Friday 19 February 2016

Penemuan Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus Di Pulau Tuba


Penemuan Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus Di Gua Wang Buluh, Pulau Tuba.

Akhirnya setelah membuat  kunjungan kali ke 3 ke Gua Wang Buluh dalam tempoh 3 tahun sejak 2013 barulah terjawab kebenaran cadangan  Cikgu saya, Saudara Mike Chong. Ketika kunjungan pertama ke Gua Wang Buluh dahulu saya ada mengambil pecahan cengkerang kulit Siput yang dijumpai banyak bersepah dilantai Gua untuk dijadikan cenderahati. 



Pada ketika itu sangkaan saya, berpendapat kulit Siput yang dijumpai didalam Gua Wang Buluh, adalah tinggalan jutaan tahun dahulu. Tetapi beliau menafikan pandangan saya itu dan menyatakan kawasan  serpihan cengkerang kulit Siput  yang pecah itu adalah kawasan  Burung Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus . Menurutnya lagi longgokkan kulit-kulit Siput pecah itu merupakan lokasi  burung Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus memecahkan cengkerang Siput untuk dimakan isinya.


Dinding Gua Wang Lebah


Kawasan hutan yang tidak terganggu oleh sebarang aktiviti pembalakan

Makanan kegemaran burung Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus adalah dari jenis siput-siput yang dicari-carinya ditepi-tepi sungai dan kawasan berhampiran dengan pantai. Kemudian ia akan terbang membawa siput ke satu tempat di dalam Gua . Saya tidak pasti samada ia mengumpul Siput itu terlebih dahulu atau ia membawa dan terus  menghentak-hentak cengkerang Siput pada batu-batu  untuk mengeluarkan isinya. Apa yang pasti, burung Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus ini menjadikan Gua Wang Buluh sebagai lokasi ia makan , berehat ,bersarang dan tempat tinggalnya.


2016

2014

Kunjungan terbaharu pada Februari yang lepas di Gua Wang Buluh, dengan secara tidak semena-mena saya terdengar bunyi panggilan burung yang tidak pernah saya dengar. Sahutan suara bunyi itu seakan-akan bunyi Murai Kampong, bersahut-sahut pendek kemudian berhenti dan bersambung semula. Saya mengikuti sahaja ke arah bunyi sahutan burung yang asing pada pendengaran saya. Setelah meredah masuk 50 meter dari trek  hutan, kelihatan didalam cahaya suram seekor burung berwarna biru nila kehitaman sedang bertenggek diatas pelepah pokok Bertam. 


Longgokkan serpihan kulit cengkerang Siput


Cengkerang Kulit Siput dijumpai didalam gua yang terletak diatas kemuncak bukit batu kapur disekitar Hutan Simpan Pulau Tuba.

Mengekori dari belakang kemana sahaja burung itu dan membuat rakaman-rakaman keselamatan. Untuk saya menghampirinya adalah sangat susah kerana ia sangat pemalu kerana jarang berhadapan dengan manusia. Keadaan yang gelap menyukarkan lagi  saya membuat rakaman yang baik, tambahan pula burung itu memilih untuk hinggap dikawasan penuh dengan ranting-ranting kayu hutan.




Pemandangan dari mulut Gua Wang Buluh

Dalam pemerhatian secara terus dilapangan,  menunjukkan bahawa burung ini adalah dari spesis Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus, tetapi mengapa ia tidak mengeluarkan bunyi khas yang biasa saya dengari di  Frim Kepong. Apa yang pasti burung yang dijumpai di sekitar Gua Wang Lebah adalah dari spesis Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus tetapi mempunyai suara bunyi panggilan yang berbeza dengan yang Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus ditanah besar Semenanjung.


Kawasan sekitar didalam Gua Wang Buluh yang dingin dan suram cahayanya



Apakah spesis burung Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus yang berada di Pulau Tuba setelah terpisah jauh dengan keluarganya ditanah besar Semenanjung pada satu ketika dahulu, telah terlupa meniru bunyi akan melodi suaranya yang sebenar.



