Sunday 22 March 2015

Kubung~Cynocephalus variegatus ( Colugo or Flying Lemur )


Pemerhatian Mamalia.

Kubung ~ Cynocephalus variegatus  ( Colugo or Flying Lemur  )

Mamalia ini jarang sekali dapat kita melihatnya kerana ia aktif, ketika bermulanya waktu senja membawa ke waktu malam. Penyamaran adalah salah satu cara ia menyelamatkan diri daripada musuh-musuhnya. Warna bulunya hampir menyamai dengan tempat ia berpaut dan bergantung.




Hampir setiap hari saya meredah hutan namun jarang sekali saya dapat berjumpa dengan  Kubung~Cynocephalus variegatus . Kali terakhir saya berjumpanya pada 24 Ogos 2011 di Hutan Bukit Freazer.

 


Baru-baru ini saya berpeluang membuat pemerhatian yang agak lama , iaitu selama 2 malam berturut-turut. Dengan peluang sebegini maka dapatlah sedikit sebanyak saya mengetahui akan mamalia unik ini yang sangat kurang pengkaji mendapat peluang membuat pemerhatian tentang tingkah laku ketika dilapangan kehidupan semulajadi.



Pada hemat mata saya, bentuk tubuh dan saiz  Kubung~Cynocephalus variegatus seakan-akan menyerupai seekor Kancil , tetapi berkebolehan terbang bersewah, bergayut dan memanjat. Kubung~Cynocephalus variegatus mempunyai lapisan selaput kulit nipis ( pada pandangan bawah ) dan berbulu ( pada pandangan atas ) yang menyaluti bahagian 2 tangan hadapan bersambungan pada 2 bahagian kaki belakang ( berkedudukan seperti kaki belakang Arnab dan Kanggaro ) yang bersambung pula pada bahagian ekor yang bertulang kuat yang agak panjang. Bentuk selaput kulit menyamai selaput kulit yang ada pada spesis Keluang, Kelawar dan Tupai Terbang.




Mempunyai 5 jari  yang berkuku panjang bercangkuk tajam dan kukuh sebagai membantunya bergayut, mencengkam dan bergantung. Walaupun mempunyai sepasang tangan bahagian hadapan, tetapi ianya hanya berfungsi untuk kerja-kerja mendepang, memanjat, bergayut, mendakap dan bergantung sahaja. Genggaman 2 tangan hadapan tidak digunakan untuk memetik dan mengambil makanan untuk disuapkan ke dalam mulutnya sepertimana perbuatan spesis Siamang, Ungka, Lotong, Beruk ,Kongkang dan Tupai menyuap makanan kedalam mulut.


Kubung~Cynocephalus variegatus mengambil makanannya terus menggunakan mulutnya sepertimana Kancil, Kijang , Rusa , Lembu dan lain-lain. Menjadikan pucuk-pucuk, putik tumbuhan sebagai makanan rujinya. 



Sepasang mata bulat Kubung~Cynocephalus variegatus berkebolehan melihat dengan tajam dan jelas pada jarak yang agak jauh pada waktu malam gelap gelita. Keistimewaan ini yang hampir sama dengan penglihatan spesis Burung Bertemak dan Burung Tukang.


Tidak diketahui pula akan kebolehan kakitangan yang mempunyai selaput kulit itu samada , berupaya  berkepak berfungsi sepertimana pelepah sayap burung yang mampu mengubah haluan-haluan penerbangannya ketika sedang berterbangan.

Pergerakan Kubung~Cynocephalus variegatus adalah sangat pelahan, hampir menyerupai pergerakan spesis Kongkang~Nycticebus coucang. Sejurus hinggap mendakap batang pokok, setelah membuat penerbangan ia akan bergerak perlahan-lahan naik kebahagian yang tinggi. 




Andaikata ia berada dilantai tanah ia akan mengesut-gesut dengan perlahan seperti anjing laut melakukan pergerakan. Keadaan ini sangat merbahaya kepada keselamatan dirinya. Hendaknya kita sebagai manusia yang mempunyai hatibudi dan akal apabila terserempak haiwan ini dilantai tanah hendaklah kita memberi belas ehsan kepadanya supaya tidak mengapa-apakannya. Berikan ia masa untuk memanjat pokok untuk menyelamatkan dirinya. Ketika itu ia hanya mengharapkan belas ehsan manusia sahaja kerana ia memang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan dirinya.



Cara Membuang Najis Dan Mengulung Selaput Kulit Ekor Kubung~Cynocephalus variegatus


Selepas Kubung~Cynocephalus variegatus  berjaya hinggap pada batang pokok ekornya akan menjongkit, ketika itu selaput kulit bahagian bawah akan jelas kelihatan, termasuk tulang ekor serta buritnya.



Ada ketikanya ia akan membuang najisnya jatuh menitik-nitik dan bertaburan dibawah pokok. Kemudian ia akan mengulung selaput kulit dengan kekuatan tulang ekor secara perlahan-lahan hingga terkatup masuk dibawah punggungnya.



Pemerhatian Ketika Kubung~Cynocephalus variegatus Mencari Makan

Daripada apa yang dapat diperhatikan, Kubung~Cynocephalus variegatus gemar memakan pucuk daun dan putik pokok-pokok buah-buahan seperti gajus yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Ia akan secara senyap dan pelahan-lahan dalam gelap memanjat ranting-ranting secara tubuh badannya dalam keadaan bergayut. Keempat kaki tangannya memegang dahan manakala badannya tergantung dibawah.










Penjagaan Anak

Setiap musim mengawan pasangan Kubung~Cynocephalus variegatus berupaya mempunyai seekor anak yang akan sentiasa dikendung dibahagian selaput kulit belakang kaki dan tulang ekornya. Ia akan membawa kemana-mana sahaja anaknya itu sehingga ia boleh berdikari sendiri.





Apa yang menjadi persoalan saya ialah tentang kekuatan , kemahiran dan kecekapan Kubung~Cynocephalus variegatus mengendalikan anaknya ketika ia membuat penerbangan dan hinggap pada batang pokok dalam keadaan anaknya berada dibawah selaput kulit punggung ibunya itu. Tidakkah anaknya itu tercedera akibat terhantuk pada batang pokok yang keras ketika ibunya hinggap didalam gelap pada batang pokok?  Bagaimana ia mengawal situasi sebegitu tidak dapat saya ulas.



Memanjat naik kebahagian yang lebih tinggi dengan beban berat anaknya merupakan satu keadaan yang meletihkan . Pastinya ia memerlukan kekuatan kakitangan yang dibantu oleh kuku bercangkuk yang tajam untuk memudahkan pergerakan dilakukan.  




Bagaimana kaedah ibunya memberi anaknya makan masih menjadi tandatanya. Samada Ibunya itu akan memberi suapan mulut ke mulut seperti burung ataupun anaknya itu mengambil sendiri pucuk-pucuk daun untuk dimakan. Semuanya masih menjadi tandatanya kepada saya. Hendaknya dimasa akan datang saya berpeluang membuat pemerhatian ini. Wasalam.  

No comments:

Post a Comment