Thursday 17 September 2015

Jalan Pintas Ke Syurga Bumi...



Keadaan dan Suasana Persekitaran 

Kawasan disini sentiasa di selubungi oleh kabus tebal, tiupan angin yang menderu-deru dan suhu yang sangat sejuk. Saya bernasib baik kerana ketika memasuki dikawasan ini cuacanya elok dengan matahari memancar terang dan kabus tidak kelihatan, sepanjang 2 jam  menjelajah. 


Tempoh 2 jam menjelajah tidak mendatangkan sebarang masalah penat pun, malah leka menikmati setiap pemandangan disini. Tidak ada lintah atau pacat yang menghisap darah, dan tidak ada nyamuk, semut serta agas mengganggu hal ehwal kita.



Udara nyaman dan suhu yang sejuk segar menghilangkan semua keletihan, ditambah pula bau-bauan istimewa yang jarang dihidu datang dari tumbuhan kayu dan lumut. Sepanjang penjelajahan itu saya hanya mengekori laluan  yang sedia ada  kesan  dari laluan mamalia kecil yang banyak terdapat disini. 



Pada lantai hutan pula tumbuhan lumut dari berbagai jenis spesies lumut terhampar seperti permaidani hijau yang tumbuh dengan subur. Sehinggakan adakalanya tidak sampai hati untuk memijak-mijak hamparan lumut disini, apabila memijak ketika  tidak bertemu dengan kesan laluan haiwan. Menyangkakan dengan terpijaknya lumut tersebut ia akan mengakibatkan kematian pada lumut. tidak dapat dipastikan adakah perasaan sebegini merupakan perasaan  kesayangan yang melampau.



Dan ada juga jenis lumut yang melekat  segar pada batang dan ranting pokok-pokok . Butiran embun melekat bertitih-titih berkaca cerah dan jernih tergantung-gantung  pada hujung tumbuhan berlumut.  Embun berkaca berbutir-butir juga kelihatan tergantung-gantung pada sarang labah-labah yang banyak berselirat dicelah-celah ranting pokok.




Ada terdapat banyak tumbuhan dari jenis Palma, Paku-pakis, Mengkuang dan Rotan yang mungkin tidak sama dengan yang terdapat didalam hutan tanah rendah. Terdapat juga beberapa jenis tumbuhan Periuk Kera yang tumbuh menjalar diatas tumbuhan lumut, dan ada juga yang tergantung. 




Tumbuhan Orkid liar memang banyak terdapat disini, ada yang melekat pada batang dan ranting pokok. Tidak kurang juga yang tumbuh diatas hamparan lantai tanah yang berlumut hijau dan basah. Ada disetengah laluan hutan tumbuhan rimbun membentuk seperti trowong, maka terpaksa membongkok diri untuk melaluinya.



Kelihatan juga lorong-lorong kecil berlekok-lekok diatas lantai berlumut yang dilakukan oleh Mamalia kecil. Dengan mengekori lorong kecil itu kita akan bertemukan sarang-sarang tempat mamalia kecil berehat yang dibina dibawah perdu serta pada akar-akar pokok.



Persekitaran disini masih  lagi belum tercemar daripada sebarang sampah sarap hasil peninggalan manusia. Keadaan ini adalah sebagai bukti jelas memang tidak ada sebarang aktiviti manusia telah berlaku disini.



Lebih menarik lagi ketika ini, disini tidak ada tumbuhan dari jenis lalang dan buloh yang berupaya  tumbuh dalam keadaan cuaca suhu yang sangat sejuk. Bukti ini adalah penimbang aras kepada tahap gangguan pencemaran suhu dan perubahan cuaca dikawasan ini. Jikalau benih tanaman lalang yang secara tidak sengaja dibawa dari kawasan rendah tersebar disini, maka kesan kemudaratan kepada tumbuhan-tumbuhan asal mungkin akan terancam.





Saki Baki Syurga Bumi Yang Tinggal.

Seharusnya kawasan hutan seperti ini  dirahsiakan daripada pengetahuan khalayak  bagi menjamin tidak berlaku kerosakan hasil dari kesan tapak-tapak kaki Penagih Pendaki Gunung, Pemburu Hidupan Liar, dan Pemburu Serangga & Kumbang.



