Friday 31 May 2013

TERIMA KASIH CIKGU-CIKGU

KESEMPATAN BERGURU DENGAN PELUPOR PEMERHATIAN BURUNG DI MALAYSIA



Untuk saya membayar yuran pelajaran dengan wang ringgit kepada cikgu dan sahabat saya Saudara Mike Chong, tidaklah termampu oleh saya. Harapan saya hanya Allah sajalah yang dapat membalas akan jasanya itu  dengan bayaran yang setimpal dalam bentuk apa jua sekali pun. Samada dengan diberi kesihatan yang terbaik, fikiran dan jiwa yang aman gembira, dijauhi daripada segala macam ancaman bahaya dan dipermudahkan meneruskan kehidupan tanpa bersusah payah.

Saudara Mike Chong ( kiri ) dan Saudara Dennis Yong ( Kanan )

Mengenali saudara Mike Chong sejak tahun 2008, itu pun disebabkan beliau telah menghubungi saya setelah seorang pemburung Saudara Tun Pin Ong yang saya temuinya ketika memburung di Taman Rimba Ampang memberikan nombor talipon saya kepadanya. Pada hari yang sama itu juga, Saudara Mike Chong menghubungi dan kami bertemu seterusnya menjadi sahabat yang baik. Bidalan orang Melayu menyebut " Kalau Ular menyusur akar, bisanya tidak akan hilang". Itulah perumpamaan yang tepat dapat saya gambarkan ditujukan kepada Saudara Mike Chong.

Memburung bersama Saudara Mike Chong sehingga waktu malam.


Ketika itu saya hanya merujuk kepada buku burung kecil bergambar yang saya ada, maka banyak rakaman burung yang saya perolehi  tidak dapat saya lakukan sendiri. Hampir semua burung yang saya rakam telah di camkan oleh Saudara Mike. Ketika itu beliau mengajar teknik untuk mengecam burung secara betul. Disamping  itu beliau menekankan dan menerangkan adab-adab memburung secara betul dan harus diamalkan sentiasa.  Saya masih ingat lagi kata nasihatnya iaitu; kita harus mengutamakan kebajikan burung dulu, daripada mengejar kemahsyuran dan pujian dialam siber. Dan jangan kita hanya megah berkata dikhalayak yang kita mengutamakan kebajikan burung, tetapi tidak diamalkan ketika memburung dilapangan. 


Menumpang sinar dan mengambil berkat daripada Pelupor Pemerhatian Burung Di Malaysia Saudara Dennis Yong.


Pada tahun-tahun berikutnya Saudara Mike Chong menasihati, supaya  saya harus mempunyai buku khas tentang pengecaman burung. Dipendekkan cerita beliau telah membelikan buku Birds of South-East Asia ~Craig Robson ketika beliau menghadiri Seminar berkenaan burung di Singapura.

Memburung sambil belajar


Sepanjang pengenalan saya dengan Saudara Mike Chong beliau telah banyak mencurahkan ilmu berkenaan burung kepada saya. Samada ketika saya menjadi pembantunya ketika membuat survey burung di Seluruh Semenanjung, atau pun ketika sesi minum kopi di Kedai Mamak. Jikalau hendak diceritakan pengalaman belajar bersamanya tidaklah dapat diceritakan kerana terlalu banyak. Apa yang dapat saya nyatakan disini ialah Saudara Mike Chong merupakan pakar pemerhati burung yang terhebat di Malaysia selepas Gurunya Saudara Dennis Yong.


Terpaksa berehat kerana ketika ini burung tidak aktif disebabkan cahaya matahari sedang sangat terik.

