Tuesday 25 September 2018

Pemerhatian Pucung Ungu~Ardea purpurea( Purple Heron) Mencari Makan


Pemerhatian Pucung Ungu ~ Ardea purpurea( Purple Heron) Berusaha Mencari Rezeki




Baru baru ini saya berkesempatan membuat pemerhatian sekor burung Pucung Ungu~Ardea purpurea ( Purple Heron) muda, yang sedang mencari makanan disatu lokasi di Sungai Gombak. Ketika mula memerhatikan gelagat sekor burung muda itu, dia sedang berdiri ditebing sungai secara bersendirian. Bersendirian ditebing sungai yang berlumpur berseleraak dengan pelastik sampah yang separuh terbenam dalam selut lumpur.



Kelihatan bulatan buih-buih udara yang dilepaskan oleh ikan-ikan membuak dipermukaan air sungai  yang berwarna keruh kehijauan yang mengalir dengan tenang. Walaupun keadaan sungai itu kotor dan tidak bersih namun sungai Gombak  menyediakan sumber makanan kepada burung-burung dan hidupan liar yang lain secara tidak putus-putus. Walaupun sumber makanan banyak tetapi haruslah ianya dicari. Ia tidak akan datang melayang terus masuk kedalam mulut.



Burung itu berdiri tegak dikawasan tebing sungai pada paras air yang cetek. Sejengkal bahagian batang kakinya yang bersisik berwarna hitam tercelop masuk didalam sungai. Seolah-olah menyerupai ranting kayu jika ikan melihat dari dalam air, agaknya.Renungan matanya ditumpukan ke dalam air untuk memerhatikan, kalau-kalau ada kumpulan ikan yang berenang berhampirannya. Setelah menunggu lama, yang tidak membuahkan sebarang hasil tangkapan, maka ia pun bergerak melangkah berubah tempat. Setapak demi setapak secara perlahan-lahan menuju  ke kawasan lain. Selangkah dia berhenti buat seketika, kemudian selangkah lagi ia berhenti. Agak lama juga dia menunggu kumpulan ikan untuk berenang dihadapannya  untuk ditangkap.



Setelah melangkah lebih kurang 10 meter dari tempat dia menunggu tadi. Burung Pucung Ungu ~ Ardea purpurea  berdiri diam, tidak bergerak-gerak. Ketika itu cahaya matahari pagi  memancar terik, sedikit sebanyak membantu burung melihat ikan didalam air. Kepalanya direndahkan pada paras sekaki dari permukaan air sungai. Merendahkan kedudukan kepala dalam keadaan bersiap siaga untuk melakukan tindakan. 



Sejurus itu dengan pantas keseluruhan kepalanya menjunam masuk kedalam air. Satu tindakan rejaman paruh umpama mata lembing pergi bersama kepala tepat pada sasaran. Rejaman yang dibantu oleh bantuan batang lehernya yang panjang dan kuat seperti "spring" masuk tercelop kedalam air sungai. Kemudian keluar dengan paruhnya telah mengepit seekor ikan Talapia bersaiz lebar sebesar tapak tangan.



Hanya dengan sekali rejaman paruhnya telah memastikan untuk beberapa jam akan datang, perut burung pasti tidak kelaparan.Ikan yang terkepit pada paruh burung itu dinaikkan keatas, keluar daripada alam air.   Ikan itu sudah hilang daya upaya tidak boleh berbuat apa-apa didalam kepitan paruh burung. Apa yang termampu dilakukan oleh ikan hanyalah mengembang  dan menegakkan semua ridip tajamnya.



Mulutnya terbuka luas tercunggap-cunggap seperti kesesakan bernafas setelah keluar dari air. Lama kelamaan kekuatan tenaga ikan Talapia sudah mulai lemah dan longlai.Ikan tersebut hanya menunggu saat burung memasukannya ke dalam mulut. Burung perlahan-lahan melangkah berjalan keluar dari air, naik keatas tebing dan berhenti disitu.



Diatas tebing sungai Pucung Ungu~Ardea purpurea ( Purple Heron) itu menoleh kekiri dan kanan bagi memastikan tidak ada sesuatu benda yang boleh atau bakal merampas rezekinya atau mengganggu dirinya. Disitu Pucung Ungu~Ardea purpurea ( Purple Heron), menggunakan naluri kecerdikan semulajadi. Mata melihat ikan talapia terkepit pada paruh pada kedudukan yang menimbulkan bahaya apabila ditelannya nanti. Maka dengan menggunakan paruhnya, Ikan Talapia selebar tapak tangan orang dewasa itu ditimbang-timbang bagi membetulkan kedudukan ikan supaya mudah masuk kedalam mulutnya.



Dikepit dan ditimbang-timbang kedudukan  ikan Talapia itu supaya ikan dapat ditelan masuk dari kepala bukan dari ekor. Andaikata ikan ditelan masuk secara songsang dari ekor sudah tentu set ridip ikan Talapia yang keras dan tajam akan mencucuk tekak dan tulang kerongkong. Keadaan seperti itu  memberi bahaya kepada burung. Setelah ikan berada dikedudukan yang betul, maka ditimbang-timbang secara perlahan-lahan masuk kedalam anak tekak. 




Pada saat itu nyawa ikan sudah hampir menunggu mati.Dengan menggunakan otot pada tulang kerongkong diteran ikan masuk kedalam tulang kerongkong yang mengembang.Ikan menurut sahaja dirinya ditolak masuk kedalam kerongkong yang sendat, sempit dan panjang yang penuh dengan lendir cecair. Pada saat itu ikan telah lemas dan tidak bernyawa lagi.Seolah-olah memberi laluan kepada ikan melorot kebawah masuk dalam tulang kerongkong yang panjang. 



Kelihatan bentuk batang leher burung membengkak bergerak melorot masuk kedalam tembolok. Seperti Ular Sawa menelan mangsa yang bersaiz besar lagaknya.Saiz ikan selebar itu sudah tentu memberi kekenyangan kepada burung Pucung Ungu~Ardea purpurea ( Purple Heron). Sejurus itu ia melonjak dan terbang menghilangkan diri dari pandangan saya. 




Rumusan pemerhatian.

Reka bentuk tubuh badan burung memainkan peranan untuk dia sentiasa berkebolehan menangkap Ikan, Ular, Mengkarung , Katak dan hidupan liar kecil dari jenis Reptilia dan Amphabia. Bentuk dan warna kaki yang hitam didalam air seolah-olah seperti sebatang ranting kayu yang mengerlirukan mangsanya. Lehernya yang panjang dengan rekabentuk tulang leher yang boleh dilentuk-lentuk seperti huruf " S " pada sejengkal dari bahagian paruh burung. Paruh burung berbentuk seperti mata lembing adalah senjata utama untuk mendapatkan rezekinya. Hebat sungguh kejadian Allah. Wasallam.

No comments:

Post a Comment