Saturday 11 April 2020

Kisah Telur Burung.


Telur Burung.




Sejak 27hb Mac 2020 hingga  3hb April 2020 hampir pada setiap secara berturut-turut saya telah menjumpai 7 biji telur burung di kawasan padang taman permainan di kediaman  saya Taman Melawati. Kesemua telur burung itu dijumpai  di lokasi yang berdekatan antara satu dengan yang lain. Pada mulanya mengesyaki telur-telur yang dijumpai itu adalah milik burung Tukang Ekor besar-Caprimulgus macrurus kerana, gaya telur itu terbiar di atas kawasan tanah  lapang seperti cara kebiasaan Tukang Ekor besar-Caprimulgus macrurus  bertelur. 


Warna Telur Burung Tukang Ekor besar-Caprimulgus macrurus 

Anak Burung Tukang Ekor besar-Caprimulgus macrurus 

Saiz Telur Burung Tukang Ekor besar-Caprimulgus macrurus 

Namun setelah membuat semakan rekod-rekod dari imej yang lampau ternyata kesemua telur tersebut bukan milik Tukang Ekor besar-Caprimulgus macrurus. Telur burung Tukang adalah berwarna coklat cair, tetapi 6 biji telur burung yang dijumpai itu berwarna biru cair cuma sebiji berwarna coklat biji getah. Apa yang menimbulkan tanda tanya kesemua telur yang dijumpai itu  dalam keadaan pecah dan terbocor.




Berikut adalah Maklumat 7 biji Telur Burung Yang Dijumpai.

Tarikh: 27 Mac 2020
Masa: 11.05 pagi



Sebiji telur berwarna biru cair bersih dijumpai terletak diatas tanah berumput dikawasan tengah padang taman permainan. Apabila diperhatikan dari dekat telur itu telah rosak berlubang dengan cecair dari telur berwarna susu membasahi tanah. Sekawan semut sedang menghurungi cecair lendir dari kulit telur. Telur itu berlubang dipercayai dari kesan hasil tusukan benda runcing tajam , boleh jadi kesan dipatuk oleh paruh burung.

Tarikh :29 Mac 2020
Masa   : 10.45 pagi.




Sebiji telur berwarna biru cair bersih dijumpai tidak jauh daripada telur yang dijumpai pada  27 Mac 2020 lebih kurang 4 ke 5 langkah sahaja. . Telur berbentuk hampir bulat itu dijumpai berkeadaan pecah dimana sebahagian kulit cengkerang telah tidak kelihatan disitu, cuma berbaki 60 peratus  kulit sahaja yang tinggal. Kulit itu pula terletak diatas tanah berumput dikawasan padang taman permainan yang sama . Apabila diperhatikan dari dekat, telur itu turut  rosak berlubang dengan cecair dari telur warna susu membasahi tanah. Sekawan semut sedang menghurung cecair dari kulit telur. Melihatkan keadaan telor itu berlubang, boleh jadi hasil kesan dipatuk dengan paruh burung.

Tarikh:31 Mac 2020
Masa : 10:30 pagi.



Pada kali ini menjumpai 2 biji telur  lagi , sebutir telur berwarna biru cair bersih dijumpai ditempat yang sama.Telur berbentuk lonjong itu dijumpai diatas tanah berumput dikawasan padang taman permainan. Manakala sebutir telur lagi berwarna coklat biji getah juga berbentuk lonjong dan saiznya sangat kecil. Kawasan telur-telur yang dijumpai itu tidak jauh dari tempat semalam selang  4 ke 5 langkah sahaja.Keadaan telur berwarna biru kelihatan rosak yang teruk. Kulit cengkerangnya pecah dan berlubang sehingga sebahagian serpihan telur tidak kelihatan. Kandungan cecair didalam telur sudah kering. Telur warna coklat biji getah mengalami kerosakan yang lebih teruk sehingga 50 % kulit cengkerangnya hancur. Mungkin disebabkan saiznya terlalu kecil , cengkerangnya turut rapuh apabila menerima kesan patukkan daripada paruh yang besar.





Tarikh :1 April 2020
Masa : 11:00 pagi



Sebiji telur berbentuk lonjung berwarna biru cair tetapi pada permukaan cengkerang kulit telur mempunya kesan bintik seperti karat. Corak kesan berkarat itu tidak sama saiznya ada yang besar dan ada pula yang kecil.  Keadaan kulit telur ketika  dijumpai kulit cengkerangnya terpecah menjadi dua bahagian dan cecair isi telur sudah kering. Lokasi kulit telur dijumpai tidak jauh daripada yang dijumpai pada 27 Mac 2020.


