Saturday, 26 November 2016

Kembara Memburung Ke Cameron Highland



Seperti biasa keluar rumah pada jam 10.30 pagi, tidak tahu kemana tuju hala untuk memburung pada hari ini. Keputusan hanya dibuat setelah beranggan-anggan untuk menjumpai burung Tekukur Khukhu Ekor-panjang~Macropygia unchall, Sambar Niltava Malaysia~Niltava sumatrana dan Perincat Coklat~Pyrrhula nipalensis yang berkemungkinan boleh dijumpai di tanah tinggi Berinchang Cameron Highland.


Pada ketika itu motor sedang meluncur laju ditengah jalan  Lebuhraya Karak dan membuat keputusan  untuk kesana. Perjalanan menggunakan laluan  melintas pekan Bentung , Raub, Sungai Koyan, Ringlet, Tanah Rata dan Pencawang Telekom di kaki Gunung Brinchang. Tiba di Pekan Sungai Koyan jam 2 petang dan berhenti untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan.



Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai

Permandangan Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai pada waktu siang

Jarak dari Sungai Koyan ke Pekan Ringlet dianggarkan lebih kurang 93 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 1 jam lagi. Dalam perjalanan ada dua kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi  menikmati pecutan enjin motosikal mereka di Lebuhraya itu. Dipercayai Lebuhraya ini memang sesuai bagi peminat motosikal mencuba kemahiran dan keupayaan enjin mereka kerana kurang kenderaan disini. 



Kembara secara berkumpulan adalah lebih menyenangkan jikalau berlaku masalah yang tidak dijangka.






Cuaca cerah serta berangin dan pemandangan Banjaran hijau Hutan Ulu Jelai dilihat seperti tidak ada aktiviti pembalakan disitu. Namun begitu terdapat papan-papan tanda yang menasihati pengguna jalan raya lebih berwaspada terhadap Lori Balak keluar masuk persimpangan. Hutan di Negeri Pahang mana mungkin tiada aktiviti pembalakan?

Siapakah agaknya yang menikmati hasil tanaman yang dijagai rapi seperti ini. Apakah untuk keperluan penduduk tempatan atau untuk keperluan pasaran penduduk luar negara.

Dipertengahan perjalanan saya berhenti untuk mencuba nasib membuat pemerhatian burung, kalau-kalau terjumpa burung yang jarang ditemui dikawasan Lembah Kelang. Mendapati burung-burung yang kelihatan dikiri kanan lebuhraya sama sahaja dan tidak ada kelainan spesies. Lebih kurang 2 atau 3 kilometer untuk tiba di Pekan Ringlet, saya  mendapati motorsikal saya semput dan menghadapi kesukaran untuk bergerak lancar. Walaupun enjin semput tetapi masih boleh juga meluncur dengan perlahan.

Kerajinan dan pengurusan industri pertanian yang cekap seperti ini harus dicontohi.




Keadaan perjalanan terpaksa diteruskan dalam keadaan yang tersekat-sekat pada kelajuan 20 kilometer sejam. Pada ketika ini mengharapkan supaya enjin motosikal tidak mati dipertengahan lebuhraya. Saya tidak sanggup  menanggung perasaan malu untuk mengemis  ehsan pengguna jalanraya yang pasti akan datang  untuk menghulur bantuan jika itu terjadi. Tidak mahu orang lain merasa serba salah atau kalau-kalau terpaksa memberi bantuan. Sifat tidak mahu terhutang perasaan kepada sesiapa jua pun. Pada saya biarlah  memberi bantuan kepada orang lain jangan saya yang menerima bantuan.




Getah Daiphram yang telah terkoyak.

Saudara Ah Meng mengesan Ball bearing roda hadapan yang telah pecah, dan beliau menasihi ianya harus ditukar bagi mengelakan kerosakan yang lebih teruk yang akan lebih menyusahkan.



Motosikal Honda Klasik

Motosikal Honda Klasik membawa maksud Kedai motor ini berpengalaman dalam bidang pemotoran.

Saudara Ah Meng menguji keupayaan enjin setelah memperbaikinya. Terima Kasih Saudara Ah Meng.

Setelah berpusing-pusing mencari kedai memperbaiki motosikal, akhirnya terjumpa sebuah kedai Motosikal yang menjalankan perniagaannya  pada hari Ahad, 2 kilometer dari pekan Ringlet. Setelah diperiksa, jangkaan enjin semput disebabkan pencucur plug yang telah lama tidak diganti adalah tidak tepat.  setelah ditukar masalah tersebut masih berlaku. Pekerja tersebut membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati getah Daiphram telah terkoyak. Mujur Alat ganti hanya tinggal 1 unit didalam stok mereka dengan harga RM 70.00.  Kerja-kerja menukar minyak enjin, menukar plug, menarik rantai, mengganti ball bearing tayar hadapan dan getah Daiphram  mengambil masa lebih kurang 1 jam. Jumlah upah yang dikenakan adalah sebanyak  RM 130.00 .Setelah selesai memperbaiki dan menguji keupayaan enjin maka perjalanan diteruskan dengan lancar serta selesa.

Ladang-ladang Teh yang terbentang luas di Cameron Highland.

Sungai Air Teh yang telah dibancuh pekat oleh penduduk-penduduk setempat di kawasan Cameron Highland yang diberi percuma kepada sesiapa sahaja untuk mengeteh bersama rakan-rakan.



