Monday 15 June 2015

Pemerhatian burung Tiong Emas~Gracula religiosa.



Pemerhatian burung Tiong Emas~Gracula religiosa.

Pada 13 Jun 2015 saya mencuba nasib untuk memburung di Bukit Rengit, Lanchang kerana saya mengejar impian untuk melihat Merbah hitam putih~Pycnonotus melanoleucos, Jay berjambul~Platylophus galericulatus, Berlau Delima~ Pitta granatina dan Berlau belang~Pitta guajana.



Cuaca dan cahaya dihari ini memang sangat sesuai untuk memburung, namun begitu setelah hampir 3 , 4 jam mencari apa yang dihajati, hinggakan waktu sudah menjangkau ke pukul 6:30 petang. Dalam hati masih degil untuk mendapatkan apa-apa spesis burung sebagai pembalut keluh kesah dihati. 



Ketika hendak menuju ke motosikal dari kawasan sempadan hutan, datanglah sepasang spesis burung
Tiong Emas~Gracula religiosa, hinggap pada tunggul pokok mati yang sederhana tinggi ditepi jalan. Kemudian salah seekor burung terbang kearah sempadan hutan dan hinggap pada dahan pokok yang tingginya lebih kurang 5 meter. 



Perilakunya terjengok-jengok ke kiri dan kekanan. Sesekali menjengok kebahagian bawah pokok. Tidak dapat dipastikan apakah yang dicarinya, dari satu dahan ke satu dahan sambil burung itu menuju ke batang pokok kayu bahagian paling bawah, seperti mencari sesuatu. 




Sedangkan pada waktu yang sama saya telah mulai bergerak mara menuju agak hampir dilokasi burung itu berada. Burung Tiong Emas~Gracula religiosa itu langsung tidak menghiraukan kehadiran saya. Seolang-olah benda yang dicarinya itu sangat penting dan mustahak kepada kehidupannya. Perilaku itu berlangsung lebih kurung 5 minit, dan saya perhatikan tidak ada apa yang diperolehinya, samada bentuk makanan mahupun lubang tempat mereka jadikan tempat berlindung.


Manakala burung seekor lagi duduk diam bertenggek menunggu pada dahan pokok yang agak tinggi, sehinggalah burung yang berada dibawah itu terbang naik ke atas lalu menyertai burung seekor lagi. Sejurus itu kedua-dua ekor burung itu terbang menghilangkan diri menuju kearah hutan. Pada saya perilaku yang disajikan dihadapan mata sedikit sebanyak membalut juga keluh kesah dihati. Wasalam.


No comments:

Post a Comment