Tarikh:2 April 2020
Masa: 10.45 pagi



2 biji telur berwarna biru cair berbentuk lonjong yang mempunyai saiz yang serupa telah dijumpai di kawasan taman permainan berhampiran dengan  Kolam Renang. Sebiji telur berwarna biru bersih dan sebiji lagi berwarna biru yang mempunyai bintik-bintik pada kulit cengkerang telur. Lokasi kedua-dua  kulit telur yang dijumpai lebih kurang 70 meter  daripada lokasi 5 biji telur sebelum ini. Sebiji telur yang kulitnya berbintik-bintik telah terpecah terbelah dua kulitnya terpisah dibahagian tengah kepada 2 bahagian. Isi cecair telur masih lagi basah dan sedikit cecair masih bertakung didalam kulit telur yang dihurung oleh semut. Kejadian perilaku merosakkan telur baru sahaja berlaku dianggarkan antara 1 ke 2 jam pada masa ia ditemui pada jam 10.40 pagi.




Sebiji lagi telur warna biru cair bersih berbentuk lonjong dijumpai kelihatan masih sempurna lagi terletak diatas tanah berumput. Biarkan sahaja telur  itu ditempat tersebut tanpa diusik atau dialeh.  Dengan harapan telur itu menjalani proses semulajadi sehingga menetas menjadi anak burung. Pada waktu yang sama ingin membuat tinjauan  siapa pemilik telur  itu. Pada ketika itu menyangka  telur itu milik Tukang Ekor besar-Caprimulgus macrurus. Bercadang akan kelokasi yang sama untuk melihat siapa pemilik telur burung itu esok hari.


Tarikh: 3 April 2020
Masa: 9.45 pagi



Semasa menyambung semula pemantau pemerhatian  telur yang dibiarkan semalam.  Setelah menunggu dan memerhati lama, masih tidak nampak tanda-tanda pemilik telur burung. Berdasarkan makluman daripada guru saya Saudara Mike Chong, sekiranya telur itu ada pemiliknya, sudah tentu pemiliknya akan ada disekitar telur miliknya. Tetapi perkara itu tidak berlaku, saya langsung tidak nampak kelibat tanda-tanda sipemilik telur. Apa yang hadir ke lokasi telur itu ialah burung Tiong Jawa-Acridotheres javanicus. Burung itu  berjalan-jalan disitu tanpa melakukan apa-apa perilaku yang mencurigakan. Selepas ia beredar, saya pergi memeriksa hal keadaan telur tersebut. Kedudukan dan keadaan simpan letaknya masih tidak berubah sepertimana keadaannya semalam.




Gerak hati ingin tahu membuatkan saya mengubah kedudukan telur, dan mendapati telur yang dibiarkan semalam rupa-rupanya telah berlubang, sama seperti semua telur yang dijumpai sebelum ini.  Barangkali kesan yang sama  dipatuk atau dicucuk dengan benda tajam samada kuku atau paruh. Dipercayai telur ini telah dirosakkan  sama waktunya dengan telur yang dijumpai semalam.  Sehingga sekarang  kesemua telur yang dijumpai itu adalah telur yang telah rosak. Rosak akibat perbuatan khianat haiwan yang tidak diketahui, bukan disebabkan kerosakkan secara semulajadi.





Cadangan Rumusan.

Ini bermakna dikawasan ini pada musim 2020 sejumlah 7 biji telur telah gagal menghasilkan baka-baka spesis burung yang masih tidak dikenali itu. Menjadi persoalan dan tanda tanya haiwan manakah  yang bertindak khianat merosakkan semua telur itu . Dari mana naluri khianat itu wujud dalam haiwan tersebut, atau perbuatan khianat itu pada sudut haiwan hanyalah salah satu perlakuan semulajadi untuk mencari kehidupan untuk makanan mereka. Perlakuan yang tidak disabitkan dengan sebarang hukuman betul atau salah.

Semua telur itu sebenarnya milik  spesis burung apa? Siasatan perlu dijalankan setidak-tidaknya kalau tidak dapat jawapan yang tepat, kita boleh dapat jawapan hampir tepat atau barang kali tepat. Setelah berusaha dengan jujur dan sungguh-sungguh dengan sedikit ilmu yang ada. Atau cadangan jawapan daripada orang -orang yang lebih pakar dan berpengalaman. Untuk mencari jawapan kepada soalan itu pada hemat saya, kita haruslah menyenaraikan spesis yang mendiami dan berkeliaran dikawasan taman tersebut. Spesis burung tempatan yang kerap berkeliaran dengan habitat yang ada disitu. Setelah mengetahui spesis tersebut , barulah boleh boleh membuat cadangan penyenaraian pendek pemilik telur burung dan  cadangan mensyaki siperlaku khianat.