Meneruskan perjalanan ke tanah tinggi Brinchang dan sampai dikemuncak pencawang Telekom dikaki Gunung Berinchang pada jam 4.00 petang. Suasana berkabus dan cahaya agak kurang disekitar kawasan itu. Burung-burung pula tidak aktif dan cuma dapat melihat seekor burung jenis  Sambar, dan mensyaki ianya  dari spesies Sambar Niltava Malaysia~Niltava sumatrana. Tidak berkesempatan pula untuk membuat rakaman kerana burung itu bertenggek di kawasan gelap. Berkeliaran dan menunggu lama sambil mencari-cari spesis burung yang lain namun usaha itu berakhir dengan kegagalan, burung langsung tidak muncul. Keadaan sudah mulai gelap dan jam telah menunjukkan pukul 7.00 malam dan bergegas turun pulang ke Kuala Lumpur.

Sepatutnya keadaan berkabus sebegini, burung-burung tanah tinggi aktif.



Semua pihak tidak mempunyai pendidikan moral kebersihan. Pengunjung sepatutnya membawa sendiri turun sampah mereka. Manakala Pengurusan sampah hanya menyediakan 2 tong sampah dan  tidak dipungut secara kerap.

Jabatan Perhutanan daerah Kuala Lipis sedang membangunkan kemudahan awam yang hanya nanti memberi keuntungan kepada pihak Kontraktor projek pembangunan ini sahaja. Pentadbiran dan kawal selia yang lemah dan lama-kelamaan akan terbiar, sepertimana kemudahan awam yang lain.



Pokok-pokok hutan jenis tanah tinggi yang telah  ditebang demi memberi laluan kepada pembinaan bangunan ini.

Pokok jenis yang berada dikawasan hutan tanah tinggi mengambil masa yang sangat lama untuk ia besar seperti ini.

Salah satu daripada 4 batang pokok matang yang telah ditebang, kononnya untuk pembangunan .


Hasil kurang cerdik pihak pengurusan projek.



Permandangan Pada Waktu Malam Di Kawasan Pertanian Tanah Tinggi Ringlet.


Perjalanan bermotosikal seorang diri pada waktu malam dari Pekan Ringlet ke Pekan Sungai Koyan merupakan satu pengalaman baharu dari aspek pemandangan.  Pada waktu senja ketika melintas  Pekan Ringlet, kelihatan terlalu banyak jumlah burung dari spesies Lelayang dan Sualo. Mereka berterbangan berpusing-pusing sambil mengeluarkan suara riuh diruang udara Pekan Ringlet. Sesetengahnya ada yang beterbangan berlegar-legar  menyambar serangga diudara. Apa yang pasti spesies burung Sualo Pacifik dan Sualo Jelapang mendominasi kawasan pekan Ringlet. Burung-burung ini bertenggek memenuhi setiap kabel Elektrik dan kabel Telekom. Beberapa kumpulan burung baru tiba, datang menderu-deru dan berebut-rebut mencari tempat untuk bertenggek disekitar pekan tersebut. Bunyi riuh kicauan burung diwaktu senja agak bising. Dari mana datangnya burung ini dengan jumlah yang terlalu banyak tidaklah dapat dipastikan. Mungkin dikawasan ini mempunyai sumber makanan asli yang banyak.


Kebiasaannya saya menunggang pada waktu malam apabila melintasi  kawasan lembah atau hutan kebiasaannya berkeadaan gelap gelita. Tetapi di sini sepanjang lebih kurang 4 hingga ke 5 kilometer, dikiri-kanan jalan diterangi oleh cahaya. Cahaya lampu yang dipasang oleh petani-petani disini  bertujuan mendapatkan cahaya haba kepanasan untuk tanaman mereka. Cahaya lampu yang terang memancar dikiri-kanan jalan , dan ada juga dari arah lereng bukit disepanjang jalan. Keadaan ini merupakan satu pengalaman menarik pada diri saya, mungkin tidak kepada orang lain.


Sepanjang merentasi lebuhraya dalam gelap gelita kebiasaannya saya akan membuka wizer topi keledar bertujuan mendapatkan pandangan yang jelas supaya boleh meningkatkan kelajuan dengan lebih yakin. Tetapi dikawasan ini wizer helmet terpaksa dikatupkan, kerana terlalu banyak serangga halus dan Serangga Kelkatu yang melanggar bahagian muka dan ada juga yang termasuk mata. Serangga yang terlalu banyak berterbangan dalam gelap menghempas muka menimbulkan kesakitan seperti tercucuk-cucuk oleh jarum guni pada muka. Hal keadaaan yang serupa ketika kita menunggang motosikal dalam hujan lebat.

Tentunya hasil tanaman ini akan dijual mahal kerana kos penyelengaraan yang tinggi. Rangka Besi, Jaring Lut Sinar, Upah Pekerja Asing, Baja, sistem pengairan, pendawaian elektrik, pemasangan ribuan mentol dan tenaga elektrik yang banyak.


Pengalaman menempuh serangga pada waktu malam di Lebuhraya Sungai Koyan ini telah memberi jawapan tepat mengapa Pekan Ringlet menjadi penghuni burung spesies Lelayang dan Sualo dalam jumlah yang sangat banyak. Faktor cahaya lampu-lampu yang dipasang oleh petani diatas tapak pertanian mereka telah menjadi tarikan kepada jutaan serangga yang menghuni  kawasan  hutan Ulu Jelai. Serangga ini akan menghurungi dikawasan cahaya lampu , dengan kehadirannya itu menjadi faktor utama  burung-burung  Lelayang dan Sualo  menghuni dikawasan mempunyai sumber makanan semulajadi yang terlalu banyak itu.

