejak 1998 itu telah banyak memberi faedah manfaat kepada industri perlancongan dan pendidikan. Kalau dulu hanya orang yang masuk hutan sahaja , jikalau mereka bernasib baik maka dapatlah  melihat bunga itu sedang mekar. Tetapi sejak Saudara Holidin mula menanam dan menunjukkan kejayaan maka sedikit demi sedikit masyarakat dan pemerintah sedar. 

Gambar yang dikirim oleh Saudara Holidin menunjukkan bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc sedang mekar

Atas kesedaran itu maka ramailah warga Indonesia di Bengkulu mengambil kesempatan untuk sama-sama menanam tumbuhan tersebut. Samada untuk tujuan melihat bunga mekar atau pun sebagai usaha menjual anak-anak tunas tumbuhan  Bangkai sebagai sumber pendapatan sampingan mereka. Usaha yang telah dilakukan oleh Saudara Holidin telah membuka peluang kepada pengkaji dan pelajar untuk membuat kajian. Mereka tidak perlu ditakdirkan bernasib baik menjumpai tumbuhan ini jauh didalam jurang didalam hutan untuk membuat kajian. Masa mereka membuat kajian dapat dipendekkan setelah halangan logistik telah dapat diatasi.



Dalam bab ini saya sedikit musykil dan terlepas pandang untuk bertanya dengan Saudara Holidin. Katakan seorang warga tempatan terjumpa tumbuhan ini dikawasan Hutan Lindung milik kerajaan , apakah boleh mereka mengambil anak benihnya atau tunas, dibawa pulang untuk tujuan komersial. Dibawa pulang untuk dikembang biak secara pertanian didalam kebun persendirian mereka. Anak-anak benih itu pula ditawarkan kepada peminat botani yang ada diseluruh dunia dengan harga yang mahal.

Imej milik Saudara Holidin menunjukkan bunga sedang mekar berkembang.

Pusat Konservasi yang diwujudkan ini, semata-mata untuk menjaga spesis tumbuhan dari kepupusan. Kemudian mendidik khalayak masyarakat atas kepentingan dan keistimewaannya. Tidak ada satu kadar bayaran masuk dikenakan kepada setiap pengunjung, walaupun  berpuluh bas sarat dengan penumpang datang. Walaubagaimana setiap pengunjung perlu lah berfikir sendiri atas tanggung jawab mereka menyalurkan bantuan dan memberi sokongan moral terhadap usaha yang dijalankan oleh Saudara Holidin.



Saudara Holidin berkongsi rasa kecewa dan sedih beliau dengan saya , diatas tindakan ramai individu yang mengambil kesempatan atas dirinya. Tegasnya selagi kita ini dipanggil manusia, memang kerap malah selalu ada individu hidup dengan bermanis-manis muka. Seolah-olah menyokong dan mengikut setiap perkembangan status pertumbuhan Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc, itu.



Setelah mereka memperoleh maklumat tentang jangkaan, bila masanya bunga itu akan mekar, individu terbabit akan mula memasarkan kepada khalayak melalui halaman Facebook dan Instagram peribadi. Memandangkan memang susah untuk melihat tumbuhan ini mekar, maka ramailah orang tempatan dan luar negara hendak melihatnya.Individu ini  seolah-olah bertindak menjadi Pemandu Pelancong dengan meletakkan sejumlah kadar bayaran, tanpa pengetahuan atau perbincangan dengan pihak Saudara Holidin. Individu itu pulak menentukan harga kepada sesiapa yang hendak melihat bunga sedang mekar, dengan mengikut kadar harga se kepala.  




Dengan menggunakan sebuah Van Pelancong dengan anggaran 7 orang pelancong,  dia membawa pelanggannya masuk di pusat konservasi. Setiap pelancong yang masuk itu, pada mereka telah pun membayar yuran upah melihat bunga mekar kepada pemandu pelancong. Itu atas tanggung jawab individu/pemandu pelancong tersebut lah untuk memasukkan sejumlah wang yang adil dan berpatutan ke dalam peti sokongan konservasi atau pun tidak. Kebiasaannya yang dirasai oleh Saudara Holidin sekadar kata-kata manis dan ucapkan terima kasih sahaja.



Itu kisah individu yang mengambil kesempatan laba keuntungan atas angin menggunakan Van. Belum lagi yang menggunakan bas persiaran yang berupaya mengaut keuntungan atas angin dengan jumlah yang lebih lumayan. Perkara sebeginilah yang Saudara Holidin selalu hadapi dangan rasa ralat dan terkilan. Pada sudut mereka, itu bukan satu perkara atau perbuatan yang telah melanggar mana-mana undang-undang dalam negara. Mereka tidak mengancam, tidak memaksa, tidak juga mengugut orang ramai untuk mendapatkan wang. Inilah masalah yang berbangkit kepada pusat konservasi yang jujur yang tidak mengenakan yuran masuk.

Maka disitu ada ruang orang-orang yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan. Mereka dapat menunggang atas angin dalam sembunyi dengan berwajahkan kawan, pemandu pelancong, dan rakan konservasi. Bebas meletakan sejumlah nilai derma dan bantuan konservasi yang mereka suka. 


Pada mereka derma bantuan  yang disalurkan sudah cukup baik dan memadai. Derma bantuan itu bukanlah satu kewajipan tetapi ianya hanya suka rela sahaja dan tiada paksaan. Malah tidak mendedahkan mereka jatuh berdosa jika tidak menderma. Walaubagaimana pun pada hemat saya dan kebanyakan warga yang besar hatinya, perbuatan mengambil kesempatan itu telah mencederakan dan merosakan moral manusia. Moral perbuatan seperti itu secara nalurinya adalah tidak betul dan tidak boleh diterima oleh akal budi.



Memandangkan masa tidak mengizinkan, sebelum kami berpisah.. entahkan bila dapat bertemu semula. Saya ada melontarkan cadangan kepada Saudara Holidin supaya beliau mendokumenkan setiap apa yang diketahuinya tentang tumbuhan Bunga Bangkai-Amorphpophallus titanium becc, secara penulisan ilmiah. Apa-apa hasil kajian dan penemuan yang telah diperolehi sepanjang 22 tahun beliau berkecimpung dalam bidang botani. 



Susun dan lukis gambarajah tumbuhan mengikut  sudut pemandangan diri sendiri tanpa mengikut sumber lain. Ilmu pengetahunan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita hendaklah dipanjangkan kepada orang-orang terkemudian. Adalah menjadi satu kerugian  dan sia-sia jikalau tidak didokumuenkan, nanti ia akan hilang lenyap bersama sipemiliknya apabila berlaku kematian. Saya harap pada waktu sekarang anak-anak Saudara Holidin atau rakan telah mula membantu beliau mendokumenkan sepertimana cadangan saya itu.



Selepas mengucapkan terima kasih dan salam perpisahan dengan Saudara Holidin kita meneruskan perjalanan menuju ke Pekan Bengkulu. Kekuatiran itu tetap ada, kalau-kalau enjin motosikal tidak dapat dihidupkan kerana lama berhenti. Alhamdulilah sepertimana yang ditegaskan oleh Saudara Yokie, bateri baharu itu berupaya menghidupkan  enjin.




Perjalanan pulang pada kali ini memang terasa berlainan enjoynya. Menunggang motosikal menggunakan laluan membelah pergunungan berselekoh sempit dan tajam sejauh lebih kurang 50 kilometer tanpa gangguan banyak kenderaan. Entah kenapa jalanraya pada waktu itu lengang. Melayan selekoh-selekoh yang terlalu banyak untuk dikira. Samada menurun bukit atau selekoh mendaki laluan berbukit.Berselisih dengan kenderaan pun selang 3 ke 4 minit sekali. 




