Saturday 28 February 2015

Khukhu Sayu~Cacomantis merulinus

Khukhu Sayu~Cacomantis merulinus
Pemerhatian Burung Mencari Makan

Burung dari keluarga Khukhu ini sering kita dengar akan suaranya dengan sahutan panggilan yang sayu dan mendayu-dayu. Kebiasaannya pada awal pagi dan pada petang dan senja. Cuma kita sahaja yang  jarang perasan akan kehadiran burung ini kerana tidak kenal akan spesis burung ini.

Khukhu Sayu~Cacomantis merulinus sedang bertenggek pada ranting sambil membuat pemerhatian dikawasan tumbuhan-tumbuhan renek kalau-kalau ada pergerakan oleh ulta-ulat bulu untuk menjadi mangsanya sebagai sarapan pagi.
Khukhu Sayu~Cacomantis merulinus sedang membuat panggilan sambil memerhatikan sebarang pergerakan ulat-ulat dicelah-celah daun.

Mungkin ia pandai membuat penyamaran atau menyorok dicelah-celah daun atau bertenggek pada dahan yang tinggi dibawah rimbunan dedaun. Atau manusia langsung tidak ambil peduli tentang bunyi panggilan burung ini.

Ia sedang melihat mangsanya dicelah-celah daun sebelum terbang menyewah dan menyambar ulat, dan datang kembali ditempat yang dirasakan sesuai untuk memakannya yang tidak jauh ditempat ia membuat pemerhatian.

Burung jantan Khukhu Sayu~Cacomantis merulinus ini dilihat aktif pada waktu pagi kerana perutnya lapar sehinggakan tidak menghiraukan kehadiran saya dekat kepadanya.




Setelah berjaya menyambar ulat dicelah-celah daun, burung jantan ini terbang hinggap pada dahan yang berhampiran tempat ia membuat pemerhatian.


Ia akan memusing-musingkan ulat itu , kelihatan seperti ulat tersebut melilit paruh burung. Setelah beberapa kali melakukan kaedah tersebut burung beralih tempat.

Mungkin dengan memusing-musingkan ulat itu tidak berjaya melemahkan ulat tersebut, maka kaedah berikutnya ialah dengan mencari batang kayu yang sesuai untuk dihempaskan ulat tersebut.

Hempasan ulat secara  bertalu-talu pada batang kayu yang dilakukan berjaya melemahkan ulat tersebut.

Kemudian ditimbang-timbang menggunakan paruhnya sebelum ulat itu ditelan.

Ulat yang ditelan ini adalah ulat yang ke 3 berjaya menjadi mangsa pada pagi itu.

Burung akan membersihkan dan mengesat-gesat paruhnya dahulu pada batang kayu sebelum pencarian ulat seterusnya dilakukan.
 Dibawah ini adalah siri-siri pemerhatian burung merenung dan meninjau mangsanya.

Pemerhatian , menghendap dan meninjau.



Menoleh kekiri-kanan atau keatas dan kebawah memerhatian ulat-ulat bulu dan ulat-ulat daun.



Sesekali menjenguk

Sesekali ia akan menjongket-jongketkan pelepah ekornya seperti kelakuan burung Murai Biru Siberia~Luscinia cyane

Kaedah mencari makanannya ialah dengan menunggu  dan memerhati , ia tidak seperti burung Merbah atau Minivet yang berkeliaran mencari-cari makanannya.

Burung ini mempunyai sikap sabar dan menunggu pada suatu tempat dalam tempoh yang lama. Ia hanya menggunakan kedua belah mata yang tajam untuk memerhatikan mangsanya seperti spesis burung-burung helang.

No comments:

Post a Comment