Monday 1 July 2013

PEMERHATIAN SAMBARAJA NILA~Hypothymis azurea

SAMBARAJA NILA~Hypothymis azurea
Tarikh: 7 Jun 2013


Burung Jantan hinggap di ranting ini dulu, sambil membuat kicauan sambil menoleh kiri ,kanan dan atas.

Saya telah berpeluang menyaksikan perihal burung yang terkenal dengan kecantikkannya, sangat berani serta garang, Burung Sambaraja Nila~Hypothymis azurea. Pasangan ini sedang leka memilih dan mencari lokasi yang sesuai untuk ia membuat sarang. Saya mengekori pasangan ini dari satu ranting ke ranting pokok sehingga pasangan ini seperti bersetuju untuk menjadikan lokasi ditepi sungai , tempat mereka untuk bersarang. Hampir setiap tahun saya berpeluang  membuat pemerhatian burung ini ketika ia sedang bersarang. Tetapi kali ini pula, saya berpeluang melihat bagaimana burung ini mencari lokasi dan tapak yang sesuai untuk dibina sarangnya. Diikuti pula dengan kerja-kerja mencari bahan binaan sarang dan proses membina sarang. Proses pembiakan pasangan ini agak lewat sedikit iaitu pada bulan Jun, jika dibandingkan dengan pasangan-pasangan spesies Sambaraja Nila~Hypothymis azurea lain di Malaysia.
 
Burung jantan hadir dulu, dan diikuti pula burung betina datang memerhatikan disekeliling kawasan, untuk memastikan kesesuaian.

Lokasi Pilihan
Burung betina datang membawa bahan binaan sarang dengan mengumpul bahan binaan dicelah-celah ranting.

Menyangkut dan mengumpul bahan binaan pada ranting

Menjadi kebiasaan spesies Sambaraja Nila~Hypothymis azurea akan memilih lokasi sarang yang berhampiran dengan anak sungai, disekitarnya pula cahaya yang suram didalam rimba. Tahap ketinggian kedudukan sarang pula adalah bergantung kepada kesesuaian tapak binaan sarang, yang kebiasaanya dari  ranting kayu yang berbentuk "Y". Tahap ketinggian kedudukan sarang bukan menjadi keutamaan. Adakalanya dijumpai tinggi diatas cabang ranting pokok dan adakalanya sarangnya boleh dicapai tanpa menggunakan tangga.
Burung jantan berkerjasama mencari bahan
Mengumpul dan menyangkut bagi memudahkan mereka menganyam serta menyusun

Pasangan ini, telah memilih ranting kayu kering berbentuk " Y " yang tersangkut pada tumbuhan jenis membelit yang juga telah kering dalam keadaan tergantung-gantung bersangkut pada dahan pokok. Pemilihan dibuat setelah burung jantan hinggap bertenggek diranting dan berkicau-kicau sambil menoleh ke arah kiri, kanan serta bahagian atas. Kemudian burung betina datang hinggap bersama dengan burung jantan yang sedang bertenggek. Setelah itu kedua pasangan itu bersilih ganti datang kelokasi dengan membawa bahan binaan sarang. Pasangan ini sungguh  cekap mencari dan memilih bahan-bahan binaan sarang dengan mengikut aturan pembinaan sarangnya.

Proses mengambil dan menyusun bermula.

Mereka seperti ada persepakatan membawa bahan-bahan tersebut dalam jangkamasa yang singkat. Mungkin juga mereka bertutur dalam bahasa kicauan, dari jenis apa bahan- bahan yang diperlukan  untuk membuat tapak mangkuk sarang. Atau memang telah menjadi ilmu naluri semulajadi kepada spesis burung ini. Keadaan ketika itu riuh kicauan burung tidak henti-henti dibunyikan oleh mereka.

Burung jantan bersilih ganti datang membawa bahan binaan sarang
Proses mengikat dan melekatkan bahan binaan dengan sarang labah-labah.