Keadaan seperti ini menunjukan pihak Syarikat Tenaga Elektrik Berhad memperolehi keuntungan yang banyak hasil daripada bayaran bill elektrik. Atau mungkin petani hanya menggunakan tenaga elektrik dari Generator milik sendiri.


Selepas melepasi kawasan pertanian Ringlet, suasana sejuk dan keadaan sangat gelap kerana tiada lampu jalan disepanjang lebuh raya tersebut. Cuma sesekali melintasi Pos Betau , Pos Batu , Pos Telanok, Kampong Orang Asli Sungai Kabuk  dan Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai sahaja yang terdapat beberapa batang lampu menerangi kawasan tersebut.


Pada waktu malam laluan ini memang kosong dan hampir tiada kenderaan, cuma sesekali memintas motosikal orang asli yang dipandu pelahan dengan pemboncengnya sedang mengalas batang sumpit, barangkali baru pulang daripada memburu.


Seperti kebiasaan  saya akan berhenti dikawasan yang gelap dipertengahan perjalanan kerana ingin menikmati suasana hening aman damai. Dalam  kegelapan malam pekat bersendirian sambil berfikir dan berandaian. Bermacam-macam andaian dan berkalau-kalau, untuk saya melahirkan perasaan berterima kasih kepada Tuhan. Apa akan jadi jika  rantai motor terputus , tayar bocor , mentol lampu motosikal terbakar ditengah-tengah lebuhraya  seorang diri dalam gelap gelita.




Biarlah berhenti dengan sengaja untuk menikmati hening damai daripada berhenti secara terpaksa yang memberi kepayahan. Selesai upacara berkalau-kalau saya meneruskan perjalanan dan berhenti di Pekan Sungai Koyan untuk mengisi minyak yang hampir kehabisan.


Suasana hening Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai pada waktu malam.

Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai

Perjalanan dari Sungai Koyan ke Kuala Lumpur tidak banyak perbezaan dengan perjalanan yang lampau, cuma terpaksa berhenti di Felda Tersang seketika untuk memakai baju hujan. Perjalanan terpaksa diperlahankan kerana permukaan jalanraya licin dan pemandangan juga tidak berapa jelas akibat hujan lebat serta ketiadaan lampu jalan.  Saya selamat sampai di Kuala Lumpur pada jam 12.30 malam dengan kejayaan mendapat penat. Wasalam.







Wednesday, 16 November 2016

Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Kuantuan Satu, Kuala Lumpur.


Imbauan Kenangan Manis 
Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Kuantuan Satu, Kuala Lumpur.

Sejarah Awal 

Pada 30 Julai 1960, Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah telah merasmikan Sekolah  Rendah Kebangsaan Jalan Kuantan Satu, Jalan Kuantan Kuala Lumpur. Sekolah ini telah di bina dalam Daerah Titiwangsa diatas tapak Lot No: 101 yang mempunyai keluasan 2.1 ekar. 


Gambar 1

Mengikut dokumen lama yang disimpan, Guru Besar pertama untuk Sekolah JKS 1 ini ialah Encik Phang Piang Fah. Beliau telah menjawat jawatan itu selama hampir 16 tahun, iaitu sejak dari awal lagi , ketika menumpang bilik darjah di Sekolah Jalan Batu Satu (1) , Jalan Raja Laut , Chow Kit Kuala Lumpur. Encik Phang Piang Fah menyandang jawatan Guru Besar  sehinggalah beliau bersara pada tahun  1976. Sementara menunggu pelantikan Guru Besar baharu  oleh Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu , jawatan Guru Besar sementara telah diwujudkan. Jawatan Guru Besar Sementara itu disandang oleh Cikgu P. Rajindran yang telah memangku jawatan Guru Besar sehingga tahun 1981. Selepas itu Encik Muhammad Bin Omar pula telah dilantik sebagai Guru Besar Sekolah JKS 1, berdasarkan urusan terakhir saya dengan pihak  Sekolah JKS 1 pada sekitar tahun 1981.

Gambar 2~Lencana Asal Sekolah yang berwarna kuning.



Saya telah meninggalkan Sekolah JKS 1 ,sudah hampir 40 tahun sejak tahun 31 Disember 1977. Selepas tarikh itu rakan-rakan sedarjah dan sekolah masing-masing telah membawa haluan sendiri untuk menjadi manusia. Pada ketika itu pandai-pandai lah untuk meneruskan kehidupan samada dalam bentuk yang dipilih atau menjalani kehidupan sekadar mengikut hanyutan deras gelombang arus kehidupan.

Gambar 3~Sijil Tamat Pelajaran Sekolah Rendah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu.

Gambar 4~Muka belakang Sijil Tamat Persekolahan

Pada ketika itu sistem perhubungan hanya terhad kepada hubungan surat menyurat atau pun menggunakan talian talipon awam. Dengan alasan yang dinyatakan itu maka hubungan silaturahim antara rakan-rakan sedarjah serta guru-guru telah terputus, adalah boleh dimaafkan. Apatah lagi masing-masing sudah selesa dengan mempunyai  kumpulan rakan-rakan sedarjah yang baharu di Sekolah Menengah, kemudian rakan-rakan di Universiti dan rakan-rakan sekerja.



Gambar 5~Barisan Guru-guru yang mengajar pada tahun 1968.

Tenaga Pengajar pada September 1968

Duduk dari kiri ke kanan.

Puan Low, Puan Amar Singh, Puan Ommen, Encik Phang Piang Fah ( Guru Besar ), Cik Moi,Cik Tan, Puan Cheong, dan Puan Kraal.

