Tuesday 2 February 2016

Sejarah Ahli Perniagaan & Tokoh Ekonomi Negeri Terengganu~ WEE SIN HEE


Sejarah Ahli Perniagaan & Tokoh Ekonomi Negeri Terengganu~ Saudara Wee Sin Hee

Keluarganya berasal dari Wilayah Fuxian di Tanah Besar Negara China. Bapanya Wee Kiat Kheng  merupakan seorang Pembesar Kerajaan yang dihormati di Wilayah Fuxian, China. Pada kurun ke 18, Bapanya Wee Kiat Kheng telah mulakan perlayaran hijrahnya dari Pelabohan Tongan di Fuxian  menuju ke Semenanjung Tanah Melayu. Perjalanan pelayarannya melalui perairan Negara Thailand dan berhenti berlabuh  di Negeri Terengganu. Disitu beliau memulakan perniagaan dan bermastautin di Kuala Terengganu.

Saudara Wee Sin Hee

Wee Sin Hee telah dilahir dan dibesarkan di Kuala Terengganu. Beliau telah meneruskan perniagaan Bapanya Wee Kiat Kheng di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III sekitar 1881 hingga 1918. Perniagaan utama yang diusahakan oleh beliau ialah perdagangan buah Pinang, perusahaan Tembakau dan Garam. Hasil berkat usahanya itu, beliau telah menubuhkan Syarikat Teck Soon Company dan berjaya mengembangkan empayar perniagaannya dengan membina lebih 10 buah bangunan rumah kedai di sekitar Pekan Kuala Terengganu.

Beliau mempunyai talian persahabatan baik dengan Sultan Zainal Abidin III sehingga dilantik menjadi Juru Bahasa Sultan keatas segala urusan diplomatik dan perdagangan . Atas dasar kepercayaan dan kejujuran beliau Sultan Zainal Abidin III telah membenarkannya mengeluarkan matawang sendiri sebagai upah gajinya sebagai  Juru Bahasa Sultan.  

Sebagai mengenangkan akan jasanya dalam merancakkan ekonomi dan pembangunan di negeri Terengganu, Sultan Terengganu telah menganugerahkan tanah istimewa diatas sebuah bukit di Kuala Terengganu untuk jasadnya disemadikan disitu.

Banguan Rumah Kedai yang masih tersergam cantik di kawasan Pekan Cina di Kuala Terengganu.

Mata Wang Persendirian Keluaran Syarikat Teck Soon Company

Sepertimana yang kita ketahui, untuk mendapat kepercayaan khalayak seseorang itu haruslah dikenali dan mempunyai pengaruh yang kuat. Disamping harus mempunyai hubungan baik dan akrab dengan pihak pemerintah. Ciri-ciri tersebut ada pada Wee Sin Hee yang mana beliau adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan terkenal. Disamping  mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Sultan Zainal Abidin III.

Tidak banyak maklumat yang diketahui tentang sejarah bagaimana Wee Sin Hee berupaya mengeluarkan matawangnya sendiri. Tujuannya mungkin untuk mempermudahkan segala urusan perniagaan disekitar Kuala Terengganu bersama-sama rakan-rakan , ahli Kesatuan peniaga-peniaga Cina disitu.

Tentu sekali Wee Sin Hee mempunyai simpanan emas dan perak yang kukuh bagi mendapat kepercayaan daripada orang ramai, bahawa matawangnya itu adalah bernilai. Sesiapa yang memiliki matawangnya itu boleh menebusnya pada bila-bila masa tanpa ragu-ragu dan tanpa kejatuhan nilai . Pengiktirafan matawang yang di keluarkan oleh Wee Sin Hee oleh pihak pemerintah Negeri Terengganu adalah satu kejayaan peribadi yang sangat besar dan harus dibanggakan.



Sedikit Maklumat Matawang.

Matawang ini dikenali sebagai Jokoh ditempa pada logam Timah menggunakan 2 bahasa dan tulisan. Iaitu menggunakan ejaan huruf Bahasa Mandarin , ejaan huruf Jawi Bahasa Melayu dan ejaan huruf Rumi.

Matawang Jokoh ini berbentuk bulat , ditengah-tengahnya  mempunyai lobang berbentuk 4 segi.  Lubang ditengah  dicipta adalah untuk kemudahan pemilik matawang mengira, menyusun dan mengikatnya untuk dibawa bagi urusan jual beli. Ini kerana matawang Jokoh tidak dinyatakan jumlah nilainya pada muka matawang sepertimana matawang yang lain. Bentuk seperti ini merupakan tradisi atau gaya matawang yang diwarisi dari matawang di Tanah Besar Negeri China.