Dalam pemerhatian saya ,burung jantan dan betina  membawa tumbuhan pakis halus berwarna hijau silih berganti. Adakalanya burung betina datang membawa pakis halus berserta dengan akarnya sekali. Mereka akan mencari semua bahan binaan dan mengumpulkannya dengan menyangkutkan bahan tersebut dibawah tapak binaan sarang. Mereka menyangkut-nyangkut dalam bentuk menimbunkan tumbuhan pakis halus pada tengah pangkal ranting berbentuk " Y ". Antara bahan-bahan binaan yang dibawa oleh mereka ialah cebisan tumbuhan pakis kecil, tumbuhan pakis kecil berserta akar, tumbuhan kering dipercayai dari jenis rumput, carik-carik bentuk memanjang kulit-kulit kayu, tumbuhan lumut, daun-daun kering dan sarang labah-labah.

Kulit kering yang disiat daripada batang ranting kayu kering adalah sebahagian daripada bahan binaan sarang.

Setelah itu, burung betina bertenggek dan menggambil tumbuhan dengan paruhnya yang tersangkut itu dan meletakkan pada ranting kayu lalu menyusun tumbuhan itu satu persatu . Ia  menghimpap, memampatkan dengan menggunakan perut sambil mengais-gais tumbuhan dengan kakinya. Selang beberapa saat burung betina terbang meninggalkan lokasi. Dan kembali semula dengan paruh dan muanya penuh dengan sarang labah-labah. Burung betina menyusun dan menganyam serta mengikat ,melilitkan pada tumbuhan yang telah terbentuk seperti tapak mangkuk sarang.

Sedang tekun membina sarang tanpa memperdulikan sesiapa disekelilingnya.
Menyusun dan membentuk mangkuk sarang

Burung betina datang membawa sarang labah-labah bertujuan mengikat serta membentuk sarang.
Tapak mangkuk sarang sedang dibina

Mereka silih berganti bergilir-gilir membina sarangnya. Pembinaan sarang dihentikan apabila sebahagian bentuk mangkuk sarang telah terbentuk. Proses ini berlangsung lebih kurang 20 minit, setelah itu mereka beredar. Akan menyambungnya kembali pada bila-bila masa yang sesuai pada bahagian petang atau keesokkan harinya sehinggalah siap sempurna. Kebiasaannya mereka mengambil masa lebih kurang 6 atau 7 hari untuk menyiapkan sarangnya bergantung kepada cuaca, keadaan persekitaran yang bebas daripada gangguan. Sekiranya berlaku gangguan dan ancaman yang melampau daripada manusia, mereka bakal akan membiarkan dan meninggalkan binaan sarang.

Tumbuhan kering diletakkan setelah tapak sarang dibina, sebagai lapisan kedua.
Waktu untuk berehat.
Setelah selang tiga hari saya meninggalkan lokasi sarang, apabila kembali semula kelokasi tersebut saya dapati burung telah meninggalkan sarang yang 20 peratus siap itu.  Setelah membuat siasat , saya  percaya pada hari berikutnya terdapat ramai pengunjung datang kelokasi untuk beriadah. Dipercayai kehadiran manusia telah mendatangkan keadaan  tidak selesa dan ancaman kepadanya. Kesan dari keadaan itu burung telah membuat keputusan untuk meninggalkan binaan sarangnya dan mencari lokasi lain.

IKTIBAR PEMERHATIAN MUSIM 2012


Keadaan sarang yang telah siap dan sempurna untuk burung betina bertelor.

Pengalaman pada musim 2012 semasa membuat pemerhatian  burung sedang membuat sarang disekitar lokasi berdekatan dimana ketika itu sarang burung telah siap sepenuhnya tetapi malangnya ada manusia telah memotong ranting sarang dan mencurinya untuk tujuan yang saya sendiri tidak dapat bayangkan. Sebelum berlakunya sarang dicuri ada beberapa Juru gambar burung telah menyiarkan imej burung ini dalam keadaan sedang duduk didalam sarang berkemungkinan untuk tujuan memancing pujian. Selang 2 hari berikutnya sarang itu telah pun dicuri.   

Kayu yang digunakan untuk mengambil sarang. Terdapat kesan binaan sarang pada hujung kayu tersebut.


