Friday 1 August 2014

Ilmu Pengetahuan Bukan Milik Mutlak Manusia Sahaja



Lelayang Dahan Tongkeng kelabu~Hemiprocne longipennis

Pengalaman membuat pemerhatian  spesis burung Lelayang Dahan Tongkeng kelabu~Hemiprocne longipennis ketika pasangan itu untuk memilih lokasi dan membina sarang ,membuatkan saya  tiba-tiba terfikir bahawa ilmu sebenarnya bukan milik mutlak manusia sahaja, tetapi makhluk lain juga mendapat ilmu sepertimana kita manusia. 

12 Jun 2014

Burung jantan memerhatikan pasangannya sedang menyusun tapak pembinaan sarang.

Burung betina sedang mengembangkan buluhiasnya sebagai proses memilih dan menjadikan bahan pembinaan sarang.

Helaian buluhias yang dicabut akan dibawa kelokasi pembinaan sarang.

Pasangan yang sedang membuat pemilihan tapak pembinaan sarang.

Burung betina sedang menyusun tapak sarang.

Keadaan ini seperti burung mempunyai misai

Bezanya pada manusia ialah kita mendapat ilmu dengan mencari tetapi makhuk selain manusia mendapat ilmu daripada sumber pemilik yang menjadikan mereka, secara terus kepada mereka tanpa ada proses seperti kita manusia.

Proses menyusun buluhias untuk dibentuk seperti mangkuk sarang pada dahan pokok.

Burung jantan bekerjasama bersilih ganti membina sarangnya.

Kehadiran saya diperhatikan kalau-kalau saya ini adalah ancamannya.

Nalurinya merasakan kehadiran saya bukan ancamannya, dan tidak menghiraukan kehadiran saya.

Salah satu seni membina sarang

Tekun membina sarang dalam keadaan cuaca yang sangat panas.

Ketika menjumpainya, spesis Lelayang Dahan Tongkeng kelabu~Hemiprocne longipennis, mereka berpasangan sedang terbang berpusing-pusing diudara sambil mengeluarkan panggilan bunyinya. Tidak lama kemudian burung betina terbang hinggap pada ranting pokok yang berkedudukkan  berhampiran dengan pucuk pokok.

16 Jun 2014

Selepas 3 hari mangkuk sarang masih belum kelihatan.

Burung jantan tekun membina sarang

Berganding bahu antara satu sama lain membina sarang.

Setelah selesai melekatkan buluhiasnya pada tapak sarang , burung jantan terjun dan terbang kelokasi berhampiran. Burung betina akan mengesut-gesut ketapak sarang untuk menyambung kerja-kerja pembinaan sarang.

Burung jantan mengembangkan buluhias untuk dicabutnya, kemudian akan terbang kelokasi sarang.


Mereka hinggap dan berehat untuk jangka waktu yang agak lama. Pada ketika itu burung betina menggembangkan buluhiasnya dari bahagian leher hingga ke bahagian perut burung. Setelah buluhiasnya dikembangkan lalu burung itu memilih buluhias yang sesuai dan mencabut-cabut  beberapa helai dengan menggunakan paruhnya. Maka  pada paruh burung dipenuhi dengan buluhias dilihat seperti burung mempunyai misai. Ada ketikanya juga burung jantan mencabut buluhias pasangannya sebagai bahan penyediaan membuat sarang.

17 Jun 2014








Kemudian burung betina terbang dan hinggap ke lokasi dahan yang berdekatan dengan tempat ia mencabut buluhiasnya. Tidak lama kemudian datang pula burung jantan hinggap disebelah kiri burung betina, pasangan itu bertenggek berdekatan untuk seketika kemudian burung jantan terjun terbang meninggalkan pasangannya itu. Tinggal bersendirian burung betina pada ranting, ia menoleh kekiri kanan kemudian meletakkan buluhiasnya itu diatas batang ranting pokok.

18 Jun 2014

Setelah hampir seminggu berusaha, kelihatan mangkuk sarang sudah mulai hampir siap.

Menyusun dan memampatkan bahan bagi membentuk mangkuk sarang.

Air liurnya adalah bahan utama bagi melekatkan buluhias dengan cebisan-cebisan kulit kayu.

Paruh digunakan untuk membuat mangkuk sarang.

Burung betina menempelkan buluhias

Berehat

Burung jantan menggagakan paruh untuk air liurnya mengalir keluar membasahi tapak mangkuk sarang yang sedah dibentuk. Sebelum terjun terbang untuk membolehkan pancaran cahaya matahari mengeringkan binaan sarang.



Waktu berehat seketika sebelum menyambung semula pembinaan sarang

Memperkemaskan bentuk binaan sarang

Lebih kurang 15 minit kemudian datang pula burung jantan bersama buluhiasnya dan menyusun-nyusun serta menempel-nempel satu persatu buluhias, sehingga membentuk sarang berbentuk mangkuk kecil diatas dahan itu. Pasangan ini bergilir-gilir membina sarang dan apa yang dapat diperhatikan lebih kurang selang lima minit, burung akan terbang pergi ke dahan yang berhampiran dengan lokasi sarang untuk tujuan berehat dan mencabut buluhiasnya. Perbuatan dan kelakuan ini berlanjutan sehingga saya beredar.