De Shun Gong Si 1907 Wee Sin Hee

Daripada maklumat didalam Jurnal Asiatic Society   Hugh Clifford ada menyatakan kadar nilai perbandingan Matawang-matawang yang digunakan pada ketika itu.

1 Jokoh bersamaan dengan 2 setengah cent .
1 Jokoh bersamaan dengan 24 Keping.
5 Jokoh bersamaan dengan 1 Kupang ( Emas )
20 Jokoh bersamaan dengan 1 Mas ( Emas )
40 Jokoh bersamaan dengan 1 Spanish atau Mexico Dollar. ( 1,000 Coin. )

Sin Hee Ejaan huruf Jawi Melayu

Kefahaman dan pandangan masyarakat yang beraliran Bahasa Kebangsaan, seringkali beranggapan bahawa Kongsi itu ada kaitan rapat dengan Pertubuhan Kongsi Gelap. Tetapi pada hakikatnya pandangan itu tidak tepat sama sekali. Tulisan Mandarin pada muka Matawang Jokoh ini berbunyi Xie Xing Gong Shi yang membawa maksud  Kesatuan Kerjasama Makmur. Huruf Mandarin bersaiz kecil pada bahagian atas itu pula membawa maksud " Tuan".

Unsur perlambangan yang digunakan dimuka matawang ini menggunakan sejenis tumbuhan yang tidak dapat dikenal pasti. Tetapi berdasarkan bentuk lukisan dan hubung kait dengan perdagangannya , saya mencadangkan tumbuhan ini merupakan Tumbuhan Daun Tembakau.



Dibahagian muka sebelah matawang ini pula tertera tulisan huruf Jawi Melayu yang berbunyi "Ini Juru Bahasa Punya " yang ditempa letak dalam bentuk bulatan. Tulisan huruf Jawi itu pula diapit dengan bahasa dan tulisan huruf Mandarin. Disebelah Kiri huruf tulisan Mandarin ini membawa maksud " Hiap Heng " manakala disebelah kanan pula membawa maksud Gong Shi atau Syarikat / Kesatuan/ Kongsi .

Unsur perlambangan dimuka matawang disebelah ini pula , menggunakan lambang Bintang 5 bucu yang mengelilingi Tulisan huruf Jawi " Ini Juru Bahasa Punya. " 



























Apa yang menarik perhatian saya, terdapat logam halus dibenamkan kedalam permukaan matawang ini, bagi tujuan keselamatan dan pengawalan matawang palsu. Bukti nyata ini dapat kita andaikan bahawa Wee Sin Hee adalah seorang yang teliti dan berpandangan luas. Beliau mempersiapkan matawangnya dengan ciri-ciri keselamatan sepertimana matawang yang dikeluarkan oleh Pemerintahan British.

Dalam pada itu boleh diandaikan juga, pada abad ke 18 dan awal abad ke 19  telah wujudnya unsur-unsur kecerdikan penipuan dan ketamakan dalam urusan mencari harta  dikalangan masyarakat.

Bagaimana pula jikalau Wee Sin Hee mengeluarkan 100 Jokoh pada setiap hari dan ditukarkan matawang Jokoh kepada matawang Mas , mengikut nilaian yang dicatit oleh Hugh Clifford ? Bermakna pada setiap hari Wee Sin Hee berupaya mendapatkan 5 Mas ( Logam Emas.)

1 hari = 5 Mas(  Emas )
30 hari = 150 Mas ( Emas )
12 Bulan = 1,800 Mas ( Emas.)

Ini semua adalah andaian semata-mata kerana sejak 1869 lagi  matawang Jokoh ini telah tidak diiktiraf oleh kuasa pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu. Walaupun matawang ini tidak diiktiraf oleh pihak British, namun matawang ini masih digunakan dalam urusan  oleh masyarakat tempatan. Wasalam.


Ucapan terima kasih kepada:-
  
Saudara Luis J.A.Wee @ Wee Jin Ann waris genarasi ke 5  Wee Sin Hee ~Maklumat Sejarah.
Saudara Raja Ibrahim Bin Raja Sulaiman @ King Miharbi~ Pemilik Matawang Dan Penasihat
Saudara Lim Tze Tshen @Ah Tshen ~Penterjemah Bahasa Mandarin
Saudara David Tehkukbek ~ Penterjemah Bahasa Mandarin



No comments:

Post a Comment