Hendaknya kepada pemburung yang berpengalaman silalah berkunjung kesini bagi memastikan kebenaran hujah cadangan ini. Atau mungkin pada ketika saya mengekorinya , burung ini sedang membunyikan nada atau not-not suara yang lain yang jarang didengari oleh pemburung seperti saya.



Dengan penemuan ini  maka sah lah  burung Tarum Siul Biru~Myophonus caeruleus juga boleh dijumpai di kawasan kepulauan utara Semenanjung Malaysia. Keadaan ini membuktikan burung ini telah hidup dengan aman sentosa berkembang biak didalam habitatnya dari masa kesemasa tanpa sebarang gangguan kemusnahan alam semula jadi. Hendaknya berita baik seperti ini akan terus menerus kekal. Wasalam. 



Tuesday 16 February 2016

Cekup Buluh~Manchuria~Acrocephalus tangorum


Cekup Buluh~Manchuria~Acrocephalus tangorum

Sementara menunggu giliran Feri tiba untuk ke Pulau Tuba, saya berkeliaran memburung disekitar Sawah padi dan paya yang berada tidak jauh daripada Jeti Kuala Perlis. Dikawasan berpaya itu saya berjaya menjumpai beberapa spesis burung seperti:-

1 Tuwu~Eudynamys scolopacea,
2. Pekaka Kupiah-hitam~Halcyon pileata , 
3.Lelayang Edible~Collocalia fuciphaga, Mandang Kuning~Ixobrychus sinensis,
4.Terik tengkok-hitam~Oriolus chinensis,
5.Tampung Cina~Ardeola bacchus, 
6.Cericap Perut-kuning~Prinia flaviventris,
7.Merbah Punggung-kuning,
8.Tekukur Tengkuk-bintik~Streptopeliac chinensis, 
9.Merbuk Aman~Geopilia striata, 
10.Selancang hitam-putih~Lalage nigra 
11.Cekup Buluh~Manchuria~Acrocephalus tangorum ( Hanya dapat membuat pengecaman setelah pulang membuat siasatan lanjut dan perbandingan ) .


Mengingatikan kembali akan perihal kelakuan burung Cekup Buluh~Manchuria~Acrocephalus tangorum mencari makan, saya boleh samakan pergerakan pantas dan perihal kelakuannya sama seperti burung Perincit Gunung~Orthotomus cuculatus yang terkenal dengan kepantasan. Dia hanya berada dikawasan terbuka hanya seketika sahaja,selebihnya burung ini akan berada didalam semak atau pun rumpun pokok disekitar gigi air. Kita hanya dapat mendengar bunyi panggilnya seperti cengkerik dalam not-not bunyi yang pendek. 



Burung hijrah yang hampir menyerupai dengan burung Cekup Buluh~Manchuria~Acrocephalus tangorum ialah burung Cekup Buluh Kening Hitam~Acrocephalus bistrigiceps  dan Cekup Padi~Acrocephalus agricola. Antara ketiga spesis keluarga Cekup Buluh ini memang sangat payah untuk membuat pengecaman jikalau hanya melihat menggunakan Teropong atau Skop ketika berada dilapangan.



Apa yang dapat membezakan kedua spesis burung ini adalah pada paruh burung dan pelepah ekornya. Dimana burung Cekup Buluh~Manchuria~Acrocephalus tangorum mempunyai paruh yang lebih panjang daripada burung Cekup Buluh Kening hitam~Acrocephalus bistrigiceps.



Sejak berkecimpong dalam bidang pemerhatian dan merakam imej burung, jesteru penemuan burung Cekup Buluh~Manchuria~Acrocephalus tangorum ini, telah menambah jumlah  senarai penemuan Burung-burung baharu kepada saya. Girang dan gembira. Wasalam.

Monday 15 February 2016

Beberek Mahkota-berangan~Merops leschenaulti


Beberek Mahkota-berangan~Merops leschenaulti
 










Tampung Cina~Ardeola bacchus


Tampung Cina~Ardeola bacchus .  ( Penampilan Buluhias Diluar Musim Mengawan. )





Sambar Kuning Oren~Ficedula narcissina


Sambar Kuning Oren~Ficedula narcissina ( Pra Matang )













Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus


Cabaran Merakam Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus Pada Waktu Malam.