Burung betina sedang memanaskan tubuh anaknya.

2 minggu selepas kejadian itu,  spesis yang sama membuat sarang berhampiran dengan lokasi pertama. Ketika dijumpai burung telah melengkapkan 90 peratus proses pembiakan burung. Proses bertelor, mengeram ,menetas dan  proses burung dewasa dalam usaha membesarkan anak. Tetapi malang, nasibnya tidak begitu baik ketika usia anak burung dalam lingkungan 2 minggu, ia  telah mati akibat lehernya terjerut pada bahan binaan sarang.

Burung jantan bergilir-gilir dengan burung betina mengeramkan telor.

Dipercayai sarangnya telah tersangkut pada kenderaan berat yang melalui lokasi sarang burung. Yang mana, ketika itu burung membuat sarang pada tahap ketinggian lebih kurung 7 kaki dari lantai tanah. Lokasi sarang burung terdedah kepada segala macam ancaman, iaitu berada pada tahap ketinggian yang rendah, ia terletak ditengah-tengah laluan trek masuk kedalam hutan. Kepada sesiapa yang melalui jalan tersebut pasti akan nampak akan sarang burung. Kesan dari itu, maka ramailah juru gambar burung dari segenap pelusuk tempat datang untuk merakam gambar burung ini. Lanjutan dari itu, secara tidak langsung  telah memberi ancaman kepada burung. Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja rakaman gambar disiar dalam internet. Maka  jurugambar bertambah ramai mengunjungi  kelokasi untuk tidak melepaskan peluang merakam gambar burung yang cantik dan susah kita temui ini.

Tidak terjangkau oleh fikiran makhluk, bahawa rerembut sehalus rambut binaan sarang akan mendatang bahaya kepada nyawa makhluk.
Tanggung jawab dan naluri kasih sayang burung terhadap anaknya sentiasa datang membawa rezeki kepada anaknya, walapun berdepan dengan ancaman.


Burung kerap datang kesarang dalam tempoh 2 minggu pertama selepas telor menetas.

Serangga kecil adalah diet utama dalam proses membesarkan anak mereka.

Keajiaban kurniaan Allah  iaitu naluri kasih sayang yang ada pada setiap makhluk. Ia boleh dirasai dan  dilihat, sekiranya kita manusia semua berfikir.

Keadaan leher anak burung terjerut ketika dijumpai

Bagaimana perasaan dan naluri ibubapa sekiranya melihat anaknya dalam keadaan sebegini.

Mangsa keadaan dan tragis

Ranting sarang telah patah kesan dari tersangkut pada kenderaan berat. Lokasi ini sering dimasuki oleh kenderaan berat samada kenderaan anggota tentera ataupun Lori membawa peralatan perfileman.

Ketika dijumpai nyawa anak burung masih ada walaupun lehernya terjerut pada urat binaan sarang. Melepaskan jerutan pada lehernya kalau-kalau dapat menyelamatkan anak burung. Malangnya anak burung mati selepas 15 ke 20 minit kemudian.
Semasa kejadian itu berlaku, kelibat burung dewasa tidak kelihatan dalam tempoh yang lama,dipercayai burung dewasa telah menyelamatkan diri dan meninggalkan sarang dan anaknya. Rakaman keadaan anak burung ini dilakukan adalah semata-mata untuk tujuan bukti,  ia dilakukan secara tergesa-gesa dan cuma mengambil masa tidak melebihi 1 minit, sebelum usaha melepaskan jerutan pada leher anak burung dilakukan. Disini saya ingin ulangi petikan nasihat Guru dan sahabat saya Saudara Mike Chong iaitu; Kebajikan burung adalah harus diutamakan terlebih dulu daripada kita mengejar kepentingan dan kecermerlang peribadi. Saya hanya  peminat burung dan pemerhati  persendirian yang sama-sama dengan peminat burung yang lain, yang tidak ada hak eksklusif untuk menghalang mana-mana orang yang memberi kacau ganggu kepada burung. Hendaknya datangkan lah sedikit timbang rasa kepada makhluk ini. Wasalam.

No comments:

Post a Comment