Wednesday 6 February 2013

ANGAN-ANGAN MENJADI KENYATAAN.


Kesukaran mendapatkan pekerjaan ditambah pula tidak mempunyai kelayakkan dan diberatkan lagi dengan  faktor usia, maka saya membuat keputusan besar dalam hidup untuk menjadi suami rumahtangga sepenuh masa pada tahun 2006. Demi untuk memujuk hati, saya bertekad dengan menyatakan ingin melihat anak-anak membesar didepan mata dan mempunyai banyak masa bersama mereka. Tidak mahu lagi hidup terkejar-kejar, didesak-desak oleh orang diatas, masa dengan anak langsung tak cukup. Saya tidak mahu anak-anak membesar sedang saya tidak mengenali mereka.

Kehidupan orang yang tidak mempunyai pekerjaan dirasakan seperti menghidap sejenis penyakit. Iaitu penyakit malu bergaul dengan orang, rendah hati yang melampau, dan hampir semua perasaan negatif yang ada. Hanya orang yang tidak ada pekerjaan saja yang tahu apa yang saya maksudkan. Orang yang tidak pernah merasakannya mereka tidak akan faham. Bermacam cara  sahabat-sahabat yang datang untuk  membantu tetapi gagal, tidak tahu apa sebabnya ia gagal. 

Untuk tidak penyakit itu menjadi bertambah parah, saya menyebukkan diri dengan melakukan berbagai-bagai aktiviti. Saya bertekad untuk melakukan perkara yang saya minat dan gembira. Iaitu kegiatan outdoor lasak dan meredah hutan, sambil berfotografi. Merakam gambar hidupan liar didalam hutan. Semasa bersendirian dalam hutan maka bermacam-macam angan-angan timbul  berlegar-legar dalam alam ruang otak kepala. 

Memang seronok dan asyik melayan angan-angan mak jenin. Nak jadi Nature Photograpfer, nak tulis dan terbit buku seperti National Geografic dan berbagai-bagai. Ingin membuktikan dan membangga anak-anak bahawa bapanya ialah seorang penulis buku. Buku bapanya ada tersimpan dalam Perpustakaan Negara, sebagai khazanah negara. Tapi tiada modal, hanya yang ada ialah angan-angan sahaja.
Saudara Megat Iskandar

Saya sedar bahawa sahabat saya Saudara Megat Iskandar tidak mahu saya tenat berterusan, maka beliau membelikan saya compact digital kamera yang mempunyai 12 kali optical zoom. Katanya untuk digunakan bagi merakamkan apa yang saya minat. Sahabat saya yang lain pula Saudara Shafik Al Attas pula memberi saya peluang merakam aktiviti sukan air "white water rafting" yang dilakukan oleh pelanggan -pelanggan syarikatnya. Ketika itu saya banyak peluang belajar seni fotografi.

Ketika tiada aktiviti sukan air, saya masuk ke hutan merakam apa sahaja hidupan liar yang dapat dilihat. Minat saya lebih terjurus kepada burung, kerana memang daripada dulu lagi saya memang minat dengan burung kerana ia lambang kepada kebebasan, kecantikkan warna dan corak buluhiasnya. Burung pertama yang saya rakam gambarnya ialah Burung Tukang Ekor besar~Large tailed Nightjar. Ketika dijumpai burung itu sedang bersarang dan mengeramkan telornya di kaki lima jogging trek.

Sejak dari itu bermulalah saya belajar dan berminat untuk menambah pengetahuan berkenaan burung. Maka setiap hari selepas mennghantar anak ke sekolah dan isteri pergi bekerja saya masuk kehutan mencari burung untuk membuat pemerhatian dan merakam image burung. Dipendekkan cerita saya telah bertemu dengan seorang peminat dan jurugambar burung yang sedang bercuti semesta universiti di Australia. Beliau memaklumkan di Taman Melawati ada seorang pakar burung yang terkenal di Malaysia. Beliau akan memberi nombor talipon untuk dihubungi sekiranya ada sebarang pertanyaan.