Dalam perjalanan menaiki kereta ketika pergi makan malam secara tidak semena-mena seekor burung yang berada diatas jalanraya terperanjat lalu terbang hinggap diatas ranting ditepi jalan. Pada ketika itu saya tidak membawa kamera, tanpa berlengah-lengah terus berpatah balik ke bilik untuk mengambil peralatan rakaman saya. Dalam hati, dengan penuh yakin burung tukang itu pasti akan berada diatas ranting ditepi jalan. Pengalaman yang lepas burung ini tidak akan kemana-mana apabila kita terjumpa pada waktu malam. Sesampai dilokasi ia dijumpai, kelihatan burung tukang masih lagi bertenggek diam diatas ranting kering.



Maka bermulalah upacara sukar, bagaimana untuk merakam burung dalam keadaan gelap gelita tanpa menggunakan flash serta tripod. Seperti biasa saya halakan cahaya lampu tinggi kenderaan menghadap kearah burung dengan harapan ia tidak terbang. Dengan keadaan cahaya yang suram, saya mengenakan formula f yang paling besar dan shutterspeed ( 1/40 ) yang paling rendah sambil mendapat bantuan ISO berjumlah 400 untuk mendapatkan rakaman keselamatan. Setelah membuat beberapa rakaman serta yakin burung merasakan kehadiran saya tidak memdatangkan ancaman, selangkah demi selangkah  saya menghampirinya.




Saya berjaya menghampirinya pada jarak rakaman imej memotong sebahagian ekor burung, hinggakan saya berundur semula kebelakang untuk mendapatkan sudut yang saya fikirkan menarik. Setelah mendapatkan banyak imej yang difikirkan elok, saya mengecilkan pembukaan F kepada 6.3 dan shutterspeed kepada 1/20. Pada ketika ini saya terpaksa menggunakan lutut sebagai bantuan kepada alat rakaman supaya tidak mendatangkan gegar.



Sebanyak 168 rakaman berjaya dilakukan, namun begitu cuma 58 rakaman sahaja yang menepati kualiti yang dikehendak. Iaitu jelas berkaca dan tajam walaupun saya akui warna buluhias burung tidak menepati warna sebenarnya sepertimana membuat rakaman pada waktu siang hari. Walaubagaimana pun saya berpuas hati dengan hasil rakaman yang telah dilakukan dengan keadaan yang mencabar tanpa alat bantuan. Wasalam.

Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica


Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica

Peluang untuk melihat burung Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica ini agak tinggi jikalau kita berada dibahagian utara Semenanjung Malaysia. Kunjungan sebelum sebelum ini tidak mendatangkan hasil yang memuaskan hati dan saya menganggap ia sebagai belum ada rezeki. Tetapi kali ini bertempat di Tasik Timah Tasoh, Perlis burung Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica ini menjelmakan dirinya untuk satu tempoh yang mencukupi untuk saya  melihat dan merakam imejnya.

Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica- Jantan

Peluang kita akan lebih tinggi pada awal pagi ketika burung sedang dalam proses mengeringkan buluhias sebelum ia memulakan pencarian makanannya. Kalau sebelum ini saya hanya berpeluang melihat spesis jantannya sahaja, tetapi pada kali ini berpeluang pula melihat  burung secara berpasangan jantan dan betina. 


Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Betina

Ada besar kemungkinan pada bulan Februari burung ini dalam proses mencari pasangannya untuk mengawan. Kerana ketika pemerhatian dibuat burung jantan sedang melakukan upacara menarik perhatian burung betina. Burung jantan sedang mengeluarkan suaranya secara berketuk-ketuk dihadapan  burung betina sambil kepalanya tertunduk-tunduk. Ketika saya menghampirinya pasangan ini beralih tempat dan terbang menuju kearah pokok berdekatan. Walaupun telah beralih tempat kelihatan burung jantan masih berketuk-ketuk mengeluarkan suaranya untuk menarik perhatian  burung betina yang berada disitu.


Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Jantan
Ada besar kemungkinan juga burung ini terbang  atas kekhuatiran yang ia akan ditangkap oleh manusia kerana ia mempunyai nilai komersial. Burung ini digemari oleh penduduk tempatan kerana suara dan kecantikkan buluhiasnya. Maka tidak hairanlah jikalau ia bingkas terbang meninggalkan tempat ini dengan sertamerta.


Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Jantan


Sehingga sekarang saya masih tidak mengerti dimanakah keseronokan memelihara burung didalam sangkar. Apakah ada satu alasan yang kuat didalam mana-mana kitab yang menyokong atau menggalakkan burung dibela didalam sangkar ? Peliknya kepercayaan pengganut agama Buddha menggalakan pengganut-penganutnya membebaskan burung yang terpenjara didalam sangkar sebagai memerdekakan makhluk ciptaan Tuhan .  Tepuk dada tanyalah lubuk hati, adakah perbuatan memenjarakan burung didalam sangkar  perbuatan yang  benar. Wasalam.

Saturday 13 February 2016

Penjagaan & Mengekalkan Keistimewaan Khazanah Gua Wang Buloh, Pulau Tuba Kedah.


Penjagaan & Mengekalkan Keistimewaan Khazanah Gua Wang Buloh, Pulau Tuba Kedah.

Keistimewaan Gua Wang Buloh, Pulau Tuba dinegeri Kedah, adalah ia merupakan sebuah Gua yang letaknya dikemuncak kawasan hutan belentara berbukit-bukit. Hasil kajian geologi terhadap Gua  Batu kapur dikawasan ini, ia telah terbentuk secara semulajadi sejak 490 juta tahun yang lalu dan menjadikan binaan semulajadi Gua yang tertua di Malaysia.






Berdasarkan galian batuan semulajadi yang masih dapat dilihat didalam Gua Wang Buloh, kawasan ini dulunya adalah kawasan dasar laut, dimana terdapat beberapa bonggolan Terumbu Karang. Apa yang menarik ialah masih kelihatan kesan warna alga dan lumut berbagai warna yang masih kelihatan terlekat pada dinding-dinding gua.









Kawasan istimewa ini merupakan khazanah alam anugerah Allah yang telah menjadi milik kita, yang tidak ternilai harganya. Khazanah alam ini telah diamanahkan kepada kita untuk dijagai sebaik mungkin daripada terjejas dan kemusnahan. Pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh kita haruslah digunakan untuk kita menjaga sebaik mungkin khazanah ini.








Maka hendaknya kita semua haruslah mempunyai sikap yang bersungguh-sungguh menjaganya daripada dikorbankan oleh pihak Kapitalis yang berserongkol dengan Ahli-ahli Politik. Ahli-ahli Politik yang sama-sama tamak itu akan sentiasa memomokkan penduduk-penduduk tempatan yang Lemah Daya Fikiran supaya bersama-sama mereka untuk mendapat hasil kekayaan daripada galian didalam Gua-gua. Berwaspadalah sentiasa akan momokkan tipu daya dan helah puak Kapitalis Ahli Perniagaan dan Ahli-ahli Politik ini.








Bukti nyata telah banyak berlaku kepada kawasan Gua Batu Kapur yang telah banyak musnah didalam negara kita ini. Dan ia berlaku secara berulang-ulang kali sepanjang 58 tahun negara ini dibangunkan. Tidak perlulah kita nyatakan satu persatu Gua-gua Batu kapur yang telah musnah, kerana ia akan menambah luka bisa kepada hati-hati kita yang cinta dan sayangkan khazanah Alam Semulajadi negara ini.












Kelihatan batuan yang keras telah terpatah sehingga mencacatkan pemandangan bentuk semulajadi didalam Gua Wang Buloh.

Pastikan kawasan ini kekal dan terjaga dengan pengurusan yang sesempurna mungkin. Bebaskan kawasan ini daripada segala macam aktiviti yang berkemungkinan akan menjejaskan struktur muka bentuk binaan galian didalam gua ini. Samada aktiviti sukan lasak, aktiviti keagamaan, kegiatan tidak bermoral, pertapaan mahupun upacara pemujaan.


Pancaran dan pantulan cahaya matahari yang masuk melalui mulut-mulut gua pada ketika itu menghasilkan seperti ini.

