Tuesday 16 July 2013

SIRI BURUNG-BURUNG LIAR MENCARI MAKANAN


BELATUK SAYAP MERAH SAGA~Picus puniceus & BELATUK KATIK SUNDA~Dendrocopus moluccensis

Pada kita orang awam  melihat kepada burung Belatuk hanya pada kecantikkan susunan buluhiasnya  yang beranika warna serta patukkan pada batang-batang pokok kayu sahaja. Tetapi ketahuilah bahawa burung dari keluarga Belatuk merupakan burung yang istimewa kepada kita manusia, sekiranya kita mahu berfikir. Pada burung belatuk ini juga begitu banyak contoh kehebatan kebesaran pencipta alam ini yang sedia dirungkaikan kalau difikirkan.
 

Paruh burung belatuk yang runcing tajam ini cukup unik, ia seperti pahat ajaib yang tidak akan tumpul-tumpul. Perbandingan dengan pahat besi yang kita gunakan untuk menebuk kayu, lama kelamaan akan menjadi tumpul dan harus diasah semula untuk ditajamkan. Pekara ini tidak berlaku kepada paruh burung belatuk, ia berkebolehan tajam runcing secara semula jadi . Sepanjang hayat paruh digunakan untuk menebuk dan mencongkil batang kayu namun tidak akan tumpul dan sompek. Tidak pula dapat dihuraikan bagaimana keadaan tersebut boleh terjadi. Adakah disebabkan bentuk paruh atau pun keras paruh melebihi besi.


Allah menciptakan naluri burung belatuk yang cenderung kepada mematuk menebuk lobang pokok, samada untuk mencari makanan, membuat sarang atau memberi isyarat. Tentunya telah disediakan sekali akan kelebihan pada burung belatuk untuk mereka melakukan proses itu. Sistem dan kaedah pada leher, tengkuk, tengkorak kepala, kuku dan pelepah ekor burung dicipta untuk tujuan menebuk lobang tanpa mendatangkan sebarang mudarat. Hentakkan dan paluan yang bertalu-talu yang dilakukan burung tidak langsung memberi sebarang kemudaratan kepada sistem imbangan otak burung.Tetapi akan mendatangkan mudarat kepada makhluk lain sekiranya melakukan seperti belatuk. Burung belatuk dengan bersahaja mudah mematuk batang kayu keras dengan kuat bertalu-talu pada jangka waktu yang panjang. Baru-baru ini kumpulan pemikir dan pakar Automobil telah mengkaji kesempurnaan rekabentuk tengkorak kepala belatuk bagi di adaptasikan dalam bidang pembinaan  alat kalis hentakkan, bertujuan mengatasi masalah hentakkan tayar kereta atau pun hentakkan gempa bumi.


Pada kebiasaan burung hanya mempunyai 2  ruas anggota kaki iaitu ruas peha dan ruas keting kaki. Tetapi ini berlainan pada burung Belatuk , mereka mempunyai 3 ruas anggota kaki , berkemungkinan besar untuk tujuan keselesaan bersangkut pada batang kayu. Samada dalam keadaan terbalik mahupun keadaan menegak pada batang pokok. Saiz dan panjang jari kakinya , sama panjang dengan saiz dan panjang keting burung, dan ia dilengkapi pula dengan kuku bercangkuk yang tajam. Batang pelepah ekor sebagai tongkat membantu burung untuk bersangkut dengan selesa untuk mencari makanan.


Burung belatuk mendapat makanannya dengan lidahnya yang panjang terjulur. Ia menjilat cecair dan serangga halus, ketika patukkan bertalu-talu dilakukan. Kaedah ini cukup mengelirukan pada pandangan pemerhati burung. Bagaimanakah perkara itu dilakukan, tidak dapat dihuraikan.






Burung Belatuk mempunyai keupayaan dan kemahiran membentuk lobang dalam bentuk bulat tepat tanpa menggunakan sebarang peralatan. Ia dilihat semacam mengenali bentuk seperti lonjong, petak 4 segi, dan bulat.Hanya menggunakan patukkan paruh dan ketepatan permandangan mata, ia mampu memperoleh ketepatan  mencorak lubang sarang dalam bentuk bulat tepat.



Kesempurnaan dalam kerjasama antara burung jantan dan betina membina lubang sarang yang sudah siap, menunjukkan betapa mahir burung belatuk mengorek dan membentuk sarang yang luas didalam perut batang kayu, yang berupaya didiami 2 ekor burung jantan betina burung dewasa dan anak-anak burung. Pekara ini bukannya satu pekerjaan mudah ia memerlukan kemahiran dan ilmu yang tinggi.

Serba sedikit yang dapat dihuraikan tentang burung belatuk ini, telah membuktikan bahawa ilmu pengetahuan yang ada didalam alam maya ini bukan hanya dikhususkan kepada manusia sahaja, tetapi kepada haiwan juga yang merupakan makhluk ciptaan pencipta yang maha hebat dan maha bijaksana. Wassalam.

No comments:

Post a Comment