Kekicau Rimba Team Freaser Hill Bird Race 2010, diketuai oleh Saudara Mike Chong.





Pada petang itu ketika pulang dari menjemput isteri bekerja saya mendapat panggilan talipon daripada pakar burung tersebut. Beliau mengenalkan dirinya Saudara Mike Chong, dan kami bersetuju untuk bertemu. Sejak dari itu perhubungan yang baik dan hormat, saya dengan pakar burung Mike Chong terjalin sehingga kini. Terlalu banyak ilmu berkenaan burung dicurahkan kepada saya tanpa sebarang yuran. Pelajaran dijalankan samada dilokasi pemburungan atau pun di kedai mamak.

Segala permasalah, debat dan teori dibincangkan. Ketika itu saya ada menyatakan angan-angan untuk menulis buku bertajuk Burung-burung di Taman Melawati dalam bahasa Malaysia. Beliau juga sedang dalam proses menulis buku Burung-burung di Bukit Freazer. Saya membantu beliau menjadi Aditor kepada buku beliau dan membantu mencadangkan nama-nama burung dalam bahasa Malaysia. Pada tahun 2010 Saudara Mike Chong bersama penerbitnya Tinta Publication telah melancarkan buku tersebut.

Ketika itu koleksi gambar burung saya telah meningkat kepada 300 spesies burung. Masih dalam perancangan. Tidak tahu bila boleh dijadikan buku, masih terawang-awang dan mabuk dalam angan-angan mak Jenin. Setiap kali terjumpa jurugambar burung mereka akan bertanyakan bila buku saya akan diterbitkan. Saya hanya mampu menyatakan dalam proses pembikinan. Teks dan gambar telah tersusun dalam bentuk Microsoft Word. Ketika itu baru saya tahu betapa susahnya ingin membuat buku.


Puan Hasnah
Untuk menambah ilmu menerbit buku, saya telah mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka. Ketika itu saya telah mengenali pegawainya iaitu Puan Hasnah, beliaulah yang banyak membantu saya dalam urusan ini. Setiap kali ada kursus,  saya dijemput untuk menghadiri kursus secara pecuma. Dari pembelajaran itu saya mendapat sedikit keyakinan bahawa saya sedang dalam landasan yang betul untuk mencapai angan-angan.

Lagenda Bahasa Melayu En.Karim
Puan Hasnah telah mengenalkan saya kepada pakar Type Setter untuk saya menyusun manuskrip untuk dijadikan dalam bentuk buku. Rundingan yuran penyediaan teks dan reka bentuk disediakan sebelum buku dapat disiapkan. Proses ini memakan masa lebih 7 bulan untuk siap, kerana belum pernah penerbit lain membuat buku tentang burung dalam bahasa Malaysia. Istilah baharu dan penggunaan gaya bahasa bidang pemburungan menambah susah kepada orang yang melakukannya. Berkat gigih, kesungguhan dan tidak putus asa maka pada 30 September 2012 buku contoh sebanyak 3 jilid dalam bentuk hitam putih telah dapat dicetak. Oleh kerana tiada sumber kewangan yang cukup cetakan warna tidak dapat dibuat. Terpaksa menunggu bila mempunyai wang yang mencukupi barulah dapat dicetak dalam bentuk warna.

Pada pertengahan bulan Nov 2012 dengan pertolongan Allah, angan-angan 6 , 7 tahun dahulu telah menjadi kenyataan dan dizahirkan dalam bentuk buku, yang dapat dicetak dalam bentuk warna sebagai buku contoh. Saya berpuas hati dengan hasil dan kekemasan buku tersebut, walaupun terdapat banyak kekurangan. Alhamdullilah. Shukur segala puja dan puji pada tuhan seru sekelian alam. Bagai mana hendak mencari modal untuk mencetak buku ?...

Buku contoh Jilid 1 


No comments:

Post a Comment