Berdiri ditengah dari kiri ke kanan

Encik Chong, Encik Chow, Cik Mary, Puan Singh, Cik Pathma, Cik Teh, Cik Sheila, Encik Yong dan Encik Chye

Berdiri dibelakang dari kiri ke kanan

Encik Leong, Encik Hamid, Encik Singam, Encik Lam, Encik Amran Hamid, Encik Victor, Encik Mokhtar, Ustaz Tumadi dan  Encik Ahmad Janor


Gambar 6~Keadaan Sekolah yang baharu siap dibina, dimana tembok penghadang jalan menuju ke Maktab Perguruan belum dibina lagi.


Tempoh 40 tahun tanpa khabar berita antara satu dengan yang lain itu sangatlah panjang dan tidak mengapa untuk kita tidak menyambung kembali  ikatan silaturahim sedarjah. Kerana  jalinan perkenalan itu cuma selama 6 tahun sahaja itupun ketika zaman kanak-kanak. Jika diabaikan sama  sekali pun tidak mengapa dan tidak mendatangkan sebarang kesan yang  membawa ancaman dosa.  



Gambar 7

Hubungan dengan Guru-guru pula langsung terputus terus, sehinggalah sekarang. Entahkan hidup , entahkan sudah meninggal dunia. Jikalau masih hidup, hendaknya mereka semua gembira, sihat dan tidak kesunyian dek ditinggalkan oleh anak-anak atau waris. Andaikata terjumpa pun belum tentu cikgu-cikgu ini akan mempunyai daya ingatan untuk mengingati setiap wajah anak-anak muridnya yang terlalu ramai. Apa yang penting pada kita , sentiasalah memperkenalkan diri dan ucapkan terima kasih kepada mereka, walaupun mereka sudah tidak mengenali diri kita, jika terjumpa. Kerana perbuatan ini adalah baja kepada kegembiraan kepada hati bekas Guru kita.



Gambar 8

Jadi mengapa saya ingin mengenang kembali zaman kanak-kanak yang sudah lenyap ditelan oleh zaman. Apa faedahnya untuk diri.? Adakah hanya sekadar ingin mengetahui kisah  penghujung untung-rugi nasib rakan-rakan secara tersembunyi. Atau seronok untuk memberi tahu rakan-rakan akan kisah-kisah gemilang penghujung diri sendiri secara berhelah. Atau macam-macam lagi niat-niat tersembunyi yang tidak wajar dizahirkan.



Gambar 9

Sebenarnya semua contoh dan andai-andai yang dinyatakan itu bukanlah  tujuan saya, untuk  mengenang kembali kisah silam zaman kanak-kanak semasa di Sekolah Rendah. Tetapi secara peribadi ia bertujuan   hanyalah untuk mengulang kembali mengecapi perasaan merasa seronok ketika merasa seronok semasa zaman kanak-kanak dahulu. Pada hemat saya, perasaan seronok mengenang zaman silam itu adalah, seperti kita merasa seronok dan bergembira apabila Pasukan Bolasepak yang kita sokong itu menang , menang dan menang lagi menang. Ia boleh dirasai samada secara bersendirian ataupun bersama rakan-rakan sealiran. Itu sahaja. Tidak ada perkara lain daripada itu.



Gambar 10

40 tahun satu jangka masa yang sangat lama, banyak perubahan telah berlaku dari sudut pembinaan Sekolah itu sendiri. Jikalau kita mengunjung kembali ke Sekolah JKS 1 sekarang, seolah-olah tempat kita belajar dahulu bukannya sekolah kita. Agak sukar untuk menjelmakan kenangan lampau ketika bermain-main, bersukan dan melakukan berbagai kelakuan nakal di sekolah itu dahulu. Tidak langsung dapat saya merasakan sesuatu yang indah sepertimana yang diangan-angankan. 


Gambar 11

Baru-baru ini saya telah mengunjungi Bapa Saudara saya , pangkat Pak Ngah iaitu  Cikgu Amran Hamid @ Cikgu Asya'ari . Beliau merupakan bekas Guru yang pernah mengajar di sekolah tersebut pada sekitar tahun 60an. Beliau jugalah yang membantu Arwah Bapa memasukkan saya belajar di Sekolah beraliran Kebangsaan yang mengutamakan pelajaran Bahasa Inggeris. Dalam pertemuan itu  beliau telah menunjukkan beberapa koleksi gambar-gambar Bangunan  Sekolah JKS 1 yang asal, yang dirakamnya dahulu . Koleksi gambar-gambar  kegiatan disekolah pada waktu itu telah mendatangkan rasa seronok sehingga terfikir ingin dikongsikan perasaan itu dengan rakan-rakan yang lain. Dengan mudah imej-imej tersebut telah mendatangkan imbauan kenangan lampau yang indah bersama rakan-rakan sedarjah. Segala peristiwa yang telah lupa, bangkit kembali sedikit demi sedikit didalam kutubkhanah ingatan saya. 

Gambar 12

Kenangan melihat dari tingkap bilik darjah dengan memandang ke arah padang sekolah cukup mendamaikan pada ketika itu. Menggelamun sementara  menunggu guru masuk ke dalam bilik darjah  timbul kembali. Pada masa itu pemandangan kearah kawasan padang sekolah dan bangunan Maktab Perguruan, tidak diiringi  oleh semua masalah dunia. Fikiran pada ketika itu jelas sangat senang dan hati bebas dari semua masalah. Seolah-olah peristiwa itu baru sahaja berlaku, ibarat seperti mimpi dan membuatkan saya senyum kesenangan hati.