Cahaya cerah terang, angin pergunungan segar sejuk bertiup dengan dikiri kanan permandangannya luas kehijauan hutan. Sesekali kita berhenti merakam gambar kenangan dan berehat ditepi jalan melihat permandangan indah yang tenang hening. Mendengar kicauan burung dan laungan sahut menyahut suara Ungka Siamang.








Perjalanan pulang dirasakan terlalu sekejap sahaja lebih kurang 3 jam berbanding 5 jam semasa datang tempoh hari. Mungkin kita banyak berhenti bertanyakan hala tuju perjalanan agaknya dan  terganggu oleh hujan lebat. Laluan Liku Sembilan Bengkulu ini pada hemat saya adalah antara laluan yang harus dirasai oleh pengemar aktiviti pengembaraan bermotosikal . Laluan Liku Sembilan ini sama hebatnya dengan Kelok 44 bagi peminat kembara berbasikal. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati dengan kadar yang berpatutan.


Kita sampai dikawasan Lapangan Terbang Fatimahwati Sukarnoe pada jam 5:00 petang. Daripada duduk menunggu ketibaan wakil pemilik motosikal tiba dilapangan terbang secara termenung. Ada baiknya, baki masa yang  ada dihabiskan dengan merayau-rayau dikawasan perumahan penduduk berdekatan dengan lapangan terbang. Rupa-rupanya disaat akhir berada di Provinsi Bengkulu masih ada lagi pengalaman yang hendak di beri rasa kepada kami.

Rakam kenangan di kawasan rehat Liku Sembilan, Bengkulu





Poster mengalu-alukan kedatangan President Indonesia Bapak Jokowi Widodo ke daerah Bengkulu



Poster mengalu-alukan kedatangan President Indonesia Bapak Jokowi Widodo ke daerah Bengkulu-Dari Bengkulu untuk Jokowi




Berdekatan dengan Lapangan terbang saya terjumpa satu majlis perkahwinan masyarakat tempatan yang baru sahaja selesai. Majlis Perkahwinan antara suku kaum Minangkabau dan suku kaum Bengkulu. Set seni hiasan pelamin pengantin acara perkahwinan mereka memang nampak terserlah. Tidak pernah saya saksikan set begini meriah di Malaysia. Selayaknya pasangan pengantin itu merasai menjadi Raja Sehari. Meminta izin daripada tuan rumah untuk menjadikan set pelamin mereka untuk sesi fotografi.


Semasa sesi rakaman set perlamin saya teringat akan kenalan saya  yang telah bermastautin di Maninjau, Sumatera Barat. Kenalan saya itu Saudara Bodie Wijaya berasal dari wilayah Bengkulu juga berkahwin dengan suku kaum Minangkabau Sumatera Barat.Dalam fikiran saya, agaknya beginilah upacara yang beliau raikan semasa dia mengadakan sambutan majlis perkahwinannya dahulu. Tidak menyangka cadangnya dulu mengembara di tempat asalnya daerah Bengkulu memberi peluang melihat berbagai macam kenangan dan pengalaman. 





Terima kasih atas kesudian beliau membenarkan set perkahwinan dijadikan sesi rakaman. Terima kasih juga kerana merakam gambar kenangan kami.

Sebaik sahaja selesai sesi fotografi diatas pelamin, wakil pemilik motosikal tiba. Dengan segera melaksanankan proses pemulangan dokumen, kunci , helmet dan motosikal kepada wakil pemilik motosikal. Kami juga memaklumkan semua masalah yang menimpa kami sepanjang tempoh penyewaan motosikal . Memakumkan juga bateri motosikal telah diganti dengan bateri yang baharu dan menyerahkan resit pembelian kepada wakil pemilik motosikal, sebelum mengucapkan terima kasih dan beredar masuk ke dalam Lapangan terbang.




