Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica
Peluang untuk melihat burung Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica ini agak tinggi jikalau kita berada dibahagian utara Semenanjung Malaysia. Kunjungan sebelum sebelum ini tidak mendatangkan hasil yang memuaskan hati dan saya menganggap ia sebagai belum ada rezeki. Tetapi kali ini bertempat di Tasik Timah Tasoh, Perlis burung Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica ini menjelmakan dirinya untuk satu tempoh yang mencukupi untuk saya melihat dan merakam imejnya.
Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica- Jantan |
Peluang kita akan lebih tinggi pada awal pagi ketika burung sedang dalam proses mengeringkan buluhias sebelum ia memulakan pencarian makanannya. Kalau sebelum ini saya hanya berpeluang melihat spesis jantannya sahaja, tetapi pada kali ini berpeluang pula melihat burung secara berpasangan jantan dan betina.
Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Betina |
Ada besar kemungkinan pada bulan Februari burung ini dalam proses mencari pasangannya untuk mengawan. Kerana ketika pemerhatian dibuat burung jantan sedang melakukan upacara menarik perhatian burung betina. Burung jantan sedang mengeluarkan suaranya secara berketuk-ketuk dihadapan burung betina sambil kepalanya tertunduk-tunduk. Ketika saya menghampirinya pasangan ini beralih tempat dan terbang menuju kearah pokok berdekatan. Walaupun telah beralih tempat kelihatan burung jantan masih berketuk-ketuk mengeluarkan suaranya untuk menarik perhatian burung betina yang berada disitu.
Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Jantan |
Ada besar kemungkinan juga burung ini terbang atas kekhuatiran yang ia akan ditangkap oleh manusia kerana ia mempunyai nilai komersial. Burung ini digemari oleh penduduk tempatan kerana suara dan kecantikkan buluhiasnya. Maka tidak hairanlah jikalau ia bingkas terbang meninggalkan tempat ini dengan sertamerta.
Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Jantan |
Sehingga sekarang saya masih tidak mengerti dimanakah keseronokan memelihara burung didalam sangkar. Apakah ada satu alasan yang kuat didalam mana-mana kitab yang menyokong atau menggalakkan burung dibela didalam sangkar ? Peliknya kepercayaan pengganut agama Buddha menggalakan pengganut-penganutnya membebaskan burung yang terpenjara didalam sangkar sebagai memerdekakan makhluk ciptaan Tuhan . Tepuk dada tanyalah lubuk hati, adakah perbuatan memenjarakan burung didalam sangkar perbuatan yang benar. Wasalam.
No comments:
Post a Comment