Monday 1 January 2018

Kembara Berbasikal Ke Tanjung Piai Johor Penghujung Tanah Besar Asia.


Kembara Berbasikal Ke Tanjung Piai Johor Penghujung Tanah Besar Asia.

Jenis Basikal

1.  Bridgestone Radac 2000 1989 Light Alloy tubing Rim Araya 700 c 6 speed gear.
2.  Bridgestone Radac 1998 Light Alloy Tubing Rim Araya 700 c 6 speed gear.
3.  Bugatti Touring Bike 1995 Steel Tubing 700 c 6 speed gear.

Kayuhan  kali ini memberi pengalaman baharu kepada saya merasai tambahan tanggungjawab. Dimana kalau sebelum ini saya hanya bertanggung jawab penuh keatas apa-apa permasalahan yang berlaku kepada 2 buah basikal sahaja. Tetapi untuk kali ini tanggungjawab itu telah bertambah menjadi 3 buah basikal. Dalam erti kata lain, bukan sahaja basikalnya sahaja perlu dijagai tetapi menjaga 2 buah basikal lagi, pada waktu yang sama sepanjang pengembaraan itu.

Taman Melawati Kuala Lumpur Ke Pekan Simpang Ampat, Melaka.:- 140 km
Bermula jam :9:00 a.m ~ 9.00 p.m




Ini adalah tahun ke tiga saya melakukan kembara berbasikal selepas pergi ke Pusat Semenanjung Malaysia di Jeransang, kemudian ke Kampong Pagi, Jerantut dan kali ini ke Tanjung Piai Johor. Tempat yang mendapat jolokan penghujung tanah besar bagi benua Asia, antara tempat yang harus dikunjungi oleh peminat aktiviti kembara berbasikal tempatan dan luar negara. Basikal masih menggunakan basikal jenis lama tahun 80an dan 90an. Kali ini kembara berbasikal disertai oleh anak sulung saya yang baru selesai menghadapi peperiksaan S.P.M. Basikal yang digunakan oleh beliau adalah dari jenis basikal lama  Bugatti Steel Tubing 6 gear dan rim bersaiz 700.



Mengikut perancangan, kami akan mula berkayuh melalui jalan Taman Melawati ~ Serdang ~ Bangi ~ Salak Tinggi ~ Dengkil ~ Sepang ~ dan berhenti bermalam di Port Dickson. Memandangkan waktu telah melewati ke pukul 9:00 pagi, sudah dikira terlambat memulakan kayuhan di laluan  yang berbelit-belit. Atas rasa timbang rasa kepada  orang yang tidak pernah melakukan kembara berbasikal. Setelah berfikir  masak-masak, maka saya memutuskan untuk menggunakan laluan Lebuhraya PLUS dari Sungai Besi ~ Seremban ~ Melaka.



Saya memutuskan untuk menggunakan Lebuhraya atas alasan berikut:-

1.Laluan bahu jalan sebelah kiri jalanraya lebuhraya yang dikhaskan untuk laluan kecemasan adalah luas. Jarak antara kenderaan ringan dan berat yang menggunakan lebuhraya adalah pada jarak yang selamat, jika dibandingkan jalanraya persekutuan yang sempit dan mempunyai garisan putih disebelah kiri yang sungguh sempit diantara sejengkal hingga selangkah dari laluan kenderaan.


2.Turapan batu pada permukaan jalan adalah menggunakan batu dari jenis halus dan baik.  Turapan batu kraseran yang halus membantu tayar bergolek dengan lancar.Pada hemat saya menggunakan lebuhraya adalah lebih selesa dan selamat jika dibandingkan dengan menggunakan laluan dalam kampong.  

3.Lebuhraya mempunyai lampu jalan, papan tanda , garisan yang jelas dan tempat rehat.



Memahami akan maksud Akta keatas larangan basikal ditunggang  dilebuhraya. Hakikat sebenarnya apa yang dimaksudkan didalam akta itu ialah; ~  Melarang basikal ditunggang bersama-sama kenderaan lain ditengah-tengah jalan lebuhraya sepertimana apa yang dilakukan oleh motosikal. Itu lah yang dilarang dan menjadi maksud kepada akta tersebut. Sebenarnya basikal boleh ditunggang disebelah bahu jalan lebuhraya. Kerana ruang bahu jalan itu sangat lapang dibina khas  untuk berbagai-bagai tujuan keselamatan pengguna lebuhraya. Samada untuk ruang kenderaan berhenti atas sebab kecemasan, ruang petugas & kakitangan untuk berjalan kaki bagi tujuan penyelenggaraan. Pekara logik seperti ini tidak memerlukan kita memakan kismis dalam jumlah yang banyak secara berkala untuk mencerdaskan otak kita bagi memahami maksud itu.






Selain itu pengguna kenderaan selain basikal, yang menggunakan lebuhraya juga telah diwajibkan  mempunyai lesen memandu kenderaan mereka. Ini bermakna mereka mahir mengawal dan memandu kenderaan masing-masing. Dalam pada itu juga, kenderaan yang menggunakan lebuhraya itu telah dihadkan kelajuan kenderaan mereka antara 80km~110km sejam. Kelancaran kenderaan mereka tidak langsung terganggu atau terhalang dengan kehadiran basikal disebelah kiri tepi bahu lebuhraya. 




Apa yang mengelirukan kepada semua pihak ialah pada difinasi dan tafsiran kepada Akta larangan tersebut. Mereka tidak membaca atau mahu memahamkan makna kepada tujuan dan maksud akta. Langsung terus membuat keputusan bahawa basikal adalah dilarang berada di Lebuhraya. Sehingga apa yang dikatakan larangan itu menjadi "adat budaya" berpuluh tahun kepada semua pihak sampai sekarang. 




Kenyataan ini tidak bermaksud mencabar, atau memperlekehkan petugas-petugas yang menurut perintah daripada majikan mereka. Tetapi ia adalah sesi budi bicara kepada pencerahan yang hakiki. Sesi ini dilakukan dengan penuh rasa hormat dan sopan santun dengan pemilihan perkataan yang baik serta disampaikan pada nada suara yang rendah lagi mesra. Bukan dengan lagak sombong, marah dan angkuh. Kita sesama manusia pastinya akan selesa dengan perbualan  budi bicara secara sopan santun. Diselang selikan dengan gelak tawa yang akan memberi kelapangan kepada kedua belah pihak.







Kepada kembara berbasikal yang ingin memilih atau terpaksa menggunakan laluan lebuhraya hindarkan diri kepada "KETAKUTAN" yang tidak terdidik. Takut yang tidak terdidik itu  hanya ilusi yang hadir dari dalam diri sendiri atas sebab tekanan palsu/paksaan yang datang dari unsur luar . Ketahuilah "KETAKUTAN" yang tidak terdidik itu juga datang dalam diri sendiri, dan merupakan pengkhianat yang  musuhi diri sendiri. Dengan tujuan menghalang niat dan cita-cita kita untuk berjaya. Ia boleh diperangi  dengan mencelekkan otak dengan keberanian dan kekuatan daya ilmu pengetahuan hakiki.





