Wednesday 5 September 2018

Silompat Fulgorid Rasta-putih ~ Fulgorid Planthopper Nymph



Silompat Fulgorid Rasta-putih ~ Fulgorid Planthopper Nymph

Saya telah beberapa kali berjumpa dengan serangga yang berwarna putih ini yang mempunyai penampilan yang sungguh berbeza daripada serangga-serangga lain yang pernah saya temui. Kali pertama menjumpainya adalah pada tahun 2008 di Bukit Melawati. Pada ketika itu saya tidak tahu serangga ini adalah dari spesis apa. 





Memandangkan di tanahair kita ini, pada amnya adalah amat sukar untuk mencari bahan rujukan ilmiah terhadap tajuk serangga-serangga kecil bacaan dalam bahasa Malaysia . Maka semua rujukan yang saya terpaksa lakukan melalui rujukan dalam bahasa Inggeris di halaman siaran Fulgorid Planthopper Nymph Pinsdaddy.com. 



Saya yakin sehingga kini ditahun 2018 masih belum ada nama pengenalan rasmi untuk serangga ini dalam bahasa Kebangsaan di Malaysia. Sebagai rujukan pengecaman serangga dimasa hadapan, disini saya ingin membuat cadangan kepada nama yang saya fikir sesuai untuk tujuan itu yang boleh digunakan sebagai pengenalan dimasa hadapan. Dengan rendah hati saya mencadangkan serangga ini dikenali sebagai Silompat Fulgorid Rasta-putih~Planthopper Nymph Pinsdaddy




Alasannya adalah seperti berikut; "Silompat" merujuk kepada Planhopper. "Fulgorid" merujuk kepada jenis spesis serangga tersebut, "Rasta" merujuk kepada fesyen bentuk rambut berpintal yang digayakan oleh pengikut fahaman Rastafarian di Negara Jamaica. "Putih" merujuk kepada  bulu serangga yang berwarna putih. Oleh yang demikian cadangan nama rasmi kepada serangga unik ini ialah Silompat Fulgorid Rasta-putih~Fulgorid Planthopper Nymph.



Saiz

Saiz serangga Silompat Fulgorid Rasta-putih ~ Fulgorid Planthopper Nymph ini lebih kurang sebesar antara duit siling 10sen ke 20 sen.



Bentuk dan Ciri-ciri

Serangga ini mudah dikenali kerana ia berwarna putih , pemandangan akan terpedaya dengan menyangkakan ia seperti segumpal kapas putih yang melekat diatas tumbuhan. Seluruh anggota badannya berbulu berwarna putih. Bentuk kepalanya mirip seperti Serangga Mentadak-mentadu ~ Praying Mantis~Mantis religiosa. Ia mempunyai 3 pasang kaki yang letakannya pada sisi anggota badan. Setiap  pasang kiri kanan kakinya mempunyai bulu bentuk seperti kipas dan dihujung kaki terdapat kuku bercangkuk. Pada bahagian sisi badannya tumbuh bulu-bulu seperti kapas terbentuk seperti sayap. 



Manakala pada bahagian belakang anggota badannya terdapat dua jenis bulu panjang. Pada bahagian bawah, tumbuh bulu lebat seperti rambut halus yang berwarna putih dengan campuran warna pelangi. Manakala pada bahagian atas pula tumbuh bulu yang panjang berbentuk seperti rambut yang dipintal-pintal secara panjang berjurai-jurai. Panjang bulu putih yang berjurai-jurai itu , dianggarkan lebih kurang 3 kali ganda panjang daripada anggota badannya.




Habitat

Ia bergerak dengan menggunakan ketiga pasang kakinya dengan berjalan secara merayap-rayap diatas permukaan tumbuhan. Sekiranya terdapat ancaman ia akan melompat lonjakkan yang tinggi pada jarak berbelas kali ganda dari saiz anggota badannya. Tidak dapat dipastikan akan kekuatan tenaga lonjakan dan lentikan itu datang dari bahagian anggota mana. Samada pada kaki atau pun pada anggota rongga bahagian badannya. Kesan lentikan dan lonjakan itu berupaya membuat lantunan anggota badan yang sangat tinggi pada sesuatu lokasi secara tidak terarah.  Bulu-bulu yang berpintal berjurai panjang itu dijadikan alas lapik keselamatan yang empuk dan lembut kepada anggota badan apabila jatuh atau hinggap ke lokasi permukaan keras.


2 comments: