Tuesday 10 July 2018

Lotong Chenekeh ~ White-thighted Surili ~ Presbytis siamensis Bermain Dalam Taman


Lotong Chenekeh ~ White-thighted Surili ~ Presbytis siamensis


Bermain Dalam Taman




Pengalaman pemerhatian gelagat sekumpulan spesis Lotong Chenekeh ~ White-thighted Surili ~ Presbytis siamensis liar yang sedang bergurau berlari-lari di dalam taman permainan adalah satu pengalaman yang belum pernah saya saksikan sebelum ini. Kumpulan itu bekejaran antara satu sama lain dari pelbagai arah di atas tanah lapang dalam kawasan taman. 




Kumpulan Lotong Chenekeh ~ White-thighted Surili ~ Presbytis siamensis  yang terdiri dari 5 ekor individu itu seperti tidak menghiraukan kehadiran manusia ketika bermain-main sesama sendiri dengan bersuka-ria.  Mereka terlompat-lompat, berguling-guling , bergurau bergomol-gomol sesekali melompat turun naik keatas pokok.




Antara 5 ekor Lotong Chenekeh ~ White-thighted Surili ~ Presbytis siamensis 3 ekor dipercayai Lotong remaja dan 2 dewasa. Individu dewasa lebih banyak menghabiskan masa di atas pokok memetik-metik pucuk daun untuk dimakan. Manakala 3 ekor individu remaja pula berlari bekejar-kejaran antara satu sama lain.  




Kadang-kadang mereka bekejaran sehingga melompat naik pada ranting pokok dan bergayut-gayut. Ada ranting-ranting pokok terpatah ketika adegan kejar mengejar antara mereka itu. Gelagat mereka bergurau terlompat-lompat dan bergomol itu berlangsung lebih kurang antara 10 ke 15 minit. Selepas itu mungkin atas faktor kepenatan,  ketiga individu remaja itu naik keatas pokok untuk berehat sambil mencari tunas dan pucuk daun untuk dimakan.










Pada tafsiran saya ketika melihat riak wajah 3 ekor individu remaja seperti mereka sedang bersuka ria dengan gembira. Kelakuan haiwan yang sedang disaksikan itu memberi petunjuk yang jelas bahawa haiwan juga mempunyai naluri hati untuk menikmati akan rasa nikmat. Nikmat berbagai rasa seperti kita manusia. Yang berkehendak kepada sesuatu, samada  merasa gembira, duka, cemas, curiga, takut dan sebagainya.



Pengalaman melihat gelagat seperti itu adalah sangat jarang dapat disaksikan daripada haiwan liar yang bukan dari dalam kurungan. Kebiasaannya, pada acuan ilmu pemikiran saya haiwan ini akan banyak menghabiskan waktu hidupnya, berada diatas pokok. Mereka hanya turun ke tanah kerana  bersebab. Samada terpaksa berjalan ke tanah atas sebab kedudukan pokok antara pokok sangat berjauhan atau pun untuk mereka melintas jalan raya. Selain daripada itu banyaklah masa mereka akan dihabiskan diatas pokok sahaja.







Belum ada satu hasil bukti kajian secara saintifik  bahawa gelagat seperti yang saya saksikan ini adalah menjadi penanda aras kepada tahap kegembiraan sekor haiwan. Namun begitu secara kasarnya pada hemat saya, mamadailah hanya dengan melihat kelakuan mereka perasaan dan hati saya sudah menjadi seronok. Mungkin sipelaku lebihlah lagi merasa nikmat seronok dan gembira.







Menjadi persoalan dewasa ini ialah, hutan rimba habitat kehidupan semulajadi haiwan   telah banyak dimusnahkan dengan langsung tidak bertimbang rasa. Kemusnahan alam semulajadi hasil perbuatan manusia itu jelas akan kekejaman terhadap makhluk kejadian Allah yang lain. Kekejaman itu dibolehkan, dengan atas alasan kemajuan ekonomi manusia. Perbuatan ini jelas tidak menurut kehendak Al Quran dan Hadis, yang telah menyarankan jangan sesekali berlaku kejam dan tidak adil kepada makhluk kejadian Allah.





Dalam waktu yang sama, janganlah pulak mempunyai rasa kasih sayang yang melampau sehingga manusia mahu mencari dan membelinya bertujuan untuk membela. Ingin menjadikan haiwan peliharaan supaya dapat dibelai, ditatap dan melihat keletahnya dirumah. Perbuatan dan amalan seperti itu telah jelas melanggar fitrah haiwan itu sendiri.





Fitrah perbuatan itu sama seperti manusia yang sama jantina berkahwin mendirikan rumahtangga dan hidup sesama mereka. Memadailah menunjukkan kasih sayang kepada haiwan dengan memastikan mereka dapat bebas hidup didalam kehidupan alam semulajadi di hutan belentara. Wasalam.

No comments:

Post a Comment