Ideologi " KETAKUTAN yang tidak Terdidik " ini adalah Sains Pembersihan Otak yang sengaja diada-adakan bertujuan memomok-momok , ditanam dan dibaja dalam minda oleh pihak yang ingin menguasai itu. Tujuan mereka untuk mengekalkan kebodohan / kerabunan minda supaya senang mereka memerintah dan menurut apa sahaja dalam segala segi kehidupan secara membuta tuli. Malah mereka memang hendak orang-orang sebegini dalam jumlah yang ramai untuk mereka kekal selama mungkin  memerintah.




Eeeh..! Dalam diam tak diam sedang leka berkayuh turun-naik jalan berlembah-lembah,  tiba-tiba telah sampai dipersimpangan susur Toll Simpang Ampat Melaka pada jam 8.10 minit malam. Dengan tenang terus berkayuh melintasi Toll melalui susur jalan untuk kenderaan motosikal. Awas ! Ketika ini harus lah berwaspada ketika melepasi  titi jeriji besi penutup longkang besi yang rongganya disediakan adalah luas. Jika tayar bergolek tanpa diserongkan tayar basikal, maka bakal terperosok tersekat masuk kedalam longkang kecil. Rim akan patah dan pengayuh akan terjatuh sehingga perjalanan akan tergendala.




Berkayuh menuju ke pekan Simpang Ampat untuk berehat  dan mencari tempat penginapan untuk hari pertama berkembara. Setelah berpusing-pusing  mencari tempat makan malam, berhenti disebuah Restauran ditepi kawasan taman perumahan  di pekan Simpang Ampat. Kebetulan juga ditempat saya berhenti makan malam itu ada disediakan ruang bilik untuk disewa ditingkat atas bangunan rumah kedai, dengan harga serendah RM 50:00 semalam.




Berterima kasih kepada Pengurusan kerana memahami keadaan dan kebimbangan saya, langsung membenarkan membawa naik 3 buah basikal demi keselamatan. Kalau mengikutkan nafsu letih dan malas, basikal boleh sahaja digari pada jeriji pintu ditingkat bawah, tidak perlu bersusah payah memikul basikal naik ke tingkat atas. Tetapi ia bakal mendatangkan perasaan kebimbangan akan "Kebarangkalian" basikal boleh diambil orang. Menyelesaikan salah satu usaha  ikhtiar sebelum boleh bertawakal, supaya saya dapat lena tanpa perasaan bimbang.




Anak saya yang buat pertama kali mengayuh basikal sejauh 140 kilometer rebah keletihan sehingga tidak sempat mandi membersihkan diri, lalu terlelap lena awal. Pastinya punggungnya melepoh melecet sebagai tanda syarat sah yang perlu dilalui sebagai pengembara berbasikal.



Anggaran jarak jauh kayuhan yang telah dilakukan adalah sejauh 140 km yang dikira dari  Taman Melawati Kuala Lumpur hingga ke Pekan Simpang Ampat, Melaka memakan masa selama 12 jam masa kayuhan.



Simpang Ampat ke Muar :80 km
12:00 tengah hari  ~ 8:30 malam

Kayuhan untuk hari ke dua telah tergendala setelah tayar belakang basikal Bugatti yang ditunggang oleh anak saya, didapati kempis pastinya telah bocor. Setelah membuat siasatan, mendapati tayarnya telah tertusuk oleh dawai halus. Disebabkan tidak tahu dimana letaknya lokasi kedai Basikal maka terpaksalah saya menampalnya buat pertama kali sepanjang sejarah berkayuh basikal. Leceh dan terpaksa ! Sebelum mengeluarkan tiub getah daripada tayar, buat penandaan terlebih dahulu ditempat dawai yang terlekat. Untuk mudah saya terus menampal lubang bocor tanpa perlu memeriksa seluruh tiub basikal.




Persediaan alat ganti menampal yang tersimpan lama akhirnya digunakan juga dalam proses menampal tiub tayar basikal. Walaupun telah menandakan kawasan yang terkena dawai itu, namun menghadapi sedikit kerumitan.  Kerana kebocoron tiub tidak dapat dikesan dengan tepat disebabkan lubangnya sangat halus walau telah disapu buih dan direndam dalam air. 




Kerana leceh dan malas untuk menukar tiub maka terpaksalah ikhtiar dengan kaedah mengesan merasa tiupan angin pada pipi. Akhirnya ikhtiar kaedah ini baru dapat mengesan tempat dimana punca keluarnya angin. Bershukur dan berterima kasih kepada Ehem Ehem kerana kerja-kerja penampalan dilakukan dalam bilik yang redup dan berkipas. Dibuatnya berlaku ditengah lebuhraya pada waktu malam dan hujan, terpaksa pulak mengandakan kuasa ikhtiar. Setelah siap proses menampal, bergerak meninggalkan bilik tumpangan. Jam sudah menunjukkan jam 10:30 pagi sinaran cahaya matahari di Melaka cukup terik dan memeritkan kulit. 


Ketika mencari kedai untuk bersarapan singgah sebentar melawat Muzium Warisan dan Sejarah Kerajaan Melayu Naning yang berada tidak jauh dari  situ. Mengenalkan kepada anak saya siapa itu Dol Said Panglima Kerajaan Negeri Naning. Beliau satu-satunya pahlawan Tanahair yang berani dan telah berjaya menewaskan Tentera British semasa Peperangan Naning dahulu. Selesai lawatan itu  barulah pergi bersarapan pagi pada jam 11:30 pagi.




Urusan melecer-lecer dan tidak mematuhi rangka cadangan yang telah dibuat diri sendiri ini adalah hak kebebasan mutlak pada diri saya. Saya bebas merdeka membuat keputusan tanpa perlu merasa simpati untuk menjaga hati atau merasa bimbang terlanggar hak kepada sesiapa. Membuat keputusan mengikut perasaan bersendikan akal fikiran setelah menghadapi sesuatu pekara pada ketika itu.













Nah hasil keputusan diri sendiri yang suka melecer-lecer hinggakan memulakan kayuhan pada jam 12:00 tengahari menuju ke bandar Maharani Muar . Sudahlah berkayuh dalam suasana cuaca yang panas terik, pada jam berapa pulak akan sampai di Muar. Laluan perjalanan menuju ke Muar agak landai dan berhenti beberapa kali kerana gangguan oleh gerai-gerai minuman air sejuk ditepi jalan. 




