Tuesday 10 November 2015

Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus

Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus


Burung Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus  adalah antara burung hijrah yang sukar untuk kita melihatnya, apatah lagi ingin merakam imejnya. Perangainya yang tersangat pemalu hinggakan, sepanjang  9 tahun memburung cuma 3 kali sahaja pengalaman dapat melihatnya. Kali pertama melihatnya ketika menjumpainya mati ditepi jalan akibat kemalangan Langgar Lari di Bidor , Perak.




Ketika itu , sebahagian anggota tubuh  burung dalam keadaan cedera yang teruk dan agak sedikit mengerikan. Namun begitu  pelajaran saya ketika itu ialah mengetahui keadaan bentuk saiz tubuh badan dan warna buluhias burung. Sekilas mata memandang warna buluhias, hampir menyamai dengan keluarga burung But-but. 


Keadaan yang menyedihkan ketika dijumpainya buat pertama kali.



Pengalaman yang ke 2 pula melihatnya dari jarak yang dekat dengan sepuas-puasnya di Ulu Kali. Peluang itu dialami setelah sahabat saya Saudara Muhammad Muhir Hj.Daud memaklumkan kepada saya bahawa kawannya telah menangkap burung Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus. 



Ketika burung ditangkap ia duduk diam  keletihan kerana   mengharungi hujan dan angin kencang semasa perjalanan hijrahnya. Pengalaman itu telah menambah lagi sedikit maklumat tentang hal ehwal penghalusan ciri-ciri maklumat burung Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus.








Baru-baru ini pada awal bulan November 2015, secara tidak sengaja telah bertemu dengan burung ini yang sedang merayau-rayau mencari makanannya ditepi Sungai Klang. Daripada pemerhatian peribadi, burung  Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus bukanlah sejenis burung yang mempunyai keupayaan untuk terbang tinggi untuk satu jangkamasa yang lama. Dimana pelepah sayapnya tidak terlalu lebar  dan agak sedikit pendek, bersesuaian dengan ciri-ciri keluarga burung Khukhu yang lain. 


Khukhu Cecawi~Surniculus lugubris

Berdasarkan pengalaman melihat dan merakam spesis burung ini, tanggapan saya  burung ini memanglah cukup pemalu untuk menampilkan dirinya dikawasan terbuka. Ia akan berhenti dan menjadikan satu lokasi yang dipercayainya terdapat sumber makanannya yang banyak untuk beberapa hari  sebelum meneruskan perjalanan hijrahnya.

Khukhu Sayu~Cocomantis merulinus menunggu diatas pokok memerhatikan ulat-ulat untuk dimakannya.

Burung ini menjadikan sepohon pokok buah-buahan yang telah diserang oleh ulat-ulat daun sebagai lokasi lubok makanannya.  Mereka seperti bergilir-gilir datang untuk mencari ulat-ulat perosak daun sebagai diet makanannya. Ini membuktikan burung-burung merupakan agen penghapus perosak tanaman yang membantu menjaga tanaman manusia.

Ulat-ulat sedang memakan daun pokok buah.



Keadaan kesan daun-daun yang rosak diserang oleh ulat.

Perilaku mencari makanan antara burung Khukhu Sayu~Cocomantis merulinus, Khukhu Cecawi~Surniculus lugubris dan Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus adalah sangat berbeza. Khukhu Sayu~Cocomantis merulinus dan Khukhu Cecawi~Surniculus lugubris akan hinggap diam pada ranting pokok sambil memerhatikan ulat-ulat dicelah-celah daun dan ranting sebelum menyambar dan memakannya diatas pokok itu.

Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus sedang menyorok sambil memerhatikan ulat-ulat bersebelahan pokok buah-buahan.

Manakala  Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus pula akan menyorok diatas pokok berhampiran sambil membuat pemerhatian ulat-ulat yang merayap atas daunan dan ranting sebelum  datang terbang bergayut dan menyambar ulat. Sejurus itu dengan pantas pula ia akan terbang kelokasi yang berhampiran dan tersorok untuk menghadam makanannya itu.



Apa yang menarik perhatian saya burung Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus ini mempunyai satu kaedah muslihat untuk ia tidak dikesan oleh " sipemberi takut " iaitu orang yang berniat untuk menjejaknya.



Burung ini akan menampilkan dirinya dilokasi pencarian makanannya buat seketika untuk tujuan menarik perhatian. Kemudian ia akan terbang ke arah pokok yang jauh , seolah-olah ia telah terbang meninggalkan lokasi itu. Tetapi tanpa kita sedari secara senyap ia akan terbang berpatah balik secara senyap masuk menyorok diatas pokok yang berhampiran lokasi mencari makannya. Orang yang tidak berpengalaman kebiasaannya akan tertipu akan helah seperti ini dan meninggalkan lokasi setelah mendapati burung telah terbang jauh. Wasalam.

No comments:

Post a Comment