Monday, 23 November 2015

Pelajaran Serta Iktibar Dari Seni & Sejarah Mata Wang Lama.



Mata Wang Lama Tahun 1888 Negeri British Borneo Utara







Status Duit Syiling British North Borneo & Co Tahun 1888.

Galian-galian logam mentah tembaga yang dilombong untuk membuat duit syiling barangkali berasal dari tanah-tanah Eropah. Ini berdasarkan Duit syiling tembaga itu telah ditempa dikilang membuat syiling di England. Kemudian dibawa ke Borneo Utara ( Negeri Sabah ) untuk diedarkan sebagai matawang untuk kegunaan urusan jual beli.

Berdasarkan  pandangan mata saya, duit syiling yang dipaparkan ini telah diedarkan sejak sekitar tahun 1888 dan ianya telah digunakan dalam urusan jual beli dan bertukar tangan dari seorang keseorang sehingga tamat tempoh penggunaan pada tahun 1963. Saya pasti Duit ini juga bukan datangnya  dari koleksi simpanan peminat pengumpul matawang terdahulu kerana terdapat banyak bukti calar, lekuk dan berkarat kesan penggunaannya ditahun 1888 dahulu. 




Walaupun pada pandangan mata kasar ia kelihatan bersih, cantik dan baik seperti matawang yang disimpan untuk koleksi. Tetapi pada hakikat sebenarnya, terdapat begitu banyak bukti-bukti syiling ini telah menjalani proses pembersihan menggunakan cecair pembersih kimia. Bekas tindak balas kimia yang berwarna keputihan jelas kelihatan pada sekeliling objek huruf-huruf Rumi, Cina ,Jawi Melayu dan objek 2 Panglima Pribumi itu. Telah berlaku proses pembersihan yang teliti setelah ianya kotor berkarat  kesan dari  tersimpan didalam tabung, terbenam didalam tanah atau tersimpan dalam koleksi individu untuk satu tempoh yang lama.




Persoalan & Pelajaran Seni & Sejarah

Pada tahun 1888 , iaitu 127 tahun yang lalu siapakah pegawai yang berfikir , berbincang dan mendapat kata sepakat memutuskan corak perlambangan yang akan tertera dalam muka duit syiling ini? Adakah beliau warga tempatan atau warga pendatang yang  bertugas di Negeri Borneo Utara pada ketika itu. Siapakah pula ahli-ahli penal yang mendapatkan ilham untuk memutuskan keputusan seperti dibawah ini:-

1. Menggunakan 2 orang Panglima Pribumi yang lengkap bersenjata,
2. Penggunaan lambang Singa,
3. Penggunaan Bahtera,
4. Pengunaan perkataan bahasa Latin  Pergo Et Perago bermaksud " I undertake and I acheive"
5. Penggunaan lambang 2 lengan yang sedang memegang tiang bendera Sabah Utara. Lengan berpakaian ( Penjajah ) dan Lengan tidak berpakaian. (Peribumi )
6. Penggunaan jenis-jenis Huruf dan bahasa.
7. Penggunaan tulisan Cina
8.Penggunaan tulisan Jawi Melayu.


Dapat dilihat dengan jelas kesan calar, kesan tindak balas kimia pembersih dan kesan hitam dikawasan atas kepala Panglima Pribumi.

Siapakah agaknya 2 Orang Panglima Pribumi yang terpilih menjadi model untuk dirinya diambil photo, kemudiannya dilukis oleh pelukis seterusnya imej itu diserahkan kepada pakar ukiran tempa logam untuk dijadikan acuan membuat duit syiling. Tidak dapat dipastikan Panglima Pribumi ini adalah dipilih dikalangan kaum Kadazan, Dayak atau pun Bajau Laut.

Pada ketika itu di tahun 1870 an Negara Great Britain memang sudah ada ramai pakar seni berkemahiran tinggi untuk kerja tangan yang halus. Ini dapat dibuktikan dengan hasil kerja cetakkan lukisan pada muka duit syiling keluaran-keluaran dari negara Great Britian. 

Tidak dipastikan tradisi Parang Besar & Panjang ini datangnya dari suku kaum Pribumi yang mana satu. Kadazan, Dayak,Iban atau Bajau Laut.