Disitu ada dijual pati asli Air Nira, Air Durian Belanda, Air Tembikai dan Air Tebu yang disediakan dengan begitu pekat bersama ais batu. Sudahlah pekat, sukatan isi padu airnya banyak dan harganya pula murah. Sambil minum pati air tebu sejuk yang menghilangkan dahaga, sambil itu berborak lama sambil ketawa ria dengan peniaga-peniaga itu.



3 orang Warga Emas yang telah pencen  berpakat untuk sengaja membuang masa kerana suka-suka berniaga. Sebelum mohon meminta diri meneruskan kayuhan saya membeli air sebagai bekalan memuaskan hawa nafsu dahaga dalam perjalanan yang panjang itu nanti. Paling-paling tidak dapat juga saya menyokong dan menjulang usaha peniaga Warga emas itu meniaga. 









Bila terasa hendak berhenti kita berhenti berehat tidak kira dimana tempat nak duduk atau nak baring tidur, tidak ada pantang larang . Samada di bawah pokok, tepi longkang, di stesen bas, surau dan mana-masa saja asalkan bersih dan selamat.


Apabila saya terlihat perkara yang dianggap penting dan menarik pada diri sendiri, maka banyak masa kayuhan terhenti disepanjang perjalanan kayuhan disebabkan sesi fotografi. Apa-apa sahaja subjek yang menarik minat pada ketika itu. Samada penemuan burung-burung dan hidupan liar, kematian hidupan liar ditengah jalan, permandangan menarik, senibina bangunan-bangunan lama/ tradisional, merakam pengalaman diri sendiri dan sebagainya. Saya bebas berhenti dan berkayuh tanpa perlu bertimbang rasa kepada orang lain atau khuatir akan mengganggu masa orang lain. Saya  tidak perlu menunggu orang lain dan orang lain tidak perlu  menunggu saya.
























Setelah mengharungi cuaca panas terik selama beberapa jam akhirnya sampai dibandar Muar pada jam 8:00 malam. Bandar Maharani Muar dihias dengan lampu warna warni berkelip-kelip menampakkan suasana keceriaan kehidupan bandar itu. Jambatan dan di sepanjang tebing sungai Muar dihias cantik. Walaubagaimana pun kehadiran terlalu banyak kenderaan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang merimaskan semua pengguna jalanraya termasuk saya.






Berhenti berehat untuk makan malam sambil bertanyakan lokasi penginapan daripada penduduk tempatan. Saya mencari penginapan yang menawarkan bilik luas selesa tetapi sangat murah. Selesai makan malam terus ke Hotel Bentayan sepertimana yang dinyatakan oleh mereka untuk membersihkan diri dan bermalam. Dengan harga RM 68.00 semalam pengurusan hotel menyediakan TV siaran Astro, Wifi percuma, soket plug yang banyak, penghawa dingin, sistem air panas , bilik air yang selesa serta katil bersaiz Queen. Pengurusan Hotel juga ada menyediakan  ruang meletak basikal didalam bangunan bagi menjamin kelapangan fikiran daripada merasa kerisauan terhadap keselamatan basikal daripada diambil orang.



Cuaca pada hari ini cukup panas terik, menyebabkan kulit muka, kaki dan tangan seolah-olah terbakar sehingga menghasilkan warna kehitaman. Jarak jauh kayuhan dianggarkan sejauh 80 kilometer yang mengambil masa lebih kurang hampir 8 jam berkayuh.





Muar ke Batu Pahat : 75 km
11:00 pagi ~ 8:00 malam

Jam 6:00 subuh hujan turun dibandar Muar, dan cuaca mendung diwaktu pagi. Melecer-leca mengemas pakaian sambil masing-masing bersiap untuk meneruskan kayuhan. Cadangan kayuhan pada hari ini ingin terus sampai ke Pontian. Meninggalkan Hotel Bentayan pada jam 9:00 pagi mencari lokasi untuk bersarapan pagi. Jam 11:00 memulakan kayuhan menuju kearah pekan Parit Jawa. 






Walaupun hujan waktu pagi tetapi pada jam 10:00 cuaca telah cerah kembali dan cahaya matahari sudah terik seperti semalam. Laluan disini landai dan lurus mujur ada sebahagian tempat sepanjang kiri kanan jalan ditumbuhi oleh pokok-pokok rendang. Keadaan itu membantu saya berkayuh dalam suasana teduh dan kurang menerima pancaran cahaya matahari yang terik. Bila merasa penat berkayuh,  berhenti berehat dan tidur dibawah pokok. Perkara yang tidak pernah dibuat oleh anak saya sepanjang hayat. Bentang plastik dan terlentang baring di bawah pokok ditepi jalan dan tidur dengan nyanyaknya. Tidak ada perasaan segan dan malu malah beliau merasa seronok dengan pengalaman yang memenatkan itu.






























Tiba dibandar Batu Pahat, saya mendapati tayar belakang basikal Bugatti yang ditunggang oleh anak saya sekali lagi kempis. Nampak gayanya hasrat untuk sampai ke Pontian telah tergendala. Disepanjang deretan kedai tidak ternampak pun akan kedai basikal. Maka sekali lagi terpaksa menyelesaikan masalah tayar kempis itu. Mencari kawasan berteduh dan melakukan kerja-kerja penyelesaian masalah. 





Setelah membuat pemeriksaan mendapati sekali lagi dawai tertusuk pada tayar belakang Basikal Bugatti. Melakukan pekara yang sama sebelum mengeluarkan tiub. Namun begitu tempat yang ditanda itu tidak menunjukkan ada tanda-tanda kebocoran tetapi angin keluar begitu cepat. Oleh kerana tiada baldi atau gayung untuk mencelup tuib, maka saya menggunakan plastik untuk menakung air untuk kerja-kerja pemeriksaan kawasan angin keluar dari tiub. 




Sertamerta dapat mengesan buih membuak-buak keluar pada lubang. Disitu ada dua lubang untuk ditampal. Selesai mengatasi masalah tersebut antara jam 6:30 petang dan meneruskan kayuhan menuju kearah Pontian Kecil. Lebih kurang berkayuh selama 1 jam saya berhenti berehat di Warung tepi jalan untuk makan malam. Selesai makan saya memutuskan untuk bermalam dikawasan Taman-taman perumahan di sekitar Bandar Batu Pahat.


Penduduk tempatan menunjukkan ada sebuah hotel budget yang tidak jauh daripada tempat saya berhenti makan malam. Ternyata Hotel itu sangat sesuai untuk pengembara berbasikal. Kemudahan seperti bilik air luas dengan kelengkapan sistem air panas, 2 buah katil bujang, TV siaran Astro, Wifi percuma, penghawa dingin kemudahan minuman air sejuk/panas dan membenarkan basikal disimpan didalam bilik berasingan tanpa caj. Selesai segala urusan seperti biasa memulakan proses memuat masuk imej-imej gambar kenangan ke dalam komputer sebelum berehat tidur.


