Tuesday 26 September 2023

Laporan Penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush Di Pulau Ayam, Langkawi Kedah

 

Laporan Penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush Di Pulau Ayam, Dayang Bunting Marble Geoforest Park, Langkawi Kedah 


Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina

Burung jantan dewasa yang bertengggek atas batuan Pulau Ayam Jantan pada 6 Sept 2023


Saya mengenal Burung Tarum Batu-Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush melalui tunjuk ajar oleh Guru saya, Saudara Mike Chong. Pada ketika itu sekitar tahun 2009, beliau membawa saya ke kawasan habitat yang spesis burung ini boleh dijumpai ia itu di Batu Caves, Selayang Kuala Lumpur. Setelah mengetahui kawasan habitat keliaran spesis ini, saya telah dapat mencari dan membuat beberapa siri pemerhatian Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush di daratan Tanah besar Semenanjung Malaysia. Antaranya di kawasan perbukitan Batu kapur di Chuping Perlis, Gua Musang Kelantan,  Merapoh Pahang, dan Ipoh  Perak. Apabila kita mengetahui akan habitat keliarannya , maka peluang menjumpainya sangat tinggi. Ia boleh ditemui di permukaan lereng , curam dan lubang perbatuan dari pelbagai jenis batu-batuan batu. Jikalau ingin membuat pemerhatian atau rakaman tidak payahlah menyogok burung dengan umpan ulat yang dibeli di kedai atau membuat panggilan palsu dengan alat elektronik. 

Burung jantan juvana yang sedang berehat bertenggek pada ranting pokok di Pulau Ayam Jantan pada 23 Jun 2022

Burung jantan juvana yang dirakam pada 23 Jun 2022 di Pulau Ayam Jantan


Apa yang hendak saya kongsikan ialah penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius  di tengah laut bertenggek tebing batu di  Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina (coordinates 6 12 5 N 99 49 56 E ). Kedudukan pulau tersebut dianggarkan 13 kilometer daripada Pulau Dayang Bunting/ Pulau Tuba, dan 37 kilometer dari Pulau Langkawi   .Penemuan burung Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditengah laut tidak didokumenkan dalam laporan pemerhatian burung di Malaysia. Dalam buku rujukan...hanya menyatakan habitat kehidupan dikawasan permukaan lereng , curam dan lubang perbatuan dari pelbagai jenis batu-batuan batu  bukit dan gua.  Tidak pula dinyatakan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius boleh dijumpai di sekitar pulau dan laut. Ada kemungkinan para Ornithologi tempatan tidak terfikir untuk membuat kajian pemerhatian Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius di kawasan pulau.

Keadaan Pulau Ayam Jantan pada tahun 2022


Saudara Hashabudin Bin Hashim nelayan yang menetap di Pulau Tuba, Individu yang memaklumkan  burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius dijumpai di Pulau Ayam Jantan

Menurut kenyataan lisan para nelayan di kawasan sini, kehadiran burung Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius memang telah diketahui sudah lama  dulu. Kehadiran burung itu pada pandangan para nelayan, ia sama sahaja dengan burung-burung lain. Para nelayan mengecam Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius sebagai burung yang mempunyai suara kicauan yang merdu, tenang dan menghiburkan. Nyanyian kicauannya sebagai penghibur mereka ketika sedang menunggu umpan pancing dimakan ikan.

Bukti rakaman pada 6 Sept 2023

Saudara Hashabudin Bin Hashim seorang nelayan tempatan yang juga sahabat saya telah memaklumkan  tentang burung tersebut ketika saya sedang melakukan aktiviti memancing ikan bersama beliau di Pulau Tuba. Burung yang dimaksudkannya itu hanya dikenal   sebagai burung Murai. Pada mulanya saya tidak begitu yakin atas kenyataan beliau kerana pada hemat saya mana mungkin ada burung Murai ditengah lautan luas atau di pulau kecil. Hujah saya di kawasan habitat ini sesuai untuk burung Sualo Pasifik~Hirundo tahitica, Lang Kawi ~ Halistur indus, Helang Laut Perut-putih~Haliaeetus leucogaster, ,Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra dan berbagai jenis burung Tern. Demi membuktikan kenyataan beliau, Saudara Hashabudin Bin Hashim bersungguh-sungguh  mencari burung tersebut ditempat yang biasa beliau lihat dan dengar.

