Sunday 4 October 2015

Sambar Coklat Asia

Sambar Coklat Asia~Muscicapa dauurica


Pada musim penghijrahan burung tahun 2015 sesi awal tahun, saya berpeluang menemui berbagai verasi penampilan burung Sambar Coklat Asia~Muscicapa dauurica, mungkin ketika ini saya beranggapan bahawa mereka sedang dalam proses penyalinan buluhias sebelum terbang pulang ke negara asalnya.


Setiap kali berkunjung kelokasi sempadanan pencarian makannya, pasti akan menemuinya. Kehadiran saya tidak pula mengundang perasaan takut atau malu daripada burung Sambar Coklat Asia~Muscicapa dauurica ini. Keadaan seperti ini memberi kemudahan dan kelebihan untuk saya membuat pemerhatian dan rakaman semahu saya.


Disebabkan burung tidak takut pada saya, maka peluang ini tidak boleh dilepaskan untuk merakam sedekat dan sebanyak mungkin bagi mendapat rakaman yang terbaik dari pelbagai sudut burung.Belum tentu dimasa akan datang saya akan mengalami keadaan yang serupa ini lagi. Suasana sebegini dilakukan tanpa menggunakan tata cara tipu daya terhadap burung seperti meletak umpan ulat atau membuat panggilan palsu.



Rakaman dilakukan hanya berdasarkan pertalian silaturahim dan kepercayaan antara sesama makhluk yang mana burung ini amat yakin bahawa saya tidak akan memberi sebarang ancaman bahaya kepadanya. Setelah keyakinan dan kepercayaan diberikan  maka tanggung jawap kita pula ialah tidak akan  mengkhianati kepercayaannya. Memang sukar untuk membuktikan bab kepercayaan sesama makhluk dalam bentuk penceritaan dan penulisan, melainkan merasai sendiri pengalaman itu.


Burung ini mencari makanan  diparas yang rendah pada lantai tanah dipersekitaran dalam bentuk satu bulatan. (Anggaran 40 meter ). Ia akan terbang dan hinggap mengelilingi kawasan sekitar dengan  bertenggek dan memerhatikan serangga bersayap untuk disambar. Kemudian akan kembali semula pada lokasi tempat ia mula-mula hinggap. Perbuatan itu dilakukan sehingga ia kenyang dan terus terbang keatas pokok yang terlindung pada tahap yang lebih tinggi untuk berehat.


Berdasarkan rekod yang saya catit burung ini akan berada disesuatu lokasi pada satu tempoh yang agak lama diantara 1 bulan ke 3 bulan. Sekiranya tiada sebarang gangguan daripada pemangsa maka burung ini akan berada disitu menjaga sempadannya dalam tempoh yang dinyatakan itu.

Untuk tempoh tersebut proses menyalin buluhias akan berlaku keatas burung, dimana buluhias yang sediada akan gugur secara berperingkat-peringkat dan digantikan dengan tumbuhnya buluhias yang baharu. Burung akan menunggu sehingga proses permatangan buluhias lengkap sepenuhnya sebelum terbang meneruskan proses penghijrahan yang panjang, jauh dan merbahaya.



Sekarang di bulan Oktober sesi penghijrahan fasa ke dua telah bermula, tetapi saya masih belum nampak lagi kelibat burung  Sambar Coklat Asia~Muscicapa dauurica ini dilokasi yang sama. Sedangkan burung-burung hijrah yang lain telah mula kelihatan di lokasi ini, mungkin kesan pada keadaan cuaca yang berjerubu mengganggu penglihatannya hingga tersasar kelokasi lain. 



 
Tidak ramai dikalangan kita tahu atau berminat ingin tahu mengenai hal kejadian Penghijrahan Burung yang misteri dan unik  berlaku dialam ini. Dengan hanya  berbekalkan anggota tubuh badan yang disediakan oleh Allah, burung penuh keyakinan pada nalurinya untuk membuat penghijrahan demi kelangsungan hidup mereka. Secara bersendirian dan berkumpulan terbang beribu-ribu batu diwaktu malam merentasi lautan, melepasi padang luas dan hutan belentara.
 


Ilmu dan kudrat apa yang ada pada burung, membolehkan burung ini  datang sampai ditempat yang sama pada tiap-tiap tahun ? Bolehkah saiz otak yang kecil pada burung mampu mengingati tuju hala perjalanan yang sangat jauh ketempat asing yang hendak dituju? Apakah benda dan peta tanda yang menjadi panduan  mereka?  Atau pun mereka mempunyai Ilmu Naluri Ajaib yang tidak dapat zahirkan oleh manusia dalam bentuk penulisan ilmiah. 

Harapnya kita manusia menyambut dan menerima kehadirannya dengan berlapang dada bukan dengan penganiayaan, setelah mereka mengharungi perjalanan jauh yang merbahaya. Musykil dan teruja atas kehebatan Allah yang telah menjadikan makhluk bersayap ini .

Wallahu'alam. Wasalam.

No comments:

Post a Comment