Kayuhan hari ke 3 ini  berjaya dilakukan sejauh lebih kurang 75 kilometer yang memakan masa 8 jam dalam cuaca panas terik. Bertekad kayuhan hari ke 4 akan sampai ke Tanjung Piai kerana sepatutnya pada hari ini telah pun sampai ke distinasi. Oleh kerana berlaku halangan yang tidak terjangka maka cadangan untuk sampai ke situ tidak kesampaian.





Batu Pahat ke Tanjung Piai : 110 km
8:00 pagi ~ 5:30 petang

Hari ini berharap tidak berlaku apa-apa yang boleh mengganggu kayuhan kerana bertekad sampai di Tanjung Piai pada siang hari. Bersiap awal seawal 8:00 pagi, telah memulakan kayuhan dalam suasana dingin pagi. Sempat berbual dengan bekas pengayuh basikal tempatan kebetulan berhenti menghantar akhbar disitu. Beliau menyatakan, saya bakal akan diganggu oleh laluan berbukit dipermulaan perjalanan. Terutama sekali di kawasan bukit Kelicap dan  menasihati bersiap siaga dan waspada kerana lori-lori kelapa sawit dan lori lain kebiasaannya akan memandu laju dengan tidak bertimbang rasa.





Maklumat bekas pengayuh basikal tempatan tadi telah mempersiapkan kayuhan saya. Memang benar permulaan laluan yang menempuh lebih kurang 5 buah bukit. Perjalanan itu telah menimbulkan kepenatan kepada pengayuh basikal yang baharu seperti anak saya apatah lagi beliau hanya menggunakan basikal 6 gear Steel Tubing tayar saiz 700c. Bukit Kelicap saya dapati bukitnya tidaklah memberi ganggu kepada saya sepertimana Bukit-bukit yang pernah saya tempuhi seperti di Bukit Melawati , Hulu Dong Raub~ Kuala Lipis, dan di Kampong Pagi Jerantut.





Memang benar sepertimana yang dimaklumkan oleh pengayuh tempatan itu, terutama dikawasan berbukit  pemandu-pemandu lori disini agaknya tidak pernah melihat pengayuh basikal. Mereka seperti tidak terdidik untuk ada perasaan timbang rasa terhadap penunggang basikal. Memintas basikal pada jarak yang hampir dengan pengayuh basikal.  Tidak  memperlahankan kelajuan kenderaan beratnya, konon-kononnya sangat cekap mahir memandu. Bukan satu atau dua tetapi boleh dikatakan semua lori-lori disini tidak terdidik dan gelap hati. Jauh lebih baik dengan pemandu-pemandu lori di kawasan Pahang yang cukup bertimbang rasa. Sudahlah bahu jalan tinggi, jalanraya di kampong hanya mempunyai 2 lorong pergi dan balik sahaja. Tambahan pula permukaan jalanraya bertampal-tampal dan tidak rata.







Keadaan seperti ini membuatkan saya terfikir, memang agaknya pemerintah sengaja tidak menggalakkan rakyaat menggunakan basikal kerana ia merugikan ekonomi mereka. Toll tidak boleh dikutip, basikal tidak memerlukan petrol, parking tidak berbayar, kesihatan rakyat menjadi baik dan hospital akan kekurangan pesakit, cukai jalan tidak dapat dikutip, insuran basikal tidak perlu dan bla bla.... Jadi untuk apa diberi kemudahan yang baik disediakan kepada pengiat aktiviti berbasikal.















Sepanjang kayuhan beberapa kali berhenti untuk membeli air dan menggunakan tandas. Berhenti makan tengahari di bandar Pontian sebelum meneruskan kayuhan hingga sampai di pekan Kukup pada jam 4.30 petang. Pada ketika itu terasa agak seronok melihat batu tanda kilometer, yang menandakan kayuhan kami hampir sampai ke Tanjung Piai. Bermula dari angka besar 5 kilometer, 4, 3, 2, 1. Pada ketika itu anak saya seperti berlumba-lumba mendahului mengejar ke angka 0, tanpa ada rasa penat. Sampai di Pejabat pada jam 4:50 petang, kakitangan masih belum pulang  dan membenarkan kami untuk bergambar kenang-kenangan dihadapan pejabat sebagai tanda telah sampai.

















Selesai bergambar pergi mencari tempat penginapan di situ, dan memilih Tanjung Piai Resort sebagai tempat bermalam. Yuran disini agak mahal namun begitu kerana malas mencari ditempat lain kami bersetuju sahaja untuk menginap  disitu. Kayuhan pada hari ini berlangsung selama hampir 10 jam pada jarak lebih kurang 110 kilometer. Sasaran untuk sampai ke Tanjung Piai sepatutnya dalam masa 3 hari sahaja tetapi telah tidak tercapai atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Berpuas hati juga sampai dalam masa 4 hari daripada Taman Melawati dengan selamat. 





Tanjung Piai ke Rengit Johor : 70 km
12:00 tengah hari ~ 10:00 malam

Awal pagi lagi telah bergegas bangun untuk memerhatikan pemandangan cahaya matahari terbit dari arah laut yang terbentang luas. Membiarkan isteri dan anak menghilangkan penat didalam bilik dan pergi mencari sarapan. Keluar seorang diri untuk memburung dalam kawasan Taman Negara Tanjung Piai, kerana pengunjung tidak ramai .




Pada awal pagi juga sesuai untuk membuat pemerhatian burung-burung laut mencari makanan dikawasan selut, yang pada masa itu air laut sedang surut. Mengelakan daripada leka , saya menetapkan  jam 11:00 pagi harus selesai memburung balik ke tempat penginapan untuk berkemas-kemas bersiap pulang. Jam 12:00 tengahari memulangkan kunci dan mulakan kayuhan dalam keadaan matahari sudah meninggi. Berhenti makan tengahari di Pekan berhampiran dengan pekan Kukup.



15 minit setelah selesai makan, badan saya merasa kurang selesa. Untuk berkayuh seperti orang tidak bertenaga. Pada mulanya merasakan mungkin perut dipenuhi oleh makanan dan air. Minum Milo Ais dalam kuantiti yang sangat banyak menyebabkan perut merasa mual dan mengantuk agaknya. Mujur tidak pening kepala cuma lesu dan mengantuk sahaja. 




Merasakan keadaan seperti ini sangat jarang berlaku, saya berhenti di surau untuk mendapatkan sedikit rehat, sekonyong-konyongnya dapat  melegakan keadaan badan. Sedikit demi sedikit dirasakan angin mula menolak dari dalam perut membuatkan tekak menjadi loya. Dengan keadaan ini , saya memaksakan diri untuk muntah. Percubaan pertama berjaya memuntahkan isi perut tetapi tidak begitu banyak. 







