Friday 26 June 2015

Pemerhatian Burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema


Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Jantan )

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema

Spesis burung Jantan ini hampir menyerupai dengan Jerijit Suria Leher-coklat~Anthreptes malacensis dan Jerijit Suria Pipi-merah delima~Anthreptes singalensis. Sekali pandang terkadang kala menimbulkan kekeliruan, kerana warna pada leher burung-burung ini seakan-akan sama warna lehernya. Kepada yang tidak cekap seperti saya, memerlukan sedikit rakaman imej bagi memastikan ketepatan warna iaitu antara warna coklat dan warna merah seperti warna batu-bata. 

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Betina )



Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Jantan )

Manakala pada burung betina buluhiasnya pula hampir menyerupai antara satu sama lain. Pada saya pengecaman hanya boleh dilakukan apabila burung ini datang secara berpasangan. Burung betina Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema mempunyai buluhias berwarna kemerah-merahan atau warna oren pada bahagian dadanya. Warnanya itu tidak berapa jelas jika dilihat sekali pandang.

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema~ Betina

Berdasarkan pengalaman saya spesis burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema agak sukar untuk ditemui jikalau dibandingkan dengan spesis burung Jerijit Suria Leher-coklat~Anthreptes malacensis. Kerana habitat kebiasaan ditemuinya adalah didalam kawasan hutan belentara. Sedangkan burung Jerijit Suria Leher-coklat~Anthreptes malacensis boleh sahaja ditemui dikawasan kampong-kampong dan kebun-kebun yang bersempadankan dengan hutan dan belukar.

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema~Juvana/Remaja

Berdasarkan pengalaman pemerhatian burung, diet burung ini pelbagai iaitu dari jenis nekter bunga , buah-buah makaranga dan kadang-kadang dari jenis serangga. Pemerhatian kaedah menyedut nektar bunga agak menarik perhatian saya, iaitu burung akan menghentak-hentak paruh tajamnya menembusi bunga-bunga pada bahagian tepi bunga lalu menghisap nektar didalam bunga.

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Betina )

Jelas kelihatan warna pada leher burung jantan ini mirip pada warna merah batu-bata.


Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Betina )

Sebelum ini saya melihat spesis ini memakan buah makaranga secara bersendirian sahaja, tetapi baru-baru ini saya berpeluang membuat pemerhatian burung ini mengambil diet nekrarnya daripada bunga-bunga masak daripada pokok Ubi Kayu. Sepanjang pemerhatian selama 3 hari berturut-turut , boleh dikatakan spesis burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema sangat mengemari nektar yang ada pada bunga pokok Ubi Kayu. Sepanjang 3 hari itu tidak ada burung lain yang datang ke pokok Ubi kayu itu selain kumpulan burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema. Mereka datang secara berkumpulan mengulangi-ulangi ke pokok Ubi Kayu yang dipenuhi dengan bunga-bunganya.




Sepanjang waktu pagi dalam tempoh 3 jam membuat pemerhatian, dipokok Ubi Kayu itu dikerumuni selih berganti-ganti. Burung jantan, betina dan juvana seperti sedang berpesta menghisap nektar tanpa menghiraukan kehadiran saya, walaupun pada jarak yang hampir padanya. Berdasarkan pengalaman ini, tidak keterlaluan jikalau saya menyatakan spesis burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema sangat mengemari nektar dari bunga Pokok Ubi Kayu, sepertimana spesis burung Merbah , Perling  dan Takur mengemari buah-buah masak pokok Ara. Wasalam.

No comments:

Post a Comment