Thursday 4 April 2019

Tata Cara Mengambil Madu Lebah Pokok Tualang Di Kampong Pagi, Kuala Tembeling Jerantut Pahang



Tata Cara Mengambil Madu Lebah Atas Pokok Tualang Di Kampong Pagi, Ulu Tembeling Jerantut Pahang Darul Makmur

Rosla Bin Mustakim
Red Door To Hunt


Alamat Email Penulis: rosla.m3@gmail.com
Tarikh: 7 April 2019




Abstrak


Pokok Tualang~Koompassia excelsa antara spesies pokok hutan Tropika tertinggi yang tumbuh hidup  subur didalam hutan di Semenanjung Malaysia. Spesies Pokok Tualang~Koompassia excelsa adalah salah satu pokok yang  menjadi pilihan  koloni Lebah membuat sarang-sarang mereka pada dahan diatas pokok ini.  Sifat fizikal pokok ini yang tumbuh tegap kukuh serta tinggi dengan permukaan kulit batang pokok yang licin menjadi pelindung semulajadi daripada ancaman musuh. Di Semenanjung Malaysia madu lebah yang dituai dari kawasan hutan berhampiran Kampong Pagi , Ulu Tembeling Jerantut dipercayai mempunyai kualiti yang terbaik. Ini disebabkan koloni lebah-lebah mendapat sumber manisan madu bunga daripada khazanah pokok-pokok  hutan dara yang tidak tercemar. Bebas dari segala macam baja kimia mahu pun dari racun perosak. Hutan Simpan Taman Negara yang berusia 130 juta tahun mempunyai udara segar dan bersih menyimpan khazanah alam asli tidak pernah terokai untuk aktiviti ekonomi atau pertanian. Memandangkan  hutan ini sahaja kawasan hutan terakhir bebas daripada segala macam pencemaran. Maka hasil tuaian madu disini yang lebih dikenali dengan Madu Tualang Kampong Pagi adalah madu berkualiti tinggi dan antara yang terbaik di Semenanjung Malaysia.  



Pokok Tualang~Koompassia excelsa

Mukadimah

Untuk mendapatkan madu lebah yang asli di kawasan hutan simpan Taman Negara Ulu Tembeling Jerantut Pahang adalah tergantung kepada beberapa faktor alam semulajadi. Ia bukan boleh dituai pada bila-bila masa sepanjang tahun, kerana koloni lebah mendapatkan sumber manisan dari tumbuhan pokok-pokok hutan yang berbunga mengikut musim dan cuaca. Jikalau musim bergerak mengikut seperti mana kesesuaian koloni lebah membuat sarang. Maka Pencari Madu Lebah harus berusaha terlebih dahulu mencari lokasi pokok tempat sarang lebah dibina didalam hutan. Lebah membuat sarang di atas  Pokok Tualang~Koompassia excelsa yang matang pada ketinggian antara 36 ke 50 meter tinggi dari paras lantai tanah. Perbandingan ketinggian itu dianggarkan sama dengan " 4 batang tiang elektrik ". Setelah dapat mengenal pasti lokasi sarang lebah, mereka akan merancang dan menetapkan tarikh tuaian madu  dapat dilakukan.  Tuaian hanya dilakukan pada waktu malam yang gelap , dimana bulan tidak mengembang mengeluarkan cahaya terang. Tuaian madu lebah tidak dapat dilakukan pada waktu hari hujan dan  angin bertiup kencang . Sekiranya semua berjalan sepertimana yang dirancang, pada ketika itu barulah operasi menuai madu lebah boleh dilakukan. Jumlah madu lebah yang telah dapat dituai itu bergantung kepada saiz sarang-sarang lebah yang dijumpai. Operasi menuai madu lebah diatas Pokok Tualang~Koompassia excelsa merupakan satu pekerjaan yang cukup merbahaya, rumit dan memenatkan. Ia memerlukan keberanian, mempunyai ketahanan menerima sengatan, tidak gayat pada ketinggian, ramai tenaga yang cekap dan  berpengalaman. 