Namun begitu keadaan ini dirasakan memberi sedikit kelegaan dan sambung merehatkan badan. Setengah jam kemudian datang pula sakit perut rasa memulas-mulas. Dengan segera pergi menggunakan tandas untuk mengeluarkan isi perut . Mujur tandas bersih dan kelengkapan didalam tandas sempurna membantu proses pemulihan badan. Angin badan menolak membuak ketekak bersama-sama hampir semua kandungan isi perut makanan tengahari. Sejurus beberapakali memuntahkan isi perut , bershukur badan saya sertamerta kembali pada keadaan sedia kala.









Jam 3:00 petang menyambung semula kayuhan dengan laju walaupun dalam cuaca yang panas terik menuju ke bandar Pontian. Sepanjang perjalanan kayuhan beberapa kali berhenti samada untuk membasah tekak, berteduh dari hujan, makan tengahhari  dan menjamu diri sendiri dengan buah-buahan tempatan.  Terjumpa kedai basikal di pekan Pontian, terus menyelenggara basikal . Rantai diminyakkan, tayar yang kekurang angin ditambah isi padunya, getah brek jikalau haus perlu diganti dan sebagainya.





Berehat sebentar di Pontian Kecil untuk minum dan makan malam  pada jam 7:00 malam. Selesai berehat menyambung semula kayuhan dengan menetapkan pekan Batu Pahat akan menjadi tempat bermalam pada hari ini. Seperti biasa berkayuh dalam gelap berbekalkan lampu suluh dan lampu kelip-kelip keselamatan. Langsung tidak mendatangkan lesu atau kepenatan sementelah jalan pula hanya mendatar. Melihatkan anak dan isteri saya sudah mulai letih, selepas melintas pekan Rengit lebih kurang jam  9:30 p.m terlihat papan tanda Homestay. Lalu membelok masuk mencari lokasi penginapan sepertimana kenyataan dalam iklan.





Homestay disini agak mahal, tetapi tidak mengapalah..... keutamaan pada saat itu hanya memberi kelapangan , keselesaan dan rehat kepada anak dan isteri. Setelah mereka dibakar terik oleh cahaya matahari siang tadi, sampaikan kulit wajah pada mukanya mempunyai 2 warna. Selesai membersihkan diri saya melakukan kerja-kerja yang menyeronokkan iaitu mengalih imej kenangan dari kamera ke dalam komputer sebelum beradu tidur.


Rengit ke Umbai : 125 km
8:00 pagi ~ 9:00 malam

Disebabkan sasaran semalam untuk sampai ke Batu Pahat tidak kesampaian, maka pada hari ini kayuhan akan dimulakan seawal pagi yang boleh. Lagi pun antara Rengit dan Bandar Batu Pahat tidak begitu jauh.   Setelah berkemas tanpa bersarapan kami memulakan kayuhan pada jam 8:00 pagi dan mensasarkan Bandar Melaka menjadi tempat hentian berikutnya. Kayuhan awal pagi nyaman dan sejuk bergerak lancar serta laju kerana permukaan bentuk mukabumi mendatar dan tidak berbukit-bukit. Cuma sebelum sampai ke Bandar Batu Pahat, melayan kayuhan menurun bukit di Bukit Kelicap. Sampai di Pekan Batu Pahat, hujan renyai-renyai dan kami mencari tempat berteduh sambil bersarapan pagi.






Semasa berhenti makan tengah hari di Semerah, saya mendapati tayar hadapan basikal saya belong yang ketara. Setelah membuat pemeriksaan rapi mendapati salah satu jejari rim telah terkeluar daripada harpnya yang telah pecah. Meneruskan juga kayuhan dalam keadaan tidak seronok dan sakit mata kerana melihat tayar bergolek secara belong didepan mata. 








Andaikata tayar belakang tidaklah  sakit mata  dan terasa sangat. Kayuhan yang tidak seronok ini adalah disebabkan gangguan minda yang risau memikirkan apakah ada harp  yang sama saiz dengan harp sedia ada yang telah patah. Rim jejari dari jenis tahun 80an bukan semua kedai yang masih menyimpan stok. Walaupun harp patah kelancaran kayuhan masa tetap sama.









Mengharapkan disepanjang jalan nanti akan ada kedai basikal, nah sesampai di Pekan Parit Jawa ada sebuah kedai basikal dihujung pekan Parit Jawa. Kedai Basikal lama yang diuruskan oleh seorang Pakcik Wargaemas. Setelah menunjukkan harp roda yang patah, beliau menyatakan kedainya masih lagi menyimpan alat ganti stok lama. Tetapi harus membayar dengan harga yang mahal kerana harp itu diperbuat dari jenis logam aluminium. Pakcik Wargaemas itu menawarkan harga sebanyak RM 30:00 termasuk upah memasang jejari rim. RM 30:00 harga harp siap kerja-kerja pemasangan ? Jawab saya dengan nada terkejut buat-buat marah..Ya ! Katanya...




Dalam fikiran saya tertanya-tanya nilai-nilai peniaga zaman dahulu tidak sama dengan nilai peniaga zaman sekarang. Masih ada lagi Peniaga yang mempunyai nilai berniaga seperti ini. Dia boleh sahaja mendapat keuntungan yang besar daripada keadaan terdesak saya sebagai pengembara dengan menekan harga yang tinggi. Hendak atau tidak saya terpaksa jugak kena buat. Beberapa bulan yang lepas saya ada menukar harp tayar belakang yang patah  di Taman Melawati dengan harga RM 85:00 termasuk upah pemasangan.




Setelah sesi rundingan harga selesai saya dinasihatkan oleh Pakcik WargaEmas itu pergi berehat makan kerana kerja-kerja pemasangan akan mengambil masa lebih kurang antara 1 ke 2 jam. Perut masih kenyang lagi, daripada tunggu melangut membazir masa, saya berjalan-jalan di sekitar Pekan Parit Jawa.




Terjumpa sebuah kedai Gunting Rambut lama, yang masih menggunakan kerusi guntung era tahun 60an dan 70. Kedai Gunting Era 60 & 70 an yang masih beroperasi nampak klasik dan original. Kedai Guntingnya lenggang tidak ada sesiapa pun datang pada ketika itu, dan tukang guntingnya pun sedang tertidur diatas kerusi gunting. Saya mengarahkan anak saya menggunting rambut di kedai guntung itu walaupun belum masa rambutnya patut digunting kerana masih pendek lagi.



Kesempatan ini membolehkan saya menzahirkan impian saya untuk mendokumenkan imej-imej seorang penggunting rambut berpengalaman berpuloh-puluh tahun yang masih aktif beroperasi. Kerjaya beliau mencari rezeki yang tidak akan membawa kepadanya menjadi kayaraya. Dilaksanakan pula dengan cara halal dan jujur ,bebas dari unsur penipuan.




