Friday 12 July 2013

SIRI BURUNG-BURUNG LIAR MENCARI MAKANAN


TAKAU HIJAU~Calyptomena viridis

Dalam kalangan ahli Keluarga Takau, hanya Takau Hijau~Calyptomena viridis sahaja yang diet rujinya ialah dari jenis buah-buahan hutan. Sepanjang membuat pemerhatian terhadap burung Takau Hijau ini, tidak pernah terlihat akan mereka memakan selain buah-buahan. Buah-buah masak yang kerap mereka gemari ialah dari jenis Ara dan Palma. Mereka bersanggupan untuk menonjolkan diri tanpa menampakkan ketakutan terhadap manusia hanya semata-mata mendapatkan buah-buah tersebut.

Takau Hijau~Calyptomena viridis ( Jantan )

Mereka akan berada dipokok berbuah untuk satu jangka masa yang lama pada satu-satu masa. Malah akan mengulang-ulangkan kehadiran mereka ke pokok tersebut sehinggalah buah-buah habis, samada buah dimakan oleh burung-burung lain atau pun gugur ketanah.
 
Takau Hijau~Calyptomena viridis ( Betina )

Menjadi satu kemuyskilan kepada pemerhati burung seperti saya, atas dorongan apa mereka dapat mengetahui lokasi pokok yang sedang berbuah masak didalam hutan yang luas. Malah pokok-pokok  yang tumbuh bertaburan didalam hutan yang luas berbuah tidak mengikut musim. Tentu mereka mempunyai keistimewaan deria rasa ataupun deria naluri untuk mereka menconggak bagaimana dapat mereka mengetahui buah-buah akan masak yang boleh dimakannya. Adakah daripada deria pandang atau pun deria bau.
 
Takau Hijau~Calyptomena viridis ( Betina )

Alasan ini, boleh kita menganggap bahawa burung Takau Hijau~Calyptomena viridis ini kehidupannya adalah berpindah randah mengikut pada sumber makanannya yang banyak dan tidak putus. Ia akan sentiasa berada disekitar pokok yang sedang berbuah sehinggalah mereka menjumpai pokok berbuah yang lain di dalam hutan.
 

Berlainan pula dengan ahli keluarganya yang lain seperti Takau Hitam-merah ~ Cymbirhynchus macrorhynchos, Takau Ekor panjang~Psarisomus dalhousiae, Takau Dada perak~Serilophus lunatus, Takau belang~Eurylaimus javanicus, Takau hitam kuning~Eurylaimus ochromalus dan Takau Kicau kelabu~Corydon sumatranus yang diet mereka dari jenis serangga, dimana pada setiap ketika apabila lapar mereka akan mencari disetiap celah ranting pokok didalam hutan.



Andaikata mereka tidak mempunyai keistemewaan untuk menghidu lokasi pokok berbuah didalam hutan sudah pasti mereka akan mati kelaparan. Wasalam.

No comments:

Post a Comment