Sebagai contoh; beliau boleh menjawab dengan tepat tanpa melihat imej rakaman, iaitu hanya dengan mendengar ciri-ciri burung yang dinyatakan. Malah boleh mengetahui tempat lokasi dimana imej burung itu diperolehi. Beliau juga boleh mengesan dengan tepat  status burung yang telah tertipu oleh bunyi panggilan burung tiruan, burung yang telah diumpan dengan ulat atau imej burung yang bebas liar. Ada satu ketika saya tidak dapat merakam imej burung tetapi hanya berpeluang mengingat suara burung dan tempat habitat , beliau telah menjawab dengan bersiul mirip bunyi burung yang saya dengar dilapangan. Setahu saya beliau boleh bersiul dan mengingati beratus bunyi spesis burung dengan tepat, termasuk suara burung dalam kecemasan, suara ketika musim mengawan atau not not burung yang berbeza beza. Ilmunya tidak tertumpu hanya kepada bidang burung sahaja tetapi kepada semua hidupan liar di Malaysia, samada mamalia, amfibia, ular, serangga , tumbuhan dan  kulat. Universitinya ialah di lapangan alam sekitar bumi Malaysia. Itu Universitinya sejak dulu lagi.



Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan bahawa beliau adalah Lagenda Pemerhatian Burung dinegara kita yang harus dihormati pandangan dan nasihatnya.  Kenyataan tersebut, adalah berdasarkan kajian saya ketika saya menyiapkan Buku berjudul Burung-Burung Di Semenanjung Malaysia Jilid 1 , 2 dan 3.
Ketika membuat bancian burung di Hutan Simpan Besul, Pasir Raja Hulu Terengganu.

Daripada maklumat kajian saya, Beliau adalah pelupor awal kepada bidang Pemerhatian Burung di Malaysia. Dimana Saudara Dennis Yong Guru kepada Saudara Mike Chong yang telah memulakan bidang ini ketika beliau menjadi pembantu penyelidik kepada Earl Cranbrook Pensyarah bidang Zoologi di Universiti Malaya pada tahun 1967.
Ketika membuat bancian burung-burung aktif waktu malam.

Dipendekkan cerita selepas itu pada  tahun-tahun 1980an dan 90an Saudara Dennis Yong mencurahkan ilmunya pula kepada Saudara Mike Chong dan beberapa pemburung-pemburung yang lain. Sehinggalah terbitnya  buliten  Enggang pada awal tahun 1980an oleh kumpulan peminat pemerhati burung cawangan MNS Selangor. Buliten ini telah dapat bertahan sehingga sekarang dengan penambah baikkan mengikut peredaran zaman dengan sedikit perubahan keatas nama Suara Enggang. 


Usaha Saudara Mike Chong untuk memertabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.
Jikalau didalam bidang seni suara dan lakonan tempatan, kita mempunyai Tan Sri P. Ramlee dan beberapa nama-nama besar yang lain. Begitu juga didalam bidang Pemerhatian Burung. Kita mempunyai Saudara Dennis Yong dan Saudara Mike Chong yang masih sihat dan berada dikemuncak prestasi cemerlangnya. Cumanya tidak siapa yang tahu atau mengambil endah tentang jasa-jasa mereka ini kepada bidang avifauna di Malaysia. Mungkin bidang pemerhatian burung di negara kita masih muda dan kecil lagi tidak sepertimana negara-negara luar di dunia yang lebih jauh majunya dalam bidang ini. Atau mungkin memang telah menjadi resam manusia dinegara kita, yang hanya akan menghargai sesuatu setelah ianya telah tiada.
Sedang membuat pemerhatian burung Helang Ikan Kepala -kelabu~Ichtyophaga ichthyaetus didalam sarang pada waktu senja.

Sementara masih berpeluang untuk belajar, belajarlah sebanyak mungkin daripada mereka ini, serta hormatlah mereka kerana ilmunya itu dan letaklah mereka ditempat yang selayaknya.  Apabila sampai waktunya nanti, mereka  akan pergi membawa segala ilmu-ilmunya , maka tinggallah kita  dalam keadaan rugi serugi-ruginya. Terima Kasih Cikgu.
Wassalam.

1 comment:

  1. Salam..bagaimana sy boleh contact anda kerana thesis sy berkaitan dgn aktiviti pemerhatian burung di malaysia..kerjasama anda sgt2 sy hargai..sila contact sy di emel iluv_islam90@yahoo.com..

    ReplyDelete