Permandangan dari sudut atas udara bandar Palembang

Pesawat mendarat tiba di Lapangan terbang Palembang pada jam 9:00 malam , kita tidak  menunggu lama kerana  Bapak Ubey telah datang dengan motosikal sewa sepertimana yang telah dijanjikan. Setelah mengambil kunci terus ke Bandar Palembang untuk mencari tempat penginapan. Kali ini tempat penginapan harus berdekatan dengan  Lapangan Terbang demi memudahkan urusan perjalanan pulang pada petang keesokkan harinya.


Permandangan dari sudut atas udara bandar Palembang pada waktu malam

Kita menginap di Penginapan Rumah Hijau OYO yang agak mahal sedikit. Untuk hari terakhir kita ingin merasa sedikit keselesaan setelah berjimat-jimat selama 6 hari mengembara. Baki wang pun masih ada lagi, apalah salahnya sesekali memanjakan diri. Setelah menyimpan semua bag  didalam bilik penginapan, kita keluar semula untuk makan malam. Merasa pengalaman merayau-rayau  menunggang motosikal pada waktu malam didalam bandar Palembang.





Hari Ke Enam
8 Dis 2018 Sabtu.





Awal pagi selepas selesai bersarapan, kita bercadang untuk ke Bandar Palembang untuk melihat aktiviti dan suasana harian masyarakat Palembang. Memandangkan tempoh keluar daripada Rumah Penginapan pada pukul 1:00 tengahari, maka kita keluar sehelai sepinggang tanpa membawa beban bag. Merancang akan akan datang semula ke Hotel untuk membersihkan diri , menggunakan tandas selesa , mengambil bag dan memulang kunci .




Bandar Palembang memang sibuk-sesibuk-sibuknya dengan pelbagai aktiviti perniagaan. Jumlah kenderaannya dari pelbagai jenis kenderaan moden dan tradisional memenuhi jalanraya. Luas jalanraya tidaklah sebesar mana untuk menampung jumlah kenderaan yang terlalu banyak disitu.Jadi mereka pandai bergilir-gilar atau bertolak ansur antara satu sama lain ketika diatas jalanraya. Pengalaman menunggang motosikal disepanjang laluan ke bandar Palembang, memang jarang sekali berlaku kemalangan. 


Sebagai langkah berjaga-jaga pekerja hotel akan mengunci motosikal milik tetamu hotel dengan rantai panjang setiap malam bagi mengelakkan kecurian motosikal. Beliau akan membuka semula rantai kunci itu pada setiap pagi.

Jumlah penghuninya terlalu ramai dan bangunan dibina terlalu rapat antara satu bangunan dengan bangunan lain. Katakan berlaku kemalangan malapetaka kebakaran memang sukar untuk memadamkan api  dikawasan seperti ini. Sistem kabel elektrik , telepon , internet berselirat tergantung pada tiang-tiang ditepi jalan. Katakan Chargeman dari Kuala Lumpur ditugaskan untuk menyelia pendawaian atau memperbaiki kabel, nescaya pasti mereka akan pening kepala. Sungguh pun dengan susun atur kabel berselirat namun begitu bekalan dan perhubungan tidak pernah terputus dan tergendala akibat susun atur cara begitu. 




Budaya mengutuskan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahunan.

Ada bercadang ingin mencari songket tradisional buatan tangan Palembang, maka kami masuklah laluan ke pasar yang memang menjadi pusat penjualan tenunan songket. Disitu memang banyak rumah kedai berderet-deret yang menjual kain songket. Entah kenapa pada ketika itu mata langsung tidak berkenan dengan corak yang dipasarkan. 


Budaya mengutuskan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahunan.


Saya ada mengidam kain tenunan songket tradisional yang pernah dipakai oleh Seniman Idris Sardi ketika membuat persembahannya di Istana Budaya dulu. Puas berpusing namun mata langsung tidak berkenan. Akhir-akhirnya kita habiskan masa berpusing-pusing melihat suasana kesibukan Bandar Palembang sahaja. 






Siri Permandangan Ketika Menyusuri Jalanraya Di Bandar Palembang





Pelajar sekolah sedang bersiap sedia untuk mengambil keputusan sijil persekolahan.