Gambar 13

Ketika Cikgu mengajar, semua murid-murid dikehendaki duduk diatas lantai bertujuan pelajar dapat melihat apa yang ditulis olehnya  dari  dekat di papan hitam. Semua murid-murid terpaksa mendonggak memandang papan hitam, untuk melihatkan mata pelajaran yang ditulis dengan menggunakan kapur tulis  dan dipadam dengan pemadam. Bila Cikgu memadam tulisan dipapan hitam, mana-mana  murid yang duduk dihadapan kadang-kadang terpaksa terhidu debu kapur.

Gambar 14

Duduk dibahagian hadapan dari kiri ke kanan

Azahar, Chow Yong Fatt, Yong Fan Tham, Terlupa , Yong Hong Guan, Saya, Amin, Zulkifli, Terlupa dan Leong Poh Seng.

Duduk diatas kerusi dari kiri ke kanan

Terlupa, Jamilah, Zuraidah, Moi Sok Ling, Asmah, Mazni, Norhayati, Nor Hisyam, Raja Nor Arbayah, Terlupa, Rosmawati

Berdiri dibahagian hadapan dari kiri ke kanan

Abi George,Terlupa, Amir Hamzah, Abdul Rahman, Terlupa, Terlupa, Zaidi Mat Jaya,Terlupa, Terlupa, Terlupa ,Terlupa.

Bahagian belakang Sekali Dari Kiri ke Kanan.

Zainuddin, Zulkifli Ishak, Terlupa, Terlupa, Zamani Abas, Halim, Jasmi,Terlupa, Azahar, Alias Kamaruddin, Zamrud, Terlupa.

33 pelajar lelaki 11 pelajar perempuan


Gambar 15


Court Badminton@Sepak Takraw dan kantin sekolah juga banyak mendatangkan kenangan kepada saya kerana saya banyak menghabiskan masa dengan bermain-main bersama rakan sekolah. Boleh dikatakan persiapan untuk bermain menjadi keutamaan daripada persiapan untuk pelajaran. Bermain Guli, Gasing, Getah, Tepuk Kertas , bermain Police and Thief, Galah panjang serta Teng Teng. Pelajar perempuan pula bermain lompat getah dan batu seremban.

Di Kantin itu dapat saya bayangkan suasana waktu rehat, dimana saya dan pelajar lain berebut-rebut membeli Jajan , dan membeli Tikam. Rakan sedarjah pasti akan terkenang akan nasi lemak Ahmad Daud yang dibawanya dari rumah untuk dijual kepada rakan sedarjah.Nasi Lemak Ahmad Daud laris dan siapa lambat maka terpaksa menunggu peluang keesokan harinya.



Gambar 16

Setiap pagi hari Isnin, Cikgu Miss Moi akan bermain Piano mengiringi pelajar menyanyi lagu Kebangsaan Malaysia , Negara Ku, diikuti nyanyian lagu Negeri Selangor dan lagu Sekolah Jalan Kuantan 1. Entah bagaimana bunyi irama dan rentak lagu sekolah itu, tidak dapat diingati lagi.


Gambar 17

Lagu Sekolah

Suci usaha dan setia
Cogankata yang murni
SK Jalan Kuantan 1
Yang kami banggakan

Kami anak-anak watan
Mengerat perpaduan
Hormat menghormatlah sesama
Mencapai tujuan

Tunjukkan bakti mari berusaha
Tunjuk kemajuan kita
Tunjukkan taat dan didikasi
Sekolah yang dicintai

Suci usaha dan suci
Itulah pegangan kita
SK Jalan Kuantan 1
Tempat menuntut ilmu

Gambar 18


Gambar 19

Gambar 20

Gambar 21



Gambar 22~Tandatangan Cikgu Hamid dakwat berwarna biru dan Guru Besar berwarna hitam

Pada saya Temasya Sukan Tahunan, banyak memberi kenangan manis berbanding dengan pelajaran, kerana sejak tahun 1974 lagi, saya telah dapat merasakan nikmat kegembiraan mendahului melepasi garisan penamat dalam sukan larian deras 100 meter dan acara lain. Mewakili  Rumah Kuning sejak 1975 hingga 1977. Dalam tempoh tersebut banyak pingat telah berjaya diraih dan ianya masih dalam keadaan baik.

Gambar 23
Semasa di darjah 6 tahun 1977, pasukan Bolasepak Rumah Kuning telah menjadi Juara Bolasepak dalam kejohanan Bolasepak antara Rumah Biru, Merah dan Hijau. Masih ingat lagi dikawasan pengaja gol ada satu lopak yang besar dihadapan pintu gol yang menyusahkan pemain untuk menjaringkan gol. Setiap kali bermain bolasepak pakaian sukan akan lencun disebabkan  terpaksa meredah lopak-lopak diatas padang. 

Gambar 24. Bukti saya adalah ahli Persatuan Anak Serigala " Pengangkap "

Gambar 25

Gambar  26


gambar 27


Gambar 28

Gambar 29

Gambar 30
Terlalulah banyak kenangan yang berpusu-pusu keluar dari kutubkhanah ingatan saya, dan tidak dapat diceritakan semua. Memadailah ianya hanya bermain-main dalam ruang legar panca indera fikiran yang menghiburkan diri sendiri.

Gambar 31
Kepada teman sedarjah atau pun bekas pelajar Sekolah JKS 1, layanlah kenangan perbadi dan nikmati kenangan lalu itu, untuk mendatangkan keseronokan diri sendiri. Keseronokan yang tidak perlu mengeluarkan tenaga atau pun wang ringgit. Hanya sekadar melihat  sepintas lalu sahaja akan imej-imej lampau ini.