Senaraikan burung tempatan yang selalu berkeliaran disitu adalah seperti berikut:-

1.Belatuk Pinang Tua-kecil-Dinopium javanense
2.Pekaka Leher-putih-Halcyon smyrnensis
3.Tuwu-Eudynamys scolopacea
4.Khukhu Sayu-Cacomantis merulinus
5.Khukhu Gangsa kecil-Chrysococcyx minutillus
6.Beberek ekor-biru-Merops philippinus
7.Lelayang Dahan Tongkeng kelabu-Hemiprocne longipennis
8.Lelayang Dahan bermisai-Hemiprocne comata
9.Sualo Pasifik-Hirundo tahitica
10.Walit rumah-Apus affinis
11.Ketupa Ikan Kuning langsat-Ketupa ketupu
12.Burung Tukang Ekor-besar-Caprimulgus macrurus
13.Punai Leher-merah jambu-Treron vernans
14.Tekukur leher-bintik-Streptopelia chinensis
15 Merbuk Aman-Geopelia striata
16,Takur tembaga-Megalaima haemacephala
17.Takur Jambang-emas- Megalaima chrysopogon
18.Iora Biasa-Aegithina tiphia
19.Gagak Rumah-Corvus splensens
20.Terik tengkok- hitam-Oriolus chinensis
21.Murai Kampong-Copsychus saularis
22.Perling Berkilat Asia-Aplonis panayensis
23.Tiong Coklat-Acridotheres tristis
24.Tiong Jawa-Acridotheres javanicus
25.Tiong punggung putih-Acridotheres grandis
26.Merbah punggung kuning-Pycnonotus goiavier
27.Merbah Leher-lorek-Pycnonotus finlaysoni
28.Sepah Bunga Mahkota-merah-Dicaeum cruentatum
29.Sepah Bunga Perut-oren-Dicaecum trigonostigma
30.Jerijit Suria Leher-coklat- Antreptes malacensis
31.Jerijit Suria Belakang-Hijau Zaitun-Nectarinia jugularis
32.Ciak Dahan-Passer montanus
33.Tiak Dada sisik-Lonchura punctulata
34.Tiak Tongkeng-putih-Lonchura striata
35.Perapat Perut-kuning-Gerygone sulphurea
36.Selancang Hitam-putih-Lalage nigra

Merbuk Aman-Geopelia striata

Merbuk Aman-Geopelia striata

Burung Tukang Ekor-besar-Caprimulgus macrurus


Burung Tukang Ekor-besar-Caprimulgus macrurus

Selancang Hitam-putih-Lalage nigra

Selancang Hitam-putih-Lalage nigra

Selancang Hitam-putih-Lalage nigra

Selancang Hitam-putih-Lalage nigra

Terik tengkok- hitam-Oriolus chinensis

Ciak Dahan-Passer montanus

Khukhu Gangsa kecil-Chrysococcyx minutillus-betina

Tekukur leher-bintik-Streptopelia chinensis

Terik tengkok- hitam-Oriolus chinensis

Merbah punggung kuning-Pycnonotus goiavier

Tiak Tongkeng-putih-Lonchura striata

Tiak Tongkeng-putih-Lonchura striata

Iora Biasa-Aegithina tiphia

Khukhu Sayu-Cacomantis merulinus


Cadangan Spesis Telur Burung Yang Menyamai Dengan 7 Biji Telur Yang Dijumpai:-

Mencadangkan sejumlah 36 spesis burung yang biasa berkeliaran di kawasan taman dikawasan kediaman saya. Setelah membuat semakan satu persatu dan kesesuai saiz bentuk telur mencadangkan 6 spesis burung yang memiliki telur yang hampir serupa dengan 7 biji telur yang dijumpai itu.

Cadangan Spesis Burung yang mempunyai Telur berwarna biru adalah seperti berikut:-

1.Tiong Coklat-Acridotheres tristis- Biru Cair Lonjong
2.Tiong Jawa-Acridotheres javanicus - Biru Cair Lonjong
3.Tiong punggung putih-Acridotheres grandis - Biru  Cair Lonjong
4.Murai Kampong-Copsychus saularis- Biru dan Bintik Berkarat
5.Perling Berkilat Asia-Aplonis panayensis - Biru Cair Bulat
6.Merbah punggung kuning-Pycnonotus goiavier - Coklat Berbintik Saiz Kecil


1.Tiong Jawa-Acridotheres javanicus


Tiong Jawa-Acridotheres javanicus


Tiong punggung putih-Acridotheres grandis


Tiong Coklat-Acridotheres tristis


Mencadangkan telur-telur ini adalah milik spesis Burung  Tiong Jawa-Acridotheres javanicus


Perling Berkilat Asia-Aplonis panayensis


Mencadangkan 2 telur ini adalah milik burung Perling Berkilat Asia-Aplonis panayensis