Kepada pakar-pakar Gua Tempatan dianjurkan supaya memberi penyebaran ilmu pengetahuan secara kerap kepada khalayak tentang tata cara dan adab ketika membuat lawatan masuk kedalam Gua. Supaya setiap  pengunjung tempatan akan selalu bermotovasi tinggi ingin sentiasa menjaga alam sekitar ketika berada didalam gua.

Dalam waktu yang sama pancaran cahaya yang memantul pada lumut serta alga melekat didinding-dinding binaan semulajadi gua menghasilkan warna-warna menarik yang pelbagai.



Binaan secara semulajadi yang membentuk seperti kepala seekor Ular.

Bahagian Gua bentuk seperti mehrab didalam masjid.
Janganlah sesekali ada pengunjung melakukan kerja-kerja contengan atau ukiran vadalism kepada dinding Gua sebagai tanda, kononnya mereka pernah sampai ke Gua Wang Buloh. Perbuatan ini adalah mengambarkan tahap pemikiran yang mengaibkan. Pengunjung seperti ini adalah sangat tidak dialu-alukan untuk berkunjung kedalam mana-mana Gua.

Sebahagian permukaan Terumbu Karang yang telah terhaus kesan pijakan tapak kaki atau diduduki oleh punggung penggunjung.

Kelihatan warna kebiru-biruan yang masih kelihatan dipermukaan terumbu karang ini.


Warna warna menarik hasil gabungan alga, lumut, karat air dengan pantulan cahaya dibantu sedikit teknik rakaman.


Lapisan debu yang menutupi permukaan terumbu karang.

Bonggolan Terumbu Karang yang masih kekal kukuh dilantai Gua Wang Buloh, malangnaya terdapat kesan-kesan hakisan hasil dipijak oleh kaki.




Lawatan terbaharu pada Febuari 2016 ke Gua ini memberi dukacita  , kerana saya  telah mengesan sedikit  kerosakan kepada bentuk-bentuk batu galian didalam Gua dan peninggalan bonggolan terumbu karang didalam Gua Wang Buloh ini .

1. Beberapa permukaan Bonggulan Terumbu Batu Karang kelihatan sudah terhakis haus akibat dari kesan pijakkan tapak kasut penggunjung atau kesan diduduki dengan punggung manusia.

2. Terdapat serpihan stalatit yang telah patah yang tidak dapat dipastikan apa sebab dan puncanya ia patah dan jatuh jatuh ke lantai Gua.

Pantulan cahaya matahari pada ketika rakaman itu yang bergabung dengan lumut serta alga yang terlekat pada dinding gua mengeluarkan warna cahaya yang menarik. 

Batuan seolah-olah berbentuk manusia sedang berdiri sambil menadah tangan sambil berdoa dihadapan mulut Gua Wang Buloh.

Kenyataan Seni Rakaman.

Imej-imej rakaman yang dipaparkan ini adalah hasil daripada:-

A. Sedikit  teknik seni rakaman dengan bantuan cahaya-cahaya pantulan semulajadi yang ada didalam gua pada ketika rakaman dilakukan.



Pandangan hutan belentara yang menghijau yang dapat dilihat dari muka Gua Wang Buloh.



B. Ketepatan pemilihan sudut demi mendapatkan pencahayaan pantulan pada dinding yang bergabung dengan warna-warna pada dinding gua yang berbagai warna hasil kesan warna lumut, warna Alga, warna karat air, warna najis kelawar dan burung . 


Kesan haus terhakis permukaan bonggolan terumbu karang hasil daripada pijakkan tapak kaki penggunjung yang tidak diberi pengetahuan akan keistimewaan bonggolan terumbu karang berusia ratusan jutaan tahun.

Serpihan batuan galian stalitiat yang telah pecah.

C.  Warna rakaman ini juga telah ditingkatkan 20 peratus daripada warna asal didalam gua, bertujuan memberi sedikit gambaran keadaan asal Gua Wang Buloh pada suatu ketika dahulu.

Jesteru itu, permandangan mata kepala ketika berada di dalam Gua adalah tidak sama sekali dengan permandangan yang dilihat didalam imej. Wasalam.