Gambar 32

Perlu diingati 40 tahun yang lalu, sedalam mana kasih sayang ibubapa terhadap kita, namun mereka tidak berupaya menghadiahkan imbasan kenangan seperti imej-imej ini. Kerana diwaktu itu tidak ramai yang berkemampuan memiliki alat rakaman kamera dan mempunyai banyak masa untuk bersama-sama kita disekolah. Tambahan lagi tidak ramai ibubapa akan menganggap imej -imej ini akan menjadi penting pada suatu masa kelak.


Gambar 33
Saya sangat menghargai rakaman imej seperti ini, kerana orang yang merakam imej ini telah mempunyai wawasan sejak 40 tahun yang lepas. Akan sampai waktunya imej yang dirakam ini akan membuat insan seperti saya merasa senang hati apabila melihatnya. Saya turut menghargai kesungguhan beliau menjaga imej ini dalam keadaan yang sangat baik. Yang pastinya di Arkib Negara tidak menyimpan semua imej-imej lampau ini.


Gambar 34
Gambar milik Cikgu Cikgu Amran Abdul Hamid.

Gambar 5, Gambar 6, Gambar 7, Gambar 8, Gambar 9, Gambar 10, Gambar 11, Gambar 12, Gambar 13, Gambar 15, Gambar 16, Gambar 23, Gambar 27, Gambar 30 ,Gambar 31,Gambar 32 dan Gambar 33


Gambar 35~ Terima kasih kerana sudi menerima kedatangan saya, walaupun hari sudah lewat malam.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pak Ngah Amran @ Cikgu Amran kerana telah mempunyai wawasan 40 , 50 tahun yang lalu ketika  merakam , menjagai, menyimpan dengan baik semua imej-imej yang dikongsikan ini. Perkongsian imej secara percuma ini telah  mendatangkan kesenangan dan kesukaan hati kepada ramai bekas pelajar Sekolah Jalan Kuantan 1 .
Gambar 36

 Terdiri dari berbagai lapisan keturunan Melayu, Cina, India, Punjabi ,Serani dan Iban. Dari lubuk hati yang dalam, saya mengucapkan berbanyak-banyak  terima kasih dan sangat menghargainya kerana telah memberi kebenaran untuk merakam kembali imej-imej milik simpanannya untuk dikongsi dengan bekas pelajar Sekolah Jalan Kuantan Satu, Kuala Lumpur. Wasalam.



Wednesday, 9 November 2016

Penemuan Spesies Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus


Penemuan Spesies Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus Di Hutan Simpan Dara Hulu Gombak, Selangor Semenanjung Malaysia.

Rosla Bin Mustakim
Alamat:  Red Door To Hunt
Email: rosla.m3@gmail.com


Gambar 1~Burung sedang membuat imbangan ketika meniti besi penghadang jalan.


ABSTRAK~ Di Semenanjung Malaysia  3 spesies dari keluarga Burung Pucung Malam boleh kita temui, iaitu Pucung Malam Mahkota-hitam ~Nycticorax nycticorax , Pucung Malam Leher Perang~Nycticorax caledonicus dan  Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus . Pucung Malam Mahkota-hitam ~Nycticorax nycticorax merupakan burung tempatan yang boleh ditemuinya sepanjang tahun. Manakala Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus  dan Pucung Malam Leher-Perang~Nycticorax caledonicus merupakan burung hijrah yang menjadi "Pengunjung Musim Sejuk" (Winter Visitor)   yang membuat "Laluan Lintasan  Musim Sejuk "(Passage Visitor) di Semenanjung Malaysia sebelum meneruskan perjalanan hijrah mereka. Oleh kerana itu  peminat pemerhatian burung dan jurugambar burung tempatan sangat sukar untuk bertemunya. Kesukaran itu ditambah pula dengan kelakuan semulajadi yang selesa merahsiakan kehadirannya dengan memilih mendiami habitat didalam hutan terpencil berhampiran dengan anak sungai dan paya. Ia tidak sepertimana Pucung Malam Mahkota-hitam ~Nycticorax nycticorax yang memilih  mendiami dikawasan terbuka dihabitat paya dan berhampiran dengan air.

Gambar 2~Lokasi Penemuan Burung Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus

ABSTRACT ~ 3 species of Night Heron can be found in Peninsular Malaysia, and those  3 species are Black Crown Night Heron~Nycticorax nycticorax, Rufous necked Night Heron~Nycticorax caledonicus and Malayan Night Heron~Gorsachius melanolophus. The Malayan Night Heron~ Gorsachius melanolophus is usually solitary bird and little information could be found about this secretive behaviour bird. During migration season these Winter Visitor/Passage Visitor birds normaly would inhabits at the lowland wood swamp, stream and marsh area in the tropical forest. Compared to our resident bird Black Crown Night Heron~Nycticorax nycticorax which can be seen in the large numbers inhabits marshy,  lake, pond, stream of an open area.
 
KEKUNCI KATA~ Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus Malayan Night Heron, Malay Night Heron , Malayan Night Heron, Winter Visitor, Passage Visitor Hutan Simpan Dara Hulu Gombak, Selangor.

Gambar 3

PENDAHULUAN ~ Di Semenanjung Malaysia tidak banyak maklumat diketahui tentang Spesies Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus ~ Malaysian Night Heron kerana ia jarang dijumpai. Spesies dari Kumpulan Keluarga -Heron (Ardeidae ) ini  dikenali juga dengan nama  Malay Night Heron dan Malayan Night Heron (Common Names.) 


