Friday 9 October 2015

Burung Sambar Coklat Asia~Muscicapa siamensis


Burung Sambar Coklat Asia~Muscicapa siamensis


Menentukan pengecaman spesis keluarga burung Sambar Muscicapa memang rumit, kerana penampilan mereka hampir menyerupai antara satu sama lain. Ini dirumitkan lagi dengan penampilan burung ketika dimusim sejuk, musim panas dan musim burung menyalin buluhias.



Maka akan berlaku berbagai-bagai cadangan berdasarkan ilmu dan pengalaman masing-maing yang mereka ada. Adab  Pemburung pula tidak mudah menafikan pengecaman seseorang pemburung yang lain tanpa asas dan bukti yang kuat.



Musim penghijrahan sesi awal tahun 2015 menemukan beberapa spesis burung sambar yang saya dapati sangat sukar untuk membuat pengecaman.  Setelah membuat penelitian saya mencadangkan spesis burung ini adalah Sambar Coklat Asia~Muscicapa siamensis. 




Daripada apa yang telah dimaklumkan oleh Guru saya Saudara Mike Chong spesis burung Sambar Coklat Asia ada 2 pecahan keluarga. Sambar Coklat Asia~Muscicapa dauurica yang asalnya adalah dari kawasan sebelah negara China, Jepun, Hong Kong, Taiwan. Manakala Sambar Coklat Asia~Muscicapa siamensi pula adalah dari kawasan utara negara Thailand. 




Penampilan antara mereka memang ada sedikit perbezaan yang agak ketara iaitu pada warna buluhias pada bahagian leher, dada dan perut burung. Pada bahagian yang dinyatakan itu , ianya adalah berwarna coklat cair. Manakala pada bahagian paruh dibahagian pangkal bawah membawa kebahagian pertengahan paruh berwarna cerah.



Berdasarkan pemerhatian lanjut dilakukan, saya dapati ada  tanda-tanda yang lain pada burung ini daripada salah satu burung ini. Saya tidak dapat pastikan samada burung itu jantinanya jantan atau pun betina. Buluhias bahagian dahi diatas pangkal paruh burung mempunyai tanda bertompok yang berwarna coklat. Tidak dapat dipastikan tanda ini hanya berlaku ketika burung dalam proses menyalin buluhiasnya ataupun tanda itu memang kekal semulajadi. Didalam buku Craig Robson, tidak pula dinyatakan ciri-ciri yang saya nyatakan itu.




Setelah membuat kajian dan penelitan saya merasa bulat hati membuat keputusan bahawa spesis burung ini adalah dari jenis  Sambar Coklat Asia~Muscicapa siamensis. Untuk makluman sebelum ini ditahun-tahun yang lalu spesis dari jenis Muscicapa siamensis sangat jarang dijumpai di Semenanjung Malaysia.



Mungkin disebabkan berlaku perubahan cuaca menyebabkan spesis ini membuat keputusan untuk berhijrah ke negara ini yang lebih mudah dan banyak untuk mendapatkan sumber makanan.



Spesis ini dijumpai secara berpasangan di Taman Negeri Selangor, Sungai Congkak Ulu Langat. Dilokasi yang sama, pasangan ini berjiran dengan spesis burung Sambar Sisi-gelap~Muscicapa sibirica dan Sambar Mugimaki ~Ficedula mugimaki.


Walaupun datang berpasangan ia tidak  akan sentiasa bertenggek pada satu pokok atau dahan yang sama sepertimana spesis burung Enggang. Sepanjang pemerhatian dilakukan cuma sekali sahaja , saya melihat mereka berada disatu dahan yang sama. Hal keadaan sebegitu hanya terjalin dalam jangka waktu yang singkat sahaja. Kemudian salah satu akan terbang dan hinggap ke lokasi lain.




Pemerhatian saya mendapati perangai spesis Muscicapa siamensis ada kelainannya dengan Sambar Coklat Asia~Muscicapa dauurica yang biasa saya perhatikan. Burung ini lebih gemar berada hinggap pada ranting yang rendah, antara 1 kaki hingga ke 6 kaki tinggi pada paras lantai hutan.



Ia akan bertenggek lama , sambil memerhatikan ulat dan serangga merayap-rayap dicelah-celah daun kering. Sekiranya telah pasti akan lokasi mangsanya burung akan terbang dan hinggap dilantai tanah sambil mengutip lalu terbang masuk kedalam rimbunan dicelah-celah daun pokok.





Ketika mencari makanan  ia akan membuat satu lingkaran sempadan secara bulatan  untuk mencari makanannya pada setiap hari, dianggarkan dalam lengkongan 50 meter. Waktu pagi, antara jam 8.00 sehingga ke jam 11:30 begitu aktif melakukan kegiatan mencari makannya.



Burung akan menghilangkan diri kelokasi rahsianya untuk berehat selepas perutnya kenyang selepas tempoh tersebut. Untuk sesi petang saya tidak dapat menceritakannya kerana saya jarang sekali kelokasi pada sebelah petang.


Selama tempoh pemerhatian, saya dapati buluhiasnya kerap kali gugur, samada pada buluhias yang menutupi badannya dan buluhias pada sayap pelepah primer. Perjalanannya akan diteruskan setelah proses menyalin buluhias lengkap sepenuhnya. Pasangan ini tidak  ditemui lagi pada akhir bulan Jun 2015.

2 comments:

  1. Salam En. Roslan. Kalau saya ada soalan tentang buku terbitan tuan bagaimana saya nak hubungi tuan?

    ReplyDelete
  2. Sila nyatakan soalan tersebut disini. Saya tiada masalah untuk memberi jawapan. Terima kasih Saudara Alik.

    ReplyDelete