Kekunci Kata:- Pencari Madu Lebah, Madu Tualang Kampong Pagi , Pokok Tualang~Koompassia excelsa, Taman Negara Ulu Tembeling Jerantut Pahang .




KAEDAH  DIGUNAKAN DALAM PEMERHATIAN/ KAJIAN & ALAT YANG DIGUNAKAN


Semua sumber matlumat didalam penulisan ini adalah berdasarkan dari hasil sesi soal bicara secara lisan dengan Pencari Madu berpengalaman. Beliau masih aktif melakukan kerja-kerja mencari madu di Kampong Pagi, Ulu Tembeling  Jerantut Pahang sehingga tarikh penulisan ini dibuat. Ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada Saudara Wan Chik @ Pak Teh dan Saudara Razak kerana berkesanggupan berkongsi pengalamannya secara terperinci dalam melakukan tata kerja menuai Madu Lebah diatas Pokok Tualang~Koompassia excelsa. Alat bantuan kajian yang digunakan adalah Teropong Carl Zess, Kamera Panasonic Lumix LX7 untuk rakaman video, Kamera DSLR Canon 7D  , Kamera DSLR Canon Mark 7D II, Canon Micro F2.8 L Prime Lens 100 mm, Canon  F4 L Prime Lens 300mm dan Canon Zoom Wide EF-S 10-22mm Lens.





KEPUTUSAN & PERBINCANGAN


Kakitangan, Pembahagian Tugasan & Peralatan Diperlukan.

Pekerjaan menuai madu lebah dari Pokok Tualang~Koompassia excelsa memerlukan sekurang-kurangnya  7 orang pekerja yang berpengalaman. Setiap kakitangan mempunyai kepakaran bidang tugasan masing-masing. Bidang tugasan dalam pekerjaan menuai madu lebah itu terbahagi kepada tiga bidang pekerjaan.  Kerja-kerja menaik & menurunkan tali, memasang tali , kerja memanjat serta menuai madu lebah. Setiap orang telah dipertanggung jawabkan melaksanakan tugasan yang  telah dibahagi-bahagikan tugasnya.  Diantara sesama mereka akan bekerja bergotong royong menyediakan peralatan dan alat bantuan perlaksanaan tugas. Peralatan yang diperlukan adalah seperti berikut:- 

1. Kerja-kerja menaikkan tali keatas pokok.
2. Kerja-kerja memasang tali diatas pokok.

a.Lastik Kayu
b.Batu ladong
c.Benang Tangsi / Tali Tangsi yang panjang bersesuaian dengan ketinggian pokok Tualang.
d.Tali saiz ukuran halus.
e.Tali saiz ukuran sederhana.
f.Tali saiz ukuran tebal /terbesar.
g.Takal ( Pulley)





3. Kerja-kerja memanjat pokok dan menuai madu lebah.

a. 10 ke 12 batang paku saiz 6 inci.
b. Tukul Besi.
c. Pisau atau Badik.
d. Andang
e. Pemetik Api.
f. Bakul










Waktu Perlaksanaan Dan Tata Cara Menuai Madu Lebah 


Waktu Perlaksanaan

Mengikut kalender Hijrah Melayu, cuma ada beberapa hari sahaja cahaya bulan tidak kelihatan pada waktu malam. Maka  penentuan untuk melakukan kerja-kerja menuai madu lebah memerlukan kata persepakatan  dan kesungguhan diantara mereka. 

