Friday 17 June 2016

Burung Belatuk Dagu-berjalur~Picus mentalis


Burung Belatuk Dagu-berjalur~Picus mentalis



Burung Belatuk Dagu-berjalur~Picus mentalis mempunyai penampilan hampir serupa dengan Burung Belatuk Sayap Merah-saga~Picus puniceus , cuma perbezaan dapat dilihat pada bahagian Dagu serta leher burung , dimana buluhias mempunyai carik berjalur.



Kerap juga membuat pemerhatian terhadap spesies burung ini, tetapi pada kali ini pemerhatian lebih menarik kerana melihat pasangan burung dewasa sedang menyuap makanan ke dalam mulut burung yang mengekorinya. Pada mulanya kelihatan seperti burung dewasa sedang melatih anaknya belajar jenis makanan yang sesuai dengan menyuapkan  masuk didalam mulut burung yang satu lagi.


Setelah mengambil masa yang lama untuk mengamati semua imej rakaman itu, saya mencadangkan bahawa perbuatan burung menyuapkan makanan kedalam mulut merupakan salah satu upacara memikat dan mengenal pasangannya sebelum musim mengawan tiba.  



Kelihatan pasangan ekor mengekori antara satu dengan yang lain dan sebelah menyebelah mematuk-matuk pada batang pokok . Setelah lebih kurang 10 minit berada di pohon itu, salah seekor meninggalkan pasangannya terbang menuju masuk kedalam hutan. Sambil berterbangan ia mengeluarkan suaranya, sejurus kemudian pasangannya itu mengekori arah hala tuju dan suara panggilan. Perbuatan menarik perhatian pasangan sebelum masuk musim mengawan ini selalu saya perhatikan pada spesies burung Pekaka, Takur, Minivet dan  Kekicau Tirjup. Wasalam.

No comments:

Post a Comment