Burung sedang berehat diatas batuan ketika dijumpai pada 6 Sept 2023

Dalam keadaan air laut berombak-ombak beliau merapatkan bot menghampiri dinding Pulau Ayam di tempat beliau selalu mendengar suara merdu burung itu. Pencarian burung itu tidak begitu lama kerana pulau itu hanya mempunyai keluasan lebih kurang sebesar saiz sebuah lori 10 tan sahaja. Dengan beberapa kali  pusingan mencari sudah ternampak burung itu di cerun tebing batu. Burung yang dimaksud oleh Saudara Hashabudin Bin Hashim sebenarnya ialah Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius . Penemuan itu membuatkan saya begitu teruja kerana pada pengalaman saya penemuan ini adalah ilmu pengetahuan baharu dalam bidang Ornithologi di negara Malaysia.


Pengenalan Burung betina, yang dijumpai di kawasan sekitar halaman Gua Kek Lok Tong Ipoh Perak

Burung yang ditunjukkan kepada saya itu ialah seekor burung jantan yang sedang melalui usia juvana.  Hujah itu berdasarkan, kelihatan dengan jelas pangkal paruh burung juvana masih kelihatan lembut berwarna kekuningan cair. Pada waktu yang sama pada buluhias burung itu masih terdapat warna carik dan tompok keputihan. Penemuan itu berlaku pada 23 Jun 2022 jam 2:30 petang. Jikalau mengikut andaian mudah dan ringkas, burung muda ini bukan burung hijrah yang singgah sementara untuk berehat di pulau itu. Tentu ada pasangan induknya yang telah menjalani proses pembiakan sekitar bulan March atau April. Pemerhatian dan rakaman burung dilautan sama sekali berbeza dengan rakaman di daratan.

 

Salah satu jenis tumbuhan menjalar yang tumbuh subur diatas batuan Pulau Ayam Jantan

Cabaran dan kepayahannya samasekali berbeza, yang mana kita wajib bersedia kekecewaan dan berputih mata. Dalam keadaan bot terumbang ambing dipukul gelora ombak, sangat payah untuk mendapat fokus subjek burung yang saiz kecil. Bot tidak boleh terlalu rapat dengan burung kerana dikhuatir ia akan terbang meninggalkan pulau. Sudah tentu kita tidak akan mengejar dan mencarinya di kawasan yang lain, walau sedegil mana sekali pun. Walaupun cahaya semulajadi sangat mencukupi dan kita berupaya mengecilkan saiz lubang F dan meningkatkan jumlah kecepatan shutterspeed, Dalam tempoh yang singkat demi mendapat bukti penting saya berupay membuat rakaman sebanyak 20 rakaman. Cuma 2 rakaman sahaja yang layak ditarafkan untuk menjadi bukti penting. 

Jenis tumbuhan yang tidak dikenali tumbuh melekat pada dinding batu

Bulan Ogos dan Sept musim tumbuhan-tumbuhan liar berbunga.


Helang Laut Perut-putih~Haliaeetus leucogaster, (juvana)

Bertitik tolak daripada  itu setahun kemudian pada  6 Sept 2023 sekali lagi berikhtiar mendapatkan bantuan kepakaran  Saudara Hashabudin Bin Hashim untuk mencari Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditempat yang sama. Saya rasakan seolah-olah kepakarannya itu  diiring dengan secara kebetulan akan bertemu burung yang dicari. Tanpa menggunakan  apa-apa alat bantuan elektronik memanggil  suara palsu, kita dapat menjumpainya. Semuanya saya sifatkan sebagai telah berjodoh untuk dipertemukan semula Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius, pada jam 3:45 petang. Penemuan kali ke dua itu seekor individu burung jantan dewasa. Boleh jadi individu burung yang sama saya menjumpai dulu, yang kini telah mulai dewasa. Pekara itu sangat susah untuk disahkan kerana tidak ada bukti nyata yang boleh menyokong hujah tersebut. Saya hanya boleh mengandaikannya sahaja, tidak lebih daripada itu. 