Setelah mendapat keputusan, pada hari yang dijanjikan mereka akan berkumpul dijeti dengan membawa semua peralatan yang diperlukan. Kerja-kerja mengangkat  menyusun peralatan bantuan dan bekalan makanan ke dalam bot-bot panjang yang bakal digunakan. Setelah selesai semua urusan tersebut, pada kebiasaannya mereka akan memulakan perjalanan pada sebelah petang antara jam 3:00 ke 4:00 petang.  Pertimbangan  itu berdasarkan jarak lokasi sarang, samada yang berada jauh didalam hutan atau sebaliknya. Mereka akan mencari tempat melabuhkan bot-bot mereka dilokasi yang sesuai dengan jarak yang paling dekat dari lokasi Sarang Lebah Pokok Tualang. Dari situ mereka bekerjasama  membawa semua beban peralatan dan bekalan makanan. Perjalanan berjalan kaki meredah hutan  ke lokasi sarang lebah, harus sampai pada waktu sebelum matahari terbenam. Tujuannya untuk memudahkan, merancang kerja-kerja dengan lebih kemas dan teratur. Supaya mendapat rehat secukupnya dari kepenatan membawa beban. Sekiranya cuaca mengizinkan sepertimana yang dijangkakan, maka  kerja-kerja menuai madu lebah akan dimulakan selepas selesai solat maghrib.





Tata Cara Menuai Madu Lebah

Tukang panjat pokok merangkap mengambil madu lebah terlebih dahulu akan berbincang dengan pakar lestik . Mereka membincangkan untuk memilih dahan  paling hampir pada lokasi  sarang untuk menyangkutkan tali. Supaya Tukang panjat tidak perlu sia-sia membuang tenaga untuk memanjat lebih tinggi. Tenaga diperlukan untuk membuat tangga paku yang bertingkat-tingkat, memudahkan dia berpaut ketika kerja-kerja menuai madu dilakukan nanti. Dalam gelap gelita Tukang lastik menyediakan batu ladong yang telah diikat dengan benang tangsi, untuk dituju ke arah dahan yang telah mereka pilih. Sebagai tukang lastik mahir, kemana sahaja yang dikehendai oleh tukang panjat dia akan melaksanakan. Hanya dengan beberapa kali usaha melastik ke arah tempat yang dituju, benang tangsi sudah tersangkut pada dahan pokok Tualang yang tinggi. 





Walaupun dalam gelap gelita pakar tali mempunyai kaedah mencari batu ladung yang jatuh diatas tanah. Setelah menjumpai batu ladung yang diikat dengan benang tangsi, maka tugas itu diambil alih pula oleh pakar tali, yang sudah bersiap sedia dengan berbagai jenis saiz tali. Benang tangsi akan diikat sambung kepada tali bersaiz kecil dan ditarik naik melepasi dahan pokok. Proses itu diulangi semula dengan tali kecil diikat sambung kepada tali bersaiz sederhana. Tata cara itu diulang sama seperti sebelumnya sehingga diikat sambung dengan tali bersaiz besar. Proses ini terpaksa digunakan secara berperingkat peringkat dari semua jenis saiz tali  . Ini disebabkan tali bersaiz kecil tidak berupaya menaikkan tali bersaiz besar yang terlalu berat untuk ditarik, pada ketinggian dahan pokok tualang. Setelah itu tali bersaiz besar akan dinaikkan bersama takal ( Pulley) yang telah diikat sempurna dan kemas. Mereka akan memastikan takal( Pulley) berfungsi dengan lancar. 



Sejurus kedudukan takal yang tergantung bersama tali dalam keadaan kemas dan sempurna didahan pokok itu selesai. Maka  kerja-kerja memanjat pokok sudah boleh dilakukan. Semasa kerja-kerja menaikkan tali dijalankan, tukang panjat mempersiapkan dirinya dangan pakaian yang sesuai bagi mengurangkan  kesan bisa sengatan lebah-lebah. Dengan berkaki ayam, memakai seluar panjang yang tebal dengan hujung kaki seluar diikat. Supaya lebah-lebah tidak memasuki dari bahagian kaki. Memakai 2 helai baju lengan panjang jenis fabrik yang tebal, juga diikat kemas dibahagian pergelangan tangan. Memakai sarung kepala yang menutupi bahagian leher, kepala dan sebahagian wajah muka. Setelah semua kelengkapan siap dan yakin, maka dia mengikat dirinya dengan tali untuk ditarik naik ke atas pokok. Ikatan kemas dibahagian pinggang dan celah kelangkang sebagai usaha keselamatan diri sambil bertawakal. Bersamanya dia akan membawa tukul besi, paku, badik dan pemetik api.