19 Jun 2014

Dipercayai burung betina dalam proses bertelor

Berdasarkan saiz mangkuk sarang , hanya 2 biji telor sahaja boleh memuatkan ruang mangkuk sarang.

Masih memperkemaskan bentuk binaan sarang


22 Jun 2014

Burung betina sedang mengeramkan telornya.

Buluhias burung dikembangkan seperti payung menutupi dan melindungi sekeliling binaan sarang.

Keadaan ini berlangsung antara 3 hingga 4 jam.


Apa yang diperhatikan, pasangan burung ini tetap akan hinggap dibahagian kiri ranting apabila ia hinggap diatas ranting, kemudian ia akan mengensut-ensut ke lokasi sarang. Burung menjadikan air liurnya sebagai bahan untuk melekatkan bahan pembinaan sarangnya. Ketika cahaya matahari terik memancar pasangan burung akan meninggalkan sarangnya bagi tujuan mengeringkan bentuk mangkuk pembinaan sarangnya itu.Perbuatan ini berlaku, setiap kali cahaya matahari memancar terik kearah sarang burung sehinggalah sarang burung siap sempurna sepenuhnya.

23 Jun 2014

Tidak dapat dipastikan perilaku burung betina menegak-negakkan buluhias ketika proses eramannya.

Burung jantan datang menggantikan burung betina untuk proses eraman, bagi membolehkan pasangannya berehat dan mencari makanan.

Adakah perilaku menegak-negakkan mahkota buluhias sebagai tanda burung dalam proses eraman.



 
25 Jun 2014




Ketika ini cuaca sangat panas, burung jantan berkesanggupan membiarkan panahan cahaya matahari memancar tepat pada bahagian badannya tanpa sebarang lindungan daripada daun-daun pokok.



Selang 5 hari kemudian tinjauan dibuat, saya perhatikan sarang burung telah siap sepenuhnya dan burung betina sedang duduk didalam sarangnya bagi proses bertelor dan mengeram. Sesekali burung membetulkan dan memperkemaskan binaan sarangnya itu. Ada ketika burung  mencucok tunas dengan paruhnya bertujuan mengeluarkan getahnya. Kemudian  mengesat-gesatkan getah pokok pada binaan sarang. Manakala burung jantan dilihat terbang berlegar-legar di udara.

29 Jun 2014

Proses eraman telor telah memasuki ke hari ke 5.




Semasa tempoh eraman pasangan burung bersilih ganti mengeramkan telornya itu, walaubagaimanapun pertukaran giliran eraman dilakukan pada satu tempoh yang agak lama, antara 3 hingga ke 4 jam pada satu-satu masa. Kebiasaannya pasangan burung yang datang untuk bertukar giliran akan memberi satu nada isyarat ketika ia berpusing-pusing berlegar.

3 Julai 2014 

Pemandangan biasa yang sering dapat dilihat.

 
Tingkah laku spesis burung ini membuat sarang membuktikan bahawa burung juga mempunyai ilmu kecerdikan, yang saya pasti ilmu tersebut datangnya daripada penciptanya. Setiap keluarga spesis burung mempunyai seni , bentuk dan kaedah membina sarangnya masing-masing. Sebagai contoh, setakat ini belum pernah saya melihat sarang burung Tempua~Ploceus philippinus di negeri Johor akan berlainan bentuknya dengan burung Tempua~Ploceus philippinus yang ada di negeri Perlis. Bentuk dan bahan binaan mereka sama sahaja. Naluri setiap keluarga burung adalah sama dalam konteks, akan cara mereka mencari bahan membina dan membentuk sarang. Ia diwarisi  sejak genarasi awal hinggalah sekarang.




































Keadaan ini berbeza dengan kebiasaan manusia yang mendapatkan ilmu daripada berfikir ,membaca dan mempelajari daripada orang-orang berpengalaman . Iaitu daripada tidak tahu kepada menjadi mengetahui.

15 Julai 2014

Siri kelakuan burung jantan sedang mengeramkan telornya. Menjadi tanda tanya setelah hampir 21 hari proses eraman berlaku yang bermula pada 22 Jun 2014 yang lalu, saya tidak nampak tanda-tanda telor burung telah menetas. Adakah mungkin saiz anak burung terlalu kecil sehingga tidak kelihatan daripada sudut bawah. Ataupun proses pembiakan musim ini tidak berjaya?











20 Julai 2014
Oleh kerana 5 hari tidak datang membuat pemerhatian kerana urusan penjualan buku-buku, saya telah terlepas akan kesudahan fasa pemerhatian spesis burung ini. Samada anak burung telah selamat terbang mengikuti ibubapanya ataupun telor tidak berjaya ditetaskan, saya tidak tahu. Hasil siasatan dibawah pokok tidak nampak tanda-tanda cengkerang kulit telor bertabur dibawah pokok, seperti kebiasaannya.

Ketika datang kelokasi burung jantan dan betina tidak kelihatan, walaupun menanti untuk satu tempoh yang sangat lama.


Kita manusia belum tentu dapat mendidik genarasi kita sepertimana spesis burung mewariskan  ilmu kepada genarasi mereka. Sebenarnya banyak kupasan yang masih belum terjawab salah satunya persoalan yang tidak terjawab kepada saya , bolehkan burung  berfikir dan merancang seperti kita manusia. Wasaalam.
 


No comments:

Post a Comment