Tumbuhan menjalar melekat diatas permukaan batun Pulau turut berbunga pada bulan Ogos dan Sept


Pengenalan Burung betina, yang dijumpai di kawasan sekitar halaman Gua Kek Lok Tong Ipoh Perak

Penemuan kali ini agak lama juga, dianggarkan lebih kurang 3 ke 5 minit, sebelum burung itu terbang meninggalkan Pulau Ayam Jantan. Burung itu terbang menghala ke Pulau Ayam Betina yang terletak 30 meter tidak jauh dari situ. Namun untuk mengekori burung ditengah lautan menggunakan bot satu tindakan yang saya fikir kurang cerdik. Kita boleh bayangkan sahaja entah dimana burung itu hinggap menyembunyikan dirinya. Tindakan itu akan menyusahkan dan memberi penat kepada pemandu bot. Lebih-lebih lagi cahaya matahari sedang mendera seisi orang dalam bot. Pada saya perjodohan kali kedua ini sudah cukup memadai. Saya rasakan seperti diberikan hadiah dalam bentuk perasaan gembira tanpa saya berdoa meminta menikmati rasa begitu. Peluang  yang bukan selalu dialami  itu membolehkan saya membuat lebih kurang 30 rakaman. Dari 30 rakaman itu, 5 rakaman yang berkualiti telah berjaya dihasilkan untuk dijadikan bukti penting penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditengah laut.

Terbang menuju kearah Pulau Ayam Betina.

Biarlah dia terbang meninggalkan saya, demi kesejahteraan dan keselamatan dirinya. Waktu kekosongan dan ketiadaannya itu membolehkan saya terus berfikir dan membuat pemerhatian di tempat ia menghuni. Habitat bentuk mukabumi sebungkah batuan Pulau itu dipenuhi dengan tumbuhan jenis merayap diatas batu , tumbuhan jenis mengkuang  dan tumbuhan yang saya tidak ketahui jenisnya. Disitu ia berpeluang untuk mencari pelbagai dietnya seperti serangga, buah-buahan kecil, cicak kecil dan anak-anak siput. Sumber air tawar boleh ia perolehi dari takungan air hujan diatas permukaan batu yang berlubang-lubang. Pada musim membiak lubang-lubang pada lereng dan tebing bungkah batuan pulau memang sesuai tempatnya dijadikan sarang. Tumbuhan  menghijau dan rimbun yang hidup subur boleh dijadikan tempat ia berlindung daripada cahaya panas terik atau ribut taufan dilautan.  Kawasan habitat semulajadi disitu cukup lengkap untuk Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius terus hidup biak membiak.


Dipercayai lubang sarang burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius terletak dilereng tebing batuan pulau


Tumbuhan jenis mengkuang

Keadaan tumbuhan yang hidup subur diatas pulau Ayam Jantan , menjadi tempat burung berlindung daripada kepanasan dan bahang di tengah laut. Tumbuhan itu juga adalah sebagai tadahan air hujan untuk hidupan liar meneruskan kehidupan disitu

Sebagai menghargai dan menghormati individu yang telah menyumbang data maklumat ilmu dalam bidang Ornithologi di negara Malaysia. Disini dengan rasa sukacita  memaklumkan bahawa Saudara Hashabudin Bin Hashim yang telah menjumpai Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius kawasan perairan Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina. Pihak saya hanya sekadar mengesahkan dan melaporkan tentang kebenaran maklumat yang dimaklumkan kepada saya. Semoga maklumat ilmu dalam bidang Ornithologi ini dapat dipanjangkan untuk dijadikan maklumat tambahan kepada taburan dan kawasan habitat keliaran Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius. Semoga dimasa hadapan pengkaji burung dan pemerhati burung dapat membuat kajian terperinci terhadap spesis burung ini demi memperkayakan ilmu.

Terima kasih Saudara Hashabudin Bin Hashim


Penemuan ini mengingatkan kembali kenyataan yang pernah Saudara Dennis Yong ungkapkan dan nasihat kepada saya dulu. Beliau rasa gembira jikalau ada pemburung melakukan aktiviti memburung dalam keadaan dan ditempat yang tidak sesuai. Contoh yang dinyatakan ialah membuat pemerhatian burung pada waktu malam dalam keadaan hujan yang lebat. Beliau ingin mengetahui bagaimana dan apa keadaan yang sedang dialami oleh spesis burung pada ketika itu. Saya rasa tindakan saya membuat pemerhatian burung ditengah laut dalam keadaan cuaca panas terik, lautan bergelombang, mencari kepada perkara yang tidak pasti sedikit sebanyak boleh dikaitkan dengan hujah Saudara Dennis Yong. Penemuan penting ini juga telah membuktikan hujah saya kepada Guru saya Saudara Mike Chong dulu, " Burung itu boleh bebas merdeka berada dimana-mana yang ia suka asalkan ditempat itu ada sumber makanan yang tidak putus dan ditempat itu menjamin keselamatannya. Wasalam.






 




















































No comments:

Post a Comment