Perkhidmatan Beca secara komesial masih mendapat permintaan.

Perkhidmatan Beca secara komesial masih mendapat permintaan di Palembang.


Suasana biasa ketika ingin mengisi minyak petrol di stesen minyak.


Pengguna kenderaan lain akan memberi keutamaan dan kelapangan kepada kenderaan penarik beca. Lori atau kereta akan bersabar membuntut menunggu dibelakang beca kerana jalanraya disini tidak lebar.


Selamat datang ke Pasar Songket Palembang










































Markas Ketenteraan Republik Indonesia

Setelah puas masuk segenap pelusok lorong dan ceruk jalan dalam pekan itu, rasanya telah puas melihat dan tidak ada apa lagi yang hendak dilihat .Sepertimana yang dirancang kita akan berpatah balik menuju  ke rumah penginapan untuk mengambil bag-bag, kerana waktu untuk mengosongkan bilik telah cukup had. Sementara bilik air yang selesa ada, kita menggunakan kemudahan itu untuk membersihkan diri. Setelah selesai semuanya barulah memulangkan kunci bilik. 



Kemudian kita terus pergi ke Restauran yang mula-mula kita tiba dulu. Kedai Pal 7 yang mempunyai menu masakan ayam goreng. Rasanya yang enak itu disulam pula dengan minuman air jus mangga sejuk yang terlalu pekat likat,  seperti Susu Cap Teko. Kali ini memang saya sengaja ingin menurut sahaja hawa nafsu makan sebelum pulang ke tanahair petang nanti. Masa pun masih banyak lagi, maka kita makan dan makan dan makan sehingga 3 kali tambah. Manakala minuman jus pula pun begitu , saya meminta 3 gelas minuman jus berlainan rasa. Sesekali melayan kehendak hawa nafsu tekak, kadang-kadang memberi rasa keseronokan  seperti budak kecik..




Setelah  selesai makan sekenyak-kenyangnya kita berangkat menuju ke Lapangan Terbang Palembang. Sepanjang laluan ke Lapangan Terbang kelihatan papan iklan pada tiang-tiang LRT masih terlekat iklan Sukan Asia 18-8-18 Jakarta Palembang. Walaupun telah berakhir 3  atau 4 bulan yang lepas. Tentu pada ketika itu Bandar Palembang  2 kali lebih sibuk dan padat daripada sekarang. Tentu suasana lebih meriah dengan penghuninya memberi sokongan kepada atlet tempatan sambil mengaut laba daripada segala macam aktiviti perniagaan. 


Kesedapan, kepekatan dan likatnya air jus Mangga dan Avokado di Kedai Pal 7 Palembang akan menjadi penimbang aras jus yang tulen & diingati selalu.



Menyelesaikan segala urusan pemulangan motosikal , helmet, kunci dan roadtax kepada Bapak Ubey setibanya kami di kawasan lapangan kapal terbang. Seperti biasa di Lapangan Terbang Palembang sentiasa sibuk dan penuh dengan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan penerbangan.Urusan pemeriksaan pasport dan tapisan barang-barang peribadi berjalan dengan agak perlahan sedikit.   Ini , melambatkan urusan kami masuk ke dalam ruang berlepas.




Suka tak suka harungkan lah juga permasalahan yang sudah biasa berlaku di Lapangan Terbang. Setelah selesai, barulah dapat  duduk berehat sambil membuka komputer riba untuk melihat gambar-gambar yang dirakam sepanjang pengembaraan. Proses menanggung beban menunggu giliran menjadi ringan bila melihat gambar rakaman kenangan. Menunggu dengan selesa dan leka, tidak lah terasa lama dan jenuh menunggu jadual penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.