Tersenarai sebagai spesies Burung Tempatan untuk negara Jepun ,Taiwan, China (The Orithological Society of Japan 2000). Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus menjadikan negara -negara dibahagian Asia Timur seperti China, Hong Kong , Taiwan dan Jepun sebagai tempat mereka menjalani proses membiak. (Chuan Chiung Chang 2000) Apabila tiba musim sejuk mereka akan bertaburan terbang berhijrah ke negara-negara Asia Tenggara yang lebih panas untuk mudah mereka mencari makanan. Ia telah disenaraikan sebagai Kurang Membimbangkan (Least Concern) dalam senarai  IUCN sejak 2004. Walaubagaimana pun di Semenanjung Malaysia kehadirannya tidak mengambarkan  akan statusnya itu. Ia begitu jarang sekali dapat ditemui  di sini  kerana sifat semulajadi dan kelakuannya yang  suka merahsiakan kehadiran dirinya. Dengan memilih tinggal  dipersekitaran berhampiran anak-anak sungai dan paya didalam kawasan Hutan Rimba yang sunyi jauh daripada manusia. Disitu ia bebas bergerak dilantai hutan untuk mencari makanan tanpa gangguan. Mencari makanan pada setiap waktu samada siang mahu pun pada waktu malam. (Kazuto Kawakami 2011). Pemilihan diet pemakanan berpandukan pada keadaan alam sekeliling tempat ia berada. Jenis pemilihan makanan adalah terdiri dari jenis Katak, Kumbang, Kala Jengking, Belalang, Cicak, Lipas, Siput, Ketam Air Tawar, Ular, Anak Ikan dan Anak Burung.(Kazuto Kawakami 2011) Sejak tahun 2011 sehingga 2016 maklumat yang diketahui cuma 3 kali sahaja burung ini ditemui di Semenanjung Malaysia.

Gambar 4~ Alat penyukat ketinggian Barometer/Altimeter Mingle

BAHAN DAN KAEDAH : Alat bantuan pemerhatian burung yang digunakan  dalam kajian ini ialah sebuah Teropong Carl Zeiss 8 x 20, sebuah Kamera Canon 7D Mark II dengan lensa EF 300mm F4L IS USM Canon, sebuah Kamera Canon 7D  dengan Lensa Micro 100mm F 2.8L IS USM Canon,   sebuah Kamera Lumix LX 7 dan Barometer/Altimeter Mingle. Kaedah yang digunakan adalah dengan membuat pemerhatian langsung dan merakam burung-burung yang ditemui. Kaedah merakam imej burung yang ditemui adalah kaedah yang terbaik bagi membuktikan penemuan dan mengelakkan berlakunya kesilapan pengenalan burung.

Gambar 5~Hutan Simpanan Hutan Dara Hulu Gombak kelolaan Jabatan Hutan Negeri Selangor

PERISTIWA DAN HASIL PEMERHATIAN

KAWASAN PEMERHATIAN ~ Kawasan burung ditemui adalah di 36 kilometer dari Hentian Rehat Genting Highland yang letaknya didalam kawasan  Hutan Simpanan Hutan Dara Hulu Gombak, Selangor. Di sebelah bahagian  sekitar kawasan Pusat Kajian Universiti Malaya bentuk mukabuminya agak landai dan rata. Manakala kawasan hutan yang bersambung ke  Genting Sempah, Bentong , bentuk mukabuminya  adalah berbukit-bukau serta berlembah pada ketinggian 600 meter dari paras laut. Sebahagian besar kawasan  dipenuhi dengan tumbuhan hutan yang matang dan terdapat banyak anak sungai mengalir didalamnya.

CUACA~ Pada waktu malam sehari sebelum menjumpai burung tersebut,   kawasan sekitar disitu telah mengalami hujan yang agak lebat. Keadaan itu berlarutan sehingga ke sebelah pagi dengan cuaca masih mendung walaupun waktu telah menunjukkan jam 11.00 pagi. Pada ketika itu juga suasana dingin kerana ditiupi oleh angin yang agak kencang. 





Gambar 6

PERISTIWA KETIKA DIJUMPAI ~ Pada hari Jumaat tarikh 21 Oktober 2016 jam 11:30 pagi, ketika saya sedang menunggang motosikal secara perlahan-lahan dari  Hentian Genting Sempah menuju ke arah Gombak, saya telah memberhentikan motosikal di kilometer 36 kerana ingin melihat pokok sedang berbuah. Secara tiba-tiba terlihat seekor burung Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus yang sedang bertenggek diatas besi penghadang jalan ditepi jalanraya. Kedudukan burung yang sedang bertenggek diam itu, dianggarkan cuma 3 meter dari tempat saya berdiri. Saya tidak melakukan banyak pergerakan cuma membuat pemerhatian sambil merakam imej burung tersebut. Burung itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas cemas untuk satu tempoh jangka masa. Disebabkan ia tidak bergerak , saya telah mengubah kedudukan untuk mendapatkan pemandangan dari sudut yang berbeza. Pada ketika itu barulah ia mengerakkan sedikit kedudukan tubuhnya sambil kepalanya menoleh kearah kawasan hutan berdekatan.