Penggekalan saki baki Hutan Tanah Tinggi dan Hutan Elfin ini adalah  bertujuan untuk  meneruskan suasana bersih, hening, keamanan dan keselamatan kepada penghuni-penghuni dikawasan ini yang terdiri daripada pelbagai spesies Burung, Mamalia kecil, Kumbang, Rama-rama, Katak, Tokek, Ular dan banyak lagi.


Andaikata tempat ini dapat dikesan oleh Penagih Pendakian Gunung, maka sudah pasti akan bermulanya  kacau ganggu kepada penghuni-penghuni disini. Maka akan berlakulah kerosakan secara bersiri terhadap persekitaran semula jadi dikawasan ini.



Apa tidaknya, ketika mereka merintis membuat laluan trek, habis tumbuhan serta akar dicantas dan ditakik dengan parang tajam mereka. Kerana memang sudah menjadi adat perintis, bahawa mereka akan mencantas setiap halangan dihadapan mereka, seperti perumpamaan  "Membujur lalu melintang patah."


Apalah yang mereka tahu tentang jenis tumbuhan dikawasan Hutan Tanah Tinggi dan Hutan Elfin ini ? Mereka hanya tahu ikhtiar hidup ketika berada didalam hutan sahaja. Daripada ilmu pengetahuan tentang jenis tumbuhan, spesies hidupan liar dan serangga tanah tinggi. Pada mereka setiap yang dicantas akan bertunas dan tumbuh semula. Sifat dan sikap tanggung jawab mereka adalah tipis.




Apa yang mereka tidak ketahui bahawa tumbuhan didalam Hutan yang saya nyatakan ini tidak sama dengan tumbuhan yang tumbuh didalam Hutan Rimba Tanah rendah. Kerana tumbuhan disini mengambil masa yang sangat panjang untuk ia membesar dan matang. Tumbuhan disini  merupakan dari jenis tumbuhan kerdil, ia dilihat seperti anak-anak pokok tetapi hakikatnya  tumbuhan itu telah matang dan tua usianya.





Ada juga yang menakik-nakik batang-batang pokok sebagai tanda tunjuk arah disepanjang laluan mereka menuju ke puncak. Ketika ingin membuat khemah pula, sudah pasti mereka akan melapangkan kawasan tapak untuk mendirikan khemah. Sedikit sebanyak tumbuhan difikirnya kecil akan dicantas. Tidak kurang  juga yang memasang " Heymook " dengan mengikat terik tali pada batang-batang pokok.




Sesudah melapangkan tapak khemah, perut pula  telah lapar, maka kayu-kayu kering pasti menjadi mangsa pembakaran bagi tujuan memasak, memanaskan badan dan menjadikan unggun keselamatan. Apakah yang akan terjadi kepada  lantai hutan dikawasan yang dipenuhi dengan berbagai jenis tumbuhan berlumut yang terhampar  ini.?



Kita perlu akui, bahawa  kesan-kesan tapak kaki manusia dalam jumlah yang ramai dan kekerapan memasukinya akan merosakkan lantai hutan. Ini telah terbukti sepertimana yang telah berlaku kepada hampir semua Hutan Tanah Tinggi di negara kita sepertimana yang telah berlaku pada Gunung-Gunung G7 . 



Lantai -lantai hutan disitu telah membentuk  laluan  seluas longkang yang berlopak dan berlecah. Laluan trek seperti itu telah menjadi dwi-musnah disepanjang laluan tersebut menuju ke puncak. Ketika dimusim kering akar-akar pokok akan rosak kerana dipijak dan musim hujan pula menjadi laluan air hujan sehingga membentuk seperti anak sungai.



Lagikan kesan yang dilakukan oleh Penagih Mendaki Gunung sudah memadai untuk memberi kemudaratan kepada kawasan persekitaran, inikan pula kerosakkan yang dilakukan oleh Pemburu Hidupan Liar dan macam-macam pemburu.





























Dengan izin Maha Pencipta Sekelian Alam , hendaknya biarlah kawasan hutan ini terus kekal bersama-sama penghuninya dalam keadaan sedia ada. Biarlah penghuninya juga berkembang biak dalam suasana semulajadi aman tenteram secara berterusan sampai ribuan tahun akan datang. Wasalam.






No comments:

Post a Comment