Beribu kepala orang telah beliau pegang dan godek-godek dari pelbagai bangsa serta umur sepanjang 60 tahun dahulu. Pada saya ini satu penghormatan dan kemegahan kepada anak saya yang sempat mendapat khidmat daripada penggunting rambut berpengalaman. Saya fikir beliau adalah salah seorang manusia yang telah banyak memegang dan mengodek-godek kepala orang, lambang kehormatan manusia. Anak saya membiarkan sahaja kepalanya digodek kiri kanan ketika rambutnya digunting oleh salah seorang penggunting rambut lagenda yang masih hidup dan bergiat aktif.



Upah mengunting rambut cuma RM 7:00 sahaja, tetapi saya membayar RM 10:00 kerana ingin melihat wajah pengunting Warga Emas itu tersenyum secara semulajadi dan mendengar perkataan terima kasih daripada beliau. Dalam 1 hari berapa la ramai orang yang datang menggunting rambut.? Jikalau pun dimusim buka sekolah tiba nanti, berapa lama pula Pengunting Rambut WargaEmas ini boleh berdiri untuk satu tempoh yang lama.?  Eerm... kehidupan wajib diteruskan dan itulah kehidupan.


Selesai sesi fotografi dan mengunting rambut , maka selesai jugalah basikal saya diperbaiki oleh Pakcik WargaEmas dikedai basikal itu. Berpuas hati dengan kerja-kerja beliau dan memberi 2 helai RM 20:00 dengan niat membayar RM 40:00 lebih RM 10:00. Tetapi Pakcik WargaEmas itu memulangkan kembali RM 10:00.






Saya menyatakan saya mahu membayar RM 40:00 bukan RM 30:00. Setelah bertolak-tolak Pakcik WargaEmas itu berkata " War tidak mahu lu punya Wang ! " War cuma mahu RM 30:00 sahaja. Kali ini saya tertewas di Parit Jawa dengan Pakcik WargaEmas. Mengucapkan ribuan terima kasih dan meminta izin untuk meneruskan kayuhan. Jam sudah menunjukan jam 4:45 masih lagi berada di Parit Jawa. Sedangkan sasaran untuk berhenti beristirehat adalah di Bandar Melaka.




Selepas melintas pekan Muar antara jam 7:30 malam, kami berhenti untuk menggunakan tandas sambil makan-makan  disebuah gerai ditepi jalan. Dengan harapan tidak ada gangguan dipundi dan perut  semasa berkayuh nanti.Setelah memeriksa semua lampu-lampu depan dan  lampu belakang keselamatan, meneruskan lagi kayuhan menuju ke Melaka. Disepanjang jalan kiri kanan mempunyai lampu jalan, jikalau dimatikan lampu basikal pun tidak mengapa. Kenderaan menghala ke arah Melaka juga kurang maka berkayuhlah 3 beranak dengan aman dan damai.





Kayuhan sangat lancar , sejuk , nyaman , dilangit jutaan bintang berkelip-kelipan, bulan penuh menerangi langit terlihat jelas awan putih berarak berlatar belakangkan langit biru. Berdasarkan pengalaman berkayuh saya mendapati laluan  iaitu dari Muar ke Melaka merupakan salah satu laluan kayuhan yang istimewa. 





Dibeberapa tempat pada jarak yang berpuluh kilometer roda tayar basikal bergolek dengan lancar seolah-olah kami sedang berkayuh menuruni dari tempat yang tinggi. Sedangkan kedudukan permukaan jalanraya adalah pada kedudukan sedang mendaki. Keadaan ini  jelas dapat diperhatikan dari atas basikal dimana lampu dari pantulan cahaya yang tersusun disepanjang pagar penghadang besi lebuhraya. Sinar pancaran itu tersusun naik membukit keatas mengikut kedudukan pagar , bukannya mendatar atau pun menurun.




Pengalaman istimewa itu saya kongsikan dengan anak dan isteri supaya mereka perasaan dan merasa bahawa mereka sedang melalui laluan yang istimewa ketika sedang berkayuh. Mengikut hukum logik seharusnya sipengayuh harus menambah tenaga atau menaikkan gear supaya ringan melakukan kayuhan. Tetapi ini tidak, dengan gear paling bawah kayuhan menjadi lebih mudah walaupun pada kedudukan jalanraya mendaki.




Apakah disebabkan kehebatan pakar arkitek dan jurutera tempatan merancang membina jalanraya dengan menggunakan batu-batu krikil halus untuk kelancaran perjalanan. Atau dikawasan jalanraya ini terkandung mineral logam magnet yang bertindak balas menghasilkan tarikan graviti sepertimana jalaraya di Lebuhraya Kimanis~Keningau Sabah. Wallahu'alam.



Sedang leka bersenang lenang berkayuh dengan secara tiba-tiba Isteri saya telah diganggu oleh satu pandangan dipapantanda, Homestay Kampong Pak Ali di Umbai, Melaka. Beliau dengan segera mencadangkan supaya kita berhenti menginap disitu lagi pun hari sudah lewat malam menghampiri jam 10:30 malam. Maka sekali lagi sasaran untuk ke Bandar Melaka gagal.



Setelah bersilaturahim dalam berunding kami ditawarkan dengan harga serendah RM 70:00 semalam. Kemudahan bilik selesa dan bilik air sebesar sebuah bilik tidur. Kelengkapan sistem mandian air panas, penghawa dingin, Astro, 2 katil dan sebuah kolam renang saiz yang cantik. Malam itu juga anak dan isteri saya menghilangkan kepenatan dalam kolam renang.






Umbai ke Pantai Pengkalan Balak Melaka: 60 km
10:00 ~ 8:30

Umbai ke bandar Melaka sudah tidak berapa jauh mungkin sejam dua akan sampai disana. Sasaran hari ini ialah untuk berkayuh mengelilingi Bandar Hilir Melaka. Cadangnya untuk merasa berkayuh dilorong bangunan lama sambil melihat senibina bangunan disitu. Pagi itu tidak tergesa-gesa maka saya melecer-lecerlah seperti biasa sambil berenang-renang didalam kolam. Jam 10:00 pagi baru bersiap keluar dari Homestay Kampong Pak Ali berkayuh menuju arah bandar Melaka.












Ternampak sebuah warung ditepi jalan berhenti untuk bersarapan pagi. Sambil bersarapan mengambil peluang  bersilaturahim dengan penduduk tempatan. Berbual agak panjang lebar sambil gelak ketawa dengan mereka sehinggakan agak terlewat untuk menyambung kayuhan ke Bandra Melaka.



