Wednesday 27 February 2013

Burung Chat Batu Siberia~Saxicola maura

GEMBIRA SEORANG PEMBURUNG~ Burung Chat Batu Siberia~Saxicola maura


Pengalaman pertama dapat memerhati Burung Chat Batu Siberia ~Saxicola maura.
Lokasi  :  Batang Tiga , Melaka.
Tarikh dan Masa: 24 Jan 2013 jam : 5:30 petang.
Habitat dan hal keadaan ketika dijumpai:  Dijumpai di kawasan sawah padi yang baru dituai selepas hujan lebat.

Maklumat Ringkas/ Tabiat dan kelakuan ketika dijumpai.

Buat pertama kali melihat Burung Chat Batu Siberia~Saxicola maura ini, saya tidak dapat mengecam spesies burung ini, tetapi mengenal akan spesies keluarganya. Guru saya Saudara Mike Chong memberitahu saya, dahulu burung ini dikenali sebagai Chat Batu Biasa~ Saxicola torquatus.  Tetapi setelah penemuan DNA baharu, maka ia telah dipisahkan menjadi 2 spesies yang berlainan. Chat Batu Siberia dan Chat Batu Biasa.


Ia dijumpai selepas hujan lebat pada sebelah petang sesi memburung saya di Batang Tiga , Melaka. Ia dilihat bersendirian sedang bertenggek pada tahap yang paling tinggi pada kawasan ia berada iaitu pada  hujung batang padi yang baru dituai, berkeadaan diam untuk tempoh yang agak lama, sambil menoleh pada arah kiri , hadapan dan kanan. Dipercayai untuk mengeringkan buluhiasnya yang kuyup basah akibat hujan lebat dan memerhatikan ulat serta serangga kecil untuk dimakan setelah berhujan untuk satu tempoh yang agak lama.


Ketika tempoh pemerhatian saya berpeluang melihat kelakuan burung ini mencari makanan dan tabiat ketika burung makan. Burung ini akan terbang kearah serangga yang dipercayai dari jenis rama-rama bersaiz kecil yang kebetulan berada ditanah. Ia terus mengibas-gibas rama-rama tersebut bertujuan menghilangkan debu-debu pada sayap rama-rama dan terus menelannya ditempat ia menyambar rama-rama tersebut. 

Jarak dijumpai ialah lebih kurang 25 meter pada tempat saya berada. Seperti biasa tabiat saya akan cuba menghampiri burung bagi mendapatkan rakaman imej yang lebih baik dan mengetahui jarak sebenar persempadanan antara manusia dan burung. Ketika membuat langkah kehadapan burung terbang 1 meter daripada tempat ia bertenggek. Usaha mendekati burung diteruskan, maka ia membuat penerbangan gaya terus pada ketinggian yang agak rendah pada jarak lebih kurang 50 ke 60 meter daripada tempat lokasi yang baru. Apabila ia masih diekor , burung akan datang semula ketempat mula-mula ia dijumpai.

Perangai dan kelakuan burung Chat Batu Siberia ~ Saxicola maura ini hampir menyerupai dengan perangai burung Main ~ Cisticola juncidis Malaya. Bezanya Burung Main ~Cisticola juncidis Malaya akan terbang pada ketinggian lebih kurang 10 meter dari paras tanah dan akan mengeluarkan bunyi kicauan. Mungkin ia mengeluarkan bunyi kicauan pada nada yang sangat perlahan. Mungkin ia tidak membuat penerbangan tinggi disebabkan buluhiasnya berat akibat basah.


Saya hanya berjaya menghampiri burung ini sekitar jarak 25 hingga 30 meter sahaja. Harap dilain masa, Allah mengizinkan saya bertemu lagi burung Chat Batu Siberia ~Saxicola maura. Inshaaalah. Wasallam .Amin.

No comments:

Post a Comment