Sedang asyik melihat gambar tiba-tiba teringat kembali pengalaman motosikal rosak yang disewa tempoh hari itu . Kejadian tidak seronok dan mencemaskan sehingga mengendalakan perjalanan pengembaraan. Kejadian  motosikal rosak yang tidak pernah berlaku sebelum-sebelum ini.     Samada ketika  melakukan kembara mengelilingi Negeri Sabah https://reddoortohunt.blogspot.com/2017/04/kembara-kapcai-mengelilingi-negeri.html, Sarawak , mengeliling daerah Acheh https://reddoortohunt.blogspot.com/2018/05/kembara-silaturahim-bermotosikal-ke_9.html  atau mengeliling daerah Sumatera Barat.




Untuk cadangan masa akan datang, perkara ini harus dititik beratkan supaya tidak berulang sekali lagi. Banyak masa akan terbuang secara sia-sia dan banyak tempat tidak dapat dilawati. Menghadapi stuasi ketika keadaan untuk mengatasi permasalah seperti ini adalah sangat merugikan dari sudut perlancongan.  Memandangkan semua permasalahan itu telah selesai, maka saya terima perkara itu sebagai "ada hikmah yang tersembunyi". Tentu ada kebaikan telah berlaku kepada keselamatan diri tetapi kebaikan itu kami tidak mengetahuinya. 



Dalam hal kesesuaian jenis motosikal untuk kembara, jikalau diberi pilihan  saya akan memilih Motosikal Honda Future 125 i. Berbanding dengan jenis motorsikal yang lain. Mempunyai ruang simpanan dibawah tempat duduk yang luas, tanki minyak yang besar, penggunaan minyak yang menjimatkan. Paling utama motosikal ini mempunyai kekuatan dan kelasakkan untuk mengharung laluan berbukit yang tinggi mendonggak untuk satu tempoh yang lama.  Mana-mana motosikal yang tidak menggunakan rantai pula saya anggap sebagai motosikal yang berstatuskan Kucing Parsi. Motosikal yang nampak cantik tetapi manja dan tidak mempunyai kekuatan apabila dicabar dengan permukaan rupa bentuk bumi yang lasak atau mendonggak tinggi .



Siri Permandangan Dari Angkasa Bentuk Mukabumi Tanahair Tercinta Malaysia.










Permandangan Port Dickson dari sudut atas udara.


Diam tidak diam, kita sudah berada didalam pesawat Air Asia dalam penerbangan pulang menuju ke KLIA Kuala Lumpur. Pengalaman kembara ke Bengkulu via Palembang menambah kenangan mengembara di negara orang. Pengalaman yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit. Pengalaman yang tidak sama kita melihat , kita rasa dan kita bayangkan ketika melihat didalam siaran Youtube.



Ia satu jenis pengalaman yang kena berani kita rasa sendiri dilokasi pengembaraan itu. Pengalaman yang harus dirasa, dipelajari untuk percaturan serta persediaan pengembaraan ke tempat lain dimasa-masa hadapan. Sebab itu pada setiap masa kekuatan tubuh badan adalah penting untuk menghadapai cabaran lasak ketika mengembara. Maka kita kenalah sentiasa berusaha menyelenggara tubuh badan kita dengan bersenam dan bersukan . Dengan harapan  usaha menyelenggara tubuh badan itu, nanti Allah kurniakan  kesihatan tubuh badan yang baik. Setelah mendapat kurnia itu barulah boleh kita mencatu-catu sedikit baki simpanan rezeki kewangan yang ada. 



Boleh dijadikan modal untuk keluar dan memilih tempat untuk  mengembara. Kemudian barulah berani mencari kelapangan waktu yang sesuai untuk mengembara di bumi Allah yang tersangat luas. Buat sementara waktu tidak payah lah berangan-angan mengembara ke tempat yang jauh kerana belanjanya sangat mahal dan masa pun panjang. Memadai lah sahaja di negara jiran rapat Republik Indonesia. Disitu sahaja masih  banyak tempat yang cantik-cantik lagi belum dikunjungi. Teruja juga untuk mengembara di Pulau Borneo Kalimantan, Kepulauan Sulawasi, Pulau Jawa, Kepulauan Maluku sekiranya diberi kelapangan dan keselamatan.  Wasalam.