Murai Kampong-Copsychus saularis

Mencadangkan ini adalah telur milik Murai Kampong-Copsychus saularis

Merbah punggung kuning-Pycnonotus goiavier

Mencadangkan telur ini milik burung Merbah punggung kuning-Pycnonotus goiavier

Sekarang saya telah mendapat kebarangkalian spesis pemilik telur tersebut. Beberapa soalan yang harus diambil kira untuk memasti bagaimana telur itu boleh berada diatas tanah dikawasan pada dalam keadaan rosak dan pecah. Telur-telur itu semua tidak boleh ada disitu secara tiba-tiba, tentu ada yang membawanya ke situ dalam keadaan rosak. Untuk mencadangkan telur itu telah berjaya menetas, kebarangkaliannya adalah sangat tipis, kerana kulit cengkerang tidak berada didalam sarang burung sepertimana kebiasaan telur menetas. Maka saya mencadangkan beberapa kebarangkalian yang mungkin terjadi kepada telur tersebut.

Disenaraikan Cadangan Burung yang menyebabkan semua telur menjadi rosak.:-

1.Tiong Coklat-Acridotheres tristis
2.Tiong Jawa-Acridotheres javanicus
3.Tiong punggung putih-Acridotheres grandis
4.Khukhu Sayu-Cacomantis merulinus
5.Khukhu Gangsa kecil-Chrysococcyx minutillus

Cadangan Rumusan Perihal 

1. Walaupun dikawasan itu terdapat spesis mamalia kecil seperti Tupai Muncung -akar-Tupaia minor-Lesser Treeshrew, Tupai Pinang-Callosciurus notatus- Plaintain Squirrel dan Tikus Rumah-Rattus rattus - House Rat, tetapi kebarangkalian mamalia kecil ini membawa ke padang adalah tipis. Kerana kesan kebocoran dan retak pecah kulit cengkerang tidak sepadan dengan bukti pada kulit telur.

2. Barangkali  salah satu spesis Tiong , iaitu Tiong Coklat-Acridotheres tristis, Tiong Jawa-Acridotheres javanicus dan Tiong punggung putih-Acridotheres grandis cuba merampas tempat burung Murai Kampong-Copsychus saularis dan Perling Berkilat Asia-Aplonis panayensis yang sedang mengeramkan telur. Sambil dia menghalau pemilik sarang spesis Tiong itu menjadikan telur mangsanya sebagai makanannya. Telur dibawa ke kawasan padang untuk memakan isi telur.


3. Barangkali telur kepunyaan burung itu sendiri telah rosak menjadi tembelang, induk burung membawa ke padang untuk dibuang atau dimakan isi telur.



Khukhu Sayu-Cacomantis merulinus


Khukhu Gangsa kecil-Chrysococcyx minutillus-jantan


4. Memandangkan pada waktu sekarang adalah bulan Mac dan April musim kebanyakan burung sedang aktif untuk membiak. Boleh jadi 2 spesis burung Khukhu iaitu Khukhu Sayu-Cacomantis merulinus Khukhu Gangsa kecil-Chrysococcyx minutillus turut mengambil kesempatan untuk meletakkan telur mereka ke dalam sarang burung-burung berkenaan. Perilaku sebegini adalah tabiat semulajadi yang menjadi amalan semua spesis burung dari keluarga Khukhu untuk membiak. Spesis Burung Khukhu tidak membuat sarang mereka sendiri, tetapi mengambil kesempatan dan membuat muslihat meletakkan telurnya dan membuang atau merosakkan telur burung lain.

Telur-telur yang rosak itu adalah daripada spesis burung-burung Tiong dan Perling yang mempunyai populasi yang tinggi buat masa sekarang. Keadaan seperti ini dilihat seperti ada satu usaha misteri untuk memberi  kesimbangan kepada  spesis burung yang lain, kerana mereka seolah-olah telah mendominasi sumber makanan.  Kawasan keliaran burung-burung dari keluarga Tiong dan Perling juga dilihat sebagai gangguan kepada spesis burung lain. Selagi tidak diketahui siapa yang menyebabkan telur-telur rosak perkara ini masih menjadi misteri semulajadi.

Memandangkan saya kurang pengalaman dan tidak mempunyai pengetahuan yang banyak, maka itu sahaja kemampuan yang saya dapat cadangkan kebarangkalian, mengapa telur itu rosak. Saya sangat mengalu-alukan sebarang cadangan sebagai menambah ilmu pengetahuan. Wasalam.

Maklumat Rujukan Warna, Saiz dan Bentuk Telur.

1. Discovery Wildlife-How to Identify Birds Eggs
2. New Rats of the sky? Sciencewise magazine Australia National University.


No comments:

Post a Comment