Pada pandangan mata awam seperti saya, pakar ini telah mengukir  semua objek yang sempurna di muka acuan yang bersaiz hanya 3 inci sahaja. Beliau memiliki kemahiran seni halus yang cukup tinggi dan teliti. Dimana segala ciri-ciri seni yang halus-halus telah tergambar dimuka duit syiling apabila duit syiling itu ditempa. Peralatan apa yang mereka gunakan dan berapa lama kerja-kerja seni halus ini dapat disiapkan dengan sempurna, sentiasa menjadi tanda tanya. Sedangkan pada ketika itu tiada penggunaan mesin berteknologi tinggi untuk membuat acuan duit syiling. Kerja-kerja ini hanya dilakukan oleh tangan-tangan mahir manusia yang mempunyai kepakaran yang cukup tinggi.





Setiap perlambangan yang ada dimuka duit syiling dipilih berdasarkan maksud yang ingin disampaikan kepada rakyat. Tentu sekali ada maksud yang hendak disampaikan oleh pemerintah British dengan lambang dua lengan yang sedang memegang tiang bendera yang sedang berkibar itu. Lengan tangan disebelah kiri yang tidak mengenakan pakaian  memegang tiang pada bahagian bawah dan manakala lengan tangan berpakaian memegang tiang pada bahagian atas , dimana Bendera yang sedang berkibar itu mempunyai lambang seekor Singa.

Oleh kerana Singa pada bendera kelihatan sangat kecil, maka seekor lagi Singa yang lebih besar dipaparkan untuk menguatkan tanda pemerintahannya. Tentunya semua ini mempunyai maksud yang jelas bagi menyampaikan maklumat tersirat iaitu negeri British Borneo Utara adalah dibawah pemerintahan mereka.


Pada pangkal ekor singa kelihatan warna kehijauan seperti karat tembaga.
Tidak dapat dipastikan maksud lambang  sebuah bahtera yang sedang berlayar ditengah lautan, dipaparkan pada duit syiling ini dan apakah  pengertian lambang itu . Adakah mungkin Bahtera merupakan lambang kepada kejayaan dari sudut perdagangan pada ketika itu.




Siapakah yang mencadangkan penggunaan cogankata berbahasa Latin yang berbunyi Pergo Et Perago  yang bermaksud " I undertake and I acheive" ~ Aku Melaksanakan  dan Aku Berjaya tiada siapa yang mengetahuinya. Mungkin juga perkataan ini adalah perkataan wajib yang ada pada mana-mana duit syiling keluaran Pemerintahan British.

Mengapa bangsa Inggeris memilih untuk menggunakan bahasa latin yang tidak diketahui akan  maksudnya. Kenapa bangsa Inggeris tidak mengutamakan penggunaan  bahasa Inggeris didalam matawang mereka ? Atau mungkin perkataan "I Undertake And I Acheive" menggunakan ruang yang lebih banyak daripada bahasa latin. Huruf yang digunakan untuk mengeja perkataan Pergo Et Perago hanya menggunakan 13 huruf rumi sahaja, sedangkan perkataan "I Undertake And I Acheive" terpaksa menggunakan 21 huruf rumi.

Cadangan pendapat saya, Huruf H yang kelihatan diatas angka 1888 merupakan tanda rahsia keselamatan untuk membuktikan matawang syiling ini tidak palsu. Atau juga sebagai tanda tangan kepada sipengukir acuan ini.

Pada waktu itu apakah kebarangkaliannya yang dapat dibelikan dengan nilai 1 sen. ?
Kita harus mengucapkan syabas kepada pendokong Bahasa Cina, kerana selepas 127 tahun penggunaannya  pada syiling ini, didapati pada waktu sekarang bahasa pertuturan Bahasa Cina dan tulisannya telah berkembang maju dengan jayanya dinegara ini. Bukti ini jelas kita lihat dengan adanya Kumpulan Media gergasi   seperti Akhbar Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, dan Guang Meng Daily. Sebab dan bagaimana bahasa Cina boleh tetap mendapat sokongan yang padu sehingga sekarang, haruslah dicontohi dan diikuti.


Menggunakan ejaan perkataan dari jenis Times.

Pada suatu ketika dahulu Bahasa Cina adalah penting dalam  urusan perniagaan jual beli Di Negeri Borneo Utara.Dimana usaha perdagangan  penduduk Cina tempatan yang berurusan dengan peniaga dari Benua China diambil kira oleh pemerintah British pada ketika itu.Bukti ini dapat dilihat dalam muka duit Negeri Borneo Utara ini.