Kerja-kerja menaikkan sipenuai madu lebah dilakukan oleh 3 ke 4 orang pekerja mahir yang telah dikhaskan. Dengan mempunyai rekod  sifar malapetaka, dalam keadaan tergantung-gantung sipenuai dinaikkan dengan selesa tanpa menimbulkan perasaan cemas. Sesampai diatas dahan yang hendak dituju. Sifat keberanian menghadapai keadaan gelap gelita diatas dahan tualang yang tinggi, sambil mencari imbangan yang selesa dan selamat untuk bertapak. Kemudian melakukan usaha membuat tangga menuju ke dahan sarang lebah. Satu persatu paku diketuk terbenam pada dahan pokok. Kedalaman setiap batang paku dibenam dianggarkan lebih kurang 3 inci dalamnya. Jarak antara sebatang paku ke sebatang paku dianggarkan 1 kaki. Dipacakkan pada kiri dan kanan sisi batang pokok secara berselang seli hingga ke tempat sarang lebah.    



Pada saat ini isyarat dari atas diberi supaya dihulurkan beberapa batang andang bersama bakul mengkuang/buluh untuk dinaikkan keatas. Setelah memperbetulkan kedudukan diatas pokok, andang yang diperbuat dari lilitan ikat bersalut dengan sabut kelapa  itu akan dinyalakan. Andang yang terbakar itu akan disapu-sapukan kebahagian badan sarang lebah. Seni sapuan andang ke sarang lebah hendak dilakukan dengan tertib. Api andang tidak boleh terlalu dekat pada sarang nanti madu akan tercemar dengan rasa hanggit terbakar. Serentak dengan itu koloni lebah terkejut berterbangan lintang pukang tanpa arah, dalam gelap meninggalkan sarangnya. Kepanasan api berupaya mengejutkan koloni lebah untuk meninggalkan sarang. Tetapi percikan bara api andang seperti butiran bunga api pula berupaya mengalih pandangan koloni lebah. Kumpulan lebah akan mengejar bara api yang jatuh kebawah. Disebabkan api bara yang jatuh dari tempat yang sangat tinggi, maka ia akan terpadam sebelum sampai ketanah. Koloni lebah yang mengejar bara pada mulanya akan sesat hilang punca dalam kegelapan. Walaupun sempat ditepis dengan tangan beberapa kali serangan lebah, namun dua tiga ekor pasti berjaya meninggalkan sengatan. Hukum ini wajib dirasai oleh sipengambil madu. Beliau kena kuat bertabah menahan rasa sakit  bisa sengatan lebah semasa proses menghalau lebah.




Sebagai yang sudah berpengalaman, beliau mengetahui bahagian-bahagian sarang yang dipercayai mengandungi madu lebah. Maka memilih bahagian itu dikerat dengan pisau secara cermat pada bahagian tertentu bagi mengelakan kebocoran sarang. Sarang yang dipotong disusun masuk kedalam bakul sehingga penuh lalu diturunkan. Proses ini akan diulangi beberapa kali sehingga bahagian sarang yang mengandungi madu itu habis. Adab pengambil madu akan meninggalkan bahagian sarang yang mengandungi lava dan anak-anak lebah sebagai kelangsungan kehidupan koloni lebah dikawasan tersebut.  Selepas semua proses selesai barulah pengambil madu itu turun dengan proses yang sama semasa naik. Tugas menuai madu telah selesai dijalankan dan ia akan berehat, sementara itu pekerja lain menjalankan kerja-kerja menurunkan tali dan berkemas.Setelah selesai berkemas, mereka membawa peralatan masing-masing dan memikul hasil sarang lebah berjalan menuju ketempat bot mereka berlabuh untuk pulang. 