Gambar 7

Keadaan itu berlangsung dianggarkan lebih kurang 3 minit, sehinggalah ia menggerak naik buluhias diatas kepala seperti tocang tegak naik dikepalanya. Sejurus itu ia  bergerak melangkah perlahan-lahan meniti diatas besi penghadang jalan bertujuan menjarakkan dirinya  daripada tempat saya berdiri. Lebih kurang sepuluh langkah  berjalan barulah ia melompat terbang ke lantai tanah berhampiran dengan rimbunan tumbuhan ditepi hutan. Apabila  merasakan dirinya diekori maka ia terbang pula ke arah seberang jalan dan memerhatikan tindakan susulan saya seterusnya, dari jauh. Setelah dirinya diekori dan merasakan kehadiran saya memberi cemas kepada dirinya, barulah ia terbang kearah hutan bersebelahan dengan jalanraya . Dari jauh saya membuat pemerhatian ia sedang bertenggek diatas cabang batang kayu sambil menyisir dan membersihkan buluhias. Setelah selesai proses membersihkan dirinya, ia terbang jauh  menghala  ke dalam hutan. Pemerhatian ini berlangsung dianggarkan melebihi 15 minit. Burung yang dijumpai ini  merupakan seekor burung muda yang masih belum dewasa lagi dan tidak dapat dikenal pasti akan jantinanya.

Gambar 8
 
SEJARAH PENEMUAN LALU ~ Rekod penemuan di Semenanjung Malaysia yang berjaya diperoleh sejak 2011 sehingga 2016 adalah seperti berikut:-

1. Pada 20 Nov 2011, dijumpai ditepi anak sungai bertempat di Taman Negeri Selangor , Perdik Ulu Langat Selangor. Dijumpai oleh Saudara Sulaiman Salikan. Status: Burung Muda ( Juvenile )

2. Pada 7 Dec 2012, dijumpai didalam kawasan paya didalam hutan penempatan Orang Asli di Kampong Tangkai Cermin, Batu Gajah, Perak. Dijumpai oleh Pak Long Ulu Kali. Status : Burung Muda ( Juvenile )

3.Pada 9 April 2015 Taman Botanikal Pulau Pinang. Dijumpai oleh Saudara Choy Wai Mun. Status:Burung Muda ( Juvenile )

Gambar 9

PERBINCANGAN & KESIMPULAN ~ Berdasarkan rekod yang dikumpul, mendapati ada dikalangan Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus  melakukan hijrahnya pada usia yang agak muda bersama-sama  burung-burung dewasa. Kesemua 4 rekod yang dikumpul mendapati burung  yang dijumpai di Semenanjung Malaysia adalah Burung Muda (Juvenile) sahaja. Belum ada laporan pemerhatian   penemuan Burung Dewasa (Adult) yang pernah dilihat di sini. Tidak dapat dirumuskan mengapakah burung dewasa tidak pernah dilihat singgah di Semenanjung Malaysia. Sedangkan sudah beberapa kali burung Burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus dewasa telah dijumpai oleh Pemerhati Burung di Pulau Singapura secara kerap.   Apakah boleh, faktor kekurangan bilangan Peminat Pemerhati Burung di Semenanjung Malaysia boleh dijadikan alasan kukuh menyebabkan burung dewasa tidak pernah dilihat di Semenanjung Malaysia.? Saya berfikir tidak , sepertimana kenyataan cadangan itu.

Gambar 10
Saya mencadangkan kesukaran untuk menjumpai Burung Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus dewasa ini, adalah disebabkan; bentuk mukabumi bergunung ganang serta hutan rimba yang terpencil di Semenanjung Malaysia masih luas kawasannya lagi. Tambahan pula terdapat pemilihan sumber makanan yang banyak dan pelbagai dikawasan yang dinyatakan itu. Keadaan seperti itu membantu Burung Dewasa yang berpengalaman serta mahir untuk memilih kawasan hutan terpencil untuk menyembunyikan diri dari penglihatan manusia berbanding dengan Burung Muda. Walaubagaimana pun pada masa  akan datang, saya yakin peminat Pemerhati Burung Tempatan akan bertemu dengan  burung Pucung Malam Malaysia ~ Gorsachius melanolophus dewasa.(Adult)

Gambar 11

PENGHARGAAN

Ucapan ribuan terima kasih kepada Saudara Pak Long Ulu Kali, kerana sudi bekerjasama menyalurkan maklumat penemuan burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus di Batu Gajah Perak. Terima Kasih kepada pemilik blog www.mynameistank64.blogspot.com , Saudara Sulaiman Salikan atas rujukan penemuan burung di Taman Negeri Selangor, Perdik Ulu Langat. Terima Kasih juga kepada Saudara Choy Wai Mun keatas imej dan maklumat burung Pucung Malam Malaysia~Gorsachius melanolophus yang dikongsi dalam halaman Oriental Bird Club. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Saudara Mike Chong M.H.N. yang banyak memberi nasihat dalam bidang pemerhatian burung.

Gambar 12

RUJUKAN

Chuan Chiung Chang ~Malayan Night Heron~Gorsachius melanolophus breeding in premature plumage ~Forktail 2000

Kazuto Kawakami, Masaki Fujita, Motohiro Hasegawa,& Hiroshi Makihara~Dietary characteristic of the Malayan Night Heron~Gorsachius melanolophus in the Yaeyama Island, southern Japan~Beijing Forestry University & Chinese Orinithology Society 2011

Buku~The Birds of Thai-Malay Peninsular Vol 1 & 2 ~ David Wells

Buku A Field Guide of South East Asia ~ Craig Robson

Buku A Field Guide of Peninsular Malaysia & Singapore~Allen Jayarajasingam, Pearson

Imej dan Maklumat Lisan Saudara Pak Long Ulu Kali.

Oriental Bird Club Image~Imej dan maklumat Saudara Choy Wai Mun

www.mynameistank64.blogspot.com ~ Imej dan maklumat Saudara Sulaiman Salikan