Langit membiru, awan berkepul-kepul dan cahaya matahari sangat terik di Negeri Melaka. Jam 12:30 tengahari sampai di Bandar Hilir. Mengelilingi setiap lorong di Jonker Street sambil melakukan sesi photografi terhadap senibina bangunan rumah kedai lama disitu. Sempat juga berkenalan dengan seorang anak muda Saudara Noor Fitri  pengiat kembara berbasikal di Bandar Hilir.










Profession sepenuh masa beliau ialah sebagai Penarik Beca di Bandar Melaka. Bermakna beliau merupakan seorang pengayuh yang hebat dan kuat. Setiap hari berkayuh dengan beca menggelilingi bandar melaka dengan membawa beban berat manusia  tanpa menggunakan sistem gear basikal. Sepanjang hari mencari rezeki dengan berkayuh tidak kira waktu pagi mahu pun petang.



Atas sebab Silaturahim antara pengembara Saudara Noor Fitri telah memberi peluang kepada saya merasa sendiri bagaimana perit dan susahnya untuk mengayuh dan mengawal beca. Setelah merasa sendiri maka saya sebagai pengayuh basikal biasa jangan ada rasa sombong akan kehebatan kudrat kayuhan saya. 




Seharusnya tabik hormat kepada Saudara Noor Fitri dan beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk memenuhi  cita-citanya untuk mengembara mengelilingi Semenanjung Malaysia.  Halangan kepadanya hanyalah modal dan kelapangan masa untuk melakukan, itu sahaja. Semoga Tuhan memberi beliau kelapangan masa dan modal untuk beliau maju jaya, harap kita boleh bertemu lagi dilain masa.






















Jam 5:00 petang baru mula berkayuh keluar dari bandar Melaka menuju ke Pangkalan Balak mengikut arah ke Tengkera ~ Port Dickson.  Kayuhan pada petang itu dilakukan dengan penuh berwaspada kerana jalanraya kampong  sempit dan sangat sibuk dengan banyak kenderaan yang pulang dari kerja.





Dipersimpangan jalan masuk ke Pengkalan Balak, terdengar azam mahgrib maka berhenti untuk mengalas perut, rehat dan menggunakan tandas. Selepas itu menyambung kembali kayuhan ke arah Pengkalan Balak yang berbukit-bukit dalam keadaan sunyi dan gelap gelita. Pada jam 9:30 malam sampai di Resort berhampiran dengan rumah Abang Syaaban. Kenalan yang telah lama tidak bertemu, kali terakhir bertemu sejak mengekori beliau berkayuh dengan adik saya @ Tun Teja di Sungai Pelek  4 , 5 tahun dahulu.



Ketika sampai di Pengkalan Balak, Abang Syaaban tidak ada dirumah kerana beliau masih belum pulang dari Masjid. Sementara menantikan kepulangannya selesaikan urusan penginapan  terlebih dahulu dengan pemilik resort. Tidak lama kemudian barulah Abang Syaaban pulang dan menyatakan kenapa tidak memaklumkan maklumat akan kedatangan terlebih dahulu.




Ketika sampai di Pengkalan Balak, Abang Syaaban tidak ada dirumah kerana beliau masih belum pulang dari Masjid. Sementara menantikan kepulangannya selesaikan urusan penginapan  terlebih dahulu dengan pemilik resort. Tidak lama kemudian barulah Abang Syaaban pulang dan menyatakan kenapa tidak memaklumkan maklumat akan kedatangan terlebih dahulu.



Abang Syaaban mempelawa kami untuk makan malam disebuah kedai kebiasaan beliau makan di tepi pantai. Malangnya kedai itu tutup maka terpaksalah pergi ke mana-mana kedai berhampiran yang masih buka untuk makan malam. Berbual bual panjang sambil menunggu menu makan malam mereka disediakan oelh pekedai. Oleh kerana terlalu lama hampir 1 jam menunggu makanan masih belum disiapkan, saya bertanyakan kepada pelayan yang menerima pesanan menu makanan. Jawapan dari wanita pelayan itu seolah-olah menu masakan itu dimasak oleh Chef Wan lagaknya." Kita ada ramai pelanggan dan awak kena tunggu ikut giliran ya.! 




Waaah ! Jawapan itu mengganggu saya sebagai seorang pelanggan. Oleh kerana saya menghormati abang Syaaban maka saya tidak membatalkan pesanan menu itu. Jikalau tidak kerana abang Syaaban saya akan membatalkan sahaja pesanan dan beredar meninggalkan  warung makanan di Pengkalan Balak itu. Sejurus itu barulah makanan yang dipesan sampai dan makan tanpa ada selera.




Sebelum Abang Syaaban pulang kerumah, beliau memaklumkan ingin mengiringi kayuhan kami sehingga  Rembau  Negeri Sembilan. Tetapi disebabkan esok hari Jumaat , beliau hanya boleh mengiringi saya sehingga pekan Lubuk Cina sahaja.




Ketika ingin menggunakan tandas saya dapati bekalan air tidak ada, pada waktu itu waktu sudah menunjukkan jam 11:00 malam. Sertamerta membuat panggilan talipon, malangnya panggilan itu tidak berjawab. Maka dengan rasa kurang selesa  mengetuk pintu rumah pemilik celet yang berada tidak jauh dari celet. Walaupun beberapa memanggil dan mengetuk pintu namun tidak juga berjawab. Dengan rasa malu dan terpaksa pergi kerumah Abang Syaaban meminta bantuan daripada beliau. 






Akhirnya beliau datang dan memanggil sehingga anak buahnya keluar untuk mengatasi masalah bekalan air. Merka meminta maaf kerana terlupa untuk membuka paip utama yang tersorok dibelakang celet. Barulah lega kerana dapat menggunakan tandas untuk membersihkan diri sebelum berehat tidur.

Kayuhan hari ini cuma 60 kilometer sahaja dari Umbai ke Pengkalan Balak dan jarak itu tidak mengira  kayuhan mundar mandir mengelilingi Bandar Hilir dan Jonker Street.


Pengkalan Balak ke Taman Melawati : 166 km
8:00 ~ 3:30 pagi.





Disebabkan ada berjanji dengan Abang Syaaban, maka jam 8:00 pagi sudah siap sedia untuk memulakan kayuhan. Sasaran kayuhan pada hari ini adalah untuk sampai ke Taman Melawati Kuala Lumpur. Selepas sesi bergambar kenangan di Pantai Pengkalan Balak, Abang Syaaban mengesan tayar hadapan basikal Bugatti yang ditunggang oleh anak saya ada masalah.



Setelah beliau membuat pemeriksaan pada tayar basikal, mendapati ball bearing didalam harp tayar hadapan ada yang telah pecah. Dengan segera beliau bertanyakan kepada Group Whatuup basikal tempatan tentang lokasi kedai basikal berhampiran. Oleh kerana waktu masih awal lagi, banyak kedai basikal belum memulakan operasi mereka.