Kelihatan calar dan lekuk pada permukaan duit syling serta tanda-tanda tindak balas bahan kimia pembersih disekeliling huruf perkataan BORNEO Co.
Walaupun tulisan Jawi Melayu ini digunakan bersama-sama tulisan Cina pada waktu yang sama 127 tahun yang lalu, namun begitu tulisan Jawi Melayu menerima nasib yang aib dan sungguh malang. Berapa kerat sahaja yang masih pandai membaca dan menulis bahasa purba ini dikalangan rakyat Malaysia. ? Mana perginya Akhbar harian Utusan Melayu pada  waktu sekarang. Apakah ada sesiapa yang mempunyai perasaan dengki dan cemburu untuk menghapuskannya? Pastinya tidak, ia telah terkubur kerana tiada  kesatuan hati untuk mengikuti contoh kejayaan yang telah ditunjukkan oleh pendukung Bahasa dan Tulisan Cina. Kini tulisan Jawi Melayu menuju keambang kepupusan di dalam sebuah negara yang dulunya tulisan Jawi Melayu menjadi bahasa tulisan perantaraan dalam semua bidang.


Terdapat sedikit tanda seperti warna pelangi diatas huruf Sin  ( Bahasa Jawi ) .Besar kemungkinan ia terkena larutan kimia yang bercampur baur hasil tindak balas semulajadi.

Maka jangan berputus harap, walau telah terkubur sekalipun, bangkit dan sedarlah untuk berusaha meniru  kesatuan hati yang telah ditunjukkan oleh mereka yang telah berjaya. Dan jangan sesekali mengganggu atau mencantas kejayaan orang ketika dalam proses berusaha menuju kejayaan.






Apa yang menjadi kemusykilan saya, mengapa bahasa  Pribumi tidak digunakan dan dipertengahkan didalam mata wang ini. Sedangkan populasi asal penduduk pribumi yang  mendiami di negeri British Borneo Utara adalah lebih ramai daripada  populasi penduduk yang berketurunan Cina dan Melayu.

Penggunaan ejaan Cina dan ejaan Jawi dilihat seperti golongan peribumi Sabah Utara tidak banyak menjalankan aktiviti perdagangan jual beli pada ketika itu. Atau pemerintah British Borneo Utara inginkan duit syiling ini sah laku digunakan di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu. Dimana penggunaannya matawang ini dapat diperluaskan tidak hanya di Kepulauan Borneo sahaja.Apapun jua ini hanyalah satu andaian sahaja berdasarkan ilmu pembacaan yang sedikit.

Kesan syiling ini jatuh terhentak pada permukaan yang keras.

Tidak keterlaluan jika perbandingan dibuat dengan duit-duit syiling yang dikeluarkan dari kerajaan Melayu negeri Brunei, Kerajaan Melayu di Tanah Sumatera , Kerajaan Melayu di Tanah Pattani dan Kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Seni , ketelitian dan kualiti keluaran duit syiling British pada ketika itu sudah cukup tinggi dan ini adalah lambang kepada kemajuan mereka dari semua bidang, samada bidang pengurusan, pentadbiran, sukan dan perdagangan.





Tidak menjadi dosa atau kurangnya sifat patriotik kita jikalau  mengakui akan kehebatan hasil cipta seni Bangsa yang telah membuktikan kejayaan dan kehebatannya. Kita tidak perlulah memujuk hati dengan menyatakan tamadun kita juga jauh lebih hebat daripada mereka. Kerana perasaan beginilah yang membuatkan kita sehingga sekarang bersifat tidak berapa maju, sedikit malas dan tidak cukup usaha. Sikap  ini telah menyebabkan kita mabuk dan tenggelam dalam angan-angan kegemilangan yang silam sejak mengetahui kita juga mempunyai kegemilangan peradaban dan kehebatan yang hebat pada suatu ketika dahulu. Wasalam.



2 comments:

  1. Saya ada sekeping syiling ni. Thun yg sma 1888.alhmdulillah peningln sejrah yg tgi tentng syiling ni.bertuah jga sya memiliki nya sekeping. Yg sma dlm gmbr

    ReplyDelete
  2. Saya ada sekeping syiling ni. Thun yg sma 1888.alhmdulillah peningln sejrah yg tgi tentng syiling ni.bertuah jga sya memiliki nya sekeping. Yg sma dlm gmbr

    ReplyDelete