Tatacara Mengumpul dan Perlaksanaan Pembahagian Hasil Tuaian Madu.

Setelah sampai di jeti, kumpulan ini akan bergerak pergi ke lokasi rumah bersama hasil tuaian untuk  membahagi-bahagai hasil tuai madu lebah. Disana sarang-sarang yang telah dikerat akan dikeluarkan madunya dari sarang. Kepakaran dalam membelah sarang adalah diperlukan supaya tidak rugi dimana semua madu didalam sarang dapat diambil setiap titik. Mereka akan mencari pangsa khas bagi menumpahkan keseluruhan kandungan madu didalam sarang. Keseluruhan madu akan ditakung masuk kedalam bekas khas kemudian proses pembahagian hasil dapat dilakukan.










Sifir pembahagian hasil tuai madu telah mempunyai kata sepakat dan dipersetujui sejak dari lagi, iaitu ; Tukang Panjat merangkap mengambil sarang lebah akan mendapat 2 koleh/cawan madu, manakala pekerja-pekerja yang lain akan menerima 1 koleh/cawan.  Mana-mana baki madu yang tidak boleh dibahagikan, maka antara mereka akan kalah mengalah atau tolak menolak untuk tidak menerima baki itu. Atas budi bicara dan adab kesantunan antara mereka menyelesaikan pembahagian tersebut. Pada kebiasaannya mereka akan mengikut giliran atau mengikut keperluan senang susah ahli kumpulan pada ketika itu.Prinsip yang tidak pernah tertulis antara mereka ini telah diamalkan dengan baik sejak dulu lagi demi keharmonian silaturahim. 





Setelah pembahagian madu dilakukan secara saksama, proses seterusnya dikehendaki setiap orang akan menapis menyuring madu  menggunakan penuras kain benang halus. Proses memisahkan madu dari cebisan sarang, debu dan habuk untuk mendapat kualiti madu terbaik . Setelah selesai disuling madu itu  akan dimasukkan kedalam botol mengikut saiz botol. Madu Lebah Tualang dari Kampong Pagi Ulu Tembeling  telah ditetapkan pada harga RM 200.00 sebotol bersaiz sekati. Setiap kali tuaian madu memang telah ada pelanggan menunggu secara mengikut giliran untuk membelinya. Kadang-kadang madu untuk kegunaan sendiri terpaksa dijual kepada orang atas sebab-sebab kesihatan sipembeli. Semua kerja selesai dan boleh pulang kerumah antara jam 3:00 ke 4:00  pagi.



Kesimpulan yang dapat dibuat , madu asli Tualang memang telah terbukti khasiat dari sudut kesihatan badan manusia. Jadi mana-mana benda yang asli, pada adatnya memang susah untuk diperolehi. Ia susah diperolehi kerana  melibatkan ramai tenaga pekerja yang ada sifat keberanian, cekal, kemahiran dan menuntut kekuatan mental dan fizikal. Adalah tidak munasabah sekiranya madu tualang yang asli, ada banyak dipasaran dengan harga tawaran yang murah.











Janganlah sesekali cuba tawar menawar untuk menurunkan harga yang telah ditawarkan ketika hendak membeli Madu Tualang Asli, kerana perbuatan itu menzahirkan sifat keji yang memalukan diri sendiri. Perbuatan  itu dianggap sebagai satu penghinaan kepada  pencari madu.







2 comments:

  1. Dari lebah mula buat srang, berapa lama temooh boleh kite tuai

    ReplyDelete
  2. Hebat moga dipermudahkan Segala urusan

    ReplyDelete