Bersarapan pagi di pekan Sungai Baru Melaka sambil bersilaturahim dengan beberapa kenalan baharu dalam aktiviti kembara berbasikal. Selesai bersilaturahim maka saya memulakan kayuhan pada jam 9:30 pagi menuju ke Lubuk Cina yang diiringi oleh Abang Syaaban. Ketika berhenti berehat untuk menggunakan tandas, maklumat kedai basikal diterima yang menyatakan ada sebuah Kedai basikal di sekitar pekan Rembau Negeri Sembilan.








Apabila sampai di Lubuk Cina , Abang Syaaban meminta diri dan saya mengucapkan terima kasih diatas kesudian beliau melayan dan mengiringi kayuhan kami. Hari ini berpisah di sempadan Negeri Sembilan jika diizinkan Tuhan akan bertemu lagi dimasa akan datang.




Ketika sedang saya berhenti mengucapkan terima kasih kepada Abang Syaaban,  anak dan isteri telah laju berkayuh dihadapan meninggalkan saya dibelakang. Dipermulaan kayuhan mengikut laluan alternatif ke Rembau terdapat 2 cabang simpang. Simpang pertama menuruni bukit tidak ada papan tanda menunjukkan ke arah Rembau. Tetapi simpang yang kedua terpampang papantanda besar menunjukkan hala ke Rembau. Sangkaan saya tentu sekali mereka berdua akan mengikut laluan yang menunjuk ke arah Rembau. Mengejar mereka dari belakang dengan seberapa laju yang boleh. 





Walaupun laluan disini lenggang dan tidak banyak kenderaan tetapi ia berbukit-bukit ia mendatangkan sedikit kepenatan kerana melakukan kayuhan mengejar dengan laju. Hampir 30 minit mengejar masih belum berjaya memintas mereka berdua lagi. Beberapa kali membuat panggilan talipon tetapi masih gagal kerana  tidak ada liputan panggilan talipon.  Mengharapkan mereka berdua berikhtiar sendiri untuk sampai di Pekan Rembau dan bertemu apabila mereka dapat dihubungi.




Walaupun laluan disini lenggang dan tidak banyak kenderaan tetapi ia berbukit-bukit ia mendatangkan sedikit kepenatan kerana melakukan kayuhan mengejar dengan laju. Hampir 30 minit mengejar masih belum berjaya memintas mereka berdua lagi. Beberapa kali membuat panggilan talipon tetapi masih gagal kerana  tidak ada liputan panggilan talipon.  Mengharapkan mereka berdua berikhtiar sendiri untuk sampai di Pekan Rembau dan bertemu apabila mereka dapat dihubungi.




Jam 12:00 tengahari saya telah pun sampai di pekan Rembau, menunggu berhampiran Masjid Besar Rembau. Ketika dihubungi  mereka berdua masih lagi sedang berkayuh menuju ke arah pekan Rembau. Rupa-rupanya mereka berdua menggunakan laluan alternatif yang lain ke Rembau yang jaraknya lebih jauh daripada laluan yang saya gunakan. Berehat sambil menghilangkan dahaga sebelum menunaikan fardu sembahyang Jumaat.















Selesai semua urusan kami meneruskan kayuhan mencari kedai basikal yang dimaklumkan oleh Abang Syaaban itu. Kerja-kerja memperbaiki itu telah melewatkan kami untuk sampai ke distinasi awal waktu. Melintas bandar Seremban sahaja sudah jam 6:00 petang. Pekan berikut yang harus ditempuh ialah pekan Mantin. Laluan yang sering menghantui pengiat kembara berbasikal yang gah dengan laluan berbukit yang panjang menegak.










Di Kuala Lumpur jam 12:00 tengah malam, hari Jumaat malam Sabtu adalah waktu yang sibuk dimana warga kota berduyun-duyun keluar untuk agenda kehidupan mereka. Walaupun kita meningkatkan tahap kewaspadaan namun begitu pemandu di Kuala Lumpur seperti tidak mengambil berat akan kehadiran pengayuh basikal dijalanraya. 






Mereka  tidak ada perasaan timbang rasa malah akan mempersoalkan kehadiran kami , mengapa berada dijalanraya pada waktu tengah malam. Seolah-olah basikal tidak berhak menggunakan jalanraya pada waktu itu. Mengapa merancang dan mendedahkan keselamatan diri dengan keadaan merbahaya . Jikalau berlaku malapetaka jangan dipersalahkan pemandu-pemandu  kenderaan kerana pengayuh basikal itu menempah bahaya itu sendiri.




Tidak dinafikan kayuhan dari persimpangan susur keluar Sungai Long hingga ke Ibu Pejabat Polis Cheras dianggap merbahaya kepada pengayuh basikal yang tidak ada pengalaman menggunakan jalanraya. Pasti keadaan yang sama juga akan dihadapi jikalau kami bermula dari pekan Kajang dan harus menempoh saat merbahaya yang lebih panjang. Keputusan menggunakan laluan " Belakang Naga " adalah tepat kerana telah memendekkan  tempoh masa kayuhan merbahaya di Kajang ~ Cheras. 




Keadaan ini semua kadang-kadang terpaksa dihadapi juga atas sebab rekaan bentuk jalanraya ciptaan dari negara Dunia ke 3 yang tidak langsung memberi pertimbangan kepada pengguna basikal. Ditambah lagi dengan pael dan sikap pemandu dari kalangan pemandu dari 3rd world country.





Sepanjang kayuhan dari bulatan Cheras hingga ke Ulu Klang,Taman Melawati berlangsung dengan tenang dan lancar, kerana permukaan jalanraya mendatar dan dilimpahi cahaya lampu terang. Ketika sampai di Kampong Pandan, ternampak gerai makanan yang masih beroperasi  kami berhenti sebentar, sengaja untuk membuang-buang masa. Jam 2:45 pagi menyambung kembali kayuhan menuju ke arah jalan Ulu Klang dan kami sampai dirumah tepat jam 3:30 pagi. Alhamdullilah. Sampai dengan selamat dan tidak penat langsung.






Jumlah Jarak Jauh Kayuhan : 806 km
Kayuhan Bermula dari : Taman Melawati Kuala Lumpur Ke Pekan Simpang Ampat, Melaka.

Masa Bermula Kayuhan ~ 8:00 pagi ~ 3:30 pagi.

3 comments:

  1. berapa lama berkayuh di bang? Pergi dan balik?

    ReplyDelete
  2. Menarik!
    Abang Syaaban tu saya kenal dia dalam tahun 2009, dah lama tak bersua muka. Walaupun sama kampung :)

    Touring abang Rosla ni membuka selera nak buat sekali lagi cubaan touring ke Melaka.

    ReplyDelete