Wednesday 11 March 2015

Upacara Mengeringkan Buluhias Dan Kepercayaan Masyarakat


But-But Besar~Centropus sinensis

Ketika terlihat But-But Besar~Centropus sinensis ini,  ketika itu dia sedang berdiang mendepangkan pelepah sayap bagi tujuan mengeringkan buluhiasnya yang lembab basah disebabkan oleh embun dan hujan pagi.

But-But Besar~Centropus sinensis

Sepertimana pemerhatian yang  biasa dilihat, burung ini akan memilih tempat yang terbuka dan tinggi bagi mempercepatkan proses pengeringan buluhias. Buluhias harus dikeringkan terlebih dahulu bagi melancarkan ia terbang mencari makanan dengan lebih mudah tanpa menggunakan tenaga yang banyak. Jika dibandingkan terbang dalam keadaan buluhiasnya yang basah dan berat. Apatah lagi reka bentuk dan saiz sayapnya agak pendek jika dibuat perbandingan dengan spesis burung Helang atau Gagak.

But But Besar~Centropus sinensis

Keupayaan burung mengimbangkan tubuh badannya tanpa bergerak, pada ranting berukur lilit kecil sambil mendepangkan kedua belah pelepah sayapnya untuk satu tempoh jangkamasa yang lama mengambarkan burung ini mempunyai sepasang kaki yang kental dan genggaman jejari kaki yang kuat.

But But Besar~Centropus sinensis

Memang kelakuan burung dari keluarga But-but ini lebih mengutamakan kakinya untuk bergerak dengan berjalan dan melompat daripada menggunakan pelepah sayapnya.  Ia hanya akan terbang bilamana dirinya terancam atau terbang secara bersewah dari tempat yang tinggi hinggap ke ranting atau dahan yang rendah . 

But But Besar~Centropus sinensis
Kepercayaan Masyarakat

Masyarakat Melayu mempunyai kepercayaan terhadap spesis burung ini adalah penting dalam bidang perubatan tradisonal. Yang mana organnya atau minyaknya berupaya menyembuhkan kecederaan sakit terseliuh atau patah. Persoalannya spesis But-But yang mana satu diantara 3 spesis dari keluarga burung But-But yang dimaksudkan oleh pengamal bidang perubatan tradisonal. But-But kecil~Centropus bengalensis, But-But Besar~Centropus sinensis atau But-But kaki-pendek ~Centropus rectunguis ?

But-But kecil~Centropus bengalensis

But-But kecil~Centropus bengalensis

Ada juga petua orang melayu dulu-dulu mencari ubat penawar kepada terseliuh dan patah adalah dengan mengambil daun dan tumbuhan yang ditinggalkan didalam sarang burung ini. Untuk mendapatkan tumbuhan itu individu pengamal perubatan akan  mematahkan kaki anak burung  dan ditinggalkannya. Selang hari-hari berikutnya , maka pengamal perubatan itu akan datang semula ke sarang  untuk mengambil daun tumbuhan yang dicari oleh burung dewasa untuk mengubat kecederaan patah kaki anaknya itu. 

But But Besar~Centropus sinensis
But But Besar~Centropus sinensis
Kebenarannya itu tidak pula dapat disahihkan, andaikata pekara itu benar, pada hemat saya ada baiknya pengamal perubatan itu membawa daun-daun dan tumbuhan tersebut berjumpa pakar botani/tumbuhan ke makmal, untuk dikaji dan mengenal dari apa jenis tumbuhan yang diambil oleh Burung But-But itu.. Setelah mengetahui spesis  tumbuhan tersebut maka pergilah mencarinya sendiri.


But-But kaki-pendek ~Centropus rectunguis

But But Besar~Centropus sinensis
Dengan mencari sendiri tumbuhan tersebut mereka berupaya mendapatkan kuantiti dalam jumlah yang banyak. Berbanding dengan perbuatan penyiksaan mematahkan kaki anak burung dan mendapat ubat yang sedikit. Wasalam.

    

No comments:

Post a Comment